.

2/5/10 TERIMA KASIH CEGU...

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - May 09, 2010

Share

& Comment


Isnin Pertama dalam tahun 1967 saya melangkah masuk ke Darjah 1 di Sekolah Rendah Sg. Putin (tiada kaitan dengan Presiden Russia), Pendam (kini Sadong Jaya). Allahyarham datuk saya, Othman Kecut menghantar saya ke sekolah bersama bibik, paman dan sepupu saya Khartini, Khartiman dan Supiah pada hari tersebut. Perjalanan ke sekolah adalah jalan berselut di celah-celah pohon kelapa dan pisang. Pelajaran pertama, di sekolah adalah: "Kelas Bangun! Bila cegu masuk, mesti ucapkan Selamat Pagi Chegu (ejaan lama)!", itulah ucapan Cegu kelas bila saja dia masuk. Pelajaran terakhir untuk hari pertama adalah: "Murid-murid bangun, kata "Terima Kasih Chegu (dengan lantang dan jelas)", dan kemudian berbaris keluar kelas. Itulah amalan kita sejak mula kita melangkah masuk ke sekolah sehingga kita melepasi sehingga ke Tingkat Lima atau Enam Atas.

(2) Jumaat ini, adalah Hari Guru: kita perlulah mengucapkan "Terima Kasih Cegu", biarpun kita tidak perlu lagi berdiri dan bebaris panjang untuk keluar kelas! Kita, siapapun kita, kini sedang berdiri berbaris mengatur hidup untuk diri, bangsa, negara dan agama. Kepada para guru kita yang sudah kembali ke rahmattullah, semoga berkat tekad, kesungguhan dan kemurnian kerja mereka, Allah akan pelihara dan limpahkan roh mereka dengan sepenuh kenikmatan syurgawi!

(3) Kalau tak silap, Muhammad ada berpesan, hormatilah orang tua kita, para guru kita, dan pemimpin kita (selagi mereka berbakti di jalan kebenaran). Lihatlah, bahawa junjungan Allah, meletakkan guru di tangga kedua manusia yang perlu dihormati. Maka betapa besarnya bakti dan ganjaran Allah jika seorang guru adalah juga orang tua, pengasuh dan juga pemimpin! Three-in-one!

(4) Saya teringat empat orang guru yang sering menjadi idola hidup saya. Pertamanya Cegu Sitam Deron, berasal dari Kampung Kelaka Simunjan. Dia adalah guru kelas saya semasa saya dalam darjah satu. Saya berkira kegemaran beliau adalah mathametik, dan saya sering menjadi murid suruhan dalam apa juga berkait dengan mathametik (dan Inggeris). Pernah, telingga saya berdarah kena pulas hanya kerana saya sedikit 'biol' tidak boleh hendak menyelesaikan persoalan mathametik mudah. Selepas dari kejadian itu, saya seperti 'memaksa' diri agar tidak sekali-kali pernah merasa pulasan dia lagi.

(5) Guru kedua adalah Chegu Ali Salleh, seorang berasal dari Kedah, Langkawi kalau tak silap. Dia memang guru Ilmu Hisab Biasa (Aljibra) di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH), Jitra, Kedah. Cara dia mengajar adalah dengan 'simple logic'. Banyak tindakan beliau juga adalah 'simple logic', contohnya, saya tidak begitu suka membuat sesuatu perkara yang saya sudah faham berulang-ulang. Maka saya tidak suka membuat Kerja Rumah. Setiap kali ada kerja rumah, pasti saya akan mengatakan bahawa Buku latihan saya tertinggal di asrama, dan pastinya saya mendapat, sentapan di rambut oleh beliau: "Kalau betul sudah buat Homework, pasti awaklah yang dulu hantar buku awak! Awak sebenarnya tidak buat Homework awak,. Tidak usah hendak menipu!", dan apa yang beliau cakapkan adalah benar. Namun, setelah dewasa, saya dapat mengikuti kaedah pengajaran beliau secara 'simple logic' dalam banyak bidang kerja yang sedang saya jalankan sehingga kini.

(6) Dua sahabat Pak Endit Sustrisna dan Wilmar Ismail adalah dua guru dari Indonesia yang mengajar Biologi dan Mathematik Khusus semasa saya dalam Kursu Matrikulasi. Satu masa, saya yang sentiasa ingin merdeka dalam hubungan sosial saya dengan sesiapapun semasa di sekolah, telah agak tertekan kerana rakan-rakan saya dari Kelantan tidak suka saya bersahabat baik dengan para pelajar dari Kedah dan Perak. Manakala rakan-rakan senegeri dari Sarawak pula kurang meminati saya kerana mereka menganggap saya 'rakan senegeri' yang selalu menimbulkan masalah kerana menyebabkan 'ada perselihan' antara Kedah-Kelantan-Perak. Mereka lebih suka saya menjadi 'quiet friend'!

(7) Mungkin Pak Endit dan Pak Wilmar telah memerhatikan saya, maka satu hari saya dijemput minum petang di rumah mereka. Sambil minum, Pak Wilmar telah menasihati saya, bahawa saya punya kecenderungan 'kepimpinan' yang agak tinggi. Maka, mereka menyarankan agar saya memberikan perhatian untuk membina 'daya kepemimpinan dan pergaulan' yang lebih luas. Soal akademik, saya tidak perlu mengejar untuk mendapat A, kerana dengan Markah 4D, sudah mencukupi untuk saya melangkah ke Menara Gading.

(8) Hari-hari ini, dan seterusnya mungkin dalam hidup saya, saya amat bersyukur kepada semua guru-guru yang telah 'dapat membaca' diri saya, dan menasihati saya akan jalan yang perlu saya lalui agar saya menjadi 'diri saya sepenuhnya'. Dalam hal ini, saya tidak lupa untuk mengucapkan sekali lagi terima kasih kepada Cegu Sitam Deron, Cegu Kasma Booty, Mustapha Chang (Simunjan), dan Cegu Ali, Cegu Nordin, Cegu Latifah, Cegu Noraini, Pak Wilmar dan Pak Endit yang telah membuat saya dapat mempelajari 'ilmu mengenali diri: firasat' yang sekarang saya amalkan sebagai kemahiran 'reading the body language'.

(9) Kepada Cegu Mustpaha Salleh, Cegu Ariffin, Cegu Mokthar Paiman, Cegu Tee, dan Cegu Zainab (Kelantan), ketekunan kalian menjadi idola kepada semangat saya untuk terus bekerja biar dalam keadaan tertekan sehebat mana sekalipun.

(10) Terima Kasih Cegu!

Kuching, Sarawak
9 May, 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.