.

6/2/10 SAYANG KAU TAK DUDUK DISAMPINGKU KAWAN.

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - February 15, 2010

Share

& Comment


Jadual keberangkatan pesawat AirAsia menepati waktu dengan begitu baik. Berlepas dari Kuching tepat jam 0945, pada 13 Feb., 2010 lantas tiba di LCCT KL pada jam 1115. Lansung check in, dan terbang lagi pada jam 1345 dan mendarat pada jam 1445, waktu Jakarta di Bandara Sukarno-Hatta. Urusan di Immigresen berjalan mudah dan cepat. Kali ini saya agak hati-hati dalam menjawap pertanyaan tentang arah dan tujuan saya ke Indonesia. Dalam lawatan saya pada bulan Jun, 2009, saya telah secara jujur mengatakan mahu ke Kendari dan Seram. Ternyata kedua wilayah ini agak sensitive, kerana ada sedikit keresahan kaum terdahulunya, dan pastinya, kunjungan masyarakat asing ke kedua tempat ini akan mendapat perhatian.

(2) Jakarta pada masa ini adalah musim hujan. Sebelum saya sampai, Jakarta sudah tidak henti-henti hujan, dan beberapa tempat sudah kebanjiran. Jakarta, seperti juga Kotaraya Bangkok, adalah sebuah penempatan di tanah pamah. Dari Bandara ke Pusat Jakarta, kelihatan garis "tikas" banjir di benteng-benteng longkang dan parit moonson yang terbina agak lebih tinggi dari aras biasa jalan. Benteng-benteng ini sengaja di dibina agak lebih tinggi dari jalan bagi membendung limpasan air longkang ke jalan-jalan terutama di kala hujan lebat. Sebahagian Jalan dari Kotaraya Jakarta ke Bandara terpaksa juga ditinggikan bagi keperluan mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Jakarta.

(3) Setelah berputar-putar keliling beberapa daerah di sekitar Jakarta, saya dapati, Jakarta akan menghadapi suatu masalah perbandaran yang amat rumit dalam tempoh 10-20 tahun akan datang. Sistem perparitan adalah perkara pokok. Jakarta sedang menghadapi masalah kedapatan ruang yang cukup sempit untuk keperluan perparitan. Rumah-rumah dan pagar-pagar bangunan dibina sehingga ke tepi longkang dan parit. Tiada ruang penampan disediakan. Mungkin ini hanya akan dapat di atasi kemudiannya melalui pembinaan terowong di bawah jalan.

(4) Keduanya, masalah pembentungan dan kumbahan akan kian meruncing. Pastinya kini, segalanya tercurah lepas ke dalam parit dan sungai yang melingkari Kotaraya Jakarta. Kerana bentuk geografinya yang mendatar, aliran sungai-sungai dan parit-parit ini adalah sangat lesu menjadikan sungai-sungai dan parit-parit ini sebagai tempat pembiakan sempurna bagi segala macam penyakit. Sekali lagi saya percaya, terowong bersepadu di bawah jalan akan dapat mengatasi masalah ini suatu hari nanti. Saat itu, harganya pasti tidak karuan tingginnya. Mudah-mudahan lawatan dan pengamatan saya ini baik buat pedoman saya dalam menyusun pembangunan bagi Darul Hana, tentang betapa perlunya perancangan bersepadu dan penguatkuasaan tegas dalam cara kita merencanakan dan melaksanankan pembangunan Perbandaran Sejahtera.

(5) Saya menginap di sebuah hotel di Senayan. Sengaja saya memilih hotel ini, kerana ianya jauh dari hiruk pikuk kehidupan kota. Dari jendela hotel, saya dapat melihat kegiatan sosial yang sangat aktif di sekitar Stadium Sukarno-Senayan. Sekitaran hotel ditumbuhi pohon-pohon hijau yang sudah matang. Dari kejauhan, melalui jendela hotel saya dapat melihat ‘SkyLine’ Kotaraya Jakarta. Sebuah Masjid berkubah hijau tersergam comel berdekatan dengan hotel ini.

(6) Malam 13 Feb. iaitu Malam Valentine bagi yang berkasih, saya memilih untuk makan di sebuah restauran ‘alami’ di daerah wisata Kembang. Restauran beratap genting, terbuka luas, dengan sekelilingnya di barisi longkang-longkang konkrit yang airnya deras berputar-putar digerakkan dengan pam-pam air. Di dalam longkang-longkang ini terpelihara ikan-ikan mas (tilapia). Saya kira restauran ini mengambil pendekatan pembangunan Bali yang sememangnya sangat terkenal dengan seni taman airnya. Segala perabut di restaurant ini adalah berbentuk setempat. Suasana di sini amatlah santai. Suara air dari pancuran longkang-longkan di sekeliling terutama dalam suasana gerimis sangatlah mengasyikkan. Saya memesan bebek (itek) bakar, sayur cambah (taugey) tumis gereh asin (ikan masin), dan jeruk murni es (orange juice). Mudah-mudahan suatu hari nanti saya boleh membawa pemerhatian ini sebagai sebuah hadiah buat masyarakat kita di Kuching.

(7) Selepas makan, saya berjalan ke kawasan-kawasan sekitar. Di sepanjang jalan banyak peria-peria sedang jualan mawar merah, dan pastinya saya diunjuki dan ditawari seperti memaksa, namun saya hanya menerimanya dengan gelengan dan senyuman. Kepada beberapa anak gadis manis yang turut menawari ‘bunga cinta’, saya ucapkan ‘selamat valentine’ saja.

(8) Di sepanjang jalanan Kembang sememangnya banyak restauran dan tempat-tempat hiburan. Pertunjukkan Life Band banyak sekali di sini. Cuma anihnya, kita tidak boleh mengambil gambar secara sembarangan, kerana mengikut teman saya, Evi, semua itu kerana mereka khuatir 'kecurian buah fikiran'. Saya kira, kerana kemahuan yang sungguh kuat untuk menarik pelanggan maka, banyak temnpat-tempat makan di sini direka dengan pelbagai cara yang unik buat masing-masingnya, suatu pendekatan pemasaran yang mengutamakan keselesaan dan jiwa pelangan.

(9) Keesokannya 14 Feb., 2010 saya ke Anchol sebuah daerah Wisata di Jakarta Timur. Jakarta sebetulnya terbahagi kepada lima daearh utama: Pusat, Timur, Barat, Utara dan Selatan. Dari segi hawanya, Jakarta Pusat lebih mengigit dari yang lain, kerana di sini kekurangan pohon-pohon hijau.

(10) Sebelumnya, saya ke Masjid Agung Jakarta, Masjid Istiqa. Pembinaan Masjid ini sangat istimewa. Ianya adalah bangunan bertingkat, dan kegiatan agama tampaknya sangat aktif. Dari lapangan Masjid, kita boleh mengikuti pidato para kiai. Sekeliling Masjid ditanami pohon-pohon hijau membentuk taman yang santai, namun yang cacatnya, disekelilingnya, parit besar yang amat tercemar!

(11) Sesuatau yang dapat saya ilhamkan dari pembinaan Masjid bertingkat inii, saya kira mungkin dalam pembinaan Darul Hana nanti, kita perlu menjadikan Masjid itu Komplek Kecemerlangan Ummah, di mana, Dewan Utama akan di jadikan tempat acara keagamaan dan ibadat, di samping itu, di sebelah kesamping) Masjid perlu di bina bangunan bertingkat bagi menempatkan Pusat Sumber/Khutub Khanah, Pusat Asuhan dan Tadika, Pusat Tusyen. Kesepaduan kemudahan-kemudahan ini, saya kira akan lebih memasyarakatkan Masjid dan atau memasjidkan ummah.

(12) Niat saya ke Masjid Istiqa antara lain adalah untuk meninjau secara lebih dekat ke dalam kawasan Masjid. Namun, dari corong pembesar suara, Pak Kiai yang sedang berpidato telah agak mengkagetkan saya tentang dua perkara (a) bahawa Muhammad telah bersabda bahawa umatnya akan menemui ajalnya kebanyakannya dalam lingkungan umur 60-70 tahun. Dengan pernyataan sebegini, menjadikan saya merasa kecut, kerana, dalam usia sebegini, pastinya saya sudah tidak banyak masa untuk bersikap sambil lewa. Segalanya seperti, semakin berumur diri kita, maka semakin tangkas (lebih cepat dari cepat) seharusnya kita berusaha dan berbakti untuk ummah. (b) dia juga mengundang para muslimin agar sentiasa mengumarahkan Masjid, agar sentiasa berdoa dan bertasbih kepada Allah dan para nabi agar umat kita, khususnya di Masjid di mana perlakuan ini sentiasa dilakukan, maka jika Allah hendak menurunkan bala, maka bala itu pastinya akan dialih ke tempat di mana muslimin kurang atau tidak mengumarahkannya. Saya merasa agak pelik dengan ‘penghukuman’ seperti ini? Saya percaya, dalam segalanya biarlah Allah menggunakan kuasanya, tidak elok rasanya kita seperti seolah-olah mengajukan kepadaNya. Wjar kita melihat pengertian baik dari sifat-sifat dan tindakannya dan tidak menjadikan itu laknatan yang seperti Dia bukan Maharahim dan Maharahman!

(13) Kemudian saya ke Tugu Monas. Pembangunan Tugu dan Arca adalah suatu yang lumrah dan agak unik di Indonesia. Segalanya mempunyai mitos dan tujuan tersendiri. Saya perhatikan, sesuatu yang sememangnya menarik adalah dari Senayan ke Tuggu Monas, sebelah jalan akan ditutup setiap hari Ahad dari jam 0600-1200 bagi membolehkan rakyat beracara tanpa adanya ganguan kenderaan. Anak-anak, orang dewasa, dan tua kelihatan seronok berbasikal berloma-lomba. Saya kira Jalan Sultan Abdul Samad-Jalan Tuanku Abdul Rahman di KL boleh dibuat sebegini bagi mengurangi gejala gemuk yang sedang melanda hebat masyarakat kita.Di Kuching, Padang Merdeka dan Jalan-jalan sekelilingnya mungkin bagus untuk ditutup dan dikhaskan untuk acara Rakyat pada saban Ahad.

(14) Anchol adalah seperti Theme Park dengan segala jenis hiburan berbentuk ‘alami’. Di sini, saya cukup senang melihat keluarga-keluarga dari golongan rendah beristirehat. Mereka tampaknya tersangat sederhana. Makan seadanya. Yang tua, muda dan kecil tampak sangat santai.Di kawasan pantai utama, jika dilihat tidaklah ada yang terlalu istimewa, cuma pantai pasir yang sempit, dan tebingan yang melandai. Lebuh lebar menggunakan blok-blok bata bakar, menjadi tempat santai bagi kebanyak keluarga. Terfikir juga dalam benak saya, jika hujan ke mana mereka ini akan berteduh. Pertunujkkan LifeBand juga ada di sini.

(15) Lama saya kepingin untuk menaiki perahu layar, dan saya menyewa salah sebuah dan dengan bayaran Rp200,000 saya melayari laut selama lebih kurang 45 minit. Biarpun tidak jauh ke tengah laut,ianya seperti mengimbau pelayaran nenek moyang saya menyeberangi Selat Melaka dan Laut Natuna dalam hijrah mereka ke Tanah Melayu dan Bumi Sarawak, 100-150 tahun dahulu.

(16) Di Anchol, saya amat tertarik dengan lukisan-lukisan para artis di sana. Galeri lukisan, kedai buku, dan kedai musik seperti sesuatu yang lebih saya gemari dewasa ini dari segala bentuk perniagaan lainnya,mungkin kerana, segala ini, seperti cepat menguja 'otak kiri' saya untuk bekerja. Tiga lukisan ‘alami’ yang amat menarik perhatian saya adalah tentang (a) seorang ibu yang menyarung sepatu kepada anak perempuannya, (b) seorang ibu yang sedang memasak di dapur betungku cara 1960an, dan (c) seorang ibu yang sedang menyikat rambut anak perempuannya. Semua lukisan ini mengembalikan saya kepada perilaku ibu-anak di tahun 60an, yang saya kira mengikat erat kasih sayang sang ibu-anak. Sebuah lukisan, bertajuk Pasar Baroe mengarah saya untuk ke Kota Batavia.

(17) Pasar Baroe Batavia yang terbina pada tahun 1820, adalah cuma 20 minit dari Anchol. Ianya seakan-akan Petaling Street atau Indian Street di Kuala Lumpur. Saya menelusuri Pasar Baroe ini sehingga ke Pusat Seni Jakarta, bangunan peninggalan ‘perampok’ Belanda. Berhadapan denag Pusat Seni ini banyak pondok-pondok para pelukis termpatan. Berbeda dari di Anchol, lukisan-lukisan di sini banyak berbentuk Karikatur yang membayangkan jeritan perih lirih masyarakat. Dari Jejantas, Pasar Baroe Batavia, saya merenung aliran lesu air sungai yang kekuningan penuh sampah. Mungkinkah dari sini asalnya darah yang mengalir di dalam tubuh ini, lantas mengalir merentasi Laut Jawa dan Natuna lalu hinggap di Sadong ataukah kotoran air sungai ini mengambarkan betapa kotornya ‘nasib bangsa’ yang mesti saya (kita) tanggung?

(18) Di sepanjang kelana ini, saya mengamati kata-kata yang kini sudah jarang saya dengari atau pertuturkan. Kerana, dalam banyak bicara mereka yang saya temui, mereka seperti sadar bahawa biarpun saya sentiasa memperkenalkan diri saya sebagai anak Malaysia, namun kebanyakannya saya mengerti apa yang mereka pertuturkan, lantas mereka sering bertanya: ‘Kulo Wong Malaysia, opo kulo Tiang Jawi: Saudara orang Malaysia, apakah saudara anak Jawa?’, saya menjawap “Engeh, tapi yo orak mantep boso halus meneh: “Ya, tapi sudah tidak petah lagi berbicara Jawa halus!”, dengan cara ini, saya mengharapkan isu Manuhara, Abalat, dan Pendek tidak lagi menjadi hambatan saya untuk mendasari akar Jawa Tengah saya.

(19) Malamnya saya ke sebuah gedung, Blok F-X di sebelah hotel tempat saya menginap. Gedung lapan tingkat ini dipenuhi dengan pelbagai restauran yang sungguh ‘soothing’, berwarna warninya. Saya tidak tahu, seperti tidak sengaja, kaki saya membawa saya ke sini, dan Interior Design Gedung ini benar-benar memberikan ilham kepada saya untuk menambah warna-warni bagi hadiah anak-anak muda kita di Kuching.

(20) Hari ini, 15 Feb., saya ke Perputakaan Nasional Indonesia. Adik teman saya, Nurul Aida menemani saya ke sana kira-kira jam 11.00. Sesampai di sana kami di suruh naik ke Tingkat 5, di Bahagian Koleksi Langka (Archieve). Setelah menyemak dalam daftar Electronik, buku yang selama ini saya cari tidak kedapatan. Namun kebetulan, samasa tengah menunggu lift, Nurul mencoba bertanya kepada Ibu Yanti, seorang yang sudah agak berumur namun punya hati yang sangat rendah diri. Wataknya Ibu Yanti mengingatkan saya akan para sukarelawan di Denver Public Library yang begitu peramah, sangat membantu dan sangat arif tentang buku-buku jagaan mereka. Saya ceritakan kepadanya tentang buku yang sedang saya cari, lantas dia membantu kami ke Katalog Mannual. Saya temui buku: Magdalena (Dibawah Naungan Pohon Tilia) terdjemahan Abdullah Salam (A.S) Alatas dari Madjulin terjemahan Arab oleh Mustafa Luthfi Al-Manfaluthi dari Sous Les Tilleuls karangan asli Alphonse Karr.

(21) Kerana hari sudah agak meninggi, kami terpaksa hanya boleh dilayani pada jam 13.00. Kami beredar dan menikmati makanan Padang di Rumah Padang di kawasan berhampiran. Gulai lemak tenden sapi, gulai lemak ayam kampung, tempe goreng teri dan petai, di tambah air jeruk murni dingin, menyebabkan saya bertambah makan sehingga tiga pingan.

(22) Buku novel bersaiz kecil, berjumlah 262 halaman, diterbit pada 1963, sudah berbau hapak, dan tulisannya amat kecil sekali, dalam bahasa yang sungguh indah dan asing bagi golongan kini, langsung saya pinta bantuan agar buku tersebut disalin. Pembantu Perputakaan mengambil masa hampir dua jam untuk menyalin buku tersebut. Sebetulnya, saya membaca buku ini semasa saya berusia mungkin 14-15 tahun iaitu 35-36 tahu yang lepas. Ingatan saya kepada buklu ini kembali bila saya dilanda 'Cinta Pinkish' sekitar Feb-Mei, 2009. Kenapa ingatan sebegitu lama kini kembali menjelma, saya pun kurang mengerti. Namun setelah membaca beberapa bab dari buku tersebut, saya seperti tersentap dan hanya kerana Nurul Aida ada disebelah saya semasa saya membaca buku itu sementara menanti ianya disalinkan, jika tidak, pastinya air mata saya akan bercucuran. Saya terpaksa ke Surau Al-Ilmi untuk menenangkan jiwa. Sekembali, Nurul sudah memegang salian buku itu, dan saya mencari pembantu yang membatu membuat salinan buku tersebut. Saya hulurkan Rp20,000 sebagai tanda penghargaan di atas bantuan beliau. Saya amat terperanjat dan bersyukur, dia menolak pemberian saya sambil berkata: "Ngak usah Pak, saya sudah digajian sama pemerintah", namun kerana saya merasa terlalu gembira mendapatkan buku itu, saya tetap secara terbuka menyatakan:"Ini atas ikhlas terima kasih saya kerana Mas bisa membantu buat saya memiliki buku ini. Saya datang jauh dari Malaysia, hanya untuk ini". Saya akan buatkan rencana khusu untuk buku ini, dan mungkin akan menyediakan tek electronik buat bacaan semua (demi Karya dan Bahasa Ibunda).

(23) Tadi paginya saya merencanakan mahu ke Gramidia dan Bioskop di Grand Indonesia. Namun, kerana sudah jam 15.00, jalan kian sesak, hari mahu hujan, kami membatalkan niat tersebut. Namun kami singgah di daerah Blok M, mahu minum kopi dengan segala macam kuih tradisional Indonesia. Dalam perjalanan berputar-putar dan berbelit-belit, ternyata, Jakarta, kota macet yang menyesakkan. Paling istimewa, ada beberapa Jalan diistiharkan Jalan Khusus Car Pool dimana kenderaan yang membawa kurang dari tiga penumpang tidak dibolehkan masuk. Maka di sepanjang jalan sebelum masuk ke Jalan Khusus ini, berbaris manusia, ada muda ada tua. Ada ibu yang mengendung anak, ada anak-anak gadis dan para pria, seperti mahu HickHike, dan sebetulnya mereka adalah "joki" yang boleh dibayar sekadarnya bagi upah mencukup tubuh bagi membolehkan kereta-kereta yang kekurangan penumpang memasuki Jalan-Jalan Khusus ini. Inilah rakyat Indonesia, pasti ada saja lowongan untuk hidup!

(24) Malam ini, saya tidak mahu ke mana-mana. Dengan bertemankan PC dan gadis impian, Magdalena, saya hanya ingin sendiri di kamar. Semuanya membawa saya terasa sangat lapar, lalu membelek-belek Menu Room Service, dan terlihat masakan Bebek Cabek Ijo, pada jam 1200, suatu makanan yang sukar didapati di Kuching. Cuma saya sehingga kini, seperti masih kebinggungan kerana, setiap kali saya makan masakan Jawa, pastinya kekurangan sayur dan agak berminyak, sesuatu yang amat berbeda denag cara Jawa yang saya lalui semasa bocahnya: banyak sayur, selalunya rebusan dan banyak sayur? Pagi ini, 16 Feb., 2010, dalam cuaca yang cerah dan nyaman selepas hujan tadi malamnya, saya terpaksa agak berulang alik ke kamar kecil: Cabek Ijo sudah mulai memberikan penangan, namun tidak mungkin saya kapok!

(20) Tidur saya agak kurang lena tadi malam, 15 Feb., 2010. Saya berhasrat mahu menghabiskan pembacaan saya mengenai Cinta Magdalena dan Steve, dan akhirnya saya tertidur agak lewat. Pagi ini, 16 Feb., 2010 langit Jakarta sangat cerah dan bersih. Hujan malam tadi mampu membersihkan dan mendinginkan udara Kotaraya Jakarta. Saya, ditemani Evi dan Nurul memulakan perjalanan ke Bandung, kearah Selatan Jakarta pada jam 10.00. Perjalanan agak licin. Walaupun termasuk perjalanan ini, telah tiga kali saya ke Bandung, hanya kali ini baru saya dapat melihat dengan jelas perkampungan para petani di sekitar Lebuhraya Bandung-Jakarta.

(21) Kota Bandung adalah daerah perbukitan dan pergunungan. Bentuk geografi sebegitu menyebabkan suhu di Kota Bandung agak lebih dingin dari Jakarta. Sayur-sayuran dan buah-buah temperat boleh tumbuh di sini. Hotel, Resort, Restauran, dan Spa banyak kedapatan di kota ini. Bagi kaum wanita, Bandung adalah Pusat Factory Outlets yang menjual pelbagai keluaran yang menjadi minat kaum hawa, terutamanya tektil dan pakaian. Perhatian saya dalam lawatan ini adalah lebih kepada Seni Dalaman Restauran dan Seni Taman.

(22) Setelah melalui jalan perbukitan yang melengang linguk, kami makan tengah hari Bebek Goreng Cabek Ijo denag nasi timbel, di sebuah Lesehan di Dago. Kemudian saya terus saja ke Valley sebuah hotel yang terletak di atas sebuah bukit dan menghadap ke Kota Bandung di lembahnya. Kalau di Malaysia, pastinya nama hotel ini adalah menjadi Valley View Hotel. Saya menyewa sebuah unit bertingkat di mana pada Tingkat Bawah adalah Bilik Mandi, dan Kamar Tidur di Tingkat atas. Hari sudah mulai mendung. Saya terpaksa membatalkan niat untuk ke the Peak bagi meninjau pelbagai jenis tumbuhan perhiasan di sepanjang jalan ke sana, kerana khuatir akan tersangkut dalam ribut atau paling tidak dalam macet kenderaan.

(23) Saya meneruskan pembacaan Cinta Magdalena dan Steve di anjung kamar saya yang menghadap ke Lembah Bandung. Hujan sudah mulai turun, dan melangsung sehingga malam. Biar, di malam mini sebenarnya kami mahu ke Kampung Daun, menikmati makan malam dalam deruan Air Terjun yang deras terutama di musim hujan sebegini, kerana khuatir jalan yang agak licin serta gelap, niat tersebut kami batalkan saja. Saya diet mala mini, kerana keasyikan mengikuti Cinta Magdalena dan Steve.

(24) Kerana hari masih hujan, saya mematikan aircon, dan menguak luas pintu lipat yang mendindingi kamar saya. Dari kejauhan, kelihat gemerlipan lampu-lampu Bandung dalam biasan titik-titik hujan. Suasana dingin, nyaman, terbuka menambah keasyikan saya untuk terus bersama Magdalena. Hanya pada sekitar jam 0300 pagi, 17 Fe., 2010 baru saya tertidur. Magdalena seperti terdekap erat dalam tidur saya. Bila terbangun, cuaca sungguh cerah dan nyaman sekali. Saya belum mahu bangkit awal seperti biasanya, saya terus mencapai Magdalena dan menghabiskan pembacaan saya sepenuhnya novel itu pada jam 0930, lalu kemudiannya saya bersarapan pagi dengan Pekedel Jagung dan telur Goreng Daging. Sejak embah saya sudah tidak lagi mampu ke dapur dan kini sesudah dia pergi, saya kira saya telah merindui Pekedel Jagung sejak lebih kurang 10 tahun yang lalu.

(25) Usai sarapan, kami terus berpatah balik ke Jakarta. Tiba di Jakarta lebih kurang jam 1300 dan terus ke sebuah Restauran Bali di kawasan Blok M. Seperti biasa Bebek ‘King’ dengan Nasi Timbel menjadi pilihan saya, di tambah dengan Tempe Penyet, dan Tumis Kangkung. Perahan Jeruk Murni dapat menghilangkan rasa berminyak bebek panggang.

(26) Selepas check-in di Senayan, saya terus saja ke Komplek Belibelah Grand Indonesia. Saya menghabiskan lebih kurang dua jam di Gramidia terbesar di Jakarta. Apa yang sangat menarik perhatian saya mengenai Gramidia adalah kemampuannya untuk menjual pelbagai buku bermutu mengenai Islam dan Alam Melayu. Bukan hanya untuk pembacaan berat, tetapi juga termasuk bacaan Islam dan Sejarah Melayu permulaan untuk anak-anak. Seperti biasa, buku akan menjadi tumpun pembelian saya biar ke mana saja saya pergi. Gramidia menjadi sumber bagi saya membuat Himpunan Buku-buku Islam. Di sini, saya amat bersyukur, dalam saya tengah mencari buah fikiran bagi membangunkan Darul Hana, saya mendapati empat buku yang sangat membantu: Mekah, Madinah, Jurusalam, dan Gaza.

(27) Kemudian saya ke Tingkat 3A dan 4, melihat kemudahan permainan untuk anak-anak: Kid Station. Ianya memberikan saya ilham bagaimana untuk membina “Enclosed Kid Play Area’ yang sedang saya fikirkan. Sebetulnya di Tingkat ini, di penuhi dengan pelbagai jenis restaurant, dari pelbagai jenama tempatan membawa kepada jenama-jenama luar negara (Jepun Korea, Thailand, Barat, dsb) dengan rekabentuk Seni Hiasan Dalam yang sangat menyejuk dan mengamankan. Kerana sudah agak terllau penat, saya makan Ais Krim di Cream & Fudge yang menghidangkan ais krim import bermutu tinggi dan enak.

(28) Saya kembali ke hotel sekitar jam 1900, merasa malas mau keluar lagi terus saja menyediakan bahan bagi blog ini. Saya hanya memesan Bebek Cabe Ijo untuk makan malam.

(29) Pagi ini, 18 Feb., suasana cerah dan nyaman menyelubungi Jakarta. Selepas sarapan, saya terus ke Taman Ismail Marzuki (TIM). Sebelum memasuki Jalan Sudirman, kerana waktu ini adalah Waktu Padat, kami terpaksa mengambil joki untuk mencukupkan kuota sekurang-kurangnya tiga orang penumpang. Saya meminta agar perempuan beranak kecil diambil sebagai joki. Tidak jauh, seorang ibu dan anak yang kecil dalam kendongannya berlari-lari mendapatkan kami. Dalam benak saya, apakah benar perbuatan saya ini, iaitu memilih ibu-beranak kecil. Tidakkah mungkin anak itu hanya anak pinjaman. Kenapa tidak saja saya pilih anak-anak kecil yang turut sama menjadi joki. Di sini, timbul pula persoalan, kenapa di waktu sebegini mereka tidak ke sekolah, adakah kerana mereka tidak mampu, atau mungkin ada sindiket yang mempergunakan mereka. Namun hati saya agak lega, bila si anak kecil mulai merengek-rengek memanggil-manggil ibunya. Saya pasti itu ibunya, dan harapan saya tidak sia-sia.

(30) Saya sampai ke TIM kira-kira dalam jam 10.00, lantas ke Toko Buku Langka (Lama). Saya amat girang melihat banyaknya buku-buku lama terjual di situ. Banyak karangan beberapa nama besar penulis besar Indonesia terjual disitu. Saya memililih-milih sebahagiannya, terutama yang latarbelakang mereka sedikit sebanyak pernah saya ikuti. Pastinya Magdalena dan Di Bawah Lindungna Kaabah adalah di antara buku-buku yang sedang saya cari, namun tidak terdapat di sini. Juga tidak saya temui sebarang buku tulisan Ismail Marzuki sendiri di sini.

(31) Kebetulan semasa saya hendak membayar buku-buku yang telah saya pilih, pemilik Toko Buku iaitu Jose Rizal Manua ada disitu. Dia menyapa saya, dan bertanya adakah saya seorang penulis atau pengkarya. Kedua-duanya saya bukan. Dia seterusnnya memperkenalkan Group Teater beliau yang sering keliling dunia membuat pelbagai persembahan. Saya diajak menonton Teater yang kebetulan sedang dipersembahkan di Auditorium beselahan dengan Toko Buku beliau. Saya menolak kerana kurang punya waktu.

(32) Kemudian saya melawat ke beberapa Gedung lainnya di TIM, ini termasuk Planetarium Jakarta, Arkid Sastera Jakarta, dan Galeri Utama TIM. Di galeri ini kebetulan sedang dipertunjukkan Lukisan-lukisan Cina dan salah satu yang amat menarik perhatian saya adalah seorang ibu sambil menyusukan anaknya sedang membaca buku. Lukisan ini tidak untuk dijual.

(33) Kemudian saya makan di Galaria Restro. Saya sengaja memilih restoran ini, kerana ianya punya sama nama dengan Galeria Restro yang sedang kita bangunkan di Desa Ilmu Kota Samarahan. Suasana Hisasan Dalaman restoran ini amat menarik, dengan gabungan warna-warni dinding, seiling, lantai, perabut, perabut dan penataan lampu yang cukup kemas, teratur dan bersepadanan. Di sini saya makan Gulai Iga iaitu masakan rusuk lembu yang dimasak seperti rasa separuh kari separuh masak lemak, tetapi beranget (spicy).

(34) Dari TIM saya kemudian terus ke Taman Mini Indonesia, yang menempatkan pelbagai rupa bentuk tata rumah tradisional seluruh Indonesia. Saya terus ke Toko Buku Langka bersebelahan dengan Taman Burung. Di sini, terjual lagi banyak buku-buku lama. Saya memilih buku-buku karangan Pak Karno sebelum dan semasa dia menjadi Presiden. Begitu juga beberapa buku tulisan beberapa pengerak pemberontakan dan kemerdekaan Indonesia.

(35) Secara senyap-senyap, pemilik Toko Buku Doly Syamsudin Effendi S. (dia boleh dihubungi melalui bukulangka@yahoo.com atau pasarbukulangka@blogspot.com) mengusulakan saya membeli buku: Siapa Menabur Angin, Karangan Soegiarso Soerojo, sebuah buku yang diharamkan semasa pemerintahan Suharto, manakala pembantunya, menyerakan saya sebuah buku karangan Pak Karno: Ganyang Malaysia! Saya tersenyum dan tertawa, sambil berkata: "Lebih enak kita ganyang jengkol (jering) mas, lumayan kenyang dari perang saudara!" Mereka hanya tertawa!. Di samping itu di Taman Mini Indonesia dia huga mempunyai Toko Bukulangka di Plaza Semangi, Jakarta.

(36) Saya amat bersyukur ke sini, kerana Pak Doly kemudiannya menyerahkan buku kecil: Magdalena kepada saya. Saya seperti tidak percaya. “Ini Pak, buku yang terakhir, kerana beberapa bulan yang lalu ada juga yang mencari buku ini, dari Malaysia juga”, pastinya selepas ini, saya akan membina sebuah Kotak Kaca untuk buku ini. Pembantu beliau seperti tidak mahu kalah, mendapatkan Di Bawah Lindungan Kaabah kepada saya.

(37) Kerana hari sudah mendung, saya bergegas pulang ke hotel. Malam hujan sangat lebat. Saya tidak kemana-mana dan menumpu menyempurnakan secepatnya menelanjangi Magdalena.

(38) Hari (19 Feb.,) ini saya tidak ke mana-mana. Dari subuh sehingga tengah hari ini saya cuba menghabiskan Sisiapan saya tentang Magdalena. Alhamdullilah, sebelum Waktu Jumaat, segalannya telah usai dan saya merasa amat puas, lalu berjalan ke Masjid Khubah Biru bersebelahan dengan hotel penginapan saya. Sekali lagi, bentuk Masjid ini amat ringkas dan indah. Terbina dalam dua tingkat. Ruang Sembahyang Utama di Tingkat Atas, dan di Tingkat Bawah, juga dijadikan ruang sembahyanag dengan bantuan kemudahan audio bagi menegikuti kegiatan di Tingakat Atas. Saya mengira, pembinaan seperti ini amat baik kerana, di musim Aidil Fitri, pastinya Muslimah dapat bersembahyang secara terasing dari Muslimat. Keduanya, terdapat ruang yang lebih luas untuk pelbagai acara lain yang sesuai. Dengan cara ini juga, lebih banyak kawasan dapat dibebaskan untuk kawasan letak kereta dan Seni Taman.

(39) Terasa amat tenang bersholat di sini. Suara halus, nyaman, lancar Khariah membaca Al-Quran dan Imam berkhutbah, menjadikan saya begitu sayu dan hampir saja menitis airmata bila Imam menyeru agar Umat Indonesia perlu berbuat segala kebaikan terutama meninggalkan perlakuan rasuah yang seperti dia sudah mengakuinya di Tempat Suci ini, rasuah sudah semacam Budaya kepada Bangsa Indonesia. Saya berharap, dan berdoa, bangsa kita Melayupun sadar mengenai perkara ini, dan melarikan diri sejauhnya dari penyakit yang boleh merosakkan masa depan bangsa kita.

(40) Saya sangat bersyukur, dengan rezeki yang Allah berikan, dan atas sifat saya yang suka berkelana, berfikir, dan menghayati, mudah-mudahan dengan bekalan kesihatan dan kewarasan, serta mudah-mudah dengan tambahan keImanan saya akan dapat melalukan sesuatu yang lebih berwarna-warni dan bermakna buat anak bangsa dengan pertolongan bersungguh-sungguh dari semua. Mudah-mudahan Allah akan memlihara kesihatan dan keselamatan kita semua yang sedang keras berbakti kepadaNya.

Betawi-Jakarta, Indonesia
15-19 Feb., 201

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

ani ahmad amar said...

perjalanan yang panjang, tetapi amat mengasyikkan untuk diikuti! Bukukanlah catatan perjalanan abg dollah ini.......

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.