Kebelakangan ini, saya perhatikan banyak suara-suara nyaring yang mengambarkan bahawa di dalam Malaysia "Sarawak terjajah tersepit". Saya gunakan istilah dan tulisan miring untuk suara-suara nyaring, kerana saya rasakan ada keanihan pada suara-suara tersebut. Maka suatu ketika heboh tentang S4S - Sarawak hanya untuk Sarawak. S4S dibingitkan seolah-olah ianya adalah suara seluruh anak Sarawak. Sedang S4S pada asal mulanya adalah suara-suara pada 1960an yang menentang penubuhan Malaysia. S4S laungan SUPP pada 1960an adalah agar Sarawak terus merdeka kendiri. Namun S4S SUPP berkubur untuk sekian lama, dan hanya pada PRN12 ianya kembali nyaring atas tujuan untuk menumbangkan Taib Mahmud yang kukuh bersama Barisan Nasional (BN).
(2) Pada PRN12, DAP memainkan slogan S4S agar pengundi Sarawak bencikan BN. Namun DAP gagal. Taib tetap menang bergaya dengan kekal menguasai lebih dua pertiga DUN Sarawak. Dalam PRN12, DAP hanya mampu mengugat SUPP. Kemudian dalam PRN13, Adenan Satem dengan bijak merampas S4S dari DAP menjadikan ianya slogan bagi membangkitkan semangat rakyat Sarawak untuk bersatu padu. Sesungguhnya S4S Adenan membangkitkan rasa percaya diri yang tinggi di kalangan anak-anak Sarawak untuk membina Negeri ini. Di pasca Adenan, kelanjutan dari itu, muncul pula slogan "kembalikan hak Sarawak" lewat tuntutan agar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kembali ditegakkan. MA63 telah terpinda akibat dari Langkah-Langkah Darurat 1972 (?). Ianya kemudian lalu menjalar kepada gesaan agar royalti minyak Sarawak harus ditingkatkan kepada 20 peratus, bukannya 5 peratus sepertinya kini. Dengan itu Akta Pembangunan Industri Asas Petrolium 1972 (PDA 72) mulai dipersoalkan.
(4) Persoalan yang dibangkitkan bukanlah bahawa Lembah Kelang itu sangat maju. Yang menjadi isu, secara relatif kenapa Sarawak masih jauh ketinggalan berbanding dengan Malaya. Sarawak memiliki hasil masyul yang besar. Petronas sejak 1972 telah beroleh keuntungan tinggi dari hasil pengeluaran minyak di Sarawak. Khasnya di zaman Mahathir (1981-2003), hasil dari Petronas telah diguna hebat dalam memajukan khasnya Malaya. Putera Jaya, Litar Sepang F1, KLIA, bahkan menara Petronas dsb adalah hasil sumbangan Petronas kepada Malaya. Namun untuk mengatakan bahawa semua itu adalah atas biaya minyak Sarawak, adalah tidak benar lantaran hasil perolehan Petronas sejak 1980an adalah kebanyakannya dari pelaburan di luar negara. Biar apapun, semua itu mengambarkan, biar Sarawak adalah penyumbang terbesar hasil dalam negeri Petronas, namun apakah mercu tanda Persekutuan yang ada di Sarawak? Tidak ketara. "Sarawak, dalam Malaysia seperti terabai."
(5) Persoalannya, apakah benar Sarawak terabai? Atau apa mungkin ada silap di mana-mana?
(6) Dalam pembentukan Malaysia, Sarawak, Sabah dan Malaya asalnya adalah wilayah setaraf. Setaraf lantaran kesemua wilayah ini adalah wilayah merdeka terasing. Malaya medreka pada 31 Ogos 1957. Sarawak merdeka pada 22 Julai, 1963. Sabah pula merdeka pada 31 Ogos 1963. Pengharapan asalnya pengabungan semua wilayah ini ke dalam Malaysia, maka mereka akan menikmati hak sama rata. Namun bila Malaysia telah terbentuk, maka Sarawak terus corot berbanding Malaya dan apa lagi Lembah Kelang. Saya kira suatu masa mendatang, Sarawak juga akan dibandingkan dengan Iskandar, Johor. Persoalan asas adalah kecorotan pembangunan Sarawak berbanding Malaya. Bagi Sarawak, alat untuk melonjakkan Sarawak maju cepat ke depan adalah lewat reinstalation MA63 yang akan turut membatalkan PDA72. Hanya dengan itu Sarawak akan berkuasa penuh ke atas segala hasil, bumi dan pengurusan Sarawak. Sarawak yang dimaksudkan oleh MA63 adalah Sarawak pada waktu ianya beroleh "kemerdekaan dari British" pada 22 July 1963 iaitu sekitar dua bulan sebelum pembentukan Malaysia. Sesungguhnya bagi tempoh 22 Julai 1963 sehingga 15 Sept., 1963 Sarawak adalah Negara Berdaulat yang punya wilayah dan perlembagaan tersendiri. Maka jika MA63 dapat dikembalikan, ianya seolah-olah Sarawak adalah a nation within a nation.
(11) Selama pengalaman saya berkhidmat dengan Unit Perancang Negeri (UPEN) Sarawak dari 1986 - 2002, penelitian saya, sejak Abdul Rahman Yakub sehingga Taib Mahmud dan bahkan Adenan, mereka berpunya kebebasan penuh dalam berbuat apa untuk Sarawak. Bahkan di zaman Abang Johari kini, dia juga punya segala kebebasan dalam mentadbir dan membangun Sarawak. UPEN adalah agensi negeri yang sangat bekerja rapat dengan EPU Jabatan Perdana Menteri dan segala kementerian persekutuan. UPEN adalah jambatan pentadbiran antara Kuching dan Kuala Lumpur dari segi dasar dan pembiayaan pembangunan di Sarawak. Dari RMK6-RMK10 saya melihat khasnya Taib Mahmud cukup berkuasa penuh ke atas segala rupa bentuk pembangunan di Sarawak. Kerajaan Persekutuan akur dengan segala cara yang Kerajaan Negeri kehendaki dalam bentuk dan agihan pembangunannya.
(14) Samalah di zaman Taib Mahmud (1982- 2014), lantaran Taib pernah menjadi Menteri Persekutuan, maka hubungan beliau dengan Kuala Lumpur sudah agak sebati. Taib dan Mahathir saya kira punya kesefahaman bahawa biarlah Sarawak mengurus apa yang Sarawak rasakan sesuai. Mahathir sangat tidak campurtangan dalam hal Sarawak melainkan jika diminta. Oleh yang sedemikian, saya berkira, Taib mempunyai free hand ke atas Sarawak. Mahathir tidak perlu menumpu untuk Sarawak, sebaliknya beliau menumpu untuk mengangkat martabat Kuala Lumpur. Mahathir sudah ada Ketua Menteri yang mampu mengurus Sarawak dengan baik. Inilah hakikat pengurusan Taib-Mahathir yang suara-suara bingit laungkan betapa sejak memegang pemerithanan Negara selama 22 tahun pertama Mahathir jarang ke Sarawak. Apa perlunya Mahathir sering ke Sarawak jika orang yang beliau percayai (Taib) mampu mengurus Sarawak dengan baik.
(15) Saya yakin langkah Mahathir untuk membiarkan Sarawak kepada Ketua Menteri Sarawak adalah wajar. Perdana Menteri mengurus Negara dan mengangkat martabat Kuala Lumpur (Putera Jaya), dan tugas Ketua Menteri adalah mengurus Negeri dan membina Kuching agar menjadi mercu kemajuan dan perpaduan di peringkat Negeri. Itulah konsep hakiki Persekutuan, Federalism. Ibarat di Amerika Syarikat, Presiden Amerika tidak campurtangan dalam urusan setiap Negeri. Negeri adalah tanggungjawab Gabenor. Ibarat ayah dan ibu di zaman dulu-dulu, ayah mencari nafkah, ibu mengurus rumahtanga.
(16) Najib, semasa Adenan, dalam tempoh sekitar dua tahun, membuat tidak kurang dari 50 lawatan ke Sarawak. Membandingkan Najib dengan Mahathir dari segi perhatiannya untuk Sarawak dengan mengukur lewat lawatan, adalah terlalu naif. Janganlah kita buta dengan mainan politik berbanding sistem pengurusan sebenar. Mahathir adalah zaman negara focus kepada pembangunan. Di zaman Najib, tumpuan beliau dan Negara adalah polimik politik. Setiap bulan Najib sepertinya telah membuat 1-2 lawatan ke Sarawak semasa pentadbiran Adenan. Jika dihimpun kunjungan Perdana Menteri dari Tunku sehingga Abdullah, jumlah kunjungan Najib ke Sarawak jauh lebih banyak. Namun, berapa maju Sarawak dari hasil lawatan Najib? Kalau tak silap selepas selesainya PRU13, ada khabar-khabar mengatakan Adenan kepayahan untuk menuntuk janji PRU Najib kepada Sarawak yang dianggarkan sekitar RM700 juta (?). Maka selesaikah soal jalan Sarawak yang dhaif? Selesaikah masalah sekolah di luar bandar yang seperti reban kambing? Bagaimanakah rupa jaringan internet di luar bandar Sarawak? Sesungguhnya, bermula dari zaman Abdullah menjadi Perdana Menteri, Sarawak secara relatif kian mendapat kurang pembiayaan persekutuan. Kembali di zaman Mahathir lewat PH, Sarawak ada menerima pembiayaan tambahan. Selepas itu, pembiayaan bagi Sarawak kembali relatif kurang.
(17) Hakikatnya S4S tidak perlu wujud dalam bentuk yang DAP bahkan sesiapa laungkan kini. Pertama Ketua Menteri Sarawak (melainkan Ningkan), semua mereka diberi kekebasan dalam mentadbir urusan dan pembangunan di Sarawak. Kedua, dengan slogan S4S, Sarawak ingin menuntut kembali hak MA63 dan perlucutan PDA72, saya kira Sarawak perlu perhatikan benar-benar hisab kerusi di Parlimen. Untuk Sarawak mendapat sokongan majoriti 2/3 dalam keadaan dan gaya politik Sarawak kini, saya yakin adalah sukar. Jika Sarawak mahu juga, dalam hisab politik masa kini di peringkat nasional, ibarat kata orang Simanggang dulu-dulu "abu duak sudukpun sik ada". Ketiga, usaha mengembalikan MA63 kepada bentuk asalnya maka ianya perlu rombakan Perlembagaan Malaysia kini untuk kembali ke titik asal sebelum penubuhan Malaysia. Maksudnya, jika kita kembali ke MA63 maka Perlembagaan Malaysia = Perlembangaan Malaya (1957) + Perlembagaan Sarawak (1963) + Perlembgaan Sabah (1963) = Perlembagaan sebelum 31 Ogos 1963. Adakah mana-mana persekutuan di dunia ini berpunya perlembagaan sebegitu? Saya tidak yakin ada, biar di Amerika Syarikat sekalipun.
(18) Dalam Persekutuan Malaysia, apa yang diperlukan adalah kesaksamaan agihan pembangunan. Itu yang menjadi titik perjuangan S4S yang SUPP khuatiri pada 1960an, DAP pada PRN12 dan Adenan Satem perkatakan dalam PRN13 dan kini Abang Johari cuba tegaskan. S4S hanyalah ibarat "pukul anak sindir menentu", namun jika salah disuarakan maka akan tersinggung sepertinya ada pihak "anti-Persekutuan". Silap-silap nanti timbul pula "Abdul Rahman Yakub 2.0". Pada masa ini, saya tidak nampak adanya sosok sehebat Rahman Yakub untuk dangkat menjadi Rahman Yakub 2.0. Maka saya rasakan laungan binggit S4S tidaklah perlu dalam perjuangan bagi mendapatkan pembiayaan lebih buat Sarawak. Saya yakin berasaskan pengalaman saya, pembiayaan lebih boleh Sarawak dapati jika UPEN (kini dijenamakan sebagai EPU) boleh bekerjasama akrab dengan EPU JPM dan pelbagai kementerian dan agensi pusat. Maka yang penting adalah agar UPEN mempunyai hubungan baik dengan EPU dan segala Kemneterian di Putera Jaya. Pastinya, jika Ketua Menteri dan Perdana Menteri sehaluan, itu akan menjadi lebih mudah. Pokoknya, dalam masa pemerintahan PH, Sarawak terasing sendiri. Di zaman BN (semasa Abdullah dan Najib), Kerajaan Persekutuan pada masa itu samada "kedekut" atau "suka membazir". Di zaman PN dan kini entah apa nama Kerajaan yang ada (mungkn Kerajaan Keluarga Besar Malaysia, KKBM), sesungguhnya Kerajaan Persekutuan dalam kekeringan wang. Paling parah harga pasaran minyak pula tidak setimpal ongkos pengeluaran. Maka sebinggit mana S4S disuarakan, ianya akan lebih menimbulkan masalah dari menemukan tujuan hakiki.
(19) Saya melihat, pada zaman Tun Razak beliau meletakkan asas pentadbiran awam yang cukup baik untuk Negara. Mahathir kemudian merobah dari Negara terus bergantung kepada pentadbiran awam, beliau menjurus kepada memperkasa pihak swasta terutama dengan menukar agensi awam kepada GLC. Sesungguhnya, tanpa peranan hebat GLC di tahun 1980an-1990an, Malaya tidak akan berada di manapun. Dan sesungguhnya strategi Mahathir telah merobah corak sosio-ekonomi kalangan Bumiputera.
(21) Sarawak boleh tetap pesat membangun dengan sumber kita yang ada. Saya yakin kini Sarawak boleh berbelanja sehingga RM6.00 - 10.00 billion setahun (pembiayaan Negeri dan Persekutuan). Abang Johari pada hakikatnya telah berjaya mengembalikan MA63 dan melupuskan PDA72 lewat "administrative arrangement dengan Petronas". Seharusnya sikap dan langklah kita harus kekal sebegitulah jika masih mahu kekal dalam berpersekutuan. Di tahun 1980an - 1990an, Sarawak hanya mampu berbelanja sejumlah RM3.00 - 4.50 billion. Yang perlu adalah kebijaksaan kita dalam mengembeling dan memajukan GLC Sarawak dan pihak swasta untuk turut menyumbang RM6.00 -10.00 billion setahun. Saya yakin jika ini dapat kita capai, pertumbuhan GDP Sarawak In Shaa Allah akan melonjak dari 4 - 5 peratus sekarang ke 8 - 15 peratus bagi 2022 - 2030. Apakah itu tidak mungkin? Kenapa tidak? Bagaimana Singapura mencapainya? Sebegitu juga New Zealand, bahkan Korea Selatan? Bahkan jika dilihat Kerajaan Abassiyah dan Ummayah sekitar 1,000 tahun dahulu, apakah mereka punya hutan, minyak, dsb yang Sarawak kini miliki? Tidak, namun dua Kerajaan Islam tersebut gah kembang membangkitkan temadun dunia kini.
(22) Pokoknya, Sarawak kekal merdeka biar di dalam Malaysia. Cuma kemerdekaan kita harus disertakan dengan segala kebijaksanaan, maka barulah kedaulatan kita terus kekal. Sesungguhnya, hanya dengan kebijaksaan, segala kesulitan dan kepayahan akan menjelma menjadikan kita kuat dan berdaulat. Maka sesungghuhnya, sebegitulah SAW, belaiu kekal dalam payah lantaran kepayahan adalah cubaan untuk beliau menjadi lebih terhormat dan berjaya.
Kg Terasi, Sadong Jaya, Asajaya
23 Sept., 9 Okt., 2021
0 comments:
Post a Comment