Sadong telah tidak asing bagi Sarawak. Saat Brooke mulai menjajah Sarawak, puak-puak pribumi di Sadong melanun menentang kehadirannya. Bersama Royalist, Brooke akhirnya menakluk dan menjajah Sadong, lalu dari sana terus mengembang wilayah jajahannya meliputi Sebuyau, Lingga, Simanggang sehinggalah akhirnya ke Lawas. Detik mula penjajahan Brooke di Sarawak sebetulnya sebagai askar upahan Sultan Brunei, akhirnya dia menjadi seperti Portugis dapat tanah. Fenomena Brooke dan Portugis dapat tanah ini, kini masih berterusan dalam sistem yang lebih hebat dan mengakar, cuma nada dan bentuknya berlainan. Sayang, kita orang Melayu terlalu lambat untuk sedar dan bangkit.
(2) Al Kisah, di Batang (Sungai) Sadong dulu terdapat seekor buaya bernama Bujang Samsu. Tempatnya bertahta adalah di Lubuk Samsu ke hulu dari Tg Beluku dan di hilir Lubok Sedilu. Biarpun seekor buaya, Bujang Samsu sangat baik sifatnya. Dia sering mempertahankan para nelayan yang mencari rezeki di sepanjang Batang Sadong. Maka, dengan sebab itu, sangat janggal sekali untuk mendengar masyarakat di Batang Sadong kena serang buaya, lantaran ketua mereka si Bujang Samsu adalah mesra rakyat. Sangat berbeza dengan para buaya di batang Lupar dan batang Samarahan.
(3) Suatu ketika, hadir Bujang Samarahan, ketua buaya dari Batang Samarahan yang berkedudukan bersebelahan dengan Batang Sadong. Sifat Bujang Samarahan 180 darjah berbeda dari Bujang Samsu. Dia sangat ganas dan suka membaham manusia. Dia melihat manusia sepertinya kera.
(4) Maka kehadiran Bujang Samarahan mendapat tentangan hebat Bujang Samsu, lantaran sikap buruknya, melihat manusia sepertinya kera. Mereka bertarung selama seminggu suntuk. Akhirnya, Batang Sadong melimpah dengan darah merah Bujang Samarahan. Bujang Samsu, yang berdarah putih, sedikitpun tidak ada cacat celanya.
(5) Semalam, Timbalan Menteri Kerjaraya Malaysia dan juga MP Batang Sadong ie Nancy Shukri dan dan ADUN Semera, Aidil Lariwoo, yang mungkin tidak pernah mendengar kisah Bujang Samsu-Bujang Samarahan lantaran tengelam oleh Bujang Senang dari Batang Lupar, menyerahkan tapak pembinaan Jambatan Batang Sadong yang merentasi sungai selebar 1,400 meter.
(6) Secara pribadi, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan atas pertimbangan mereka untuk mengutamakan Jambatan Batang Sadong dari Jambatan Samarahan. Dongeng Bujang Samsu-Bujang Samarahan sepertinya berulang. Namun, tidak usah itu dijadikan sengketa. Dilapurkan 50,000 kenderaan menyeberangi Batang Sadong saban bulan. Cuba bayangkan, waktu menunggu biasanya mengambil antara 30-60 minit, dan perjalanan feri menyeberangi sungai ini adalah sekitar 30 minit. Bermaksud, jika pengguna bernasib baik, dia pasti akan dapat menyeberangi Batang Sadong dalam tempoh satu jam. Jika tidak boleh sampai 3-4 jam.
(7) Bardasarkan fakta-fakta tersebut, secara kasar apakah kesan pembinaan Jambatan ini kepada rakyat dan negara? Perhitungan ringkas saya adalah seperti berikut. Dengan andaian dua penumpang setiap kenderaan, 50,000 buah, bermaksud terdapat 100,000 penumpang berulang alik dalam sebulan. Bermaksud, 100,000 jam/tenaga manusia (man hours) terpaksa dibazirkan kerana menunggu dan menyeberang. Jika waktu ini di tukar kepada kerjaan productive, ini bersamaan dengan 12,500 hari bekerja (man days) atau 1,040 tenaga kerja/hari. Bayangkan berapa banyak kerja boleh disiapkan oleh seramai 1,040 pekerja dalam satu hari. Dari segi nilai gaji, dengan mengambil gaji minimum RM800/bulan, pasti kita telah membazir RM28,000.00/bulan harga boroh.
(8) Semasa menunggu dan berjalan dalam feri, 100,000 jam pembaziran bahan bakar dilakukan saban bulan. Agaknya, berapa liter bahan bakar untuk tempoh sebegini lama? Pasti tidak kurang dari 50,000-100,000 liter bahan bakar. Nilainya, ambil harga petrol, pasti mencapai RM95,000-190,000/bulan. Itu wang rakyat, bagaimana pula dengan subsidi, sejumlah RM15,000-30,000/bulan terbazir tanpa faedah productive. Maka akibat masa menunggu dan menyeberang, rakyat dan negara kerugian sejumlah RM110,000-220,000/bulan. Ini belum terhitung ware and tear kenderaan dan kos operasi dua feri berkaitan. Saya menjangka keseluruhannya, di tasa jarak sejauh 1,400 meter itu, kita mengalami kerugian lansung (direct cost) sejumlah sekitar RM300,000-350,000/bulan.
(9) Secara keseluruhan, rakyat dan negara kerungian sekitar RM300,000-350,000/bulan dengan ketiadaan Jambatan Batang Sadong. Ini samalah dengan RM3.60-4.20 juta/setahun. Namun, ini belum mengambil kira pelbagai opportunity cost yang lain, contohnya ketidak upayaan kawasan sekitarnya yang saya perhitung boleh dibangun dengan perladangan kelapa sawit seluas tidak kurang dari 30,000 hektar. 30,000 hektar kelapa sawit, boleh menjana sekurang-kurangnya pendapatan bernilai RM360,000,000 setahun atau untung sebelum cukai sekitar RM150,000,000/tahun. Pasti ini boleh menjana cukai koprat sehingga RM37,500,000/tahun.
(10) Dengan semua ini diambil kira dan langkah segera dilakukan untuk menyiapkan Jambatan ini, serta memajukan ekonomi setempat, pasti pelaburan RM211.00 juta untuk membina Jambatan ini akan dapat dibayar balik dalam tempoh 5-7 tahun mendatang.
(11) Inilah pertimbangan saya bila saya ditanya secara pribadi oleh seorang anggota Value Management EPU berhubung dengan Jambatan ini. Alasan saya yang paling menarik perhatian beliau pastinya, pembinaan Jambatan ini kerana, rakyat di sini (dan Samarahan) terus bersama Barisan Nasional kerana mereka mahukan Jambatan. Mereka tidak peduli soal kebebasan bersuara. Mereka menuntut hak sebagai bangsa merdeka dengan tuntutan janji pembangunan. Mereka telah terlalu lama tidak dihubungkan dengan hak untuk hidup selesa
(12) Saya berharap, jambatan ini suatu hari nanti bila siap, namakan saja sebagai Jambatan Bujang Samsu agar lagenda Bujang Samsu terus kekal dan menjadi tarikan pengunjung ke sini. Cuma, kontraktor yang mendapat Projek ini, jangan sampai jadi macam Jambatan Durin atau Gertak Sungai Kelantan. Batang Sadong mengalir ditanah lembangan yang terbina dari tanah paya dan lumpur. Juga, aliran air pasang surut di sini, adalah lebih deras dari Batang Rajang (Durin). Pastinya, kos dan teknik pembinaan Jambatan ini akan lebih mencabar. Saya berdoa, agar kontraktor berkaitan akan sentiasa mendapat rahmat Allah dan dapat menjalankan kerjanya dengan sempurna.
Nusantara, Simpang Tiga, Kuching
19 June, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment