.

24/5/11 PELANGI HIDUPKU (tajuk asal: Apa terus tegar hidupku)

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - September 06, 2011

Share

& Comment


Hari ini, aku merasa harus saja melambai pergi. Langit yang selama ini sebegitu meninggi sudah terasa terjamah oleh tangan dan jari-jariku yang longlai. Angin yang berhembus, kian lesu bagai hembusan nafasku, dari dadaku yang semangkin semput: sesak. Namun, aku tetap menggagah diri, mompong:saat aku masih bisa:boleh berbicara, mompong aku masih bisa menyusun segalanya pada tempatnya, maka aku kepingin sekali mencoret biar mungkin hanya sekadar calit-calit warna merah pada kanvas yang kian kusam dan terbuang.


Diri ini:

Teman, pastinya kalian tertanya-tanya, siapa sebetulnya aku? Biarlah, aku tunaikan saja, naluri kepingin teman itu. Abdullah Munsyi adalah nama penuhku. Singkatnya dipanggil saja Munsyi. Nama itu kedua orang tuaku ambil dari namanya Munshi Abdullah seorang Melayu-Keling yang begitu tajam kritiknya terhadap kelemahan bangsanya, Melayu, biarpun sebetulnya dia mungkin hanya separuh Melayu. Mungkin, kerana darah separuh Melayunya, maka darah yang lagi separuh yang bukan Melayu, menjadikan dia tidak aman. Darah bukan Melayunya dia, menjadikan mata, telinga, hati, fikiran dan akhirnya mulutnya jadi engan diam, terus saja menyempurat: menghambur segala kekurangan dan kepincangan separuh dari dirinya lagi.

(2) Sejak akhir-akhir ini setelah aku agak boleh berfikir, aku imbas cerita dari paman-paman: pakcik-pakcik dan bibik-bibik: makcik-makcikku, mereka katakan bahawa Abdullah adalah nama kepada bapa embah: datukku, Abdul Manan yang asalnya dari negeri Parameswara, di seberang sana, Palembang. Dikhabarkan dia adalah pelupur dalam pembinaan Kampungnya di sana dalam payah dan jerih yang tersangat hebat. Namun dalam usia tuanya, tanah tumpah darahnya dijajah manusia Hollander dengan sewemangnya. embahku, Abdul Manan, anak lelaki tunggalnya, telah beliau paksa merentas ke mari lantaran bencinya pada Hollander yang mukanya memerah, berhidung besar, sering saja berteriak, menghenyak anak pribumi. Mungkin kerana sumpah semua yang bencikan mereka, lantas kini jadi monyet jadian si Orang Belanda. Begitulah orang Melayu, bencinya, sehingga sang monyet yang ngak tahu apa-apa, menjadi bahan ingatan tentang bangsa yang telah menghina mereka: orang Belanda. Pokoknya, embahku,Abdul Manan, telah bapanya arahkan merantau, kerana atas sifatnya sebagai hamba Allah, hijrah, agar mengumpul kekuatan sebagaimananya Muhammad SAW, hijrah ke Madinah buat kemudiannya memerdekakan bangsa, Mekah yang jahilliah dan terjarah.

(3) Maka namaku, Abdullah Munsyi kukira adalah gabungan dua nama: Munshi dan Abdullah. Aku kini menghormati saja pilihan kedua orang tuaku, setidak-tidaknya, namaku ada jalanan sejarahnya. Juga namaku ngak:tidak sembarangan seperti pada sebilangan bocah-bocah: anak-anak yang dinamakan dari tradisi Melayunya digelar: Bulat, Senin, Buntal, Piot, Ijot, Lehah, Let, dsb yang aku kira jika bocah-bocah ini dewasa nanti pasti punya harga diri yang sangat rendah, jiwa mereka jadi kerdil lantaran sering digelar pada gelaran yang jelek-jelek: kurang baik. Juga aku sangat berharap, namaku Abdullah Munsyi yang terbalik dari Munshi Abdullah tidak akhirnya membalikkan wibawaku dari nama bersejarahnya Munshi Abdullah.

(4) Teman, jalanan coretanku ini pasti ngak mengasyikan: menghiburkan bagai diduga atau diinginkan. Aku ngak mahu ikut semahunya kalian. Sengaja aku pilih jalanan ini, kerana nafas-nafasku yang sudah berat untuk menanggung tubuhku lagi, sudah ngak bisa mahu menuruti apanya mahu kalian. Aku bukan anak selamanya terlahir untuk manut: menuruti bagai kerbau hitam di tengah sawah. Coretanku, biarlah dalam gaya hambar, bagai hembusan nafasku nan kian terhenti, adalah gambaran fikiranku yang harus kini berdiri sendiri. Aku mahu terus berdiri sendiri, biar dalam segala kegoyahan sekuat mana sekalipun.

(5) Teman, aku terlahir pada bulan Safar. Tepat saat matahari di tengah ubun-ubun kepala. Bulan dan harinya panas pada firasatnya orang Melayu. Kudrat sebenarnya terlahirnya aku sewaktu sebegitu, pastinya hanya waktu yang akan menentukannya. Tahunnya bersamaan 1960. Bermaksud, aku terlahir dalam zaman penjajah. Zaman, di mana bumi ini tengah dijarah dan didagang seperti barangan antara pedagang manusia putih-merah yang namanya Vyner Brooke dengan manusia yang mengaku Queen bagi seluruh timur jauh. Queen Elizaberth, begitulah namanya. Siapapun mereka, adalah penjajah juga namanya, yang serakah, menelanjangi dan mengaut untung dari keonaran: kegilaan anak-anak pribumi, kita sendiri.

(6) Kalian pasti telah mentelaah dalam banyak kitab, betapa dulunya bangsa kita begitu bebas, merdeka. Segala hutan, bukit dan gunung, sungai, pantai, segalanya adalah hanya milik kita. Kita bebas merdeka meneroka, mencari kehidupan dari semua itu semahunya kita. Kita belayar semahunya ke mana saja, biar dibawa angin barat-laut menjelajah timur jauh lalu membawa pulang Sang Cenderawasih, burung dari kayangan, atau oleh bayu timur-laut merantau sehingga ke tanahnya Muhammad SAW, membawa pulang kitab dan ilmu adeen anugerah Allah. Namun, saat rahsia bumi terbongkar, yang disebut timah, besi, tembaga, antimoni, dan segala isi perut bumi dari yang berupa gas, cecair dan pejal, maka kita jadi kian rakus. Lalu kita saling menghianati sesama sendiri. Saat semua mahu kebagian:kongsi, maka ada di antara kita lupa dan tidak mengerti akan kata tuhan: "Pada segala apa milik kita, padanya ada milik yang lain". Kita saling berpatah arang:Membujur lalu, melintang patah, saling keras ngak mahu hidup bersama, lebih rela, biar bedua lebur hancur:Biar putih tulang, jangan berputih mata. Maka itulah apa yang kunamakan sifat onar milik kita terdahulunya. Kita jadi engan bersahabat sesama kita. Kita lebih akrab kepada yang menyalakan api permusuhan sesama kita. Apa mungkin itu tidak masih tetap ada?

(7) Teman, tahu ngak, betapa gunaan gelarannya Queen; ratu, mungkin adalah terilham dari prilaku para semut dan lebah?. Agar kita yang terjajah, agar terus manut:ikut terlunjuk terus-terusannya, maka Vyner dan Elizabeth telah seperti memutuskan betapa selayaknya kita dijadikan sekadar hamba. Taraf kita mereka takdirkan lebih hina dari para tentera dan bala pekerja dalam dunia lebah dan semut. Selayaknya, kita hanyalah hamba kepada Queen, sang ratu. Kita hamba yang hanya bekerja untuk Queen. Tugas kita, seperti para pekerja-hamba dalam dunia semut dan lebah hanyalah untuk mengumpul madu. Madu yang kita kumpul bukan untuk kita, hanya untuk Queen dan kenikmatan Queen. Begitulah, bila hamba adalah darjat kita, maka tidak merdekalah kita biar untuk menikmati keringat sendiri. Kita hidup sebegitu, dalam telunjuk manusia putih-merah, dan siapa juga, selagi hati dan jiwa kita hitam untuk mahu bersama saudara sebangsa-serumpun.

(8) Teman, saat ini, aku tengah terlentang di padang luas. Tubuhku terapung di atas awangan yang bergerak ke mana saja arahnya. Tangan dan kakiku mendepa luas. Dadaku hanyalah rangka bertbalut kulit tipis. Di atasku, berhamburan para bintang dalam gelap yang paling hitam-pengap. Maka dalam perbaringan ini, aku merasakan betapa langit sedang runtuh menghempap dadaku. Terasa berat dan pedih tusukkan pecahan langit-langit itu. Namun, apakah itu benar, atau rasa sakit dan sebak dadaku kerana kini akan kutinggalkan kalian sebagai hamba yang lain bentuk rupanya? Mata dan hatiku kian layu, dalam keterpaksaan menerima, akhirnya riwayatku hanyalah manusia yang bukan manusia lantaran kealpaanku selamanya darah dan nafasku masih kuat. Kini selayaknya, sebagai kalian serapahkan betapa aku hanyalah hamba, juga sampah. Mudah-mudahan kalian tidak sebegitu adanya, dan aku ingin berpesan, jangan sampai tiada jawaban, bila ditanya nantinya:"Di mana kamu habiskan masa muda kamu?". Aku telah melewati itu, dan terlewat banget:benar rasanya, nafas sadar menyapa fikiran dan jantungku.

(9) Dan teman, kerana aku adalah anak zaman penjajah, tersangat hina rasanya, terlahir tidak merdeka. Saat itu, bangsa kita tidak terbela nasib sendiri. Bangsa kita adalah hamba buat bangsa yang sebetulnya juga hanya punya dua kaki juga sebagainya kita. Cuma bedanya, kaki mereka buat menerjah kita, sedang kaki kita hanya kuat untuk cabut lari kalau tidak hanya sekadar memikul tubuh yang engan menantang:melawan. Maka wajar aku terlahir di bulan panas, agar darahku sentiasa panas membakar. Bergejolak: menggelegak terus. Biarpun saat nafasku sudah ngak lagi mahu mengalir deras, namun darahku tetap panas dan menusuk segala jalinan urat darah, menerjah agar aku tetap panas. Untuk apa?

(10) Saat aku masih bocah:anak-anak, sememangnya aku agak lain dari seluruh saudara-saudaraku yang berlima; abang dan tiga adik di bawahku. Lupa untuk aku jelaskan seawalnya, aku ada lima bersaudara. Namun kami bukanlah, dan tidak sekali-kali sebagaimananya Tuah, laksamana Melayu lima bersaudara. Kami, hanyalah anak-anak kampung dari keluarga kecil memencil kampungan. Saudara-saudaraku, mereka suka berkumpul, dan sering akhirnya berkelahi sesama sendiri. Perkara yang sering jadi angkara adalah soal mainan. Berebut patungan-boneka, bantal peluk, atau apa saja yang bisa dijadikan mainan. Mungkin remeh, namun mungkin begitulah natijahnya, manusia suka saja bikin onar dari berfikir bikin aman buat semua.

(11) Betapa teman, jalanan hidup Tuah lima bersaudara amat tahu kita perinciannya. Namun sedikit sekali kita mengerti, betapa mereka sering saja berkumpul, bermain, bertingkah. Semuanya bukan kerana sesukanya, melainkan seperti sudah tersurat betapa mereka sedang siap siaga membina Melaka menjadi sebuah Kerajaan yang terhormat. Kerajaan yang dalam lipatan sejarah, akhirnya menjadi landasan betapa kita, bangsa kita juga punya sejarah besar dan hebat. Semuanya itu, teman, agar kita mengerti betapa kita harus kembali boleh berdiri gagah, jika kita mengerti perikatan setia Tuah bersaudara yang dari bibirnya Tuah terluah: "Tidak Melayu hilang di dunia, bersatu teguh bercerai roboh". Cuma, berapakah antara kita, hidupnya demi bangsanya?

(12) Teman, biar aku kembalikan ingatan teman kepada cerita diriku. Aku, sebetulnya lebih suka sendiri. Dalam banyak perkara aku mengambil sikap ngalah:ngundur. Emak-bapak sering saja meminta aku belajar ngalah dalam apa juga perkara yang melibatkan saudara-saudaraku. Aku sering saja diminta ngalah: mendahulukan saudara-saudaraku dalam kebanyakan hal. Sering juga, bila berlaku perebutan dalam perkara bahan mainan, aku sering saja ngaleh: menghidar dari terlibat dalam perkelahian atau perebutan. Ngalah dan ngaleh menjadi sifat serasi yang harus aku miliki. Emak-bapak berkata, jika hanya ngalah, tetapi ngak mahu ngaleh, maka sama seperti makan sambal tidak bercabek: cili. Apa pengertian omongan: nasihat bapak dan emak itu aku agak kurang pasti. Namun sekali lagi aku serahkan saja pada masa buat menentukannya.

(13) Aku, sebetulnya ngak banyak omongan:cakap. Namun tidak bermaksud aku suka diam dan membisu. Emak-bapak sering berpesan, aku harus sentiasa memerhati. Aku juga mesti selalu berfikir. Memerhati dan berfikir kata mereka akan bukan hanya menjadikan kita terhindar dari banyak perkara buruk, bahkan menjadikan kita kurang ngomong, tapi lebih mengerti. Mungkin juga emak dan bapak cuba menjadikan aku mengerti betapa, selalunya, manusia itu jadi sakit jiwa dan jasadnya kerana lidahnya, yang kini perlahan-lahan sedang kumengertikan. Juga jika kita terpaksa ngomong, pastikan saja bicara kita adalah mantep:mantap, biar bukan sekadar menyambung lidah, melepas kata dari bibir ke bibir, yang belum tentu kebenarnnya, tetapi kita mesti berbicara atas pertimbangan akal yang dalam. Kata mereka, kita hanya boleh ngomong setelah kita puas memerhati dan berfikir.

(14) Juga, aku tidak suka berpelesaran:buang masa, bersama anak-anak tetangga, yang sebetulnya adalah anak-anak para paman dan bibik kedua orang tuaku. Anak-anak sifat mereka pasti saja mahu bersuka-sukaan, tidak ada satupun yang boleh membuat mereka binggung dan resah. Pokoknya selagi boleh makan, orang tua masih ada, yang mereka tahu pasti ingin saja bersuka-sukaan. Kadangkalanya, aku turut berfikir, apakah dunia ini akan terus saja suka, jika kita hanya mengerti untuk bersuka? Anak-anak tentanggaku adalah anak-anak para paman, bibik dan bahkan saudara sepupuku sendiri, dekat dan jauh. Seluruh isi Kampung Sedilo, nama kampung di mana aku membesar di zaman bocahku, adalah kaum keluarga nenekku sebelah bapa yang asalnya adalah dari Sambas dan Brunei.

(15) Aku juga tidak gemar untuk campur urusan orang lain. Dalam pergaulan, aku hanya akan mengambil tahu tentang nama dan tidak lebih dari itu. Anak siapa? Di mana rumahnya? Apa juga yang dinamakan biografi dan profil pribadi selebihnya, semuanya aku tidak berminat. Pokoknya, persoalan pribadi mereka biarlah tidak perlu aku ikuti. Bukankah sudah dinamakan persoalan pribadi, maka kenapa harus dijadikan persoalan umum? Begitulah pengertian ringkasku tentang itu. Aku pegang saja sikapku sebegitu selamanya, sebolehnya, agar fikiranku tidak terganggu kerana persoalan yang bukan harus jadi tanggunganku.

(16) Mungkin kerana itu, aku kini hidup lebih merdeka, tidak terikat dengan segala macam perkara remeh-temeh orang lain, tidak berminat untuk menjaga tepi kain orang lain, kerana juga telah menjadi tabiatku yang tidak suka pakai kain, selain untuk kemulan: selimut masa tidur. Saat saja bangkit dari tidur, pasti kain pelekat aku lipat dan simpan. Tidak seperti bocah-bocah lain, terus saja terbungkus kain pelekat sehingga meninggi hari. Nenek mengajar aku dan saudara-saudaraku begitu: “Orang yang suka, bila bangkit terus saja kemulan:berbungkus kain pelekat, pasti bila sudah besar nanti akan jadi orang malas, kamu mahu digelar orang sebagai Munsyi Pemalas?” . Bila nenek membebel sebegitu, aku merenung dia tajam, tanda membantah: aku tidak suka namaku ditambahi dengan kata-kata lain apa lagi jika disambung dengan kata sifat pemalas.

(17) Sukaku adalah terus untuk tidak bersenggang dari ibu. Janganlah ditanya kenapa? Aku sendirinya, seawalnya juga tidak tahu kenapa? Aku tetap bocah lanang anak lelaki, biar melidi namun tetap tangkas dan cergas. Aku tidak lembik. Aku tidak bericiri-ciri yang aku bukan bocah lanang. Cuma mungkin aku adalah anak ibu. Itulah jawaban para bibikku kemudiannya bila aku bertanya kenapa aku tidak pernah bersenggang dari ibu. Namun, kini aku tahu, itu bukan sebab sebenarnya. Akan teman ketahui kemudiannya nanti.

(18) Saat bocahan, aku adalah bocah melidi. Badanku kecil, kurus. Para anak-anak tetanggaku, yang asalnya anak-anak Melayu, yang sifat mereka suka menamakan orang dengan nama gelaran yang jelek-jelek:hodoh-pelek biar tidak diizinkan oleh Islam, mereka menamakanku Munsyi Cicak Kubeng. Cicak kubeng adalah cicak yang mati meranggas kering tersangkut di dinding atau lelangit. Sedang abang dan adik-adikku kerana terikut-ikut akan sifat Melayu para anak-anak tetangga, maka mereka punya nama yang lain buatku: Munsyi iwak: ikan Gonjeng. Badanku tumbuh bagai buluh lurus dan tinggi. Aku ngak kuat makan seperti abang dan adik-adikku. Saat makan, sering saja aku ngalah, ngak mahu berebut ikan, endok bebek asin, atau gorengan endok petek kampung. Endok adalah istilah Jawa bagi telur. Edok bebek asin, maksudnya telur itik masin yang nenek sering buatkan hasil dari ternakan itik-serati yang banyak kami miliki. Endok petek, maksudnya adalah telur ayam. Abang dan adik-adik suka makan telur, maka mereka sering saja dapat bisul, sering bertelur kata emak saat mereka mendapat bisul. Suka mereka telur rebus berkuahkan kicap. Kicap cap kelapa, buatan dari Pulau Pinang.

(19) Teman, tumbuh dalam zaman dan pasca penjajah yang menjarah amatlah getir. Tidak mungkin bisa teman gambarkan sejelasnya akan peritnya aku, anak di zaman itu. Di depan, juga biarpun di belakang, dan di sisi, kini segalanya seperti keperitan sudah lama matinya. Ikan gonjeng, telur masin, juga kicap, jika dulunya adalah sajian buat aku yang perit, namun kini, segala itu tetap masih ada, akan tetapi sudah lain nilainya. Segala itu yang dulu, ramuan kepayahan, namun kini sudah seperti apa yang disebut delicacy. Dari namanya saja, sudah jelas enak, dan tinggi darjatnya. Maka, payah untuk aku menjadikan teman mengerti, betapa ikan gonjeng, telur masin dan kicap adalah lambang kepayahan lepas, sedang sekarang ianya adalah delicacy.

(20) Kini, kicap sudah enak dibikin kuah Mee Jawa. Tahukan teman, di Jawa tidak ada Mee Jawa, ianya hanya ada dibumi kita saja. Sebetulnya, Mee Jawa itu adalah hasil kepinteran: kemahiran Wak Domo, seorang jawa dari Bt 12 Jalan Penrissen. Dulu, dia berniaga mee dan satay di Pasar Chekur yang telah diroboh berganti Taman Hijau yang santai. Sedang, ikan gonjeng dan telur rebus sudah menjadi penyedap Nasi Lemak. Dulu, belum ada Nasi Lemak, yang ada cuma pulut di makan sama ikan masin. Telur itik masin pastinya enak dimakan sama bubur di pagi hari atau pembuka selera usai demam. Begitulah, betapa, jika dulu semua itu adalah lambang keperitan-kepayahan, sedang kini adalah nilai keberadaan: kemewahan, maka masa mungkin dapat aku meyakinkan teman akan derita hidup ini semasa manusia putih-merah sedang memeras negeri ini, di saat bocahku.

(21) Teman, kembali lagi pada jalanan hidup bocahanku. Dalam apa juga, aku sering tidak mahu berkelahi. Biar makan sekalipun, aku suka saja ngalah dan ngaleh. Aku selalunya akan hanya memilih sayur rebus: kangkung, katu, petola, labu air, labu dan lalapan, segala ulaman dari jantung pisang sehingga paku uban kata orang Melayu tempatan. Semua sayur-sayuran ini adalah tanaman nenek di belakang rumah atau tukaran sama jiran tetangga. Saat itu teman, ngak pernah terlintas dalam hidup kami sayuran seperti brocoli, kobis, carrot, atau segalanya yang kalian ada dalam peti es masing-masing. Sayur kami ngak pernah beli, juga ngak pernah jual. Pokoknya, kami kecukupan, namun perit dan payah.

(22) Emak kadangkala bercanda: “Anak ini suatu hari nanti mudah-mudahan jantungnya akan besar dan segala uratnya akan sekeras paku. Suka lalapnya: ulamannya jantung pisang dan paku uban.” .

(23) Saat itu, aku tidak mengerti apa maksud emak, namun tetap aku tidak mahu menyoal, kerana saat itu aku masih banyak tidak tahu apa yang aku tidak tahu. Cuma kini aku mengerti, emak biarpun dia seorang Jawa, namun kerana pergaulannya dengan orang Melayu yang sangat bermetafora dalam pembicaraan mereka, tetap juga dia bermetafora dalam bicaranya kepada anak-anaknya biarpun mereka masih umbelan:hingusan. Kini, jalanan hidup yang panjang membuatku sedikit mengerti. Emak, doanya dan apa yang kini disebut wawasannya adalah pada candanya. Begitulah kebijaksanaannya biar dia tidak pernah menginjak kaki walaupun di sekolah atap nipah. Firasat hidupnya, tetap tinggi dan menjauh. Emak punya harapan dan cita-cita yang tinggi buatku.

(24) Mungkin kerana itu tubuhku juga seperti kangkung atau katu melidi. Katu adalah istilah Jawa bagi cangkok manis atau sekarang ini lebih terkenal sebagai Sabah Vege. Katu jika sudah merimbun, pasti akan tumbuh meninggi melidi. Juga kerana sering ngalah, aku kekurangan protein tetapi lebih vitamin dan galian, maka mungkin sebab itu aku agak jarang mendapat sakit berbanding dengan saudara-saudaraku. Namun, bila ada waktunya, ada orang berjaja ikan gonjeng, emak, pastinya menyediakan ikan gonjeng goreng khusus buatku. Abang dan adik-adikku akan mengundur bila saja terhidang ikan gonjeng goreng. Mereka takut tulang. Ikan gonjeng adalah istilah bagi orang tempatan, bagi menamai sejenis ikan tipis, warna kekuningan, serta bentuk tubuh agak tirus ke ekor, bermulut besar, dan banyak tulang. Ikan ini juga disebut ikan banyak tulang bagi setengah orang. Bila digoreng, gonjeng menjadi ranggup. Tulang-tulangnya menjadi rapuh dan ranggup. Aku suka meratah gorengan ikan gonjeng.

(25) Emak sering berkata: “Kalau banyak makan ikan gonjeng, tulang akan jadi kuat. Bila main bola, boleh menang kerana, bila berbentes atau cas keting, pasti kita menang sebab tulang keting kita lebih keras”. Namun bila aku sudah agak besar, setiap bermain bola, aku pasti akan mengelak untuk cas keting, kerana bukan saja menyakitkan tetapi boleh menimbulkan perkelahian. Aku cukup tidak suka berkelahi.

(26) Jelas teman betapa kangkung, pucuk paku, rebung, dan jantung pisang, semua itu, adalah makanan yang menjadikan aku melidi. Sajian mereka yang perit-susah. Namun kini, semuanya sudah menjadi, ya apa yang disebut sebagai organic vege, bahkan ada yang sudah terlanjur mengatakan itu semua sebagai healthy food. Ya, teman, pastinya sekali lagi aku menjadi payah, payah bukan dari sudut hidup, tetapi payah untuk menjelaskan pengertian kepayahan bersandarkan makanan yang melidikan aku di zaman bocahku. Dulu aku melidi, kerana tiada zat makanan, namun kini sudah dilihat sebagai diet, perfect body built. Sungguh teman, betapa alam sering saja kebalik, memutar terus, dulu jahat, kini baik, dulu di atas, kini di bawah.

(27) Maka, pokoknya, sesama kita wajar saja ngak usah kita saling mengadili. Apa lagi jika mengadili itu hanya pada prasangka yang tidak pernah kita selidiki. Tugas mengadili itu milik Allah pada waktu di mana telah Dia tetapkan.

(28) Tampaknya, payahku terus saja hadir selagi aku hadir. Dulu payah pada metafiziknya, kini payah pada metaforanya. Mungkin selayaknya, aku pergi saja, agar payahku juga turut terkubur sama. Mungkin dengan itu aku sudah ngak payah serta kalian ngak payah kebingungan kerana tidak hadirnya aku lagi.

(29) Teman, biarku sambung lagi tentang jalanan keperitan yang pernah kulalui. Dulu, masa makan, kami hanya bersila di depan dapur. Ruang makan kami adalah di depan dapur, yang kini mungkin kalian sebutkan sebagai kitchen cabinet. Selalunya dapur berbentuk segi empat bujur. Dapurnya adalah kotak papan dilapisi zink dan diisi tanah liat sekitar dalam enam inci dan di atas tanah liat itu ditaburi abu setebal kira-kira dua inci. Di sebelah atasnya, dibuat para-para. Guna para-para ini adalah untuk menyimpan kayu api agar sentiasa kering dan mudah untuk dibakar.

(30) Para-para ini juga gunanya adalah untuk menghangatkan tapai, atau mengeringkan ikan. Apa kalian tahu tapai? Atau cuma tahu makan tapai? Nenek sering membuat tapai. Penapaian adalah proses, apa yang kini disebut bioteknologi, suatu tindakbalas ragi yang menghidrolisis kanji menjadi gula dan akhirnya jika terus dibiarkan akan jadi alkohol. Hebat namanya. Cuma nenek kita tidak menamakannya sebegitu. Tapai nasi pulut atau ubi kayu sangat enak, manis, ngences:melilih air liur bila makan. Aku sering bergelut dengan nenek dan emak bila mereka bikin tapai. Tapai paling enak dimakan pada lewat petang, sambil minum kopi. Tapai ubi, jika digoreng, bukan main enaknya. Emak sangat pandai bikin tapai ubi goreng. Bermacam bumbu diadun, dan rasanya lebih enak dari Cheezy Wedges KFC.

(31) Di musim tengkujuh, kerana kurang sinaran matahari, para-para dapur juga boleh digunakan untuk mengeringkan bantal atau tilam yang malamya kena kencing anak-anak. Aku juga masih ingat, di zaman aku masih bocah sekolah, kerana pakaian sekolahku tidak banyak, ada ketikanya kerana hari terus saja hujan, nenek mengeringkan baju sekolah putihku dengan mengantung di para-para dapur. Terkadang kerana terlalu banyak asap dari tungku api, maka terkadangnya baju sekolahku berbau asap:hapak. Sering jika itu terjadi, aku menjadi bahan tertawa teman-teman kerana aku berbau hapak. Sering saja aku terima itu sebagai lelucon:gurauan yang sangat pedih, yang kusimpan dalam di dasar otak dan jantungku.

(32) Tungku dapur terbuat dari besi bergarispusat satu inci, panjang melintang lebih kurang dalam lima kaki. Bahan bakar adalah kayu api yang dikutip dari hutan berdekatan. Timbunan kayu api sentiasa tersimpan di kolong rumah. Dapur kami sengaja dibuat agak rendah agar mudah untuk emak memasak. Jangan terfikir dapur gas, atau oven, atau cerek lestrik, rice cooker, semuanya, saat itu namaya pun kami tidak pernah dengar, apa lagi merlihat bagaimana rupanya. Apalagi yang dinamakan microwave. Semua itu tidak ada dalam kamus Melayu pada saat itu. Peti sejuk? Sedang pakaian kamipun tidak ada almarinya, inikan pula peti sejuk? Ke mana mahu ditempel wirenya? Pakai bateri torch light? Ah, kelampuan:melampau fikiran kalian. Para-para adalah peti sejuk kami.

(33) Tikar mengkuang atau rotan menjadi lapik permaidani bersilanya sekeluarga, Tiada meja kaca, mamar atau betawi. Tiada kerusi. Pingan-mangkuk hanyalah buatan tembikar murahan Cina. Tiada Kristal. Tiada Acropal. Cangkir juga adalah tembikar murahan, selalunya tiada hiasan bunga-bungaan. Minuman kami sekadar air hujan dimasak. Tidak pernah ada jus. Air dingin ais tidak pernah terlintas di fikiran. Tidak pernah ada cordial biarpun sebetulnya buah-buahan bergelimpangan di laman rumah. Ilmu kami, pada masa itu amat terbatas. Buah-buahan hanya untuk dimakan segar sebegitu saja, dan tidak pernah terfikir untuk dibuat jus atau cordial. Ilmu pengunaan buah-buahan kami hanya terbatas pada durian, selain durian, maka kepakaran pengawetan kami pastinya tidak pernah sejauhnya sekadar makan secara segar sahaja.

(34) Gelap malam kami tersinar oleh pelita tanah. Seawal jam enam, seperti sudah menjadi tugasku untuk mengisi minyak tanah pada semua pelita-pelita. Juga aku mesti memastikan sumbu pelita juga mencukupi. Jika tidak, siatan kain gombalan:kain lusuh akan aku jadikan sumbu. Memasang pelita tidak sembarangan. Jika terlalu kecil, pasti padam ditiup angin. Jika terlalu besar boleh berjelaga seiisi rumah. Jika sudah mahu tidur, aku meletakkan pelita dalam sebuah balang kaca besar dan menempatkannya di tengah rumah. kadang-kadang di tengah malam, kupu-kupu terpengkap dalam balang lalu mematikan lampu. Kegelapanlah kami seisi rumah sehingga paginya melainkan, mungkin bapak atau nenek bangkit untuk urusan kadha hajat. Kini, teman, pelita dalam balang kaca, adalah bagai lampu-lampu hiasan romantis di restoran-restoran indah. Nah, sekali lagi, segala ciri kemiskinan-kepayahan terdahulu, sudah menjadi Life Status kemodenan. Dua metafora yang saling bertentangan, berantakan, kukira.

(35) Begitulah suasana rumah kampong, saat itu yang dinamakan elektrik, istilahnya sajapun belum kami mengerti. Salah-salah, abangku, mungkin akan keliru dengan lastik yang tidak pernah bersenggang dari punngungnya buat melastik burung wak-wak di bendang.

Anak Emak

Sejak aku sudah boleh mengingat, aku sering saja di rumah bersama emak. Aku menjadi pembantu setia emak. Emak, kerana celaka buta huruf mungkinnya, ngak tahu musibah kolestrol, ngak tahu diet, ngak mengerti pemakanan seimbang, dan kerana lauk makanan kami, sejak aku mulai mengerti mengunyah, tidak pernah tidak ada udang, sejak melahirkan adikku yang kedua, dia mendapat serangan apa orang Melayu bilang sebagai Angin Ahmar, atau minor stroke. Stroke adalah serangan sakit jantung akibat sumbatan karangan kolestrol pada pembuluh-pembuluh darah.

(2) Akibat angin ahmar, emak jadi lumpuh separuh badan, dan dia tidak boleh berdiri. Dia hanya bisa duduk. Jalannya hanya mengesot-ngensot, bergerak dalam duduk hanya dengan kekuatan tangan sebelah. Mujur sebelah badan kanan emak masih berfungsi seperti biasa. Aku sering mendorong:menolak emak kalau dia mahu ke mana-mana. Saat nakalku mendatang, pasti aku mendorong emak sekuatnya sehingga emak dan aku terguling-guling lalu menjadi bahan tertawa seisi keluarga. Hidup susah, hidup miskin, bahan hiburan kami juga tampaknya miskin, mudah, dan ringkas.

(3) Tapi kini aku pasti, emak pastinya kesakitan. Namun kerana kebahagian keluarga, dia menahan sakitnya dalam riuh tawa. Itulah emak, biar sakit tetap tertawa agar anak-anak tetap bahagia. Membahagiakan anak-anak adalah keutamaan emak. Begitulah takdirnya zuriat Hawa, tanpa anak, bukanlah dia emak, melainkan sekadar gadis, wanita, perempuan atau isteri. Emak sepertinya adalah darjat tertinggi buat seorang wanita. Kebahagian anak-anak sepertinya tanggungan pokok seorang emak.

(4) Aku juga menjadi inang yang sentiasa membantu emak semasa dia hendak mandi. Aku akan mengisi air penuh ke dalam ember:baldi buat emak mandi. Jika air hujan dalam tangki sudah tiada, aku akan terkial-kial mengangkut air di sumur buat emak.

(5) Sumur bapak bikin:gali berhampiran dengan rumah. Lubangnya dalam dan besar. Airnya jernih, putih dan sentiasa dingin. Dalam keadaan kemarau, kekadang sumur jadi kering. Bapak bersama kami anak-anak semua akan mendalamkan sumur sehingga mencapai ke mata air. Kerja mengali atau mendalamkan sumur adalah juga satu pesta buat kami. Bapak akan masuk ke sumur. Dia akan mengali tanah dan memasukkan ke dalam ember yang dipasang tali panjang. Aku dan abang akan membantu membuang tanah yang bapak isi dalam ember ke luar. Kerana tanah-tanah ini becak, lupur sebenarnya, maka aku dan abang akan saling bersambetan:baling lumpur. Seluruh badan kami akan gelopot:kotor berselut. Bapak akan menjerit-jerit melarang. Kami tidak peduli kerana dia di dalam lubang sumur dan kami di atas. Adik-adik akan turut bermain pada limpahan selut yang kami buangkan. Begitulah teman, segalanya adalah pesta bagi bocah otan:anak kampung.

(6) Saat ini, aku tidak kenal apa ertinya air paip. Yang aku tahu hanyalah air hujan, air sungai atau parit dan air sumur. Sering saja aku akan berkeceburan:basahan bersama emak bila dia mandi. Saat bermandian seperti ini, adalah juga hiburan buatku. Emak kadang-kadangnya terjerit-jerit agar aku berhenti bermain air. Katanya takut demam. Namun aku jarang peduli. Kemudian pastinya aku akan menjadi anak suruhannya untuk mengambil anduk:tuala dan kain batik persalinan. Semuanya aku perbuat sebagai hiburan. Semuanya aku perbuat, tanpa aku mengerti apakah sedalamnya perasaan dan isi hati emak saat itu. Bagi aku, segalanya bila bersama emak adalah hiburan, kegembiraan yang mesti aku raikan. . Inilah saat kegembiraan bagiku. Saat itu, pastinya tidak seperti kini, aku tiada robotik, kapal perang, kereta mainan, dan segala sesuatu permainan yang cangih-cangih dan formal. ToyUs belum ada di saat itu.

(7) Saat sebegitu, saat aku masih bocah, biar emak sebetulnya sedang dalam derita yang sukar aku gambarkan, namun deritanya tidak pernah dia perlihatkan. Aku pasti saat itu hati emak sentiasa pilu, remuk redam rasanya, sedang dia yang seharusnya menguruskan segala keperluan anak-anaknya, maka kini aku yang menangung segala bebanan itu. Bukan sekadar aku menjadi inang buat emak, aku juga menjadi pengasuh kepada adik-adikku yang masih kecil yang ngak tahu apa-apa.

(8) Emak sering memandu aku bagaimana untuk membikin susu buat adik-adikku. Saat susu kehabisan, emak akan mengajar aku untuk membuat sajin, air kelodak nasi semasa mengelegak. Bila dicampuri gula atau garam, sajin enak untuk diminum. Begitu juga, dia sebolehnya mangajar aku memenyet:menonyoh nasi buat makanan adik-adik saat mereka lapar. Nasi panas diletakkan dalam piring lalu dipenyet-penyet:tekan-tekan dengan sudu, agar menjadi lembut, lalu dicampuri sedikit kicap dan tumbukan gorengan ikan bilis. Kini, aku berkira, sajin itu samalah dengan Lactogen Formula Makanan Bayi yang terbuat dari tepung beras dan segala macam ramuan susu dan bijirin lainnya. Juga, nasi penyet, mungkin sekarang sama saja cara pembikinannya dengan ayam penyet yang sangat enak dan kian terkenal. Begitulah akal ibu dalam menempuh kepayahan hidup yang berjuta kekurangan. Kini aku terbayang dan terkenang, apakah anak-anak yang sudah mendewasa masih mengerti akan semua kepayahan ini. Kepayahan yang menjadikan segala nenek-moyang-ibu kita begitu kental untuk menjadikan kita manusia yang jauh lebih mudah dan senang dari mereka. Teman, betapa indahnya kepayahan dalam membina hidup dan kehidupan kita, serta betapa bobrok:rusaknya kita saat segala kemewahan telah melalaikan kita.

(9) Saat adik-adik hendak tidur, emak akan sibuk membandul:buai mereka. Biar terkial-kial dengan sebelah tangan, dia berusaha keras untuk membandulkan mereka. Aku akan kemudiannya membantunya menghayun bandul sambil dia mendodoi lagu Injit-Injit Semut berulang-ulang seperti pemain piring hitam kehabisan bateri. Pastinya kini yang dinamakan Record Player: Pemain Piring Hitampun banyak yang sudah tidak mengerti. Ianya sebenarnya serupa sahaja dengan Disc Player.

(10) Saat emak menyanyi, aku akan mengambil segala kesempatan untuk bermain injit-injit semut bersama emak sehingga aku sendiri akhirnya terbaring lelap berbantalkan lengannya. Emak, aku tidak pasti apakah dia juga lelap bersama, kerana terasa tangannya tidak pernah terlepas dari menghayun bandulan adik-adik silih berganti. Aku bersangka, pastinya dia tidak pernah lelap.

(11) Bahkan tidur malamnya, tetap juga dia terpaksa menghayun bandulan adik-adik. Jika tidak, tetap dia mengepok-ngepok:nepuk-nepuk punggung adik-adik yang dalam pelukannya. Betapa saat ini, menjadikan aku sangat terkesan dan terkesima mengenang kepayahan yang emak terpaksa lalui. Biar dalam serba kecacatan dan kepayahan hidup dalam Negara Mundur, tetap dia tabah dan syukur. Itu adalah tanggapanku, dan kini aku mulai bertanya, adakah benar dia tabah? Aku mulai yakin, betapa dalam sedalam hati emak tetap dia menanggung derita yang amat sangat, sehingga saban harinya, antara wajah derita dan gembira sudah tiada bedanya. Jika di kala ini, pasti kita akan mengatakan, jiwa emak pastinya sangat tertekan. Pasti akan terdengar nafas-nafas keras keluh kesah yang membinggungkan. Mungkin juga akhirnya menimbulkan berantakan:perang suami-isteri.

(12) Namun emak tetap seperti biasa saja. Tiada beda saban harinya. Namun aku pasti, sedih dan pilu emak tidak tertanggung beratnya. Mungkin inilah darjat tertinggi seorang isteri-emak, bisa memendam resah, derita, kecelaruan diri. Terus saja sabar atas pertimbangan kebahagian keluarga. Biar banyak orang akan berbicara, inilah sikap dikesali, sikap emak yang kolot, ngak mahu bersuara, namun pastinya, tidak mudah untuk mendapat nobat isteri-emak mithali. Yang banyak kini mungkin isteri-emak menyesali atau dikesali.

(13) Emak, kerana darjat wanitanya yang sudah tinggi sebagai ibu:emak, tidak pernah rasanya, terlahir sebarang sesal atau keloh saat tanggungan terus saja menerjah. Kita yang kian mendewasa, juga mungkin sudah punya darjat tersendiri, apakah ada rasanya kekecewaan saat beban terus saja mengasak? Emak, tidak pernah ada sifat itu rasanya. Sangat mengetarkan, sifat bertanggungjawaban, bakti seorang emak.

(14) Saat tidur malam, seperti diceritakan oleh para bibikku, aku paling tidak mahu terasing dari emak. Biar emak terpaksa memeluk adik-adik di kiri kanannya, namun aku tidak akan mengalah. Inilah saat sifat aku paling degil. Jika aku tidak dapat memeluk emak, pasti aku tidak mahu tidur. Cuma, biar aku masih bocahan, namum akalku untuk menang pasti ada saja. Aku selalunya akan tidur melintang di sebelah kepala emak. Dengan cara itu, kepala emak akan dapat aku rangkul. Rambut emak yang panjang menjurai sebahagiannya menjadi selimut tubuhku. Ada waktunya, bibik-bibikku akan mencuri aku sebaik saja aku sudah lelap. Namun, tidak berapa lama kemudian pasti aku akan berjalan tidur kembali mendekap kepala emak. Begitulah aku. Begitulah aku tidak dapat terpisah dari emak, biar di waktu tidur sekalipun.

(15) Yang dinamakan kamar tidur ngak ada. Saat itu, istilah privacy sememang ngak ada. Segalanya, telus. Yang ada, adalah kekeluargaan. Tidur kami ringkas sahaja. Aku, emak, adik-adik dan bapak tidur dalam satu kelambu putih tebal. Rumah kami tiada kamar terasing. Yang memisahkan kami, hanyalah kelambu. Nenek dengan kelambu sendiri, bibik-bibik dalam kelambu lain. Semuanya tidur dalam satu ruang yang sama, hanya terpisah oleh kelambu. Cuma tebal tipis kelambu saja berbeda. Aku kadang-kadang merunggut bila hari mahu hujan, pasti hawa agak panas, aku pasti meminta agar kelambu kami ditukar dengan kelambu tipis. Pastinya, permintaanku tidak pernah dilayan. Emak ada saja jawapnya saat aku mengusul sebegitu: “Kalau tidur pakai kelambu tipis, nanti burung hantu nampak dedek:adik, maka dia akan mengambil dedek. Mahu? ”.

(16) Ah, orang dewasa ada saja putaran akalnya demi keperluan batin mereka. Aku bocah yang belum mengerti, menerima saja seadanya.

(17) Tidur kami bertilamkan kekabu. Bantal kami juga dari kekabu. Kami tiada kenal Dreamland atau Dunlop. Dream: mimpi adalah hanya atas tilam kekabu yang berbuku-buku. Alasnya hanya tikar mengkuang atau bemban. Tiada katil kayu jati dari Betawi. Kerana adik-adik masih kecil, saban malam pasti tilam kena ompolan:kencing. Saat itu, yang dinamakan pampers belumpun tercipta, atau mungkin hanya cucu-cicit Queen Elizabeth saja yang pernah memakainya. Yang ada hanyalah oto, berupa selembar kain dipotong hampir tiga segi. Di kedua-dua hujungnya diberikan tali buat mengikat satu ke leher dan satu lagi ke perut atau pinggang, layaknya seperti jaket keselamatan pesawat MAS. Popok, mungkin itulah kata dasarnya pampers, hanyalah berupa lipatan kain yang dibuat seperti cawat. Oto dan popok adalah pakaian adik-adik saat bangkit dan tidur.

(18) Ya, aku pasti, oto dan popok mungkin telah mengilhamkan manusia putih-merah untuk mencipta pampers lantas kini menjadi barangan dagangan yang paling dicari-cari di seluruh dunia. Namun, kerana, kita tidak pernah pedulikan, maka, kebijaksanaan kita dalam mencipta oto dan popok telah dipinggirkan saja oleh manusia putih-merah.

(19) Kerana ompolan adik-adik, hari-hari tilam kena jemur. Di malam hari, baunya pasti tidak hilang sepenuhnya. Itu jika hari panas, namun jika di musim tengkujuh, malamnya pasti terpaksa tidur pada tilam yang masih lembab. Hacingnya bukan kepalang. Namun, alah bisa tegal biasa, segalanya biasa saja. Bantal pula, jika jarang dijemur, pasti keras kematu. Namun istimewanya, daki-daki yang melekat pada bantal kekabu menjadikan ianya dingin di subuh hari. Enak direngkoh: peluk erat. Tidurnya semakin lena berpeluk bantal kekabu lama, orang bilang: sebut, bantal busuk.

(20)Terkadang-kadang aku tidak kenal antara kepala emak dan bantal, terkadang-kadang kedua-duanya kurengkoh bersama. Kepala emak sering jadi bantal rengkuhanku, MasyaAllah, kualatnya:tulahnya aku!

(21) Selimut, sekadarnya saja. Kami tidak mampu membeli selimut bagus terbuat dari kain kapas India atau Mesir. Cukup sekadar selimut entah terbuat dari pintalan gentian apa, dari China, agak kasar, dan kalau malam panas akan menjadi gatal. Comforter ngak ada. Yang ada cuma yang ngak comfort. Aku enggan berselimut. Selimutku adalah kain pelikat bapak yang sudah lusuh dan koyak-koyak, namun enak dipakai dari selimut gentian China yang gatal. Cuma, kewalahannya:malangnya, bila dingin subuh malam, pasti ditarik ke kepala, kaki telanjang dingin. Jika kaki ingin ditutupi, pasti kepala dan dada menadah angin dingin malam. Jalan terbaik, sebagai bocah, yang tulangnya masih lembut, mudah dibentur, adalah tidur merungkel: bagai tengiling. Dalam bahasa Melayu bakunya mungkin ngak ada, namum Melayu tempatan menyebutnya sebagai engkutong. Anihnya, biar sebegitu tampak tersiksa, tidur aku tetap lena, nyenyak sampai langit runtuhpun mungkin ngak aku sadari. Ngak usah telan Melathonin, tidurnya tetap deep baby sleep.

(22) Bangkitnya pasti segar, biar tidur malamnya berpusar-pusar seperti ular sawa kekenyangan. Kasihan emak, apakah lenanya nyenyak seperti aku? Emak, kesalku kerana ngak tahu deritanya, banggaku kerana dia adalah isteri-emak mithali. Cuma saat itu belum ada yang namanya JAKIM penyedia anugerah isteri-ibu mithali. Anugerah buat emak, bukan pada gelar, atau huluran mawar merah, atau pakaian baru atau perhiasan indah, atau candle light dinner, hadiah buat emak, hanyalah anak-anak yang kian membesar dan munggil:sihat-sihat, sering tertawa dan berkejaran bagai anak-anak kucing atau monyet bontang banting: berguling-guling.

(23) Saat aku sudah menjangkau umur lima tahun, bapak mengajar aku mengaji. Kata emak, aku mesti mengaji. Jika aku tidak tahu mengaji, nanti jika dia sudah mati, tidak ada orang membaca Yasiin di pusaranya. Juga katanya, jika aku pandai mengaji, pasti emak akan sentiasa bersama aku, di mana dan kapan juga. Aku tidak mengerti kata-kata emak. Namun, aku patuh saja untuk mengaji. Setiap malam, usai makan malam, bapak pasti bersandar di dinding dan aku akan menghadap Mukaddam, mengaji. Sesekali emak akan datang duduk di sampingku. Mengusap-ngusap belakangku. Sesekali juga mengusap-ngusap kepalaku. Sambil dia melipat atau menjahit, sering saja dia menatap wajahku: “Mudah-mudahan Munsyi akan terang hati. Jadi anak pinter:bijak. Jadi anak baik. Inilah anak emak”. Kata-kata itu terulang-ulang sekian kali selama aku mengaji saban malamnya.

(24) Teman, kini aku terkujur, sendiri. Cuma hasratku yang kepingin terus mencerita, tentang hidup ini, atas layar yang tidak lama akan kulipat dan tinggalkan, maka fikiranku tetap sekuat tenaganya singa, biar tubuhku sudah longlai, selembik sotong tergeletak: terlentang di atas papan kering panas. Saat ini, ingatanku pada emak, adalah satu-satunya teman paling akrab. Kata emak, agar aku tekun mengaji, adalah azimat yang sebetulnya bukan sekadar buatnya, namun kini telah menjadikan aku saat sepi sebegini, punya teman. Surah Yasiin yang kuhafal, kini berulang-ulanng kubaca dalam hati, menjadi teman kekuatan otakku untuk terus memaksa jantungku tercungap-cungap menhirup nafas biar dalam segala kepayahan.

Adik Datang:

Suatu waktu, aku dapati perut emak seperti orang kekenyangan. Namun, kenyangnya jauh lebih gendut:besar dari biasa. Aku, bocah yang sentiasa ingin tahu, bertanya: “Kenapa perut emak jadi gendut?”. Jawabannya pasti kalian sudah bisa diteka. Aku jadi hairan: “Bagaimana adik bisa tidur dalam perut emak. Adik datang dari mana?”. Jawaban emak pasti sangat mudah: “Kamu jangan banyak soal. Kamu dulupun tidur dalam perut emak. Sekarang giliran adik kamu pula. Bila sudah besar, baru boleh keluar dan tidur dibandulan!”

(2) Jawaban orang dewasa, seperti masuk ke dalam akalku, biarpun mataku masih saja terkebil-kebil seperti dahagakan kepastian yang lebih. Namum, aku terima saja tanpa soal selanjutnya. Hari demi hari terus berlalu. Perut emak kian membusut. Aku kian dilarang untuk bersikap ganas terhadap emak. Bapak sering memberi amaran agar aku tidak mendorong emak semahunya aku sebagaimananya dulu-dulu. Aku agak kurang mengerti, namun emak punya jawaban yang bisa ku terima, saat melihat aku yang agak resah bila tidak boleh selalu rapat dengan dia:"Kamu tak boleh nakal lagi, adik sedang tidur. Nanti dia terbangun, emak susah", sambil dia kuperhatikan mengurust-ngurut perutnya yang semakin besar.

(3) Nenek yang sudah mahir dalam soal kelahiran, saat emak mengadu perutnya memulas, maka bapa segera disuruh menjemput Mbah Dukun: Mak bidan. Saat dukun menjejak kaki ke rumah, dia lantas memeriksa emak. Aku yang terus kepingin tahu, ngak dibenarkan hampir. Di suruh minggir: menjauh. Usai memerikas emak, katanya: “Ngak ada masalah. InsyaAllah, pasti mudah”. Semua orang seperti lega dan tersenyum mendengar ungkapannya itu. Dia lalu berkata: “Coba Munsyi kamu bikin ungun api di kolong, betul-betul di bawah tempat tidur emak kamu”, perintahnya. "Cepat, kamu akan segera dapat adik baru", sambungnya. Bapak mengiring ikut aku sama ke kolong: bawah rumah untuk menjalankan tugasanku.

(4) Dari sergah Mbah Dukun itu, aku tahu selepas ini pasti kami menjadi genap lima beradik bagai Hang Tuah lima bersaudara. Aku seperti sudah memperhitung bahawa aku adalah Jebatnya nanti. Unggun api ini dipasang dari kayu yang sudah sekian lama bapak sediakan. Kayu yang dijadikan unggun tidak menyemarak, hanya sekadar terbakar membara. Asapnya pun kurang sekali. Aku tidak pernah tahu apa namanya kayu yang bapa pilih buat unggun.

(5) Nenek telah mengarahkan, Nek Usu, adik nenek yang bungsu, agar menjemput embah, dan semua bibik-bibik dan paman-paman dari Kampung Terasi turut datang sama. Rumah kami kemudian seperti berpesta. Aku sangat riang kerana embah, iaitu orang tua ibuku ada bersama. Paman-paman dan bibik-bibik adalah adik-adik ibu. Ibu adalah anak embah paling tua, sama seperti bapak, anak sulong nenek. Aku tahu, jika embah hadir, pasti kami akan riuh membuat gulai ayam. Embah paling pinter:pandai buat ayam panggang bumbu Jawa: adunan lada, ketumbar, kencur: cekur dan jahe: halia. Tambahan lagi sambal kicap cabek rewet: cili padi embah pasti menyimbah peluh.

(6) Saat embah memangang ayam, pasti aku tidak mahu berjauhan. Embah mengerti, sememangnya itulah pengharapan tinggi aku di atas kehadirannya, ayam kampong panggang berbumbu Jawa.

(7) Suasana menjadi lebih meriah. Tugasku jadi juruteknik peñata pelita tanah, kini ditanggung oleh pamanku. Dia memasang lampu gasoline. Lampu pam. Mentolnya kain khas cap kupu-kupu buatan China. Cahayanya sungguh terang, boleh kelihatan dari jarak jauh di seluruh kampong. Selalunya, lampu ini dipasang di tengah rumah. Seperti chandelier rupanya. Di keliling rumah, paman memasamg obor-obor terbuat dari bambu. Suasana berpesta memang sangat terasa.

(8) Teman, bocah otan, sebegitulah pengarapannya-tanggapannya: asal saja riuh rendah, asal saja rame-rame, maka berpestalah namanya. Jiran-jiran juga datang bertandang. Anak-anak mereka juga hadir sama.

(9) Awal di pagi isnin, emak selamat melahirkan adik perempuan. Adik baruku datang. Dia adalah anak perempuan kedua dalam keluarga kami. Segalanya berjalan pantas dan selamat. Dukun mengemasi emak. Badan emak dilapi air panas. Perut emaku dililiti kain bengkung khas turunan moyang Jawaku. Bajunya ditambah dua lapis. Emak diberi minum air madu-halia. Dahi emak ditempeli daun sirih diganggangi minyak kelapa bikinan nenek. Muka emak dilapi dengan basahan tepung beras. Jari-jarinya tangan dan kakinya dilumuri minyak serai. Lalu emak diselimuti. Aku tidak dibenarkan merapati emak. Semua seperti melarang aku untuk mendekati emak. Namun dari kejauhan aku dapat melihat mata emak pejam celek. Sesekali aku dapat menangkap kilas matanya, dan dia melemparkan senyuman letih. Emak letih. Emak mahu tidur. Aku tidak boleh menganggu.

(10) Dan, adik sudah besar, adik sudah keluar dan adik tidak tidur lagi dalam perut emak. Apakah itu benar? Saat itu, teman, apa tahuku, terima saja seadanya.

(11) Sedang embah mensucikan adik. Dilapi dengan air hangat. Perut dan badan adik disapu minyak panas. Tubuhnya kemudian dibaluti dengan kain putih kapas lembut. Adik tidak menangis. Matanya sesekali terbuka. Mulutnya sesekali menguap. Embah menyerahkan adik kepada embah lanang:datuk untuk diazankan. Lantas kemudian, adik diletak di samping emak. Kedua mereka lena. Aku dan yang lain hijrah dan terus hiruk pikuk di dapur. Bapak tetap di samping emak. Dia memicit-micit lengan, kaki, dan kepala emak.

(12) Selang tiga hari, semua kelihatan sangat baik. Emak sudah mulai makan bubur dan sup ayam kampung. Adik sudah mulai menyusu. Aku sudah boleh kembali mengusir-usir kepala dan rambut emak. Sesekali aku bermain kaki adik yang masih merah bagai anak tikus yang baru lahir. Tangan kecilnya mengengam jari telunjuk yang sesekali kuajukan kepadanya. Emak terus saja tersenyum, seperti puas. Dukun, embah, paman, bibik kemudian bubar:kembali ke Kampung Terasi. Kami kemudian hanya bertemankan jiran tetangga yang sering munjung elek-elekan:bertandang dan berjaga malam di sebelah petang atau awal malam.

(13) Begitulah kelahiran insan zaman dulu-dulu. Tanpa bantuan alatan apanya, benar-benar sekadar alah bisa tegal biasa para dukun, atas ilmu keyakinan, satu-satu, manusia lahir dengan selamatnya di tangan kosongnya mereka. Jampi serapah itulah kata meyakinkan dari mereka. Saat kewalahan:kecelakaan, segalanya pasti terserah saja pada yang Maha Berkuasa mentakdirkannya. Tiada stetoskop. Tiada antiseptik. Tiada scaple. Tiada bandage. Tiada jarum suntikan. Tiada ubatan penahan pendahan melampau. Tiada drip air glukos. Tiada segala sesuatu yang terlintas dalam kepala para bidan moden. Yang ada, cuma baskom: belanga air panas. Tuala kecil. Rempah jampi serapah. Dan paling penting, ketabahan dan kecekalan Mak Dukun. Itu saja. SubhanaAllah. Maha Kuasa Allah, saat mundur-kuno sebegitu, masih dapat juga manusia terus saja beranak-pinak.

Emak Pulang

Teman, dalam bayanganku, terjelma seribu warna-warni, berbintik-bintik, berpusar-pusar bagai hamburan puting beliung saat mahu menjamah dan meratah segala apa di muka bumi. Pusaran warna-warna itu sesekali menerpa bahang panas ke muka dan dadaku. Sesekali juga warna-warna itu hadir bagai simbahan cairan salju dari gunung Fujiyama. Aku sesekali menyentak nafas kaget. Jari-jari tanganku jadi mengeletar saat serangan sebegitu. Anak mataku terasa amat payah untuk menangkap dengan jelas segala warna yang terjelma. Terasa kepalaku berpusing sama. Tekakku terasa loya dan mahu turut memaksa menyempurat: muntahkan segala isi perutku. Teman, aku terbaring, terasa seluruh tubuhku melambung-lambung bagai kertas ditiup angin. Peluh dingin mencurah likat.

(2) Teman, apakah sebegitu rasanya, bila ajal bertandang datang. Serangan warna-warna kesamaran itu, apakah mungkin satu jalan jemputan agar roh kita turut pergi tertarik keluar memati diri? Aku benar-benar terkesima.

(3) Khamis malam. Emak seperti gelisah. Tangannya sering saja mengurut-ngurut dadanya. Tangannya tidak seperti selalunya, tidak lagi mengepok-ngepok punggung adik-adik. Adik-adik terbiar tidur tidak lagi dalam dakapan emak. Tangannya lebih banyak di dadanya. Menahan perit, sepertinya. Dia kelihatan resah dan payah. Aku terbangkit saat terasa bapak juga bangkit cuba membantu emak. Nafas emak seperti tersekat-sekat. Sesekali matanya terpejam kuat. Titis-titis air mata berlinang di sudut matanya. Sangat payah rasanya emak. Dia tidak melihat aku, matanya sukar celek.

(4) Bapak membangunkan nenek dan bibik. Adik-adik terpaksa dipisahkan dari emak. Aku enggan nginser:lari dari terus memegang kepala emak. Aku menyapu-nyapu dahinya. Sesekali aku mendekap diri pada dahi emak. Mungkin antara sedar dan tidak aku mengucupi dahi emak yang jendol: luas. Pipi emak kupegang dengan kedua belah telapak tanganku. Terasa dingin. Mata emak terus saja terpejam. Air matanya terus saja menitis. Jari-jari tangannya tergengam kuat. Bibirnya kian pucat.

(5) Adik-adik dan abang, antara sedar dan tidak berpindah ke kelambu bibik. Mereka seperti payah mahu membuka mata. Dingin lewat malam menjadikan mereka tetap mahu terus pejam mata. Adik bungsuku juga bibik bopong ke kelambunya.

(6) Bapak mengelapi muka emak dengan basahan tuala panas, sambil berkata: “Sabar Din. Sabar. Tenang”, dalam sedu yang payah sekali bunyinya. Kedua emak dan bapak saling mengelar diri mereka Din bila berbicara. Nama itu adalah singkatan dari nama abangku. Hanya sekitar awal subuh baru emak kelihatan tenang dan lena. Aku turut tertidur terkulai seperti selalu di sebelah kepala emak.

(7) Nenek telah mengarah adiknya, Nek Usu, agar segera ke Kampung Terasi, mengkhabarkan kepada keluarga embah akan keadaan emak. Firasat nenek, agak kurang baik. Dia khuathir sesuatu akan terjadi pada emak. Dia mahu besannya, embah, hadir sama saat emak sangat perlukan sokongan semangat. Di tengah malam buta, adik nenek berdayung menghilir ke Terasi. Sekurang-kurangnya empat hingga enam jam baru sampai ke sana, itupun jika air surut.

(8) Teman, jangan difikirkan talipon, atau handphone, sampan berinjinpun masih payah dan susah untuk didapati masa itu. Segalanya tercapai hanya dengan kudrat kuasa tulang empat kerat. Sesungguhnya Allah sangat mencabar kecekalan hidup manusia di saat negara masih mundur dan baru saja lepas dari serakah penjajah. Maka, teman, belalah kemerdekaan kita, jangan sampai kita payah lagi. Jangan sampai apa yang aku lalui, tersergah di depan anak cucu bangsa kita nantinya.

(9) Jumaat. Hari paling mulia dari segala hari. Hari Allah mulai menurunkan wahyunya. Hari Allah mulai memfardhukan sholat buat mendisiplin ummahNya. Jumaat adalah juga hari Hijrah Muhammad beralih kiblat dari Quraish jahilliah kepada Aws-Kharajr yang sedang tertindas oleh pedagang Yahudi di Yathrib. Mentari hangat. Angin bertiup nyaman. Emak masih lena biar hari sudah meninggi. Adik-adik sengaja dijauhkan dari emak. Dia dibiari istirehat sepuasnya. Aku sudah menjalankan tugas harianku seawal pagi. Bapak sudah ke bendang bersama tetangga berdurok:bergotong royong mengetam padi yang rata-rata sudah terlalu masak. Aku tidak ikut sama, sabagai selalunya. Bapak menyuruh aku menemani emak di rumah.

(10) Sekitar jam sepuloh, emak tiba-tiba kedengaran mengerang. Aku bergegas mendapatkan emak. Nenek yang sedang mengoreng kopi, bergegas ke pelantar belakang, melaung sekuatnya kebinggungan memanggil bapak pulang. Bapak berlarian tidak tentu arah bergegas mendatang. Mata emak berpusar-pusar, antara putih dan hitam. Dadanya berombak tak karuan. Nafasnyna tersekat-sekat. Mukanya mulai pucat. Peluh perih tumbuh lebat di dahinya. Aku terus saja hanya mengusap-ngusap dahi emak. Abang, adik-adik sudah semua kumpul di sisi emak. Tangan emak seperti terketar-ketar. “Sabar Din. Sabar. Tenang”, itu saja suara terpancul dari bibir bapak, apa lagi bisanya?.

(11) Nenek kelihatan sangat resah. Kopi yang digoreng ditinggalkan entah sudah berapa lama. Bau hangit kopi terbakar menyadarkan nenek. Baunya semerbak mengisi setiap ruang rumah. Para tentangga sudah para mendatang. Semua seperti berlinangan air mata menyaksikan emak yang dalam keperitan yang amat sangat.

(12) Emak dipindahkan ke ruang dapur agar dapat angin segar. Nenek merenjis-renjis air ke dahi emak. Entah apa yang dibacanya, kumat kumit, aku tidak pasti. Tiba-tiba, emak berbisik padaku: “Ngaji nak. Ngaji buat emak”. Aku tidak tahu mengaji apa. Aku baru belajar mengeja. Alif Jabar Aak. Alif Jabar Eek. Alif jabar Uuu. Ak, Ek, Uu. Itu ngajian cara Jawa. Itulah cara bapak mengajar aku mengaji. Sama saja dengan Alif di atas A, Alif di bawah E, dan Alif di depan U. Sama saja. Hasilnya tetap Aa, Ee, Uu. Mungkin teman tidak pernah mendengarnya. Tidak mengapa. Kini teman tahu, bahawa ada juga caranya mengaji cara Jawa. Mungkin kerana itu, di kalangan orang Jawa, kami saling berkenalan sebagai Tiang Jawi, yang maksudnya adalah Orang Jawa, bukan Wong Jowo.

(13) Selaku anak yang sering manut:patuh akan pinta emak, aku mengaji, mengaji alif ba ta, bertatih-tatih mengeja Ak, Ek, Uu. Teman, apakah ini apa yang emak bilang, mengaji agar aku bisa membaca, apa itu, Yasiin saat emak telah mati? Kenapa emak harus mati? Peluh di dahi emak kian kurang. Resah di wajahnya kian kendur. Emak kembali tenang. Matanya mencari-cari seisi keluarga, anak-anaknya dan bapak, semua ada di samping emak. Semua duduk tunduk melas: kasihan merenung emak. Adik-adik menangis. Abang menangis. Bapak berlinangan air mata. Nenek tersedu sedan. Aku diam. Aku kelu. Aku terus saja mendekap kepala emak. Dahinya terus saja aku kucup entah berapa ratus kali.

(14) “Din, kalau Din ingin pulang, pulanglah”, tiba-tiba terpancul kata-kata keramat itu dari bibir bapak. Nadanya terketar-ketar. Dadanya sebak. Sedunya, masyaAllah, aku tergetar, terkesan, terpana, biar masih bocahan. “Usah khuatir. Akan aku jagai anak-anak kita. Pulang sajalah jika itu sudah waktunya”, tambah bapak. Dia menangis. Adik-adik meraung. Abang mengerang. Nenek, mengucap: “Mengucap nak. Asshaduallaillah haillallah. Tiada Tuhan melainkan Allah. Waassaduan na Muhammad darrasullullah. Muhamad itu persuruh Allah”, emak seperti mengikut nenek mengucap dua kalimah syahadah. “Kesuwon kang: terima kasih bang. Aku jalok ngapuro: aku memohon ampun...”, bisiknya lembut. Matanya pejam. Nafasnya terhenti. Senyuman terukir indah di wajah emak. Tangannya yang tadi kupegang, terkulai, lemah, dingin.

(15) Bapak meraba-raba dada emak. Dia meletakkan telinganya tepat ke dada emak. “Munsyi, emak sudah pulang nak”, itulah kata-katanya. Lalu bapak menarik kain batik lepas yang menyelimuti emak menutupi seluruh tubuhnya. Aku mendekap kepala emak. Airmataku mengalir deras. Aku tanpa suara. Aku menangis dalam diam. Segalanya kutahan dalam dada, seperti juga, mungkinnya emak menahan segala derita di dalam dadanya selamanya. Kini, segalanya sudah terlepas dari tanggungan emak. Allah mengasihinya, memerdekakan dia dari segala derita hidup yang terpaksa dia tanggung selama dia menjadi isteri dan ibu yang cekal dan pengasih.

(16) Teman. Jika adanya jalan menghubungi kampung ke hospital. Jika adanya hospital. Jika adanya para pakar jantung. Jika adanya ambulan. Jika adanya pace-maker. Jika penjajah tidak serakah, mengaut segala mahsul Negara untuk dibawa pulang kekejuahan sana. Jika adanya segala-galanya seperti adanya masa kini, apakah mungkin terpaksa ibuku melewati kepedihan yang perit saat dia kembali pulang.

(17) Teman, keonaran kita, kealpaan kita, serakah kita yang kendiri, menjadikan kita terjajah, menjadikan kita lemah. Kalian, mungkin tidak pernah melaluinya, namun, aku, saat aku sangat butuhkan perlukan segalanyan dari seorang emak, segalanya terpaksa kulepaskan tanpa rela, tanpa mengerti kenapa aku harus menerimanya.

(18) Tuhan, sengaja Kau henyakkan ini padaku, biar saat aku masih bocahan. Aku sedar. Betapa Engkau mahu aku payah. Betapa engkau ingin aku sadar, betapa masih terlalu banyak mereka yang perit dan payah yang mesti aku sumbari:pedulikan. MasyaAllah. SubhaAllah. Itulah mahuMu dari sendirinya aku. Aku terima. InsyaAllah. Dengan restuMu juga.

(19) Jasad emak tersemadi di Sungai Putin, berdekatan dengan Kampung Terasi. Di sana, dia baring kekal bersebelahan datuknya Bajeng, oyot:moyangku sebelah ibu. Bapak tidak membenarkan aku ikut mengkebumikan emak. Dia sangat khuatir jika nanti aku tidak akan mahu pulang kerana sepanjang bocahku, aku tidak pernah terpisah dari emak.

(20) Saat jenazah emak diturun dari rumah, aku seperti menghantu. Mungkin maharaja syaitan telah menghuni tubuhku. Aku mengamuk. Aku menumbuk sesiapa saja yang cuba menghalang aku dari terus mendekap emak. Aku mengigit dan menerkam sesiapa saja. Akhirnya, bapak memasong aku. Aku diikat di tiang seri di tengah rumah. Aku meraung sekuatnya. Aku menjerit sekuatnya memanggil emak. Aku menyeru kepada semua orang agar emak jangan di bawa pergi. Aku minta tolong kepada semua orang agar aku dipepaskan. Benar-benar aku meminta kasihan agar aku dapat terus bersama emak. Embah, ibu kepada ibuku, membujuk dengan pelbagai cara. Sering saja dia mengingatkanku agar terus tekun belajar mengaji: ”Nanti bila sudah pandai baca Al Quran, pandai baca Yasiin, kita akan ketemu ibu”. Itulah kata-kata embah yang dapat meleburkan rasa kesal dan jengkel:marah kerana aku tidak dapat turut mengkebumikan emak. Badanku jadi lemah. Suaraku hilang. Embah memelukku di tiang seri. Aku kemudian ketiduran dan saat aku sadar embah masih memeluk aku rapat.

(21) Malam-malam seterusnya, aku tidur tanpa bisa lagi mendekap kepala emak. Namun bantal, kain sarung emak sudah menganti bantal dan kain pelikatku. Aroma emak, perlahan-lahan hilang. Aku kian sadar, emak pasti tidak akan bersama aku lagi. Setelah selesai empat puloh hari emak pulang, adik-adik diambil embah dan nenek untuk dipelihara mereka. Nenek sudah kembali ke rumahnya sendiri. Emak sudah tiada, tiada bantuan lagi yang dia perlukan dariku. Rumah nenek sebetulnya hanya sekitar 500 meter dari rumah kami. Sesekali aku akan ke sana buat menjengah adik bungsuku.

(22) Kehidupan harianku semakin berubah, menjadi semakin payah dan sepi, sebetulnya. Hiburan kami tidak pada tv berwarna. Radio transistor Philippun terkadang tidak mampu untuk membeli baterinya. Kalau terpasang, bukan untuk mendengar Hip Hop atau Rock, hanyalah bapa mahu mendengar Radio Malaya dan Suara Indonesia, sekadar ingin tahu khabar dua Negara yang baru merdeka. Jauh sekali astro. Apa lagi dinamakan PC buat berkelana dalam Internet atau FaceBook.

(23) Aku tidak ingin bercerita panjang tentang bapak. Bapak punya jiwa yang lain. Pengarapan:pandangan hidupnya juga lain. Tanggungannya juga berbeda. Kalau keluarga cukup makan, cukup pakai, punya rumah yang bisa memberikan perlidungan biar hanya seadanya, serta sekitar keluarga yang selamat, sudah dapat memuaskan hatinya. Pokoknya, bapak hanya peduli pada perkara-perkara asas atas tanggungan seorang lelaki.

Menyatu Tiga Musuh:

Teman, hari ini badanku sedikit kuat. Aku mulai bangkit dari perbaringanku. Aku lemparkan pandanganku ke luar jendela. Aku dapat rasakan hangat mentari pagi. Aku dapat rasakan nafas hari nan kian meninggi. Kehangatan yang selama ini telah tidak kunikmati seperti kian kembali. Aku merenung jauh. Pada pohon-pohon, pada kebiruan gunung dan bukit, pada hamparan tanah lapang, dan pada deru angin kulempar dan kutancapkan kenangan. Fikiranku berjalan-jalan meniti kehidupan silam yang sangat mengetarkan.

(2) Setelah beberapa bulan emak di semadikan, abang, dan dua adikku yang kecil sudah diangkat bibik, nenek, dan embah maka kini aku hanya bersama adik perempuanku, Zainab dan bapak di rumah. Hidupku kian sepi, kian sunyi. Tugasku, bukan lagi membantu emak, tetapi menjadi ibu buat adikku. Segala keperluan adik terpaksa aku perbuat. Bapak bekerja di bendang dan kebunan seperti biasanya. Cuma, aku pasti bapak juga semakin menderita akibat kehilangan emak dan terpaksa pula terpisah dengan anak-anaknya. Aku bersangka sebegitu, kerana bapak sudah mulai banyak merokok, biar hanya sekadar rokok daun pintalan dedaunan nipah kering.

(3) Rokok kini seperti menjadi teman batin bapak yang sukar dipisahkan. Kerana kuat merokok serta tidak keurusan dengan baik segala makan minumnya, kesihatan bapak, aku berkira kian goyah. Bapak mulai batuk-batuk. Namun aku tidak sadar, batuk bapak adalah petanda, akan payah dan tersendat-sendatlah jalan selanjutnya yang akan aku lalui.

(4) Kebetulan, anak tetangga kami ada seekor anjing yang baru bersalin dengan dua ekor anak. Dia memberikan aku seekor dari anak anjing tersebut. Ianya berbulu lebat, kekuningan dengan belang-belang putih di leher. Anak anjing jantan ini sangat gemuk, montel sebetulnya. Aku menyukai anak anjing ini, lalu kuberikan nama Bobby. Dari mana aku mendapat nama ala Barat itupun aku tidak tahu. Mungkin terasa enak dan ringkas menyebutnya.

(5) Kerana Bobby masih kecil, aku membikin sebuah peti kayu buat tempat tidurnya. Jerami padi atau rumput kering kujadikan alas tidurnya. Jerami ini kutukar setiap hujung minggu. Saban sore, selepas mengiring ayam dan itik masuk ke reban, aku akan memasukkan Bobby ke tempat tidurnya. Di sebelah peti tidurnya Bobby aku akan membuat unggun kecil buat menghalau nyamuk dari terus mengganggu tidurnya. Juga di setiap hujung minggu aku akan memandikan Bobby. Terkadang Bobby mengelak untuk dimandikan, namun aku akan menghambatnya sehingga dapat lalu menceburnya ke dalam parit di depan rumah sebelum kusiram dengan air sabun. Makanan Bobby adalah sisa nasi dan tulang-tulang ikan. Kekadang aku mengail ikan gabus:toman, lele:keli dan puyu lalu dipanggang buat makanan Bobby. Aku meladeni:menjaga Bobby seperti aku meladeni adik-adikku rasanya.

(6) Kekadang di awal pagi, aku akan mengajak Bobby berlumba lari di sekliling halaman rumah atau lorong jalan berumput ke rumah jiran-jiranku. Riuh kegembiraan suara salakan Bobby kini sudah mengganti suara riuh adik-adik dan abang. Bobby, kerana terpelihara dengan baik, sangat cepat ianya membesar sehingga tidak mungkin untuk aku dapat mengalahkan dia belari. Bobby kini sudah menjadi teman sepermainanku bila saja aku turun ke laman. Aku kini sudah tidak betah lagi di rumah. Bila bapak ke bendang atau dusun, adik, aku dan Bobby akan ikut sama. Bobby sudah menjadi keluarga baru kami.

(7) Kerana melihat aku rajin dan pandai membela Bobby, tidak berapa lama kemudian nenek memberikan aku seekor anak kucing jantan. Kebetulan bulunya juga lebat seperti Bobby, cuma anak kucing ini lebih berbulu rintik-rintik hitam-putih. Aku namakan kucingku ini Tompok. Juga aku tidak mengerti dari mana, nama Tompok itu aku perolehi. Aatu mungkin kerana bulu-bulunya bertompok-tompok berwarna kelabu dan putih, maka itu menjadi ilhamku menamakan dia Tompok.

(8) Teman, naluri alami: naturalist seperti telah terlahir dalam diriku. Bagai botanis atau zoologis, segalanya dinamakan atas sifat alami, sifat sejadi apa saja yang kutemui atau sukai.

(9) Bila aku ke laman rumah, Bobby pasti segera mendapatkan aku. Bobby sememangnya suka bermain-main. Aku sering membopong:mengendong Tompok dan mengacu-ngacunya kepada Bobby. Seperti sifat azalinya, naluri sejadi permusuhan kucing dan anjing, pasti ini akan membuat Tompok ketakutan, lalu mencakar lenganku dan membuat bunyi bising bagi menakutkan Bobby. Sebagai riak balas, Bobby akan menyalak galak: garang. Aku cuba mendamaikan rasa takut Tompok disamping mengendurkan rasa galak Bobby. Tidak berapa lama, akhirnya, Tompok dan Bobby sudah bisa akur dan tidak lagi bersikap bermusuhan.

(10) Di malam hari atau di rumah, Tompok menjadi temanku. Tompok sering tidur bersama ak
u. Sejak emaK sudah tiada, serta nenek sudah tidak lagi tinggal bersama, aku sudah mulai tidur sendirian. Tompok menjadi teman tidurku. Tompok juga sudah seperti menjadi jam loceng bagiku, kerana selalunya sekitar matahari mahu terbit, pasti dia akan menyondol-nyodol hidung basah-dinginnya ke mukaku. Itulah tandanya aku terpaksa bangkit dan memulai tugas harianku.

(11) Kebetulan, dari banyak anak-anak ayam yang sedang subur membesar, terdapat seekor yang kelihatan lebih tinggi dan besar. Ianya berbulu hitam kehijauan bercampur-campur putih di leher dan ekornya. Aku namakan ayam ini Jago, yang maksudnya adalah jaguh. Saat memberi makan dan mengurung, Jago mendapat perhatian lebih dari aku. Jago sering aku beri makan di telapak tanganku. Aku sering menangkap, mengusap-ngusap badan lalu melambung-lambung Jago. Dengan cara ini, ia menjadi semakin jinak dan sangat akrab denganku. Kalau dulu adik-adik akan membantu aku mengiring ayam itik masuk ke reban, kini, Bobby mengambilalih peranan tersebut. Tompok biasanya hanya akan memerhati di anak tangga bersama adikku.

(12) Sekian waktu, Bobby, Tompok dan Jago sudah mencapai dewasa. Mereka bertiga seperti tahu, bahawa aku sangat memerlukan mereka untuk bersahabat. Mereka juga sudah seperti tahu, bahawa bila sampai di hujung minggu, aku akan memandikan mereka bersama. Mereka juga sudah seperti tahu jadual harianku serta peranan masing-masing. Tompok seawalnya membangkitkan aku. Bobby, sebaik sahaja aku membuka pintu, pasti sudah menyambut dan mengucapkan selamat pagi dengan salakkan-salakkan manja dan mengoyang-goyangkan ekor.

(13) Kami bertiga kemudian lalu bersama berjalan bagi membuka pintu reban ayam. Saat pintu terbuka, Jago kemudian terus menyerbu keluar lalu saja akan mematuk-matuk kakiku tanda ingin dilayan lebih. Sedang Tompok dan Bobby cuba mengejar-ngejar anak-anak ayam yang kecil, mahu bergurau senda lagaknya. Sesekali Jago berlagak mengembangkan bulu-bulunya mahu meneladong:menyerang Bobby atau Tompok, atas waspada mahu mempertahankan anak-anak ayam yang masih kecil dari gangguan keduanya.

(14) Kini hari-hariku sudah kurang sepi. Bobby, Tompok, dan Jago adalah gantian kepada adik-adik dan abangku. Mereka adalah teman setia baru yang sungguh istimewa. Aku sangat puas dapat menyatukan mereka yang azalinya adalah saling bermusuhan. Ayam mangsa kucing dan anjing, dan kucing adalah mangsa anjing. Namun Bobby, Tompok dan Jago tidak sebegitu sifat mereka, dan mereka kini adalah bersahabat dengan aku. Kami saling akur dan bersatu dalam keperluan bersama: makan, bersuka, dan saling mengawas keselamatan bersama.

(15) SuhanaAllah, ada saja cara Allah dalam memelihara hambaNya. Aku bersyukur, dan percaya, betapa Dia ada hajat yang sangat besar ke atas hadirnya aku.

Melangkah Batas Hutan:

Dari jendela di kamar tidurku ini, teman, aku dapat merasakan kasih Allah. Biar dadaku masih berat, namun fikiranku terus jelas dan terang. Hamparan hidup yang telah kulalui ingin kulukis pada setiap dinding biarpun hanya hiasan jelek: sia-sai buat sabahagian, namun aku pasti pasti ada pelukis yang mengerti di maksud warna-warna hidupku. Teman, ya aku sememangnya bersyukur betapa Allah itu masih punya belas kasih yang amat besar buatku. Tanpa Bobby, Tompok dan Jago pastinya aku akan menjadi anak yang enggan terus hadir. Rinduku pada emak, hanya Allah yang tahu. Kepinginku untuk bersama dia sering saja menerpa, sehingga ada ketika aku bertempik "Zalimnya kemiskinan dan kepayahan yang mencabut kasih emak dariku sewalanya!". Tanpa Bobby, Tompok dan Jago, jika aku hadirpun , pasti aku jadi anak diam yang terlalu sepi. Namun mereka dapat mengobat sepi dan sendiriku.

(2) Detik waktu kian beranjak. Saban hari berlalu bagai biasa. Siangnya tetap adamentari, biar redup biar panans. Malamnya tetap gelap, biar berbintang atau tiada bulan. Tetap sama, berputar terus. Cuma hidupku, tetap payah. Tetap susah. Yang berubah adalah watakku kian tangkas. Jiwaku kian kental dan berani. Naluri keinginanku sudah menjalar, melebar, banyak yang ingin aku tahu dan terokai. Biar hanya sendiri.

(3) Bapak terus saja mengajar aku mengaji. Ada saatnya, aku jadi diam. Aku tidak menyebut apa-apa. Aku ada ketikanya terus saja menangis keseduan. Bapak akan mengusap-ngusap kepala dan belakangku. Ada yang aku sangat rindukan. Hanya bila bapak berbisik: "Ngaji jeng:yang rajin. Nanti kamu bisa ketemu sama emak. Kamu ngaji buat emak", akan menjadikan aku sedikit lapang dan meneruskan pengajianku. Saat sebegini, Tompok juga seperti mengerti peranannya. Ia datang menyondol-nyondol kepalanya ke peha, belakang dan rusukku. Terasa tangan emak seperti mengusap dan membelai aku.

(4) Bapak juga mulai mengajar aku mengira. Aku sudah boleh mengira anak-anak ayam dan itik yang aku ada. Begitu juga aku sudah boleh tahu maksudnya banyak dan sedikit telur bebek yang aku kutip saban harinya: jika kurang dari sepuloh maka sedikitlah, jika lebih dari sepuloh maka banyaklah. Namun kebolehan hitunganku masih terbatas sehingga dua pulohan. Maka apa-apa yang aku hitung, jika ianya melebihi dua pulohan, maka aku akan menggunakan istilah terlalu banyak atau sangat banyak.

(5) Bapak sering mengelak untuk mengajar aku untuk dapat menghitung lebih jauh dari itu. Kata bapak, nanti saja di sekolah aku akan berlajar selebihnya. Dia juga berkata, jika aku pandai sangat menghitung, maka mungkin aku tidak akan mahu ke sekolah nantinya. Aku akan jadi buta huruf sepertinya dia katanya. Hidup aku akan terus susah dan payah jika terus buta huruf katanya. Aku tidak mengerti maksud bapak, namun aku percaya, seperti juga emak sebelumnya, pasti bapak berkata yang betul dan benar.

(6) Suatu malam, bersila di depan sebuah pelita, bapak seperti biasa menyediakan pintalan rokok daunnya, memberitahu bahawa esoknya kami akan ke pekan Simunjan. Katanya, aku mesti didaftar ke sekolah. Aku agak was-was dengan usul bapak. Aku selama ini hanya mendengar namanya pekan Simunjan bila bapak ombrolan:sembang sama tetangga atau nenek. Katanya di sana banyak orang. Banyak basikal. Banyak kedai menjual segala macam barang. Di pekan kita boleh ketemu lain-lain kaum: Cina, Melayu, Iban dsb. Di pekan, orang berpakaian cantik-cantik dan bersih. Di pekan, orang banyak duit. Dengan duit orang boleh membeli apa saja.

(7) Malam itu tidurku, agak awal. Bapa berkata kami harus mulai perjalan agak awal. Untuk mengelak panas katanya. Aku mulai membayang-bayang dalam tidurku bagaimana rupanya pekan kerana selama ini aku hanya pernah sekali saja keluar dari Kampung iaitu bersama bapak ke rumah embah di Terasi. Tidak pernah aku melawat ke lain tempat selain dari ke Kampung embahku.

(8) Pagi seperti dikatakan, aku dan bapak mandi seawal subuh. Sangat dingin rasanya. Juga agak mengembirakan, rembulan tampak mengambang penuh, tanda hari sangat baik. Setelah mandi bapak menyuruh aku membuka pintu reban ayam. Nanti, bila sudah siang katanya, ayam-itik boleh keluar sendiri. Aku juga disuruh menabur padi di sekitar halaman rumah untuk jadi makanan ayam dan itik nantinya. Tampaknya, jadual tugasku sudah berubah. Namun aku ikut saja suruhan bapa tanpa ada soalnya.

(9) Selepas minum sedikit teh dan makan seadanya nasi goreng, kami kemudian bersuluhkan obor-obor menyusur ke rumah nenek. Adik yang masih mahu tidur digendong bapak dan kemudian ditipkan ke rumah nenek. Sampai ke rumah nenek, nenek mengosok-gosok tubuhku lalu berkata: “Sudah besar cucu nenek. Tidak lama lagi akan ke sekolah”. Dia menyapu minyak wangi ketubuhku. Rambutku diberikan krim berwana hijau berjenama 999. Kami kemudian menaiki sampan memudiki Batang Sadong ke Pekan Simunjan. Bapak mendayung sampan dengan sering saja terbatuk-batuk.

(10) Aku memakai celana pendek. Bertali pinggang. Kedua celana dan kemejaku nenek yang sediakan, dan berseterika kemas. Terasa keras akan pakaian ini. Namun aku tetap bangga kerana inilah pertama kalinya aku berpakaian sebegini. Selalunya hanya celana kolor tinggalan jahitan ibu atau buatan nenek dan baju yang agak usang. Aku sungguh merasa lain pada hari itu. Saat itu aku tidak menegerti apa sebenarnya perasaan hatiku. Rasa itu hadir tanpa aku mengerti apanya. Ianya hadir. Aku sungguh merasa lain. Mungkin inilah yang mungkin kini apa yang disebutkan senagai bergaya, lawa.

(11) Mentari sudah meninggi. Terasa hangat. Air pasang tampak sudah tenang. Kami berlabuh dipangkalan kayu Pasar Lama Simunjan. Bapak menyuruh aku mengikat tali sampan pada tiang pangkalan. “Sudah jam tujuh. Sekolah buka jam delapan. Kita minum milo dan makan roti dulu”, kata bapak. Aku seperti terpingga-pingga. Minum milo. Makan roti. Semua itu perkataan baru buat aku. Di rumah, cuma ada air suam, teh dan kopi. Susu hanya untuk adik. Makan pula selalunya nasi goreng, lempeng, cucur, ubi-ubian dan kuih-kuih. Aku tak pernah merasa yang dinamakan roti.

(12) Bila sudah menaiki tebing, bapa bersalaman dengan banyak orang. Mereka seperti sangat mesra. Sebilangan bapak panggil cara hormat: Wak, Pak Long, Usu, kakang, dsb. Tidak kurang yang memanggil bapa: abang, kakang dan mamang. Mereka itu seperti saudara-saudara bapak rasanya. Namun, aku tidak pernah sebelum ini ketemu mereka. Bila bapak mengenalkan aku kepada mereka, aku hanya tersenyum segan lalu mendempet:merapat ke samping bapak. “Salam nak”, pujuk bapa, maka dengan itu baru aku berani menghulur tangan berjabat salam. Ya, teman, mungkin kampungku pada saat itu hanya sebuah penempatan di pinggir hutan, sedang di sini sudah dinamakan pekan, maka pastinya ada perbedaan yang sangat jelas. Bagai rusa masuk kampung lagaknya.

(13) Bila berjalan, pijakan kakiku amat payah. Batu-batu jalan yang masih belum berturap, terasa amat keras menusuk-nusuk telapak kakiku. Aku terkadang berjengkit-jengkit, terkadang melompat-lompat mengelak dari tusukan batu-batu kelikir jalan. Bapak sering menoleh kepadaku. Aku menyeringai menyatakan kakiku sakit ditusuk batu. Bapak hanya tersenyum. Aku tidak mengerti namun tetap bergiring berjalan laju mengejar langkah-langkah panjang bapak. Kami sebetulnya sama-sama berkaki ayam. Teman, betapa lucunya, benar-benar anak otan: anak kampungan olahnya aku. Kemudian bapak mampir membeli sepatu buat kami berdua. Bapa enak saja berjalan dengan sepatu, selipar Jepun sebenarnya, sedang aku terkial-kial dan sering saja tercabut sepatuku. Akhirnya, dari aku memakai sepatu, kini sepatu yang kubopong:peluk di dadaku. Bapak hanya tersenyum dan mengeleng-geleng kepala melihat olahku. Juga saat aku melewati anak-anak yang berdiri atau sedang berjalan, semua pasti seperti tersenyum melihat gayaku. Aku hanya melirik dengan penuh tanda soal dalam dadaku. Hatiku yang mulai merasa anih, fikiranku sememangnya sudah tidak terjawap banyak persoalan yang anih-anih tumbuh bagai cendawan lepas hujan.

(14) Bapak kemudian singgah di kedai kopi. Dia memesan Milo dan dua keping Roti. Milo, roti: dengan lantang dan terang. Aku menjadi jelilapen:seperti binggung hairan hebat, teruja ngak karuan bila mendengar bapak menyebut perkataan milo dan roti. Seluruh jiwa dan fikiranku kepingin tahu bagaimana rupanya Milo dan roti. Sekonyong, seorang perempuan tua membawa secangkir minuman. Cangkirnya tebal berwarna keputihan dengan dihiasi ukiran pohon-pohon renek yang berlingkar-lingkar kehijauan. Piringnya juga cekung dalam dan tebal. Sudunya juga tebal. Semuanya terbuat dari bahan yang sama. Aku seperti terpegun melihat cangkir, piring dan sudu yang sebitu indah. Lebih kagum, di dalamnya, ada air berwarna coklat. Bila saja bapa mengudek-ngudek:kacau airnya, ianya bertukar jadi coklat keputihan. Ajaib. Aku mendonggak merenung bapak. Dia hanya tersentyum, sambil mengusap-ngusap kepalaku.

(15)Bapak menuang sedikit kedalam piring lalu menolaknya padaku.“Minum. Tapi alon-alon:perlahan-lahan, masih panas”, kata bapak. Aku mengicipi:menghirup sedikit. Bukan main rasa otak kepalaku. Sungguh lain air ini. “Milo pak?”, aku mendongak pada bapak. Dia tidak menjawap, cuma mengusap-ngusap kepala ku, dengan itu aku tahu, itulah cara bapak untuk mengata:"Ya".

(16) Kemudian perempuan tua itu datang kembali membawa sepering, kepingan berwarna puith. Saat piring tersedia di depan mataku, aku sekali lagi melopong memandang bapak. “Makan. Roti", katanya, sambil dia mencapai satu darinya. Aku mencapai yang sekeping bakinya, lalu mengigit cepat. Agak keras, tetapi manis rasanya. “Koyo ngene: begini”, kata bapak, bila dia menunjukkan aku cara makan roti dengan betul. Dia mematah-matah menjadi kepingan kecil lalu dicelup ke dalam air milo dan baru di makan. Aku mengikut teladan bapak, dan memang terasa enak jika dibuat sebegitu.

(17) Teman, roti yang aku maksudkan adalah roti kering digulai. Inilah makanan sisa kita sekarang ini sebetulnya. Begitulah aku, memulakan langkah kaki menjejak yang di namakan pekan, dalam keadaan serba kejanggalan bagai rusa masuk kampung, celingak-celinguk: kehairanan tidak karuan.

(18) Bapak dan aku kemudian ke Sekolah Abang Man, kira-kira 30 minit dari pekan Simunjan. Bapak menbdaftarkan aku untuk kemasukkan ke Darjah satu bagi tahun 1967. Aku sangat teruja melihat ramai anak-anak dan bapa atau ibu mereka datang berduyun-duyun mendaftar ke sekolah. Ada di antara mereka yang bertangisan, yang aku tidak mengerti mengapa. Juga ada yang terus berkaki ayam, sepertinya aku, dengan pakaian yang juga ada yang comot-comot. Tidak kurang yang tampak segak, bersih dan cukup berkeyakinan. Semua itu aku perhatikan satu persatu. Sekarang, aku sudah dapat menangkap, betapa sekolah adalah tempat bagi berhimpunnya anak-anak sepertiku. Namun aku belum pasti apa kerjaan dan tujuan mereka ke sini. Selesai segalanya, kami bergegas pulang takut bertembung dengan air pasang. Jika air pasang, maka kami terpaksa menunggu lagi di pekan, kerana arus deras pasti bapak tidak terdaya untuk melawan.

(19) Malam itu nenek bertandang ke rumah. Aku, tiga beradek dapat kembali berkumpul, dan dengan adanya Tompok, maka kini aku dapat merasa untuk bergurau senda kembali bersama adik-adik. Nenek sebetulnya mahu berbincara dengan bapak, mengusul samada kami pindah ke rumah nenek atau nenek pindah ke rumah kami. Biar jarak antara rumah nenek dan rumah kami hanya 500 meter, namun kerana keadaan kampung yang masih mundur terasa berbatu jauhnya kami terpisah. Alasan nenek adalah bagi membolehkan agar aku dapat terurus dengan baik, kerana tidak lama lagi aku akan bersekolah. Bapak dalam bicaranya, mengusul agar nenek berpindah sahaja ke rumah kami dan meninggalkan saja rumah pusaka agar didiami oleh adiknya yang paling bungsu. Lagipun, rumah pusaka itu telah terbina sebelum kedatangan Jepun yang telah menjadi sangat usang.

Sengsaranya Menghambat Ilmu

Teman, sampai ke liang lahad sekalipun harus kita mendongkil: mencari ilmu. Juga 1,400 tahun daulu, pastinya amat payah untuk ke negara China. Pasti jalannanya jauh dan perit. Namun, saat sebegitu, Muhammad SAW telah bekata agar kita ke sana. Semuannya kerana dia mahu umatnya, semuanya berilmu dan terus saja menghambat ilmu.

(2) Sampai saatnya, tanggal 2 Januari, 1967, maka aku bersama-sama lain-lain anak-anak tetanggaku, seawal jam 06.30 pagi kami berjalan kaki berduyun-duyun ke sekolah. Perjalanan dari Kampung ke sekolah mengambil masa tidak kurang dari satu jam. Itupun berjalan di jalan tanah yang sering bersemak. Sebelumnya, bapak telah melatih aku menggunakan sepatu. Juga nenek telah membiasakan aku dengan pakaian seragam biru-putih sekolah. Namun kerana keadaan jalan yang bertanah dan seringnya becak dan bersemak, pakaian sekolah dan sepatu sering tidak dikenakan dari rumah. Dari rumah, kami biasanya hanya berpakaian celana kolor dan baju comot. Dalam perjalanan, untuk menghindari comot dari percikan tanah becak dan basah akibat embun di daunan semak, maka kami sering membalut tubuh kami dengan kertas plastik. Sampai ke satu tempat, di hujung Kampung Sedilo, iaitu di permulaan Jalan Sabun, kami akan membersihkan diri dengan air longkang berhampiran lalu menukar pakaian kami ke seragam sekolah dan bersepatu. Dari Jalan Sabun ke Sekolah jalannya sudah berbatu kelikir dan sebahagiannya sudah berturap simen. Begitulah kami saban harinya, bergelumang lumpur dan rembesan embun dalam mengejar ilmu.

(3) Ya, pasti kepenak: mudah jika ada bus, atau kereta. Paling tidak berbasikal atau motorsikal. Teman, segala itu tidak ada. Namanya saja tidak pernah kami dengar apa lagi melihat rupanya. Semuannay atas kuasa kaki, belum kuasa kuda.

(4) Saban hari sebegitulah kami, berduyun-duyun berlumpur dan kebasahan ke sekolah. Lagaknya bagai anak bebek:itek berebutan mengiring siibu mahu ke parit. Namun, bila hari hujan, sering teman-temanku tidak mahu ke sekolah. Sebetulnya, anak-anak tetanggaku sangat liat untuk mahu ke sekolah. Bila saja hari hujan, maka mereka akan jadikan alasan paling munasabah untuk tidak ke sekolah. Ada sebahagiannya, biarpun sama-sama turun ke sekolah, namun sebetulnya kemudian mereka hanya meninggalkan diri dan bersembunyi di dalam semak di separuh jalan, dan kemudian bila aku kembali, mereka akan juga ikut pulang, lagaknya mereka sama-sama telah seperti ke sekolah. Aku tidak mengerti, dan selalunya diam saja melihat telatah teman-temanku ini.

(5) Bila hari hujan, aku selalunya akan pergi sendirian dengan di temani Bobby, sehingga kemudiannya, seperti menjadi kemestian bagi Bobby untuk menemani aku setiap kali aku ke sekolah. Namun, bila sampai ke hujung kampung, aku akan menyuruh Bobby pulang. Bobby seperti mengerti akan perintahku. Suatu ketika, dan hari-hari seterusnya, mungkin kerana seperti sudah diperhatikan oleh Bobby, kudapati Bobby menanti aku di persimpangan hujung kampung bagi menyambut atau menjemput kepulanganku dari sekolah. Begitulah setianya dan rapatnya hubungan aku dan Bobby. Biar hujan, panas, atau banjir, Bobby menjadi teman setiaku untuk pergi dan kembali dari sekolah.

(6) Tompok dan Jago lain ceritannya. Saat aku mahu melangkah membuka pintu untuk ke sekolah, pasti Tompok akan berkeliaran di sekitar kakiku. Saat aku menuruni tangga, pasti dia akan duduk diam dengan terus memerhatikan langkah-langkah kecilku meninggalkan rumah untuk ke sekolah. Sekembali dari sekolah, iaitu sekitar jam 14.00 petang, kerana Bobby selalunya seperti memberi amaran awal dengan salakan galaknya, saat aku menghampiri rumah, maka Tompok akan menunggu aku di muka pintu atau di anak tangga teratas. Jago pula akan berlari-lari mendapatkan aku, seperti minta makan. Bila saja aku melangkah menaiki tangga, Tompok akan terus melompat ke bahuku.

(7) Begitulah hari-hari yang terpaksa kulalui. Teman jika kini, pasti kepulangan kita dari sekolah setidak-tidaknya di sambut pembantu rumah jika tidak senyuman sayang kedua orang tua kita, namun aku tidak pernah merasakan itu semua. Anih, bagai Hikayat Ramulus di zaman Roman, aku sepertinya Ramulos yang terbiar dan terjaga oleh sang srigala, sehingga besar menjadi kemuudiannya menjadi maharaja. Hidupku, semasa keanak-anakanku, bersama Bobby, Tompok dan Jago apakah sebegitu mungkinnya.

(8) Kerana adanya Bobby, kini aku sudah kurang bergantung kepada anak-anak tetanggaku untuk menemani aku ke sekolah. Aku sudah seperti merdeka dan bebas mahu pergi seawalnya kerana Bobby akan tetap setia menemani aku.

(9) Teman, begitulah alam meladeni:melayaniku dalam menghambat ilmu di saat bocak:anakku. Pagi yang dingin, jalan yang becak dan bersemak seperti menghambat aku. Sedang, Bobby, Tompok dan Jago, semuanya mendokong jalanan kecilku. Alam seperti mendokong dan menghenyak:mendugaku. Syukur, pertunjuk Allah, dan keras kepala dan hatiku, memberkati segalanya.

(10) Ada ketikanya bapak seperti melarang aku untuk ke sekolah kerana terkadang air pasang besar terutama pada saat bulan mengambang penuh, akan menyebabkan air bah besar. Kerana khuatir akan keselamatanku, dia sebolehnya mahu aku tidak ke sekolah atau turun agak lewat sedikit. Namun aku berkeras akan ke sekolah kerana aku tidak mahu ketinggalan dalam apa juga matapelajaran dan yang paling aku tidak suka untuk hadir ke kelas dalam keadaan lewat. Aku seperti telah menyahut akan seruan Allah yang memperingati akan Pentingnya Masa lewat suaraNya: Demi Masa....

(11) Sifat aku yang liat-keras sebegitu, mungkin, kerana sering emak bertanya, mahu jadi apakah aku saat aku dewasa nanti. Biarpun aku tidak mengerti akan erti jawabanku, aku sering memberi tahu emak: “Munsyi hendak jadi DO”. Aku tidak tahu dari mana istilah DO itu aku perolehi. Cuma kini, aku sedar, saat itu, seorang pegawai bernama Amin Satem adalah District Officer (DO):Pegawai Daerah bagi daerah Simunjan. DO Amin Satem sangat terkenal kerana dia beristerikan Orang Putih, Mem dalam istilah dulu-dulu. Mungkin kerana nama DO sering disebut orang maka, seperti tertangkap istilah itu ke dalam otak-fikiranku.

(12) Juga dalam perjalanan ke sekolah pasti aku melewati Banglo DO yang kelihatan sungguh besar dan indah. Pastinya penyaksianku terhadap kemewahan ini telah secara tidak sedar menanamkan dalam diriku bahawa pelajaran adalah asas kepada kejayaan masa depanku dan seisi keluarga. Secara sedar dan tidak, cita-cita bocahku untuk menjadi DO telah membentuk sikap ulet:liatku dalam mengejar ilmu biar terduga seganas mana sekalipun.

(13) Di sekolah, mata pelajaran yang menjadi minat mendalamku adalah Arithmatic:Ilmu Kira-Kira dan Lukisan. Kecenderunganku dalam bidang Ilmu Kira-Kira adalah mungkin kerana aku mahu belajar mengira melewati angka 20 yang sering bapak ajarkan. Aku seperti sudah tidak mahu melapurkan kepada nenek akan kutipan telur itik sebagai sangat banyak saat nilai hitunganku sudah melampaui angka 20. Aku mahu melapurkan jumlah sebenar akan kutipanku bahkan aku ingin menghitung secara terperinci akan segala ayam dan itikku.

(14) Dalam bidang lukisan, aku tidak mengerti bagaimana aku meminati serta sangat berbakat dalam bidang itu. Sekembali dari sekolah, setelah usai segala kerjaanku yang lainnya, aku tidak akan membuang masa, melainkan menyelesaikan semua kerja sekolah khususnya dalam bidang Ilmu Kira-Kira dan membaca serta menghafal ejaan dan erti kata-kata dalam Bahasa Inggeris. Setelah usai segalanya, aku akan dengan tekun selama berjam-jam melukis samada dengan pensil, arang, caryon, bahkan kapur warna.

(15) Lukisanku kebanyakkannya adalah tentang kampung dan kehidupan kekampungan. Pohon-pohon rendang, berlatarkan gunung-gunung, atau laut, dan batu-batuan dengan anak-anak sungai mengalir deras menjadi subjek mikro pilihanku.

(16) Teman, kini saat aku merenung jauh ke luar jendela ini, aku mulai mengerti betapa lukisan-lukisanku itu adalah terobosan: wawasanku tentang negeri dan bangsa ini. Aku sebetulnya, semasa bocahku sedang melukis negeri dan bangsa yang aku idamkan. Aku seperti kepingin negeri dan bangsaku hijau dan kukuh bagai segala pohon, gunung dan aliran sungai yang kulukiskan. Cuma, saat sebegini pedih, jiwaku menjadi kian sepi, meresakan betapa tubuhku sudah tidak sekuat selalu dalam mengheret diri berbakti menghijaukan negeri dan bangsa.

Usahawan Cilik:

Teman, di kaki katilku, berselerak tulisan-tulisan Bung Karno, Dr. Hatta, Ghandi, Yose Rizal, Nelson Mandela, Abraham Lincoln, Hitler, Castro, serta banyak lagi. Semua mereka menulis tentang kemerdekaan dan harga merdekanya bangsa. Juga A Samad Said, Rendra, Ismail Marzuki, Shanon Ahmad, Kassim Ahmad, serta banyak lagi turut melakar suara hati dalam nada yang lebih puitis menjerit tentang bangsa yang tetap payah biar telah merdeka.

(2) Tiada siapa yang membimbing pelajaranku. Bapak sekali-sekala hanya bertanya tentang bagaimana sekolahku. Namun aku percaya, bapak tidak tahu apa ertinya sekolahku. Bapak adalah seperti si buta cuba membimbing si bisu berjalan di hutan tebal. Namun aku hargai perhatian bapak biar sekadar hanya ingin tahu tanpa mengerti. Setidak-tidaknya bapak ada rasa ingin tahu, biar dia tidak menegerti.

(3) Waktu berlalu begitu pantas. Aku kian boleh berdikari. Nenek sudah pindah kembali ke rumahnya semula. Itu rumah pusaka, pastinya dia kangen dengan bekas-bekas tangannya. Dari darjah empat hingga Darjah Enam, seumur 10-12 tahun, aku lebih banyak sendiri. Segala keperluanku kuurus sendiri. Bapak sibuk mengerjakan sawah jauh dari Kampung. Dia bersawah di Pale atau Lubok Buntin, ke hulu Simunjan. Dia sering membawa adik bersama, sedang aku hanya tinggal di rumah sendiri. Tidur malam sendiri. Tompok adalah teman setiaku. Urusan makan minum aku kerjakan sendiri. Selalunya aku masak nasi, bakar belacan, curah minyak kelapa, dibubuh sedikit cabek rewet: cili padi dan dicampur ikan bilis. Ringkas. Mudah. Cepat. Segera, bagai masak maggie layaknya. Segalanya aku terbuat sendiri saat bapak tidak ada di rumah. Kadang-kadang selama dua minggu baru dia kembali. Namun aku tetap berani sendiri.

(4) Biar sebegitu, mungkin kerana sudah didorongkan Allah, aku tidak pernah telat: poteng sekolah. Pelajaran kuhambat kuat. Aku tidak pernah berasa lelah dan kecewa. Asaku saat bocahan sangat ulet. Allah seperti sedang mengiringku hebat. MasyaAllah begitulah hidupku. Terbiar, sendiri, cekal seadanya. Hanya Allah menjadi pelidung utuhku.

(5) Sering aku ketiadaan wang untuk membeli pensil. Bapak sering tidak ada. Tiada siapa harus aku talakan kebutuhan: keperluan pelajaranku. Selalunya aku sangat berjimat dalam menggunakan pensil. Biar sependek mana tetap aku pergunakan biar payah untuk dipegang. Maka suatu hari, aku mencari akal, dalam perjalanan pulang dari sekolah aku singgah bertemu dengan bapa teman aku, Pak Yak yang bekerja di sebuah kedai Cina yang panggilan tempatannya adalah Ah Chek. Aku bertanya apakah dia mahu membeli pucuk-pucuk cangkok manis. Kalau mahu aku boleh hantarkan setiap minggu. Mungkin kerana sikap berani serta berdikariku, maka Tokey Ah Chek memintaku menghantar sekitar 15 ikatan pucuk-pucuk cangkuk manis untuk setiap minggu. Kebetulan aku sangat berminat menanam cangkuk manis, tetapi semuanya sekadar untuk sedekah kepada siapa saja yang mahu mengambilnya. Tidak pernah terfikir untuk menjadikan usahaku itu untuk mendatangkan pendapatan.

(6) Bermula saat itu, sifat keusahawanan mulai tumbuh dalam diriku. Saban hari Ahad aku akan mengutip pucuk-pucuk cangkong manis, mengikat sebesar lenganku sebanyak 10-15 ikatan, lalu kuhantar ke kedai Tokey Ah Chek. Selalunya aku akan dapat antara 50-60 sen dari jualan cangkuk manis. Wang itu aku buat jajan: belanja sekolah.

(7) Melihat akan kesungguhanku itu, nenek akhirnya mempunyai akal yang lebih jauh. Kebetulan, berdekatan dengan Kampung kami, terdapat sebuah Kilang Papan KTS. Di setiap hujung minggu terutama pada petang Jumaat dan Sabtu, nenek akan membuatkan kuih untuk aku jaja di Kilang Papan tersebut. Hari sabtu adalah hari gajian. Pastinya, para pekerja mahu sedikit jajan:berbelanja setelah penat lelah bekerja semingguan.

(8) Akhirnya, aku bergerak lebih jauh. Di pagi Sabtu, sebelum berjaja kuih aku akan berjaja segala tanaman yang aku usahakan sendiri. Pucuk cangkuk manis mendapat senarai teratas. Kemudian aku menyambung kepada batang-batang tebu. Aku juga bertanam terung dan cili, dan semuanya kini aku dagangkan.

(9) Kerana para pekerja Tiong Hua gemar akan ayam kampung, maka aku juga mulai berjual ayam kampung peliharaanku. Saat itu seekor ayam kampung dara atau bujang hanya kujual sekitar RM2.00-3.00. Juga menjadi adat perbomohan orang Melayu yang suka mengunakan telur ayam hitam, maka aku turut memastikan telur ayam hitam tidak ditetaskan dan kujual kepada mereka yang memerlukan. Ada ketikanya aku menipu mereka dengan menjual telur ayam lain sebagai telur ayam hitam. Kini, mungkin inilah akibat permitaan melebihi penawaran. Pendeknya, kini, pendapatan mingguanku sudah bisa mencecah setidak-tidaknya RM5.00 dan ada waktunya sehingga pulohan ringgit. Aku sering memberikan wang itu buat bapak untuk membeli belanja dapur. Cuma sedikit aku ambil buat tabungan khusus bagi membiayai pembelian bahan-bahan persekolahanku saat tahun baru. Jika diukur dengan nilai matawang sekarang, pastinya pendapatan bocahanku sangat lumayan kerana waktu itu harga kekati gula baru 25 sen, sedang sekarang sudah RM2.40 sekilo gram.

(10) Allah sebegitulah kehendaknya. Mungkin kerana Dia perlukan aku untuk tujuan mistriNya, maka ada saja lowongan buatku biar umurku tidak sepatutnya aku terbeban sebegitu. Rezekiku terhampar seluasnya. Ayam-itik menjadi. Cangkuk manis, terung, cili, tebu, jambu, dan sayuran-sayuran lainnya tumbuh subur dan melata. Semuanya sudah kujadikan usaha kecilku untuk berdikari bahkan bisa membantu bapak.

Kutemui Dalam Hijrahku:

Teman, ketegaran dalam hidup ini, bukan datang melayang. Segalanya telah kulalui sejak bocahan. Parah kehilangan kasih sayang sang ibu begitu dalam membentuk sepi yang pedih dalam hidupku. Pemergian ibu, bukan hanya menjadikan keluargaku pecah, adik-beradik terpisah, namun telah mendatangkan kesan yang pastinya amat payah buat bapak. Kerana sepi tiada yang tersayang di samping saat anak-anak sedang hingusan, pastinya sangat mengetarkan. Bapak seakan hilang pegangan. Lantas, aku terbeban dalam meneruskan hidup sendiri sedari umbelan, sejak ubun-ubun lembut.

(2) Pertengahan Disembar 1972, bapak membawa sepucuk surat dari Pejabat Daerah Simunjan. Bapak menyuruh aku membaca surat tersebut. Kandungannya ringkas dan jelas: “Kamu, Abdullah Munsyi, telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke Kelantan. Segala perbelanjaan akan ditanggung oleh Yayasan Sarawak. Sila daftar segera ke Pejabat Daerah untuk urusan selanjutnya”. Nampaknya, kini hak ke atasku sudah mahu berpindah tangan. Bapak seperti bukan lagi akan menanggung hidupku. Rakyat akan memeilikiku. Itu seperti kudrat selanjutnya aku.

(3) Aku memandang tepat mata bapak. Dia tersenyum. Dia kelihatan gembira. Dia bangga kelihatannya. Namun aku terdiam. Kepalaku ligat berputar. Seribu persoalan menerpa datang bagai benak membuak saat pasang besar akan hadir. “Apa akan jadi pada Bobby, Tompok dan Jago. Siapa akan memberi mereka makan, mandi dan bermain dengan mereka? Apa jadi dengan ayam-itik? Apa akan terjadi dengan kebunan sayuran, tebu dan segalanya? Siapa akan membantu nenek berjaja kuih?” Semua itu adalah tanggungan hidup yang telah mulai kupikul sejak bocahan. Kini aku sudah dapat melihat betapa pendapatan bapak dan nenek akan terjejas dengan pemergianku.

(4) ”Wes: sudah, segalanya bapak akan uruskan. Munsyi pergilah belajar sehingga pandai. Nanti boleh membantu semua kaum keluarga kita”, kata bapak seolah-olah dapat membaca fikiranku. Aku tunduk pengap. Aku kaku. Aku mulai minitis air mata, tersedu-sedu tertahan sendat. Tidak dapat aku bayangkan betapa bapak akan tambah sepi dan sendiri. Pertama emak pergi. Lalu abang dan adik-adik terpisah. Kini, aku yang tiada pernah jauh darinya, dan terkadang memikul tanggung mencari belanja juga akan turut pergi yang belum pasti kapan akan kembali. Aku seperti mahu membantah untuk berangkat meninggalkan bapak dan kehidupan yang sempit ini.

(5) Batuk bapak sejak akhir-akhir ini kian menjadi. Ada ketul-ketulan darah termuntah saat dia berat di serang batuknya. Namun, saat aku mengaju supaya dia berhenti merokok, dia menjegil mata besar. Mungkin aku kurang mengerti betapa bapak sudah parah jiwanya sejak ketiadaan emak. Rokok mungkin adalah sahabat dan cinta kasihnya. Atau aku berkira kini, apakah bapak hanya ingin pergi secara perlahan-lahan. Dia mungkin terlalu kepingin untuk bersatu kembali dengan kekasih sejatinya, emak. Aku menduga. Aku berkira, begitulah hajatnya.

(6) Penghujung Disembar, 1972, dalam luruhan hujan yang tiada hentinya, aku dan bapak menghulu ke Gedung untuk ke Serian lantas ke Kuching. Pada waktu ini, saban tahunnya, laut adalah bergelora kuat, maka jalan laut menggunakan kapal barang untuk terus ke Kuching dari Simunjan adalah jalan maut. Maka jalan menghulu adalah hanya pilihan. Namun, celakanya, inilah musim di mana jalan Serian-Kuching sering ditengelami air. Batang Sadong sering membuak saat sebegini. Melimpah. Menenggelam segala laluannya.

(7) Keberangkatanku, menapak menempuhi dunia baru berlaku dalam payah dan luruhan air mata alam. Dingin hembusan bayu hujan, adalah sedingin jiwaku yang beku saat menoleh betapa segalanya akan aku tinggalkan. Alam yang selama ini sudah mulai bersahabat denganku, kini akan aku lepaskan, dan terpaksa aku merempuh alam baru yang belum aku ketahui akan olahnya terhadapku. Sungguh tidak kecapaian dalam fikiranku, tenatng kenapalah nasibku terus begini. Saban waktu pasti ada saja sepi dan lirih menanti.

(8) Saat di Padang Belon Kuching, saat aku dan lain-lain rakan-rakan dari pelbagai ceruk rantau Sarawak akan bergerak menuju pesawat Boeng 737, bapak hanya kaku melihat aku pada jaring-jaring ruang pelepasan. Sebelumya, dia memelukku kuat, dan berbisik: ”Belajar bersungguh-sungguh. Jangan nakal. Mamak:ibu akan sentiasa bersama kamu”. Itulah bapak, pesannya tidak pernah untuk dirinya, segalanya seperti dia hadiahkan buat emak. Aku pasti segalanya itu kerana kasihnya yang terlalu tinggi buat emak. Saat terharu sebegitu sempat juga dia cuba mententeram jiwa geloraku dengan berseloroh: ”Kalau sudah di awan, awas jangan nakal-nakal mahu buang air. Nanti bapak di bawah ketimpa kencing atau najisnya”, kata-katanya itu teman, membikin aku terkadang-kadang tersenyum bila kini aku sering khada hajat dikakus pesawat.

(9) Dalam langkah-langkah pendekku mendekati pesawat, aku hanya menoleh sesekali kepadanya, namun pandangan ku sangat kabur kerana linangan air mata yang enggan berhenti. Aku melangkah longlai. Aku melangkah bagai tidak akan kembali. Aku tidak mengerti untuk mencari kata-kata yang bisa menjelaskan sebak yang aku tanggung. Kini, aku pasti akan berada jauh, entah di mana, yang aku tidak tahu. Berapa lama, aku tidak menduga. Apa kejadian padaku dan bapak, kemudiannya, aku binggung memikirkan.

(10) Tanggal 2 Januari, 1973 adalah tanggal keramat dalam hidupku. Inilah tanggal di mana aku sedang berada 2,400 kilometer dari Kampung dan segala-gala yang terbiasa buatku. Aku benar-benar berada dalam dunia asing. Budayanya. Cara bicaranya. Kehidupannya. Masyarakatnya. Semuanya asing dan lain. Pelbagai dan anih.

(11) Dulu aku tak pernah gosok gigi, kini sudah menjadi keperluan. Dulu sabun mandi adalah sabun kuning, sabun basuhan, murahan, kini sudah berganti Lux kalau tidak Palmolive. Minyak rambutku, bukan lagi minyak kelapa rendaman cempaka kalau bukan krim hijau 999, kini sudah berganti Brylcream. Alas kaki bukan lagi kaki ayam tetapi sepatu bata putih yang mesti dicuci saban hari agar sentiasa putih dan bersih. Ada sarung kaki putih. Celana dan bajuku putih. Bukan lagu celana kolor sisa jahitan emak. Bajuku terseterika rapi, bukan lagi berkedut hapak berbau asap ganggangan dapur kayu.

(12) Bangun pagiku tidak lagi keburuan melepas ayam dan itik. Soreku tidak lagi diterangi pelita. Tnagnku sudah tidak lagi menjamah minyak tanah. Segalanya, semuanya, Cuma tinggal memetik, menyala, terang benderang. Juga aku sudah tidak lagi melihat telaga dan merasa air telaga. Air sudah mengucur:mencurah dari batang besi. Sarapanku sudah tersedia. Roti yang dulu asing sudah menjadi kebiasaan. Milo, the atau kopi susu sudah mulai aku sukai menganti air hujan atau kopi tau the yang selalunya kekurangan gula yang sering dulu aku nikmati. Telur rebus menjadi makanan harian pagi. Ayam, daging, ikan, sayur-sayuran, dan buah-buahan sudah menjadi jamuan lumrah. Kini, aku sudah boleh melupakan belacan dan ikan bilis. Ikan gonjeng sudah tidak pernah kurasai. Benar-benar hidupku sudah lain. Anak Tuhan mungkin akunya ini? Itulah rahmat Ilahi. Kasinya Maha Besar. Segalanya seperti sudah tersedia. Cuma, saat menikmati semua itu, aku sering bertanya, kenapa semua ini tidak ada di Kampungku? Alangkah bahagianya jika bapak, abang, adik-adik, embah, dan nenek dapat bersamaku menikmati segalanya ini. ”Kenapa Tuhan tidak membenarkan mereka bersamaku?”, terkadang aku bersoal sendiri, itulah mistri di balik Maha PemurahNya.

(13) Ke sekolah sudah tidak lagi berjalan kaki dalam semak, dalam selut, terkadang berenang. Aku tidak lagi sendirian. Bobby, Tompok dan Jago sudah tidak berperanan. Bus kuning Bradford sedia menjemput, yang disetir: pandu oleh Pak Ya. Pak Ya kian menjadi teman akrabku. Kerana aku sering membantu dia menjadi Conductor memeriksa tiket bulanan, maka setianya menanti aku kian terserlah. Tidak dia akan bergerak pergi selagi aku belum menaiki bas. Begitulah saban harinya.

(14) Biar mulanya, aku sering jadi bahan lelucon: ejekan mereka yang senior, namun mungkin sifat kentalku anak otan yang ngak peduli henyakan apapun, telah menjadikan aku tegar dan ulet. Segala ejekan jelek: Orang Dayak, Orang Utan, Sakai, Jakun, Komunis, Rusa masuk kampung, dan segala macam bila sebilangan mendapati aku janggal dalam mensesuaikan diri, namun semua itu sangat aku tidak ambil peduli. Apalah semua ejekan itu berbanding sengsara yang pernah aku lalui. Semua itu bagai roti kering dicicah milo rasanya, dan tidak aku pedulikan. Mungkin sebetulnya, Allah telah menanam sifat tegar pada diriku, lewat segala perih, duka, payah dan sengsara yang telah aku lewati sebelumnya, maka aku terkadang boleh melotot:berjegil menantang mereka yang sering mempersedakan aku, namun aku kalah saat tangan dan kaki segelintir menjamah tubuhku. Aku sering hanya ngalah dan ngalih serta menanam dalam diri, pasti suatu hari akan aku kalahkan mereka dengan caraku sendiri. Saat sebegini, tangisku tiada dada siapa harus aku talakan. Segalanya harus aku pikul sendiri. Pedih, menyeksakan. Aku hanya diam mengental. Menebal mencabar sendiri agar tetap berdiri, berjalan lurus.

(15) Teman, sebetulnya, Negeri kita ini, pada 1970an, aku pasti adalah biawak di pundak Negara. Kemiskinan. Segala kekurangan. Masalah komunis. Menjadikan Negeri ini bagai beban buat Negara. Kerana Negeri ini miskin, maka aku sebagai anak Negeri ini, sering saja dilihat sebagai beban dan keaiban buat sesebuah Negara. Layanan yang aku terima rasanya tidak memungkinkan untuk aku bisa berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Tarafku sepertinya biawak merayap di antara para gajah yang berhibur. Terasa hina dan tidak diterima. Cuma, aku berkira kudrat Ilahi, menjadikan aku terus berdiri berjalan dan berjalan. Aku membina keazaman untuk menantang dan menang.

(16) Allah itu Maha Pengasih. Hj Harun Senik menjadi seseorang yang paling simpati padaku. Di hujung minggu, dia sering membawa aku ke ladang getah atau bersiar-siar. Aku perlahan-lahan menjadi juru tulis dan penjaga akuan perniagaannya. Aku sering mendapat upah darinya. Aku berkira itulah Professional Fee atas khidmat Company Secretarial yang kuberikan.

(17) Anaknya, setahun lebih dewasa dariku, Azizah, mulai bersahabat baik denganku. Lewat dia aku mulai berkenalan dengan pelajar-pelajar senior di sekolahku. Dari situ, akhirnya, aku mulai menguasai pelbagai perkara berkait dengan kepimpinan dan pengurusan persatuan. Zulkifli Mohammed dan Mamat Ismail mulai kudekati. Inilah dua sahabat yang sangat akrab yang cemerlang dalam pendidikan, sukan dan kepimpinan. Mereka menjadi idiola tentang mutu tokoh pelajar yang kuteladani dekat. Akhirnya, aku mendapat endorsement: pengesahan dari mereka, lalu aku menaiki tangga menimba dan membentuk wibawa dan kepribadian tersendiri. Pengaruhku di sekolah kian kembang. Banyak yang sudah mahu bersahabat akrab. Aku mulai memimpin banyak kegiatan. Di kalangan teman-teman, aku sering tidak menyebelah, antara yang nakal-jahat dan baik, antara yang ingkar dan manut, antara lelaki dan perempuan, antara Melayu, India, Cina dan Orang Asli, antara yang cerdas dan lemah. Semua kujadikan teman. Semua tidak kulihat perbedaan. Cuma terkadang, ada rasa rendah diri, yang menyebabkan aku meminggir bila ada yang menaruh hati, apa itu yang dibilang secret admirer.

(18) Saat kejauhan sebegini, apa lagi kehidupan bapak yang ngak menentu menjadikan aku bagai sabut hanyut di samudera ganas. Tiada siapa harus kuharapkan. Terasing begini, mengasak fikiranku untuk berdiri sendiri. Keperluan wang tidak mungkin dapat aku tadahkan tangan atau halakan dada kepada siapa. Aku berfikir. Aku memerhati. Aku mengira. Kebetulan wang elaun bulanan bernilai RM12.00 sebulan kufikir jadi modal. Aku mulai membuka niaga Maggie kepada rakan-rakan di hostel. Dengan modal RM0.25 sebungkus, aku menjual kembali dengan RM0.30. Saban minggu aku dapat menjual sehingga sekartu 24 bukusan, menjadikan keuntunganku mencecah Rm1.20 seminggu. Aku tidak terhenti di situ, aku juga turut membeli bekalan sabun dari anak-anak Orang Asli yang sekolah denganku. Sabun mandi dibeli dengan harga RM0.20 dan kujual RM0.30 sebuku. Kuih Cina juga menjadi komoditi tambahanku. Sebuku kuih Cina berharga RM0.15 dan kujual dengan harga RM0.20. Semua itu memberikanku kesempatan untuk dapat membeli pakaian harian tanpa perlu meminta dari bapak atau sanak keluargaku di Kampung. Seingatku, tidak sesenpun aku pernah meminta kepada mereka. Aku benar-benar dapat berdikari.

(19) Namun, ada tikanya urus niagaku mengalami kerugian teruk saat bila ada senior merompak hutang tanpa membayar. Namun aku sangat terhutang budi kepada seorang senior Ahmad Zaki Abdul kadir yang sering mempertahankan hakku di kalangan mereka yang agak nakal. Ahmad Zaki adalah senior yang mengajar aku shalat dan memastikan aku tidak meninggalkan shalat. Namun, protection beliau ada harganya kerana saban hari aku terpaksa membasuh kasut sukannya yang sering busuk hanyir.

(20) Juga aku berkira, kerja tangan Allah telah menetapkan agar aku tidak teribat dalam perkara nakal anak-remaja. Telah tertetap rasanya, bahawa aku kemudiannya akan mempunyai tanggungan yang besar dan berat, maka aku Dia hindari dari terikut apa yang terbiasa. Jalanan hidup saat anak-anakku yang sendiri, berdikari dan payah menjadikan aku terus bebas merdeka.

(21) Mustapha Yusuf adalah teman sedarjah paling nakal namun paling akrab. Menciplak kerja biasanya. Rosalan Husein, Muhammad Rafaee, Mat Zin Salleh, dan Mohd Nor Omar adalah rakan-rakan sering seiringan jalan berbasikal dan berolah raga. Asmarani Mohd Nor dan Rosnani Ahmad adalah saingan akademik paling sengit. Muhayati Yusuf sering menjadi teman melawak cintan-cintan. Siti Haizan, teman paling sukar untuk diperbetul sebutan Inggerisnya: ”Wak Hepe Tecor! What happen teacher?”. Maziah Omar, Zaharah dan Sharifah Abdul Rahman adalah cek mek molek comel yang tetap dalam ingatan senda gurau cintan-cintan. Semua mereka kian menjadi Bobby, Tompok dan Jago dalam hidup pembentukan jiwa kemasyarakatan dalam diriku.

(22) Teman. Rakan-rakanku kian meluas. Hubunganku kian menebar. Saban hari aku mulai melihat kemiskinan dan kepayahan. Ada biar sudah dibangku Tingkatan Tiga, namun belum bisa menulis dan membaca. Saat hujan lebat, saat Jambatan Pehi kebanjiran, pasti hampir separuh tidak akan hadir sekolah. Ramai yang tidak mampu untuk membeli buku tulis secukupnya. Ramai yang tidak pernah jajan di sekolah. Banyak yang pakaian mereka comot dan koyak bertampal-tampal. Ramai yang sepatu mereka sentiasa basah saat hujan lantaran tapak sepatu yang sudah bolong:berlubang. Aku kian mengerti pertunjuk-pertunjuk kemiskinan. Aku kian mengerti tentang musibah kemiskinan.

(23) Saban tahun, hanya segelintir yang bisa menyambung pelajaran. Tersangat ramai yang kandas dan tercicir. Ramai akhirnya memasuki sekolah pondok atau madrasah. Kini teman, inilah kaum yang lantang suaranya menantang pemerintah. Kelompok tercicir, terpinggir lantaran bukan kerana kudrat, namun kelemahan kita dalam memudahkan kecapaian keupayaan diri mereka, menjadikan mereka dendam dan menidakkan Kerajaan. Suara mereka jadi suara membangkang menghalang lantaran mereka tiada mendapat pembelaan. Dendam mereka adalah dendam kesumat. Bibit benci mereka kian menular dan mengakar menjadi darah daging yang sukar dikikis tenangkan.

(24) Ramai gadis-gadis belasan akhirnya terjerat dalam jalan pintas melepas diri dari tanggungan keluarga, membina keluarga sendiri, namun akhirnya, perceraian menjadi lumrah. Bermadu akhirnya jalan pilihan kedua. Beranak pinak terus meningkat. Kemiskinan akhirnya bertokok mengunung. Lagu susah, lagu payah terus bersenandung. Banjir bah kemiskinan terus mencekik Cik Siti Wan Kembang memati lemas. Aku terus menyaksikan ini sehingga kini. Kenapa? Dendam dan membenci, membunuh sesama sendiri, itulah hakikatnya. Allah membenarkan saja pilihan kita. Mahu ke depan Dia benarkan . Mahu terus undur Dia izinkan. Pada harinya, pastinya nanti baru Dia menyatakan dan menghukum. Saat itu, pasti keduanya yang dendam dan yang membenci, keduanya akan Dia tentukan siapa dia sebenarnya?

(25) Teman, benarlah pesan Muhammad, ”Bisa miskin-fakir membawa kekufuran”. Aku melihat, aku mengalami, aku mengerti prihal ini saat aku sedang tumbuh. Segalanya tumbuh bersama daging-dagingku yang kian pejal. Menjalar dalam tubuhku bagai selirat darah merah yang mengalir deras. Menerobos jantung bersama udara sedutan dalam rongga pernafasanku. Segalanya, menjadikan aku kian ingin membongkar jalan penyelesaian. Kuala Krai, Ulu Kelantan, mendidik aku tentang setitik dari erti kemanusiaan.

Merempuh Tembok Keremajaan

Teman, ada saatnya fikiran dan hati kita seperti tidak ada rasa. Langit, bumi dan seluruh alam seperti tidak membantu. Segalanya diam. Segalanya membantu, menjadi tunggul yang tidak mahu peduli. Novembar 1975 aku kembali pulang menjengah bapak. Dia sudah parah. Badannya sudah susut deras. Mulai hanyir sebetulnya. Dia sering saja ketiduran. Namun, sangat kurang dia dapat lena panjang. Batuknya menghantu terkadang sepanjang malam. Aku membatu melihat jalanan kemiskinan dan keperitan hidup bapak. Aku tidak mengerti. Aku bisu. Aku kaku.

(2) Pertengahan Disembar 1975, aku mendapat khabar bahawa aku akan bertukar sekolah. Keputusan peperiksaan Tingkatan Tiga kukhabarkan kepada bapak. Dia amat girang. Aku lepas cemerlang. Namun, sempatkah dia meraikan kejayaanku selanjutnya? Aku sangsi melihat dia nan semakin gering: ”Ojok:usah khuatir. Bapak akan baik. Teruslah belajar. Pergilah”, sambil dia melepaskan jam tangan Seiko tua sebagai hadiah atas kejayaanku. Aku menolak pemberian bapak:” Biarlah bapak pakai. Nanti kalau saya pakai, bapak hendak tengok jam mana? Di sekolah tidak perlu jam. Jam dinding ada”, aku mengusul. Lalu dia menyarong kembali ke lengannya, sambil ada tanda sesal pada wajah kian kerepotnya.

(3) 30 Disembar 1975 aku berangkat kembali ke Kuala Lumpur. Dari sana langsung ke Jitra, Kedah sendiri untuk melapur di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim. Inilah alam baru yang lain lagi. Di sini, semua masyarakatnya adalah terpilih. Beda IQ sangat tidak ketara. Semua seperti seragam. Semua teratur ketat. Dari pakaian, jadual makan, jadual belajar, jadual sukan, jadual shalat, semua berjadual. Masa dan ketentuan masa menjadi perhitungan maha tinggi. Inilah dinamakan disiplin, kata baru, kata azimat yang mesti aku pegang bersama yang lain.

(4) Di sini, juga teman-teman sudah jadi majmuk. Kelantan, Kedah, dan Perak menjadi adunan julat persahabatan. Masing-masing punya kelompok, punya jati diri. Aku adalah minoriti yang terus ingin bebas bergerak dari Timur ke Barat, Utara ke Selatan. Sikap ini, akhirnya membawa padah. Jelas kekuncuan sangat menebal. Aku serba salah samada mahu terus dalam lingkungan Kelantan atau dianggap khianat dan bersekutu dengan anak-anak Kedah-Perak. Aku mengorak langkah berani, aku belajar menguasai keduanya. Timur dan Barat. Biar terpaksa menghadapi usaha-usaha penyisihan dan pengasingan awalannya. Namun aku bersyukur, Dzulkifli Mohammed, senior aku di Kuala Krai dahulu adalah juga yang berpengaruh di sini. Aku mendekati dan terus berlapis diri padanya. Dengan itu, aku mendapat sedikit pembelaan atas keinginan kebebasanku.

(5) Jitra mengajarku dunia yang lain. Kemelut politik Negara saat itu kian memuncak. Nik Aziz sedang bangkit di Kelantan. Haji Hadi Awang sudah berkokok di Trengganu. Mahathir Mohammed kian lantang bersuara dan ditentang. Kemelut Ku Li-Mahathir merebak luas. Percaturan menjadi perhitungan Kedah-Kelantan: Mahathir-Ku Li dan UMNO-PAS asasnya tetap Kedah-Kelantan. Bagai selalu, gajah bertarung ganas, pelanduk terkangkang terkial-kial tersepit tak karuan. Pelajar terhasut sama. Aku terlibat sama.

(6) Pelajaran sudah jadi minat nombor duaku. Kini aku cuba mempelajari selok belok politik. Majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Sastra, Mastika, Pedoman serta pelbagai lagi menjadi hambatan pembacaanku. Setiap karangan samada dalam mata pelajaran Inggeris atau Melayu, aku sudah mencampur aduk antara bahas akademik dan bahas amarah politik. Berbahas kian menjadi kegemaranku. Banyak soal aku ajukan di kelas, yang banyak melihat sebagai tiada kaitan dengan pelajaran yang diajar.

(7) Minatku bukan pada pencapaian akademik. Minatku adalah mengasah bakat kepemimpinan. Kebetulan aku bersahabat dengan Pak Indit Sutrino, pengajar pinjaman dari Indonesia. Bicaranya masuk akal dalamku: ”Munsyi, kamu di sini menghambat apa?”, Tanya beliau saat aku mencuri menonton tv dan makan keropok di kuantersnya. ”Saya mahu ke universiti Pak!”, tegasku. ”Untuk ke universitas, kamu perlu apa?”, asak beliau. ”Biasa Pak. Harus lulus semua pelajaran penting. Setidak-tidaknya saya harus dapat masuk ke Matrikulasi” jelasku. Aku pasti Pak Indit tahu hal itu. ”Grednya gi mana?” terus saja dia bertanya. ”Harus sekurang-kurangnya C dalam mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Inggeris” jawapku mudah. ”Toh itu kan gampang. Semua kamu di sini saya kira pasti paling tidak bisa semuanya akan perolehi C. Semua guru-gurunya hebat-hebat toh. Kamu juga anak terpilih” balas beliau. ”Jadi?”, soalku ringkas.

(8) ”Kamu harus pinter. Smart. Masa depan kamu adalah kewarasan masa kini. Jika kamu pinter memilih antara yang bisa melonjak kamu ke depan sejauh mungkin berbanding hanya untuk mendapat nama sesingkatnya, maka harus kamu hambat yang bisa menolak kamu jauh ke depan” jelas Pak Indit tanpa aku mengerti maksudnya. ”Gini loh, kalian semua udah pinter. Dapat C pasti masuk universitas. Dapat semua A juga akan masuk sama. Tiada beda. Cuma, untuk dapat A, kamu harus lebih di kelas berbanding jika cuma mahu C. Namun, masa terluang dalam hambatan kamu untuk dapat C harus kamu pergunakan dengan bijak.Kamu harus pergunakan masa itu untuk menangkap ilmu-ilmu masa depan yang jauh lebih hebat dari setakat dapat A. Kamu harus kejar ilmu untuk hidup dan menghidupkan. Contohnya, kamukan suka soal politik. Ya gunakan kesempatan ini untuk mendalami politik bahkan ekonomi. Saat kamu dewasa nanti, kamu bukan sahaja anak pinter, bahkan kamu akan jadi anak hebat yang jauh lebih bersedia untuk mendepani kehidupan di luar sana. Ngerti?” tegas beliau. Begitulah pengajaran Pak Indit yang terus menjadi peganganku sehingga aku sebegini.

(9) Saat mendapat ilmu songsang Pak Indit, aku sering ke perpustakaan memperluas bahan bacaanku. Buku-buku biografi telah mengantikan segala buku cerita yang selama ini menjadi kegemaranku. Di kelas, aku mulai suka berdebat dengan guru serta rakan-rakan. Aku berusaha mengasah untuk petah berbicara serta berfikir cepat. Pendengaranku juga kuasah agar terus tajam dan bisa menangkap jelas setiap kata debat lawan. Guru Bahasa Melayu, Inggeris dan Agama Islam sering menjadi sasaran soal dan debatku. Ada ketika kerana sikap tidak mahu mengalahku maka aku sering mendapat ejekan serta gelaran yang pelek-pelek dari rakan-rakan. Namun semua tidak aku pedulikan.

(10) Aku bukan anak atheletic. Minatku adalah menyusun dan mengerak Organisasi. Pustakawan menjadi profession pilihanku. Bidang keperpustakawan menyediakanku ruang untuk mendapat buku-buku terbaru. Kemudian, atas dorongan Chegu Noraini, maka aku menubuhkan Kelab Bahas sekolah dan menyusun siri-siri bahas lawatan ke sekolah-sekolah sekitar Jitra dan Alor Setar untuk melatih kumpulan bahas sekolah bagi peraduan Piala Perdana Menteri bagi seluruh sekolah-sekolah berasrama penuh di Malaysia.

(11) Selain itu, aku banyak menghabis masa bersama rakan-rakan junior untuk bermain bola keranjang serta pelbagai indoor games. Aku mengetuai dan menjadi tunjang utama perkumpulan ini.

(12) Teman, begitulah jalanan harian hidup remajaku. Bergaul, berorganisasi, berdebat dan menyelidik perkara-perkara berkait dengan soal politik dan social. Semua itu, memberikan aku dunia baru yang jauh lebih terbuka dan sangat memandu dalam menghambat cabaran hidup sebenarnya.

(13) Masa terus berlalu. Pertengahan Julai, 1978, aku mendapat tawaran untuk meneruskan pelajaran ke Matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia. Kurus Matrikulasi kukira sangat menekan. Ianya adalah crash course untuk kemasukan ke universiti. Namun berkat tabah serta dipandu rapat oleh para guru yang berpengalaman, maka akhirnya aku dapat lolos.

(14) May, 1979 aku kembali ke kampong. Bapak sememangnya sudah parah. Tubuhnya sudah menjadi rangka. Suaranya sudah jarang kedengaran melainkan jika dia batuk. Payah sekali untuk aku dapat melihat matanya. Dia lebih banyak tunduk. Aku tidak mengerti mahu terbuat apa. Segalanya, bagiku seperti sudah sampai ke garisan penamat. Kaum keluarga bapak seperti sudah hilang harapan. Sudah banyak kali bapak ke hospital namun tiada perubahan. Kini dia memelih untuk tidak ke mana-mana melainkan mahu menghabiskan sisa hidupnya di rumah sahaja. Aku cuba membujuk agar di dimasukkan ke wad, namun dia hanya terus berpesan: ”Usah khuatir bapak akan baik. Pergilah terus belajar dan bantulah keluarga kemudian”

(15) Pagi itu aku bersila di depan bapak. Aku sarapan bersamanya. Badannya amat goyah. Tangannya terketar-ketar semasa mengangkat sudu untuk menyuap bubur. Bapak sudah ngak bias lagi makan makanan keras-keras. Sering bubur yang ditumbuki ikan bilis goreng jadi hidangan hariannya. Sesekali nenek memberikan dia kuah sup ayam kampong.

(16) ”Pak Musnyi dapat masuk universiti. Jurusan sains”, aku memecah bicara pada bapak. Dia memandang tepat padaku. ”Nanti kalau sudah habis belajar jadi apa?” Tanya dia ringkas, dalam ketar yang sukar aku tangkap pedih rasanya. ”Mungkin saya akan jadi Doktor”, jawapku ringkas. Kami bertentangan mata. Matanya sayu. Berlinangan air mata sebetulnya. Aku tunduk. ”Kan janji dengan emak hendak jadi DO, kenapa pilih Doktor?”, balas bapak tanpa kerdip menatap aku panjang. Apakah bapak marah atau dia sekadar mengingat aku akan janjiku? Aku tidak pasti. Namun suaranya agak keras.

(17) ”Mungkin nanti saya boleh mengubat bapak. Saya hendak bantu bapak supaya dapat sembuh kembali” jawapku dalam linangan air mata. Kami sama-sama menangis. Tersedu. Tiba-tiba dia berkata tegas: ”Jadilah DO. Itu janji Musyi dengan emak. Kamu mesti ada sifat berpegang pada janji. Bapak tak apa-apa. Kalau Musyi jadi doktorpun, mungkin bapak tidak sempat melihat kamu, jika kamu terus jadi DO, sekurang-kurangnya kamu menunaikan janji dengan emak. Pegang janji nak”.

(18) Saat itu aku sudah tidak dapat menahan rasa, aku tunduk mencurahkan air mata deras. Kini aku benar-benar sedar betapa bapak terlalu kasih-cintakan emak, sehingga apapun yang emak mahukan tetap dia ingin tunaikan. Mungkinkah kerana semasa hanyatnya, dia tidak tertunai janji hidup mereka, maka kini, dia sanggup berkorban untuk terakhirnya lewat diriku, agar aku terus berpegang pada janjiku pada emak, menjadi DO.

(19) Aku benar-benar resah antara mahu berangkat pergi meninggalkan bapak atau menangguhkan pelajaranku. Bapak sangat perlukan bantuan sepertinya. Aku berkira, aku perlu berkorban untuknya. ”Bila pergi?”, Tanya bapak memecah kesunyian panjang. ”Munsyi belum pasti”, balasku dalam sedu yang masih dalam. ”Pergilah belajar. Biarlah bapak di sini. Nenek ada. Bibik ada. Mamang ada. Kamu jangan susah hati. Teruskan pelajaran. Banyak orang akan bergantung dengan kamu. Pergilah. Bapak berdoa kamu akan berjaya menunaikan janji kamu dengan emak.”

(20) Bapak melorotkan: tanggalkan jam tangan Seikonya lalu mengunjukkan padaku. Aku sambut pemberiannya. Kuurut-urut jam itu. Kulap pada bajuku. Kusamnya kuhilangan. ”Bapak pakailah dulu, nanti bila saya dah tamat belajar saya ambil dan pakai. Buat sementara ini, biarlah bapak simpan untuk saya dulu” balasku. Niatku, bairpun sejak empat tahun sudah dia sangat beria-ia mahu menghadiahkan jam tangan itu kepadaku, namun aku belum mahu menerimanya. Bagiku, biarlah jam itu terus dipakainya, sekurang-kurangnya sebagai ingatan buatnya bahawa aku akan sentiasa ada di sampingnya serta sebagai azimat agar dia akan terus bertahan sehingga aku tamat pengajian.

(21) Dengan hati yang sangat berat aku meninggalkan bapak dalam jagaan nenek dan adikku Zainab. Harinya pada saat itu agak redup, dingin. Rintik-rintik halus melayang-layang turun menyuramkan lagi alam. Aku bersalam dengan bapak. Dia menyambut dengan terus tertunduk menyembunyikan isi hatinya. Aku melangkah keluar dalam nanar hebat antara membela bapak atau tetap patuh pada janji kepada emak. Namun kerana terpaksa berkejaran untuk berebut bot express ke Kuching, aku terpaksa meninggalkan segalanya untuk dihalusi kemudiannya saja.

Angkuh

Teman. Saat helang melayang di awangan, tetap juga dia mengawasi ke bawah. Biarkan saja helang sebegitu tabiatnya, atas keperluan hidup, namun kita manusia Melayu sudah dipesan agar mengikut saja resmi padi: semakin berisi, semakin tunduk. Di bumi adalah tapak kita berpijak, ke langit pasti kita tidak kecapaian. Langit pasti sentiasa lebih jauh dari kita biar mengunung mana tarafnya kita. Dan aku, teman, merenung jauh, pada samar-samar malam, ada kerlipan api yang masih ingin aku tangkap.

(2) Kota Kuching bagai biasa sibuk selalu. Hiruk pikuk manusia berebut hidup adalah lumrah. Sekitar jam dua petang, aku disambut oleh Encik Omar, seorang Kerani Kanan di Bangunan Yayasan Sarawak dengan mesra. Keistimewaan En. Omar adalah atas sikap prihatin beliau terhadap para pelajar tajaan Yayasan Sarawak. Dia seperti mengenali hampir semua pelajar-pelajar ini. Aku di bawa mengadap seorang pegawai yang bertanggungjawap: ”Awak nanti, ceritakan kepada pegawai tentang segala keperluan awak. Saya akan tunggu awak di luar untuk urusan lainnya”, jelas En. Omar saat aku sudah melangkah masuk ke pejabat pegawai berkenaan.

(3) Inilah pertama kalinya aku memasuki pejabat seorang pegawai. Kerusinya besar. Mejanya besar. Bilik pejabatnya cantik. Ada banyak talipon. Berhawa dingin. Setteenya kelihatan enak, tapi aku takut untuk melabuh diri. Terhias dengan bungaan-bungaan biar hanya plastic kaku. Gambar-gambarnya diframed dengan baik dan tersangkut indah di dinding pejabat. Sungguh aku kagum. Namun pegawai berkenaan terus sibuk melayan talipon beliau. Aku terus berdiri di samping meja kayu besarnya. Dia sekali-sekali melihat aku tajam. Ada getar resah dan takut menyelinap dalam tubuhku.

(4) ”Ada apa ini?” Tanya beliau seolah-olah menyergah aku.”Saya dapat tawaran masuk ke universiti. Ini surat tawaran saya” balasku pendek sambil menghulur surat tawaran dari Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia. ”Jadi!”, ucap beliau separuh menyergah. Aku agak terpingga-pingga. Kurang mengerti apa mahunya. ”Ada duit?’ sergahnya lagi. ”Bapak saya sakit. Tak ada kerja. Keluarga saya, juga tak ada kerja tetap, hanya bertanam padi sekadar cukup makan. Saya dari Simunjan, semua orang di sana susah Encik” jawapku agak panjang namun dalam nada yang resah dan takut. Sedari tadi, kukira hampir 45 minit aku berdiri di depan meja beliau, terasa penat berdiri tidak bergerak-gerak. Dalam hati, aku bertanya:”Beginilah mungkinnya semua orang bila berjumpa pegawai. Terus berdiri dan seperti tidak dipedulikan. Atau kerana aku anak kampong yang tidak selayaknya terlayan hormat?”

(5) Tanpa mahu melihat padaku, dia menekan buzzer, lalu Encik Omar datang menjengah masuk. ”Uruskan hal dia ini”, serunya pada Encik Omar, dan aku mengiring Encik Omar keluar pejabat pegawai berkenaan. Usai segala urusan: ”Tahniah. Mudahan-mudahan awak akan terus berjaya dan kita boleh berjumpa lagi”, ucap Encik Omar padaku. Setidak-tidaknya, jerih lelah aku bergelumang di sekolah mendapat sedikit penghargaan dari Encik Omar. Aku berkira, setidak-tidaknya masih ada manusia yang mengerti adab sopan, yang kini sering saja dilaungkan sebagai Social Intelligent kalau tidak Emotional Intelligent yang maksudnya adalah berhati perut.

(6) Aku kini bergelar mahasiswa. Maha itu maksudnya terhebat. Namun siswa itu pastinya kata-kata Urdhu jika tidak Sanskrit. Sedang siswa itu sudah bermaksud pelajar universiti maka kenapa harus ada penambahan maha?. Apakah terlalu istimewa kedudukan siswa, maka kata maha harus terlekat sama?

(7) Teman, Melayu, bangsa kita, banyak metaforanya. Apapun, Melayu amat petah berkias. Sifatnya Melayu, setiap kata-katanya bermata dua, berlapik, membayangkan betapa Melayu sebetulnya bangsa yang cermat, hati-hati. Biarpun hanya sekadar kata-kata, segalanya ada galang sandaran agar tidak mudah terjerat oleh satu pandangan sahaja. Melayu pada asasnya adalah bangsa yang boleh berfikir jauh dan panjang. Gemarnya bangsa kita ini, adalah punya fikiran yang terbilang strategiknya. Cuma, kalahnya kita, lantaran hanya bisa ngomong dan berencana, soal memperlakukan bukan keutamaan kita. Di situlah kelemahan bangsa kita ini. Kita hebat berencana, tapi tertinggal saat melaksana, maka sering saja kita ditertawa sebagai:cakap tidak serupa bikin, malah bikinnya kurang atau ngak pernah ada atau jarang menjadi. Kita terima gelar itu, dan kita jadikan ianya lelucon harian, tanpa ada rasa insaf yang menyadarkan. Astafirullah halazim.

(8) Aku kian memerhati persoalan itu. Kepingin sekali aku bebas dari sifat itu, sifat hanya ngomong buat enak telinga tapi bacul saat tercabar untuk melakukan. Atas dudukku sebagai mahasiswa, menghuni menara gading, sudah pasti harapan rakyat adalah sangat tinggi mengunung atas kedudukan itu. Tidak ada sebuah bangunan di dunia ini yang terbina dari gading, melainkan yang dihuni oleh mahasiswa Negara. Biar rakyat susah, biar rakyat payah, tetap gading yang begitu sulit untuk didapati dijadikan asas pembinaan duduknya mahasiswa Negara. Begitulah pengorbanan rakyat dalam mendokong mahasiswa kita agar taraf mereka terus tinggi. Cuma, apakah kita mengerti akan metafora ini, atau sudah banyak antara kita puas bagai: kacang lupakan kulit; pinang tanggal dari tampuk, sirih luruh dari gagang; ikan sudah tidak kenal lubuk; tidak ubah kita jadinya bagai melepas anjing tersepit. Teman, di mana kita kini?

(9) Nan nongkrong: duduk di kerusi empuk, kantor berhawa dingin, pakaian kian kelimis: bergaya, maka payah sudah untuk banyak yang mengerti jalanan asal kita. Aku jadi lelah dan ketakutan melihat segala ini. Nyawaku sudah terlalu berat untuk kutahan terbangnya. Jasadku, kian lemah. Hatiku kian payah. Bergetaran jiwaku merenung nasib celaka yang bakal menerpa yang pastinya tidak mungkin dapat kubela dan tatang. Teman, terlalu lama untuk kita sadar akan hal ini. Saat kita ingin bangkit, lutut dan tapak kaki kita sudah terlalu payah untuk melangkah. Maka akhirnya jadi bangsa yang hanya menyerah, menadah, sebermula bagai kita di zaman Buddha juga Hindu. Kembali asal wal hasil.

(10) Inalillah Wainaihillajiun. Bapak tumbang rebah. Matanya terpejam. Nafasnya putus. Aku rebah bersama, biar tidak mati. Julai, 1980, aku rebah, bersama rebahnya bapak. Aku hanyut dalam deras air mata. Bapak, perginya dia saat aku sedang melangkah ke alam sadar. Saat aku akan berteriak membangkit semua, aku jadi bungkam. Terbentur jiwa ragaku. Apa mungkin aku bisa bangkit kembali. Emak, bapak, segalanya yang sepatutnya menjadi bumbung, tiang, dan dinding hidupku, kini sudah tiada. Apa mungkin aku bisa tegar, biar sekadar seorang manusia kerdil?

(11) Payahnya, tidak bisa untuk aku terbang pulang. Wang jadi perhitungan. Jika pulang siapa biaya. Jika pulang, mungkin aku akan pulang terus, tergalang jalanan: ”teruskan pelajaran kamu sebagai pesan bapak”. Bapak sudah bersemadi. Aku tiada kesempatan, biar hanya sekadar mengucap shalawat atas penurunan jasadnya ke liang lahad. Aku sekali lagi tiada kesempatan untuk menantang jasad bapak, sebagaimana 14 tahun dahulu aku tiada kesempatan melihat ibu di perbaringan azalinya. Aku mengutus surat pulang, berpesan: "Nenek, saya tidak dapat pulang. Tidak ada wang. Siramilah pusara bapak dengan kembang-kembang yang saya tanam jika masih ada. Simpanlah jam tangan bapak. Nanti pulang saya mahu memakainya".

(12) Empat tahun aku seperti terus berkelana. Sepenuhnya hidup dan jayanya aku adalah sendiri. Tiada siapa harus aku bergantung lagi. Tidak sama sekali pada embah dan nenek yang juga sudah semakin tua dan tetap payah. Siapapun sepertinya aku lengkap sebagai yatim piatu sebatang kara, harus mencari dan memebina diri, sendiri.

(13) Saat pulang: Nek ada tak simpan jam bapak?. Nenek terkesima. Dia benar-benar tersentap. Dia kebingungan. Dia mengaru-garu kepala. Aku sadar, nenek pasti sudah lupa. Jam itu sudah tiada. Tidak tahu di mana. Aku cuba mencari-cari dan bertanya-tanya. Tetap sudah hilang jam itu bersama bapak. Aku sungguh kesal. Harapan bapak agar aku memiliki sebuah jam sebagaimana remaja lain, tidak kesampaian. Aku sungguh kesal, dua kali dia menghulur jam itu sebagai hadiah darinya, tidak aku sambut. Aku kesal mengecewakan hajat bapak. Di pusaranya aku mengikat janji: Maafkan Munsyi, tiada apa yang lebih besar dari jam itu. Kerana tidak kesampaian hajat bapak atas jam itu, maka Munsyi bersumpah, tiada apapun akan lebih besar dari jam itu. Bapak, maafkan Munsyi kerana tidak menjaga hadiah bapak"

(14) Inilah celaka musibah kemiskinan. Hiduppun susah. Untuk matipun susah. Mungkin maka itu, miskin itu dinobat darjat tertinggi sebagai susah, payah, mengetirkan, bisa saja mengkufurkan. Bantulah sekerasnya yang miskin dan susah antara kita, agar mereka tidak perlu melacur untuk hidup menjadi manusia.

(15) Teman, itulah calitan warna-warni kehidupan diriku. Itulah hamparan lakaran-lakaran abstrak hidupku. Betapa merahnya warna remajaku. Aku ingin tinggalkan warna-warna itu, biar tak ketentuan agar kalian bisa lihat betapa merah, biru, dan hijau membias menjadi pelangi alamku. Aku tutup saja kanvasku. Aku ingin pejam mengingat dalam segala keterlambatan dan keteralpaanku. Akan kubawa segalanya itu, apa mungkin terbakar mengelegak atas hukum kegagalaku. Aku pasrah, aku sudah tidak tega memikul lagi.

(16) Ya Allah, sebagainya Ibrahim, aku berdoa, agar Kau rahmatilah tanah tumpah darahku ini. Maafkan aku atas ketidak kepedulianku untuk bangkit seawalnya membela agama dan ummahMu. Kau terus sirnakan nurMu atas semua umatMu di sini. Aku pasti melainkan jika Engkau telah bosan menanti, akan tetap ada Sarah dan Ismail pada kami.

..................................................................................
Nota:
Aku menulis ini, adalah peringatan buat diriku dan mereka yang selalu di sampingku. Bahawa aku tumbuh dari keringat dan air mata yang tidak berkesudahan. Dalam payah dan jerih kedua ibu-bapa yang tidak dapat kutebus bakti-jasa mereka, semuanya adalah agar aku tetap ingat dan waspada akan payahnya jalanan masa depan bangsaku, jika aku mudah lupa dan lalai akan tanggunganku. Inilah wasiatku buat mereka yang sering di sampingku. Kerana aku juga akan pergi ngak lama lagi. Hanya wasiat bekalan yang dapat aku tinggalkan, kerana segala apa yang ingin kuterbuat, sebaiknya masih terlalu banyak tidak kesampaian dan terlalu payah untuk aku usaikan. Teman, kuucapkan, semoga Allah terus memberi segala dokongan kekuatan dan perlindungan. Jangan sesekali kita lupa dan lalai dalam membela dan membangun nasib masa depan bangsa kita, biar siapa dan di manapun kita. Putra-puteriku, Haqim dan Dewi, jadilah kalian putra-putri bangsa seiklas sebenarnya. ABC

terasi, malaysia-siem reap, kemboja
29 May-6 Sept., 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

balqiswilson said...

sedih..sedih..sedih sekali saya membaca tentang pelangi hidupku.. sepertinya sedang mendengarkan alunan broery hatiku yang terluka...semuga saudara akan lebih berjaya dan dapat menggenggam apa yang di citacitakan. InsyaAllah...semuga Allah memberkatimu..semuga Allah membalasmu dengan yang terbaik..tq.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.