Dalam tempoh RM10 ie 2011-2015, kita telah menetapkan enam Teras Sasaran Negara, dan dalam istilah sekarang sebagai Bidang Keberhasilan Utama (KBU/NKRA) di antaranya adalah dalam (1) Pembendungan Jenayah (2) Memerangi Rasuah (3) Pendidikan Berkualiti (4) Peningkatan Kualiti Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah (5) Perluasan Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman (6) Peningkatan Kualiti Pengangkutan Awam. Pagi ini, sambil menunggu teman untuk balik ke Kampung, dan sambil menikmati Milo dan bubur di Samudra Court, saya cuba melihat bagaimana Masalah Rasuah telah menjadi salah satu asas pokok dalam Agenda Pembinaan Negara-Bangsa. Istilah yang digunakan adalah MEMERANGI, bukan membendung, menghindar, mengurang! Yang menariknya, tumpuan Pembasmian Rasuah, seperti sengaja terarah ke Sektor Awam: bila saja bercakap tentang rasuah, mata dan jari seperti semua tertumpu ke sektor awam. Apakah erti semua ini?
(2) Sedikit masa lalu, bila bercakap tentang sektor awam, di dada akhbar terpampang perangkaan menyatakan lebih kurang 80% kakitangan sektor tersebut dikuasai oleh kaum pribumi, dan dari angka tersebut agaknya 80% adalah kaum Melayu. Pernahkah kita terfikir, rentetan kesan kepada statistik dan masalah rasuah dan struktur perjawatan dalam sektor awam terhadap nilai moral orang Melayu? Boleh tak kalau kita rumuskan, Sektor Awam = Melayu = Rasuah? Cuba kita fikirkan dan selami dalam dan jauh!
(3) Paling sedih, bila secara tidak rasmi, ada tanggapan (tidakkah mungkin benar?), jurusan Penguatkuasaan adalah bidang di mana rasuah bermaharajalela: Perhutanan, Perikanan, Alam Sekitar, Perlesenan, Kebersihan & Kesihatan, Kastam, Immigresen, Polis, JKR, dsb. Di mata umum, kebanyakan mereka ini adalah penjawat Melayu.....juga kita lihat, inilah golongan kerjaya berseragam yang tampak segak, bergaya, namun, di mata umum, disitulah sasaran atau sarang gejala rasuah. Sekarang saya kira, dengan pelbagai corak 'seragam koprat' awam, biarpun carakerjanya tetap awam dan bukan koprat selagak seragamnya (gayanya!), semua kesalahan/kesilapan/kekhilafan penjawat awam akan menjadi lebih ketara. Pedihnya, kita seperti membenarkan: Melayu = Segak, Bergaya, 'Berkuasa' = Rasuah! Apakah ini martabat Melayu? Cuba kita fikir, faham, dalami!
(4) Memang benar perlaku rasuah di kalangan penjawat awam Melayu adalah kecil bilangannya. Pribahasa : Kerana nila setitik, susu sebelanga tercemar dan atau Kerana kerbau seekor berlumpur, semua terpalit! Maka adalah tidak wajar mengaitkan rasuah dengan seluruh penjawat awam Melayu.
(5) Namun, jika majoriti Melayu dalam perkhidmatan awam yang tahu akan amalan rasuah oleh segelintir Melayu, sedang kita bungkam, senyap, kerdil untuk berani membongkar dan paling tidak menjauh diri darinya, tidakkah kita sebenarnya juga sedang dirasuah dan merasuah! Sekali lagi, kita bangsa Melayu sudah seperti menjadi bangsa kerdil! Melayu = Kedil!
(6) Kita kena prihatin, bahawa rasuah boleh meruntuhkan ekonomi dan martabat Melayu. Bayangkan orang Melayu kecil, bila hendak berniaga hanya dengan bermodal RM10,000.00 jika terpaksa memberi sogokan baru dapat lesen berniaga, atau jika terpaksa memberi lebih dari modal yang dia ada, apakah mereka ini akan boleh berniaga? Juga jika bukan Melayu bilamana mereka memperolehi lesen berniaga dengan merasuah, adakah dia akan patuh dengan segala peraturan yang kita (Melayu) dalam Kerajaan akan tetapkan nanti. Tidakkah dia berhak mendapatkan kembali 'pelaburan rasuahnya?'. Ingatlah pesanan nenek moyang kita: Janganlah pagar membawa rebah!
(7) Memanglah, para pegawai kita yang dipertanggungjawapkan jadi 'pagar', tak pernah minta kepada Melayu yang memohon apa-apa (lesen dll), tetapi, apakah mereka ini dilayan sama cara dan tangkasnya dengan 'mereka yang merasuah'. Tak kisahlah, rasuahnya dalam bentuk apa....benda ke, layanan ke , sapaan ke...yalah rasuah boleh datang dalam apa juga bentuknya!
(8) Sinario seperti inilah, saya kira memungkinkan kenapa sebahagian besar Rakyat Negara ini tidak hormat akan peraturan Kerajaan, hanya kerana, dengan sogokkan segalanya boleh berubah: Boleh, boleh menjadi tidak boleh, Tidak boleh, boleh menjadi boleh (konsep belakang kira, tau sama tau sjalah)! Saya pernah bertengkar dengan seorang pengusaha, yang mahu buat 'short cut' untuk mendapatkan kelulusan bagi suatu keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), di mana dia berkata, ah jangan susahlah pasal itu EIA...saya boleh atur!...hahah...inilah apa sebahagian dari 'mereka' sering berkata tentang Melayu: 'Selagi anjing masih suka makan najis, kalau tidak makan, ciumpun mesti mau punya......mana ada bumi tarak kena hujan punya....mau pandai sajalah!'
(9) Saya mengajak, cubalah kita ada 'sedikit rasa terkilan' bila mereka yang ada kepentingan perniagaan dengan jawatan kita sering mengajak kita minum, dan apa tah lagi lebih dari minum. Cubalah semua Melayu ada sifat 'terkilan' dan tahu membezakan mana satu 'ajakan kawan' dan 'ajakan pancingan'. Saya rasa segan, pilu, dan marah bila melihat kita orang Melayu, cukup seronok bila dibelanja makan atau apa-apa! Ingatlah, kehancuran bangsa kita, tidak pada tangan orang lain, melainkan kita sendiri.
(10) Saya selalunya sedih dan marah melihat dan mendapati betapa Melayu, susah untuk sedar bahawa mereka sering saja dipergunakan. Kita seperti dengan mudah menerima 'persahabayan' yang tidak kekal dan bahkan merosakkan bangsa kita.
(11) Pernah seorang teman bercerita: Semasa dia masih dalam Kerajaan, bila sampai saja di l/terbang, sudah tersedia kereta mewah menanti, belum sempat check in, sudah tersedia segala layanan istimewa: makanan, hiburan, dll. Tapi sebaik saja dia pencen, orang yang sama, nak tegur diapun dah tak mahu (lihat pun dah tak kenal!). Dia lihat kita seperti 'anjing kurap'. Sampai bila kita hendak belajar, sedar dan bertindak!
(12) Hakikatnya Perang Rasuah sudah nenjadi Agenda Negara, membuktikan betapa parahnya masalah ini. Tidak perlu kita menuding jari kepada orang lain, sebaiknya kita sendiri (secara individu dan kelompok) jangan amalkan dan tidak bertolak ansur pasal rasuah, dan jika kita tahu ada berlakunya rasuah, maka kita mesti berani menegahnya. Mudah-mudahan Allah memelihara bangsa kita yang Berani, Bersih dan Bertanggungjawap!
(13) Jika kita percaya Allah itu Mahamengetahui, Mahapengasih......kita buat kerja kita sekuatnya, sejujurnya, dan kita serahkan saja rezeki kita kepadaNya. Hak kita akan tetap menjadi hak kita, jika bukan hak kita, biarpun kita mendapatnya, namun tiada barakah akhirnya.
Samudra Court, Kuching
23 January, 2010
0 comments:
Post a Comment