Isnin lepas, 3 Mei, 2010 saya bergegas ke KL kerana ada urusan mengejut. Dalam perjalanan itu, saya sempat mencapai sebuah novel yang saya beli semasa di Jakarta: Di Tepi Takdir, karya Samsikin Ad. Novel tersebut menjadi teman saya menanti semasa hendak menaiki pesawat dan di sepanjang perjalanan penerbangan. Novel ini merupakan Kisah Nyata (Benar) penulis semasa dalam kancah serangan Belanda untuk merebut kembali Indonesia yang telah diistiharkan merdeka oleh Sukarno-Hatta pada 17 Ogos, 1945. Kisah ini adalah kisah benar yang terpaksa dilalui oleh penulis saat usia belasan tahun, dan kini beliau sudapun berusia 76 tahun.
(2) Kisahnya terjadi di Jogjakarta, Kota bagi permulaan dan kebangaan perkembangan Tamaddun Jawa. Bila Sukarno-Hatta memerdekakan diri sebaik kekalahan Jepun, maka Belanda yang kalah dalam perundingan di the Hague, merasa malu lantas mengambil langkah nekad mengistiharkan perang dengan 'anak-anak kerdil' Indonesia. Indonesia sebagai sebuah negara yang baru merdeka selepas diratah puas Belanda sebelumnya, kemudian Jepun, pastinya menghadapi seribu satu macam kepayahan. Apa lagi, kemerdekaannya datang secara mendadak tanpa persediaan yang rapi, sehingga panji-panji Merah-Putihpun Ibu Fatmawati terburu-buru menyiapkannya.
(3) Cerita ini, adalah kemelut, derita, sengsara penulis dan masyarakat sekampungnya dalam melarikan diri dari ledakan senapang dan bom Belanda. Indonesia, sebuah negara yang baru merdeka, seperti tidak upaya untuk melindungi mereka. Sebagai anak kecil, penulis terpaksa melalui pelbagai galangan untuk terus hidup dan merdeka seperti anak-anak kecil lain yang seharusnya bebas, riang dan terpelihara.Inilah sebuah buku dari kaca mata seorang tua yang melihat hidup dalam perjuangan kemerdekaan pada zaman anak-anaknya.
(4) Saya percaya, beliau (penulis) kini sangat mengerti akan erti kemerdekaan dan pastinya dia juga sedang merinding sepi melihat bagaimana kemerdekaan yang sebahagiannya turut beliau mentarung nyawa memperjuangkannya sedang mungkin hanyut tergadai! Lihat sajalah di Jakarta, bagaimana anak-anak pribumi yang dulu sangup bergadai nyawa membela negara, memerdekakan negara, sedang mengadai nyawa menuju kepayahan dalam kemerdekaan yang kian terjual! Apakah kita di Malaysia tidak sama sahaja?
(5) Selepas habis uruasn rasmi di Putra Jaya, saya kembali ke KLIA dan singgah sebentar ke Times Book Store. Kerena kesuntukan masa, saya terus menyambar sebuah buku berjudul: How To Think Like Mahathir oleh Dalina Ismail. Potret Mahathir dengan pandangan tajam seperti cuba memahami sesuatu menjadi faktor utama saya membeli buku tersebut. Tajuk buku juga tidak sedikit godaannya!
(6) Dalam tempoh penerbangan balik ke Kuching, saya memusatkan perhatian saya untuk menghabiskan pembacaan buku ini. Namun setelah selesai membaca buku tersebut, saya tidak nampak bagaimana kandungan buku ini sangat terkait dengan tajuknya. Namun, apa yang dapat saya garap dan kongsikan adalah cadangan penulis agar kita mempergunakan otak kita untuk terus berfikir. Kebetulan seminggu lepas, saya juga ada membeli dan membaca buku tentang Ungku Aziz Ungku Omar, anak Melayu pertama yang menjadi Naib Canselor sebuah Universiti tempatan (Universiti Malaya). Ungku Aziz juga dipaparkan oleh penulis sebagai seorang pemikir bangsa, di mana hasil utama pemikiran beliau adalah keunggulan Universiti Malaya dengan pelbagai fakulti usaha seperti Kursus Asasi bagi meningkatkan bilangan pelajar Melayu di aliran teknikal dan professional dan tertubuhnya Tabung Haji. Keran pak Ungkulah maka istilah Minda (dari kata dasar Mind) terbangun, biarpun saya tidak setuju dan tidak akan menggunakannya.
(7) Dalam kerja harian kita, kita lebih banyak menggunakan Bahagian Sadar (Concious Part) otak kita. Bahagian ini merupakan hanya sebahagian kecil dari upaya sebenar otak kita. Tanggungjawap Bahagian ini adalah dalam mengurus dan mengatur segala perilaku kita yang terkawal seperti betjalan, makan, menyanyi, dsb. Namun Bahagian Tak Sadar Otak (Sub-concious Part) merupakan bahagian otak yang paling besar. Bahagian ini mempunyai kemampuan untuk 'conceptualise', mengimpi, mengkhayal, menganalisa, dsb, pendeknya ianya seperti 'software' komputer yang boleh melakukan sesuatau yang jauh lebih hebat dari biasanya. Ahli-ahli fikir, para pengkarya, para saintis, dsb lebih banyak menggunakan Bahagian Tak Sadar Otaknya dalam bekerja dari Bahagian Sadarnya. Makanya, mereka lebih sedikit bercakap, tetapi lebih banyak mengilham dan merumus!
(8) Lazimnya, manusia kurang menggunakan Bahagian Tak Sadar otaknya dalam urusan hariannya, maka dengan sebab itu kita dapati sebagaimana yang diusulkan dalam tiori Pengurusan, hanya 5 peratus sahaja dari kalangan kakitangan sesebuah Organisasi adalah 'pembuat' sedang 80-90 peratus adalah 'pengikut' dan baki 5-10 peratus adalah 'pengacau'; punyai kebenaran yang sangat mengusarkan. Dalam hubungan ini, jika kita kurang mengajak Otak kita berfikir, berfikir tajam, berfikir dalam, berfikir halus, berfikir strategis, berfikir hebat, maka kita sebenarnya mensia-siakan mungkin 95 perastus dari upaya otak kita. Alangkah sia-sianya Allah memberikan kita otak, sedang akal dan fikiran kita sempit!
(9) Saya berkira, penulis cuba menyarankan agar, jika kita ingin jadi 'bijak-bistari', maka kita mestilah mahu menjadi seorang yang suka: memerhati, mencerap (absorb), mencerakin (analyse), menyemak, dan kemudian merumus. Pendeknya, kita mesti sanggup mengupaya sepenuhnya Bahagian Tak Sadar Otak kita ketingkat tertinggi. Hanya dengan jalan itu baru kita dapat menjadi seorang pemikir yang baik.
(10) Berbalik kepada perihal Dr. Mahathir dan pengalaman Samikin Ad, keduanya sebenarnya telah melalui zaman penindasan Jepun dan Barat (British dan Belanda). Kemudian, keduanya juga telah melalui zaman kepayahan masa kecilnya, kerana sekitaran kehidupan desa dan pinggir kota yang sangat menekan. Mereka juga seperti dapat menduga akan nasib anak bangsanya jika mereka tidak mengambil satu sikap yang berani. Maka Mahathir dengan sikap memberontaknya, memilih bidang perubatan, sedang mungkin Samikin Ad dengan sikap halus perempuannya berkarya. Sebenarnya ilmu keduanya adalah untuk mengubah nasib bangsa, membela, membimbing bangsa. Mimpi (niat) mereka adalah jelas dan besar. Atas niat yang luhur, jiwa yang besar maka mereka mencari jalan yang besar untuk boleh memajukan (menyedarkan) bangsa. Saya yakin, sesiapa juga yang bercita-cita besar, pasti perlu punyai pemikiran yang hebat, bertindak kental-berani, maka baru dia menjadi besar dan hebat! Itulah asas kepada Thinking Like Mahathir, Allahuwalam!
(11) Saya mengira, cara Dr. Mahathir berfikir, dan sesiapa sahaja, adalah tergantung kepada pengalaman hidup dan tujuan hidupnya. Dr. Mahathir jadi berani bukan hanya dalam berfikir tetapi juga perbuatannya kerana dia benar-benar mahu mengubati 'penyakit sosial kaumnya': miskin, hina, tak berpelajaran, tak berkemahiran, berjiwa kerdil, 'malas', tak berasa besar, dsb. Dia juga pastinya telah banyak mengasak Otak Tak Sadarnya dalam meneliti jalan terbaik untuk kaumnya, maka dengan sebab itu, dia percaya: Think Big, Do Big and Walk Tall.
(12) Saya yakin, Dr. Mahathir, jadi sebegitu diminati oleh semua, termasuk anak-anak kecil kerana dia adalah sumber inspirasi kepada: Think Big, Do Big and Walk Tall, hanya kerana dia punyai tekad mahu yang terbaik buat bangsanya!
(13) Kita, biar siapapun kita, jika kita mahu, pasti kita boleh. Allah tidak menghalang kita untuk berusaha, berjaya atau tidak itu bukan soalan yang perlu kita takuti, cuma, bertekadlah dan berusahalah agar ianya berjaya. Kita pasti berjaya!
Kuching, Sarawak
5 May, 2010
2 comments:
menuju puncak.....
true.. true..
Post a Comment