.

3/7/21 KEMELUT KINI NEGARA - apa jalan keluarnya?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 14, 2021

Share

& Comment

Saya melihat, Negara ini sedang menghadapi kemelut politik, ekonomi, sosial dan keselamatan yang sangat hebat. Covid 19, kecelaruan terhadap Islam dan ketegangan kaum saya sifatkan sebagai kecelaruan sosial - kemasyarakatan. Kemelut politik kini bermula dari Krisis Kewangan ASIAN pada 1997. Kita tahu, pada 1998, Mahathir telah bercuti rehat selama dua bulan, lalu menyerahkan kepada Anwar untuk memangku jawatan Perdana Menteri, PM. Mahathir berehat, bukanlah sebenar-benar beliau mahu berehat, tetapi saya berkira beliau sedang meneliti apakah tindakan lanjut yang boleh beliau ambil setelah mengambil langkah bertentangan dengan susila IMF dan Kewangan Dunia. Mengikut IMF dan sistem kewangan dunia, pada saat Negara dalam krisis kewangan maka jalan penyelesaiannya harus pada jalan Kewangan, Fiscal. Di antaranya adalah dengan menaikan Bunga Pinjaman. Asas kepada langkah sebegitu adalah agar pendeposit terus kekal menyimpan wang mereka, dan khusus bagi pelabur asing, mereka tidak akan membawa wang mereka keluar. Aliran keluar wang dapat disekat dan atau dikurangkan.

(2) Maka dalam tempoh ketiadaan Mahathir dan semasa Anwar memangku jawatan Perdana Menteri dan dalam masa yang sama dia sebagai Menteri Kewangan, MoF suatu gabungan kedudukan yang sangat berkuasa, maka Anwar telah menuruti panduan IMF. (Sila lihat sisipan geraf di sebelah. Ini adalah kadar bunga untuk deposit. Bagi pinjaman pastinya lebih tingg). Langkah itu cukup bertentangan dengan pilihan Mahathir (berdasarkan pengalaman kita di awal 1980an dan 1990an). Di samping itu Anwar juga telah melakukan langkah-langkah hebat dalam membatas perbelanjaan Negara, atas tujuan bagi mencapai Perbelanjaan Berimbang, Balanced Budget or Expenditures dan penjimatan. Pertimbangan Anwar adalah berteraskan Kewangan, Fiscal dan tidak pada jalan ekonomi makro. Negara sepertinya di persimpangan antara mementingkan antara accounting dan economic management. Di tambah dalam masa yang sama, Anwar dikatakan mempunyai sifat-sifat di luar tabii dan salah guna kuasa, maka akhirnya pada 2 Sept., 1998 Anwar dipecat dari segala kekuasaannya. Pemecatan Anwar itu telah menimbulkan kembali kemelut politik Negara. Anwar seperti kita ketahui cuba bangkit dan membela diri dengan teriakan Reformasi. Sebelum Anwar dibawa masuk ke dalam UMNO dan Kerajaan pada 1982 politik Negara juga sangat bergolak terutama semasa Husein Onn menjadi PM. Sebelum 1982, Anwar dan PAS berupa gandingan seteru UMNO yang sangat hebat. Kelicikan Mahathir dapat meranapkan hasrat PAS untuk menjadikan Anwar sebagai juara dan akhirnya Presiden mereka (cita-cita Asri Muda). 1982 - 1996, politik Malaysia cukup mantap. Negara bergerak pada landasan ekonomi makro yang cukup hebat sehingga kita menjelma menjadi Tiger of Asian.

(3) Sesungguhnya, saya secara peribadi sedang berfikir, Allah dalam menjaga seluruh isi alam, apakah Dia mementingkan Accounting atau Macro Economic Management jika kita ingin membuat perbandingan untuk mendapatkan kebenaran? Maka seekor Covid 19 virus, di mana ada untungnya? Namun saat wabak Covid 19 virus merebak dan mengalami mutasi, kesan baik macro ekonominya apa? Samalah, apakah untungnya seekor cacing tanah? Pada ketika cacing tanah dan ayam wujud bersama, nilai ekonominya sangatlah besar. Al Quran adalah pertunjuk, alam adalah guru yang telah Allah bentangkan jika kita boleh berfikir.

(4) Saya berkira, cara pengurusan kewangan IMF Anwar telah meretakkan kerjasama erat di antara Perbendaharaan (MoF dan BNM) dan Unit Perancang Ekonomi, EPU Jabatan Perdana Menteri. Kedua agensi pusat ini, selama pengalaman saya, mereka cukup saling akrab dalam cara bekerja. Dalam apapun mengenai kewangan dan ekonomi Negara, mereka tidak akan saling bercangahan. Suasana kerja kurang harmoni antara keduanya, saya kira mulai tersemai pada 1998. Saya yakin, bila dua gergasi perkhidmatan awam ini sudah tidak sehaluan, maka banyak dasar-dasar kewangan pastinya tidak selari dengan dasar-dasar ekonomi makro Negara dan sebaliknya. Keadaan ini akhirnya telah mewujudkan kelompok-kelompok dalam perkhidmatan awam. Paling parah bila Reformasi menumpu serangan tohmahan kepada perkara-perkara Corruption, Cronyism and Nepotism, maka saya berkira rakyat umum dan bahkan sebahagian pentadbiran awam telah menerima akan penyakit tersebut; kita akhirnya berpecah-pecah

(5) Akibat Krisis Kewangan Asian 1997 lalu disusuli pemecatan dan akhirnya gerakan Reformasi Anwar pada 1998, bermula dari rentetan peristiwa-peristiwa hitam itulah, Malaysia mulai mengalami ketidak mantapan kewangan, ekonomi dan politik. Mahathir akhirnya terpaksa berundur pada 2003. Dari 2003, dasar dan tumpuan ekonomi dan kewangan Negara berubah hebat. Dengan pentadbiran baru, harapan agar masalah kewangan dan ekonomi kita selesai, tidak terjadi malah kita perlahan-lahan mulai mengundur. Abdullah yang digambarkan sebagai Mr Clean diharapkan dapat mensucikan pentadbiran Negara dari wajah-wajah corruption, cronyism and nepotism. Beliau gagal untuk berbuat sedemikian. Keresahan sosial rakyat mulai terasa. Rakyat hampa dengan tawaran Conservative Mr Clean Abdullah Badawi. Pada pemerhatian saya, sikap Abdullah yang terlalu conservative tidak lain adalah untuk menangkis dakwaan reformasi yang sedang bergelora. Abdullah terperangkap untuk menuruti langkah kewangan dari ekonomi tajaan Anwar dalam menyelesaikan masalah Negara. Ternyata dia salah dan kemelut kewangan dan ekonomi kita tidak mereda. Bahkan corruption, cronyism dan nepotism menjadi lebih jelas.  Lantas kerana itu, Mahathir mulai menyerang Abdullah. 

(6)  Bila Najib memimpin Negara, serangan bertali arus Reformasi mungkin telah mengelabahkan beliau. Kemelut ekonomi terus berleluasa. Rakyat mulai kegelisahan tidak berkesudahan. Najib akhirnya terjebak dan menjebak rakyat dalam politik wang. Segala ini mengundang Mahathir untuk sekali lagi campurtangan dan berlakulah perubahan Kerajaan pada 8 Mei, 2018. Mahathir kemudian kembali menerajui kepimpinan Negara. Namun kelompok Anwar tidak sabar untuk menanti mengambilalih kerusi Mahathir, beserta serangan bertalu-talu UMNO-PAS, akhirnya, Mahathir hilang tumpuan untuk bekerja lalu berlaku perubahan Kerajaan secara demokrasi ala-rampasan. Muhyiddin bergabung dengan seteruyna membentuk Kerajaan yang ada pada 3 Mac, 2020 (?) dan politik Negara kini benar-benar mengelirukan rakyat. Kerajaan yang ada mulai dilihat sebagai Kerajaan gagal dalam menangani Covid 19 dan ekonomi Negara.

(7)  Pada 7 Julai, 2021 Muhyiddin telah melakukan sedikit rombakan kabinet dengan perlantikan jawatan TPM. Seperti saya nyatakan dalam tulisan sebelum ini, kesihatan Muhyiddin mungkin menjadi teras kepada perlantikan tersebut. Kedua, mungkin juga adalah yang utama, inilah percaturan politik agar wujud sedikit kemantapan untuk Muhyiddin terus bergerak menangani masalah ekonomi Negara. Masalah Covid 19, saya kira Muhyiddin telah pertanggungjawabkan kepada Hishamuddin untuk mengembeling segala usaha bagi mengatasi masalah itu secepat mungkin. Pengamatan saya, kita mempunyai pelbagai kementerian dan agensi untuk menangani masalah Covid 19. Kebiasaannya, bila terlalu ramai yang terlibat, dan penyelarasan dan command tidak sempurna, maka berlakulah banyak kepincangan. Muhyiddin saya kira melihat Hishamuddin dapat memainkan peranan penting dalam penyelarasan dan command prihal Covid 19 ini. Maka jalan keluar terhadap masalah Covid 19 Negara sudah ada light at the end of the tunnel. In Shaa Allah berkat kesepakatan dan perbincangan teliti, banyak langkah-langkah selanjutnya akan lebih bersifat menyeluruh, terselaras dan cekap.

(8)  Dalam tulisan ini, saya ingin menumpu kepada permasalahan ekonomi Negara. Punca kepada segala masalah kita adalah ekonomi. Biar, politik lebih terang menjadi dalang kepada segala masalah Negara, namun jika Kerajaan yang ada mampu mengatasi masalah ekonomi,  In Shaa Allah saya yakin, masalah-masalah lain akan turun diredakan. Asas telahan saya adalah berdasarkan pesanan SAW: "Kemiskinan (masalah ekonomi) akan membawa kepada kekufuran". Di sebahagian negara-negara Afrika seperti Ethiopia, Rwanda, Tanzania, Côte d’Ivoire, Benin, dan Ghana pada masa kini, pada saat pemimpin mereka menumpu dalam mengatasi masalah ekonomi Negara, maka masalah-masalah politik, keselamatan dan sosial mereka kian mereda. Rwanda yang suatu masa dahulu penuh dengan segala macam bentuk kekejaman, kini sedang berubah menjadi the Singapore of Africa.

(9)  Banyak pihak meletakkan kepercayaan terhadap Parlimen dan PRU sebagai asas untuk menyelesaikan masalah politik Negara. Dalam keadaan biasa, bagi saya itulah jalannya. Namun dalam keadaan kini di mana khasnya masyarakat Melayu yang telah berpecah kepada pelbagai parti kecil-kecil seperti UMNO, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Pejuang, Muda, Putera dsb dan semua itu saling tidak percaya antara satu sama lain, maka Melayu sebagai tonggak asas politik Negara belum mencapai kesepakatan yang baik. Barisan Nasional yang menyatukan parti-parti utama berbilang keturunan kian punah. Maufakat Nasional (MN) yang diasaskan oleh UMNO-PAS juga kian pudar dan terkini Perikatan Nasional (PN) gabungan Bersatu-PAS-UMNO juga kian menyepai. Jajaran baru parti-parti Melayu masih tergalang oleh masalah dalam parti-parti berkaitan khasnya UMNO yang masih parah berkabilah-kabilah. Biar Bersatu, UMNO, PKR, Pejuang, Muda, PAS dan Amanah, setiap satunya berpunya hasrat untuk memperkecil yang lain. Setiap satu ingin menjadi juara. Akibatnya, perang antara parti-parti Melayu tidak akan pernah reda. Malah perang dalaman juga terus bersepoi-sepoi. Oleh itu, setiap satunya akan memperguna landasan apapun untuk menonjolkan diri dan memencilkan musuh. Biar di Parlimen, kepenting rakyat pasti akan menjadi agenda akhir mereka dan yang utama adalah agenda kekuasaan masing-masing. 

(10) Maka jikapun PRU diadakan segera, suasana di Negara ini akan menjadi lebih parah. Lantaran setiap parti dan kelompok ingin berebut kuasa; hal-hal perkauman dan keagamaan akan menjadi modal yang cukup laris. Lantaran itu Parlimen dan PRU bukan cara terbaik untuk meredakan penyakit kronik - politik Negara pada masa ini.

(11)  Cuba kita menoleh sejenak ke sejarah politik dan kekuasaan Melayu. Malaya, Sabah dan Sarawak pernah terjajah oleh British atau proxy British. Malaya terjajah oleh Portugis pada 1511, kemudian Belanda 1641 lalu British pada 1794 - 16 Sept 1963 dengan Jepun pada 1941-1945.  Sabah pula mula di kuasai oleh proxy British iaitu North Borneo Chartered Company bermula dari 1882 sehingga 1942. Dari 1942-1945 Jepun sempat menjajah Sabah, sehingga kemudian kembali ke tangan British pada 1946-1963. Sabah berada dalam gengaman Barat selama 88 tahun. Sarawak pula pernah dijajah oleh East Indies Company di bawah James Brooke dari 1841-1946. Jepun sempat menjajah Sarawak dari 1942-1946. Dari 1946 - 21 Julai, 1963, Sarawak ditadbir terus oleh Kerajaan British.

(12) Malaya telah terjajah oleh Barat (dan Jepun) selama 452 tahun. Sabah pula selama 88 tahun dan Sarawak selama 122 tahun. Bagaimana keadaan politik Melayu Malaya, Sabah dan Sarawak di era penjajahan Barat dan Jepun? Cuba teliti, sejarah Melayu Malaya, Sabah dan Sarawak di era sebelum penjajahan Barat dan Jepun. Apa persamaannya? Sesungguhnya, sejarah membuktikan bahawa poilitik Melayu pada dua masa tersebut adalah serupa - Melayu Malaya, Sabah dan Sarawak berada di tangan pentadbiran autokratif yang berupa penghulu, raja, gabenor dan atau panglima perang. Demokrasi dalam erti kata yang sebenar tidak wujud. Rakyat diurus bukan pada jalan demokrasi sebenar tetapi secara pentadbiran autokratif. Benar, ada waktunya, Melayu di Malaya, Sabah dan Sarawak pernah mengecapi zaman kegelimangan, namun itu semua tidak kekal malah punah sehingga Melayu berpecah belah menjadikan diri mereka di zaman sebelum penjajahan Barat dan Jepunpun sebagai sitting duck buat penjajah lainnya (Siam, Srivijaya, Majapahit, Brunei, Sulu dan sesama kelompok Melayu). 

(13) Di awal pasca Malaysia, Tunku Abdul Rahman cukup bersifat demokratik. Beliau sangat bertolak ansur. Sifat itu akhirnya memakan dirinya dan mengorbankan ekonomi Melayu. Inilah kemudiannya, tanpa bangsa Melayu sadari menyebabkan Razak Husein, PM ke dua Negara mengambil sikap Executive Administration sebagai cara dia membawa Malaysia untuk bersatu padu dan sejahtera. Razak berjaya dan meninggalkan banyak lagenda kepada Negara khasnya bagi Melayu. Namun, di era Husein, retak antara kaum mulai muncul kembali, maka Husein Onn berusaha mengembalikan Malaysia ke landasan Rule of Law iaitu asas kepada pentadbiran secara demokrasi,  Husein gagal, bilamana PAS dan DAP yang telah Razak jinakan kembali menghantui politik Negara. Lalu bila Mahathir, sebagai seorang yang sedar akan kelemahan demokrasi-diplomasi Tunku dan Husein Onn telah melakukan Reformed terhadap pendekatan Razak. Dari mengambil langkah Executive Administration, Mahathir melakukan one step ahead dengan melaksanakan Corporate Governance. Mahathir reformed public-based administration Razak kepada corporate oriented governance. Bagi saya, pendekatan Razak lebih cenderung kepada cara public institutional-based British, sedang Mahathir lebih kepada Liberal economies. Kedua-duanya tidak salah, perubahan keadaan dan masa menuntut ianya sebegitu. Malang, bila Abdullah yang menonjol dirinya sebagai Mr Clean sebagai antidot Mahathir yang ditohmah Corruption, Cronyism and Nepotism beliau mengambil langkah Conservative namun lantaran rakyat sudah mulai menerima konsep liberal koperat Mahathir dasar ekonomi dan kewangan konservatif Abdullah akhirnya memakan tuan. 

(14) Najib, jika tanpa tunduk kepada keperluan politik wang, beliau mampu melonjakkan lagi Malaysia jauh ke depan. Hakikatnya, di bawah Najib, setiap Negeri malah Kementerian jauh lebih liberal tentang cara pendekatan mereka. Namun tsunami rasuah, persekongkolan, dan kerabatan demi perniagaan serta kuasa, Najib akhirnya terkecundang. Terkecundangnya Najib lebih membebankan rakyat. Biar Mahathir kemudiannya yang menyambut Negara bobrok peninggalan Najib, namun gejolak politik lalu kemudian serangan Covid 19 menjadikan Mahathir tidak berdaya. Tempoh masa dua tahun terlalu singkat untuk Mahathir dapat bekerja dalam keadaan segala keputusannya perlu bersifat demokratik.

(15) Maka akhirnya, Kerajaan kini perlu menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi menangani masalah ekonomi. Bagi saya, tepat sekali langkah Muhyiddin, pertama membentuk ketumbukan khas untuk tangani Covid 19 dan MPN untuk memulihkan ekonomi Negara. Cuma bagimana keduanya harus diselaraskan agar saling mengukuh di antara satu sama lain, saya berkira Muhyiddin sudah menemukan caranya. Kedua-dua ketumbukan ini ie Covid 19 dan MPN, politik harus diasingkan dari mereka. Tumpuan dan cara kerja mereka mesti bersifat penuh professional. Saya percaya penyelarasan hebat serta melarikan ketumbukan tersebut dari politik In Shaa Allah akan memberikan sinar cerah buat Negara. Persoalannya jika JK Covid dan MPN bebas dari politik, bagaimana ianya harus beroperasi bilamana Kabinet adalah sangat politcally polarised?

(16) Seperti saya katakan terdahulu, PRU dan Parlimen tidak dapat menjernihkan segera masalah politik Negara. Bahkan kemungkinan Parlimen dan PRU dalam keadaan kini boleh menambah parah keadaan Covid 19, ekonomi, keselamatan dan sosial Negara. DYMM YDPA saya kira, pasti dapat melihat betapa sejarah politik bangsa ini perlukan sedikit sikap autokratif untuk membolehkan semua menumpu kepada pembinaan Negara. Sebegitulah Melayu telah diurus sebelum penjajahan Barat, semasa Penjajahan Barat, di era Razak dan Mahathir; berkemungkinan sebegitulah seharusnya Negara ini kemabli diurus untuk tempoh 3- 5 tahun mendatang. Cuma kita harus hati-hati langkah pemulihan ekonomi Negara banyak melibatkan unsur-unsur asing. Mereka yang duduk di dalam MPN harus mereka yang dihormati dari segi kepakaran dan kewibawaan di peringkat dalam dan luar Negara.

(17) Saya berkira, Melayu perlukan masa bertenang antara 3-5 tahun untuk kembali kukoh dan unggul. Saya yakin, rata-rata orang Melayu masih sayangkan UMNO. Biar Mahathir, Muhyiddin, Tengku Rezaleigh dsb semua masih sayangkan UMNO. Saya yakin UMNO adalah ketemadunan politik Melayu. Cuma UMNO kian tempang membawa lumpur. Lumpur itu perlu pembersihan. UMNO, Bersatu, Pejuang, Muda, dan Putera perlu kembali bersatu dan murni dalam memperjuangkan nasib Bangsa, Agama dan Negara ini. Jika itu dapat dilakukan, maka saya yakin PKR dan Amanah juga akan terpengaruh. Reform akan berlaku dalam DAP agar menjurus kepada gagasan yang benar-benar bercorak Malaysia yang berbilang kaum, adat dan agama. Saya yakin, "demi masa" akan mulai sedar betapa politik retorik itu tidak membawa kemajuan apapun kepada Melayu. Semua ini perlukan masa 3-5 tahun untuk kembali jernih. Makanya, jalan penyelsaian adalah DYMM YDPA perlu melihat betapa kaedah-kaedah pentadbiran adalah jalan terbaik untuk memulihkan segala, In Shaa Allah.

(18) Pemerhatian saya, tiada sebuah Negarapun di rantau Asia yang maju dengan amalan demokrasi citarasa Barat. Bahkan Afrika dan Amerika Latin juga mempunyai masalah serupa. Russia tidak akan kekal sbegini jika Putin mengamalkan demokrasi. Tuntutan agar kita demokratik, saya kira adalah tuntutan chauvinistic kelompok dan pribadi.


Kuching, Sarawak
14 Julai, 2021

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.