(Maaf saya tumpang tertawa. Udah puas tersenyum aja!)
Saya ingin menyaran, sebagai seorang Melayu dan Muslim, wajarlah kita berusaha sekeras mungkin untuk memahami kedua-dua tuntutan agama dan budaya yang kita ada. Untuk ini, suka saya menyarankan agar, biarlah menjadi sesuatu yang sebaiknya berada dalam simpanan kita dua karya: Karya Agung terbitan Yayasan Karyawan Kuala Lumpur yang mengutarakan beberapa tajuk antaranya Pelayaran Munshi Abdullah, Hikayat Hang Tuah, Tun Sri (setakat ini dia seorang saja ada Tun Sri!)Lanang, dsb juga Fiqh & Perundangan Islam tebitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kedua-dua siri buku ini akan dapat mendekatkan kita kepada Budaya Melayu dan Asas KeIslaman yang semestinya kita ketahui.
(2) Dalam longgokan buku-buku yang ada, seminggu sudah saya membaca sebuah buku (saya lupa di mana meletakkannya) yang memusatkan pembahasannya hanya kepada perkara-perkara sunat dalam ibadat Islam. Permula bicara, pastinya tentang sembahyang, segala macam sembahyang sunat. Kemudian diikuti dengan segala macam perkara sunat Haji dan Umrah. Selanjutnya, banyak perkara-perkara sunat yang begitu ditekankan sehingga menjadi 'wajib' pada Budaya Melayu: antaranya berkhatan (bersunat), beristinja (cebok) menggunakan air, bercukur rambut bagi bayi yang baru lahir, kenduri arwah, dan bermacam-macam lagi sehingga kepada 'berbaju Melayu'.
(3) Kata penulis buku tersebut, segala perkara sunat dalam Islam adalah sebagai penyeri, pelengkap, mengindahkan, pendokong kepada semua perkara yang wajib. Contohnya, sembahyang Tahajjud adalah penyeri, pendokong, dan 'pelengkap' kepada sembahyang Isya dan Subuh. Begitu juga mencukur rambut semasa Hajj, adalah penguat kepada niat membersih diri dari segala 'kekotoran' yang telah dilakukan.
(4) Maka,sebagai fitrah Manusia dijadikan Allah, sebagai ciptaanNya yang Mahasempurna, dari soal kerohanian, mereka mengembangkan segala 'ilmu sunat' yang mereka miliki kepada perkara-perkara lain seperti seni ukir, seni taman, seni hiasan dalaman, seni masakan, seni dandanan, seni tari, dan segala macam seni untuk mengindahkan yang pokok. Kita, khususnya orang Melayu begitu pintar dan berakal sekali dalam mencipta segala sesuatu buat mengindahkan perkara-perkara asas dalam hidup kita. Orang Melayu cukup hebat dalam mengembangkan budaya mereka. Semuanya, saya percaya, kerana kita menekankan yang sunat seperti menjadi wajib, sehingga yang sunat seperti sudah mengatasi yang wajib (pasti ada yang berhujjah, demi kebaikan, apa salahnya!).
(5) Paling mudah, lihatlah, berapa banyak antara kita benar-benar patuh dalam mengamalkan segala kewajiban semasa berpuasa (atau lengkap berpuasa). Biarpun mungkin puasanya cuma curi-curi kucing, namun, bila berSesmbahyang Raya, kitalah yang paling berGaya, paling lengkap, paling sempurna (yalah Sembayang Raya cuma sekali setahun (boleh tak sampai satu jampun), puasa sebulan (360 jam) setahun!)!
(6) Itu dalam soal amalan tatatusila atau kerohanian, namun, bila sampai kepada menegakkan kekuatan ekonomi kita, maka kita seperti hilang akal seninya. Kalau adapun, seninya menjadi terlalu kecil dan tidak lumayan. Kalau kaum lain buat 'home-based industry' mereka boleh sampai ada bengkel besar, bila kita buat 'home-based Industry', banyaknya buat 'belacan untuk makan sendiri!'.
(7) Soalnya kenapa, dalam hal-hal hidup seharian kita bangsa Melayu cukup berdayacipta, namun untuk hidup lebih kuat, kita biasanya ketinggalan. Tidakkah boleh amalan kita yang gemar melakukan perkara sunat melebihi wajib dapat kita kembangkan menjadi sikap kita suka dan benar-benar berkemahuan melakukan 'one step ahead' jika tidak 'one mile ahead' sebagaimana dilaungkan oleh Najib.
(8) Kegemaran kita bangsa Melayu untuk menitik beratkan soal-soal sunat, adalah petanda bahawa bangsa kita mahukan kesempurnaan. Cuma, selalunya, kemahuan untuk sempurna itu hanya terbatas kepada perkara-perkara yang mudah-mudah sahaja: berdandan, menghias rumah, menghias pejabat dsb. Namun tidak kita kembangkan sehingga kepada berniaga dalam soal berhias. Yang selalu diusahakan adalah Mak Andam (tak apalah sebagi permulaan, dan itupun banyak dilakukan oleh mereka yang bersifat hemaprodit!).
(9) Perhatikan juga dalam tugasan harian kebanyakan di antara kita (ada yang akan berkata, kalau semua hebat-hebat, siapa pula hendak buat yang tak hebat-hebat! Yalah, begitulah selalunya demi menyedap rasa!). Kita buat kerja setakat buat kerja. Kita tidakpun mahu berhempas pulas menyempurnakan agar kerja yang kita lakukan benar-benar membawa berkat (sustaibale kata Orang Putih) kepada bangsa kita. Ini semua, kerana kita tidak tahu mengarahkan kegemaran amalan sunat kita kepada berkerja 'one step ahead'.
(10) Dikalangan rakan-rakan, sering saja saya menggunakan seruan ini:"Janganlah kita hanya tahu menuntut hak kita, sedang hak orang lain yang sepatutnya kita laksanakan tidakpun kita buat dengan sesempurnanya....dan tidak usah kita terlalu berkeras dengan apa yang kita harapkan, kerana Allah ada hikmahNya yang tersendiri buat yang jujur, ikhlas, benar, dan tekun".
Terasi, Pendam, Simunjan
18 Sept., 2010
1 comments:
Tuan seorang yang jujur, ikhlas, benar dan tekun tetapi itu tidak bermakna orang lain tidak begitu. Mereka punya cara mereka tersendiri dalam mentakrifkan sifat-sifat tersebut , sepertimana tuan mempunyai cara tersendiri dalam mentakrifkan perkara -perkara yang wajib dan sunat seperti yang tuan utarakan. Apakah ia cuma sesuatu yang tuan keutarakan?
Post a Comment