.

11/10/13 BETULKAH JALAN MEMPERKASAKAN UMNO.....kealpaan sekali lagi sedang melanda?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - October 21, 2013

Share

& Comment

Seronok juga melihat perjalanan dan hasil dari Pemilihan Kepimpinan UMNO 2013 ini yang berakhir Sabtu 19 Okt., 2013 lepas. Sekurang-kurangnya Syabas dan Tahniah kita harus ucapkan kepada Mohd Najib Abdul Razak kerana telah sedikit merakyatkan UMNO. Setidak-tidaknya, Kepimpinan Utama UMNO telah ditentukan oleh 150,000 (?) ahli di peringkat Bahagian dan Cawangan, tidak hanya oleh sekitar 9,000 (?) perwakilan seperti selalunya. Cuma, bila kita melihat angka 150,000 orang ahli UMNO yang menentukan kepemimpinan UMNO yang menjadi tunggak kepada Kerajaan Malaysia kini, saya tidak pasti apakah 150,000 itu suatu Representative Sampling dalam perjalanan sebenar pemurnian pemilihan kepimpinan setidak-tidaknya bagi Umat Melayu apa lagi bagi Negara dan atau Islam. Bagi UMNO mungkin hsrat ini sebahagian besarnya telah tercapai, tetapi buat Umat Melayu, Negara dan Islam saya masih banyak keraguan. Walau bagaimanapun, kita perlu memberi Najib peluang untuk cuba memperbaiki keadaan, dan sekali lagi syabas atas usaha dan kemahuan pemulanya.

(2) Saya berkira, pembaharuan transformasi tulin yang harus Najib usahakan keras adalah merombak sistem dan struktur keahlian UMNO. Ahli-ahli UMNO harus benar-benar mencermin dan mewakili Umat Melayu dan atau Islam di Negara ini. Segenap lapisan dan kepentingan Umat Melayu dan atau Islam di Negara ini harus  diwakili secara saksama equitable di dalam UMNO. UMNO tidak boleh sekadar menjadi a Political Club. Keterbukaan harus menjadi tunjang kepada UMNO. Untuk mencapai ke tahap sebegitu bukanlah mudah, segalanya tergantung kepada corak dan gaya kepimpinan di dalam UMNO itu sendiri. Jika corak dan gaya kepimpinan adalah selaras dengan jiwa dan kehendak Umat Melayu dan atau Islam, maka tiada halangan bagi UMNO untuk mendapatkan kepelbagaian tulin di dalam keahlian UMNO. Kepelbagaian tulin dan sifat representative di dalam keahlian UMNO adalah sangat penting untuk secara terus menerus memperkasa dan menjamin kesesuaian ‘relevant’ UMNO zaman berzaman. UMNO yang perkasa harus dilihat dari sudut kesesuaian UMNO dalam sebarang keadaan dan masa dalam memperkasakan Melayu, Negara dan penerapan menyeluruh sistem Islam. Keahlian UMNO tidak sekali-kali harus dipersempitkan hanya kepada golongan penyokong tertentu sahaja. Sebetulnya saya masih agak ragu-ragu tentang sifat dan corak kepelbagaian dan representative dalam keahlian UMNO. Saya melihat UMNO masih terbelenggu sebagai another version of a Club

(3) Perkara kedua yang sangat menarik dalam Pemilihan UMNO 2013 ini adalah hasil dari merakyatkan perjalanan pemilihan itu sendiri. Seperti terdapat satu corak yang jelas tentang tokoh-tokoh yang terpilih khusus di peringkat Naib Presiden dan Ketua-Ketua Sayap. Ahmad Zahid Hamidi, Shafiee Apdal, Hishamuddin Husein, Sharizat Jalil, Khairi Jamaluddin, dan Sharin (?) telah terpilih secara jelas untuk mendokong kerusi-kerusi Naib Presiden dan Ketua-ketua Sayap. Pertama, mereka ini kelihatan boleh bercakap, berani untuk bercakap, dan selalu bercakap. Ahli-ahli UMNO seperti sedang memberi isyarat, betapa pemimpin mereka harus ada keberanian untuk bersuara dan bertindak. Kebetulan, masalah keselamatan (potforlio Zahid dan Hishamuddin), agihan kekayaan (potforlio Mustapha Mohammed), pembangunan luar bandar (potforlio Shafiee) serta masalah remaja (potforlio Khairi) dan kekeluargaan adalah isu-isu pokok bagi Umat Melayu. Maka tidak hairan mereka telah melontarkan sokongan jelas kepada mereka ini, khusus yang menjawat potforlio Kementerian berkaitan. Sesungguhnya, kedudukan mereka ini di dalam kabinet serta tampak kesungguhan mereka dalam menjalankan tugas menjadi ukuran penting ahli-ahli UMNO dalam pemilihan tersebut. Apakah mereka ini kemudian setelah terpilih bukan sekadar terus berani bersuara dan bertindak, apakah mereka juga akan jujur dan punya jati diri kental sebagai pembela Melayu dan Islam sebenar. Saya bersyukur, dan mudah-mudahan Allah akan terus melimpahkan taufik dan hidayahNya kepada Mustapha Mohammed, ahli Majlis Tertinggi (MT) yang sudah dua penggal (?) mengekalkan sebagai calun paling baik marking score, agar terus jujur, bijak dan bekerja keras. Setidak-tidaknya saya bersyukur kerana dia melihat kemenangan besarnya adalah sebuah Amanah Allah kepada dirinya. Yang lain, saya belum mendengar dan merasa kata hati mereka.

(4) Namun satu kekosongan jelas telah terjana hasil Pemilihan Kepimpinan UMNO kali ini, iaitu ketiadaan golongan Islami dan Budayawan Melayu. Golongan ini sebetulnya kian terpinggir di akhir-akhir kepimpinan Mahathir. Cuma Mahathir ada cara tersendiri untuk mengembalikan peranan golongan Islami biarpun di kalangan Budayawan, terus terpinggir. Apa sudah jadi dengan mereka ini? Adakah mereka tersingkir kerana Islam dan atau Budaya sudah bukan menjadi asas perjuangan UMNO? Atau mereka sebetulnya sudah tersingkir oleh zaman? Saya lebih yakin kepada masalah terkemudian, iaitu golongan ini telah disingkirkan oleh zaman. Kenapa? Banyak pasti berkata, inilah perubahan selera golongan kini, iaitu asakan golongan muda. Apakah ini benar? Saya tidak yakin sebegitu. Yang saya lihat adalah, golongan ini masih jumud. Mereka masih melihat dan memperlakukan Islam dan atau Budaya dalam cara yang jumud. Mereka masih belum boleh membawa Islam dan Budaya keluar dari persoalan ritual ke jalan Adeen sebetulnya. Sedihnya, saya mulai melihat golongan Islami khususnya kian menjadi sekadar alatan untuk mempertahankan UMNO dari sebagai penyuluh hakiki jalan kesejahteraan dan kemakmuran Ummah. Mereka sudah tidak mampu untuk mengenenggahkan Islam dan atau Budaya sebagai wadah memperkasakan Umat Melayu serta jalan terbaik bagi mengatasi pemasalah-pemasalan Umat Melayu terkini dan ke depan. Saya ingin melihat bagaimana agaknya Najib akan mengisi kelompangan ini, dan melihat ini, sebagai satu sebab berterusan kepada pelbagai arus “gerakan kebangkitan Islam dan Melayu” khususnya dari kalangan di seberang jalan biar pada hakikatnya, segalanya adalah sekadar perjuangan wayang kulit dan atau picisan bermusim.

(5) Saya menjangka, ahli-ahli UMNO sudah melekakan pemimpin mereka dari persoalan Islami dan Budaya. Mereka sepertinya sudah dimakan Sumpahan Mahathir, Melayu Mudah Lupa, betapa kekalahan di Kelantan dan Selangor (teruk), kemenangan tipis di Trengganu dan Perak, kemunculan asakan PAS di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, juga kian menular di Pahang dalam PRU13 lepas adalah warning betapa Umat Melayu mahukan kebangkitan Melayu lewat Islam. UMNO dalam PRU13 memang menang banyak kerusi, namun undi popularity Melayu terhadap UMNO tetap berkurang. Sesungguhnya ahli-ahli UMNO sudah lupa, betapa dalam PRU13 lepas, popularity vote untuk UMNO oleh Umat Melayu telah berkurangan hebat. Saya yakin, akan muncul dalam tempoh 5-10 tahun lagi satu gerakan Islami Melayu yang serasi dengan zaman, yang akan menjadi arus lebih kuat untuk mengoncang jika tidak melemaskan UMNO. Jika ini tidak Najib sedari, penerimaan Rakyat terhadap UMNO akan terus merosot biar UMNO secara pribadinya adalah kuat. Untuk apa UMNO yang kuat, kuat sekadar kepada UMNO tetapi tidak mendapat tempat di hati Melayu dan Rakyat secara keseluruhan? Saya khuathir UMNO akan menjadi Sang Singa Jantan Tua kuat mengaum, namun kudratnya kian luput tanpa dia sadari sejujurnya!

(6) Juga tidak kurang yang mengeluarkan comforting statement khusus buat Mukriz Mahathir, yang punya kemungkinan besar untuk seri dengan Hishamuddin jika Ali Rustam dan Isa Samad tidak bertanding. Sebabnya, saya menduga adalah kerana Family Factor, ie Mahathir, Najib bersaudara, Rosmah sekampung, dan kekuncuan. Sebetulnya, saya mempunyai harapan tinggi untuk Mukriz membuktikan kebijaksanaannya untuk mengeluarkan Kedah dari jatidiri Kemiskinan dan Keterbelakangan dalam banyak bidang. Seharusnya itulah tumpuan Mukriz sekurang-kurangnya untuk lima tahun mendatang ini. Dia seharusnya tidak perlu kalut untuk berebut kedudukan di dalam UMNO. Kedudukannya sebagai Menteri Besar (MB) Kedah harus dia pergunakan sepenuhnya untuk membuktikan bakti dan kesan kepimpinannya. Bukan hendak bodek, Mukriz perlu belajar dari Taib Mahmud dan juga Mahathir Mohammed untuk berdiri membina kekuatan sendiri. Sarawak dulu juga miskin dan hina. Sama halnya Malaysia di mata dunia sebelum 1990an. Jika Taib Mahmud mahu, dia boleh membawa PBB ke dalam UMNO dan pasti dia mempunyai ketokohan untuk menjadi Perdana Menteri. Namun dia memilih untuk terus hanya berbakti sepenuhnya kepada Sarawak, dan membina kekuatan sendiri sebegitu. Jika betul gerak dan caranya, Mukriz boleh meraih kemenangan tebing kata orang Sarawak jika dia mampu mengeluarkan Kedah dari sepertinya Sumpahan Raja Bersiong sebagai the poor club. Sesungguhnya jika Mukriz dapat merobah Kedah dengan baik, bukan sekadar di bidang ekonomi, juga dari sudut KeIslaman dan KeMelayuan, dia akan meraih penghormatan besar dari Melayu di Kelantan, Perak, Seberang Prai (Tanjung secara keseluruhan) dan pastinya Perlis. Saya yakin Melayu Negeri Sembilan dan Johor yang kuat kepada Budaya, akan turut berpihak kepadanya kemudian. Bagi saya, dan mudah-mudahan Allah melimpahkan Taufik dan Hidayah kepada Mukriz agar dia akan menjadi Model sebagai Corpoarte Malay Muslim Leader. Saya yakin dia mampu berbuat sebegitu. InsyaAllah.

(7) Sesungguhnya, Muhammad SAW serta para Khalifah Arasyidin, mereka tersangat rindu untuk mati syahid. Mereka suka untuk berjuang buat mengembang dan mempertahankan Islam. Namun, kebijaksanaan memaksa mereka untuk lebih banyak berada di Madinah dari berpetualangan, dan ternyata itu memberikan mereka kemenangan yang jauh lebih besar. Saya menjangka, Allah itu MahaHebat IlmuNya, agar menjadi penelitian dan teladan manusia-manusia selanjutnya. Saya berkira Muhammad Taib, juga Rahim Tambi Chik, dan apa lagi Harun Idris, dulunya mereka mendapat tempat ke dalam Naib Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO adalah lewat pengorbanan besar mereka kepada Negeri dulu dari berebut di dalam UMNO. Saya berkira, dengan Mike Tyson Factor maka PKR dapat mengalahkan UMNO dengan lebih teruk di Selangor dalam PRU13 lepas. Super Mokth iaitu Mokthar Dahari punya keupayaan untuk bermain dengan kelab-kelab bolan antarabangsa, namun dia memilih untuk hanya setia kepada Selangor dan Malaysia. Dia kekal hebat kerana itu berbanding dengan pemian-pemain kini yang mengejar nama dan kekayaan cepat. Sesungguhnya sedikit masa dulu, saya pernah menulis, Ali Rustam harus memimpin dan memajukan Melaka dengan hebat dan tidak perlu untuk bermimpi ke Pusat. Ternyata, perubahan niat dari perhitungan wajar mengadaikan dirinya, juga buat Ghani Othman. Ini bukan soal panglima atau tidak panglima ini adalah soal kebijaksanaan. Jebat dan Tuah, jika keduanya dapat menggunakan kepala, saya pasti keSultanan Melayu akan berbeza dari struktur dan cirinya sekarang ini. Inilah teladan Islami dan Budaya yang Mukriz dan UMNO perlu pelajari dan hayati.

Terasi, Simunjan, Sarawak
21 Okt., 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Anonymous said...

Teguran membina....corak pemikiran yang patut dikaji oleh Pemimpin terlibat. Tahniah saudara.

Akal manusia suka akan ilmu pengetahuan. Fitrah manusia begitu,namun tak ramai seperti Mahathir atau seperti saudara sendiri....mampu menulis ,berhujah memberi pendapat begitu. Saya mengikuti tulisan saudara....

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.