.

2/7/21 COVID 19 - peluang bagi membina benak dan jiwa merdeka.

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 12, 2021

Share

& Comment

 

Ungku Aziz Omar memperkenalkan konsep minda, mengambil maksud dan tafsiran dari istilah mind dalam bahasa Inggeris. Konsep minda yang Ungku Aziz tekankan adalah merujuk kepada gaya, rupa, cara dan kandungan fikiran kita. Sememangnya, the mind, sukar diterjemah apa lagi ditafsir secara tepat ke dalam bahasa Melayu. Pendirian saya tentang bahasa Melayu adalah mudah. Kenapa harus kita gunakan istilah bahasa lain selagi bahasa Melayu berpunya istilah yang serupa dan atau hampir-hampir serupa. Asas pendirian saya adalah - keperluan perhubungan, a communication requirement di antara Melayu haruslah pada landasan yang mudah dimengertikan oleh Melayu. Bahasa tinggi apa lagi saduran dari bahasa asing yang membuatkan perhubungan di antara Melayu menjadi samar dan atau tidak menepati tujuannya, seharusnya tidak kita amalkan. Cara perhubungan yang menimbulkan banyak salah dan atau sikap "masuk kelinga kanan keluar telingga kiri" bukanlah cara perhubungan yang baik.

(2) Di dalam dunia Melayu, perhubungan kita adalah dengan orang Melayu. Tumpuan dan tujuan kita adalah agar orang Melayu benar-benar faham tentang apa yang kita utarakan. In the Malays’ world our communique is for and among the Malays. Maka, gaya dan bahasa perhubungan kita harus pada istilah dan cara yang membolehkan orang Melayu mudah faham. Itu pertama. Kedua, bahasa Melayu mesti dipertahankan keasliannya. Keaslian bahasa Melayu adalah benteng jati diri Melayu. Kita tidak usah terlalu banyak debat, betapa jikapun Melayu tidak bercakap Melayu, tidak akan hilang darah Melayunya. Jika ada yang berkata sebegitu, kita tidak perlu peduli kepada mereka. Bagi saya inilah apa yang saya namakan sebagai golongan lalai dan bodoh sombong. Maka kita jangan membuang masa melayani mereka. Al Quran jelas tentang sikap yang harus kita ambil bila kebenaran itu ditolak; biarkan mereka. Kedua, dengan kita terus melayan, meladeni mereka yang bersikap sebegitu, yang maju mereka, yang mundur kita. Maka kenapa harus kita yang benar mengambil sikap yang boleh memundurkan diri.

(3) Penjajah Inggeris mentohmah “Melayu sebagai pemalas”.Lantarn itu, Melayu mereka ladeni sebagai rakyat kelas ke tiga. Mereka ada kepentingan ekonomi dan politik menindas. Abdullah Munshi lalu Mahathir, juga sering melaungkan Melayu Pemalas. Cuma, Abdullah dan Mahathir punya niat 180 darjah berbeda dari Inggieris. Maka dari sudut jatidiri budaya Melayu, saya juga ingin menutarakan agar Melayu jangan malas memelihara bahasa kita.

(4) Ungku Aziz Omar bukan calang-calang orang. Dia adalah cendikiawan Melayu ulung. Pasti istilah yang dia gunakan benar dan tepat. Siapa saya untuk mempersoal kebijaksanaan bahasa Melayu Ungku Aziz. Untuk itu, pendirian saya mudah sahaja. Ungku Aziz pendidikan dia adalah Barat. Sistem pendidikan dia (segala kuliahnya) juga berteraskan Barat. Lantaran itu, jalan pemikirannya juga pastinya Barat dan sangat terpengaruh dengan Barat. Aziz ingin melihat Melayu maju dari kacamata Barat. Saya ingin Melayu maju pada asas-asas Melayu Islami.

(5) Bagi saya istilah minda = benak. Istilah benak, saya kira Melayu sudah lupakan. Mind merujuk kepada isi pemikiran otak. Otak = brain. Namun, otak bukanlah mind. Tetapi mind = dari dalam otak. Benak dalam Melayu saya kira adalah merujuk kepada perisian otak, buah fikir yang ada dalam otak. Maka dalam konsep berfikir dan merasa pada Melayu dulu-dulu wujud istilah benak fikiran dan benak hati. Benak, sekilas pandang bermaksud fikiran (rasa = niat) yang masih tersimpan jauh di dalam otak (hati). Ianya belum terlahir sebagai fikiran (persasaan). Dalam konsep Sains, fikiran = fikiran bilamana ianya terlahirkan sebagai pendapat dan atau tindakan. 

(6) Mungkin Melayu mahu melupakan benak = minda lantaran benak juga bermaksud sifat bodoh dan atau gelombang air pasang, tidal bore. Benak (disebut sebagai benok) dalam loghat Kelantan bermaksud bodoh. Yang membezakan benak (benok) Kelantan dan benak BM baku adalah dari segi kaitan ayatnya, context of the word atau sentence. Bagi orang Sarawak, benak adalah gelombang air pasang yang wujud akibat pertembungan antara air pasang dan surut di sungai-sungai yang bermuara luas namun cetek seperti di Batang Sadong dan Batang Lupar. Namun jika kita buka kamus DBP, benak = fikiran. Namun bagi saya, benak = isi fikiran dan atau niat. Minda adalah gantian istilah benak BM baku. Suatu sifat penderhakaan serta sifat malas mempertahan bahasa sendiri.

(7) Maka mengambil dari konsep yang saya nyatakan di para (6), tajuk tulisan saya benak dan jiwa adalah merujuk kepada dalam bahasa Inggerisnya sebagai the mind and the heart. Cuba lihat di sini Melayu juga jauh lebih hebat dari Inggeris. Dalam prihal tulisan ini; jiwa dalam bahasa Melayu ditakrif sebagai heart dalam Inggeris. Tidak tepat. Jiwa boleh juga ditertejemahkan sebagai soul dalam Inggeris, namun ianya akan lari dari prihal yang ingin saya bicarakan. Maka, janganlah kita terlalu mudah menterjemahkan Melayu ke Inggeris dan Inggeris ke Melayu, bukan kerana apa tetapi Melayu malas meneliti kekuatan bahawanya sendiri. Apa yang saya cuba buktikan adalah bahasa Melayu jangan sekali-kali dinilai dari falsafah dan ciri budaya bahasa lain bangsa. Bahasa kita mempunyai kekuatan dan asas temadun yang kukuh. Cuma lantaran kita malas dan atau tidak mahir dalam kedua bahasa, maka kita sering mengambil jalan mudah - meminjam dan memuja.

(8) Berbalik kepada tajuk di atas, jika kita ikuti, PKP akibat wabak Covid 19 yang telah kita lalui dalam  pelbagi wajah sejak Mei 2020, telah menimbulkan banyak keresahan dalam masyarakat kita. Kita sudah heboh dengan gelaja bunuh diri. Gejala kemurungan akibat kebosanan juga sudah mula dibicarakan. Saya yakin PKP Mei 2020 - PKP 2021 telah banyak menimbulkan gejala sosial buruk dalam masyarakat kita. Saya percaya masalah kekeluargaan seperti - pengabaian, keganasan, perceraian, kecurangan, dsb sedang hebat berlaku. Cuma lantaran Negara ini masih ada “amalan malu” dan kurang kecekapan kutipan data, maka semua ini terbenam tanpa heboh. Masalah kecurian juga saya kira pasti sedang meningkat.

(9) Saya melihat, khususnya rasa bosan akibat PKP semua berpunca pada benak dan jiwa terpenjara, tidak merdeka. Kita melayani benak dan jiwa kita mengikut nafsu dan atau ego biasa kita. Kita mengekalkan nafsu dan atau ego kita pada keadaan Covid 19 tidak wujud. Kita tidak melihat nafsu dan atau ego kita harus berubah lantaran keadaan telah berubah. Kita ingin bebas sepertinya pada keadaan biasa-biasa. Tanggapan dan harapan kita, hidup kita harus selamanya pada jalan tenang dan mudah. Bila kebebasan kita disekat lantaran keadaan berubah, maka benak dan jiwa kita dari mengambil jalan cerdik kita melayani rasa memberontak. Lantaran kita mengambil jalan ingin memberontak, namun tidak dapat bertindak, maka benak dan jiwa kita bergelora secara dalaman, kita terbakar tersendiri - bosan kemudian murung dan akhirnya kecewapun muncul. Bila sikap kecewa sudah mengakar luas, benak akan mengusul agar kita mengambil sikap di luar dari kewarasan. Kita menjadi putus harapan dan atau mencari jalan keluar yang cukup merosakkan.

(10) Ibarat kapal pelarian terkapar dilaut luas, yang mudah untuk dilakukan adalah samada berkelahi untuk berebut hidup atau menangis ketakutan. Sedang, pada jalan di mana apapun sudah terdesak, kenapa kita tidak mendekati diri kepada Allah, bagi yang Muslim? 

(11) Bagi membunuh kebosanan dan apapun rasa terdesak kita, sebagai orang Melayu, apa lagi kita sering gah hendakkan Islam menjadi Adeen kita, maka saya mengusul kenapa kita tidak mengamalkan Adeen Islam secara peribadi biarpun ianya bukan Perlembagaan dan Undang-Undang Negara ini. Kita tidak perlukan RUU 355 untuk dilulus di Parlimen dan digazet sebagai Undang-Ungand Negara maka baru kita mengamalkan Adeen Islam. Secara individu kita boleh amalkan Adeen Islam pada batas kemampuan kita. Caranya tidak susahpun. Dalam tempoh PKP adalah tempoh masa paling baik untuk kita mengkaji Adeen Islam diri kita.

(12) Bagimana amalan Adeen Islam boleh menjuruskan kita kepada jalan benak dan jiwa merdeka? Konsep benak dan jiwa merdeka yang saya usulkan mudah. Benak dan jiwa merdeka adalah bilamana kita tidak terkesan oleh apapun. Kita berpunya jalan pemikiran dan perasaan tersendiri tentang apapun dalam keadaan apapun. Dalam istilah lain, kita tidak harus sentiasa terikut-ikut oleh keadaan. Kita boleh saja menantang bahkan, tidak mengambil indah dan atau mensesuaikan diri. Benak dan jiwa = merdeka bilamana kita kental tidak terkesan oleh apapun. Kita benar-benar merdeka berdaulat; boleh mencari dan melalui jalan selamat yang seharusnya akal waras dapat fikirkan. 

(13) Saya pernah diceritakan oleh teman Jawa saya semasa berada di Amerika, betapa Jawa kurang senang dengan Melayu, lantaran Melayu itu "Biar terkurung dari atas, dari bawah dan dari sisi, akalnya terus memutar untuk lolos". Maka jika pengamatan Jawa itu benar tentang Melayu, maka kenapa PKP Covid 19 menjadikan Melayu beku dan kaku?

(14) Adeen Islam = Al Quran. Bacalah dan hayatilah Al Quran. Di dalam Al Quran banyak cerita yang mengisahkan bagaimana para nabi dan rasul sentiasa tertekan. Apa sikap mereka dan apa pertunjuk dari Allah? Semua ada di sana. Pokoknya, kita baca Al Quran tetapi kita tidak mengerti apa yang kita baca. Benak dan jiwa kita tidak bersama lidah dan mata kita yang membaca. Cuba baca dan teliti, nabi dan rasul mana yang tidak pernah tertekan hidup mereka? Ibrahim AS- tertekan bila Ismail AS terlahir. Yakub AS tertekan bila anak-anaknya tidak mendengar kata. Musa AS tertekan bila Firaun mula bersikap kejam terhadap kaumnya. Apa lagi bila berdepan dengan umatnya yang khianat dan bacul. Malah Yunus sanggup terjun untuk bunuh diri lantaran tertekan. Daud AS tertekan bila rakyatnya engkar. Sulaiman AS yang kaya raya berkuasa tetap tertekan bila rakyatnya jadi pemalas dan bacul. Kemudian Isa AS apa tidak tertekan bila Yahudi dan Rom bergabung menentangnya?

(15) Muhammad pada usia remaja sehingga umur 40 tahun, dalam dunia penuh kejahilan apakah beliau tidak tertekan? Bagaimana sikap beliau? Tidakkah beliau memilih jalan khalwat? Kenapa beliau memilih jalan khalwat? Pada zamannya, kepada siapa dia boleh berguru? Tiada Ungku Aziz di zaman itu. Yang melimpah = kejahilan dan kekejamahn. Maka berguru dengan batu lagi baik. Tetapi berbeda denga kita kini. Al Quran sudah ada. Ratus jutaan buku sudah ada. Jika Muhammad mengambil jalan khalwat untuk mencari benak fikir dan jiwa mulia, maka kenapa kita dalam tempoh PKP tidak menyelongkar Al Quran. Jika dari Mei 2020 - Mei 2021 kita hari-hari menatap dan mengeledah Al Quran, agak-agak kita punya masa untuk bosan, murun dan kecewa? Saya yakin, hari-hari adalah masa yang sangat pendek. We becoming much more positive then our past, In Shaa Allah.

(16) Juga cuba perhati, pada saat Muhammad SAW sedang menghadapi fitnah hebat tentang isteri-isteri beliau, apa yang dia lakukan? Apa nasihat Ali Abi Thalib RA kepada beliau? Beliau khalwat. Apa yang beliau perbuat? Tidakkah akhirnya setelah habis khalwat, kalendar Islam menjadi berpunya 30 dan 29 hari sebagai julat harinya. Apa kesan julat hari dalam sebulan sebegitu? Apakah lantaran khlawat sendiri, Muhammad SAW tidak muncul sebagai yang lebih hebat sikap dan siaftnya? Maka kenapa kita orang Melayu yang ingin menjadi Muslim yang baik, mudah lupa dan atau tidak mampu melihat Islam dan Muhammad SAW dari sudut benak dan jiwa yang lain dari kebiasaan yang kita lihat dan dengar? Apakah mungkin lantaran Melayu rajin melayan nafsu atau Melayu pemalas menyelidiki Islam = Al Quran dan Alam?

(17) Sesungguhnya, saat nafsu kita layani; Islam menghampar Iblis menjadi contoh kesan buruknya. Jika Iblis tidak melayani nafsu ego dan riak mereka, pastinya mereka menjadi penghuni Syurga dan dunia yang merdeka dan berdaulat sehingga kini. Lantaran ketidak upayaan untuk membendung nafsu, maka Iblis bergelumang laknat di bumi dan akhirnya ke Neraka jahanam mereka berkesudahan. Tidakkah Melayu sedar?


Kuching, Sarawak

11 Julai, 2021

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.