.

1/1/23 KUDRATKU, DARI PETANI KE PETANI ....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - January 09, 2023

Share

& Comment

Terlahir Petani:

Saya lahir di Kampong Terasi, Pendam (kini Sadong Jaya), Simunjan. Itu kira-kira pada 18 Feb., 1960 seperti tercatat pada Sijil Kelahiran saya. Pada 1967, bila saya memasuki Sekolah Rendah (Sg. Putin), saya rasa saya tidak mempunyai Sijil Kelahiran. Pada masa itu, Guru Besar sekolah berkenaan cukup mengerti akan kedhaifan anak bangsanya, sehingga biar tanpa Sijil Kelahiranpun beliau terima kemasukan ke sekolah. Maka pada zaman itu, sudah ada yang bujangan atau perawan; kira-kira betis sudah berbulupun masih dalam Darjah 1. Saya kira Sijil Kelahiran saya hanya dibuat setahun atau dua kemudian, bilamana saya berpindah ke Sekolah Abang Man di Simunjan.

(2) Sedari kecil, seingat saya, saya sering ke kebun bersama ibu dan ayah bertemankan abang serta bapa-emak saudara yang masih kecil-kecil di masa itu. Peranan saya mudah, tidak lain, sebagai anak nakal adalah berlari keliling bekejar-kejaran di padang jagung atau batas padi. Akibatnya, banyak anak jagung yang patah dan atau anak tanaman yang terbongkar kerana terjahan atau pijakan kami. Habuannya, saya sering mendapat tiot, cubitan dari ibu.  Saya memulakan alam persekolahan di SRK Sg Putin, sekitar 30 - 45 minit berjalan kaki dari Kg. Terasi, Kampung nenek sebelah ibu saya. Ayah dan ibu tinggal di Kampung Sedilo, Simunjan iaitu sekitar seharian jika berperahu untuk mudik, namun kini dengan terbinanya jalan Sadong Jaya-Simunjan, jarak dari Kg Terasi dan Kg Sedilo hanya sekitar 20 KM atau 20 minit perjalanan berkereta. 

(3) Biar tinggal bersama datuk, kehidupan saya tidaklah mudah. Lumrahnya datuk cukup memanjakan cucu. Namun kehidupan saya agak berlainan. Saya bukan cucu manjaan. Sebabnya, pertama datuk juga banyak cucu-cucu yang lain. Dalam masa yang sama datuk juga punya anak-anak yang masih kanak-kanak serta bersekolah. Datuk melayani kami secara saksama; keras dan tegas. Kini saya sedar, sikapnya yang sebegitu adalah agar kami bisa mandiri di suatu masa nanti. Sebagai masyarakat pendatang, lantaran kesemua keturunan saya adalah asalnya samada dari Indonesia dan atau Brunei, maka hidup kami perlu berusaha struggle yang lebih kuat berbanding dengan kalangan lain di masa itu. Kami tidak mendapat layanan istimewa berbanding rakyat yang lain. Umpamanya, kami tidak dibenarkan membuka tanah sesuka hati. Jadi kawasan perkampungan kami adalah agak terhad. Kami hanya boleh bertani secara kecil-kecilan dan atau perborohan kebunan.  Kami juga sukar untuk mendapat apa-apa pekerjaan di sektor awam. Ringkasnya, kehidupan di Kampung pada masa itu adalah serba kepayahan dalam kemewahan. Miskin saya kira bukan pengkelasan yang tepat untuk digunakan kepada masyarakat kampung pada masa itu. Kami tidak miskin. Makan cukup dan agak berkhasiat. Kediaman ada dan selesa. Kesihatan, dikira agak lumayan, jarang yang mendap[at penyakit berat-berat. Hiburan ada. Cuma wang agak payah untuk didapati. Segala yang ada susah untuk ditukar menjadi wang. Segala-galanya murah dan "tidak bernilai". 

(4) Saban hujung minggu nenek khasnya akan mengajak saya menemani beliau berkebun atau bertanam padi. Datuk pula lain hobbynya. Dia lebih suka berternak dan berkebun pisang. Ada ketikanya dia mengajak saya untuk bersamanya. Namun bila umur saya mencecah 8 tahun, saya tidak lagi duduk bersama datuk. Ayah mengambil saya untuk tinggal bersamanya di Kg Sedilo, Simunjan. Di sana saya akan lebih dekat bersama ayah dan ibu serta nenek di sebelah ayah. Mereka juga adalah petani. Cuma di Kampung Sedilo, keadaan tanahnya cukup berbeza dari di Kampung Terasi. Sedilo adalah tanah jenis lanar alluvial. Di Kampung Terasi adalah jenis gambut. Maka tanaman di Kampung Sedilo adalah lebih subur dan mempunyai daya pengeluaran yang lebih tinggi.

(5) Sedari kanak-kanak saya gemar berkebun khasnya menanam segala macam yang saya boleh jual untuk belanja sekolah. Saya sangat payah untuk meminta wang dari sesiapa biar untuk keperluan sekolah saya. Saya menanam sayur-sayuran, cili, tebu malah pokok buah-buahan seperi manga. Hasilnya, saya biasa jual secara borong ke Pekan Simunjan juga kilang papan KTS berdekatan. Saban minggu saya memperolehi antara RM1.50-2.00. Nilai ini cukup lumayan pada masa itu kerana kueh pau baru berharga lima sen. Dengan jajan 10 sen, kita dapat membeli kueh serta samada ais krim kepal atau bungkus. Saya tidak membelanjakan semua wang yang saya perolehi. Saya seringnya menabung dan bila Aildil Fitri menjelma, tabungan itu saya kongsi dengan seisi keluarga untuk membeli apa-apa yang kami perlukan buat meraikan Aidil Fitri. Seingat saya, sering pada setiap menjelang Aidil Fitri tabungan saya boleh mencecah sehingga RM50.00 - 70.00. Nilai Ringgit pada masa itu adalah sangat tinggi jadi sebahagian persediaan Aidil Fitri dapat kami tampung dengan tabungan saya tersebut. Nilai Ringgit pada masa itu adalah sekitar 40 sen U$D, berbanding hanya sekitar 22 sen U$D kini.

(6) Ringkasnya, kehidupan bertani dan payah adalah sebahagian dari diri saya. Saya sangat kurang meraikan kehidupan bermewah. Saya tidak tahu, kenapa namun sebegitulah condongnya kehidupan saya. Saya tidak gemar hidup di kota-kota. Malah jika berpergian ke luar negara khasnya untuk percutian, saya lebih gemar memilih untuk ke tempat-tempat agak mundur serta terpencil. Jikapun ke kota-kota besar, tetap saya akan mengambil waktu untuk menikmati nuansa terpinggir back alleys kota-kota sebegitu. Kehidupan sengsara ghettos menjadi bidang pemerhatian dan penilaian saya. Kenapa? Naluri saya adalah gemar yang susah dan payah. Mungkin salah satunya, saya cukup suka mengambil gambat foto-fotoan, pada kepayahan itu banyak seni serta tafsiran yang boleh kita garapkan. Juga yang payah dan susah itu meletakkan kaki saja jejak ke tanah serta kekal bersederhana.

Mimpi Hidup:

Saya kira saya tidak pernah mempunyai cita-cita besar dalam hidup. Paling-paling mengikut cerita dari nenek, saya pernah berjanji kepada ibu untuk menjadi D.O, Pegawai Daerah bila sudah besar nanti. Kenapa saya memilih jawatan itu, saya kira saya tidak pasti. Cuma mungkin pada masa itu, itulah Pembesar Daerah yan paling terkenal. Jurutera, Doktor, Peguam, dsb tidak saya ketahui. Saya masih ingat, bila memasuki Tingkatan Satu di Sekolah Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan, saya ditanya tentang cita-cita, saya terpinga-pinga tidak mengerti jawabannya. Rakan-rakan sedarjah menyebut segala kedudukan seperti akauntan, arkitek, pilot, dsb yang saya cukup tidak mengerti apa semua itu sebenarnya. Kerana saya tidak berpunya cita-cita, akhirnya saya menjadi bahan tertawa rakan-rakan sedarjah.

(2) Bertani, apakah itu kudrat saya? Mungkin dan itulah apa yang saya fikirkan dewasa ini. Cuma pada 1996, saya bersetuju melanjutkan pengajian saya dengan suatu azam bahawa saya ingin menjadi Perancang Pembangunan Ekonomi yang hebat. Saya memulakan kerjaya awam saya di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sejak 16 Okt., 1986. Selama tempoh 1986-1996, saya telah ditugaskan untuk mengurus pembangunan di sektor Pertanian dan Luar Bandar. Sebabnya, lantaran saya berasal dari luar bandar serta mempunyai kelulusan di bidang Botani. Namun, sekembali dari Pendidikan Lanjutan, saya telah diarah untuk mentadbir Bahagian Bintulu. Keadaan memerlukan saya untuk keluar dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada Okt., 1999. Semasa di Bintulu, selain dari mengurus hal-hal pentadbiran Bahagian, saya mengambil langkah aktif dalam membantu para pelabur di bidang perladangan khusus berkait menyelesaikan masalah mereka dengan masyarakat setempat. Bagi saya, perladangan adalah cara pantas untuk Sarawak dapat merubah struktur ekonomi luar bandar negeri tersebut.  Saya berada di Bintulu selama dua tahun iaitu pada 1 Januari 2002 saya telah ditukar kembali ke UPEN. Saya cukup senang hati dan sangat menghargai pengembalian saya ke UPEN. Inilah kira-kira cita-cita besar saya dan saya secara teknikal dan personaliti sememangnya telah menyediakan diri untuk memberi sumbangan besar dalam perancangan pembangunan ekonomi Sarawak melalui UPEN. Saya mengira specialty dan minat saya telah Allah makbulkan.  Namun hayat saya di UPEN tidaklah lama, kerana pada 16 Okt., 2002 saya telah diarah berpindah ke PELITA, sebuah GLC Negeri.

(3) Di PELITA, salah satu tanggungjawab saya yang paling besar adalah untuk mempercepatkan dan memperluaskan pelaburan dalam industri perladangan di Sarawak. Gerakkan ini adalah penting sebagai jalan pantas dalam membasmi kemiskinan di luar bandar khasnya dalam penyediaan alternatif pekerjaan dan pencairan aset tanah mereka, serta memberikan sokongan prasarana jalan yang sangat-sangat rakyat luar bandar perlukan. Tugas ini tidaklah mudah lantaran Sarawak masih pada tahap merangkak backyard dalam industri tersebut. PELITA telah ditugaskan untuk membangunkan tanah milik Kerajaan dan juga rakyat. Alhamdullilah berkat pengalaman selama hampir 11 tahun di UPEN serta dua tahun di R&DO Bintulu, membolehkan saya untuk berhubungan dan membawa masuk para pemain besar di sektor perladangan. Dari Sematan di hujung selatan membawa ke Lawas di hujung utara, PELITA telah dapat menghadirkan dirinya sebagai pengerak utama ekonomi luar bandar. Bagi tempoh 2002 ke 2011, usaha-uasah PELITA ini adalah sangat penting buat Sarawak, lantaran dalam tempoh tersebut, Kerajaan Negeri sedang dalam kedudukan kewangan yang agak "lemah". Saya mengambil langkah tegas dan meluas dalam memudahcara pihak swasta untuk terlibat secara agresif di sektor tersebut di Sarawak. PELITA telah mampu menjadi alternatif sebagai pengerak pembangunan ekonomi luar bandar pada masa itu. Saya memulakan tugas di PELITA pada 16 Okt., 2002 dan kemudian mengundur diri pada 31 Disembar 2011. 

(4) Mengimbau kembali, penglibatan saya secara langsung dan tidak langsung di sektor pertanian, dan bagaimana akhirnya saya memutuskan betapa inilah kudrat hidup dan In Shaa Allah kerjaya akhir saya, betapa pada 1974 tanpa sedar, saya telah menukilkan diri dan sumbangan saya di dalam sektor tersebut. Saya tidak ingat tarikh sebenarnya, namun pada tahun itu saya telah dipilih untuk mewakili Sekolah Menengah Rendah (SMR) Kuala Krai, Kelantan dalam sutau Pertandingan Syarahan dalam bahasa Inggeris di SMK Machang. Tajuk syarahan telah ditetapkan dan saya perlu memilih salah satu dari yang telah disediakan. Tajuk yang saya pilih adalah: If I have One Million Dollar. 

(5) Bukanlah saya seorang yang telah memilih tajuk yang sama, ada dua atau tiga lagi jika tidak silap saya. Namun isi syarahan mereka banyak menjurus di bidang perniagaan dan keselesaan hidup keluarga. Manakala inti panti syarahan saya adalah: "I'll have a farm. In the farm I have many things. I'll hired my Kampong folks to work and later be my partners. In this way, I could help to create jobs and expand my farm furher, so much so my money will continue to grow..." Berasaskan kebetulan ini, dan juga rentetan tanggungjawab saya di sektor berkenaan semasa saya di dalam perkhidmatan awam dan Public Listed Company pertama yang saya berkhidmat, maka saya yakin Allah mengkehendaki saya terus berada di sektor tersebut. Cuma saya bertanya, untuk apa

Sadar Tentang Ketentuan HIdup:

Ketentuan hidup kita, sukar untuk kita pastikan dengan tepat. Namun, kita juga harus mengerti akan tujuan hidup kita dari sudut kepentingan Allah. Banyak yang melihat tujuan hidup mereka dari sudut kepentingan sendiri. Dari sudut keilmuan Barat, itu benar. We must serve ourselve. Di sisi Allah, itu bukan yang seharusnya. Kita harus berbakti demi Allah, serve Allah and the purpose of our creation. Jadi untuk apa dan kenapa saya mesti menjadi pertani? Juga petani yang bagaimana? Seperti para pengenalan yang saya jelaskan di atas, saya dilahir dalam suasana petani, belajar dalam lingkungan pertanian iaitu di Kuala Krai, Kelantan (dengan estet getahnya) dan kemudian di Jitra, Kedah (dengan persawahannya) dan berkerja biar di UPEN, R&DO, GLC dan malah PLC, semuanya adalah di sektor berkenaan. Cuma dalam perkhidmatan PLC terkini saya lebih menjurus ke sektor perancangan bandar dan hartanah. Namun biar sebegitu, saya banyak menghabiskan masa di kebun. Sepertinya Allah katakan di dalam Al Quran, "Dia melantik Rasul dari kaumnya". Maka saya yakin, Allah melahirkan dan mendewasakan saya di sini (sekitaran pertanian), di dalam keadaan masyarakat setempat dan juga sekeling dan mungkin Negara, semua sedang tercari-cari formula bagaimana untuk mengangkat petani kecil agar dapat menikmati hidup yang lebih makmur dan sejahtera. Saya mengira, itulah tujuan kejadian, creation dan hidup purpose saya ini. 

(2) Sebelum ini, saya pernah ditawarkan peluang yang cukup luas. Pada penghujung 1998, saya pernah diundang untuk berkhidmat di bidang Perundingan Consultancy di Denver Colorado USA di atas Course Work yang saya buat terhadap sebuah kawasan terpinggir masyarakat Mexico Hispanic dan Hitam Black. Imbuhannya 10 kali lebih besar dari apa yang saya terima bila saya kembali berkhidmat dalam Kerajaan Sarawak. Saya memilih untuk kembali berkhidmat dengan Kerajaan Sarawak lantaran saya tidak mahu khianat terhadap rakyat Sarawak. Dengan wang rakyat saya pergi, maka kepada rakyat saya harus kembali berbakti. Sesungguhnya, melalui Course Work tersebut jugalah pada 1999 saya kemudian mengemukakan pandangan dalam caramana Kerajaan boleh mengangkat Kota Samarahan ke arah perkembangan yang lebih maju dan mantap. Taib menerima baik saranan tersebut dan merombak pelan dan pembangunan Kota Samarahan seperti adanya kini. Pada 2009, Sir MIcheal Somare, Perdana Menteri Papua New Guinea, telah menawarkan saya untuk membangun Unit Perancang Ekonomi buat Negaranya dan meminta saya untuk mengetuai Unit tersebut. Saya mencadangkan agar beliau mengemukakan undangan beliau itu kepada Taib Mahmud semasa lawatan rasmi beliau ke Sarawak sekitar 2010 (?). Namun Taib menahan lantaran dia memerlukan khidmat saya sehinggalah PRN 2011. Namun kemudian PNG terlalu bergolak sehingga Somare hilang kawalan. Selepas saya mengundur diri dari perkhidmatan awam, beberapa kenalan di Kuala Lumpur mengajak saya berpindah ke sana dan membantu mereka dalam mencari peluang pelaburan perladangan di luar Negara khasnya di Filipina, Kemboja, Papua New Guinea dan Indonesia. Tugasan saya di UPEN khususnya dalam keterlibatan langsung saya dalam BIMP EAGA dan SOSEK Malindo, cukup memberikan saya pengalaman luas tentang negara-negara ini. Namun entah, saya memilih untuk setia tidak mahu jauh dari masyarakat saya sendiri. Hakikatnya, saya tidaklah rapat sangat dengan sanak saudara malah masyarakat saya sendiri, namun jiwa saya ingin terus bersama mereka. Inilah, kuasa Allah, seperti kita memilih isteri, biar sejuta yang jelita dan anggun di depan mata, pada saat kita hendak beristeri, biasanya kita memilih baju pada badan sendiri. Maka dengan ini, saya yakin Allah menghendaki saya untuk jadi petani dan membina model pertanian impak tinggi kepada para petani kecil, In Shaa Allah.

(3) Sebetulnya, saya ingin untuk menjadi ahli politik, khasnya di peringkat Parlimen. Minat saya terhadap politik lahir sejak saya di peringkat Sekolah Menengah Rendah lagi. Pada masa itu saya gemar membaca biografi ahli-ahli politik tempatan dan luar negara. Saya mengira, saya boleh memberikan sumbangan yang lebih besar di peringkat Parlimen berbanding Negeri. Keinginan saya itu sehingga kini tidak pernah pudar. Namun keterlibatan serta kemahuan saya untuk berpolitik saya batasi pada jalan sederhana. Saya tidak gemar menonjolkan diri apa lagi bersikap hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. bagi saya, keredhaan Allah lebih penting dari berjaya dari hasil menjual diri. Mungkin, sifat diri saya bukan politician sejati, maka cita-cita itu sekadar angan-angan.

Langkah Pemula dan Kecundang:

Saya keluar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Jun 1984. Sebetulnya, saya harus graduated pada Jun 1983, cuma keperluan politik kampus pada masa itu memaksa saya untuk menangguhkan hantaran Thesis Tahun 4 bagi membolehkan saya berada di Kampus untuk tahun 1983/84. Dalam tempoh setahun itu, kerja saya tertumpu dalam membina gerakan politik kampus bagi menentang kalangan anti-establishment pada masa itu.

(2) Sekembali ke Kampung Terasi pada Jun 1984, saya tidak segera melamar sebarang pekerjaan seperti mana rakan-rakan saya yang lain. Saya hanya memaklumkan ke Jabatan Ketua Menteri, Bahagian Perjawatan bahawa saya telah tamat pengajian. Di kampung, nenek mempunyai sebidang tanah seluas 7 ekar penuh dangan tanaman kelapa, kopi, koko dan pisang serta pelbagai jenis buah-buahan. Biar mempunyai tanah yang agak luas, namun pendapatan nenek kurang dari RM100.00 sebulan. Datuk, ayah serta ibu pada masa itu telah lama kembali ke rahmatullah. Jadi saya tekad untuk memulih serta meningkatkan daya pengeluaran kebun nenek saya. Saya berharap ilmu Botani yang saya miliki boleh membantu serta kemudian jadi ikutan para sanak saudara petani yang lain. 

(3) Setiap hari dari seawal jam 7;00 saya sudah di kebun. Saya tebang pokok-pokok kopi yang sudah tua. Pokok-pokok pisang juga saya bunuh lantaran pisang tidak ada harga serta pasaran sangat terhad. Pokok-pokok koko yang sudah tua-tua saya pangkas bersih agar tunas-tunas baru keluar. Pada masa itu, kerja saya ini kelihat seperti orang gila. Datuk terdahulunya bersusah payah membina kebunan tersebut, kini sekembalinya saya dari Universiti, membunuh apa yang datuk telah bina. Namun saya yakin kegilaan saya itu In Shaa Allah ada rahmatnya.

(4) Saya suka merantau. Kebetulan suatu hari saya berjumpa dengan salah seorang petani Cina Kampung. Koko di kebunnya mengeluarkan banyak buah serta buah-buahnya cukup sihat dan lebat. Dia memberikan saya pertua. Saya ikuti pertuanya iaitu dengan memangkas segala dahan-dahan yang tidak akan menghasilkan buah. Dia juga memperkenalkan saya dengan teknik pembajaan mengunakan perapan ikan-ikan sisa yang boleh diperolehi dari para nelayan yang memasang jermal di persisiran laut. Kaedah pembajaan beliau, pada masa ini dikenali sebagai JADAM. Setelah bertungkus lumus sekitar enam bulan, akhirnya pada awal ,tahun 1985, kebun nenek mampu menghasilkan pendapatan sehingga mencecah ribuan dalam sebulan. Kejayaan ini sangat memerangjatkan masyarakat kampung dan mereka mulai meniru cara kerja saya kecuali dalam penghasilan baja "JADAM". Sebabnya, baunya cukup memualkan. Hasil dari itu, pada pertengahan 1985 saya membuka Kedai Runcit secara kooperasi di Kampung Terasi, yang tujuannya bukan sekadar untuk perniagaan runcit tetapi memasarkan hasil-hasil pertanian kampung langsung ke Kuching. Menariknya, pada masa itu saya cuma mampu mengumpul sekitar RM2,500.00 sebagai modal pusingan. Biarpun dengan modal yang cukup kecil, berkat kepercayaan masyarakat kampung, sebetulnya Kooperasi Kg. Terasi pada masa itu mampu menjadi perantaraan perniagaan Kampung-Pasaran dengan jayanya.

(5) Juga pada akhir 1985, saya memajak sebidang tanah seluas 20 ekar di Tg Tanglung, Simunjan untuk menanam koko.  Koko perlukan pokok naungan. Kelapa yang sudah 10 kaki tinggi merupakan pokok naungan yang paling sesuai. Makanya, banyak kebun kelapa sering ditumpangsari dengan koko pada masa itu. namun, tanah pajakan saya adalah tanah lapang yang tiada apa-apa pokok. Ada saranan agar saya terlebih daulu menanam pokok Acasia sebagai naungan. Namun perkiraan saya, Acasia tidak mendatang hasil apa-apa. Saya dengan berani menanam pokok pisang kapas atau kapok pada jarak 30 kaki persegi. Hasil pisang saya boleh jual sekitar 9 bulan kemudian sementara menanti koko matang dalam 30 - 36 bulan selepas ditanam. Sekali lagi cara saya ini cukup "membingungkan " masyarakat setempat. "Kerja gila. Kerja yang orang tak pernah buat, dia buat", sebegitulah tempelak kebanyakan orang terhadap saya. namun perkiraan saya lain dan saya yakin saya pasti betul.

(6) Sekitar Jun 1986, saya telah dipanggil untuk temuduga jawatan Pegawai Tadbir Negeri atau dalam singkatan Inggerisnya SAO. Inilah jawatan yang saya nanti-nanti lantaran untuk mendaki ke DO, saya harus menjawat jawatan SAO dahulu. Saya lulus temuduga, dan diperlukan melapur diri ke UPEN, JKM pada Julai 1986. Namun kerana perkhidmatan pos agak kurang cekap, saya hanya menerima surat panggilan melapur diri pada Septembar 1986. Jika mengikut tatcara perjawatan sebenar, maka saya sudah dianggap sebagai menolak tawaran tersebut lantaran tidak melapur diri pada tarikh yang diperlukan. Entah apa gilanya saya, biar telah mendapat surat panggilan yang telah luput, saya tekad mengambil keputusan untuk membantu Bujang Ulis dalam kempen PRU 1986 di kawasan Simunjan, kini Batang Sadong. Tugas saya selama dua minggu adalah untuk mengisi Form E, kemudian membayar RM15.00 bagi setiap pengundi. Dua minggu penuh saya meniti dari Rumah Panjng ke Rumah Panjang di Hulu Simunjan untuk tugasan tersebut. Saban hari say kira, saya membayar sekitar RM20,000.00-30,000.00. Bujang Hj Ulis banyak membantu saya semasa saya mengurus Persatuan Anak Negeri Sarawak di UKM dulu. Beliau adalah satu-satunya sumber untuk saya mendapat sokongan kewangan bagi membantu para pelajar Sarawak yang tidak mendapat biasiswa dan menghadapi masalah kewangan.

(7) Biarpun saya telah bekerja di Kuching, setiap petang Jumaat saya akan ke kebun di Simunjan. Pada masa itu jalan Kuching-Simunjan masih tidak sempurna, namun kerana saya mengunakan motorsikal Honda Scramble 250 CC, maka jalan tanah dan becak khasnya di kawasan Hulu Simunjan tidak menjadi masalah kepada saya. Sebegitulah saya saban minggu, sehingga pada sekitar Julai 1988 suatu banjir besar telah berlaku dan bund keliling kebun saya pecah dan kebun dilimpahi air masin untuk sekitar 5-7 hari. Semua pokok koko yang telah mulai mengeluarkan hasil mati. Kerja keras selama tiga tahun, serta wang yang tidak sedikit lesap dalam sekelip mata. Saya menangis sendiri sambil bertanya kepada Allah: "Kenapa, apa yang Engkau mahukan dari aku?" Akhirnya, kerja di Pejabat semakin berat, saya jadi "layu untuk meneruskan cita-cita bertani saya".

Kedua kalinya Juga Langkah Patah:


#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.