.

ABC Sadong

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand. ABC Sadong
Showing posts with label Culture and Art. Show all posts
Showing posts with label Culture and Art. Show all posts

8/3/11 BAHASA MELAYU....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 18, 2011

Mudah-mudahan benar bagai apa yang saya dengar. Dalam berita tadi malam, saat saya ingin lelap di kamar kecil (bukan tandas) di sebuah hotel kecil di Mukah, di RTM1, keluar berita yang mengkhabarkan bahawa Kementerian Rais Yatim akan mengerakkan langkah memperkukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia. Dikhabarkan, Bahasa Melayu termaktub dalam perlembagaan Negara sebagai Bahasa Kebangsaan. Maka bangkit kembali cerah mata dan fikiran saya untuk menulis dan meneruskan persoalan saya selama ini kenapa Bahasa Kebangsaan Malaysia asyik berubah nama dari Bahasa Melayu ke Bahasa Kebangsaan dan akhir-akhir ini menjadi Bahasa Malaysia, dan mungkin akhirnya nanti jadi Bahasa 1Malaysia.

(2) Jika benar Bahasa Melayu sebagai termaktub dalam perlembagaan negara sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia, siapakah pendurhaka bahasa yang telah menukarkannya kepada pelbagai nama lain. Saya ingin sekali agar kita orang Melayu, dalam seluruh kebijaksanaan mempertahankan apa yang ada pada kita. Kita mesti pertahankan Bahasa kita!

(3) Suatu ketika dahulu, kaum keluarga saya semuanya berbahasa Jawa bila bercakap sesama sendiri. Tanpa segan silu mereka bercakap dan menyatakan apa saja dalam bahasa Jawa. Kini, mereka terutama mereka yang mengelar saya Embah, Wak dan Mamang, semuanya sudah tidak lagi mengerti berbicara dalam bahasa Jawa. Sebutan Jawa mereka hanya pada gelar kedudukan saya dalam susunan kekeluargaan.

(4) Kini mereka sudah berbahasa Melayu, Melanau, Iban, Cina dan bahkan Orang Ulu dalam pertuturan harian mereka. Saya mulai bertanya, bahasa Jawa dan bahkan bahasa Bugis mereka juga sudah hilang. Lantaran itu, kini mereka lebih enak digelar sebagai orang Melayu dan sangat jarang sekali mahu memperkenalkan diri mereka sebagai Tiang Jawi. Bahkan istilah Tiang Jawipun mereka sudah tidak mengerti. Ya, mereka mengakui sebagai Melayu kerana pertuturan mereka dalam dalam Bahasa Melayu. Bahasa menunjukkan bangsa (kaum).

(5) Itulah natijahnya bila kita sudah bangsa Melayu telah hilang harga diri pada Bahasa kita sendiri. Teladan yang saya berikan, adalah menyentuh kaum kerabat saya di kampung, namum kita bangsa Melayu di kota-kota sudah tidak lagi fasih, apatah lagi menulis dalam Bahasa Melayu, bertutur dalam bahasa Melayupun kita sudah banyak keliru.

(6) Dalam beberapa tulisan saya terdahulu, banyak saya bangkitkan, masyarakat kita sukar mengerti apa yang 'pemimpin' kita bicara atau tuturkan, kerana penguasaan Bahasa Melayu mereka adalah sangat lemah. Kita telah dengan sewenang-wenangnya menggantikan istilah-istilah Melayu dengan istilah-itilah pinjaman khasnya dari bahasa Barat.

(7) Tidak mengapa, saya kira jika kita terus pinjam dan adunkan istilah-istilah dari pelbagai loghat Melayu, asalkan ianya tetap dari rumpun Melayu. Saya berkira, jika ruai dalam bahasa Iban dapat digunakan untuk menamakan 'Koridor', maka mengapa istilah itu tidak kita terima: kenapa pula corridor harus jadi koridor. Orang Melayu kampung mana mengerti akan istilah koridor? Kita bangsa Melayu harus punya keberanian untuk menyepadukan segala istilah loghat Melayu ke dalam Bahasa Melayu agar ikatan kekuatan rumpun Melayu akan utuh dan menebar. Janganlah hanya memandang bahawa orang Iban itu agak masih mundur maka kita pandang bahasa mereka sebagai tidak sesuai diangkat menjadi Bahasa Melayu. Jika itu sikap kita, pasti Melayu suatu hari nanti hanya sendiri-kendiri dan pupus beransur-ansur.

(8) Kita perlu mengakui, tidak semua perkara dalam kehidupan kita ini ada istilah Melayunya. Contohnya, saat kita menghantar tetamu ke luar pintu mahu pulang, dalam bahasa Melayu tulinnya, pasti tidak ada istilah khusus dapat menjelaskan perilaku keberangkatan tamu itu. Tetapi dalam bahasa Jawa, ada istilah khusus yang dapat digunakan dalam menjelaskan acara keberangkatan tetamu disebut: Pamit, Pamitan. Istilah terdekat bahasa Melayu adalah minta diri, tetapi itu bermaksud mohon pulang atau undur. Tidak setepat pamitan.

(9) Orang Papua New GHuinea umpamanya, bila saat pamitan pasti mereka akan berkata: "Lokin(bunyinya lookim) you behind", yang sama pengertiannya sebagai "Jumpa lagi kemudian": jumpa-lookin, kemudian-behind, senada bila ungkapan Melayu diterjemah dalam bahasa Inggeris!. Jika kita teliti semua ini, inilah yang menjurus kita mengakui diri kita sebagai bangsa serumpun. Namun sikap banga diri, terkadang bodoh sombong, juga kealpaan kita maka kita tidak pedulikan rerumpunan kita itu.

(10) Saya ingin mengajak semua, agar kita bangsa Melayu, mengikut tafsiran antropologinya dan tidak terbatas pada tafsiran politik, melihat pembangunan rumpun Melayu dalam gerakkan menjadikan Bahasa Melayu sebagai teras dan asas kepada kebangkitan bersama. Saya pasti, banyak manafaatnya bergerak dan berusaha sekerasnya memperkukuhkan rumpun Melayu, kerana penyapu itu tidak terjadi sebatang lidi melainkan seberkas lidi.

(11) Cuma, saya pasti, kekalutan Bahasa Melayu, dicampur baur dengan bahasa Barat terubah, adalah kerana kita sendiri tidak mahir dalam penguasaan bahasa kita sendiri. Juga kita juga sangat lemah dalam bahasa-bahasa lain.

(12) Mudah-mudahan Rais Yatim dengan darah Minang yang mengalir dalam tubuhnya, kembali gagah menjadi pengerak kepada Jajib Razak (darah Bugis-Melayu) dan Muhhyidin Yasin (Jawa-Rhiau) mengembalikan semula Bahasa Melayu dalam kedudukan bakunya. Namun, tidak usah kita terikut-ikut cara Anwar Ibrahim dengan penciptaan istilah-istliah kacukan yang boleh mengelirukan.

Cafe Barbera, KLIA
18 March, 2011

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.