.

1/3/2024 APA KAHABAR MALAYSIA - sudah di mana kita di bawa Anwar?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 15, 2024

Share

& Comment

Sudah agak lama saya tidak mengikuti perjalanan politik negara. Saya sudah tidak mendengar radio, tv dan bahkan membaca akhbar tentang politik negara untuk sekian lamanya; jika tidak silap sejak Najib mula kegalauan kerakusan kuasa sehingga dana negara menjadi alatan yang tidak sewajarnya dia pusing belit - manipulated. Bahkan di media sosial juga saya cukup "jelak" untuk mengikutinya. Namun dari segi keluh kesah bahkan kepayahan rakyat saya terus perhatikan dengan cara saya sendiri. Saya menggunakan pertunjuk-pertunjuk mudah untuk mengesan kepayahan rakyat. Ini bukan soal kecenderungan saya tentang politik; namun lebih kepada minat saya untuk memajukan masayarakat lantaran sejak saya masih bocahan saya telah mengatakan kepada ibu saya bahawa saya ingin menjadi DO - District Officer, sang Pegawai Daerah. Pada masa itu (1960an), istilah DO yang saya ketahui mungkin kerana di daerah saya pada masa itu Sang DOnya berbinikan Orang Putih yang menjadi buah mulut hampir semua orang. Jadi saya rasa, saya hanya ikut-ikutan. Masa berlalu, hakikatnya saya menyedari saya tidak ikut-ikutan. Itulah takdir perjalanan hidup saya selanjutnya. Cita-cita menjadi DO pada anak-anakan saya itu bukan cita-cita sekadar cita-cita, ianya adalah janji dan ikrar saya kepada sang ibu, yang kemudian pergi pada saat saya sedang baru mengenali hidup (1969) - janjinya, pemergian ibu dan kemudian bapa dalam julat 10 tahun kemudian (1979), adalah cara Allah untuk menjadikan diri saya biar hanya sendiri harus terus keras dalam membela masyarakat saya. Saya lahir (1960) di zaman payah, anak-anakan saya adalah zaman payah lalu remaja dalam kesendirian juga adalah payah. Maka payah rakyat tidak susah untuk saya garap. Makanya bila berada dalam perkhidmatan awam dari 1986-2011, selama 25 tahun saya memberikan taat setia saya untuk berkhidmat kepada rakyat biarpun pada 2009 (dan 1998) saya banyak mendapat tawaran kerjaya yang cukup mewah di peringkat antarabangsa, yang saya tolak serta juga selepas saya melepaskan kerjaya awam pada 2011. Dari 2012, sehingga kini saya berkeras untuk terus bersama masyarakat saya, biar sepertinya saya menanggung banyak kegagalan dan kepayahan. Saya tidak akan ingkar akan janji saya kepada ibu (dan bapa). In Shaa Allah saya akan terus bergelut biar payah bagaimana sekalipun.

(2) Anwar telah memekak untuk membela rakyat sejak beliau di Universiti Malaya lagi (awal 1970an). Bila dia graduated, Baling menjadi simbol perjuangan beliau. Rakyat Baling digambarkan seolah-olah sebagai dalam sengsara kemiskinan yang paling dahsyat. Namun bila dia menyertai Kabinet Mahathir dari 1981-1998, apakah tindakan paling berkesan beliau terhadap Baling. Anwar pernah pegang KBS - apa belia Baling dapat? Dia pernah menjadi MoA - petani miskin Baling dia bela betul-betul ke? Dia pernah jadi MoE - berapa banyak graduan dari Baling beliau hasilkan? Dia pernah menjadi MoF dan DPM - apa anjakan paradigm Baling yang dia perlakukan? Balin terus sendiri dan kini juga sejak menjadi PMX, apa Baling dapat? Saya kira, rakyat Baling telah Anwar lontarkan entah ke mana-mana.

(3) Pada 100 hari Anwar menjadi PM, saya telah menulis, kira-kira telahan saya akan "jalan gagalnya" Anwar. Kini sudah 15 bulan Anwar menjadi PM, di manakah kita berbanding 1998 iaitu pada tarikh dia dipecat dari Kabinet dan UMNO, dari 2003-2009 semasa pemerintahan Abdullah Badawi, lalu 2009-2018 semasa tempoh pemerintahan Najib, 2018-2020 semasa Mahathir dan selanjutnya pada 2020-2022 semasa pemerintahan "bumbung Parlimen kebocoran"? Saya kira apa yang telah saya duga pada 100 hari pemerintahan Anwar kini sedang terjadi. Apa dan kenapa?  

(4) Anwar diangkat menjadi PM pada 24 Novembar, 2022. Siapapun boleh berhujah, dalam tempoh 15 bulan, apa boleh dibuat bilamana masalah negara adalah terlalu luas dan mendalam? Jika itu hujah sesiapa, maka yang berhujah sebegitu sama dungu dengan Kabinet Anwar. Cuba renung kembali, apakah bila Husein Onn mengambilalih tampuk PM Malaysia dia tidak tersepit sama. Apa dia buat? Setidak-tidak Husein Onn mencipta Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai alat membela rakyat. Sama juga bila Mahathir mengambilalih tampuk pimpinan negara pada 1981, apakah negara sedang dalam kemewahan? Negara juga cukup tersepit. Apa Mahathir perbuat? Setidak-tidak dalam tempoh minggu pertama dia menjadi PM, dia menjadikan Sime Darby hak milik negara dan memperluas dan melonjakkan pelaburan ASB, KWSP, KWAP, dsb . Bila Najib jadi PM, dia juga mewarisi keadaan negara tersepit bilamana Abdullah Badawi lari dari kelanjutan tumpuan dasar yang telah Mahathir mulakan. Mahathir bukanlah yang terbaik dan sempurna, namun usaha-usaha Mahathir adalah permodenan dan reformasi dari tradisi governmentalist Razak. Makanya, selepas Abdullah keadaan ekonomi Malaysia terus kacau sehingga kini lantaran keperluan rakyat tidak dilihat dari sudut "socio-economic development" sejati tetapi lebih kepada persepsi-persepsi politik dan nafsu kemewahan para little napolean birokrat dan politik. 

(5) Dengan hutang negara telah mencecah RM1.3 trillion serta kedudukan Ringgit yang goyah antara RM4.60-5.00 berbanding dollar serta penurunan ketara FDI dan eksport. Pencapaian pertumbuhan ekonomi 3-5 peratus saya kira adalah terlalu kecil kerana asas tahun perkiraan kita adalah berdasarkan previous year yang rendah. Maka asas base yang rendah, sedang lompatan kita juga rendah, maka pencapaian kita sebenarnya cukup tidak memuaskan. Inilah masalah-masalah makroeonomi besar negara. Di pihak rakyat, mereka sedang menghadapi masalah tingkatan gaji yang tidak berbaloi berbanding peningkatan cost sara hidup. Peluang kerjaya rakyat juga telah tidak berkembang. Biar tidak semua rakyat menghadapi masalah ini, namun kalangan B40 pasti menghadapinya, dan paling terkesan adalah generasi muda. Secara ringkas, saya rangkumkan bahawa negara dan rakyat sedang menuju jalan samar. 

(6) Anwar sedari tingkat pelajar sehingga kini belum puas dengan sikap rhetoricnya. Sikap inilah yang memukau banyak kepada sosok Anwar. Namun, sikap sebegitu mungkin "terbaik" bilamana belum punya tanggungjawab. Pada ketika sudah menduduki kerusi tertinggi negara, rhetoric tetap rakyat perhatikan namun hasilnya mereka tuntut. Bagi tempoh 15 bulan, itu merupakan tempoh yang cukup lama buat rakyat. Mereka sedang tersepit payah dan mereka perlukan pembelaan segera. Hakikatnya, masalah besar Anwar adalah sikap rhetoricnya. Di negara jiran, Indonesia pernah berpunya pemimpin yang cukup rhetoric iaitu Sukarno. Apa yang Sukarno hadiahkan buat Indonesia merdeka? Akhirnya, tidakkah Indonesia bergolak dalam kancah perpecahan bangsa dengan adanya pengaruh kominis. Tidakkah Malaya di awal kemerdekaannya dan Malaysia dan di awal pembentukannya menghadapi masalah sama. Fieldel Castro, Cuba sama wataknya. Apa jadi dengan Cuba sehingga kini?

(7) Para rhetoric, pada pengamatan saya akhirnya mereka akan mengada-ngadakan jalan pelarian escapism bagi menutupi kegagalan mereka. Khomenei, Iran umpamanya apakah dia cukup berjaya? Di Pakistan dan Bangladesh, sama sifat pemimpin mereka, sudah di manakan mereka? Anwar menjadikan peperangan beliau terhadap rasuah, bagi saya hanyalah rhetoric dan escapism. Saya cukup benci dengan perasuah, samada pemberi juga penerima atau peminta. Namun dari segi pendekatan membasmi rasuah, saya tidak ingin mencotohi China dalam hal ini, namun mungkin yang terbaik adalah Jepun. Saya kira Jepun tidak galau dengan manusia-manusia corrupt. Tumpuan Jepun adalah pada tatacara kerja. Anwar mendendangkan tatakelola baik, namun pengisiannya di mana? Atau dalam erti kata lain, reformasi governancenya di mana? Pada hemat saya, jika tumpuan kita adalah kepada manusia-manusia corrupt, maka pasti SPRM kita akan perlu pembesaran yang hebat. SPRM juga manusia dan berpunya nafsu. Namun jika tatacara kerja kita adalah betul, saya kira sistem kita akan dapat detect amalan tidak wajar sedang berlalu. Cuba renung dan fikir bagaimana Jepun melakukannya. Juga bagaimana agaknya para Malaikat bekerja pada jalan yang sangat taat kepada Allah? Saya sering mendengar betapa Anwar adalah pemikir dan pembaca yang hebat, pasti beliau nampak atau tahu jalannnya.

(8) Bagi saya, Allah telah menunjukkan jalan bagaimana masalah ekonomi negara dan rakyat negara ini dapat diselesaikan. Di sini sekali lagi saya yakin bahawa Anwar yang banyak membaca serta punya lingkaran perhubungan antarabangsa yang meluas, beliau pasti sedar bahawa satu-satunya negara "pariah" di tahun 1970an, kini sudah menjulang menjadi gergasi ekonomi kedua dunia dan sedang mara untuk menjadi terulung dunia. Apakah perjalan ekonomi China setara Turkeye di bawah Erdogan?  Dan negara terdekat yang menjejaki langkah China adalah Vietnam. Juga beberapa negara Afrika sudah jauh ke depan berbanding pada zaman mereka dipengaruhi Barat. Jika bukan China dan setaranya yang harus kita lihat, saya kira ratau Scandinavia - terutama negara-negara bekas jajahan Jerman, mereka juga berpunya cara yang unik dalam membangunkan dan mempertahankan ekonomi mapan mereka.  Tidakkah kita ingin mengkaji cara mereka dan merenggangkan diri dari prescription IMF. Saya mengira, seperti pengajaran Islam, jika kita ingin kuat, maka pribadi diri harus kita perkukuhkan. Mengambil sejarah Khalifah besar Islam, bagaimana mereka memperkukuhkan ekonomi negara dan rakyat mereka? Itu pada zaman gelap, dan mereka mampu. Kenapa kita di zaman terang bersuluh, kita terkapai-kapai bergantung harap kepada Barat contohnya. Saya nampak cara kita mengurus ekonomi kita, kita terlalu condong kepada Kapitalisma. Kita tidak berusaha keras melihat jalan Syara sebagai jalan terbaik. Apakah Islam adalah secondary kepada kapitalisma dan sebagainya? Tidakkah ini gagasan Anwar semasa dia sebagai pelajar, politikus jalanan dan pembangkang? Sekarang di mana rhetoric itu? 

(9) Rakyat Malaysia telah belajar dari sejarah 13 Mei, 1969. Juga politik jalanan dari 1998 sehingga kini tiada hasil ketaranya. Tiada untungnya politik jalanan dan keganasan. Rakyat Malaysia saya kira sangat bersabar. Namun janganlah terlalu terbiar. Maka dalam mengurus prihal kepentingan rakyat, rhetoric politik bukan jalannya tetapi - adat Melayu, Cina, India dan bahkan semua pribumi lainnya adalah mesyuarah dalam penuh keikhlasan dan ketelusan. Rakyat ingin terlibat sama dalam mengurus negara dan kehidupan mereka. Segala keributan samada dalam media sosial dan atau platform apapun, itu adalah petanda keperitahtinan rakyat Malaysia ingin menyumbang. Cuma cara one way rhetoric style Anwar, menjadikan mereka seperti "menentang". Sikap rhetoric Anwar harus diubah kepada mendengar dan inclusive. Cara inilah, saya kira terbaik jika Malaysia ingin damai dan makmur. Saya terfikir dan bertanya: " SAW bila dia bersama jemaahnya, apakah beliau dominance atau facilitating?".

(10) Anwar menjadi MoF Mahathir pada 1991. Pada tahun tersebut juga Anwar mendapat gelaran MoF terbaik Asia. Kini sudah 15 bulan menjadi MoF dan PM, tidak ada sesiapa mahu menabotkan dia Mof dan PM terbaik dunia ke?


Kuching, Sarawak
15 March., 2024




#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.