Semasa mundir mandir melayan teman karib, saya teringat anak-anak Pengajian Al Quran di Kampung. Lalu kami singgah ke MPH di Kuching melihat-lihat apa mungkin saya boleh berikan kepada mereka. Saat saya sedang meneliti beberapa judul buku Islami kanak-kanak, saya terdengar rintihan:”Bapak, hendak buku ini”. Saya menoleh. Terpandang seorang anak sedang memegang buku sambil mengunjuk kepada ayahnya saya kira. Jawab si bapa ”Minta pada emak” tanpa dia menoleh kepada anak tersebut. Jawab si anak ”Emak kata minta
kat bapak”. Si ayah tetap tidak menoleh. Saya hanya mengerling, mengeleng-geleng. ”Tak payahlah. Nanti kamu baca berhamburan di rumah” pintas si bapa.
(2) Minat membaca sukar untuk dididik. Jika mudah, maka tidak perlu Allah sering menegaskan Bacalah Al Quran. Membacanya, mendatangkan pahala. Mendengar bacaannyapun mendapat ganjaran pahala. Allah, kuasa yang paling berkuasapun terpaksa
menawarkan insentif agar Muslimin membaca. Membaca adalah suruhan pertama Allah kepada Muhammad SAW. Itulah besarnya psikologi hikmah membaca. Namun, bila naluri itu ada tumbuh sejadi, kita dengan mudah membunuhnya hanya kerana takut rumah berhamburan. Astafirullah. Kalam, buku adalah ilmu. Kenapa harus kita takut rumah kita berhamburan dengan ilmu?
Jikapun tidak cukup duit, katakan kepada anak itu ”Lain kali kita datang beli. Hari ini bapak belum cukup duit”.
(3) Di rumah saya di mana-mana, kehadiran buku adalah kemestian. Sesiapapun saya benarkan membaca, biar kemudian ianya bersepah di mana-mana. Buat saya, biar ilmu itu bersepah dari manusianya kemudian tidak berilmu bersepah sampah menyusah. Cuma, Alhamdulliah, atas sifat bengisnya saya semua akhirnya mengemaskan kembali apa yang mereka baca. Bahkan, di kedai dan restoran saya di Kampung, saya sediakan buku-buku untuk para pelangan baca dan atau lihat. Semuanya saya buat secara terbuka, tanpa berkunci atas keyakinan betapa segala buku itu terkandung ilmu dari Allah, milik Allah, maka biarlah ianya free access untuk sesiapa. Sepertinya Allah memberikan free access akan siang, udara, dan malam untuk semua. Percayalah, seseorang yang gemar membaca, adalah seseorang yang bakal suka menyelidik. Jika Melayu ingin cemerlang, jadilah Melayu yang suka menyelidik. Menyelidik menjadikan kita punya Intelligent Independent Mind dengan Clear Rationalisation. Apakah yang
menjadikan Shafiee, Hambali, Hanafi, Ghazali dsb hebat?
(4) Buat anak-anak Pengajian Al Quran saya di Kampung, saya belikan buku-buku dari Siri Allah Sayang Kita; Kalimah
Toyibbah; Koleksi Kisah Teladan Islam; Terima Kasih Allah; Sayang-Sayang Nabi; Al Quran Pertamaku dan sebuah Epik Melayu Hang Tuah. Sedang teman saya, membeli sebuah buku Masakan Melayu untu hadiah kepada Pembantu saya. Mungkin selepas ini dia akan pandai buat Laksa Sarawak. Lalu saya pesankan kepada teman karib saya: ”Nanti bila sampai di Kampung, bawalah anak-anak itu membaca buku-buku ini. Bawa mereka makan Laksa Sarawak. Ajar mereka membaca. Jadilah teman karib membaca mereka”. Alasan saya mudah, sesungguhnya kenangan manis banyak anak-anak terhadap nenek datuk mereka adalah kerana nenek-datuk mereka dulu-dulu adalah teman karib mereka mengaji membaca Al Quran. Saya mahu teman karib saya menjadi teman karib menyuburkan sifat gemarkan ilmu kepada anak bangsa ini, biar hanya sekelumit. InsyaAllah, dialah guru yang bakal suatu hari nanti mereka ingati. Saya hanya ingin sekadar menjadi pemudah cara. SubhannaAllah.
Nota:
Saya berdoa agar Allah merahmati Syed Moktar atas usahanya mengambilalih MPH lalu mengujudkan sebuah Ruang Khusus untuk terbitan Islami. Mudah-mudahan semangat Al-Bukhari terus subur dalam jiwanya dan berkembang luas ke seluruh jiwa anak-anak bangsa Melayu. Ringkasan MPH saya kira harus Syed Moktar jadikan Moktar Publishing House yang tarafnya setanding dan atau lebih baik dari Darussalam. Kita sudah jauh ketinggalan berbanding Gramedia Indonesia. MasyaAllah.
Kuching, Sarawak
2 Januari, 2014
0 comments:
Post a Comment