.

2/7/10 BAPAK

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 03, 2010

Share

& Comment


Hari ini sangat indah rasanya. Angin sore menghembus lunak menderu pada celah-celah seludang kelapa yang sudah tua meninggi. Sesekali berderai buah-buah kelapa tua jatuh, meniti seludang kering yang berjuntaian, lalu menyembah bumi berdentum bagai ledakan meriam bambu yang belum seberapa panas. Burung Selasih berbulu hitam dengan dada putih terang melompat dari dahan ke dahan bersiul-siul tanda mentari kian mengantuk. Pak Muhammad, bercelana pendek biru duduk bersila rapat dianjung depan rumah papan beratap separuh zink dan nipah. Kakinya, sebelah terjuntai dihayun-hayun tanpa ada rentak lagu. Sedang di depannya terhidang kopi panas bersama rebusan ubi dengan parutan kelapa separuh tua digauli garam. Enak sekali dia menghirup kopinya dari cangkir tembikar China yang di warisinya dari bapaknya terdahulu. Padanya, tiada yang indah selain kopi, ubi rebus, nyanyian selasih, dan bisa santai di anjung rumah pusaka tinggalan bapanya.

BAYANG-BAYANG SENGSARA:
(1) Pak Muhammad, seperti puas melihat lima anak-anaknya yang kian membesar nakal. Sesekali dia melempar senyum pada mereka. Biar dalam dirinya, betapa dia pedih merindui isteri tersayang, Aishah, ibu anak-anak itu, yang telah dulu berpergian, agar hadir sama, menonton prilaku semua mereka itu, namun pada wajahnya, tersimpan dalam segala keresahan dan kesepian itu. Di depan anak-anak itu, dia sentiasa memaksa dirinya agar tidak sesekali ada wajah sesal dan duka. Dia tidak sesekali mahu anak-anaknya yang tidak puas merasa kasih seoranng ibu, menjadi hiba dan resah tidak karuan. Dalam hatinya dia sering saja berpesan pada dirinya: "Kembalinya Aishah, kerana dia sedang menyiapkan syurga buat mereka semua akhirnya, apa juga kepedihan hidupnya, pasti dia akan tanggung dengan penuh rela-tulus-terbuka. Segalanya adalah cara Allah menguji keuletan dirinya dan anak-anaknya. Suatu hari pasti ada rahmat disebalik segalanya dugaan yang dilalui mereka".

(2)Syam, Munshi, Zainab, Amin, dan Fatimah, anak-anak hasil perkongsian hidup pendeknya dengan Aishah, seperti telah tahu akan tugas masing-masing bila sore kian pamit. Syam dan Zainab riuh di dapur membantu nenek mereka menyediakan seadanya buat hidangan malam. Sedang Munshi akan berteriakan-berkejaran memimpin Amin dan Fatimah mengiring ayam-itik masuk ke reban. Anak-anak ayam yang ketinggalan ibu-ibu mereka pasti paling ribut membuat kecoh. Fatimah, anak bungsu yang hanya sempat didakap ibunya selama lima hari, kini sudah semakin lincah dan cerdik. Dia paling kuat tawa dan jeritnya bila ada anak-anak ayam berlarian degil sukar ditangkap. Kadang-kadang dia menjerit ketakutan bila ibu ayam menyerang-meneladung bila saja dia mahu menangkap anak-anaknya.

(3) Tanpa sadar, mata Pak Muhammad seperti polos, kaku, merenung jauh menusuk melewati semua dedaun, semua pepohon, merentas segala rimba, gunung dan lautan bersama fikirannya melayang dibawa angin sore, lalu hinggap pada zaman dia seusia Munshi. Munshi mengingatkan dia akan dirinya. Pada anak itu dia melihat dirinya. Pada kelincahan, pada keakraban-tanggungjawapnya kepada adik-adiknya, mengimbau dia pada dirinya pada zamannya seumur itu.

(4) Empat puloh lima tahun dahulu, keluarganya hijrah ke sini, di tanah Sadong ini. Hijrah meninggalkan Kota Kuching, melarikan jasad dan roh dari himpitan bencana Perang bawaan manusia Pendek-Bulat berpedang panjang, manusia dari Negara Matahari Terbit. Mereka adalah manusia Pendek-Bulat-Kuning yang garang-ganas. Bapanya Pak Manan, membawa semua kaum keluarganya hijrah dari Dahan, sebuah kawasan perladangan getah milikan Jerangkong Berhidung Bengkok-Inggeris, di piggir Kota Kuching, hijrah ke Sadong ini, lari jauh dari Kota yang menjadi sarang ganyangan bagi manusia kejam si Pendek-Bulat. Saat itu usianya baru menjangkau tiga tahun. Usia seorang anak yang masih kabur tentang hidup dan maunya untuk senang dan tertawa sahaja. Di saat itu dia tidak mengerti tentang duka, bahaya, dan payah kerana kedua orang tuanya ada sebagai dinding-pendokong mutlak.

(5) Namun, biar telah begitu jauh mereka berhijrah, berhimpun-berkampung bersama teman-teman lainnya di Sadong ini, tetap juga tajam hidung sang Pendek-Bulat menjejaki mereka. Sang Pendek-Bulat tahu, jika anak-anak pribumi sanggup berhimpun sebegitu jauh, pastinya akan ada kekayaan bumi yang tersimpan di sana: masakan semut berkumpul kalau tiada tumpahan gula atau titisan madu! Sadong, tidak dapat tidak turut menjadi sasaran Sang Pendek-Bulat akhirnya. Kekayaan arang batu menjadi emas tarikan Sang Pendek-Bulat. Kapal-kapal perang dan segala janakuasa di negara sang Pendek-Bulat perlukan arang batu. Serangan Inggeris, Itali, Peranchis dan Jerman di Asia Barat telah menyekat aliran minyak ke Timur jauh. Negera si Pendek-Bulat sudah ketiadaan tenaga bagi memgerakkan segala perusahaan mereka, maka mereka mesti memerah dari negara tetangga yang sebetulnya sedang lemah dalam jajahan Inggeris, Belanda, Spanyol, dan Peranchis.

(6) Pak Manan, ayahnya Muhammad telah secara rela-paksa mengetuai usaha pengalian mengguna tulang empat kerat mengeluarkan arang batu dari kerak bumi Gunung Ngeli. Dengan cangkul, tukul dan batang besi tajam, dia mengepalai rakan-rakan lain senasib menjadi hamba upahan Sang Pendek-Bulat. Dari lubang galian bawah tanah, dalam keranjang rotan dan bambu, diisi penuh ketul-ketulan arang batu, lalu digalas bertangkun di bahu atau dijunjung di kepala dikeluarkan berduyun-duyun bagai semut memunggah telur ratunya, lalu diisi ke dalam gerabak kereta kayu sorongan. Dari sana, dengan tuas, kereta gerabak kayu itu disuar ke tebing Batang Sadong untuk dipunggah ke dalam kapal yang sedia menanti. Kemudian dari itu, Pak Manan dan rakan-rakannya tidak ketahuan ke mana dan apa jadinya pada arang-rang batu itu. Himpitan sengsara hidup memendekkkan fikiran mereka! Upah sekadar hanya cukup untuk menampung hidup telah memenjarakan fikiran dan jiwa mereka. Sengsara akibat paksaan dan penindasan mematikan jiwa merdeka mereka.

(7) Tiada pengertian bahaya buat hamba-hamba upahan ini. Tertimbus akan kemungkinan runtuhan tanah tidak mereka terlintas. Kebanjiran terowong tidak pernah mereka peduli. Mereka juga tidak tahu akan keracunan dan kemungkinan ledakan gas methan. Semua kemungkinan bencana alam itu adalah sahabat buat mereka. Lelah tidak pernah mampir dalam hari-hari mereka. Saban waktu mesti kerja keras. Kemarahan dan tempeleng Sang Pendek-Bulat adalah satu dari dua ketakutan yang mutlak. Ketakutan kedua bagi mereka, adalah kelaparan pada anak-isteri yang terhimpit kerana bencana perang si gila Sang Pendek-Bulat; sependek nilai kemanusiaan mereka dan Jerangkong Putih-Hidung Bengkok, sebengkok hati mereka. Si Pendek-Bulat seperti telah jauh lebih berkuasa dari Yang Maha Esa dalam menentukan untung nasib mereka.

(8) Kerja paksa, dengan upah yang sangat tidak masuk akal, perlahan-lahan membunuh Pak Manan. Racun debu-debu arang batu dan gas methan mulai mengisi paru-paru dan salur-salur darahnya. Kian hari daging badannya kian hilang bersama hilangnya segala bungkah arang batu ditelan perut Kapal Sang Pendek-Bulat. Kerangka tubuhnya kian menjadi jelas, sejelas susunan tongkat-tongkat kayu menahan runtuhan terowong arang batu Gunung Ngeli. Suaranya kian hilang. Girangnya kian pergi. Dia lebih banyak diam. Dia sedang sakit menahan darahnya dari mengalir keluar dari segala saluran dan rerambut. Suara gagahnya kian berganti batuk-batuk yang mengegar-ganggu malam-malam tidurnya. Tidurnya payah. Tidur seisi keluarganya juga payah. Segalanya seperti sedang menuju akhir zaman.

(9) Perlahan-lahan darah memuncerat keluar dari kerongkongnya. Merah pekat berketul-ketul, bagai muntahan larva Merapi di negera asalnya yang telah lama dia tinggalkan. Sang Pendek-Bulat tiada peduli. Kerabat-rakan-taulan semua sibuk terpaksa mencari hidup. Pak Manan mulai longlai dan sering terhuyung hayang bila berjalan. Namun dia tetap degil. Tetap dia memaksa diri. Tidak dia mahu menyerah kalah. Terus dia mengali arang batu.

(10) Pada Pak Manan percaya, biarlah dia terkorban demi keselamatan anak-isteri. Anak-anaknya yang sedang tumbuh itu mesti dia jamin akan keperluan makan dan keselamatan mereka. Dia tidak rela duduk sahaja di rumah. Dia tidak mahu isterinya yang baru lepasan tiga pulohan itu terpaksa memikul beban mencari nafkah keluarga hanya kerana dia mahu beristirehat. Dia tahu dan dia mahu, biarlah sengsara terjajah ini dia hadapi dengan tabah. Dia mahu, Muhammad biarpun baru pas-pasan berbicara dapat menyaksikan dan belajar betapa hidup dalam terjajah ini amat payah dan tiada bermaruah. Dia mahu menanamkan pada fikiran dan jiwa Muhammad agar punya jiwa merdeka. Dia mahu anak itu bila dewasa nanti punya kesadaran yang tinggi untuk membebaskan bangsanya menjadi bangsa merdeka. Dia mahu anak itu menyambung usahanya menyatukan semua teman taulan dan sanak-saudaranya agar suatu hari nanti bangkit menjadi, paling tidak diri dan keluarga yang merdeka. Dia mahu naluri merdeka tertanam kuat dalam dada Muhammad. Dia mahu Muhammad menyaksikan teladan hidup payah, susah, sengsaranya menjadi bangsa terjajah!

(11) Namun takdir berkunjung datang, suatu hari ketika dia melangkah masuk ke terowong lombong, penglihatannya jadi kabur, tubuhnya mengeletar, peluhnya memercik kuat, darah menyimbah keluar dari kerongkongnya, dia rebah, tersungkur. "Hantar dia pulang", itu saja perintah dari Kapitan Pendek-Bulat sambil bertongkat pinggang. Tiada bantuan belas ikhsan darinya. Teman-teman membopong dia pergi. "Cepat hantar. Datang kerja cepat", herdik Kapitan Pendek-Bulat pada empat rakan yang berusaha membantu Pak Manan."Lain terus jalan, kerja!", herdiknya lagi bila beberapa yang lain cuba ingin turut membantu.

(12) Dua minggu Pak Manan terlantar membujur tidak bisa bangun. Makan-minumpun dia sudah payah. Dia tahu, niatnya dulu mahu pulang, membebaskan Indonesia menjadi merdeka tidak akan kesampaian. Hijrahnya hijrah kekal. Tidak dia akan bisa kembali seperti Muhammad SAW hijrah dan kembali pulang memerdekakan Kaabah. Dia tahu, hayatnya akan berkubur bersama djasadnya di Sadong. Dia tahu, anak-anaknya: Muhammad, Arnie dan Masni akan segera menjadi yatim.

(13) Di saat ini, dalam sore sebegini, Pak Manan tercunggap-cunggap mengucap dua kalimah syahadah, berserah diri pada Allah. Menyerah cita-citanya mahu pulang memerdekakan tanah tumpah darahnya Indonesia kepada Allah untuk menentukannya. Semoga ada diantara keturunannya kelak akan memerdekakan bangsanya dari belenggu penjahanan. "Ya Allah makbulkan hajatku. Indonesia, maafkan anakmu ini meninggalkanmu dan tidak sempat pulang", begitulah doanya. Begitu tebal dan kental semangat kenegaraannya. Namun semangat itu hanya hadir dalam lelehan air mata yang juga seperti payah mengalir dari kelopak matanya.

(14) Seketika sebegitu, Muhammad seperti sudah merasakan akan perpisahan kekal dengan bapanya. Dia duduk kaku memegang erat tangan bapanya. Dia memeluk kuat lengan bapanya. Tangan dan jari-jarti bapanya diramas-ramas. Dia seperti selalunya, di sore sebegini, sebegitulah berbimbingan tangan dengan bapanya berlari-lari anak meniti batas-batas sawah di belakang rumah.

(15) Dua beranak ini, saban waktu bila ada sedikit kelapangan akan bersama ke sawah. Muhammad akan bersusah payah membawa cerek kopi dan rantang bekal makanan. Keduanya akan seharian di sawah atau kebunan. Di dangau sawah dan kebunan keduanya sering ngobrol bercerita tentang masa silam Pak Manan di Tanah Palembang. Dia bercerita tentang kekejaman Belanda dalam merampas tanah-tanah dan kebunan rakyat. Dia juga bercerita tentang bagaimana bangsa Indonesia yang dulu merdeka dan bebas sehingga dapat membentuk beberapa Kerajaan Besar di Nusantara hanya kerana lalai dengan keenakan masa telah bertukar menjadi suatu bangsa yang hilang segalanya. Pak Manan, sering saja menasihat Muhammad jangan sekali-kali suka bermalas-malas, jangan sesekali mudah berputus asa, dan jangan sekali-kali takut untuk berbakti dengan akal yang luas dan tajam.

(16) Melihat wajah bapanya sebegitu payah, kini Muhammad sadar, inilah kali terakhir dia bisa memegang erat lengan bapanya, bukan di sawah, tapi di anjung ini, membimbing bapanya dalam perbaringan. Dengan sebelah tangan lagi dia memeluk adik-adiknya. Dia menahan kuat sebak di dada. Dia menahan cekal air matanya. Pada adik-adiknya, tidak sekali-kali dia menampakkan resah. Dia diam. Biarpun tangan dan tubuhnya kian mengeletar.

(17) Ibu Muhammad, Nur Intan sudah menjemput semua sanak saudara dan jiran taulan berdekatan hadir ke rumah. Semua duduk diam mengelilingi Pak Manan yang sedang terbujur payah. Ada yang pandai, mengaji Surah Yassin berulang-ulang, memohon restu Allah Yang Maha Penyayang agar melepaskan Pak Manan dari segala siksaan yang tidak tertanggung. Ada yang memijet-mijet kedua belah peha dan bahunya. Ada yang mengipas-ngipas memberi nafas segar buatnya. Sebahagian menangis terisak-isak sedih berbaur belas melihat sekujur tubuh yang dulu begitu gagah dan berjasa menyatukan mereka bersama-sama membuka perkampungan Sadong ini. Kini, tubuh dan semangat perkasa itu sudah kian longlai dan mereka seperti kebuntuan segala tanpa upaya untuk mengembalikan keperkasaan Pak Manan. Mereka kini hanya berserah, menerima apa seadanya kudrat Ilahi. Asap kemenyan bergumpal di sudut anjung, bau harumnya meresap ke seluruh ruang.

(18) Arnie baru berusia empat tahun dan Masni yang baru saja lepas bertatih, kedua-dua puteri Pak Manan, duduk patuh tersimpuh di sisi Muhammad kehairanan, tiada mengerti akan semua yang sedang terjadi. Mereka kehairanan melihat abang mereka, Muhammad menjadi sebegitu pendiam, sedang selalunya, dia tersangat mesra-manja-lawak dengan bapanya. Kedua-dua Arnie dan Masni hanya menghisap jari, sesekali merenung tajam pada bapa mereka, sesekali mengoncang-goncang bahu Pak Manan sambil berseru: "Bapak bangun, orang banyak datang". Keduanya tidak sesekali sadar bahawa roh bapa mereka ketika ini sedang perlahan-lahan mempamitkan diri. Semua mata dewasa menjadi merah berair melihat prilaku anak-anak kecil ini.

(19) Dengan suara terkesat-kesat, antara dengar dan tidak, Pak Manan berbisik pada Muhammad: "Jaga ibu, jaga adik-adik, hendaklah sentiasa berbuat baik-kebajikan, bapak pergi nak", dan dengan disusuli kalimat "Ashaduallaillah haillallah, Muhammad darasullallah", Pak Manan menutup rapat matanya tidak akan melihat lagi segalanya. Dengan satu hembusan. Dia pergi. Jari-jarinya longlai. Darahnya berhenti mengalir. Seluruh tubuhnya pastas menjadi dingin. Kulit tubuhnya memutih. Seluruh ruang anjung rumah itu terbaur semerbak wangi tanda rohnya sudah berangkat pergi, hilang dalam samaran asap-asap kemenyan, melayang bersama para malaikat maut terbang hijrah kepada Allah yang maha berkuasa. Muhammad merasa-menghidu-menyaksikan semuanya. Dia terus diam. Ayah yang juga temannya sudah tiada. Dia sadar, inilah detik mula, dia mesti berlajar jadi lelaki sendiri. Mengambil beban memimpin kedua adik-adiknya sendiri. Bahkan dalam usia ingusan enam tahun, kini dia mesti belajar jadi tiang seri keluarganya.

(20) "Pak!", bentak Munshi dari bibir tangga rumah. Bukan kepalang tersentap Muhammad, tersedar dari layangan silamnya. Kakinya memantul tanpa sedar lalu menendang cakir kopi, terguling dan jatuh berkecai ke bawah rumah. "Kenapa bapak!", jerit Munshi melihat apa yang terjadi pada bapanya. "Astaghafirullah halazim", terpancul spontan dari bibir Pak Muhammad. "Tak ada apa-apa, bapak cuma kaget", jawapnya bagi menenangkan wajah kehairanan Munshi, Amin, dan Fatimah. "Semua ayam dan itik sudah masuk reban", lapur Munshi tentang beres tugasnya pada bapanya. "Bagus, ayuh kita pergi mandi", balas Pak Muhammad sambil mencapai tuala pada ampaian dan ember berisi sabun dan berus badan menuju perigi bergiringan bersama Munshi, Amin dan Fatimah.

(21) Seperti biasa Munshi akan berlumba-lumba mengambil ember mencedok air di perigi lalu mengisi gentong, sedang si Amin dan Fatimah pula berlumba-lumba dengan kakang mereka menimba setangkas boleh air dari dalam gentongan menyirami diri dan bapanya yang asyik memberus tubuhnya serta Amin dan Fatimah dengan buih sabun memutih menyelubungi seluruh tubuh badan mereka. Suara teriakan dan tawa kegirangan Amin dan Fatimah mengundang Zainab untuk berlarian ikut sama mandi. Kemudian di susuli Syam. Bapa dan lima anak-anaknya saling berceburan mandi air perigi yang dingin nyaman. Nur Intan, ibu Pak Muhammad tumpang gembira melihat telatah anaknya dan cucu-cucunya riuh rendah di perigi. Saban hari begitulah suasana dalam keluarga ini. Mandi beramai-ramai di perigi sekeluarga adalah hiburan yang paling mengasyikkan.

AYAT KURSHI
(1) Malam itu, bercahayakan pelita minyak tanah, Pak Muhammad tujuh sekeluarga menjamu selera hasil masakan ibunya yang dibantu oleh Zainab dan Syam. "Ini Nab buat", kata Zainab kepada bapanya sambil menghulurkan sambel pecel kegemaran bapanya. "Yalah, cucu nenek memang sudah besar, dan sudah pandai memasak. Tak lama lagi nenek tak payah masak lagi", sahut neneknya sambil tersenyum puas. Munshi, bantu menyuapi si Fatimah yang masih terkial-kial untuk makan memakai sudu. "Dedek tak boleh makan sambel pecel, pedas, nanti nangis", tegur Munshi pada adiknya Fatimah setiap kali dia cuba mencapai sambal kacang-cili padi yang jadi kebanggaan kakaknya Zainab. "Dedek makan lalap kacang sama jantung pisang, pakai kicap saja", sambung Munshi sambil membahagi sedikit rebusan kacang panjang dan jantung pisang ke dalam pinggan Fatimah.

(2) Si Amin seperti selalu paling rakus. Sebelah tangan memegang potongan ikan, sebelah lagi menyuap nasi sehingga tersumbat penuh mulutnya seperti payah hendak mengunyah. "Wah, makan kok serakah begitu", tegur Munshi pada adiknya itu. "Coba makan perlahan-lahan, dikunyah benar-benar nasi dan lauknya. Jangan main telan terus", sambungnya lagi. Sambil bertinggung, Amin hanya melirik ke arah abangnya. Pak Muhammad, hanya diam, mengurut-ngurut perlahan belakang Amin. "Anak bapak seorang ini, bila besar nanti pasti kuat kerja macam gaya makannya", sampuknya sambil mengerling pada Munshi sebagai isyarat untuk tidak terlalu khuatir tentang gaya makan adiknya.

(3) Usai makan, Zainab dan Amin membantu nenek mereka mengemas segala pinggan mangkuk dan lebihan makanan. Syam dan Munshi seperti biasa akan segera ke ruang tamu, lalu mengusung rehal dan mulai mengaji. Kitab Tua berwarna merah jambu peninggalan Datuknya menjadi pilihan Munshi. Kitab itu bukan hanya memberikan warna yang nyaman dipandang, terbuat dari kertas yang lebih lembut, namun tulisan huruf-hurufnya juga besar dan terang. Cuma banyak bahagian dari Kitab Tua itu sudah koyak rambak di sana sini. Syam lebih gemar Al Quran yang baru. Munshi dan Syam bersaing kuat untuk saling mendahului dalam menguasai ayat-ayat baru. Pak Muhammad, berkain pelikat, bersongkok tinggi lusuh duduk bersandar pada dinding agak jauh dari kedua anak-anaknya yang sedang mengaji. Dia sesekali menegur ngajian Syam dan Munshi.

(4) Ditangannya ada sebatang rotan tikus panjang sehasta yang sesekali digunanya untuk mengaru-garu belakangnya yang gatal. Rotan itu juga dipukul-pukulnya ke lantai bila saja dia melihat Syam atau Munshi tidak menumpu perhatian penuh pada ngajian mereka. Rotan itu juga sebenarnya yang sering dia gunakan sebagai guru bagi melatih Syam dan Munshi agar sentiasa tangkas-menyat, gelis dalam apa juga yang disuruhnya. Rotan itu mendisiplinkan kedua anak lelakinya menjadi sentiasa menyat-gelis dalam apa juga tugasan mereka.

(5) Pak Muhammad tahu, hanya dengan sikap menyat-gelis iaitu tangkas dan cepat sahaja akan menjadikan anak-anaknya berjaya dalam hidup. Apa juga yang disuruh, mestilah dibuat dengan tangkas dan cepat, tidak berlengah-lengah, tidak bertangguh-tangguh. Begitu juga, segala peluang yang ada hendaklah ditangkap dengan tangkas dan cepat. Begitulah yang sering diajari oleh bapanya Pak Manan kepadanya semasa dia masih anak-anak dahulu, sifat dan sikap sebegitu mesti dia turuni pada anak-anaknya ini.

(6) Fatimah sering saja berulang alik antara mengendel-ngendel bapanya dan Munshi. Sesekali Munshi akan mencubit adiknya agar dia tidak menganggunya mengaji. "Kamu jangan dekat sini, budak kecil tak boleh ngaji. Nanti khualat main-main sama Al Quran, ngompol nanti bila tidur", desas Munshi bila saja Fatimah menghampirinya. Syam yang lebih pendiam wataknya hanya sesekali melayang pandang kerenah kedua adiknya.

(7) Usai membantu nenek mereka mengemas dapur, Amin dan Zainab pula akan belajar membaca Mukhadam. Munshi ditugaskan oleh bapanya untuk menunjukki kedua mereka untuk membaca Mukhadam. Bapa mereka hanya membimbing dari jauh. Sesekali Syam akan turut membantu.

(8) "Syukur, semua cucu nenek akan pandai mengaji", seru nenek Nur Intan sambil membawa masuk setalam air kopi dan gorengan ubi. "Mudah-mudahan sejuk roh ibu kamu semua di liang lahat", tambahnya sambil mengidang kopi buat santapan semua. "Mari Timah, mari duduk dekat nenek. Kasian cucu nenek seorang ini, tak seorangpun mahu mengajar dia mengaji", sambil mata nenek melirik kepada Munshi yang menoleh memandang tepat neneknya seperti tersinggung dengan perli neneknya itu. "Dia belum padai bercakap, macamana nak mengajar ngaji. Sebut Alif saja jadi Alip. Ba jadi va. Cuma Ta saja betul. Susah hendak mengajar dia nek, pelatnya susah dibetulkan. Nanti bila dia sudah besar sedikit, sudah petah bercakap, baru boleh mengaji", balas Munshi pada perlian neneknya. "Wah, nipisnya telingga cucu nenek seorang ini", sambung nenek lagi sambil terus mengurut-ngurut belakang Munshi.

(9) "Ayuh, mari kita minum. Kita cepat tidur. Esok kita mancing", sambut bapa bagi menamatkan 'sengketa' si nenek dan Munshi. "Enak tak singkong tanaman kakang?", tanya Syam pada adik-adiknya sambil dia terus menyuap ketul-ketul gorengan ubi kayu mentega. "Tapi saya tolong kakang bajakan singkong ini", balas Munshi. "Baja najis ayam", sampuk Amin. "Wah, jangan sebut yang jelek-jelek masa makan. Khualat nanti", tegur Syam pada Amin.

(10) Habis minum, Syam, Munshi dan Zainab kemudian bergegas memasang kelambu. "Malam ini siapa nak tidur dengan nenek", pohon nenek pada cucu-cucunya. "Malam ini, saya, Nab dan Timah akan tidur dengan nenek. Tapi nenek kena bercerita", aju Munshi. "Min tidur dengan bapak", potong Amin. "Ha...kakang kena tidur sendiri. Awas ada hantu", seloroh Munshi pada abangnya Syam. "Tak apa, kakang boleh baca Ayat Khursi. Semua hantu takut Ayat Khursi', balas Syam. "Hmmm pinter anak bapak", sahut Pak Muhammad sambil mengangkat jempol pada Syam.

(11) "Betulkah nek, Ayat Khursi boleh takutkan hantu", tanya Munshi. "Ya, nanti nenek ceritakan kehebatan Ayat Khursi ini", balas nenek Nur Intan mengisi rasa ingin tahu Munshi. "Ayuh kita lumba tidur. Jaga siapa lambat masuk kelambu, kakinya disambar hantu", gertak Munshi pada adik-adiknya, menjadikan mereka berlumba-lumba sembunyi diri dalam kelambu kapas jarang nenek mereka. Amin melompat masuk ke atas katil bapanya. "Awas, Amin, nanti kalau tidur usil, jatuh katil di makan hantu", usik Syam pada Amin. "Hssss, jangan cakap sembarangan. Nanti malam mengigau semua nanti", tegur Pak Muhammad.

(12) "Nek, apa cerita Ayat Khursi itu nek?", tanya Munshi pada neneknya yang sudah baring di sebelahnya. "Ini cerita zaman dulu-dulu. Suatu hari ada seorang yang sangat alim, dia pergi mengembara", kata nenek membuka cerita sambil tangannya memeluk erat Fatimah. "Kuat sikit nek, sayapun nak dengar juga", sampok Syam di kamar sebelah. "Hai anak-anak, kalaulah ibu kalian belum pergi, pasti lebih riuh dari ini. Sayang sekali ibu dan datuk kalian tidak sempat melihat kalian membesar", keluh Pak Muhammad sambil sebelah tangannya menumpang dahi. Amin yang sudah hanyut entah ke mana dipelok dan diusap-usapnya dengan penuh kasih sayang. Pada anak itu dibaca dan dibisik dan dihembusnya beberapa kali Ayat Kursi ketelinga Amin sambil berdoa agar anak itu besar nanti akan menjadi manusia berguna buat keluarga dan bangsanya.

(13) " Dia tiba di sebuah kampung, dan waktu itu waktu Assar. Lalu dia singgah sembahyang. Setelah selesai sembahyang Assar, dia lalu berdoa dan membaca Ayat Khursi lalu memohon perlindungan Allah dari segala mara bahaya. Tiba-tiba dinding surau runtuh berdentum-dentum mengakibatkan seluruh kampung jadi terkejut", sambung nenek Nur Intan. Dari kamarnya, Pak Muhammad dapat mendengar sayup-sayup penceritaan ibunya. Dia teringat, ayahnya Pak Manan juga pernah bercerita hal yang sama kepadanya. Pak Manan juga sering berpesan: "Nanti bila Muhammad sudah besar, setiap melangkah keluar pintu untuk berpergian dan tidur itu baik kalau dibaca empat kali Ayat Khursi. InsyaAllah, Allah akan melindungi kita dan harta kita dari khianat manusia, binatang buas dan bencana alam. Dia juga akan meningkatkan rasa keyakinan dan ketenangan diri kita".

(14) "Lepas itu apa jadi nek? Orang Alim itu mati ye, tertimbus?", tanya Munshi. "Ah, sabarlah, anak ini, nenek belum habis lagi dia sudah pandai buat rumusan sendiri", jawap neneknya. "Nenek lambatlah, cepatlah sikit cerita itu. Saya dah mengantuk", desis Munshi. "Tidak, mendengar dentuman kuat itu semua penduduk kampung berpusu-pusu menuju Masjid tempat si Alim itu tadi sembahyang. Alangkah terperanjatnya mereka, melihat si Alim itu masih bertafakur di sajadah, sambil matanya terpejam, tangannya masih menadah, dan mulutnya masih kumat-kamit berdoa", sambung sang nenek. "Dia orang kebal ya nek?", tanya Munshi. "Tidak, orang kampungpun datang mengerumi beliau, lalu semua merasa hairan, melihat biar si Alim telah dihempap dinding yang roboh, namun tidak sedikitpun tubuh badan dan pakaiannya tercela", sambung si nenek.

(15) "Bagaimana tuan boleh jadi tidak tercela akibat runtuhan ini?" tanya semua orang kampung yang kehairanan kuat, sambung si nenek. "Sebetulnya, Ayat Khursi yang melindungi hamba, bukan dari runtuhan dinding, tetapi dari para jin dan syaitan yang bersarang dalam masjid yang tidak dikhariahkan ini. Dinding itu runtuh kerana dirempuh para jin dan syaitan yang ketakutan akibat bacaan Ayat Khursi hamba", jelas si Alim kepada semua penduduk kampung yang mengelilinginya. "Kemudian dari itu, dia terus berlalu dan meneruskan kembaranya", terus si nenek.

(16) "Kemudian, dia sampai pula di sebuah kampung yang lain. Kerana hari sudah malam, dia bercadang untuk tumpang berteduh di mana-mana. Tiba-tiba dia nampak sebuah rumah yang besar. Bila pintu rumah diketuk, didapatinya pintu rumah tidak berkunci, selepas memberi salam dia masuk dan menyapu-nyapu lantai rumah yang dipenuhi debu. Dia baring sambil membaca Ayat Khursi untuk beberapa kali. Dia terus terlena", sambung si nenek lagi. "Pagi esoknya, orang kampung berduyun-duyun mengunjungi rumah itu. Bila sampai di sana, mereka terperanjat melihat seorang tua berjalan keluar dari rumah tersebut", si nenek menyambung cerita. "Mereka pun bertanya kepada dia. 'Tuan tidur di sini malam tadi?'. 'Ya, kenapa?', jawap si Alim. 'Tadi malam, dari hujung kampung kami nampak rumah ini keluar api menjulang-julang. Lagipun, selama ini tidak siapa berani diam di sini kerana rumah ini berpuaka', jelas mereka. 'Oh, mungkin tuan rumahnya tidak pernah sholat', jawap Si Alim. 'Tadi malam, saya sholat dan kemudian membaca Ayat Khursi beberapa kali lalu mendinding diri kepadaNya. Mungkin yang tuan-tuan lihat itu para puaka yang terbakar oleh mukzizat Ayat Khursi', sambung Si Alim. Begitulah kekuatan Ayat Khursi. Jika Munshi ke mana-mana, bersihkan diri dan mulailah langkah berpergian dengan Ayat Khursi. InsyaAllah, Allah akan memelihara Munshi", sambung penceritaan dan nasihat si nenek.

(17) "Patut bapak dan kakang sering terkumat-kamit mulut mereka bila memasuki hutan. Mereka membaca Ayat Khursi agaknya. Munshipun akan amalkan juga nek", telah Munshi. "Baik tu, dan mulai dengan tidur malam ini", sambut si nenek, sambil menguap lelah dan perlahan-lahan memejamkan mata menanda berakhirnya sebuah hari dalam kehidupan keluarga ini.

EMBAH DATANG
(1) Batang Sadong amat deras airnya. Bila musim pasang besar, terutama dua hari sebelum dan selepas bulan mengambang penuh, suatu kejadian istimewa akan terjadi di Sungai ini. Sebermula pasang, air akan meruap-ruap lalu satu asakan gelombang besar yang bermula dari Lubok Syamsu seperti menyerbu Batang Sadong. Gelombang pasang ini yang disebut benak sangat mengasyikkan untuk ditonton. Waktu purnama penuh, benak akan berada pada keadaan paling besar dan ganas.

(2) Bila ada kelapangan, Pak Muhammad tidak pernah ketinggalan membawa anak-anaknya menyaksikan gelombang benak ini. Dari tebing sungai, mereka dapat melihat betapa ganasnya gelombang benak mengasak segala sesuatu yang hanyut di tengah sungai ke tepian. Kadang-kadang perahu-perahu yang lupa ditambat kuat akan putus hanyut dan ada juga diantaranya pecah dibanting gelombang itu. Benak ini tidak ubah seperti kejadian tsunami selepas gegaran gempa bumi atau ledakan gunung berapi di dasar laut. Benak adalah kejadian rempuhan pertembungan air pasang dan surut yang deras dalam sebuah sungai yang lebar, cetek dan bermuara luas.

(3) Hari itu seperti biasa, Pak Muhammad beramai-ramai dengan anak-anaknya ke tebing sungai untuk menyaksikan benak tanggal 15 hari bulan Islam. Di tebing sungai sekitar dua ratus meter dari rumahnya sengaja Pak Muhammad membina sebuah bangsal untuk menyimpan sebuah perahu dan segala alatan menangkap ikan. Tidak sebagai selalu, sebaik sahaja benak melewati tebing sungai di depan rumahnya, Pak Muhammad tidak terus bergegas pulang. Pada hari itu, dia mengajak anak-anaknya terus menanti sambil membersihkan segala kotoran pada perahu dan sekitaran bangsalnya.

(4) Kira-kira sejam setelah benak berlalu, Munshi melaung-laung: "Bunyi macam enjin perahu embah datang", sambil matanya tertumpu ke tengah sungai. "Embah datang ya pak?", tanya Munshi pada bapanya yang tersenyum lebar. "Bagus anak bapa, tajam telingga kamu. Anak telingga tipis! Ya embah kamu datang hari ini", jawapnya.

(5) Embah Othman dan Khartewi dijadualkan datang pada hari itu. Dari kejauhan, enjin sampan jenis British Anzani kedengaran sangat jelas. Perlahan-lahan suara enjin sampan mengaum semakin kuat dan kemudian kelihatanlah Embah Othman dan Khartewi bersama Mang Sawal melambai-lambai ke arah cucu-cucunya yang sedang melompat-lompat kegirangan. Embah Othman dan Khatewi adalah datuk dan nenek di sebelah ibu kepada anak-anak Pak Muhammad. Mang Sawal adalah paman kepada anak-anak itu, yang merupakan adik paling akrab kepada almarhomah isterinya Pak Muhammad. Dulu, semasa masih bayi, Mang Sawal adalah yang sering ditugaskan mengasuh Munshi.

(6) Bila saja sampan mereka menghampiri tebing, Syam dan Munshi sudah berterjunan ke dalam air cuba menyambar tali sampan untuk diikat ditiang turus. "Kamu Syam dan Munshi, jangan anjelokan begitu-begitu. Bahaya, air kan deras itu. Nanti hanyut lemas. Juga nanti ketatap haluan perahu. Ah..ini anak Orang Otan!", jerit Embah Khartewi bila melihat olah bahaya cucu-cucunya. "Ah...masa cucu Embah dikata anak Orang Otan", balas Embah Othman. "Ayuh bantu Mamang kamu angkat barang ini ke atas", tambahnya lagi.

(7) Terkial-kial Syam dan Munshi mengangkat segala oleh-oleh bawaan Embah mereka: setandan pisang tanduk, setandan pisang kapas, seguni ubi kayu, dan seguni kelapa tua yang sudah berkupas. Ada juga beberapa biji buah labu yang tua dan muda. "Mang, kita bakar jagung nanti ya", jerit Munshi pada Mang Sawalnya bila saja dia melihat Mamangnya menjinjing beberpa ikat jagung kampung yang besar-besar.

(8) "Nanti Embah bikin bubur jagung sama waloh buat kamu. Lagi enak dari hanya jagung bakar. Ada kacang hijau sama gula nipah ngak kamu? Nah, kamu angkat waloh ini", sampuk Embah Khartewi sambil mengunjuk sebiji labu tua kepada Munshi.

(9) Syam, gemarnya pada Enjin sampan. "Mang, biar saya pikul enjin ini", pintanya pada Mang Sawal. "Ah jangan sih, mosok kamu kuat. Badan kurus macam cicak kubing. Biar nanti Mamang sendiri yang angkat", balas Mang Sawal bila melihat Syam sudah mengoyang-goyang enjin sampan cuba mencabutnya dari buritan perahu.

(10) Bapa mengiring Embah Khartewi dan Othman naik ke tebing. Dari tadi dia tersenyum dan tertawa selalu melihat dan mendengar gelagat Syam dan Munshi melayani Embah dan Mamang mereka. Si Zainab, Amin dan Fatimah tidak sabar-sabar menerpa kedua Embah mereka sebaik saja mereka melangkah kaki menaiki tebing. Kedua-dua Embah itu sepantas kilat merangkul ketiga-tiga cucu mereka yang masih kecil itu, mencium dan memeluk puas mereka.

(11) Secara kebetulan Zainab yang sangat mirip kepada ibunya dipeluk erat oleh Embah Khartewi. Diciumnya puas-puas anak itu. Direnungnya tajam mata anak itu. Anak itu, mengingatkannya kepada anaknya si Aishah ibu si Zainab. Kelincahan dan omelan Zainab persis ibunya. "Putu Embah sudah makin besar ya. Kamu ini rewel seperti ibu kamu juga", sapa Embah sambil mencubit keras pipi Zainab. "Ha...kamu masih ngompol ngak", sergah Embah kepada Fatimah. Anak kecil itu terkebil-kebil, tersipu malu. "Kawos, Embah tahu kamu masih ngompol", sampuk Munshi yang masih keceburan di air.

(12) "Ayuh semua, kita pulang", seru bapak sambil bertongkat pinggang. "Munshi, ayam dan itik belum kamu giring masuk reban. Pelita juga kamu belum sediakan", perintahnya lagi. Syam dan Munshi bergegas naik ke tebing dan berlari-lari mendahului embah dan adik-adiknya berjalan ke rumah. "Nenek, embah datang, embah datang!", jerit Munshi di sepanjang jalan menuju ke rumah buat mengkhabar kepada neneknya tentang kedatangan para tetamu itu. Di depan pintu, nenek Nur Intan sudah siap menanti biras-birasnya. Dia kelihatan tersenyum lebar.

(13) Malam itu, setelah selesai makan, seisi keluarga duduk bersila di ruang tengah. Lampu pam gasoline menerangi setiap pelusuk rumah. Seperti dijanjikan, Embah Khartewi membuat bubur jagung dan waloh. Munshi dan Si Amin paling serakah lakunya, dengan cepat saja bubur yang terhidang dihirup serobot sekali nafas. "Enakkan?", soal Embah pada putunya. Nenek Nur Intan hanya tersenyum puas sambil memangku Fatimah.

(14) "Begini Mad", buka bicara Embah Othman. "Kamu tahu, adik-adik kamu semuanya sudah dewasa semua. Jarang sekali mereka ada di rumah", sambungnya dengan merujuk kepada biras-biras bapak. "Jadi, kalau kamu tiada halangan, kami hendak bawa Si Amin tinggal dengan kami. Boleh jadi teman di rumah", sambungnya lagi. Bapa sebagai selalu tersandar pada dinding, menghembus perlahan-lahan asap rokok daunnya, termenung sejenak dengan permintaan bapa mertuanya. "Saya ngak ada masalah Pak. Bapak dengan Mak pujuklah si Munshi, kerana dia mungkin paling payah untuk berpisah dengan adik-adiknya", balas bapak.

(15) "Embah mau bawa Amin pulang ya?", soal Munshi. "Nanti siapa bantu saya giring ayam-itik dan pasang lampu?", sambungnya lagi seperti membantah. "Loh, kalau ngomong sama embah jangan kasar sih", sampuk bapa menegur Munshi yang seperti sudah meninggikan suara. Musnhi berhenti menghirup buburnya. Dia terdiam. Tetiba dia bangun dan pergi ke dapur. Dia duduk di muka pintu dapur, merenung gelap malam. Semua bicara juga seperti terhenti. "Ayuh, kita kemas-kemas. Kita tidur. Hari sudah lewat malam", usul nenek bagi memecahkan kebisuan mendadak.

(16) Bapak bangkit mendapatkan Munshi. Dari rentak jalannya Munshi, dia tahu anak itu tidak setuju adik-adiknya di pisah-pisahkan. "Udah. Esok kita sama Mang Sawal mengail dipungkar", pujuk Pak Muhammad sambil mengusap-ngusap kepada Munshi. "Lama sudah kita tidak mengail di pungkar. Pasti banyak lele dan puyu di sana", pujuk Pak Muhammad lanjut. Pungkar adalah danau terbuat dari bongkaran kayu besar yang tumbang. Tidak jauh di belakang rumah Pak Muhammad adalah hutan paya yang banyak diusahakan oleh teman-temannya untuk membangunkan kebunan dan sawah. Jika terjadi ribut kuat, pasti ada saja pohon-pohon kayu besar tumbang dan terbongkar membentuk danau-danau yang sangat baik buat pembiakan ikan keli dan puyu.

(17) Malam itu Munshi terus membisu. Dia meninggalkan dapur lalu terus menaiki katil bapanya. Dia melewati semua orang yang sedang sibuk-sibuk berkemas mahu tidur. Tiada siapa berani menyapanya. Semua orang seperti berfirasat, jika dia diam begitu, wajar dia dibiarkan saja. Jika salah tegur, pasti dia akan mengamuk. Beberapa kali dia pernah begitu, khusus bila yang difikir dan diperkatakannya benar tetapi disanggah. Bapa turut pura-pura membiarkannya begitu. Bapa tahu anak ini pasti degil dengan fikirannya. Dia harus diyakini dengan cara lain.

(18) Pagi itu, Embah Othman bangun awal sekali. Dia duduk di tangga depan. Dia, seperti mahu memasang jerat Abu Nawasnya. Sebentar kemudian Munshi pun bangun. Seperti biasa dia ke kepuk padi mengambil sekaleng padi dan beras bagi memberi makan ayam dan itik. Bila saja Embah sadar si Munshi sedang menuruni anak-anak tangga, sepantas hayunan kaki Munshi juga dia bangun lalu mengajak Munshi membuka reban dan memberi makan ayam. "Embah mahu ajar kamu untuk mengenali ayam yang paling bagus buat ibu dan bapak", katanya sambil menepuk-nepuk pundak Munshi.

(19) Pintu reban di buka. Itik-itik berlari-lari keluar mengepak-ngepak sayap tanda girang dan mungkin juga sedang membuat renggangan. Ayam-yam berterjunan dari tempat tidur mereka. Anak-anak ayam berpercikan. "Mari, Embah minta sedikit beras, buat makanan anak-anak ayam", pinta embah dari Munshi. Perlahan dan seperti lemah Munshi menghulur kaleng beras kepada Embahnya. Dia masih mengunci rapat mulutnya. Embah Othman tahu, dia mesti waspada dalam membujuk hati cucunya ini. Dia sadar, semalam dia agak terburu-buru membuat usulnya.

(20) Dia juga tahu, saat ibunya dulu mahu menghembus nafas terakhirnya, cucunya inilah yang memangku dan mengusap-ngusap dahi ibunya. Pada anak inilah ibunya berpesan agar dia menjaga adik-adiknya bila dia pergi nanti. Munshi, sememangnya sering ditugas menjaga adik-adiknya biarpun semasa ibunya masih ada. Dia menjadi pembantu rapat ibunya sejak beliau lumpuh sebelah badan selepas kelahiran Si Amin. Munshi adalah teman akrab ibunya dalam banyak keperluan hariannya. Pesan ibunya pasti menjadi amanah yang sukar dia abaikan. Hati Embah Othman terasa sangat bersalah dalam cara pengusulannya. Pasti usul itu sangat meluka hati anak itu. Dia dapat merasakan itu.

(21) "Ayam jantan itu, yang kakinya panjang, bulunya kasar-kasar dan bersih dan jengernya lurus tinggi adalah benih bapak ayam yang baik. Munshi kalau mau jual atau sembelih, yang gitu tampangnya dibairkan saja. Buat bapak ayam", sambil menunujuk ayam jalak yang sememangnya menjadi kesayangan Munshi. "Kalau mau pilih babon yang baik, pilih yang seperti itu", sambung Embah Othman sambil menuding pada ayam-ayam dara yang bergerak berkawan-kawan. "Kalau ayam babon yang sering berjalan berkumpulan begitu tandanya babon yang prihatin pada anak-anaknya. Tubuhnya harus gedi, dan kakinya tinggi. Itu tampang bagus", tambah Embah terus. Munshi mengamati ayam-ayam yang ditunjukki Embahnya. "Kalau yang itu bagaimana Embah?", tanya Munshi sambil menunjuk pada ayam-ayam dara berbulu hitam. "Wah, itu paling bagus", jawap Embah Othman. "Kalau babon berbulu hitam atau putih seluruhnya, telurnya nanti paling laris. Orang Melayu suka mencari telur-telur ayam-ayam sebegitu buat ubat-ubatan. Munshi boleh jual dengan harga mahal", sambung Embah Othman.

(20) Bapa melihat telatah cucu-datuk dari birai pintu. Dia pasti Embah Othman dalam sedikit waktu pasti bisa mengkecek anak itu. Sebentar lagi pasti mereka akan berkawan. Pak Muhammad pasti mertuanya itu, kerana dia dulu seangkatan dengan bapanya semasa menyeberang Selat Melaka hijrah dari Sumatera pasti akan memasang perangak Abu Nawasnya untuk membujuk Munshi agar melepaskan si Amin pergi.

(21) "Munshi tahu berepa ekor semua ayam-itik Munshi?", tanya embah pada Munshi. "Ada banyak embah, reban sudah tak cukup. Munshi kena besarkan reba. Bapak sudah janji nak buat nanti", jawap Munshi. "Nah, cucu Embah belum boleh mengira ya?", desak Embah lagi. "Boleh, bapak ada ajar. Saya boleh kira sampai sepuloh", jawapnya lagi dengan tegas menyanggah soalan Embahnya." kalau lebih dari sepuloh, bagaimana?", desak Embah terus. Munshi hanya geleng-geleng kepala.

(22) "Kalau gitu, Munshi mesti ke sekolah", usul Embah lagi. "Tapi kakang Syam tak sekolahpun", sanggah Munshi. "Kakang kamu takut ke sekolah. Dia hanya mahu pandai mengaji", balas Embah terus. "Tapi, sapa teman Munshi ke sekolah. Saya takut jalan sendiri. Jauh", balasnya, sambil mengingat betapa jauh dan payahnya berjalan kaki dari kampungnya ke Pekan untuk ke sekolah.

(23) "Tapi kamu mahu sekolahkan? Kamu mahu pinterkan?", tanya Embah sambil memandang tepat mata Munshi. Munshi menganggok. "Jadi, Embah mahu bawa Amin ikut Embah. Di sana nanti, Embah mahu ajar Amin jalan ke sekolah. Dia akan temankan kamu nanti ke sekolah, tapi sebelum itu dia mesti tahu jalan ke sekolah dulu. Nanti dalam enam bulan lagi, sekolah baru akan buka, kamu akan ikut Embah ke sana. Kamu akan bersekolah di kampung Embah. Kamu akan sama-sama sekolah dengan Mang Khartiman dan Bik Khartini", sambung Embah sambil merujuk kepada dua bibik dan pamannya Munshi.

(24) "Kamu mahu sekolah dan jadi pinterkan?", desak Embah lagi inginkan kepastian. Munshi diam dan menganggok-ngangok. Dari jauh, bapak terus memerhati telatah cucu-datuk itu. Di jendela, nenek Nur Intan dan Embah Khartewi juga menjenggah sama. Mereka semua sudah terasa, bahawa Munshi sudah akur tentang permintaan Embahnya. "Nanti, bila sudah besar, Munshi akan jadi orang yang pinter. Nanti Embah sekolahkan Munshi, dan Amin ikut Embah dulu", desaknya terus. Munshi terus saja mengangguk tanda setuju.

(25) "Embah, kita tangkap dua ekor ayam itu. Satu yang sudah agak tua dan satu linciran muda", usul Munshi. "Embah sembelih", usul Munshi terus. "Ayuh", jawap Embahnya tanpa banyak bicara lagi. "Kang Syam, minta pisau sembelih bapak. Embah mahu sembelih ayam", jerit Munshi pada abangnya. "pandai bantu embah sembelih ayam ngak?", tanya Embah pada Munshi. "Boleh", jawapnya ringkas. "Kamu pegang kedua kepaknya begini dengan tangan kanan", sambil Embah mengepak kedua kepak ayam linciran kebelakang dan mengunjukkannya kepada Munshi. "Tangan kiri, bantu Embah pegang kepalanya. Awas pegang dengan kuat. Jangan lepas sebelum Embah kata lepas", jelas Embah seterusnya.

(26) "Kalau sebelih ayam, tukang sebelihnya mesti mengadap matahari terbit, dan ayam menghadap matahari terbenam. Itu kiblat Kaabah. Roh ayam mesti kita hormati. Rohnya biar pergi berkiblat Kaabah. Kita mesti baca Bismillah bila mahu mulai menyembelihnya. Pisau juga mesti tajam", jelas Embah panjang. Munshi ikut memerhati rapat panduan sembelihan Embahnya.

(27) Setelah nyata kedua-dua ayam itu tidak bergerak lagi, Munshi memungut keduanya lalu membawanya ke pelantar dapur. "Embah, nek, buat sup ya", teriak Munshi sambil mencampak kedua ekor ayam yang sudah disembelih ke lantai pelantar. "Wah, kecil-kecil sudah tahu memerintah ya", sambut Embah Khartewi sambil tersenyum lebar.



Mukah, Sarawak
3 July, 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.