.

3/12/2020 POLITIK LUKA DAN MELUKAI .... dilema Melayu untuk maju.

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - December 17, 2020

Share

& Comment

UMNO DAN MELAYU:

UMNO dan Malaya kemudian Malaysia sukar dipisahkan lantaran UMNO merupakan tunjang politik Malaya dan Negara sejak ianya tertubuh pada 1946. UMNO adalah lambang keutuhan dan martabat Melayu dan Malaya. Tanpa UMNO, hakikatnya Melayu saya yakin pasti masih merangkak meminta-minta tanpa darjat. Dari 1946-2020, saya berkira UMNO sudah tiga kali menuju liang lahad. Pertama pada 1951 bila Onn Jaafar pengasas dan Presiden pertamanya meninggalkan Parti tersebut. Kedua pada 1986 dengan perebutan tampuk pimpinan antara Mahathir dan Rezaleigh sehingga membawa pengharaman UMNO. Pada 8 Mei, 1998, UMNO pertama kali kehilangan kuasa sejak penubuhannya. Syukur kekalahan UMNO pada 2018 tidak sama dengan kesan "kekalahannya" pada 1969. Mungkin kerana faktor Mahathir, maka kekecewaan dari kekalahan pada 2018 dapat dibendung dari menjadi suatu kekalutan yang dahsyat seperti 1969. Kini UMNO sebetulnya sedang di ambang ketaktentuan yang sangat hebat. Saya berkira UMNO benar-benar dalam dilema. Melayu benar-benar dalam dilema.

NATIJAH DILEMA MELAYU:

(2) Cita-cita Mahathir dan harapan Melayu, pada detik jam 2400 pada 31 Disembar 2020, Melayu In Shaa Allah akan  dapat mempersembahkan Negara terhormat Maju kepada dunia Islam dan dunia
seluasnya, namun kini sepertinya pada detik itu Melayu harus sujud pada hakiki Dilema Melayu. Sejak dalam tempoh memperjuangkan kemerdekaan dari penjajah British sehingga merdeka, Perlembagaan Negara sesungguhnya telah meletakkan Melayu dalam dilema tidak berkesudahan. Punca kepada segala dilema kita adalah kerakusan kita dalam mengejar kuasa (dan kesenangan). Lantaran ingin cepat merdeka, kita menerima Perlembagaan Ala Indian British sebagai perlembagaan kita. Saya melihat Perlembagaan British India adalah sama dengan roh perlembangaan India yang telah British adakan bagi menjerat India sehingga bila-bilapun. Agenda imperialist British tersemai hebat dalam Perlembangaan Negara ini. Saya melihat Papua New Guinea contohnya, kini terus terperangkap oleh segala macam masalah lantaran "pengasasnya" buru-buru mahukan kuasa sehingga siapapun menjadi Perdana Menteri Papua New Guinea, dia hakikatnya "tidak berkuasa" untuk merobah rakyatnya. Kita serupa.

MAHATHIR BADI (AXIS) BAGI SEGALA MASALAH:

(3) Sesungguhnya UMNO sentiasa dilanda gelora. Gelora UMNO bukanlah ujian dalam perhitungan theologynya. Gelora UMNO hanyalah mainan politik untuk politik (sebahagian besarnya). Pada pasca merdeka, pimpinan UMNO Tunku juga mengalami pergolakkan hebat, atas sikap "tak apa Tunku". Cuma untuk seberapa ketika "segala pertelingkahan tersebut" dapat diredakan. Sebetulnya Tunku bukan hanya menhadapi tentangan dari Mahathir, namun Dr Ismail, Timbalannya juga banyak perselisihan dengannya, namun keberadaan kalangan wise men seperti Syed Nahar, Syed Nasir, Syed Albar, Senu Abdul Rahman dsb di dalam UMNO, maka perselisihan tersebut dapat dikawal baik. "Kemelut Tunku-Mahathir" yang membawa kepada pengunduran Tunku, bagi saya adalah lanjutan kepada kemelut Tunku-Dr Ismail. Cuma "the young Mahathir" mengambil langkah jauh lebih "ganas" berbanding Dr Ismail untuk memaksa Tunku berundur. Dari segi usia, Dr. Ismail adalah 10 tahun lebih "dewasa" dari Mahathir.

(4) Semasa Razak menjadi PM, dia juga menghadapi tentangan dari seseorang bernama Ahmad Boestaman. Namun tentangan Ahmad Boestaman hanyalah kocakan air kopi di cawan, dan tidak ke mana-mana. Mungkin gelora politik UMNO mulai membakar hebat bila Hussein Onn melantik Mahathir menjadi Timbalannya pada 1976. Dari sudut politik, Rezaleigh, Harun Idris, dan Ghazali Shafiee merupakan lawan senyap Mahathir. Game Ghazali Shafie mungkin berjaya bilamana Harun Idris terpenjara, namun kemudiannya dibebaskan oleh Mahathir. Mereka ini merupakan para senior di bawah bimbingan Razak. Sebegitu juga prihalnya kepada Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid yang juga bercita-cita besar dan dipenjarakan yang kemudian turut Mahathir bebaskan bila dia mengusai tampuk PM. Saya melihat pemenjaraan Harun Idris, Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid di "era Razak" adalah sebagai langkah menonjolkan "bukan Mahathir" sebagai the next UMNO boys. Husein Onn mengagalkan semua itu. 

(5) Mahathir pada awalnya hanya bergerak di Kedah, sedang yang lain bergerak di Pusat, Kuala Lumpur iaitu lebih dekat kepada UMNO power circle. Cuma mungkin ramai tidak sedar, biar Mahathir adalah agak junior dari kalangan senior Razak, namun Mahathir dari segi umur adalah seangkatan Razak dan Hussein. Razak dan Husein cuma tiga tahun lebih tua dari Mahathir. Saya mengira, Husein lebih memilih Mahathir lantaran kewarasan usia serta sifat tekun bekerja senyap beliau. Saya memberikan perlayanan agak lebih kepada Mahathir dalam semua tulisan saya, lantaran saya melihat Mahathir sebagai sosok muka tebal, ketegaq, muka kering kata orang Kedah, pemberani. Mahathir berani menantang apa saja secara berdepan, direct confrontation pada saat gaya pemikiran dan tujuan kerja beliau dicabar.

(6) Di zaman Mahathir, cabaran politik paling hebat yang beliau hadapi adalah dari PAS. Sejak menjadi PM pada 1981, PAS begitu jelas memberikan tentangan kepada UMNO atau Mahathir. Anwar Ibrahim dengan penglibatan aktif beliau memperjuangkan hal-hal Islam dan kemiskinan Melayu bersama ABIM pada 1970an dan awal 1980an dilihat sebagai plus factor kepada PAS dalam menghadapi UMNO dan Mahathir. Biar PAS dan Anwar tidak bersama, namun keberadaan semasa co-existence mereka sangat mendokong PAS dalam menghancurkan UMNO dan Mahathir. Namun kelicikan Mahathir membungkam PAS dan bahkan ABIM bila Mahathir berjaya membawa Anwar ke dalam UMNO pada 1982. Namun akhirnya Anwar dan Mahathir saling luka melukai

SISTEM BIROKRATIK ADALAH DARAH DAGING MELAYU:

(7) Saya melihat Mahathir sebagai suatu sosok yang mahu melonjakkan martabat sosio-ekonomi Melayu. Beliau fokus untuk itu. Beliau bekerja keras untuk itu. Saya melihat Mahathir sebagai teras revolusi pemikiran Melayu dari terikat kuat kepada sistem birokrasi beralih menjurus ke bidang koprat. Di era British sehingga membawa ke era Husein, Melayu terurus secara birokratik. British dengan birokratik imperial feudalnya, Tunku dengan era birokrat aristokrat dan Razak dengan sistem birokratik professionalnya. Dalam sistem birokrat, segala-gala harus berlalku melalui proses hiraki. The boss is the boss, pengikut hanyalah kuli yang harus manut. Susila birokrat dengan feudalisma dan aristokrat tidak jauh berbeza. Sesungguhnya, pada zaman Razak, Melayu terbela penuh oleh sistem birokratik negara. Di zaman Razak, Melayu banyak melahirkan birokrat-birokrat professional tulin. Hampir seluruh sistem pentadbiran negara Razak gerakkan untuk  membela Melayu. Maka birokrasi telah menjadi mentaliti Melayu. Sistem birokratik cukup abadi dengan budaya Melayu. Birokratik hakikatnya adalah sistem feudal dan aristokrat sejak zaman berzaman. Budaya birokratik hakikatnya telah tersemai di kalangan masyarakat Melayu sejak zaman anisma membawa ke Buddha, Hindu dan malah bauran Hindu-Islam kemudiannya. Islam yang pada asasnya adalah bersifat meritokrasi belum boleh memadamkan sifat-sifat birokrat, feudal dan aristokrat Melayu.  Saya melihat, lantaran itu Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal dalam memenuhi sasarannya kerana mekanisma memartabatkan Melayu digelumangi oleh banyak sistem birokratik tulin, yang Melayu tidak sadari adalah suatu bentuk patronism, payung. UMNO memperalatkan DEB sebagai payung Melayu. Di kala redup, apa lagi panas dan hujan Melayu cukup gemar berpayung. Payung menjadikan Melayu untuk terus terikat dengan keperluan berpayung. Melayu belum berani meredah panas, hujan ribut tanpa payung. Mahathir ingin merobah itu, dan itulah masalah hakiki Mahathir dan Melayu. Kepimpinan Melayu lebih rela sistem pengurusan dan politik Melayu agar tidak berubah; lantaran itu memudahkan untuk mengikat Melayu bagai sang kerbau.

(9) Ibarat Musa AS, kehebatan Musa adalah pada tongkatnya. Allah, mahukan tongkat Musa digantikan Taurah, dan itulah hakikinya masalah Musa dan Yahudi. Yahudi, inginkan suatu yang nyata (tongkat) serta mudah dan tidak mahukan mukjizat yang memerlukan mereka berfikir (Taurah). Sistem birokrat menjamin segala kemudahan untuk Melayu, selain dari itu, mereka sukar terima kerana menyulitkan (susah) hidup mereka. 

(10) British, Jepun dan Tunku-Razak sebetulnya membina Bureaucratically Excellent Malays namun tercicir di bidang koprat. Sistem birokrat menjadikan Melayu "pengikut dan atau pengguna" yang paling taat, dan mudah diperalatkan. Mahathir saya berkira menyedari akan prihal ini, dan dia melihat Korea dan Jepun sebagai Model Pengurusan Baru Melayu sehingga jalan koprat yang dia pilih. Mahathir mahukan Melayu yang tidak perlu mati berpegang kepada payung. Melayu harus berani meredah nuansa ganas biar dengan "bertelanjang bogel". Cuma pincangnya, seperti pernah saya tuliskan lama sebelum ini, usaha-usaha pengkopratan Mahathir telah menjurus kepada Zero Sum Game, di mana tokoh-tokoh professional birokrat Melayu mengalir keluar ke bidang koprat sedang pengukuhan di bidang birokrat menyusut hebat. Akhirnya wujud jurang luas birokrat-koprat Melayu yang saya kira akhirnya menjerumus negara ke dunia kleptokrat. 

(11) Razak dan Mahathir pada prinsipnya mempunyai cita-cita yang sama terhadap Melayu, Negara dan Islam. Razak memilih jalan bagai menatang minyak yang penuh dalam membela Melayu. Mahathir menekan kepada kemampuan untuk berdikari. Cuma lagenda pentadbiran dan cita-cita Mahathir, saya berkira punah lantaran politk Anwar dan politik kalangan anti-Anwar di dalam UMNO. Anwar gelojoh kepingin naik pantas. Kegelojohan Anwar melukakan kalangan anti-Anwar di dalam UMNO (dan PAS). Dengan jalan politik Anwar (digabung DAP, PAS, dan UMNO kini), Mahathir kini sedang menjadi kambing hitam dalam segala kemelut negara. PAU UMNO 1997 saya kira adalah detik mula Anwar dan Mahathir saling luka melukai.

JALAN PANJANG LUKA DAN MELUKAI:

(12) Sesungguhnya kemelut hebat politik UMNO yang bermula pada Sept 1998 telah mengheret seluruh Negara ke kemelut berpanjangan sehingga kini. Hanya beberapa negeri tidak terkesan oleh kemelut politik kini seperti Kelantan dan Sarawak. Kedah, Perak, Sabah, Trengganu, Selangor, Pulau Pinang, dan Johor adalah antara negeri-negeri yang menghadapi percaturan yang tidak kunjung padam. Paling parah, kemelut politik ini juga adalah seiringan dengan pelbagai kemelut ekonomi dunia. Akibat masalah pergolakan politk, tenaga kepemimpinan negara tidak focus dalam mengharungi kemelut ekonomi negara, serantau dan dunia.  Keadaan sosio-ekonomi masyarakat Melayu (dan Negara) akhirnya turut berkecamuk dengan masalah politik mereka. Nilai pendapatan mutlak rakyat kian susut sedang cost perbelanjaan hidup melambung tidak terkawal. Rakyat Malaysia terbeban hutang pribadi yang sangat berat. Samalah Negara ini kini, kita berhutang tinggi dan nilai Ringgit kita cukup parah. Negara dan Melayu sejak 1998 sepertinya sudah jatuh ditimpa tangga.

(13) Sesungguhnya, kini tunjang politik Negara penuh dengan peristiwa luka dan melukai. Saya memilih konsep luka dan melukai sebagai intipati tulisan ini lantaran dalam budaya Melayu saat luka dan melukai terjadi, maka biar sejuta biduk berlalu payah sekali kiambang untuk kembali bertaut. Sejarah Melayu membuktikan hanya kerana luka untuk seulas nangka, Raja dan Panglima Melayu sekalipun tidak akan kembali bersatu. Samalah saat Jebat terluka, biar sahabat terhebatnya Tuahpun dia sanggup hampuskan dan sebegitu sebaliknya. Mahathir terluka lantaran impiannya untuk melonjak martabat Melayu atau neutralizing dilema Melayu telah gagal dan atau being compromised. Mahathir dilukai oleh Anwar mulanya, kemudian Abdullah lalu Najib. Kini kemungkinan Muhyiddin Yasin juga sama.

(14) Hakikat yang Melayu harus perakui, biar Muhyiddin, Azmin, Mahathir, Rezaleigh, Anwar, Najib, Zahid, Hadi, Muhammad Sabu, Lim Kit Siang, Annuar Musa, Muhammad Hassan, Khairi, and last but not least Shafie Afdal mereka ini semua pernah terluka dan melukai. Perpatah Melayu, luka di tapak tangan nampak darahnya, luka di hati siapa yang tahu. Biar sejuta senyum dan jabat tangan telah terhulur, namun parut luka payah untuk dinyahkan. Kepemimpinan Melayu kini penuh dengan mereka yang luka dan melukai. Maka, itulah dilema hakiki yang Melayu harus tangani untuk terus mara maju.

BABAK-BABAK PENDEK KERJA-KERJA LUKA MELUKAI MAHATHIR:

(15) Pernyataan bahawa segala kemelut Melayu kini semuanya berpunca dari Mahathir sukar saya terima. Namun suatu natijah yang sukar diketepikan adalah kemelut hebat Melayu pasca kemerdekaan, semuanya terjadi dalam hayat Mahathir. Perubahan cara pentadbiran Mahathir menjadikan Melayu lebih demokratik dan mewujudkan peluang yang sangat luas untuk Melayu melepasi diri mereka dari kongkongan birokratik feudal dan aristokrat.Pentadbiran Mahathir telah membuka ruang untuk Melayu menjadi lebih berani. Keadaan inilah mungkinnya adalah apa yang banyak kalangan kini sebutkan sebagai "Mahathir = punca segala kemelut Melayu". Maka dengan sedikit pengalaman saya di Kelantan (1973-75) dan Kedah (1976-79), bersama lingkungan UMNO (1979-84), seterusnya saya akan cuba meringkaskan kemelut-kemelut penting Melayu di sepanjang hayat Mahathir.

(16) Pertama-tama, saya melihat kerja-kerja luka melukai Mahathir-Rezaleigh bukanlah berpunca dari diri mereka. Pertikaian antara keduanya, saya kira adalah lebih kepada perebutan kuasa UMNO Pantai Barat dan Pantai Timur Malaya. Rezaleigh saya kira mewarisi angkatan professional anak-anak Pantai Timur di sistem birokrat Negara, sedang Mahathir pula sedang membina para professional koprat di kalangan anak-anak Pantai Barat. Kemelut Mahathir dan Rezaleigh pada pengamatan saya adalah berpunca dari kekuathiran di kalangan inspiring UMNO dengan keberadaan Nik-Nik Here Nik-Nik There di dalam sistem pentadbiran Mahathir. Jika di zaman Razak, jentera Kerajaan bersikap apolitical, segala peluang besar yang Mahathir wujudkan melalui sistem koprat-birokratnya telah memberikan ruang bagi perebutan pengaruh politik. Jentera Kerajaan khasnya para GLC sedang diperguna sebagai new political bases. Saya menduga, the inspiring UMNOs, sedang berebut untuk menempatkan orang-orang mereka di dalam sistem-sistem baru Mahathir, agar succession plan and wealth building mereka menjadi jelas dan mudah. Lantaran pengaruh lingkungan, akhirnya the lion and the tiger perlu bertarung untuk memperkukuhkan wilayah masing-masing. 

(17) Sepertinya keadaan kini, Muhyiddin pernah dilukai oleh Najib dan sebaliknya lantaran kemelut 1MDB. Hutang 1MDB benilai RM42.00 billion bukanlah isu sangat berat jika dibandingkan dengan hutang Negara yang kini memcecah RM1,300.00 billion. Bahkan jika RM42.00 billion hutang 1MDB itu 100 peratus darinya adalah melibatkan samunan kleptokrat, saya yakin dengan sinario rasuah kini, nilai yang hilang dari sejumlah RM1,300.00 billion dari jumlah hutang keseluruhan Negara adalah jauh lebih besar dari RM42.00 billion 1MDB yang hangus”. Saya mengagak-ngagak, ketirisan di Negara ini boleh mencecah sehingga ke 30 peratus dari keseluruhan perbelanjaan Negara. Maka dari jumlah hutang itu saja, sekitar RM390.00 billion mungkin sudah meresap menjadi asap. Maka bagi Najib, 1MDB tidaklah ada apapun. Namun lantaran itu dipermainkan maka Muhyiddin perlu dipecat dan itulah tindakbalas saling melukakan Najib dan Muhyiddin. Samalah bagi Shafie Afdal dan Mukriz.

(18) Kemelut Mahathir-Najib; kemungkinan penilaian saya adalah berat sebelah itu saya terima; samalah seperti kemelut Mahathir-Tunku, bahkan Mahathir-Husein dan Mahathir-Abdullah. Seperti saya perkatakan awalnya, tumpuan Mahathir adalah martabat Melayu di dalam dan di luar negara. Kedudukan sosio-ekonomi Melayu di dalam negeri, bagi Mahathir harus sama dan atau lebih tinggi dari kaum lain. Itu makna ketuanan Melayu baginya. Mahathir mahu menghambat cepat akan kedudukan itu.  Jika itu tercapai, Malaysia In Shaa Allah akan bertaraf Negara Terhormat Maju. Taraf Negara Terhormat Maju pula sangat penting bagi Mahathir untuk dia dapat memainkan peranan penting dalam isu-isu sejagat. Mahathir merasakan Malaysia mesti bertaraf dunia, untuk dunia hormati. Dengan itu isu-isu Palestin, Bosnia, Pattani, Sulu, Champa bahkan segala permasalan dunia ke tiga dan Islam akan dapat Malaysia bela dengan sebaik-baiknya. Saya juga menduga Mahathir punya agenda besar untuk ASEAN. Saya melihat Mahathir bergerak cergas untuk menjadikan ASEAN suatu blok ekoinomi serantau yang besar hebat. Saya juga menjangka Mahathir punya agenda mahu merubah struktur Bangsa-Bangsa Bersatu. Maka dengan Najib “menjerumuskan” Malaysia ke taraf Kleptokrat, itu Mahathir tidak dapat terima. Bagi Mahathir, taraf kleptokrat sangat-sangat meranapkan martabat dan usaha-usaha Negara untuk kencang menjadi Negara Terhormat Maju. Soal 1MDB bukan soal pokok, dan kita telah didedahkan bahawa kerugian dari Perniagaan Forex BNM jauh lebih besar berbanding hutang 1MDB. 1MDB hanyalah kambing hitam, namun sikap Melayu harus jelas, yang salah tetap salah dan Melayu tidak harus bersekongkol.

IMF BERJAYA MERANAP CITA-CITA BESAR MAHATHIR: 

(19) Sebegitulah juga bagi Anwar dan Mahathir. Tindakbalas luka melukai antara keduanya, adalah yang paling ganas. Kesan dan tempoh berlakunya juga berpanjangan. Saya melihat, kemarahan Mahathir terhadap Anwar lebih kepada masalah terkait dengan IMF berbanding masalah pribadinya. Mahathir sedang membina Malaysia yang perlu bebas dari cengkaman Barat, namun Anwar menodainya dengan berbaik-baik dengan IMF. Prescription IMF dalam masa krisis kewangan 1997 yang diikuti oleh Anwar adalah sangat menyesakkan. Cara IMF adalah untuk; memperkayakan IMF. IMF memberikan prescription yang boleh memudaratkan Negara. Dalam tempoh krisis kewangan, aliran tunai keluar adalah lumrah. Namun aliran secara berleluasa boleh meranapkan ekonomi Negara khususnya pasaran saham. IMF mengesyorkan peningkatan bunga bank bagi menyekat aliran keluar wang secara besar-besaran. Di mata IMF, peningkatan bunga bank akan menyekat aliran keluar wang. Ini akan mengalakkan mereka yang mempunyai wang tunai untuk menyimpan wang mereka di bank-bank di Malaysia. Wang-wang ini kemudian boleh dipinjamkan kepada para pelabur yang perlukan pembiayaan. Lantaran pihak bank mengenakan bunga yang tinggi, kesannya, tiada siapa akan ingin meminjam. Akhirnya bank penuh dengan lambakan duit dan perlu pula membayar bunga tinggi kepada para pendeposit. Bank akhirnya boleh bangkrap. Akhirnya jika berpanjangan, boleh minumbulkan krisis perbankan yang parah. Di situlah akhirnya pancingan IMF. Mereka akan menghulur pinjaman bagi pemulihan bank-bank ini. Itu dari satu segi. 


(20) Dari sudut mereka yang berhutang, krisis kewangan dan atau ekonomi pasti banyak membantutkan perniagaan. Lantaran bunga hutang adalah tinggi, sedang perniagaan terencat, akhirnya ratusan ribu syarikat-syarikat kecil SME dan jutaan peminjam individu (kad kredit, perumahan, kenderaan, pinjaman pribadi dsb) terbeban dengan bayaran hutang yang cukup menekankan. Kita harus sedar, ekonomi Malaysia adalah dipacu oleh syarikat-syarikat SME. Jika SME terjejas, maka syarikat-syarikat gergasi akhirnya juga terjejas. Bagi saya inilah helah IMF untuk menghulur pinjaman di atas lambakan wang yang mereka ada. IMF sebetulnya jauh lebih kaya dari Amerika itu sendiri. Mereka punya kecairan yang cukup banyak untuk dipinjamkan kepada sesiapapun. Perkara ini bukanlah baru. Sebegitulah cara mereka dalam menghancurkan simpanan Petro Dollar Arabs dan ekonomi Amerika Latin dan Afrika pada 1970an bila berlaku krisis harga minyak. Kita dari individu (pemegang kad kredit) sehinggalah Negara akan IMF ikat sampai bila-bila. Prescription kewangan IMF adalah penjajahan bentuk baru. Dalam bahasa mudah IMF = ceti dalam filem P Ramlee.

(21) Bila ditanya bagaimana Anwar memenuhi masanya di penjara. Saya cukup kagum beliau banyak menumpu kepada membaca. Namun hakikatnya saya hairan bagaimana dalam tempoh cukup panjang di penjara, dengan bercita-cita untuk menjadi PM, Anwar terlepas pandang buku-buku Ekonomi Pembangunan contohnya. Anwar tidakpun memenuhi masanya untuk meneliti cara ekonomi dan kewangan Islam berbanding IMF. IMF adalah asas kapitalis, sedang ekonomi dan kewangan Islam adalah menyuburkan. Anwar bagi saya gagal memanafaatkan anugerah masa yang begitu panjang Allah berikan untuk mencari kebenaran tentang ekonomi dan kewangan Islam seperti yang beliau teriak-teriakan semasa di Universiti dan ABIM. Jika saya dilihat sebagai tidak hormat kepada Anwar adalah lantaran saya mengukur beliau dari suara-suara lantang keIslaman dan kemiskinan masa lalunya yang ternyata hanyalah teriakan-teriakan bingit. Anwar bagi saya adalah ibarat sang kakatua; bila berpidato dia cukup taksub memuntahkan pendapat-pendapat orang lain yang kebenarannya entah apa.

(22) Sesungguhnya, dalam krisis kewangan 1997, Thailand, Indonesia dan bahkan Singapura akhirnya terperangkap oleh cara IMF. Jika IMF telah jujur, maka saya yakin segala permasalahan Latin Amerika (sejak 1970an) pastinya sudah selesai. Kini, Latin Amerika terus bergantung kepada IMF dan mereka kian menuju parah. Sesungguhnya, langkah menyonsong norma Mahathir akhirnya yang menyelamatkan Malaysia dari terus menjunam parah. U$D-Ringgit pegging, panghapusan Ringgit 1,000 dan sekatan fizikal aliran keluar wang tampak jauh lebih berkesan. Makanya Anwar IMF angkat menjadi teman paling akrab dan dinobat sebagai MoF terbaik Asia. IMF memberikan pelayanan terbaik buat Anwar kerana IMF melihat Anwar sebagai senjata paling dekat dalam menyekat kemaraan Mahathir atau Malaysia untuk menerajui Sistem Kewangan edan Ekonomi baru Dunia ie secara Islam. Mahathir musuh yang IMF harus dibunuh lewat branding the greatest antisemitism. Anwar adalah senjata bagi agenda IMF di rantau sebelah sini. Hakikatnya, IMF untung, negara-negara yang mengamalkan cara IMF menanggung beban kewangan parah. Akhirnya, negara menghadapi krisis dan jika langkah kita tempang in one way or another, we may succumb to IMF feet. Saya yakin, Mahathir tidak mahu itu terjadi dalam hanyatnya. Paling tidak serik, Anwar saat dibebaskan dari penjara, terus terbang ke Turki untuk bertemu teman-teman IMFnya. Mahathir saya yakin dan saya juga berpendirian sama, Anwar tidak harus dibiarkan untuk menerajui kepimpinan negara melainkan beliau menjauhkan diri dari IMF. Mahathir punya jalan tersendiri untuk membunuh Anwar. Dan Anwar juga ada senjata kronisma dan nepotisma bagi membunuh Mahathir. Maka selagi Anwar ingin menjadi PM, dan selagi Mahathir tidak suka akan IMF, mereka akan terus saling luka dan melukai.

(23) Hakikatnya, kemelut Mahathir-Anwar adalah proxy kemelut Muslim dan Zionist ie perang Dollar dan Emas Dinar, telah musuh-musuh Mahathir dan Anwar manafaatkan dengan jalan terbaik. Pada pandangan saya; UMNO (apa lagi PAS) sudah terlalu berjaya dalam meranapkan martabat Anwar. Melayu sudah menerima Anwar sebagai “an unwanted figure”. Saya juga menjangka, biar di kalangan DAP (dan Amanah), Anwar khabarnya sudah disebut-sebut sebagai “the howling wolf”. Apa itu "howling wolf"? Jika kita perhatikan alam sejadi, srigala mengonggong, tidaklah ada apa-apa, cuma mungkin kerana ingin mengawan, samalah seperti pungguk rindukan bulan. Mungkin dalam bahasa Jawa, Anwar tidak lebih dari Kucing Garong. Di pihak Anwar (PAS dan DAP), mereka telah berjaya menjadikan Mahathir kini diterima sebagai “bapa kepada segala masalah” di Malaysia. Segala negativity telah banyak pihak PKR, DAP, PAS (dan kini UMNO) nobatkan kepada Mahathir. Maka saya yakin kerja luka melukai antara Mahathir dan Anwar tidak pernah akan padam. Samalah bagi Zahid dan Mahathir, bukan hanya jelas saling melukai dalam kempen PRU14 lepas, namun jika kita ingat, pada permulaan Reformasi Anwar, Zahid dan Mahathir sudah saling bertikam. 

(24) Lim Kit Siang (dan Lim Guan Eng) adalah sosok yang sama dengan Anwar. UMNO (dan BN) telah sangat berjaya dalam meranapkan martabat LKS. Kini LGE sedang jadi sasaran. Bagi UMNO dan atau BN, LKS @ LGE = DAP. Tanpa LKS dan atau LGE, DAP tidak wujud. Jika LKS dan atau LGE dapat diranapkan, maka DAP bolehlah ditunjukkan liang lahadnya. MCA, Gerakan dan MIC menumpang di atas kejayaan UMNO (dan PAS) dalam meranapkan martabat DAP. Sejak tersingkirnya Singapura dari Persekutuan Malaysia pada 1967, maka bermulalah gendang perang UMNO DAP. Peristiwa berdarah 13 Mei, 1969 sering dimain-mainkan agar DAP dan UMNO berpadu tiada. DAP pula seperti budak terencat akal lambat mengenali hati budi UMNO, tidak sepertinya Gerakan dan MCA. DAP lupa UMNO = darah daging Melayu Malaya. Memusuhi UMNO ibarat memusuhi Melayu. Maka perang DAP-UMNO menjadi perang perkauman yang tidak berkesudahan. Sesungguhnya kedua-dua DAP dan UMNO saling ganas memperjuangkan hak-hak kaum-kaum sendiri tanpa menjujung hebat landasan Rukun Negara. Kedua-dua UMNO dan DAP lupa dan sengaja tidak peduli akan prinsip-prinsip Rukun Negara. Biar telah bersama berada dalam Pakatan Harapan, saya dapat melihat, luka LKS dan Mahathir masih “berdarah bernanah”. LKS saya perhatikan cukup “tidak mempercayai” Mahathir. MCA, MIC dan Gerakan juga telah DAP lukai parah dan sebaliknya. Mereka akan terus ingin berbunuh tanpa kesudahan. Kita juga sudah tahu, Muhammad Sabu dan Hadi juga sudah puas saling luka melukai. Kebangkitan PAS dalam PRU12 dan PRU13 sebahagiannya adalah sumbangan Muhamad Sabu dan rakan-rakan Amanahnya kini. Namun dalam Muktamar PAS pada  2015 menyaksikan kalangan professional tidak mendapat tempat di kalangan Totok Melayu PAS

(25) Maka siapapun yang naik jadi PM Malaysia biar Mahathir, Rezaleigh, Anwar, Zahid, Hadi, Shafie Apdal dsb yang masing-masing ada kesan darah dan nanah; saya berkira politik negara tidak akan pernah aman permai. Kita akan terus bergolak. 

ROH AL KITAB:

(26) Bagaimanakah Allah memahatkan wahyu dan ilhamNya kepada segala nabi dan rasul? Al Quran hanya menyebut 25 nabi dan rasul yang perlu kita ketahui. Ibnu Mardawiyah dari Abu Dzar RA menyatakan ada terdapat 124,000 nabi dan rasul. Kitab, hanya wujud bermula dari Musa AS dalam bentuk tablet Taurah. Kemudian baru Zabur. Injil sebetulnya tidak berada dalam apa-apa tulisan hakiki. Injil hanyalah periwatan lisan dari turun-temurun sepertinya Hadith SAW. Injil tidak pernah wujud dalam bentuk tulisan. Bible hanya wujud sekitar 70-100 tahun selepas ghaibnya Isa AS. Dalam pandangan Islam, Bible bukanlah Injil. Maka tidak hairanlah Bible dan Hadith SAW banyak polemiknya. Hadith SAW hanya mulai terkumpul sekitar 150-200 tahun dari tarikh kematian beliau.

(27) Allah menurunkan Tablet kepada Musa AS dianggarkan sekitar 1,500 BC. Maksudnya, selama 1,500 tahun sebelum kerasulan Isa AS, Allah telah menyatakan kepada Yahudi, dokumen berbentuk tulisan itu adalah sangat penting. Dan, jika kita mengkaji ketemadunan manusia, Allah telah menukilkan ilham menulis itu sejak Temadun Yang Tze, Babylon, Indus dan Nil sekitar 3,000 BC. Yang Tze mencipta kertas, Indus mencipta dakwat, Babylon mencipta abjab dan Nil mencipa angka. Maka timbulnya penulisan dan lukisan di Yunan, Latin, Roman dan Farsi kemudiannya adalah kerana pengaruh kertas, dakwat, abjab dan angka dari empat temadun manusia awal ini. Pada tempoh Isa AS (30-33 tahun), Allah seperti tidak mengilhamkan agar Isa AS mencatat wahyuNya dalam bentuk tulisan. Maha bijaksana Allah. Ada teladan yang Dia ingin nyatakan. Berbanding Muhammad SAW. Muhammad sebelum kerasulan sudah berpunya budak-budak suruhan (pemberian Khadijah isterinya) bernama Zaid bin Haristah, lalu kemudian mendapat anak-anak yang juga terus menjadi pembantu SAW; Usamah bin Zaid bin Haristah dan Stauban bin Zaid bin Haristah. SAW mempunyai 16 pembantu dan rata-rata mereka ini boleh menulis dan membaca. Allah lengkapkan Muhammad SAW dengan mereka yang boleh menulis dan membaca agar segala wahyu yang SAW terima harus ditulis dan kemudian dibukukan menjadi Al Quran oleh Umar dan Othman. SAW meninggal pada Mac 632M, dan usaha-usaha pengumpulan tulisan-tulisan Al Quran dijalankan mulanya oleh Zaid bin Thabit selepas berlakunya Perang Riddah 632-633 M iaitu sebaik selepas kematian SAW, bilamana 70 penghafal Al Quran telah terkorban. Atas desakan Umar Al Khataab, Abu Bakar akhirnya bersetuju agar tulisan-tulisan Al Quran dimulai dikumpul dan disusun sebaik-baiknya. Othman bin Affan memuktamadkan cara penulisan dan susunan Al Quran kemudiannya.

(28) Allah jika kita lihat secara teliti, mewajibkan menulis kepada empat temaddun besar manusia Nil, Babylon, Indus dan Yang Tze dan ini diperkuatkan kepada Musa dan Daud AS. Kepada Isa AS Allah seperti sengaja mengalpakan Isa untuk tidak menulis tetapi berdakwah secara lisan sahaja. Lihatlah apa terjadi kepada Injil Allah; puluhan Bible yang mengelirukan terbit darinya. Al Quran dari mula ianya hadir sehingga kini, ianya kekal dan Allah jadikan ianya kitab rujukan mutlak yang serba lengkap. Sesungguhnya, bacalah kitab apapun, Hindu, Buddha, Conficius, Taurah, Zabur dan Bible, dan saling rujuk cross referencing dengan Al Quran, akan kita dapati Al Quran adalah terunggul. 

(29) Sesungguhnya kehebatan Muhammad SAW adalah lantaran Al Quran itu wujud sebagai kitab nyata. Sebegitu juga buat Musa dan Daud. Isa AS berubah menjadi Jesus Christ lantaran segala wahyu yang diberikan kepadanya tidak tertulis sebagai sepatutnya, maka kelirulah jadinya Bible. Tulisan, Al Kitab sepertinya Allah cuba jelaskan seharusnya menjadi amalan Muslim dan berupa peninggalan abadi.

MASA UNTUK YANG LUKA DAN MELUKAI MENULIS:

(30) Rakyat sudah bosan dengan kemelut politk negara yang tidak berkesudahan sejak 1998. Apapun konsep yang hendak Muhyiddin, Mahathir, Anwar, Zahid, Lim Kit Siang, Hadi, Mat Sabu bahkan Shafiee hendak bawakan, rakyat sudah jelak. Apapun yang cuba mereka ketengahkan, Melayu sudah terluka dan mereka sudah jelak. Sudah 22 tahun Melayu terluka, hampir satu generasi sudah berlalu, Melayu sudah serik biar dengan siapapun antara mereka. Rakyat jelak lantaran kehidupan mereka kian terhimpit. Apa yang rakyat mahu lihat dan bergerak bersama, let just move forward to ease their present day miseries, perut berkeroncong mereka harus diselesaikan dulu. Debat politik Muhyiddin, Mahathir, Rezaleigh, Anwar, Zahid, LKS, Hadi, Muhammad Sabu dan Shafiee is more than enough. Cukup. Fullstop.

(31) Bukan soal rakyat tidak dan atau hilang hormat kepada mereka, rakyat inginkan sedikit room for themselves. Enough with politic. Cuma saya melihat, semua mereka yang saya sebutkan di atas punya aspirasi, ideologi, pengalaman dan jalan masing-masing yang nilainya cukup berharga. Maka janganlah generasi ke depan sampai tiada pegangan sepertinya Bible Jesus Christ, maka saya berkira wajar semua mereka mengikuti teladan yang telah Allah pertunjukkan, tulis dan muntahkan apa-apa yang mereka fikir wajar rakyat Malaysia harus ketahui agar kemudiannya mereka boleh membuat kajian bebas dan meneladani apa-apa yang patut. Sesungguhnya keberadaan Taurah, Zabur (biar sudah terseleweng), Bible bahkan kitab Hindu, Buddha, Conficius, Majusi malah segala budaya besar seperti Demokrasi, Sosialis, Komunis dsb sesungguhnya Allah mewariskan semua itu sebagai bahan-bahan kajian untuk kebaikan umat manusia ke depan. Saya yakin, bahawa saya tidak jauh dari benar dalam pernyataan itu. Biar Allah sekalipun, Dia menobatkan tulisan. Dia ada BigData di Loh Mahfuz.

(32) 
 P Ramlee dalam Nujum Pak Belalang ada bertanya "Di manakah kekuatan sebenar Hang Tuah; pada Alif, Mim, atau Ta?" Hanya untuk beberapa waktu kini baru saya sedar bahawa apa yang P Ramlee cuba bayangkan adalah Alif =  Agama; Mim = Melayu, dan Ta = Tanahair. Namun pokoknya, seperti pendita Zaaba perkatakan, mata pena jauh lebih berbisa dari mata keris. Khusus untuk Mahathir, Anwar, Lim Kit Siang, your grand ideas could be well appreciated if you guys could just withdraw from Malaysian politic and focus to writing all your thought and experiences.
AL KHITAB MELAYU DAN MALAYSIA BARU:

(33) Dalam dunia Melayu (Nusantara), tulisan adalah teras bagi kesuburan semangat perjuangan Melayu. Batu bersurat Trengganu menelusuri salur galur kedatangan Islam di rantau Malaya dan Rhiau. Jose Rizal Filipina, menjadikan penjara pusat kreatif pemikiran beliau sehingga mampu menghasilkan sebuah novel yang membangkitkan semangat kemerdekaan Sulu (sebetulnya). Begitu juga Hatta-Sukarno, tulisan mereka menyatukan seluruh Indonesia untuk bangkit dengan semambu runcing menombak Belanda untuk berambus pergi. Di Malaya, pendita Zaaba, sumbangannya kepada Melayu Malaya bukan kerana martabatnya, tetapi lantaran tulisannya. 

(34) Jika direnung sejarah Islam Nusantara, kehebatan kita lantaran kita banyak penulis. Pemikiran rakyat terbuka luas lantaran kita mampu menjana segala macam penerbitan. Saya mengambil contoh Hamka, apa ada pada beliau? Hamka tiada apa-apa. Pendidikannyapun tidak setinggi mana. Yang ada pada Hamka yang belum Melayu boleh tandingi; adalah segala bahan tulisannya. Apa ada sehingga kini anak Melayu yang berpunya segala macam PhD dapat menulis sepertinya Hamka? Yang ketara, sekadar berpidato lawak senda ramailah. Yang benar-benar mampu menulis untuk merobah pemikiran dan tatabudi Melayu, saya kira terlalu tipis.

(35) Sealiran dengan pemikiran sebegitu, saya melihat Mahathir sebagai manusia terbaik untuk merubah Melayu. Ketajaman dan keberanian gaya pemikirannya, Mahathir belum ada tandingan. Namun untuk Mahathir kembali menerajui politik Negara, saya berkira dia akan menjadi Anwar hanya mensia-siakan masa keemasannya untuk terus berpolitik tetapi tiada kesan hebatnya. Anwar; Allah anugerahi masa keemasan yang sebegitu luas di penjara untuk mengkaji, berfikir dan menulis, namun beliau tidak berbuat sebegitu sepertinya Jose Rizal dan atau Hatta-Sukarno-Ananta Toer. Anwar semasa dalam penjara hanya menghabiskan masa untuk menghafal apa yang beliau akan muntahkan sebagai mantra sebuah retorik politik kemudiannya. Saya melihat Anwar sebagai self-centric selfish. Saya sebetulnya sebel, meluat dengan Anwar lantaran di masa pelajar dan ABIMnya, beliau cukup lantang berbicara tentang Islam dan kemiskinan Melayu, namun dalam pembacaannya di penjara, beliau tidakpun meneliti sistem ekonomi Islam sebagai jalan keluar untuk segala permasalah rakyat. Saat berada di luar penjara dan dalam alam kepimpinan Anwar condong kepada kapitalis-Imperial Zionist., 180 darjah menyimpang dari pekikan Islamnya.

(36) Pemikiran Mahahir masih tajam, namun kudratnya fiziknya, harus dia perakui sebagai kian melemah dan tidak memungkinkan untuk beliau kembali memimpin secara berkesan. Bicara dan gerak badan Mahathir sudah tidak selaras dengan kecerdasan pemikiran beliau. Mahathir harus ingat, SAW begitu berjaya mentadbir rakyat payah awalan Madinah lantaran Abu Bakar dan Umar Al Khatab sangat aktif berjalan menyelidiki permasalah rakyat dan mengambil jalan cepat mengatasinya. Sebegitulah mereka semasa menjadi Khalifah. Vladamir Putin, presiden Russia dapat mengawal Russia dengan baik lantaran dia cergas ke lapangan. Sebegitulah juga Mahathir pada pusingan pertama (1981-2003) pentadbiran beliau.  Pada pusingan kedua (2018-2020), Mahathir lebih berupa desktop Prime Minister. Kegagalan Mahathir dalam pusingan kedua adalah lantaran kudrat fiziknya telah menyusut jauh. Kini, Mahathir sepatutnya boleh melihat bahawa Allah sedang memberikan beliau peluang bagi menanamkan pemikiran dan semangat baru kepada generasi masa depan Melayu (dan Malaysia) bukan lagi dengan terlibat secara langsung dalam kepimpinan negara. Mahathir perlu membina kekuatan Melayu cara lain, iaitu menulis. Kalam dan pena mesti Mahatir pergunakan baik. Mahathir perlu focus menulis. Segala kemudahan di Yayasan Al Bukhari dan Yayasan Perdana harus beliau manafaatkan untuk menulis apa saja yang boleh dijadikan rujukan masa depan anak bangsa. Sesungguhnya, kehebatan Mahathir hanya akan kekal jika pemikiran dan pengalaman beliau dapat beliau tulis dan perturunkan sebaik mungkin kepada generasi baru Malaysia.

(37) Asas tanggapan saya berkenaan adalah berteraskan sejarah Islam itu sendiri. Umar dan Uthman, tidaklah sehebat mana jika mereka berdua tidak menyadari bahawa Al Quran akan pupus bersama terkorbannya para pendokong setia Muhammad SAW. Samalah, sumbangan Muhammad SAW tidak akan ke mana-mana jika Al Quran tidak pernah tertulis. Muslim, Bukhari, Hanbali, Shafiee dan semua ulama besar Islam, mereka sebetulnya tiadalah apa-apa kejayaan besar jika mereka tidak menulis dan menerbitkan kitab-kitab buat rujukan kita sehingga kini. Sesungguhnya, Ibnu Sina, Al jabar dsb kehebatan mereka adalah bersebab kitab-kitab peninggalan mereka. Sesungguhnya tunggak kehebatan Ibnu Khaldun, dari kelompok minoriti Moore, maka bangkit Kerajaan Morroco dan akhirnya Andalusia adalah lantaran tulisan beliau dalam Muqadimah.

THE REAL PURPOSE OF MAHATHIR:

(38) Mahathir sering berkata, "Dia perlu kembali aktif dalam politik lantaran ramai pihak datang kepadanya agar berbuat sesuatu". Bagi saya, Mahathir sebagai orang tua, payah untuk mengatakan "tidak". Cintanya kepada negara terlalu tinggi maka dia akan berbuat apapun demi negara. Cuma, saya kira itu semua kerja sia-sia dan membuang masa emas Mahathir. Jika Mahathir terus-terus ingin melayan 'kemahuan pihak tertentu", tidakkah Mahathir sedang membina "kalangan bacul dalam masyarakat kita". Jika mereka ada keperluan, kenapa Mahathir harus ke depan? Kenapa tidak diri mereka? Sedih, jika Mahathir di saat usia emas paling sesuai untuk menulis membuang masa mahu jadi "kuda" pihak-pihak yang bacul.

(39) Di akhir-akhir hayat Mahathir, beliau yang penuh dengan pengalaman dan pemikiran baik, saya sangat-sangat berharap, Mahathir (dan Siti Hasmah) harus melihat kini adalah masa keemasan yang Allah anugerahkan kepada  mereka untuk focus menulis dan mewarisi segala ilmu yang ada kepada jenerasi masa depan Melayu melalui tulisan mereka sendiri. Mahathir bersaralah dari politik dan berpolitiklah dengan buku-buku agar menjadi Al Khitab Melayu Baru. In Shaa Allah saya yakin, jika Mahathir (dan Siti Hasmah) hebat menulis dan menjaga cukup masa rehat, mereka saya kira akan dapat mencapai seusia Musa AS dalam usaha mendidik dan menyelamatkan Yahudi. Otak ligat dan kesungguhan Musa AS saya kira adalah faktor terpenting bagaimana beliau boleh sampai ke usia 127 tahun. Allah kept him to such an age, for he has to serve his real purpose to the Yahud to the end. Kecerdasan otak berfikir Mahathir jika diluah ke dalam bentuk Kitab-Kitab Panduan Membina Melayu, saya berkira itulah the real purpose of lives of a Mahathir and Siti Hasmah dan bukan sepertinya fatwa Fadhil Noor mantan nakhoda PAS yang ingin Mahathir berpanjang umur agar terseksa atas “dosa-dosanya”.

(40) Saya yakin penulisan Mahatir (dan Hasmah) bukan hanya penting untuk Negara, tetapi seluruh Melayu Nusantara: Champa, Sulu, Pattani, Brunei, Indonesia dan malah Melayu-Melayu diaspora di Afrika Selatan, Madagaskar, Mali dsb akan mendapat manafaat. Saya juga yakin, dunia Islam juga akan mendapat rahmat dari tulisan Mahathir. Pengalaman pribadi, pengalaman politik dalam dan luar negeri, pengalaman pengurusan negara dsb Mahathir adalah sesuatu yang beliau tidak harus kubur bersama jasad beliau nanti. Semua itu harus dibukukan sebagai amal jariah yang berpanjangan demi martabat Melayu dan Muslim serantau.

(41) Siapa tahu bagaimana Mandela terbela baik oleh Mahathir sehingga MAS kemudiannya mendapat special privilege dari Cape Town? Bagaimanakah Mahathir telah membantu PLO sehingga organisasi itu menjadi kental kukuh? Samalah bagaimana rakyat Bosnia terselamat lantaran tangan-tangan senyap Mahathir. Permusuhan Pattani-Siam dapat Mahathir uruskan baik, bagaimana ceritanya? Puak Sulu akhirnya mahu berdamai bagaimana tangan Mahathir mengaturnya? Kenapa Mahathir sanggup meminjamkan tanpa bunga RM1.00 billion kepada Siam dan Indonesia pada saat kita sama-sama gawat pada 1998? Terlalu banyak cerita-cerita kejayaan Malaysia yang kita tidak ketahui tetapi berupa aset pengetahuan yang sukar ditemui jika semua ini berkubur bersama jasad Mahathir tanpa siapa dapat menceritakannya dengan sebaik-baiknya. Maka atas semua ini, "the best of Mahathir should be all about his writing about his big and courageous ideas that had turned Malaysia into an ASEAN Tiger".

(42) Paling kepingin saya lihat adalah buah fikiran Mahathir tentang sudut-sudut keIslaman yang ingin dia ketengahkan contoh kewangan, ekonomi, kemasyarakatan, pengurusan dan politik antarabangsa Islam. Saya yakin, tulisan Mahathir adalah tulisan tentang kenyataan dan terbukti. Gaya penulisan Mahathir adalah gaya pemikiran, pertuturan dan tindakan beliau. Bahasanya mudah, economical and action to the point.  Pihak lain, jika mereka menulis, hanyalah sekadar tiori dan mungkin hipotisis semata-mata. Mungkin juga akademik. Maka seruan saya, bersaralah Mahathir dan berpolitiklah dengan buku-buku penulisan. In Shaa Allah tulisan Mahathir akan melahirkan lebih banyak Mahathir. Socrates, Aristotle, Ibnu Khaldun, Al Jabar, Ibnu Sina, Bukhari, Muslim, Hamka dsb telah membuktikan itu. Mahathir In Shaa Allah Terus Boleh.

MALAYSIA BARU PEMIMIPIN BARU:

(43) Saya yakin, Khairi, Nurul Izzah, Fais Fadhil Nor,  Fahmi, Mukriz, Hannah Yeoh, Yeo Bee Yin, Anthony Luke, dsb adalah pelapis kepemimpinan yang telah insaf akan keperluan sebenar kepimpinan negara. Mereka berbakat. Punya sedikit pengalaman. Mungkin apa yang mereka perlukan adalah seorang hard working PM yang sangat kurang berpolitik untuk memandu mereka sekitar 2-3 tahun, internship. Calun yang saya lihat adalah Mustapha Muhammed. Mahathir as great stateman, saya berkira paling layak untuk maju ke depan dengan focus kepada menulis dan berusaha merapatkan barisan kepimpian baru negara dalam mengambilalih pucuk pimpinan Negara tanpa Mahathir memimpin. Saya berkira Mahathir paling tepat untuk menjunjung perpatah Melayu yang berbunyi biduk lalu kiambang bertaup. Biar Mahathir jadi biduknya.

(44) In Shaa Allah pada saat Mahathir bersara penuh dari politik dan focus menulis, yang lain-lain terutama Anwar, Rezaleigh, LKS, Hadi dan bahkan Muhammad Sabu dan Shafiee juga akan bersara. Mereka In Shaa Allah akan ikut jejak menulis juga. Mudah-mudahan tanggapan saya itu terzahir baik dan lantaran itu setidak-tidak Melayu turut sama berperanan besar dalam membentuk ketemadunan Islam di sebelah sini. Malaysia dan mungkin Kampung Baru Kuala Lumpur akan menjadi Pusat Ketemadunan Melayu Nusantara dan kita dapat membina sebuah khutub khanah jauh lebih hebat dari khutub khanah Iskandariah Cleopatra. Buat Anwar, Rezaleigh, Zahid, Najib, LKS dan Shafiee, Malaysian had enough of you guys. Please withdraw from Malaysian politic and be good great retiring statemanLast but not least, down from the inner of my heart, Mahathir please spare your next few years precious time to write for Malaysian to study and In Shaa Allah jadikan pedoman.

Kuching, Sarawak
17- 23 Dec., 2020

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.