.

1/12/21 PRN 12 SARAWAK - PH MENGUNDUR, GPS BERTAHAN, PBK & PSB MARA

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - December 08, 2021

Share

& Comment


Jika sesiapa perasan dan atau boleh ingat, PRN 10 Sarawak pada 2011 ada sedikit hangat. Saya melihat pada masa itu, kempen PRN khasnya di pihak DAP adalah sangat di luar dari susila Sarawak. Pada masa itu. DAP benar-benar menyerang BN di bawah pimpinan Taib. Pelbagai slogan anti BN telah dihamburkan khasnya di kawasan Bandaraya Kuching. Mainan DAP adalah S4S untuk menidakkan sokongan BN Pusat terhadap Taib. Biar apapun akhirnya Taib dapat mengekalkan dua pertiga majoriti di DUN Sarawak dan hanya SUPP terkesan teruk. Pada masa ini, PKR hanya mulai memperkenalkan diri secara lebih agressif, namun gagal. Sesungguhnya, setidak-tidak pada masa tersebut, majoriti rakyat Sarawak masih boleh membezakan yang mana perkara di peringkat Malaya dan yang mana isu-isu tempatan Sarawak. Usaha DAP Sarawak untuk menimbulkan kebencian rakyat Sarawak terhadap Taib ("proxy" Kerajaan Pusat) tidak berjaya. Peralihan sokongan pengundi SUPP kepada DAP adalah akibat bantahan masyarakat peniaga ke atas perlaksanaan GST yang banyak menjejaskan perniagaan dan pendapatan mereka.

(2) Dalam tulisan ini, isu pokok yang ingin saya lihat adalah - tanpa sedar dalam PRN 12 Sarawak kali ini, saya mendapati fenomena bahawa Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang lain-lainnya sedang melakukan langkah mengundur, Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) sedang melakukan langkah bertahan sedang Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) menunjukkan langkah mara. Tanggapan sebegitu atas andaian saya bila melihat slogan semua parti yang mahukan Sarawak Maju dan Bersatu Padu. Maka tulisan ini akan melihat, apakah bentuk kerjasama parti-parti yang bertanding dalam PRN 12 ini benar-benar mahu membuktikan keikhlasan mereka mahukan Sarawak Maju dan Bersatu Padu.

(3) Slogan mahu membawa Sarawak terus maju adalah penting. Pertama-tama bila biar di Malaysia, Sarawak terus berada dalam lima ekonomi yang mundur. Sarawak masih mempunyai paras kemiskinan lima tertinggi di Malaysia. Paling parah bilamana ekonomi Sarawak hanya berkembang sekitar 4 - 5 peratus sejak 2005 yang lepas. Kita patut tumbuh antara 7 - 10 peratus setahun untuk cepat maju. Dari segi struktur ekonomi, penyumbang terbesar ekonomi Sarawak bukanlah sektor yang dikuasai oleh rakyat kebanyakan, melainkan oleh para gergasinya. Beda pendapatan antara kelompok sangat ketara meluas. Oleh yang sedemikian, ekonomi Sarawak sangat bersifat dikotomi seiringan dengan inti pati kaum dan geografinya. Kedua dari segi perpaduan, Sarawak mempunyai 26 suku kaum. Demografi dan tatabudaya antara dan dalam kaum-kaum ini cukup berbeza dan recam. Oleh yang sedemikian, perpaduan biar penuh dengan kepelbagaian adalah amat penting untuk wujud dan diraikan secara saksama di Negeri ini. Maka persoalan besar bahkan natijah tujuan rakyat mengundi di dalam PRN 12 ini adalah Parti mana yang mampu mambawa Sarawak Maju dan Bersatu Padu?

(4) Saya katakan, PH sedang membawa konsep politik mengundur lantaran sedari awalnya sebagai sebuah ketumbukan dan akibat terkecundang dalam pentadbiran Pusat pada Feb 2020 serta beberapa siri PRK selepas itu, dan akhirnya kekalahan teruk PKR di PRN Melaka pada 20 Novembar lepas, maka kini PH mengambil keputusan untuk bertanding secara asing-asing di PRN 12 Sarawak.  Mereka lebih rela bertanding sendiri-sendiri dari terus kekal sebagai sebuah ketumbukan. Mereka kekal mahu secara tektikal mendekati para pengundi dengan isu-isu perkauman berbanding slogan mahukan perpaduan dan kesaksamaan. Sesungguhnya formula tersebut telah gagal di PRN Melaka.  Persoalannya, dari awal mereka tidak boleh kekal bersatu, apa mungkin mereka akan dapat mewujudkan kesatuan di peringkat manapun? Saya tidak yakin selagi semangat gelojoh, tamak dan dengki terus menjadi pegangan hebat parti-parti di dalam PH. Saya melihat, masalah paling ketara di dalam PH adalah masalah penyakit personality conflict - terlalu banyak topeng yang ada di kalangan pimpinan PH.  Perkara ini terbukti dari 2018 - 2020, semasa berkuasa PH tidak tenteram, tidak bersatu padu, sering bertelagah, maka akhirnya pembangunan Negara menjadi korban. Maka mengundi PH ibarat terus menyubur pecah belah dan kemunduran ekonomi Negara dan Negeri.


(5) GPS asalnya bersama parti-parti lain di Malaya dan Sabah membentuk BN. BN sebetulnya adalah berasal dari cetusan kejayaan Abdul Rahman Yaakub yang dapat menyatukan PBB-SNAP-SUPP dalam membentuk Kerajaan Sarawak pada masa beliau. Buah fikiran tersebut terus dikembangkan ke peringkat Kebangsaan untuk membentuk Barisan Nasional (BN). Sebetulnya GPS adalah ibarat Parti Perikatan Malaya sebelum terbentuknya BN. Dari 1970, "GPS" adalah parti-parti yang telah mentadbir Sarawak dalam keadaan "panas, hujan dan tenang". Maka atas sebab tersebut, sikap GPS yang "bertahan" seharusnya boleh difahami dengan mudah. GPS mempertahankan struktur dalam parti yang sediada. Hanya dengan cara itu, pemilihan nakhoda kapal tidak menjadi masalah. Setiap kapal ada nakhoda tersendiri, cuma dalam pelayaran mereka sehaluan dan sekumpulan. Cuma telah menjadi resam dalam dunia maritim, peperangan udara dan bahkan dalam penerbangan penghijerahan burung, akan sentiasa ada kepala kapal mendahului armadanya. Sebegitulah lumrah di dalam GPS. Mereka kelihatan "united in diversity". Ini kira-kira amat serasi dengan struktur demografi dan tatacara budaya 26 ethnik di Sarawak kini.

(6)  Bagi saya politik cara GPS adalah politik status quo. GPS = parti konsevatif sebetulnya. Bahayanya politik sebegini adalah kita terus mengekalkan perbezaan dalam kebersamaan. Logik jalan itu seharusnya kita pilih untuk kena pada tempat dan masanya. Kedua-dua tempat (keadaan) dan masa harus jalan seiring, tidak terceraikan. Bagi saya pengekalan politik sebegitu akan terus menyuburkan politik asas perkauman. Inilah apa yang sedang berlaku di Malaya dan Sabah. Biar Malaysia telah terbentuk sejak 60 tahun silam, kita belum dewasa untuk sama-sama berdiri dan berlari kencang. Kita terus bergulat tanpa henti dan tidakpun membawa kita ke mana-mana malah kian mengundur.  Saya yakin tumbuhanya pelbagai parti kini di Sarawak adalah menifestasi "pengukuhan perkauman" yang kian melanda Sarawak. Penyakit perkauman dan chauvinistic Malaya dan Sabah sudah mula merebak ke Sarawak. Bagi saya GPS harus mula bergerak ke arah membentuk apa yang saya namakan sebagai One Sarawak. GPS harus tidak kekal sebagai gabungan, tetapi Parti Tunggal Pelbagai Kaum Tulin Sarawak. Isu nakhoda harus dicari jalan baik untuk menemukannya. Sesungguhnya kebijaksaan Abdul Rahman Yaakub dalam membentuk Pesaka - Bumiputera Bersatu (PBB)  harus dijadikan teras permulaan. Kita perlu menjadi One Sarawak jika kita mahu menghambat lekas pembangunan dan perpaduan untuh kita.

(7) GPS kini, harus boleh membina jalur bagi membentuk One Malaysia yang hakiki. Kini Malaysia = "Malaya". Sebabnya, perjudis kaum dan sosial bawaan UMNO, PAS dan DAP menjadi punca segala-gala. Sehingga kini, UMNO, PAS dan DAP sedang teraba-raba untuk mencari kaedah bagi mencapai Perpaduan Nasional, namun biarpun mereka tahu jalannya namun tetap mereka tidak akan berganjak hebat akibat kegilaan kenakhodaan. Dalam soal kekuatan GPS saya mendapati segala pujian oleh para pengalisa politik semasa khasnya dari "Menara Gading atau Pejabat Dingin" adalah agak merbahaya. Mereka sangat memuja kekuatan GPS. Saya melihat mereka sebagai "just to say what is given, analisis cari makan". Saya juga faham akan prihal tersebut, namun kita tidak perlu terlalu menjunjung sesiapapun lantaran jika kita amati Muhammad SAW tidak gemar dipuji, beliau juga melarang pencacian. Apa yang SAW amalkan adalah bercakap benar ke arah masa depan yang gemilang. Bagi saya, bilamana BN dan Perikatan Nasional (PN) malah Pejuang mendokong GPS, selain sebagai kekuatan, sesungguhnya yang lebih penting bahawa Allah SWT sedang memberikan peluang kepada GPS untuk mengorak langkah ke arah One Sarawak lalu mencetuskan One Malaysia.  Benar semua itu sedang menjadi slogan GPS namun saya kira ciri dan langkah politik GPS masih pada status quo - "perkauman". Walau bagaimanapun GPS mempunyai kesempatan dan ruang yang sangat luas berbanding pihak lain dalam mempelopori gerakan ke arah One Sarawak dan One Malaysia cuma mungkin was-was melebihi keberanian bertindak berwawasan. 

(8) Saya mengucapkan syabas kepada PSB dan PBK. Mereka kelihatan dari awal bersifat as One Sarawak. Mereka merupakan parti asli Sarawak dan dianggotai oleh segala kaum di Negeri ini. Saya berkira, sebeginilah sepatutnya. Rakyat Sarawak harus bersatu membentuk One Sarawak. Sejarah telah membuktikan bila mana Sarawak bukan berupa One Sarawak, kita sering pecah belah secara kaum dan daerah. Inilah apa yang berlaku di zaman sebelum Brooke. Biar kita bersama Kesultanan Brunei, namun kita berkerajaan bersifat kedaerahan. Lantaran itu, Brooke perlu campur tangan bagi mendamaikan semua daerah-daerah lalu kemudian membentuk Bigger One Sarawak. Tanpa usaha One Sarawak Brooke, Sarawak = Kuching + Samarahan + Serian + Lundu + Bau = First Division pada zaman penjajahan Brooke.

(9) Apapun intipati perjuangan PSB dan PBK itu dikira gimik politik demi sokongan. Wajar atau tidak cara mereka, hanya PRN dapat menentukan. Namun, usaha mereka bergerak sebagai sebuah Parti Berbilang Kaum dan Daerah, itu adalah jalan menuju One Sarawak. Bagi saya dalam PRN ini, pengundi harus menyingkirkan Parti berasaskan kaum khasnya yang ada bau-bau Malaya. Kita harus mengutamakan parti-parti tulin Sarawak dan memperjuangkan One Sarawak pada kesesuaian masing-masing.

Kuching, Sarawak
Dec 12 - 15, 2021

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.