.

2/6/21 KERANA NAFSU MAKA KITA COVICTED BY COVID 19 ...

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - June 24, 2021

Share

& Comment

Di dalam Al Quran, ada dikemukakan suatu konsep iaitu “kerosakan pada tubuh manusia berpunca dari sekepal daging”. Mengikut banyak tafsiran “kekepal daging” yang dimaksudkan itu adalah hati. Kenapa hati jadi punca kepada segala masalah manusia? Jika dilihat betul-betul, hempedu jauh lebih “buruk maksudnya dalam adat budaya Melayu”, namun hempedu bukan punca kerosakan (dari sudut bahasa) tubuh kita. Di katakan hati itu menyimpan kalbu. Kalbu mencerna cita rasa. Kalbu adalah pusat bagi segala cita rasa atau rasa hati. 

(2) Namun jika dilihat dari sudut sains, segala apapun prilaku manusia adalah dicerna dan kawal oleh otak. Pandangan umum sains, apapun yang berlaku pada tubuh kita adalah di cerna dan kawal oleh otak. Dalam prihal rasa dan perasaaan, sains berpendapat bahawa sistem limbik otak merupakan bahagian yang mencerna serta mengawal rasa dan perasaan kita. Biarpun hati yang menimbulkan rasa, namun pencetus kepada cita rasa adalah otak lewat sistem limbik. Fahaman mudah saya, hati merupakan titik tercetusnya; terzahirnya rasa, sedang otak iaitu sistem limbik adalah pencerna sebenar akibat dari ransangan pelbagai deria lain tubuh seperti mata, kulit, hidung, telinga dan lidah. Saya berkira dengan hujah tersebut, Al Quran adalah benar dalam mengatakan bahawa “kelebihan Adam AS dari segala mahluk lain adalah kerana akalnya (otak) dan akallah yang mencetus segala cita rasa manusia yang setakat ini dilihat diterbitkan dari hati”. 

(3) Dalam satu kajian Pemetaan Pola Tuburan Titik Rasa, An Atlas of The Human Body That Maps Where We Feel Emotions jelas menunjukkan bahawa pusat rasa itu bertaburan di seluruh tubuh kita tergantung dengan jenis rasa tersebut. Rajah sisipan di sebelah menjelaskan maksud saya tersebut. Walau bagaimanapun, secara umum kita dapat melihat bahawa otak (kepala) dan hati (dada) jelas menunjukkan peranan ketara dalam pancaran haba segala macam perasaan. Maka dapat kita simpulkan, otak dan hati adalah dua organ tubuh kita yang saling menyelirat networking dalam mencerna dan atau mengawal sesuatu perasaan. 

(4) Dalam tulisan saya terdahulu, saya telah menyatakan, bermula dari Feb., 2020 sehingga kini 2021 Negara ini telah didatangi virus Covid 19. Di sepanjang 2020, kita dapat mengawal wabak Covid 19 dengan baik dan kita mendapat sanjungan dunia atas keupayaan kita mengekang wabak tersebut. Namun menjelang 2021, keadaan kita menjadi parah. Punca asalnya adalah pelancung China dari Singapura dan akhirnya warga Malaysia yang juga mulanya membawa pulang virus tersebut dari Singapura. Dunia tahu, asas ekonomi Singapura adalah perlancungan. Inilah sebuah Negara yang meraih keutungan besar lewat perlancungan, mengalahkan Arab Saudi biar di sana Hajj dan Umrah adalah fardhu dalam Islam. Singapura sangat terkenal dengan pelacung dari China - kini menjadi Negara punca segala macam penyakit pelik-pelik, kita pula adalah penumpang di atas untung nasib Singapura. Maka wabak di Singapura, akhirnya akan menyeberang laju lewat Tambak Johor ke Negara ini. 

(5) Sepertinya lumrah bagi Negara ini, kita berjaya DALAM apapun, namun kita sukar bertahan. Cuba lihat sejarah pelbagai kejayaan kita, kita sukar untuk bertahan, malah selepas sesuatu kejayaan kita menjadi punah sukar untuk bangkit. Ambil contoh Pesta Bola Merdeka. Kerananya kita cukup gah di tahun-tahun 1960-70an. Menjelang 1980an sehingga kini, kita sukan tersebut dalam pelbagai kemelut yang membunuh. Sebegitulah nasib sukan Bulu Tangkis, Hockey malah Taqraw. Sama dalam prihal Musabaqah Al Quran. Dalam tempoh Musabaqah (1960-80an) kita sangat cemerlang. Pada saat Musabaqah berganti Tilawah (2000an), Majlis tersebut menjadi semakin kelam. Kini saya tidak nampak Majlis itu mendapat penghormatan baik dari masyarakat Melayu sendiri sekalipun. Kenapa? 

(6) Apa yang saya sebutkan itu adalah hal-hal kecil saja. Prihal kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi rakyat, suatu hal yang sangat besar dan penting, kita juga kian kandas. Kita sudah cukup kencang maju sejak 1980an sehingga 1990an. Kita mula terkecundang menjelang 1998. Kenapa? 

(7) Orang Melayu mempunyai dua ciri yang kurang berada di kalangan rumpun bangsa lain. Pertama melatah. Kedua mengamuk. Melatah jika dilihat dari sudut akal, ianya adalah tindakan involuntary otak. Ianya adalah perlakuan tak sadar otak. Keberadaan sifat sebegitu, menunjukkan bahawa Melayu ada sifat dan mudah melatah. Melatah dalam keadaan azalinya, cukup menghiburkan. Seorang yang melatah jika diusik secara terkawal merupakan suatu kelelucon yang sangat mengembirakan. Cuma, ada satu tabiat melatah Melayu yang sangat membawa padah. Mungkin sifat melatah ini setara dengan apa yang Inggeris katakan sebagai hothead, panas kepala, atau naik angin. Bila Melayu sudah naik angin, dia berkemungkinan besar akan mengamuk. Jikapun tidak, dia akan merajuk. Pokoknya, sifat melatah jenis naik angin sering membawa Melayu ke jalan gelap selaras dengan apa Al Quran katakan: “Sesudah diberi jalan terang, maka dipilih jalan kelam, pasti ke gaung jahanam perginya kita”. 

(8) Mana-mana Negara di dunia ini, mereka sedang mengamalkan cara-cara yang serupa dengan Malaysia dalam menghadapi wabak Covid 19. SOP tetap serupa. Kita bertutup muka, tidaklah di India rakyatnya berkelubung sari. Kita sering mencuci tangan, tidaklah di Arab Saudi yang kering kontang, rakyatnya tidak mandi. Kita berkurung di rumah, tidaklah rakyat serba bebas di Amerika berpesta Rock N’ Role saban matahari terbenam. Amalan sosial dan perubatan kita serupa sahaja di mana-mana. Bahkan kita mulanya sangat berjaya lantaran kita patuh dengan tatacara WHO. Kita diperakui sangat berjaya oleh WHO. Namun kemudian kita koyak rabak. Kenapa? 

(9) Allah itu Huakhbar sifat teragungnya. Jika Allah itu mahaberkuasa, maka dalam permulaan Dia hendak membuat manusia, kenapa perlunya Dia berbicara dengan Malaikat dan Iblis? Dia mahaberkuasa, maka Dia pasti sudah tahu akan sikap Malaikat dan Iblis di atas niatNya. Jika Dia sudah tahu, maka apa perlunya Dia berbicara dengan mereka? Sesungguhnya, di situlah letak mahabijaksana Allah. Sesungguhnya, keberkuasaan Allah itu terletak pada kemahabiksanaanNya. Dengan adanya perbicaraan sebegitu, maka tercatit di dalam KalamNya untuk teladan manusia akan prihal nafsu. Kerana nafsu besar Iblis, maka Iblis akhirnya hilang tahta agungnya untuk terus berada di Syurga dan mempimpin para Malaikat. Jika Iblis dapat mengawal nafsunya, saya yakin kini mereka akan menjadi cukup terhormat lantaran mereka akan bebas di dunia juga di Syurga. Pastinya gandingan Iblis dan manusia yang luhur akan menjadikan Syurga dan dunia tiada bezanya. Kini lantaran nafsu, Iblis hanya mampu bergelumang dosa dan laknat bersama manusia di dunia sahaja, sedang Malaikat yang patuh terus menikmati segala rahmat biar sebelum Kiamat. 

(10) Semasa wabak Covid 19 melanda dunia, ada Negara yang berjaya, ada Negara yang gagal. Brunei, berjaya dan kekal berjaya. Bagaimana? India gagal kenapa? Bahkan Itali, Peranchis, Britain dan Amerika mereka sedang terkial-kial. China yang menjadi punca kepada virus tersebut, kian pulih. Sesungguhnya, Allah maha adil. Dia sentiasa memberikan pertunjuk. Cuma dimanakah nafsu dan akal kita dalam memerhati pertunjukNya itu? 

(11) Covid 19 dan segala penyakit sosial di Negara ini tidak lain adalah berpunca dari nafsu politik. Sejak 1998, kita telah terpesong dari bekerja keras membina Negara. Kita menumpu untuk berpolitik dari untuk bekerja. Bermula dengan Anwar Ibrahim naik angin bila dipecat dari kedudukan kekuasaannya, akhirnya menjurus kepada rakyat Malaysia melatah hasil hamburan segala tuduhan. PKR didokongi PAS dan DAP telah membaham UMNO dengan segala macam tuduhan. Akhirnya ini membawa kepada Mahathir juga naik angin lalu merajuk dan meletak jawatan. Pembaca tahu apa rentetan sejarah politik Negara seterusnya. Cuma, bila keadaan dharurat politik menjadi parah, maka barulah rakyat naik angin, melatah dan menumbangkan kerajaan BN pada 8 Mei, 2018. Biar untuk memudahkan cross referencing, saya sebutan kelompok rakyat "memberontak" ini sebagai Kelompok Rakyat A. 

(12) Kelompok Rakyat A ini merupakan kalangan rakyat berpelajaran. Rata-rata rakyat bandar yang sangat terkesan oleh masalah ekonomi Negara yang tidak mantap. Mereka faham krisis yang melanda Negara di bawah pimpinan Najib Razak. Mereka naik angin untuk membela Negara dan mengambil langkah berani dengan menumbangkan Kerajaan yang mereka lihat tidak mampu membawa Malaysia keluar dari kemelut sosio-ekonomi semasa dan berpanjangan. Namun tidak seluruhnya rakyat Malaysia tergolong dalam Kelompok A. Masih ramai yang tidak setuju dengan Kelompok A dan mereka saya sebutkan sebagai Kelompok B. Kelompok B ini besar juga jumlahnya. Mereka naik angin dan meluat dengan Kelompok A yang kelihatan mahu meranapkan UMNO. Kelompok B ini kebanyakan adalah Melayu Tegar, dan “Melayu UMNO”. Melayu tegar dan Melayu UMNO menguasai majoriti kerusi parlimen khasnya di kawasan luar bandar. Sesungguhnya “Melayu UMNO” inilah yang paling hebat gerak langkah mereka menikam Kerajaan PH. Mereka berpunya kepentingan yang sangat besar di atas kekuasaan UMNO dalam Kerajaan. Maka semasa dan selepas PRU 14, kedua-dua kelompok ini saling menyerang dan meminggirkan di antara satu sama lain. Perkara ini memuncak, bilamana Kerajaan dokongan Kelompok A, Pakatan Harapan (PH) gagal membawa turun janji bulan dan bintang yang mereka hamburkan buat rakyat. Kegagalan itu menjadi buah serangan Kelompok B ke atas PH dan akhirnya sebagahian dari Kelompok A berpaling tadah lalu membentuk pelbagai blok politik yang lebih mencelarukan keadaan. 

(13) Sesungguhnya politik Negara semenjak pertengahan 2019 sudah bercampur baur antara tuba dan susu. Nyanyian dangdut Madu dan Racun menjadikan rakyat khayal lalu keliru untuk memilih yang mana - kanan atau kiri. Di sebelah PH, Mahathir sudah menjadi madu dan boleh juga racun. Sebegitu juga dengan Anwar. Di pihak lawan, UMNO dan PAS juga tiada bezanya. DAP, GPS, Warisan dan segala macam parti-parti kecil-kecil, semua seperti mahu menangguk di air keruh. Masing-masing pihak mahu mengaut untung buat diri masing-masing tanpa memikirkan soal keutuhan berNegara. Nafsu politik membawa padah kepada Negara. Khususnya DAP, kemenangan PH menaikkan angin mereka untuk membalas dendam. Dengan kejatuhan PH, DAP kembali berubah naik angin untuk kembali berperang. DAP mulai menjadi Melayu., suka naik angin dan melatah dan lupa susila Confuciusm, di mana susila the Art of War tidak diperlakukan baik. Keadaan ini terus menegangkan politik dan social Negara. Biar menang apa lagi kalah, wajah politik Negara adalah kekal caci maki dari senyum sabar memikul dan tanggungjawab.

(14) Masalah Covid 19 sedang kita depani. Jika masalah ini tidak dapat kita atasi dalam tempoh enam (6) bulan lagi, maka Negara akan menghadapi malapetaka sosio-ekonomi yang dahsyat. Kita sudah mendepani masalah Covid 19 sejak Mei, 2020. Sudah setahun, masalahnya bukan mereda malah mengila. Kita sedang melakukan langkah-langkah yang sedang menyakitkan rakyat. Paling parah, lantaran sudah setahun lebih kerancakan ekonomi kita tersekat, apakah Simpanan Wang Negara kita masih cukup untuk menampung keperluan asasi kita untuk katakan enam bulan lagi? Simpanan Wang Rakyat usah dipersoalkan, sememangnya sudah bobrok. Banyak rakyat sudah menghampiri Breaking Point dalam persaraan harian mereka. 

(15) Maka, wajar nasihat Majlis Raja-Raja agar Parlimen bersidang disegerakan. Kerajaan seperti sedang kebuntuan cara. Bahkan banyak langkah-langkah yang dijalankan saling bertentangan dan bercanggahan dengan keperluan hakiki rakyat. Biarlah debat di Parlimen diadakan bagi mencari jalan keluar terbaik. Tumpuan debat Parlimen boleh hanya dibataskan kepada soal-soal Covid 19 dan menjaga kepentingan sosio-ekonomi rakyat. Lain-lain hal saya kira Speaker Parlimen berpunya hak untuk membatas perkara-perkara yang hendak didebatkan. Saya yakin, dengan melaksanakan debat Parlimen akan menjadi hikmah kukuh Raja-Raja Melayu untuk tindakan selanjutnya. Saya yakin, pengalaman panjang Institusi Raja-Raja Melayu dari mula ianya wujud, pasti boleh membawa Negara ini keluar dari kemelut apapun, khasnya kemelut politik kini. Muhyiddin harus tidak punya rasa was-was apa lagi takut untuk memanggil Persidangan Khas Parlimen dari semasa ke semasa demi percambahan fikiran bernas untuk Negara. Saya tidak nampak, isu pengulingan kuasa harus dijadikan hambatan untuk Muhyiddin jadi was-was apa lagi takut untuk memanggil Persidangan Parlimen Khas. Kita tidak harus bacul dalam permainan politik. Tetapi kita juga jangan mengadaikan Negara demi kebaculan dan atau nafsu sendiri, kerana pada saat rakyat naik angin, hukumannya mungkin tersangat pedih. 

(16) Dalam masa yang sama, biarpun Majlis Raja-Raja bepandangan bahawa Dharurat tidak diperlukan selepas 1 Ogos 2021, namun dengan langkah-langkah ketat mendatang pencegahan Covid 19 apa mungkin kita akan dapat membuat kemajuan hebat dalam 3-6 bulan lagi? Muhhyidin telah mengariskan langkah-langkah mengekang Covid 19 bagi masa-masa ke depan. Namun apa yang Muhyiddin terangkan adalah sasaran susutan kes Covid 19. Langkah bersepadu Covid 19 dan pemulihan ekonomi tidakpun kelihatan. Maka, jikapun boleh, apakah tahap kecergasan dan keupayaan ekonomi Negara pada masa itu? Jika Covid 19 tidak dapat dibedung dalam tempoh 3-6 bulan lagi, mampukah ekonomi Negara untuk menampung tuntutan pembelaan sosial yang rakyat terpaksa hadapi. Sesungguhnya, kesan sosial kegalauan politik 2021 ini apakah sama dengan kesan sosial pada kecelaruan politik 1969? Pastinya tidak. Pada 1969, asas sosial Negara masih boleh ditampung oleh ekonomi luar bandar. Pada masa kini, ekonomi luar bandar bukan lagi pilihan rakyat Malaysia. Ekonomi moden kita sedang punah dan kesannya pasti sangat menderitakan rakyat. Rakyat kita sudah 70 peratus di bandar. Kehidupan desa atau kampong bukan lagi pilihan mereka. Mereka pasti sudah tidak boleh mengundur ke kampong untuk mengatasi masalah kehidupan mereka. Kampung sudah tidak serasi dengan mereka. Maka penyelesaian masalah Covid 19 dan kemacetan kehidupan rakyat perlu diselesaikan secara beriringan. 

(17) Saya menjangkakan, come August 2021, keadaan ekonomi Malaysia akan sangat meresahkan. Biar tidak dapat pergi jauh-jauh meninjau, namun saya sudah mula saksikan rakyat sedang diam pedih. Hanya menanti waktu, sedetik kilat memancar, riuhlah mereka mencurah air di tempayan. Pada saat hujan tidak seperti diharapkan, maka gejolak hati rakyat akan membakar hebat. Keadaan ini pasti menyuburkan kemelut politik Negara. Namun begitu, kita, sebagai rakyat, masih ada satu sandaran yang tinggal. Bukan Parlimen. Bukan PRU. Saya melihat PRU malah Parlimen dalam keadaan gejolak politik kini, akan mengheret Negara ke jalan lebih parah. Maka Raja-Raja Melayu perlu mengambil langkah berani atas bidangkuasanya untuk berusaha memantapkan suasana politik Negara. Penyelesaian kepada segala apapun di Negara ini kini adalah kemantapan politik. Jalan demokrasi mungkin bukan pilihan kita. Jika Mageran adalah jawabannya, maka jalankanlah Mageran. Sesungguhnya, biar Bapa Demokrasi sekalipun, tetap dia melihat ada kelompangan besar pada demokrasi. Dan sesungguhnya, jika kita melihat kepada Al Quran, ada perkara ayang Allah membiarkan fikiran kita menentukannya dan ada yang Dia tidak bertolak ansur sedikitpun. Dalam menyelamatkan Negara ini, ada ketikanya keberanian dan ketegasan luar biasa harus kita lakukan.

(18) Bagi saya, Muhyiddin sukar untuk berjaya mentadbir Negara dalam keadaan diri dan suasana keliling kekuasaannya kini. Pertama, masalah kesihatan Muhyiddin. Kedua sokongan dalam PN yang yo yo sifatnya. Ketiga, pastinya bantaian dari pihak di luar Kerajaan yang “menghalalkan semua cara” boleh mengugat kepercayaan rakyat kepada Kerajaan pimpinan Muhyiddin. Masalah ini semakin parah bila mana cara Public Relationship (PR) Kerajaan samada lemah seperti di zaman PH atau terikut-ikut cara BN. Kerajaan seperti belum sedar, cara PR mereka cukup meluatkan. Sesungguhnya rakyat dalam keadaan terdesak, kesempitan parah. Maka mereka menjadi hyper sensitive. Prihal ini Kerajaan dan pemimpin politik tidak sadari atau ambil enteng. Keempat, suasana politik tidak menentu Muhyiddin menjadikan sistem sokongannya berada dalam enertia lengai, serba-salah bahkan mungkin sabotaj. Muhyiddin tidak dapat menguasai penuh sistem pentadbiran Kerajaan yang ada. Di peringkat antarabangsa Kerajaan kini bukanlah Kerajaan Demokrasi Sah. Kerajaan kini adalah demokrasi samunan. Saya menduga hanya kerana dunia juga tidak stabil, maka kita kurang diserang secara jelas. Jika tidak, kita ibarat tikus mondok di persada politik dunia. Kerana itu, Nilai Ringgit dan suasana pelaburan asing kita kian goyah.  last but not least, saya yakin Muhhyidin sukar mendapat dokongan ahli koprat dan cerdik pandai Negara. Dalam mengatasi kemelut besar, dokongan golongan ini adalah penting. Tun Razak berjaya membawa Negara keluar dari kemelut kaum di awal 1970an lantaran faktor ini. Sebegitu juga bagi Mahathir.

(19) Maka saya mengira, langkah pewira yang Muhyiddin boleh lakukan pada masa ini adalah agar Kabinet yang ada dibubarkan dan digantikan dengan Kerajaan Mageran atau Interim. Muhyiddin wajar mengundur diri atau step aside. Biarlah Majlis Raja-Raja memilih sesiapa tokoh Negara yang dipercayai oleh sistem yang ada untuk mengambilalih kepimpinan Interim Kerajaan untuk tempoh 6-12 bulan. Tumpuan Kerajaan Interim ini adalah menghapus Covid 19 dan mengukuh kembali asas-asas ekonomi Negara. Dalam masa yang sama, sistem Parlimen kita perlu diperkemas agar demokrasi subur dan kembang baik di Negara ini. 

(20) Cuma jika Kerajaan Mageran perlu dilaksanakan, maka kita harus hati-hati. Pertama-tama, ianya adalah sebuah Kerjaan Interim yang diterajui oleh para pakar yang mampu bekerja keras dan tersusun untuk selamatkan Negrara dari Covid 19 dan keranapan ekonomi. Kerajaan ini tidak boleh berpolitik. Tempoh waktu mesti dittetapkan singkat (6-12 bulan). Majlis Raja-Raya harus mempunyai kuasa-kuasa mengawas Kerajaan Mageran ini. Di mata dunia, Kerajaan ini mesti mendapat pengiktirafan baik. Pemimpin tunggak Kerajaan Mageran mesti sesiapa yang dunia hormati. Kita perlukan pemimpin yang tiada kepentingan apapun melainkan hanya demi Malaysia untuk memulihkan keadaan kita kini. 

(21) Saya melihat, lebih banyak wang Negara boleh diselamatkan dan digembelingkan jika kita dapat diurus oleh Kerajaan Interim (yang kecil namun berkuasa menyeluruh). Kerajaan kini adalah Kerajaan Pasar Borong - siapa berani menawar lebih, dia untung. PRU 15 mesti diadakan sebelum atau bila Kerajaan Mageran atau Interim telah tamat tempoh. Hakikatnya, Muhyiddin bagi saya boleh diibaratkan sebagai “hati Negara”. Keihklasannya dalam membela Negara, pasti boleh membuka hatinya untuk rela memilih jalan melepaskan. Biarlah yang mampu memikul tanggungjawab membina kembali Malaysia. Muhyiddin boleh kembali jadi tonggak pendokong hebat, JIKKA dia adalah pewira pembela Negara, Bangsa dan Agama. Biar dia akan dilihat sebagai PM yang "gagal" namun akhirnya dia akan dikenangi sebagai PM yang ikhlas membela rakyat sanggup melepaskan kepada yang lebih berkemampuan.

Kuching, Sarawak
24 June, 2021

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.