.

1/9/2024 SYIRIK DAN CURANG - apa ada bedanya?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - September 06, 2024

Share

& Comment

KECURANGAN:

Suatu waktu semasa saya masih bujangan sekitar lewat 1980an, saya dan rakan-rakan menyewa sebuah rumah di sekitar Kampung Gita, Kuching. Kenapa kami memilih tempat tersebut, kerana ianya berdekatan dengan Kubah Ria di mana pada sebelah malamnya mudah untuk kami makan malam. Dalam rumah itu kami berempat. Semua guru kecuali diri saya. Kebetulan ketiga-tiga rakan serumah saya adalah kenalan dari Kedah. Di hujung minggu terutama pada petang Jumaat rakan-rakan guru dari pelbagai tempat akan berdatangan. Teman-teman yang sering bertandang ke rumah kami rata-rata adalah dari Kedah-Perlis. 

(2) Di antara kami, ada seorang teman sedang mabuk; ketagihan asmara sebetulnya. Cuma janggalnya, teman wanitanya bertugas dan berasal dari Kuala Lumpur. Ini kira cinta antara dua darjat. Dia budak kampung dan bukan graduate. Dia bertugas mendidik anak-anak sekolah rendah di sebuah perkampungan terpencil di persisiran Lundu. Teman wanitanya biar juga seorang guru namun guru lepasan ijazah dan bertugas di sebuah sekolah bernama di Lembah Kelang. Percintaan mereka cukup tidak bening akibat terpisah oleh Laut China Selatan yang boleh bergelora kapanpun. Pada ketika badai membantai cintanya, kami seisi rumah jadi binggung. Dia akan menyepi, menangis tanpa segan silu. Tahan berjegal semalaman. Bahkan tidak makan seharian. Biar bulan mengambang juga gelap gelita, dia akan temanggu semalaman melontar pandang ke arah Malaya dengan sedu sedan mengalah suara burung hantu. Dia jadi seperti kehilangan punca lantaran sang tercinta minta dibebaskan kerana sudah ada calun pengantinya. Dia sekuatnya mahu terus bertahan biar gajiannya hampir sepenuhnya jadi taruhan. Tanggungjawabnya kepada kedua ibu bapanya sudah jauh terhumban hanya demi mengekal cinta yang saban waktu terus terkotak katik. Kami sebagai sahabat terus setia memberikan dokongan dan sedaya mungkin cuba mengalih galau cintanya kepada sesuatu yang boleh mengangkat darjatnya. Begitu lama kami berusaha, tetap gagal sehingga pada suatu hari layang-layang di tangannya biar dihulur seberapa panjang benangnya, akhirnya putus. Layang-layang melayang entah hinggap di mana. Hibanya dia tidak kepalang, menangis, mengila sehingga tangannya berlumuran darah dari pendarahan hidungnya. Dia jatuh sakit. Tubuhnya bagai kerangka cicak kubing. Cinta suci baginya, hampas bagi yang dia cintai. Dia akhirnya menjadi korban sebuah kecurangan.

(3) Minggu lepas, semasa di Kota Kinabalu, entah bagaimana saya terserempak dengan seorang teman yang telah lama menghilang. Kami biasa bertukar-tukar pengalaman tentang kerja. Dulu bila saya ke KK atau dia ke Kuching, kami pasti santai sehingga larut malam membaham teh tarik. Dia juga sudah bersara sejak dua tahun lepas dari sebuah GLC Kerajaan Sabah.  Pertemuan kami biar mesra, saya menduga dia sedang menghadapi entah kesulitan apa? Ketawanya agak hambar. Senyumannya jarang-jarang bahkan dia cukup mengambil masa lama untuk menghabiskan teh tariknya. Jika tidak dalam tempoh sejam kami berdua pasti sudah melahap 2 - 3 gelas.  Dia banyak melontar pandang ke laut. Saya jadi galau lalu bertanya: "Anything interesting going on in your life lately?". Dia melemparkan pandangan yang penuh mengerutu kepada saya lalu berkata: "I think I can trust you. I need your affirmation wrt my personal matter that I going to decide" lalu dia menghulurkan handphonenya kepada saya. "You browse through and read" ujarnya.  Saya melihat beberapa pamparan yang sepertinya dua kekasih sedang mabuk asmara melakukan pacaran cyber. Bahkan sebahagiannya cukup ghairah mengiorkan. Saya kembalikan hp beliau lalu mengusul: "Just tell me what exactly happening". Ringkas, dia menyatakan bahawa isterinya sedang selingkuhan dan minta perpisahan. Dia sedia untuk melepaskan isterinya, dengan suatu syarat bahawa dua anaknya harus isterinya lepaskan hak penjagaannya. Kami kemudian bungkam. Kami saling berpelototan - saling bertukar renungan tajam. "I need your strategic advice" katanya padat. 

(4) Saya tidak segera membalas. Saya mengajak beliau berkeliling mengambil angin. Perceraian adalah perkara enteng. Sekali lafaz segala-gala beres. Untuk seorang suami mendapat hak penjagaan anak, itu ibarat mengusung Jabal Nur kepada Muhammad SAW. Dalam budaya apapun, bila berlaku perceraian, ibu berpunya hak mutlak untuk mendapat hak penjagaan anak-anak. Benar, pintanya - langkah strategis mesti ada. Saya perlu berfikir sejenak. Kami lalu memandu sehingga ke Dalit Resort agak terkeluar dari Kota KK. Kami makan steak dan di situ saya memberikan beliau jalan yang saya kira terbaik. Pertama-tama, jangan bergaduh. Dia menuntut cerai, dan perkirakan itu sebagai petanda bahwa jodoh mereka sudah ke penghujung. Permudahkan saja, namun strategiknya, biar dia yang memohon ke mahkamah. Namun saya nasihatkan teman saya bahawa dia harus melantik peguam syarie untuk mengendalikan kes bagi pihaknya dan the must strategic step adalah pengakuan sang isteri kenapa dia memohon cerai. Pastikan bahawa permohonan ini adalah kerana dia hendak hidup bersama lelaki lain. Tidak usah dibangkitkan soal-soal kecurangan. Jangan sama sekali. 

(5) "Habis penjagaan anak-anak bagaimana?" dia bertanya dalam nada yang cukup resah. "Sabar" balas saya ringkas. Isterinya bekerja. Yang mengurus anak-anak mereka adalah orang gaji serta kini dirinya lantaran dia sudah bersara. Anak-anaknya juga masih bersekolah. Jadi tidak mungkin isterinya mampu menghantar dan mengambil anak-anak tersebut. Selama ini, urusan menghantar dan mengambil anak adalah driver pribadi teman saya. Saya nasihatkan agar soal anak juga jangan dibangkitkan. Bila lafaz cerai telah dibuat, biarkan sang isteri membuat keputusan sendiri. Jangan minta dia untuk keluar dari rumah. Dia ada hak untuk terus tinggal di rumah mereka selama edahnya. Saya dengan tegas mengatakan kepadanya: "You must plan and play your game well. Work with your lawyer to organize all the solid evidences for your next case to gain custody of your kids. I can't tell you now, just work with your lawyer".   

(6) Sebetulnya asas saya adalah mudah. Teman saya sudah berumur 62 tahun, sedang isterinya baru 32 tahun. Teman saya menikah lambat. Saya yakin masalah kelunturan keghairahan menjadi punca segala-gala. Isteri masih pada peringkat peak age. Teman saya pula saya berkira sudah pada tahap down turn stage. Banyak perkara berada dalam antagonistic cycle. Juga adalah menjadi lumrah bila asmara sedang bertahta di hati beraja di mata, banyak perkara akan menjadi kelabu asap. Bagi saya, perhatikan saja tupai melompat-lompat dari pohon ke pohon, ada waktunya, sang anjing yang sabar mengejar akan meratah tupai itu dengan penuh kepuasan. 

(7) Cinta, adalah suatu rasa yang cukup anih. Biar Hamka, seorang anak muda yang cukup tinggi harakah Imannya, namun cinta menjadikan dia berantakan seketika. Keruntuhsan cinta boleh membubarkan sabar. Bijaknya Hamka, gadang cintanya membuahkan suatu pemberontakan budaya Minang padanya; lalu terbitlah Tengelamnya Kapal Van De Vick dan segala tulisan falsafah dan keIslaman yang hebat-hebat. Dua tragedi di atas dan bahkan banyak lagi yang telah saya saksi dan bahkan alami, menimbulkan rasa untuk saya menyelami cinta dan kehancuran cinta - kenapa Allah mengadakan zat cinta pada zat manusianya?

SYIRIK:

Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.  Firman Allah yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” – (Al-Ma’idah : 72). Saya tidak ingin membahaskan tentang syirik secara mendalam, apa yang ingin saya lihat dan hujahkan, betapa biar Allah sekalipun tidak sekali-kali mahu diduakan. Maksud ringkas syirik adalah menduakan Allah. Atau dalam erti kata lainnya, kita menyandarkan dan atau mempertaruhkan diri kita kepada hal-hal bikinan dan atau kekuasaan selain dari kudrat dan ketentuan Allah. 

(2) Jika dilihat dari segi hukumnya, syirik adalah dosa yang paling besar dan tidak terampunkan. Allah sepertinya tidak memberikan biar second chance bagi pelaku syirik selagi dia tidak bertaubat dan kembali berIman. Pelaku syirik Allah terus nyah ke Neraka Jahanam. Sebegitu dahsyat akibat menduakan Allah.

(3) Dalam tulisan-tulisan saya terdahulu, saya ada menyatakan bahawa dalam diri seorang manusia ada roh Allah. Konsep roh yang saya gunakan tidak dari sudut bahasa Arab yang tepat. Saya menterjemah bacaan saya bahawa "in us, Lord breath His soul ..' Jadi konsep roh yang saya gunakan adalah takrifan mudah kepada istilah soul dalam tulisan Inggeris yang saya baca (Genesis 2:7). Kini saya menyadari istilah roh mungkin lebih tepat digantikan dengan zat. Maka kini saya mengutarakan konsep bahawa pada diri kita sebagai makluk Allah yang paling sempurna, kita membawa zat Allah. Apakah zat? Zat merupakan istilah yang membawa erti yang cukup luas dan relatif. Oleh kerana kita memiliki zat Allah, maka  saya berpandangan kita mewarisi ciri-ciri dan sifat-sifat tertentu Allah - biar tidak semuanya, juga tidak mungkin setarafNya. Jika ciri-ciri dan sifat-sifat Allah adalah maha iaitu tertinggi, kita hanyalah  microscopicNya. Dalam erti kata lain, kita boleh menjadi cerminan Allah (Corinthians 3:18) terutama dalam memenuhi sifat-sifat kita sebagai khalifahNya di bumi ini. 

PANTANGAN ALLAH dan pantangan manusia ciptaanNya.

Benarkah kita ini cerminan Allah? Apa dan di mana dalilnya? Dalil secara jelas mutlak seingat saya, saya tidak pernah membaca dan atau mendengarnya. Namun sebegitu saya akan terus mencari. Di dalam Al Quran mungkin tidak sejelas apa yang tertulis di Taurah dan juga Injil lantaran Umat Muhammad SAW sangat beda logik akal mereka. Umat para nabi sebelum Muhammad SAW, segalanya harus bersifat mukjizat nyata. Umat-umat terdahulu, mereka mesti disajikan bukti nyata yang terang dan bersuluh. Umat Muhammad SAW, tidak Allah yakini dengan mukjizat-mukjizat seperti terdahulunya lantaran (faham saya) Allah mahu manusia berpegang kepada sifat agung manusia iaitu mereka berupa mahluk yang boleh berfikir (seperti dialoq Allah dan Jibril bila Allah mengatakan bahawa dia akan menciptakan manusia). Saya yakin, bila Al Quran mengatakan bahawa manusia itu mahluk Allah nan paling
sempurna dan indah, bukan hanya pada fizik dan fungsiannya, namun manusia Allah ciptakan dengan akal. Akal mendorong manusia untuk berilmu sebagai alat untuknya menjadi khalifah Allah.  Lantaran kesempurnaan manusia lalu Allah manjakan manusia dengan segala rahmat yang belimpah ruah. Allah jadikan semesta Alam tunduk kepada manusia termasuk Iblis yang mulanya adalah mahlukNya yang sangat mulia dan sangat berilmu. 

(2) Allah menjadikan diriNya berpunya sifat mahapengasih dan mahapenyayang atas sifat mahaagung mahaberkuasaNya. Manusia diperingatkan supaya tahu dan memperakui akan sifat-sifat Allah tersebut - maka kalimat Allahuakbar dan Bismillah HirRahman NirRahim harus setiasa mengisi jiwa dan membasahi bibir kita.  Atas sifat Allah yang mahaberkuasa itulah maka manusia yang dijadikanNya sangat istimewa maha dikasihi dan maha disayangi olehNya. Segala rahmat Allah kurniakan kepada manusia. Pinta Allah kepada manusia, taatilah Dia. Jangan sekali-kali menduakan Dia. Jika lain-lain keonaran ada ampunan dariNya, pada saat Dia diduakan, maka laknatNya ke Neraka Jahanamlah balasannya. Menduakan Allah hukumnya adalah syirik dan tiadalah keampunan dariNya. Syirik menjadi pantang larang yang tiada tolak ansurnya bagi Allah. 

(3) Cemburu Allah sepertinya bangkit menyala saat Dia diduakan. Dia yang menjadikan kita sempurna, Dia melimpahi dan melebihkan kita dari segala-gala, apakah pantas untuk kita berlaku curang - syirik kepadaNya? Nikmat apa lagi dariNya yang harus kita dustakan? 

(4) Biar bagaimana hebatnya Allah diduakan, tiada kesan ke atasNya. Dia tetap mutlak diriNya. Cuma bagi yang menduakan Allah, mungkin yang Allah tidak dapat bertolak ansur adalah kerana perbuatan itu akhirnya menjerumus manusia ke jalan bodoh dan kebodohan yang terlalu dahsyat. Kebodohan manusia itu akhirnya mengheret mereka ke jurang jahilliah yang dahsyat. Sejarah telah membuktikan semua itu. Jika itu terjadi, maka manusia pastinya bukanlah ciptaanNya yang terbaik. Itu bukan tujuan azali manusia Allah ciptakan. Itu saya kira pantangnya kenapa menduakan Allah itu suatu dosa tidak terampunkan. 

(5) Sepertinya, bencinya Allah kepada mereka yang menduakanNya iaitu syirik terhadapNya, maka menduakan juga menjadi patang larang kepada manusia. Kecurangan boleh membawa siksa lirih yang tidak terhitung kepada yang terlibat. Manusia yang dicurangi akan terpukul dengan segala perit yang sukar ditaksirkan. Kesannya adalah terlalu dalam dan meluas yang sering kita lihat sehingga tidak dapat digarap oleh akal. Banyak kejadian kecurangan membawa padah yang sangat buruk bagi yang mengalaminya. Benar ada yang dapat melewatinya dengan baik, namun tetap sebelum sesiapapun yang dicurangi dapat kembali bangkit normal dan atau lebih baik, namun dia perlu melewati waktu lirih yang lama dan itu cukup membuang masa kemanusiaan hakikinya. Natijahnya, kecurangan sangat membawa padah yang berat dan itu boleh merosakkan jalan fikiran dan emosi sesiapa. Manusia yang terpukul berat kerana kecurangan, dia boleh bertukar menjadi manusia yang bukan manusia. Akal warasnya boleh lenyap. Jika itu terjadi, maka dia bukan lagi menjadi manusia seperti tujuan azali penciptaannya. Itu pastinya Allah tidak sukai. Nan berlaku curang dan yang subahat dengan kecurangan itu, dosanya juga adalah terlalu besar.

(6) Kecurangan sesama manusia boleh merosakkan si mangsa. Terzalim sebetulnya. Cinta dan kasih sayang menuntut banyak pengorbanan. Ibarat kata pepatah Melayu - buang emak, buang saudara, demi cinta, lautan apipun sangup direnangi. Lantaran itu, bila sebuah cinta dicurangi, sang manusia menjalani kepedihan lara yang parah. Jika Iman tipis, sang mangsa boleh saja membelakangi Allah. Maka perbuatan curang sesama manusia, apa lagi sehingga robohnya Kota Melaka dan Papan di Jawa tidak terdirikan, akibat Islaminya cukup dahsyat - berdosa besar. Curang sesama manusia memberikan dua akibat - di dunia, kita menzalimi sang mangsa, kepada Allah, jika sehingga yang terzalim boleh menjadi bukan manusia seperti seharusnya kejadiannya dia, maka kita sebetulnya merosakkan suatu insan yang telah Allah ciptka cukup sempurna menjadi manusia mungkin tidak berguna. Kita sebetulnya khianat kepada sesama manusia dan Allah yang menciptakannya. 

RUMUSAN:

Kecurangan adalah sebuah pengkhianatan. Khianat adalah sebuah kezaliman. Maka kecurangan = menduakan = pengkhianatan = kezaliman (terhadap mangsa juga diri). Bagi Allah mudah. Teruskan dan "Demi masa ...". Sesama manusia, juga tunggu, karma adalah pasti dan saat karma mendatang musibahnya mungkin berganda-ganda lirih dan pedihnya. Pada Allah pantang syirik. Pada manusia, pantang curang. Kita adalah cerminan Allah maka berusahalah untuk bersih dan suci kerana Allah itu mutlak luhur murni.

Labuan, Sabah
6-8 Sept., 2024 


#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.