.

2/3/22 KEDAH - miskin hidup kerana kemiskinan cara?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 18, 2022

Share

& Comment

Kedah merupakan salah sebuah Negeri di mana saya membina usia remaja. Saya mula menjejak kaki ke Kedah sekitar Januari 1976. Dari Kuala Krai, Kelantan, menaiki keretapi secara sendirian pada usia 16 tahun saya mulanya turun di stesyen Alor Setar. Dari Alor Setar saya menaiki teksi ke Jitra. Namun sebetulnya, saya tidak perlu ke Jitra untuk ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) kerana sekolah berkenaan adalah sekitar 10 KM sebelum sampai ke Jitra dari Alor Setar. Mujur, semasa di stesyen teksi bila saya menyebut untuk ke SMSAH, para pemandu teksi di sana menyuruh pemandu teksi yang sama untuk menurunkan saya ke Jenan (nama tempat bagi SMSAH) dalam perjalanannya kembali ke Alor Setar. Tambang teksi pada masa itu kalau tidak silap saya adalah sekitar Empat Ringgit Lima Kupang (RM4.50). Kini saya kira sewa teksi dari Alor Sear ke Jitra adalah dalam RM50.00 - 65.00. Merenung kembali peristiwa ini, saya bersyukur kerana Allah cukup menjaga saya. Cuba bayangkan seorang anak remaja kampungan, pada usia sebegitu, melakukan perjalanan sebegitu jauh sendirian. Tanpa pemeliharaan rapi Allah SWT, saya kira mungkin saya ke sasar ke mana-mana. Saya tidak ingat apakah saya perlu berganti keretapi semasa sampai di stesyen Kuala Lumpur. Saya juga tidak ingat, bagaimana saya mengurus keperluan makan dsb semasa perjalanan tersebut. Saya cuma ingat, kerana saya menempati gerabak berpangkin (tempat tidur), bila saya sampai di stesyen Alor Setar, saya dapati kasut hitam saya hilang. Pertama-tama yang perlu saya lakukan semasa sampai ke stesyen Alor Setar adalah untuk membeli selipar. Jika tidak saya akan berkaki ayam.

(2)  SMSAH mempunyai peraturan ketat dalam cara ianya mengurus disiplin dan tatahidup para pelajarnya. Apa lagi semasa saya di sana, Pengetuanya adalah Mudzafar Tate, seorang bekas tentera British yang bertukar profession menjadi guru serta menjadi warga negara Malaysia. Jadual pembelajaran yang ketat, serta pelbagai kegiatan berpersatuan, sukan serta beruniform cukup untuk menguasai sepenuhnya masa remaja saya. Saya kerana kekurangan wang, serta lantaran rakan-rakan yang sama belajar adalah dari segala pelusuk Negara, maka saya tidak mempunyai peluang untuk berjalan-jalan dan melihat-lihat keadaan Negeri Kedah pada masa itu. Perjalanan paling jauh saya adalah ke sekitar Jitra. Saya ingat saya pernah dibawa teman-teman untuk ke majlis kenduri di sebuah perkampungan di Kodiang. Saya melihat upacara majlis tidak jauh beza dengan yang sering saya hadiri di Sarawak pada masa dulu-dulu. Di majlis itu, saya diperkenalkan dengan mereka yang mempunyai gaya pertuturan yang cukup berbeza dan tidak saya fahami. Kini saya sedar bahawa mereka itu adalah orang Kedah keturunan Siam. 

(3)  Jenan adalah kawasan estet getah. Jitra merupakan kawasan pelbagai tanaman seperti padi, getah dan kelapa sawit baru mulai berkembang. Pekan Jitra sama seperti Pekan High Chaparral dalam satu siri cerita cowboy yang saya minati di tahun-tahun 1970an-1980an.  Kepala Batas iaitu Lapangan Terbang TUDM terletak sekitar 5 KM dari SMSAH. Kawasan Kepala Batas membawa ke Alor Setar (dan Yan) merupakan kawasan jelapang padi Negara. Ianya membentuk sebahagian dari MADA - Muda Agriculture Development Area. Pada usia 16 - 19 tahun, malah sehingga saya menyertai kerjaya di UPEN, Unit Perancang Ekonomi Sarawak, saya tidak kenal apa itu kemiskinan sebenarnya. Yang saya kenal adalah kepayahan. Payah untuk hidup lantaran keadaan sangat sulit. Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai miskin, tetapi lahir dan meremaja dalam kesusahan. Di sekitar 1960an, di Kampung saya, kami cukup makan, cukup pakaian, ada pengangkutan, punya hiburan yang melimpah. Dari segi makanan, siapa kini yang mampu untuk makan lauk udang galah tiga kali sehari? Pada masa itu, udang galah melimpah ruah. Sama bagi makanan lain-lain kecuali makanan seperti daging, epal, anggur dsb. KFC namanya pun belum ada. 

(4) Hanya bila saya sudah berkerjaya serta dihantar oleh Jabatan untuk menghadiri Seminar Kemiskinan di Langkawi sekitar 1987 baru saya mulai meneliti apa maksud miskin. Ya, sebagai seorang berkelulusan Ijazah Sains, pastinya soal-soal sosial masyarakat bukan bidang yang saya pelajari atau kaji. Mungkin juga kerana itu, semasa menjadi pelajar UKM di Kampus Pantai Baru (Fakulti Sains), saya langsung tidak mengindahkan segala pekik hiruk Anwar Ibrahim tentang kemiskinan. Jika saya kenal erti kemiskinan samasa saya masih di Kampus Lembah Pantai, mungkin sekarang saya juga kaki pekik kelolong sepertinya Anwar dalam bab-bab kemiskinan. Syukur, sekali lagi saya dapat melihat betapa Allah sangat-sangat memelihara saya, sedemikian rupa, saya kini tidak melihat kemiskinan dari perspektif sosial tetapi lebih menjurus dari sudut ekologi.  Saya mengira, Abdullah Mushi melihat kemiskinan Melayu dari sudut sosial masyarakatnya. Maka terpancul dari tulisannya konsep Melayu Malas. Kemalasan menjadi sandaran pokok Abdullah Munshi dalam membahaskan kemiskinan Melayu. Anwar pula melihat kemiskinan Melayu saya kira lebih dari sudut rethoric bahasa. Maka kerena itu saya melihat ideologi kemiskinan Anwar lebih kepada hanya hiruk pikuk politik dari perjuangan hakiki. Asas hujah saya adalah, bilamana Anwar punya kesempatan tinggi untuk merobah kemiskinan di kalangan orang-orang Melayu, saya berkira dia tidakpun menunjukkan apa-apa kecemerlangan di bidang tersebut semasa dia menjawat jawatan Menteri Belia, Pertanian, Pelajaran, Kewangan malah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Mahathir Mohammed dalam buku Dilema Melayu, juga menyorot kemiskinan dan atau keterbelakangan Melayu dari sudut sosial. Bagi Mahathir, sikap malas menjadikan Melayu tidak kental berjuang untuk membina diri mereka. Mungkin hakikatnya samada Munshi, Anwar dan atau Mahathir, mereka bermain saikologi dalam pembahasan tentang kemiskinan.

(5) Kemiskinan dari sudut ekologi lain. Ekologi bermaksud sekitaran. Kita sangat jarang melihat kemiskinan bahkan jalan fikir dari sudut ekologi atau habitat kita. Ekologi dan atau habitat sangat mempengaruhi struktur kehidupan kita. Fahaman Darwin tentang evolusi ada benar sebahagiannya. Saya tidak melihat tiori Darwin dari sudut "manusia asalnya dari beruk". Saya melihat, setiap sesuatu ada proses evolusinya. Bahkan Islam itu juga melalui proses evolusi yang panjang dari Adam AS kepada Musa AS kepada Isa AS dan akhirnya kepada Muhammas SAW.  Evolusi terjadi dari tindakbalas pelbagai faktor dalam sesebuah ekologi atau sekitaran. Ekologi tropika sesungguhnya merupakan cabaran sangat besar dalam melonjakkan keperkasaan orang-orang Melayu. Keadaan ekologi hangat dan lembab menyebabkan badan kita mudah letih. Akibatnya Melayu sering kelihatan malas-malas khasnya selepas makan tengahari. Keadaan malas-malas itu sebetulnya suatu keperluan biologi untuk manusia tropika berisirehat banyak. Hutan dan cuaca tropika menjadikan persekitaran kehidupan Melayu penuh dengan segala macam penyakit merbahaya serta yang anih-anih sehingga dulunya menghasilan pemikiran-pemikiran dan amalan-amalan syirik di kalangan Melayu kuno bahkan sehingga kini. Dalam masa yang sama ekologi tropika seperti paya bakau, hutan tebal, sungai-sungai yang berseliratan, banjir, tanah runtuh dsb semuanya membentuk ekologi habitat Melayu yang cukup mencabar. Ibarat jika orang Eskimo kita tempatkan di hutan Titiwangsa atau puncak Crocker, apakah mereka akan terus hidup? Sebegitu juga, puak-puak Barat yang datang ke seluruh Nusantara, di manakah mereka memelilih untuk tinggal? Apakah di muara-muara sungai atau tebing-tebing sungai yang berair dan becak? Seingat saya, mereka lebih gemar untuk ke Cameroon Highland, Frazer Hill dsb tempat-tempat dingin. Bahkan di Sabah mereka meneroka Melisau dan di Sarawak Bario. Di Indonesia mereka lebih gemar ke Puncak, Bandung dan Bogor. Kenapa? Mereka tidak sekental Melayu untuk menempati kawasn-kawasan tropika yang lebih mencabar.

(6) Bagi saya, ekologi dan atau habitat Melayu yang menjadikan mereka keterbelakang dalam menghambat pembangunan berbanding kaum-kaum lain. Ekologi tropika kehidupan Melayu cukup menghambat kemajuan mereka. Ekologi sebegitulah yang membentuk jiwa dan semangat "lemah" atau kekurangan pada Melayu selama ini. Maka untuk merobah segala ini, cara kita mengurus Melayu harus pada jalan yang lebih kreatif. Kita tidak boleh merobah Melayu pada jalan monotonous. Melayu bukan bangsa dan atau keturunan monotonous. Kepelbagaian puak yang ada dalam dunia Melayu jelas menunjukkan bahawa Melayu adalah kaum heterogeneous.  Kepelbagaian ini menjadikan bangsa Melayu itu mempunyai jalan berfikir dan bertindak yang cukup pelbagai. Cuba lihat pada cara orang-orang Melayu mengolah beras. Beras boleh menjadi nasi putih, bubur, goreng, kerabu, dagang, lemang, ketupat, himpit dan segala macam. Inilah hakiki dan simbol kepelbagaian jalan fikir dan bertindak yang ada pada Melayu. 

(7) Sayangnya, jalan fikir dan tindakan Melayu yang cukup kreatif ini sangat jarang para pemimpin Melayu hargai. Kita membina Melayu pada lunas-lunas standard buku. Saya ingin mengambil Kedah sebagai contoh. Kedah diwartakan sebagai Jelapang Padi Negara. Kita menjadikan Kedah = Padi. Kenapa? hanya kerana Kedah pad tradisinya adalah penanam padi. Ini benar-benar pendekatan colonialism. Di kawasan MADA, 100,685 hektar tanah adalah dikhaskan untuk padi sahaja. Inilah kawasan secara relatifnya kawasan yang paling subur dan berketumpatan penduduk tinggi di Kedah. Anggaran kasar saya ini melibatkan sekitar 50,000 keluarga asas yang kini mungkin telah berpecah menjadi 100,000 - 150,000 keluarga. Dari segi penduduk mungkin 500,000 - 750,000 penduduk terlibat dalam pesawahan ini. Apakah sawah boleh melepaskan rakyat yang berkaitan keluar dari kemiskinan? Saya tidak yakin itu mungkin. Pemecahan kepemilikan tanah menjadikan keluasan yang ada sudah tidak ekonomik. Ini bukan sahaja melibat pesawahan tetapi semua sektor pekebun kecil. Sistem pewarisan tanah menjadikan tanah-tanah yang ada tidak ekonomikal untuk diurus dengan komoditi yang ada. Hakikatnya, dengan pengekalan Kedah = Jelapang Padi, boleh membiakkan kadar kemiskinan di kalangan pesawah (pekebun kecil) kita.   Biar seberapa banyak subsidi diberikan kepada perusahaan padi Negara, persoalannya, adakah ianya benar-benar membantu produktiviti serta pendapatan pesawah. Siapa sebenarnya yang mendapat manafaat dari segala subsidi dan bantuan Kerajaan? Kenapa bukan pesawah? 

(8) Bagi saya cara kita mengurus sektor orang-orang kecil: petani, pesawah, pekebun kecil, nelayan dsb adalah pada jalan yang sangat mengongkong dan menjaga status quo demi kuasa. Adakah para pemimipin Melayu yang ada benar-benar mahu menjadikan Melayu benar-benar berjaya dan perkasa? Jika itu niat dan hakikat usaha, maka kita perlu membina Melayu pada pertunjuk dan cabaran tropika yang telah Allah bentangkan. Memperkasa Melayu, cabarannya adalah sehebat cabaran orang-orang Melayu dahulu dalam mendepani cabaran alam tropika kepada mereka. Kreativiti nenek moyang Melayu dulu-dulu menjadikan Melayu dapat bertahan sehingga kini. Kini adalah masanya untuk Melayu-Melayu yang ada untuk mendepani cabaran-cabaran yang ada secara lebih kreatif, kental, dan mengikut pedoman yang telah Allah hamparkan. Sesungguhnya Allah itu mahakreatif dalam membina dan mengurus alam sejagat. Allah tidak mengurus alam sejagat kita pada konsep monotonous

(9) Maka, biar Kedah itu penting sebagai jelapang padi, jika kita boleh berfikir, dari sebatang padi, tangkai padi panjangnya rata-rata sekitar 20 sentimeter (cm), merupakan hanya 20 peratus dari sepohon padi yang tingginya sekitar satu meter. Di sini jika kita dapat mengimbau apa maksud Allah "pada rezeki kamu ada bahagian untuk pihak lain", seharusnya kita boleh berfikir, betapa 80 peratus dari pohon padi itu jika kita tidak pandai mengurusnya dengan baik, akan tersisa sebagai bahan buangan. Juga ingat pesan SAW, 90 peratus dari rezeki itu datangnya dari perdagangan (dan perusahaan). Sayangnya sejak sekian lama, Kedah hanya dilihat sebagai jelapang padi, Kedah belum diurus mengarah kepada pengurusan cekap 80 peratus hasil buangan padi. Jika sehektar sawah mampu menghasilkan 18 ton beras, maka sesungguhnya 90 tan sisa padi sejak sekian lama tidak pernah kita pedulikan. Kita tidak nampak lembu, kulat, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala potensi agro-industri pada sisa padi.

(10) Jika kita kreatif, pada 90 tan sisa padi sehektar, bagi kawasan MADA seluas 100,685 hektar, sudah pasti dapat menghasilkan 9.0 juta tan sisa. Jika ini diolah menjadi makanan lembu, In Shaa Allah kita mampu menghasilkan sekitar 840,000 lembu setahun dan ini bersamaan dengan 25 juta tan daging lembu. Dalam masa yang sama kita mampu menghasilkan 7.0 -8.0 juta tan baja organik. Jika ekonomi berkitar dapat kita rumus dari segala ini, In Shaa Allah tiada yang tidak akan mapan. Sesungguhnya hukum azali Allah dalam mengurus alam semesta ini adalah lewat proses kitaran yang cukup lengkap sempurna. Sesungguhnya lantaran kita tidak mampu menterjemah cara pengurusan Berkitar Allah, maka kita tidak mampu menguna penuh rahmat Allah, jadi tidak heran, jika kemiskinan cara menjadikan kita miskin.

Kuching, Sarawak-Gurun, Kedah

18 Mac - 28 Julai, 2022


#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.