.

5/2/10 KITA SUDAH TERJAJAH LAGI....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - February 15, 2010

Share

& Comment





Sengaja saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching agak awal pagi ini dalam kelana saya mencari ilham-kerja. Sambil menikmati secawan Milo Panas, sementara menanti AirAsia untuk ke LCCT KL, sebuah buku: Ho Chi Minh Thought on the Military terbitan Ministry of Defense, Institute of Military History, Vietnam, hadiah sdra Busrah Bujang saya belek-belek secara sambil lalu. Sebuah buku yang serupa telah saya baca dalam perjalanan bas dari Hue-Danang ke Saigon [kini Bandaraya Ho Chi Minh] pada lawatan saya ke Vietnam pada 2008. Buku ini mengimbau ingatan saya terhadap sejarah dan masa depan bangsa Melayu kita, biar di Malaysia, Indonesia, Filipina, Siam, dan bahkan Brunei. Bangsa Melayu kita dari rumpun Cham [di Kambodia], Pattani [Thai], dan Sulu dan lain-lain serumpunnya [Filipina] sebetulnya sedang teramat goyah seperti sepohon kelapa meliuk lintuk di tebing sungai yang bila-bila saat akan roboh terbongkar-tersungkur dilanda arus-angin deras.



(2) Ho Chi Minh bangkit dalam zaman penjajahan hebat Peranchis ke atas bangsa dan negaranya Vietnam, yang terdahulunya juga, adalah sangat terdedah dari penjajahan, termasuk dari negara gergasi tetangganya China. Namun, penjajahan oleh China tidaklah menjarah (memporak peranda) seperti di bawah Peranchis. Ho Chi Minh tidak sanggup melihat bangsanya dikikis miskin-tertinggal oleh pendatang asing!

(3) Penjajah, biar siapapun mereka, tetap lanun dan perompak sifatnya. Dalam sejarah lanun dan perompak, tidak mungkin ada sifat hormat dan belas ikhsan terhadap mangsanya. Begitulah sifat dan kelakuan China, Sepanyol, Belanda, Portugis, Inggeris, Perancis, Jerman, Amerika, dan Jepun dalam melayani anak-anak jajahan mereka di rantau Nusantara dan Asia Pasifik. Revolusi Perusahaan yang tumbuh di awal abad ke 19 mengakibatkan Barat tamakkan segala sumber bagi mendokong kebangkitan ekonomi mereka. Dunia sebelah Timur menjadi tanah tumpuan jarahan mereka untuk mengisi keperluan bahan mentah revolusi perusahaan.

(4) Bukan sekadar ‘lanun dan perompak’ dari benua lain, bahkan sejarah juga telah membuktikan bahawa gerakan penjajahan yang terlahir dari rantau ini juga begitulah sifat-sifatnya. Kerajaan Buddha dan Hindu di Sriwijaya (Sumatera) dan Jawa begitulah juga sikapnya terhadap Kerajaan-Kerajaan Kecil di Tanah Melayu dan kepulauan di rantau ini. Di Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo, sama juga prihalnya. Sarawak, di bawah pemerintahan Brunei, tidak membawa kemakmuran kepada masyarakat setempat. Cukai dan segala bentuk ufti dikenakan kepada Sarawak. Anak-anak jajahan dipaksa bekerja sebagai hamba abdi dilombong-lombong, ladang-ladang, atau dusun-dusun.

(5) Pendeknya, anak-anak jajahan adalah diperlihat ibarat dan mungkin diletak setaraf dengan sang babi yang tiada maruah atau sang kerbau yang boleh diperlakukan seenaknya. Kita anak-anak, jika terjajah, adalah manusia yang tiada harga diri dan hina duduknya!

(6) Natijahnya, ‘kehinaan yang hampir saja bangsat duduknya’ taraf nenek moyang kita terdahulu sebagai anak jajahan sewajibnya menjadi ingatan dan pengajaran yang berkekalan bagi kita dewasa ini. Dan, perkara paling utama yang perlu kita ingat dan wajib elakkan adalah segala perkara yang boleh membawa kita terjajah ‘mtlak’. Kalau kita semak sejarah bangsa kita dan juga mana-mana bangsa di dunia ini, pastinya kelemahan pemerintah adalah punca segalanya. Perpecahan pentadbiran, percakaran kepimpinan, dan pergolakkan dalaman adalah punca segala penjajahan.

(7) Kini kita saksikan bahawa UMNO sedang hebat bercakaran dari dalam, cuma iannya berlaku seperti api dalam sekam. Sedikit masa dulu wujud kelompok Razak, Ku Li, Musa, dan Anwar. Paling lewat wujud kelompok Abdullah Badawi menyerang hebat kelompok Mahathir, dan kini, kelompok-kelompok ini mungkin sedang mengatur langkah mendamping dan mungkin juga tengah di sisih hebat kelompok Najib. Begitulah putaran caturan dalaman UMNO.

(8) Percaturan dalaman UMNO telah melahirkan banyak parti serpihan. Sama halnya dengan PAS. Begitu juga PKR. PBB pernah mengalami gejala yang sama. UNSO hancur berkubur. Kemudian BERJAYA amti hanyut. Semua ini, jika kita imbas adalah sama sahaja gejalanya seperri di zaman silam. Dulu wujud segala bentuk pertentangan kaum. Perebutan kuasa kerabat di Raja adalah lumrah bila saja Raja atau Sultan mangkat. Kini pertembungan, atas nama, apa sahaja: agama, fahaman, perkauman, dsb sedang melanda bangsa kita.

(9) Akibat dari segala ini, kita dewasa ini sebenarnya, tanpa kita sedari sudah memasuki alam penjajahan yang lebih rumit dan sukar dibendung. Dulu, ianya berbentuk politik. Kita boleh bersatu mengumpul semangat, mengangkat senjata berperang demi kemerdekaan. Namun itu cuma kemerdekaan politik. Kini kita sedang digelung ancaman penjajahan ekonomi dan budaya yang sangat rumit untuk memerdekakan diri.

(10) Perhatikan, kemana saja kita pergi. Di desa kecil dan terpencil membawa ke Kota besar dan gah. Lihatlah di mana saja kita berada, tanyalah, apakah kita benar-benar berkuasa?. Carrefour, Jaya Jusco, Giat, Tesco, Ekea, dsb milik siapa? Adakah kita mendapat manafaat penuh dari kekayaan tanah air kita sendiri? Milik siapakah kedai-kedai di kampung-kampung dan Luar Bandar? Kepunyaan siapakah bangunan-bangunan pencakar langit, gedung-gedung perusahaan biar besar dan kecil yang berhamburan di seluruh pelusuk tanah air? Kita sebenarnya telah terjajah hebat dari segi ekonomi!

(11) Kita dan anak-cucu kita hanyalah tidak lebih dari ’kuli’ yang menikmati hampas. Kita bontang-banting bekerja. Namun kita bekerja untuk siapa? Apakah bangsa kita menjadi kian terhormat, biarpun kita seperti paling berkuasa, kerana kita menjawat sebesar-besarnya pangkat dan kedudukan: dari DYMM ke Perdana Menteri, membawa kepada ketua segala Jabatan, dsb? Kita sebetulnya sedang bermatian memerah keringat dan otak bagi membolehkan orang lain mendapat yang terbaik! Kita hanya menguyah tulang-tulang dan sisa-sisa ludah yang tidak sepatutnya.

(12) Maka, wajiblah bagi Nik Aziz dan Najib Razak sekarang ini sejujur dan seiklhlasnya bersatu hati dan tenaga dalam membangun dan mempertahankan ‘kemerdekaan’ Melayu.

(13) Budaya kita juga sudah kian luntur. Kita sudah tidak lagi mahu bersusah payah dalam segala apa. Starbuck, McDonald, Piza Hut, Kentucky Fried Chicken, dan kini timbul pula Old Town, Kopitam, Kluang Station, Secret Recipe, dsb telah mewujudkan budaya ‘cepat dan mudah’ di kalangan anak bangsa kita. Tidak terperanjat suatu hari nanti jika ‘jaket Mao Tze Tung’ bakal menganti baju Melayu (Mahathir seperti sedang bergaya memperaga pakaian sebegini)!

(14) Samalah juga dengan Bahasa kita yang kian lenyap. Diskusi menganti berbincang. Lab menganti Bengkel atau Makmal. Bajet menganti Belanjawan. Impak sudah lebih manis dari kesan. Signifikan lebih gah bunyinya dari berkesan, penting atau perlu. Tranformasi kian dilaung nyaring berbanding dengan perubahan atau pembaharuan. Bahasa ibunda kita sudah kian terasing. Segalanya, orang kita sudah malas mahu berfikir dan bekerja keras mempertahankan bahasa sendiri. Ambil mudah sahaja. Kita tidak usah perlu berfikir keras. Inggeriskan, Peranchiskan, Arabkan, Indonesiakan, dsb bahasa kita. Kita akan jadi bangsa yang paling bangga keesokannya, kerana bahasa kita paling serasi dengan semua bahasa dan budaya. Kita bangga kerana bahasa kita bahasa glokal (entah apa maksudnya)!

(15) Anutan agama kita juga sudah kian goyah. Masjid adalah untuk orang Masjid. Surau adalah untuk orang Surau. Hal koprat adalah untuk orang koprat. Hal politik adalah untuk orang politik. Segala-galanya mesti terpisah dan terkhusus. Hukum Ekonomi ‘Smithonian’, bahawa segala sesuatu itu perlu ada pengkhususnya mesti kita ketengah dan pertahankan. Sikap ‘jaga tepi kain sendiri’ menular kuat. Tanggungjawap kemasyarakatan juga sudah kian luput. Kita sudah seperti tidak mampu dan tidak mahu memasyarakatkan segala sesuatu! Kita sudah dengan cepat jadi manusia kendiri!

(16) Suatu perkara yang amat mengkhuathirkan saya adalah ‘kemalasan dan kelalaian’ kita untuk tidak mahu berdagang. Jika ini berterusan, sampai masanya bangsa kita Melayu akan terus-terusan menjadi bangsa kelas ke tiga di tanah air sendiri. Urusan dagang seperti sesuatu yang terlalu payah dan susah buat kita. Kerana ianya payah dan susah, maka kita lebih suka berpeluk tubuh. Kita biarkan 90% dari kekayaan bangsa kita dirampok orang. Sedang jika kita lihat keliling, yang paling banyak membeli atau menjadi pengguna adalah bangsa kita, bukan bangsa pedagang. Kita seperti tidak mahu berfikir dan mengerti bahawa jika kita gunakan sebaiknya kuasa beli yang ada pada kita, sudah pasti ianya akan jauh lebih menguntungkan bangsa kita sendiri.

(17) Bayangkan jika kita hanya membeli segala macam daging dan hasil-hasilnya hanya dari kedai yang hanya dikendalikan secara halal. Bukan hanya urusan kedai mesti halal, namun pemiliknya juga mesti mengerti and mengamalkan hidup secara halal. Jika kuasa ini, dan tututan ini kita tunaikan dengan sempurna, pasti kita akan dapat memperluaskan penguasaan ekonomi kita. Marilah kita secara perseorangan dan kumpulan mengamalkan hidup ini! Marilah kita melihat bahawa Yahudi itu boleh menjadi kuat dan gagah dalam ‘diam’ kerana ada sifat-sifat mereka yang segaja Allah jadikan sebegitu agar kita mendapat pengajaran darinya. Ayuhlah kita teliti dan amalkan.

(18) Anih, kesedaran kita dalam membela bangsa, bagi kebanyakannya, hanyalah kesadaran di bibir mulut semata-mata. Kesedaran untuk sandiwara politik semata-mata. Biar oleh yang kecil dan atau yang besar. Suara membela bangsa hanyalah umpanan untuk meraih kepentingan sendiri. Kita tidak punya tekad dan iltizam, untuk berbuat apa yang kita fikirkan dan perkatakan, sejujur, seikhlasnya!

(19) Anak-anak Melayu yang menerajui institusi koprat, sudah mantap nilai koprat mereka sehingga mereka lebih leka mengejar imbuhan diri dari memperjuang dan mempertahankan masa depan bangsanya. Golongan ini seperti hanya melihat keuntungan segera (pangkat, kenaikan gaji, bonus, dividen, dan segala macam laba lainnya) tanpa ada rasa tanggungjawap kemasyarakatan. Saya khuatir, inilah golongan yang akan memawa Melayu rebah terkecundang. Inilah golongan suatu hari nanti akan diganyang oleh masyarakat Melayu, kerana mereka adalah ‘pagar yang membawa rebah’. Manusia-manusia seperti Mao Tze Tung, Hitler, Pol Pot, Fidel Castro, Khomeni, Sadam Husein, dsb terlahir kerana wujudnya golongan terlalu pentingkan diri dalam sesebuah masyarakat mereka. Namun kehadiran mereka, tidak hanya tidak dapat membendung pemasalahan yang timbul, namun mereka juga terpaksa menyebabkan kerosakan yang amat dahsyat di dalam masyarakat mereka sendiri. Apakah Melayu perlukan manusia-manusia sebegini lahir dalam bangsa ini, baru kita mahu sadar?

(20) Tulisan ini, saya perlengkapkan selepas mengunujngi daerah Wisata Kembang di Jakarta Selatan. seorang teman, secara kebetulan memesan Nasi Goreng Sambel Ulek: yang bukan main pedasnya, sehingga dia tidak mampu menyuap nasi goreng itu untuk kali keduanya. Di daearh Kembang ini, dengan enak anak bangsa Melayu baru sedang santai dan tanpa sadar segala wang hasil penat lelah sedang terbuang dikaut orang lain. Esok mereka akan kembali menjadi ‘kuli’ di mana-mana, dan hidup berputar-putar seperti Pak Beca atau Pak Ojek yang berputus asa. Pak Karno-Hatta, sudah terlalu lama pergi, untuk dapat melihat penjajahan baru ini, dan mungkin Megawati hanya sedang duduk menghibur diri?


Kuching-LCCT KL-Senayan, Jakarta
13 Feb., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.