Saya telah tidak ke Kota Kinabalu sejak 2018. Ketiadaan urusan serta Covid 19 merupakan sebab utamanya. Kali ini saya perlu melihat empat Kawasan milik Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Saya diperlukan untuk memikirkan bagaimana kawasan-kawasan ini boleh dimajukan, bukan sekadar memberikan pulangan baik kepada pemaju tetapi juga pulangan berpanjangan buat tuan-tuan tanah berkenaan.
(2) Banyak perubahan dapat saya rasakan telah berlaku di Kota Kinabalu. Paling utama; jalan-jalannya sudah kelihatan agak tersusun, mesra pejalan kaki serta agak hijau dan agak bersih. Pelbagai bangunan apartmen dan hotel-hotel mewah juga telah terbina. Pelancung khasnya dari Korea, China, Jepun, dan dalam negeri kelihatan sangat membanjiri Kota Kinabalu, khasnya lantaran kini adalah musim cuti sekolah. Pelancung Barat, seperti biasa merupakan pengembara yang gemar kepada alam sekitar dan cabaran alam semula jadi. Namun perkampungan setingan dan atas air, di sekitar KK juga sudah jauh lebih berkembang berbanding 4-5 tahun lepas.
(3) Saya meninjau-ninjau ke Kawasan Water Front. Sekarang Kawasan ini kelihatan sepi. Gerai-gerai makanan di situ katanya telah dipaksa tutup kerana masalah kebersihan. Pasar Filipiina juga sudah agak kemas serta agak tersusun berbanding dengan 4-5 tahun lepas. Saya menghambis masa agak lama meneliti keadaan di Pasar Kraft Filipina serta Pasar Seafood Kering Jika sesiapa biasa ke Wakaf Siti Khadijah, Kota Baru, laungan "beli be, beli be" adalah biasa. Bila ke Pasar Kraft Filipina, pertanyaan-pertanyaan "Cari apa bang?" sepertinya panculan pamitan lumrah dari setiap penjaja gerai yang akan kita lalui. Saya seperti biasa, bukan terlalu berminat dengan barang jualan mereka, saya lebih suka mencari yang unik-unik. Namun agar mereka rasa terhibur, saya sering menjawab: "Ha di sini kamu rupanya. Saya cari-cari kamu di mana-mana, rupa-rupa kamu sudah di sini. Jadi sekarang saya endak cari apa-apa lagi sebab sudah ketemu kamu di sini". Bagi yang faham, mereka ketawa riang. Banyak juga yang tidak faham, dan saya tinggalkan mereka dengan dahi berkedut. Umum, para penjaja di sini cukup ramah. Cuma pihak DBKK harus memikirkan keselesaan pengunjung dan penjaja khasnya dari segi kepadatan gerai-gerai di sana. Saya membeli dua utas tasbih yang terbuat dari batuan yang Katanya penghasilan masyarakat tempatan.
(4) Di Pasar Seafood Kering, lain pula kerenah para penjaja di situ. Masing-masing akan menawarkan ikan bilis. "Ikan Bilis Mata Biru bang!". RM25.00 untuk bungkusan 200 gram. Tetapi belum sempat kita menawar, mereka terlebih dahulu menawarkan: "Kalau abang mahu, boleh RM15.00". Saya jadi heran, "kenapa?". "RM25.00 itu untuk pelancung asing. RM15.00 untuk orang Malaysia". Bijak juga cara pemasaran mereka. Saya tidak membeli apapun cuma menyarankan agar gimik pemasaran mereka diubah. jangan disebut Bilis Mata Biru tetapi Bilis Eropah. Yang nakal di antara mereka, terus bertanya, "kalau yang mata hitam bagaimana?". "Itu Bilis Afrika". Mereka juga ingin terus bercanda, "kalau yang kelabu, macamana?". "Itu Bilis Muhammad Sabu, kawan kamu", saya sarankan dan semua akan tertawa seronok. Satu perubahan yang paling ketara yang dapat saya perhatikan di Pasar Seafood Kering adalah kesediaan para penjaja di sana untuk membuat Packaging seperti yang dilakukan oleh para pengusaha Ikan Terubok Masin di Pasar Satok, Kuching. Saya berkira, usaha ini harus pihak FAMA perbaiki lagi agar keluaran kita dapat dibawa pulang bukan hanya oleh para pelawat dari dalam malah luar negara. Jika perkara ini dapat diusahakan di Fremantle, Australia, kenapa kita tidak boleh?
(4) Secara keseluruhan Kawasan Water Front KK sudah agak berubah. Anak-anak "gelandangan pendatang" sudah tidak kelihatan bebas berkeliaran. Kapal-kapal nelayan kelihatan banyak berlabuh di perairan yang cukup tenang dan nyaman. Pelabuhan pendaratan ikan SAFMA kelihatan sibuk dengan para nelayan memunggah penghasilan tangkapan mereka.
(5) Dari jam 1300 tadi sehingga 1800 saya mengambil peluang menelusuri kawasan Gaya St dan Pasar Lama KK. Inilah Kawasan Pasar Minggu yang sering saya lawati. Namun kali ini, mereka baru mahu setting segala gerai mereka. Tujuan saya adalah untuk mencari benih-benih tanaman baru yang boleh saya bawa pulang dan dalam masa yang sama cuba having a feel of KK di hujung minggu. Di Pasar KK saya menemukan apa yang dikatakan sebagai Nanas Madu Sabah. Buahnya kelihatan agak anih. Cuma bila dilihat dari corak morfologi daun-daun jambulnya, ianya kelihatan seperti Nanas Crystal Taiwan. Saya membeli dua biji buah yang kecil dengan Tujuan untuk mendapat jambulnya untuk saya biakkan. Saiz nanas ini kelihatan boleh mencecah sehingga 3.0 Kg. Kerana penat serta agak mengantuk, saya mengambil kesempatan membuat foot reflexology di salah sebuah Massage Center berdekatan. Setidak-tidak saya boleh mengambil peluang untuk nab sekitar sejaman sebelum ke Airport.
(6) Sesungguhnya, dari Buddhisma, Hinduisma, Majusi, Yahud, Nasarani, dan Islam Allah memberikan ilham betapa Religious Central Places seperti Ganges, Qom, BaitulMuqaddis dan Mekah-Madinah adalah perlambangan betapa industri ziarah atau perlancungan itu adalah sangat penting dalam merancakkan perekonomian manusia sejagat. Ziarah keagamaan ini boleh dikembang menjadi perindustrian yang cukup lestari serta saling berkaitan dan mampu memakmur dan mensejahterakan para pengamalnya yang mampu mengurusnya dengan penuh hikmah dan berkesan. Maka sehubungan dengan ini, saya mengira, segala kekuatan yang ada pada negara ini, jika para penjawat awam, ahli politik dan swasta, jika mereka sentiasa berfikiran terbuka, prihatin serta gigih; Malaysia mampu menjadi destinasi perlancungan utama dunia. Kita berada dalam ekosistem yang cukup pelbagai serta diberikan anugerah Allah yang cukup luas untuk kita terokai secara hikmah dan kreatif. Cuma, kita terlalu dangkal berpolitik dan bersosialisasi sehingga anguerah Allah tidak kita hargai sepenuhnya.
Lapangan Terbang Antarabangsa,
Kota Kinabalu,
25 Feb., 2023
0 comments:
Post a Comment