.

23/07/09 KITA YANG KHILAF dan kian terjepit!

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 26, 2009

Share

& Comment

(Pada guru di Pusa Lama yang kutemui dalam jalananku semalam, berjalanlah bersama bangsamu yang kecil-kecil itu....jadikan mereka ingat terus akan bangsanya dan janganlah kesilapan kita terus saja berulang! Dan bagi aku yang meninggalkan kalian....semoga aku tidak lupa kalian semasa aku enak di KFC/McD/Starbuck/Carlifonia Caffee....atau dalam segala pelukan enak hidupku!
Dua hari yang sudah, saya berpusing keliling antara Betong-Debak-Pusa-Beladin. Di wajah para teman, dapat saya rasakan, bahawa kenapa saya terlalu gila mengasak mereka terus bekerja sedang ini adalah hujung minggu dan mulanya gajian. Di Kuching, anak-anak mereka mungkin sedang girang mahu melihat segala pesta di Sungai Sarawak, di Padang Merdeka, di Petra Jaya. Semuanya, kerana saya merasakan bahawa, kita terlahir dan tercipta adalah atas tujuan yang lebih besar dari hanya untuk hati dan fikiran kita sendiri! Cuma adakah kita berfikir, seperti selalu disoal olehNya. Hari ini, saya cuba menulis atas apa yang saya rasa dan fikirkankan semasa lawatan itu.

(2) Kita para angkatan berusia antara 35-50an (termasuk saya sendiri)merupakan mereka yang sedang di peringkat puncak kerjaya hidup kita. Ada di antara kita sememangnya sudah di puncak dan ada yang sedang naik kencang. Semestinya, tidak kurang yang lemas dalam pendakian ke puncak. Golongan atau generasi ini, yang akan saya rujukan sebagai Generasi II, hakikatnya terlahir dari mereka yang kini rata-rata berumur 60 ke atas. Generasi berumur 60an ke atas ini, saya kategorikan sebagai Generasi I. Generasi I telah menempuhi pelbagai sengsara dalam hidup mereka. Dari rasa tidak mahu mewariskan bangsa yang hina di bumi sendiri ada di antara mereka yang sanggup mati di tangan musuh atas perjuangan mereka memerdekakan bangsa (contohnya adalah Rosli Dobi, Tok Janggut, Mat Kilau, Datok Bahaman, Sharif Masahor, bahkan Rentap).

(3) Generasi I adalah generasi yang turut sama menerima penderitaan akibat penjajahan. Mereka terhimpit hidup. Bertanam padi, jadi nelayan kecil, berburu, dihenyak pelbagai penyakit, bencana alam, hidup dengan penuh kepayahan dan kesusahan yang sudah tidak boleh diceritakan. Bila hujan, mungkin tidur malam terpaksa kesejukan dan basah kuyup kerana atap-atap dari nipah/rumbia/daun kelapa yang sudah bocor! Tiada siapa membantu mereka melainkan mereka sendiri dan takdir Tuhan. Bagi Generasi III dan IV (para cucu dan cicit Generasi I), segala cerita duka dan sengsara mereka adalah ibarat 'lakaran kartun' hanya untuk ditertawa dan 'dogengan yang mesti dilupakan'. Perkataan, "itu zaman nenek/atok, bukan zaman saya", sudah mulai biasa kita dengari (oleh Generasi I dan II). Kadang-kadang Generasi I menerima kata-kata itu, dengan senyum yang terpaksa, dan dengan hati mereka yang luka dan menangis! (Kita juga mungkin akan begitu 10-20 tahun nanti, bila kita sudah jadi penghuni 'Silver Hair Home'!)

(4) Atas kesedaran bahawa Generasi II (anak mereka) mesti hidup dengan lebih sempurna, maka Generasi I telah mendidik Generasi II dengan cara mereka tersendiri, tanpa ada rujukan kepada segala falsafah dan aturan formal. Penuh dengan cara mereka sendiri, dan selalunya keras, tegas, hand on, nyata!

(5) Generasi II, sempat melihat dan merasa sengsara Generasi I, dan mereka sempat berkaki ayam berjalan di atas lorong-lorong berlumpur dan jauh ke sekolah. Bila tak ada wang, biar hanya sekadar untuk membeli sepotong pensil atau buku rampaian, mereka mungkin terpaksa berjaja sayur dan kuih keliling kampung. Ada juga terpaksa berjual telur ayam. Sikap mereka cukup berhemat. Ke sekolah hanya dengan pakaian compang campeng, menahan perut dari rasa lapar. Pensil sepotong akan terus digunakan sehingga sudah sukar untuk dipegang! Namun beban hidup mereka jauh lebih mudah dari Generasi I yang hidup hanya ditentukan oleh mereka sendiri, sedang Generasi II, generasi pasca kemerdekaan, sudah mulai di sambut dengan dulang emas!

(6) Generasi II kini menduduki tempat yang hebat-hebat (dalam apa juga kedudukan)khususnya dalam sektor awam dan atau GLC. Kehidupan mereka jauh lebih hebat dari Generasi I. Maka atas kesadaran kepayahan yang telah mereka lalui, maka mereka mendidik Generasi III (anak-anak mereka) sudah dengan segala aturan yang agak liberal. Di mana mampu, mereka berusaha keras memberikan segala kesenangan kepada Generasi III. Generasi III (rata-rata dalam usia 17-35 tahun) ini sudah jauh dari mengerti tentang kepayahan Generasi I dan II. Juga mereka sudah semakin jauh dari mengerti tentang tututan sosial bangsa mereka. Kehidupan mereka kian ke arah sistem kapitalis, yang melihat kejayaan lebih kepada kejayaan sendiri-sendiri.

(7) Begitulah akhirnya bila Generasi III ini melahirkan Generasi IV (golongan belasan tahun). Generasi IV ini sudah tidak tahu bagaimana rupanya ayam. Mereka lebih kenal KFC. Mereka sudah tidak boleh berjalan kaki. Segala-galanya telah berubah dan menjadi mudah. Hidup mereka tidak mahu susah!

(8) Sikap Generasi III dan IV, sangat mementingkan yang mudah. Segala-galanya mahu mudah. Maka perjuangan mereka untuk bangsa, yang kebetulan sesuatu yang payah, adalah sesuatu yang tidak ingin mereka ceburi. Jika bangsa mahu dibela, pasti mereka serahkan tugas itu pada Kerajaan atau jika itu perlu, mereka hanya mahu apa yang akan mereka perolehi? Asasnya, kepentingan sendiri menjadi motivasi utama mereka. Persaingan Generasi III dan IV adalah tertumpu untuk melepaskan diri saja, tidaksekali-kali mementingkan kesatuan bangsa. Maka mereka sudah tidak berminat menganggotai mana-mana kesatuan yang mementingkan soal bangsa. Hidup mereka kian tertumpu kepada Kelab KFC/McD/StarBuck/Holywood Planet, CyberCafe, dsb

(9) Kini, bangsa kita sedang dicabar hebat. Bangsa kita kian tampak sebagai suatu bangsa yang hanya mahu makan gaji (awam dan atau swasta). Makan gaji itu mudah. Tak payah nak fikir susah-susah. Biar orang lain fikir bagaimana nak cari wang untuk bayar gaji kita. Pokoknya, kita telah menjadi bangsa yang kian suka lepas tangan. Sehingga, bila hak bangsa kita mulai dipersoalkan pun kita serahkan saja kepada orang lain membelanya. Kita lepas tangan sahaja.

(10) Di mana silapnya kita. Generasi I kerana mahu Generasi II tidak payah sebagaimana yang pernah mereka lalui, menyediakan sebaik mungkin kesenangan buat Generasi II. Kemudian sikap itu berterusan ke Generasi III. Bila sampai ke Generasi IV, mereka seperti sudah biasa untuk dijaga, digendong, ditatang. Mereka sudah jadi Generasi Bangsa yang lemah dan tidak mampu berdikari! Sikap dan kekentalan Generasi I sudah kian mati.

(11) Silapnya kita, Generasi I memperjuangkan kemerdekaan (namun tidak ada rencana terperinci bagaimana memanafaatkan kemerdekaan), sedang Generasi II tidak cepat menangkap kemerdekaan (mengatur strategi dan mengorak langkah berani mengisi kemerdekaan) dan Generasi III hanya ingin memerdekakan diri, dan Generasi IV pasti terjajah semula cuma dalam bentuk yang lain (bukan oleh penjajah asing tetapi rakan-rakan senegara yang lebih pantas dan berani) dan mungkin lebih payah untuk meloloskan (memerdekakan) diri akhirnya. Ini adalah kerana, sekali ini, jika kita tidak berani membataskan penjajahan ini, pasti tiada apa yang tinggal pada kita. Mungkin anak-isteri kita akan jadi teman tidur mereka!

(12) Hakikatnya, kita hanya ada gagasan politik dengan sangkaan politik menjamin segalanya. Kita tidak punya Pelan Ekonomi, Pelan Sosial dan Pelan Budaya yang mantap. Kita sudah terlalu silap kerana terlalu mendewakan politik dan lupa politik itu untuk apa dan bagaimana mencapai tujuan politik kita! Kita telah silap tidak kuat dalam memperjuangkan kemerdekaan ekonomi dan sosial kita. Kini kita terjerat. Apa yang sedang kita tunggu?

Kuching, Sarawak
26 July, 2009

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

4 comments:

Anonymous said...

Diantara mereka ada terselit segelintir orang kita yang berfikiran jauh dan menjadi pedagang yang berjaya. Bukan tidak ada namun masyarakat kita diperangkap oleh kelemahan bangsanya sendiri.

Jangan beli dari orang kita pon. Mun nyo kayo bukannyo maok nulong kitapon kelak. Sik macam cino time susah dapat kita advance ngan nyo.
Suasana begini menjadi sinonim di mana-manapun. Bangsa kita menjadikan "kata-kata tersebut" untuk menidakkan bangsa kita sendiri. Aku sebenarnya ingin melihat bangsaku maju dan berfikiran lebih terbuka. Setiapkali bersua dengan orang kampung setiapkali jua aku menyatakan sesuatu tentang perniagaan,koperasi dsbnya demi sebuah kemajuan bangsaku sendiri. "Bukan meracun tapi membuka minda sekalian bangsaku yang sudah berpuluh-puluh tahun mengkayakan bangsa lain...apakah yang telah dikembalikan kepada bangsa kita sendiri?"
-Andalusia-

Abdullah Chek Sahamat said...

Di desa itulah budayanya. Masyarakat kita nakkan kemudahan 'advance' yang sepatutnya difikir oleh para 'anakpribumi' yang menjaewat apa juga kedudukan di Bank dan Awam. Namun, sikap 'prejudis' kita pada bangsa sendiri, menyebabkan kita lupa keperlua terdesak mereka.
(2) Namun, dalam tahun 1984 saya telah mencuba tidak melayani kehendak 'advance' ini, melainkan benar-benar perlu umpamanya kerana keperluan persekolahan anak-anak atau kesusahan yang mendadak. Alhamdullilah usaha saya menampakkan hasil yang baik.
(3) Sama dalam tahun 2005 saya juga melakukan usaha yang sama di kampung yang lain. Alhadullilah, tiada siapa yang merunggut. Begitu juga di tahun 2007, satu lagi usaha yang sama saya jalankan. Sehingga kini, nampaknya masyarakat kita sudah dapat menerima hakikat 'advance' sudah tidak wujud lagi. Akibat usaha-usaha saya tersebut, kini, tawke-tawke yang dulu suka bagi 'advance' sudah jauh lebih kedekut.
(4) Usaha saya dibezakan atas niat membantu dan bukan mencari keuntungan besar atau kekayaan. Khidmat 'layanan bersopan' adalah senjata yang paling berkesan. Pengalaman ini saya perolehi semasa bekerja di Payless Shoe Store, Conoco Petrol Station, UCD Book Store di Denver pada 1997. Alhamdullilah, masyarakat kita sudah boleh membuka mata, dan mulai ada harga diri.
(5) Pokoknya...'adakah dikampung-kampung ada seseorang menganjur orang kita berniaga'....

Anonymous said...

Saya mempunyai seorang sahabat walaupun tidak berpendidikan tinggi.Sekolah rendahpun tidak tamat. Namun pemikirannya dalam perniagaan melampaui pemikiran orang-orang yang berpendidikan tinggi. Dia dan abangnya adalah diantara orang-orang yang mampu hidup dengan berniaga. Saya namakan dia nama sebagai 'ANDY' dan abangnya sebagai 'SAPUAN'.
Andy memulakan kehidupannya di bandaraya Kuching dengan gaji cukup makan selama beberapa tahun. Bermula berjalan kaki akhirnya dia mampu berkereta. Sebuah motosikal,sebuah kereta kancil dan sebuah van disamping kedai runcit yang menerima cash term sahaja tiada buku 555. Walaupun tiada pendidikan yang tinggi dia mampu meningkat tahap kehidupan dari tiada apa-apa kepada apa yang dimilikkinya sekarang. Memulakan hidupnya di bandaraya Kuching akhirnya dia kembali ke kampung dan berjaya. Apa yang penting apa saja yang boleh dibuat duit dia akan cari.
Manakala abangnya, seorang yang juga tidak tamat persekolahan. Namun berkeyakinan dalam bidang yang diceburinya. Sebagai seorang mekanik dan kini dia sebagai penjual alat-alat ganti motosikal dsbnya di kampung. Mencari keuntungan dimana orang lain belum lagi terfikirkannya. Inilah kisah benar 2 orang adik beradik yang berlaku di sebuah kampung. Satu saja yang diketahui sikap 'kedekut' menjadikannya mereka berjaya.

=Walikota=

Abdullah Chek Sahamat said...

Ayuh, tiada yang akan menyebabkan kita menangis tanda gembira hanya kerana orang-orang kita berjaya. Jangan sampai, kita terpaksa 'berperang saudara' untuk merebut hak kita, sedang kini, kita yang masih mampu, hanya 'berpeluk bulu' dan menjadi 'penonton setia'. Biar payah, jangan kita jadi bangsa keparat akhirnya!

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.