.

2/12/21 PERJUANGAN SARAWAK PASCA PENGEMBALIAN MA63

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - December 16, 2021

Share

& Comment

Pada 14 Disembar, 2021, Parlimen telah mengundi secara blok bagi mengembalikan MA63 kepada bentuk asalnya. Harapan yang dilaungkan sebelum dan selepas kelulusan tersebut adalah agar Sarawak diberikan hak yang saksama dari segi agihan peruntukan pembangunan.  Kita tahu dari segi sumbangan terhadap ekonomi Negara, Sarawak adalah penyumbang ke tiga terbesar khasnya melalui nilai eksport minyak dan gas. Walau bagaimanapun, Sarawak kekal menduduki lima ekonomi tercorot Negara jika diukur dari sudut apapun khasnya dari segi taraf sosio-ekonomi rakyatnya.


(2) Mungkin ada yang merasa anih, jika Sarawak adalah kuasa ekonomi ke tiga Negara, bagaimana pula dari 13 Negeri (dulu), Sarawak kekal menjadi lima Negeri termundur di Malaysia. Maka di sinilah isu pokoknya. Jika Sarawak tidak mengeluarkan minyak dan gas, maka mungkin Sarawak akan menjadi Negeri termiskin di Malaysia. Perlis, Kedah, Kelantan , Pahang dan Trengganu biarpun menjadi antara negeri-negeri Malaya yang miskin, secara logiknya harus kurang menjadi kegusaran, lantaran Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putera Jaya dan Johor dapat menyelamatkan mereka khasnya dari segi memberikan pekerjaan baik buat rakyat. Negeri-negeri ini biar miskin namun ibarat berada dalam keluarga besar Malaya serta saiz negeri yang jauh lebih kecil masih mempunyai sandaran ekonomi yang baik. Sarawak dengan saiz menyamai Malaya (setelah tolak Perlis), sebuah wilayah pulau, dengan mendapat peruntukan pembangunan tidak setimpal sumbangannya kepada ekonomi Negara, pasti menjadikan Sarawak sangat tercorot.

(3) Sarawak sebagai Island Economies untuk ianya dapat membangun secara cepat dan betul, maka sokongan kepadanya harus berbeza dengan Mainland Malaya Economies. Dari sudut inilah Allah itu mahabijaksana. Lantaran Island Economies harus diberikan perlayanan berbeza, maka Dia menganugerahkan Sarawak rahmat yang juga berbeza. Hakikat kemajmukan ciri pentadbiran Allah, harus pihak di Malaya yang terpekik terlolong pasal Islam perlu perhatikan betul-betul. Analogi yang sama boleh digunakan ke atas Sabah, Trengannu dan Kelantan. Di dalam Al Quran, Allah menegaskan perlunya menjaga tali Allah. Metaforik seruan Al Quran itu adalah agar kita mengurus Ummah dan Mahluk Allah keseluruhan secara baik. Dalam perihal ini, maka hak Sarawak harus dijaga pada hak yang Allah turut berikan kepadanya. Ini termasuklah hak Sarawak sebagai pemilik rahmat minyak dan gas, serta hak Negara pada Sarawak yang makmur. Sesungguhnya sebegitulah cara Muhammad SAW mentadbir wilayah-wilayah Islam terdahulu. Dia tidak membondong kekayaan wilayah-wilayah lain seperti Yaman, Mesir dan bahkan Palestin-Jordan demi membina Madinah.  

(4) Sesungguhnya Pulau Pinang menjadi gergasi ekonomi elektronik ASEAN suatu masa dahulu, Johor menjadi Kuasa Industri Oleo-Kimia, dan Langkawi akan menjadi Gerbang Industri Perlancungan Negara adalah lantaran mereka sangat dibantu hebat. Maka Sarawak juga harus dilihat sebegitu, bukan pada dasar mengambil hak pihak lain tetapi memperguna anugerah azali @ asli Allah kepadanya. Maka jika Putera Jaya ingin mempertahan dan memperhebatkan Islam, itulah tuntutan Islam yang kita tidak harus picek @ sempitkan.

(5)  Pada mulanya, saya agak sangsi untuk MA63 dapat dikembalikan pada kedudukan asalnya. Kesangsian saya adalah bersandarkan permainan politk semasa Malaya. Najib, mengorak langkah dalam usaha untuk mengembalikan MA63 ke kedudukan asalnya. Dia bermain dengan masa bagi memastikan Sarawak terus kekal bersamanya. Kemudian bila Mahathir kembali berkuasa, beliau melakukan langkah hati-hati dengan mengusulkan pengembalian MA63 secara berperingkat-peringkat. Sabah menyokong, BN dan GPS tidak. Usaha Mahathir dibunuh oleh permainan politik semasa sepertinya Najib. Muhhyiddin bila menjadi PM juga meneruskan usaha yang sama. Juga time is the essence. Umpan mesti dijaga baik agar ikan yang sudah terperangkap terus kekal bersama . Ismail Sabri mungkin lebih bernasib baik memandangkan kini adalah tempoh PRN 12 Sarawak. Saya yakin tiada siapapun biar di pihak Kerajaan, Negeri, Pembangkang malah Bebas mahu kelihatan menentang RUU MA63 yang dibentangkan di Parlimen. Semua akan menonjolkan diri sebagai juara dan pendokong pengembalian MA63 atas kepentingan politik masing-masing. Selepas ini, saya yakin perjuangan menegakkan MA63 bukan lagi isu, tetapi ramai akan mendabik dada siapa pejuang MA63 sebenar akan membara.

(5) Isu yang saya cuba ketengahkan kini adalah, MA63 sudah di tangan; S4S, Sarawak Merdeka dan Sarawak First akan menjadi bagaimana? S4S, Sarawak Merdeka dan Sarawak First saya lihat hanyalah alat untuk mengembalikan MA63. Kini MA63 sudah di dalam gengaman, jadi apa langkah seterusnya.

(6) Hakikatnya Malaysia adalah Negara Majmuk - recam, pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai geo-politik. Malaysia adalah bumi di mana tiga ketemadunan besar silam bergabung: India (Ganges), Cina ( Yang Tze) dan Melayu (Islam). Ketiga-tiga kaum dominen ini kini sedang menguasai temadun Barat menjadikan Malaysia = tanah subur perbauran atau pertemuan temadun silam dan kini. Lantaran itu ada pihak ingin melakukan assimilation, adaptation, integration, reform atau transform biar secara liberal dan konservatif. Akibatnya, di peringkat Nasional maka kita menjadi meraba-raba, confused. Dalam meraba-raba, confused di peringkat Nasional kita menuju jalan sesat.

(7)  Bagi saya, ibarat kita menemukan manusia sesat, jika kita mampu menunjukkan mereka jalan dan atau desitnasi betul, maka manusia sesat itu akhirnya boleh kita kuasai. PRN12 Sarawak mempunyai banyak advantages buat Sarawak. Pertama-tama, inilah kali pertama dalam Sejarah Sarawak mampu mengurus halehwal politiknya secara dalaman ie tidak terlalu bergantung kepada Putera Jaya, melainkan bagi PKR dan DAP. Kelongaran namun harus kekal bersahabat-penting ikatan kita dengan Putera Jaya memberikan Sarawak self-confidence and self-esteem tersendiri yang jika dimanafaat baik kemudiannya akan menjadikan kita hebat. Saya yakin, hubungan sebegini akan membentuk jati diri yang lebih baik bagi Kerajaan dan rakyat Sarawak. Kedua, PRN 12 Sarawak adalah pertaruhan semua kelompok besar parti politik Malaya biar BN, PN bahkan PH. Masing-masing dari mereka perlu melakukan apa yang terbaik untuk Sarawak. Pengundian sokongan RUU MA63 pada 14 Disembar 2021 adalah buktinya. Suara-suara menyokong agar Sarawak mendapat hak pembangunannya di Parlimen adalah natijahnya. Soal jujur atau tidak, hanya masa akan menentukan. Dua kelebihan ini, saya kira adalah asas pokok untuk Sarawak terus bergerak maju ke hadapan dengan lebih hebat.

(8) Saya yakin, dalam PRN 12 in, selepas 14 Disembar 2012, isu MA63, S4S, Sarawak Merdeka dan Sarawak First bukan lagi menjadi isu-isu pokok. Tumpuan rakyat Sarawak dan segala parti yang bertanding adalah apakah kita mampu membina Kerajaan Bersih, Cekap dan Amanah (BCA) selepas PRN 12 ini. Ketiga-tiga nilai Bersih, Cekap dan Amanah mesti jalan bergandingan. Bersih tetapi tidak cekap (professional) dan amanah, akan menjadi si buta tanpa tongkat. Cekap bila tidak bersih dan amanah, maka menjadilah perasuah, penyangak, penyamun, pengkhianat. Amanah tanpa cekap dan bersih, menjadilah dia tunggul menunggu rebah dibaham anai-anai. Maka dengan MA63, rakyat dan para parti politik Sarawak dalam PRN12 harus berjuang menobatkan mereka yang ada bakat Bersih, Cekap dan Amanah ke DUN kita. PRN12 bagi saya adalah peluang yang Allah berikan agar Sarawak menjadi model Pentadbiran BCA sebagai asas melonjak pembangunan dan kemakmuran Sarawak dan Negara.


Kuching, Sarawak

16 Disembar, 2021


#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.