.

4(I)/11/09 MENAPAK MENJEJAKI MAHATHIR MUHAMMED....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - November 10, 2009

Share

& Comment


Bila saya mulai remaja, diahkir 1970an, pada masa itu kemelut politik negara adalah sangat hebat. Pada masa itu, UMNO tengah mengasak kuat untuk menguasai Kelantan. Begitu juga PAS menyerang balas dengan cuba menawan Kedah. Natijahnya, pada masa itu, kedua-dua Kelantan dan Kedah, adalah negeri-negeri seangkatan Perlis, Trengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak dalam kategori Heavywieght sebagai negeri-negeri termiskin di Malaysia.

(2) Saya menulis artikel ini, kerana dalam dua tiga hari yang lepas, saya bertemu dan berbincang dengan beberapa orang teman (jauh lebih muda dari saya), yang seperti telah kehilangan semangat untuk berbakti. Pada sebahagian dari mereka, mereka bekerja adalah untuk mendapatkan upah, dan mereka mahu upah yang sangat lumayan agar hidup mereka tidak susah, tidak payah. Mereka seperti sudah berfahaman bahawa mereka sudah tidak layak untuk susah, tidak layak untuk payah. Mereka mahu hidup biar senang sahaja! Saya agak tersentuh dengan gejala ini! InsyaAllah saya cuba menulis artikel ini dalam beberapa siri, khususnya agar sebahagian dari kita dapat mulai bangkit dan sadar tentang beban di pundak segelintir yang tetap mahu payah dan susah demi menjamin masa depan Bangsa-Agama kita (Melayu-Islam). Siri ini saya namakan Menapak Menjejaki Mahathir……

(3) Saya ingin mengutarakan padangan pribadi saya mengenai Mahathir Mohammed (MM), terutama cuba melihat di sebalik sikap ‘degil’ beliau dalam membangun martabat Bangsa-Agama: Melayu-Islam. Dalam pada itu saya juga, atas pengalaman yang sedikit, cuba melihat usaha beliau berbanding dengan Nik Aziz Nik Mat (NANM), Menteri Besar Kelantan. Minat saya terhadap MM dan NANM bermula sejak di tahun 1975.

(4) Kepada para pembaca yang taat kepada tulisan saya ini, banyak tulisan saya adalah berbau politik. Sebetulnya, bila saya berjumpa secara in person dengan YAB Datuk Taib Mahmud pada Sept., 2002, saya secara terang-terang menyatakan kepada beliau bahawa saya amat meminati politik. Semua ini bukanlah untuk saya berpolitik, tetapi menjiwai fahaman dan pendekatan politik agar saya dapat menjalankan tugas saya sebagai penjawat awam dengan lebih sempurna selaras dengan aspirasi poltik pemerintah bagi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Pemahaman yang mendalam mengenai aspirasi politik pemerintah semasa membolehkan saya untuk merangka dasar, strategi, dan program yang selaras dengan aspirasi mulia berkenaan. Pastinya saya tidak berminat untuk mendokong secara membabi buta, atau atas dasar mengolok (istilah Melayu Sarawak)!

(5) Berbalik kepada pengalaman zaman keremajaan saya, di kalangan teman-teman saya di sekolah (SMSAH Jitra) di 1970-80an, kebanyakan dari para penuntut dan teman-teman rapat saya adalah tergolong dari mereka dari negeri-negeri miskin dari Pantai Timur dan Utara, dengan penuntut dari Kedah dan Kelantan menguasai perangkaan tertinggi. Rata-rata mereka ini datang dari keluarga yang susah. Hanya segelintir sahaja dari teman-teman saya adalah dari golongan berada, itupun saya kira adalah mereka dari golongan kelas menengah: anak-anak kakitangan awam dan peniaga runcit.

(6) Pada awalnya, saya mengalami keadaan penyesuaian diri yang amat payah. Sebelumnya, saya mendapat pendidikan di Kelantan, sangat fasih bercakap loghat Kelantan, dan bila sampai ke sini (SMSAH) saya ingin memperluaskan lingkungan persahabatan saya menjangkau teman-teman terutamanya dari Kedah dan Perak. Saya tidak mengerti mengapa, rakan-rakan dari Kelantan seperti tidak merestui pengembangan persahabatan saya di luar dari lingkungan Kelantan, persahabatan saya dengan mereka dari Kedah, Perak dsb sudah dianggap sebagai menghianati ‘sifat Kelantan saya’.

(7) Maka mulai timbul sengketa antara saya dan beberapa dari mereka. Saya juga seperti tidak tahu, bila di dalam Kelas, terutama kelas Agama, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Geografi, dan Sejarah, saya gemar sekali untuk berdebat dengan teman-teman dan guru-guru mengenai perkara-perkara yang saya rasa saya perlu bersuara. Saya paling marah bila seorang guru Geografi sering kali bila mengajar mengenai Sarawak, seringkali Sarawak diketengahkan sebagai negeri mundur: tak ada jalan, tak ada elektrik, tak ada air, tak ada kemajuan. Saya sering memberontak samada dengan meninggalkan kelas atau mengajak guru berkaitan berbahas.

(8) Saya juga seringkali suka mengutarakan, pada masa itu dianggap, suatu larangan berat, mempersoalkan tentang ‘hukum Allah’. Pernah saya mempersoal, apakah ‘wajib’ sesorang itu berpuasa, biarpun jika dia terpaksa bekerja keras dan berat hanya kerana mahu menyara hidup keluarganya. Ketika itu sebenarnya saya teringat mereka yang bekerja sebagai ‘kuli keng’, mengangkat guni dari kapal ke pengkalan seperti di Pasar Chekor Kuching. Pada tahun 1960-80an, para ‘kuli keng’ ini sebenarnya terpaksa berhempas pulas untuk mendapat 20-50 sen untuk mengangkat di atas pundak mereka, meniti sekeping papan memikul (memunggah) guni-guni kelapa, koko, padi, beras dan sebagainya, yang saya kira berat setiap satunya antara 40-70kg. Saya sering merasa terlalu ‘kasihan’ melihat beban hidup yang terpaksa mereka pikul.

(9) Kerana kemelut remaja yang sedang menyerang ganas dalam dada dan kepala saya, maka saya mulai mengkaji majalah-majalah berat seperti Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Mastika, dan biografi dan tulisan-tulisan terutamanya tentang Dr. Ismail Abdul Rahman dan Dr. Mahathir Muhammed. Tulisan-tulisan Ahmad Boestaman, Senu Abdul Rahman, puisi-puisi Latiff Mohiddin, Usman Awang, A Samad Said, cerpen-cerpen Melayu dan Indonesia mulai menjadi sahabat baik saya. Di dalam karangan-karangan Bahasa Malaysia dan Inggeris, saya sering menggunakan suara-suara ‘keras’ mereka ini dalam mengutarakan suara-suara dan fikiran saya, sehingga menjebak saya kepada perdebatan UMNO-PAS bila pulang ke asrama dan selalunya bicara Dr. Mahathir dan Nik Aziz menjadi isu hangat dan ‘permusuhan’ saya dengan beberapa teman dari Kelantan, sehingga di suatu malam buta, saya telah dibelasah dengan teruk oleh sekumpulan mereka yang saya amat kenali.

(10) Kebetulan, SMSAH adalah di dalam wilayah Kubang Pasu, di mana DMM adalah Ahli Parlimennya. Kehidupan masyarakat Melayu di sini pada masa itu hanyalah bertani: bertanam padi dan getah. Pekan Jitra, adalah terdiri dari dua baris kedai kayu, samalah dengan keadaan Pekan Engkelili atau Lingga, Sri Aman, Sarawak pada masa ini. Kemiskinan dan kepayahan adalah dimana-mana. Di Kelantan, terutamanya di Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, dan Pasir Putih keadaan kehidupan masyarakat Melayu pada masa itu adalah sama juga. Dua keadaan kehidupan ini menyebabkan saya mulai tertarik untuk mengenali DMM dan Nik Aziz secara lebih dekat. Saya berkira, kedua-dua mereka adalah dua gajah yang sedang bertarung hebat untuk memerdekakan bangsa mereka mengikut jalan masing-masing.

(11) Sebenarnya, pada permulaan saya berkhidmat dalam 1986, kerana gaji masih terlalu kecil, bila ‘travelling’ ke Kuala Lumpur, saya sering menginap di hotel-hotel murahan di sekitar Kampung Baru, Lorong Hj Taip dan Chow Kit. Saya lebih gemar tinggal di sekitar ini kerana semasa sebagai seorang pelajar dulu saya sering berkunjung ke asrama teman-teman saya di Lorong Hj Taip serta makanan di sini amat murah. Pada waktu itu, suatu yang amat memilukan saya adalah bila melihat gadis-gadis dan perempuan-perempuan Kelantan dan Kedah didagang secara berluasa oleh kaum lain, seolah-olah mereka ini adalah seperti ‘kain lelongan’. Saya percaya, kedua-dua Nik Aziz dan DMM sedar mengenai perkara ini, dan sedang berusaha keras untuk menghapus ‘contengan arang’ di muka bangsa ini. Semua ini, menyebabkan saya semakin mahu mendalami sifat-sifat DMM dan Nik Aziz.

(12) Saya melihat, pada Nik Aziz, kekuatan bangsa Melayu perlu duduk pada kekuatan Imannya. Iman ini, pada pengamatan saya, pada orang Kelantan, adalah semangat KeMelayuannya. Namun teras KeMelayuan itu perlu pada asas-asas keIslaman. Segalanya perlu menjurus kepada Melayu-Islam. Melayu yang berteraskan Islam, adalah cita-cita bangsa Melayu yang hendak beliau bangunkan di Kelantan. Maka dengan sebab itu di Kelantan, segala-galanya mesti seperti bersifat Melayu. Siapa juga kalau di Kelantan, sebaik-baiknya mesti berbudaya Melayu. Maka apa juga yang tidak menjamin, KeMelayuan Kelantan pasti akan ditolak, tidak kira oleh golongan mana: konservatif atau liberal. Bila sampai kepada maruah Melayu, orang Kelantan susah untuk bertolak ansur. Mereka lebih rela miskin dari 'nampak maju', tetapi sebenarnya 'berada di bawah telunjuk orang lain (asing)'. Itulah sebenarnya prinsip perjuangan Nik Aziz: Melayu, Ketuanan Melayu, mesti kekal Melayu......biar 'miskin tetapi tidak hina', kerana 'kemiskinan' adalah suatu ujian dan sementara sifatnya. 'Kehinaan' adalah contengan yang sukar dilupakan, dan kemiskinan hanyalah 'dugaan' yang boleh terhapus dengan kekuatan 'keImanan: Kesabaran dan Kebersihan'.

(13) Pada dasarnya, saya mengira Nik Aziz dan PAS sebenarnya sedang tercari-cari rumusan politik dan pentadbiran Islam yang terbaik bagi Kelantan. Namun, kerana adanya Perlembagaan Negara yang ‘mungkin menjadi penghalang’ kepada perlaksanaan mutlak terhadap rumusan yang hendak beliau gunakan, maka beliau seperti kehilangan waktu dan daya untuk membuktikan bahawa PAS mampu menjamin kemakmuran dan kesejahteraan ummah di Kelantan. Saya yakin inilah dilema Nik Aziz bila berdepan dengan UMNO. Maka dengan sebab itu, taraf sosio-ekonomi masyarakat di Kelantan telah di kelompokan sebagai mundur dari kaca mata UMNO, namun tidak kepada PAS. Inilah cabaran yang perlu kita, generasi lebih muda harus cuba fahami, agar kita tidak perlu bersengketa pada cara bagaimana mencapai tujuan yang sama: memperkasakan Melayu-Islam.

(14) Hanya waktu akan menghanyutkan PAS ke dalam aliran kontemporari: ‘sekular’.



Kuching, Sarawak
10 Nov., 2009

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.