Sekian lama telah saya ingin melihat Dr Mahathir Mohammed (DMM) dan cuba berkongsi penglihatan saya itu kepada ramai. Saya mengkagumi DMM atas sikap dan upaya beliau dalam membawa Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di persada dunia. Beliau telah berjaya meletakkan Malaysia dalam peta dunia dan diperakui sebagai seorang pemimipin besar dunia. Pernah, dalam lawatan saya ke Montreal pada 2007, saya telah menaiki sebuah teksi yang di pandu oleh seorang rakyat India berketurunan Punjabi. Bila dia mengetahui saya adalah dari Malaysia, lantas dia mangatakankan bahawa: ‘You guys are lucky to have good leader like Mahathir Mohmmed’. Namun saya sengaja mahu ‘mengacau’ beliau dengan menyatakan,: ‘What do you mean by good, I don’t think I like him’. Lantas dia seperti memarahi saya, dan menganggap saya sebagai rakyat yang tidak tahu bernegara! Begitulah, sehingga rakyat asingpun kagum dengan DMM. Kenapa kita tidak?
(2) Dari pembacaan, saya melihat DMM sebagai seorang yang punya kesadaran yang tinggi terhadap kelemahan bangsanya. Sejak dari bangku sekolah, MM telah menyuarakan betapa dia amat khuatir tentang masa depan bangsanya.
(3) Semasa kecil, beliau ‘menjual goreng pisang’, kemudian menjual gerai beliau, dan beralih kepada menjual buah-buahan. Negeri tumpah darah beliau, Kedah, pada masa itu adalah negeri miskin. Saya percaya, penglibatan beliau dalam bidang perniagaan: biarpun hanya menjual cucur pisang, itu merupakan langkah pertama beliau menjejaki langkah Muhammad saw dalam mengarap kekuatan bagi membangunkan ummahnya. Dari situ, saya yakin timbul keyakinan beliau, selagi bangsa Melayu tidak terlibat dalam bidang komersil, selagi itulah mereka akan terus hanya bergelumang dengan kerbau dan lembu di sawah, sedang kekayaan negara terus dibolot kaum lain. Saya percaya, kepercayaan beliau inilah yang memacu sikap koperat yang beliau ketenggahkan dalam tempoh beliau memimpin negara.
(4) Kesengsaraan rakyat sekeliling beliau, terutama serangan penyakit yang menyebabkan segala bentuk kesusahan dan kepayahan, saya kira menjadikan beliau mahu menjadi seorang pakar perubatan. Pemilihan kerjaya perubatan, seperti menjurus beliau bukan hanya mahu mengubat rakyat yang menghadapi masalah kesihatan, namun juga untuk mengubati rakyat dari penyakit yang lebih hebat iaitu kemiskinan, kepayahan dan kesempitan hidup.
(5) Kalau kita membaca biografi awalnya, bagaimana seorang Senior beliau di Kolej Perubatan Universiti Malaya, Singapura telah meragging beliau: tidur di bawah katil, seolah-olah ‘menghina bangsanya’. Saya percaya, ragging yang beliau alami itu menanamkan rasa ‘dendam’ beliau untuk tidak dihina oleh bangsa asing, apa tah lagi oleh mereka yang datang dan menumpang. Dengan pengalaman itu, saya yakin, beliau mulai melihat kelemahan sifat-sifat bangsanya.
(6) Sifat bangsanya yang selalu mengalah demi kepentingan orang lain, terutama dalam masa pentadbiran Tunku Abdul Rahman, menyebabkan beliau seperti pemberontak di dalam UMNO. Beliau mahu bangsa Melayu di dahulukan. Beliau mahu bangsa Melayu diutamakan. Suara dan semangat beliau itu menjadikan beliau seperti ‘Utra-Malay’. Inilah gelaran mereka yang tidak mengerti akan beliau, perjuangan beliau, keperihan hati beliau: beliau mahu bangsanya ‘merdeka semerdekanya!”. Ada pula segolongan lain, melihat MM sebagai Nasionalis Melayu, terutama oleh PAS dalam tahun 1980-90an. Dan sifat Nasionalis ini adalah sangat bertentangan dengan pengajaran Islam, yang bersifat sejagat; namun apakah gelaran sedemikian pernah dihalusi akan kebenarannya, atau sekadar mainan politik.
(7) Namun sebagai seorang Kedah, saya yakin DMM punya sikap Tak Apa: Tak apalah, depa nak kata apapun tak apalah. Hak penting, aku (dia) buat apa yang patut. Depa betul ke tak betul ke, tak apa, aku (dia) nak buat kerja aku (dia). Dia tetap ‘ketegaq: kerah pala (Kelantan), degil’ dengan sikap beliau, sebagai ahli perubatan, mahu membelah dan memotong apa yang tak baik dan mengantikannya dengan yang baik.
(8) Maka sikap pertama yang beliau hendak perbetulkan adalah: ketepatan masa. Orang Melayu sangat susah untuk menepati masa. Mungkin kerana itulah Allah, sengaja seperti bersumpah: Demi Masa....agar kita orang Melayu (Islam) hormat akan masa! Maka dengan sebab itu mesin perakam waktu diperkenalkan. Mesin ini, bukan hanya untuk merakam waktu kehadiran di pejabat, namun perlahan-lahan mengajar orang Melayu (terutama penjawat awam Melayu), agar sentiasa berawal (a head) dan punya kejujuran yang tinggi. Biarpun adanya perakam waktu, jika kita tidak jujur, kita akan tetap dapat menipu waktu kehadiran ke pejabat.
(9) Bila sudah hadir ke pejabat, dahulunya sering saya perhatikan orang Melayu (yang lain ikut sama) suka hanya membelek-belek surat khabar atau minum lama-lama di kantin pejabat, seolah-olah tiada kerja untuk di buat. Maka langkah beliau seterusnya adalah, berkerja kuat. Dalam tempoh yang singkat, beliau seperti mengempur penjawat awam dengan pelbagai kerja yang perlu dibuat dengan cepat. Keadaan ini sehingga menimbulkan ilham kepada Sudirman Hj Arshat untuk mencipta sebuah lagu: Kerja-kerja! Sengaja DMM membuat pendekatan ‘kerja berlambak-terburu-buru’ agar orang Melayu, khususnya penjawat awam Melayu dapat dialih perhatian mereka dari hanya ‘makan gaji buta’ kepada sanggup bertungkus lumus berbakti kepada rakyat.
(10) Sudah pasti, para penjawat awam, yang kebanyakannya terdidik dengan pendidikan barat, sentiasa mempersoal tentang segala perubahan yang DMM mahu lakukan. Maka dengan sebab itu, beliau mengalih seluruh ‘hala pandangan negara’ kepada ‘Pandang Ke Timur: kepada budaya kerja Jepun dan Korea’. Di Jepun, para pekerja akan sentiasa dimestikan menepati masa dan kuatliti kerja: mengikut konsep JIT; Just In Time. Tiada lebih, tiada kurang, keperluan masa dan kualiti mesti dipatuhi. Dalam masa yang sama, budaya Jepun dan Korea, adalah satu budaya nasionalisma yang sangat teguh. Sifat ini, saya kira sesuai dengan semangat Nasionalisma DMM. DMM yakin, hanya dengan semangat nasionalisma Melayu, ala-Jepun-Korea, barulah orang Melayu dapat berlari kencang dan gagah. Orang Melayu kena yakin pada diri sendiri. Orang Melayu kena tahu apa yang mereka mahu. Orang Melayu kena bekerja keras memenuhi kemahuan mereka sendiri. Orang Melayu boleh, jika mereka mahu; maka slogan Malaysia boleh diutarakan, yang sebenarnya beliau mahu orang Melayu mengenggam tangan dan berteriak Melayu Boleh!
(11) DMM yakin, jika dia hanya bergantung kepada dana awam untuk membangunkan negara, pasti kemajuan negara akan terbuat secara merangkak-rangkak. Maka dengan sebab itu, pengswastaan di gempur hebat. Institusi-institusi awam (LLN, Telekom, LPN, dsb) di kopratkan, agar bukan hanya mereka akan bertambah cekap, tetapi mereka juga dapat mengembangkan bidang perkhidmatan mereka. Anak-anak Melayu, yang dulunya bekerja dalam suasana ‘nyaman’, kini mulai tercabar untuk ‘mencari hidup sendiri’. Sikap leka mereka kini tercabar hebat. Otak dagang orang Melayu mulai dibangun dalam tidak sedar. Mereka mulai menilai, mencari-cari, erti dan amalan koprat. Budaya koprat mulai mengantikan budaya ‘leka penjawat awam’ pada anak-anak muda Melayu. Maka dengan sebab itulah lahirnya gergasi seperti Petronas, MayBank, CIMB, RHB, Sime Darby, Tabung Haji, Tradewind, Boustead, dsb yang diterajui oleh anak-anak Melayu yang gigih dan berjiwa besar. Dari penual cucur pisang, DMM menjadi peneraju budaya koprat di kalangan orang Melayu!
(12) DMM juga seperti sudah tidak peduli dengan sikap ‘lambat’ penjawat awam. Saya yakin, DMM punyai ‘sense of urgency’ yang sangat kuat. Beliau tidak mahu kerja dibuat dengan lambat hanya kerana ‘terdapat halangan atau prosedur tertentu’. Maka dengan sebab itu, beliau mulai beralih kepada pihak swasta untuk menjalankan pelbagai projek gergasi, terutama yang bersifat strategik: lebuhraya, lapangan terbang, pelabuhan, jambatan, dan pusat-pusat pentadbiran. Semua ini, adalah untuk memecahkan saikologi terutama di kalangan penjawat awam Melayu, bahawa mereka: they must think big, act daringly, take the risk! Inilah, saya kira, sebagai apa yang beliau mahukan dalam semangat Malaysia (Melayu) Boleh!
(13) Hakikatnya, DMM mengerti apakah jurang (gaps) pada orang Melayu, sehingga ke akar umbinya (root cause) namun dia tidak mengatasi segala jurang itu melalui pendekatan biasa (conventional). Dia sanggup menguji, dia sanggup mengambil risiko, dia sanggup menempuh kegagalan, namun dia tidak sekali-kali mahu menyerah atau mahu gagal. Pendeknya, kedegilan beliau pada jalannya sendiri (My Way) menyebabkan rakan-rakan beliau meninggalkan beliau dipermulaan jalan: Musa Hitam, Razaleigh Hamzah, Rais Yatim, Sahril Samad, Anwar Ibrahim, dsb dan tinggallah beliau berdayung dalam gelora hebat bersama Ghafar Baba, Abdullah Badawi, Muhammad Rahmat, Sabaruddin Chik, Megat Junid, Rahim Tambi Chik, Muhammad Muhammad Taib, Sanusi Junid, Najib Abd Razak, Anwar Musa, dsb.
(14) DMM, tidak dia terjadi dengan sendirinya sebagai DMM. Kesadarannya terhadap masa depan bangsanya menjadikan dia sebagai DMM yang dunia kenali, jasanya kita nikmati, biar ada antara kita terlalu payah untuk mengakuinya, hanya kerana kita tidak dapat ‘lebih dari selayaknya’. DMM terlahir atas kesadaran nasionalisma Melayunya, atas fahaman pragmatik Islamnya demi bangsanya. Kita, siapa kita, apa fahaman kita, apa kesadaran kita, apa mahunya kita?
Kuching, Sarawak
11 Nov., 2009
0 comments:
Post a Comment