.

9/3/13 ASAL TERBANGUN DARUL SOTONG.....seloka buat hiburan yang tak ada kerja! (revisited)

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 16, 2013

Share

& Comment

Maka tersebutlah al-kisah akan sebuah negeri bernama Darul Tunggal, di pertengahan jalan Matahari Terbenam dan Terbit. Di tengah-tengah dunia sebetulnya. Di sana bertahta seorang Khalifah yang tersangat masyur kerana hebat keprihatinannya kepada hamba rakyat. Wajahnya tampan. Tubuhnya tegap. Bicaranya perkasa menawan meyakinkan. Saat bangkit saja mentari, pasti ke jendela Singhasana baginda berdiri bersama Permaisuri Mayang Sari dan segala Menteri serta Pembesar Negeri . Baginda menabur bergantng-gantang dinar kepada segala hamba sahaya buat belanja ke Pasar. Bukan kepalang asyik baginda menatap wajah-wajah rakyat sahaya yang girang berebut segala sedekah, saban hari di setiap pagi. Hiruk pikuk rakyat berebutan beralun berombak-ombak dalam sepoi-sepoi dingin pagi bagai nyanyian tasbih memuja muji kedengarannya.  "Alhamdullilah. Shukran-sukran. SubhannaAllah. Dirgahayu AmirulMukminin. Selamatkan Khalifah kami." Sebegitulah sepertinya nyanyian doa rakyat dalam berebut berasak-asak mahukan lebih. Baginda tersenyum puas. Wajah Permaisuri lagi menguntum harum semerbak saat melihat baginda yang girang tidak kepalang. Kemudian, amat enak santapan pagi baginda bersama Permaisuri dan para Menteri. Baginda gembira lantaran rakyat sehaya semua juga kenyang mendapat apa yang wajar. Di wajah para pedagang di Pasar juga sangat harum senyum bagai kembang matahari lantaran laris akan segala jualan. Pokoknya, seluruh Negeri, saat paginya, adalah diselimuti senyum dan girang mengharum di atas kemurahan dan keprihatinan baginda Khalifah.

(2) Namun, sejak akhir-akhir ini, baginda tersangat berdukacita.  Sering kemurungan. Seperti hari hujan tak hujan. Mendung selalu. Bagai tertakdir baginda tiada zuriat. Sudah hampir empat abad baginda dan Permaisuri bertarung bersengama, tidak kira siang tidak kira malam, tidak kira dini hari tidak kira tengah hari, berhempas pulas melibas-libas bagai belayar di samudera ganas, namun tetap juga hajat tidak kesampaian.  Biar lelah tercunggap-cunggap, bagai belacak lelah berkejaran di lumpur becak, namun setiap akhir purnama, tetap Permaisuri berdatang kain. Biar telah habis Hutan Herba Tongkat Ali ditebang lalu dibawa masuk bertongkang-tongkang dari seluruh Nusantara Melayu untuk membantu tetap tidak berhasil. Kopi Tanah Jawa juga sudah habis terkarang buat adunan. Apa lagi kopi Arab, semuanya sudah kehabisan. Biawak dap Arab sudah berkawah-kawah dijadikan minyak urutan, namun tetap sama segalanya. Apa lagi dinamakan ikan haruan, jadi santapan agar perkasa sang sperma berenang membenih, biar sudah kering segala sungai ditimba, tetap baginda terus dirundung kecewa. Paling hebat, di Negeri Gajah Putih, telah beribu-ribu para gajah berbaris menghantar Kacip Siti Fatimah, namun baginda dan Permaisuri tetap lemah. Apakah kewalahan yang membantai diri dan Permaisuri? Usia semakin menghambat sore. Tirai malam kian berlabuh. Ganteng tubuh semakin layu mengejar malam. Baginda bukan seperti kelapa tua, kian menua kian kentel santannya. Begitu juga sang Permaisuri Mayang Sari, harum mayangnya sudah tidak asli. Sarinya juga sudah kian kering tidak bermadu. Mayang kian kering bagai kembang kelapa tidak menjadi. Akibat tekanan kekecewaan, baginda kian menjadi sotong tanpa air, kian layu, kian lemah. Lembek. Namun, keprihatinan tentang nasib Negeri dan rakyat tidak pernah lekang dari fikiran baginda. Saban hari baginda terus berfikir akan penganti diri jika tidak teman sama mentadbir Negeri. Siapa?

(2) Apa lagi, kerabat DiRaja, rakyat sahaya, kerana tersangat baginda sayangi, manjakan, timangi,susui, suapi, sudah kian tidak menjadi lelaki. Semua kian enak di suapi dari mencari sendiri. Kerana enak disusui, kini sudah kian berdada tinggi, bukan keras, lembut mulus mengalah biar milik Permaisuri. Para lelaki Darul Tunggal kian lembut-lembut belaka. Alahai kian menjadi lemah gemalai. Sebahagian sudah jalan melengok-lenggok, bagai itik bunting sarat hendak bertelur. Ramai juga kian jinjiang bagai zirafah, yang saat larinya gemalai bagai liukan pohon-pohon cemara dihembus bayu petang. Tidak kurang banyak bagai kuda belang, ramping menonggek pingul bagai kerengga bunting tidak menjadi. Sebahagian bagai burung unta tidak berbulu, tidak bersayap, togel terkehel-kehel. Ah. Rakyat baginda kian banyak ayu-ayu menawan, sukar mencari yang ganteng perkasa. Pokoknya, Darul Tunggal sudah penuh dengan lelaki gemalai. Jiwa mereka dara namun kelangkangnya lelaki. Atas kepingin menuruti hati, terjadilah mereka dara-lelaki, lalu atas nasihat Pendaftar Negeri, maka tergolong mereka sebagai manusia  dara-lelaki, lalu disingkat menjadi dara-i. Dulu, sangat banyak bernama Abdul Rahman, paling gemar bekerja keras, paling dermawan, kini sudah menjadi Siti Rahmah lalu entah dari mana akalnya kian sudah menjadi Mamah. Mungkin gemarnya sudah berubah, kini sentiasa memamah. Dulu banyak yang bernama Abdul Rahim yang paling suka berbakti, memberi, kini sudah jadi Siti Rahimah lalu bertukar jadi Mimie. Pokoknya, Abdul sudah kian berganti Siti. Baginda sudah tidak kenal yang mana lelaki dan yang mana perempuan, melainkan permaisurinya yang garang tetapi kian merayap bagai nenek kebayan. Semua kelihatan sama. Semua mendada tapi jalanya bagai sotong di air cetek. Watak-watak lembut rakyatnya telah menambah gusar tidak kepalangnya baginda. "Gerangan celaka apa mungkin akan menimpa Darul Tunggal ini saat beta mangkat nanti" gerutu baginda saat melihat para rakyat dara-i berlimpah saban hari menadah tangan meminta barakah, tangan berbelit-belit benar-benar bagai sotong naik ke darat. "Kenapakah rakyat beta jadi begini? Apakah obat harus dicari buat memperbaiki segala?" keluh baginda selalunya. Namun, biar para Menteri dan Pembesar Negeri mendengar akan derita batin baginda, semua hanya tersentum-senyum juga bagai sotong gemalai. Ada yang berani mengaju: "Bairkanlah sebegitu Ya AmirulMukminin. Bukankah lebih mudah buat AmirulMukminin memilih tukang pijet, dayang bersenandung, saat Ya AmirulMukminin kelelahan".

(3) Para memanda Menteri dan Pembesar Negeri, serupa saja gayanya. Semua berkerubut berbungkus jubah-jubah hitam. Jubah-jubah itu juga sudah kian berbunga-bunga. Bermanik-manik. Gemerlapan. Alahai, jika jubah mereka ditelanjangkan, pasti mereka bertempiran berdekap tangan di celah kangkang belarian berkepitan, benar-benar bagai anak zirafah kelaparan susu. Di antara mereka dan jubah-jubah itu, kosong seperti tiada perantaraannya. Apa mungkin sebegitu, atau mereka sedang menyembunyi tentang adanya keberkurangan mereka? Baginda tidak pasti. Anih, tidak sekali-kali mungkin mereka membuka langkah persilatan menampar lalu menendang menerajang. Paling-paling menjerit "apocot....aduiiiiiii...maluuuu...ngeeek ngeekk" panjang bagai laungan keldai sedang gian di pagi hari. Gusar baginda bertambah-tambah. Kian hari berlalu kian baginda bertambah gundah. Saban malam baginda menyamar keluar menyelidik kalau-kalau ada di antara rakyatnya yang benar-benar lelaki, namun biar telah merayap mengintip ke seluruh Negeri, tetap harum gemalai juga rakyat yang temui. Tidak sekadar itu, di setiap sholat, baginda menadah tangan memuji merayu kepada Allah, memohon didatangkan biar hanya seorang lelaki dari rakyatnya untuk diangkat menjadi Timbalan Khalifah, namun kini baginda sudah lelah dan mengalah. Permaisuri Mayang Sari saban hari sudah kian seperti pohon gunung merangas yang menanti masa mahu tumbang merata tanah. Tidak mungkin ada zuriat akan terlahir dari Sang Permaisuri Mayang Sari yang sudah keras mengering sarinya. Saat sebegitu, mana mungkin belalai rama-rama bisa menerobos. Bahkan kumbang badakpun enggan hinggap. Doa apa lagi yang harus dia panjatkan. Doa Ibrahim AS, doa Daud AS, bahkan kesabaran Khidir AS juga telah baginda usahakan bertahun-tahun kelelahan, semuanya, menuju jalan polos. Baginda kian menjejak sepertinya Yunus AS kecewa dan ingin menghanyut diri. Namun baginda ingat, baginda bukan Nabi, bukan Rasul, apa mungkin tangan Allah semudahnya merengkuh kasih buatnya.

(4) Namun, kudrat Allah, MahaKasihNya kepada UmatNya sangat berlimpah, di suatu malam sepi, dalam lena bermimpilah baginda, bertimbun telur-telur ayam bergolek bergelinding mengeliling baginda didatangkan oleh seekor ayam jantan. "SubhannaAllah. Alhamdullilah" ucap syukur baginda saat bangkit separuh sadar. Alang kepalang girang di hati. Baginda yakin, Allah telah menunjukkan jalan buatnya. Namun, apa maksud mimpi itu? Maka dititah Nujum DiRaja yang sikapnya seperti Belalang Sembah, juga lembut gemalai, biar tubuh gagah tegap-tegap, segera mengadap. Itulah Nujum Pak Belalang namanya. Dia berdatang sembah tergopoh gapah mengelabah. "Mampus aku. Apa pula yang hendak aku kelentong kepada baginda Khalifah kali ini" fikir Pak Nujum yang sebetulnya tidak tahu apa sebenarnya setiap maksud kata-kata rungkaian nujumnya. Dia sekadar bijak bermain madah. Sedang maksud sebenar segala nujumnya, tidak sebetulnya seperti apa yang dimaksudkan. Dia berjalan mundar mandir bagai ayam sedang menanti taburan beras atau padi di laman. Kepalannya terangguk-angguk ada ketika menyerupa kepala ayam mengantuk, ada ketika menyerupa burung berlatuk tika sibuk menebuk sarang dipunggor teguh. Sesekali seperti itik hendak mengawan. Sesekali bagai burung dara sedang biang. Khalifah memerhati terus. Matanya melotot bulat. Dahinya berkedut-kedut, semakin lama semakin kencang. "Bijak-bijak. Ahli Nujum beta sememangnya sangat bijak" tiba-tiba Khalifah berteriak. Pak Nujum seperti selalu menyeringai senyum tanda setuju biar tidak tahu apa yang disetujunya. Para Menteri dan Pembesar-pembesar Negeri lainnya juga bangun bertepuk shukran muji-muji kebijaksanaan Nujum Pak Belalang. "Bijak kepala hotak nenek engkau orang" bisik hati Sang Nujum bila melihat kebodohan para Menteri dan Pembesar Negeri turut sejutu tanpa tahu apanya. Sebetulnya, dia belumpun tahu akan tafsiran mimpi baginda Khalifah. "Biarkan. Semua bodoh. Asal saja aku dapat seguni beras, sudah cukup untuk hidup sebulan. Yang penting aku hidup. Mereka terus bodoh, ya masa bodoh!" bisik terus hati Nujum Pak Belalang lalu melangkah pulang bersiulan ke gubuk di pinggir hutan di hujung Kampung.

(5) Baginda Khalifah tidak membuang masa. "Memanda Menteri! Kumpulkan semua ayam-ayam dari seluruh pelusuk Negeri. Buatkan reban. Suruh semua para khadam kumpulkan semua telur setiap harinya selama tiga puloh hari." perintah baginda tegas. "Cepat! Jalan terkedek-kedek macam itik!" teriak baginda saat melihat memanda Perdana Menteri masih terkebel-kebel bagai cicak termakan kapur. "Auuu. Cepatlah jalan macam pondan. Dara-i sungguh!" bentak Perdana Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri yang sedang mengemut jari berjalan lengang lengok di depannya. Khaifah tersenyum puas. Bijak. Memang bijak Nujum DiRaja. Benar-benar seorang ahli fikir. Jika bukan kerana juga lembut gemalainya dia, pasti Nujum DiRajalah paling sesuai mengantikan baginda. Biar tubuhnya sotong, namun otaknya tetap otak ular kapak. "Ya. Rakyat 'lelaki' beta semuanya jadi lembut-lembut kerana kekurangan telur. Mereka mesti diberi cukup telur. Mereka mesti makan lebih telur agar menjadi kuat dan gagah" bisik baginda tersenyum puas lebar bagai Kambing Bor Jantan sedang birahi. "Tapi, kalau semua gagah-gagah perkasa, nanti terjadi pula perebutan sesama mereka. Boleh rosak seluruh Negeri akibat sengketa yang tidak berkesudahan" gerutu baginda kembali resah. Kini Khalifah pula menganguk-nganguk bagai sang kuda binal ingin lari bebas. "Baik-baik. Genap tiga puloh hari, semua 'lelaki' biar sotong biar obor-obor, semua mesti datang mengadap. Pasti Allah itu MahaLuas kebijaksanaanNya. Pasti di antara semua sotong atau obor-obor itu, akan ada yang paling bisa sengatnya. Yang paling bisa sengatnya itulah, tanpa pilihan akan menjadi Timbalan beta. Tetapi bagaimana untuk mengenalnya?" baginda kesendiri di anjung Singhasana melempar pandang ke seluruh Negeri. Kemudian baginda melabuh diri pada kerusi goyang bertomang tangan di dahi. Baginda terus berfikir dan berfikir sehingga terlelap. Sepertinya lumrah beradu di siang hari, lenanya tidak enak, resah bertukar menjadi mimpi ngeri sering mengiring. "Tolong-tolong!" tiba-tiba baginda melaung menjerit. Baginda mengigau di serang ayam betina yang galak bukan kepalang. Para dayang berlarian bercelapak mendapatkan baginda bersama Permaisuri Mayang Sari sedang para pengawal masih kekagetan terpocot-pocot melompat-lompat bagai anak kucing bermain cicak. "Astafirullah. Astafirullah. Astafirullah" istifar baginda buat kembali bertenang.

(6) Terpandang wajah Permaisuri Mayang Sari, baginda menjadi merinding. "Celaka sungguh. Perempuan menjadi punca segala. Semua lelaki di Negeri ini sedang takut kepada perempuan> Isteri sendiripun ditakutkan. Ya benar. Memang benar. Mereka tidak cukup telur" bentak baginda keras. "Memanda Menteri, kamu titah sekelian para suami datang mengadap segera!" perintah baginda meninggi suara. Dada baginda berguncang keras. Permaisuri Mayang Sari baginda himpit ketepi. Para dayang jadi ketakutan. Tidak pernah Khalifah sekasar ini. Saban waktu baginda berlembut kepada semua apa lagi kepada Pemaisuri Mayang Sari. Hiruk pikuk para suami sudah meninggi. Semua berdatang dalam seribu keanihan. Ada bersarung batik, berkemeja kancing bertingkat mendedah pusat. Ada berbaju kurung, berkain pelikat, berperut boroi, seperti badak termengandung. Ada tersalah sarung, sekadar berkemban tuala. Ada bercapal terompah tempahan dari Nyonya Melaka. Ada berpayung bagai Puteri Hang Li Po. Benar-benar Khalifah jadi binggung. Malu. Sesal. Kecewa. Marah. Jengkel. Segala berbaur."Alahai rakyat lelaki beta. Kenapalah tidak mampus dulu-dulu semasa dalam kandungan dari lahir separuh jalan. Dara-i. Dara-i. Darul Tunggal sudah penuh dengan Dara-i!" herdik baginda keras. Namun dalam dirinya masih ada nasihat kecil: "Sabar, sabar, sabar Ya AmirulMukminin. Bertenang. Kena bijak. Kena hati-hati". Baginda lalu menarik nafas panjang. Melempar sedikit senyum lalu terbalas senyum-senyum kambing sambil mengigit jari semua para rakyat dara-i baginda.

(7) "Kamu, ke sini. Ceritakan prihal perangai isteri kamu!" tuding baginda kepada yang paling di depan. "Ampun Ya AmirulMukminin. Isteri patik, dia lewat bangun. Patik yang selalu buatkan sarapan dan segala masakan. Makannya kuat. Tubuhnya, gempal bulat menghipopo" jelas 'lelaki sotong' pertama. "Kamu pulang. Bawa telur sebiji ini, rebus dan makan" titah baginda. Lelaki sotong kedua pula mengadap. Isteri patik garang Ya AmirulMukminin. Badannya besar. Lengannya sebesar peha patik. Pehanya pula sebesar badan patik" sembahnya. "Sudah. Ambik sebiji telur, rebus dan makan" titah baginda. Begitulah seterusnya berjela-jela sehingga mendatang sembah 'lelaki sotong Octopus'. "Isteri patik hormat, rajin dan bijaksana Ya AmirulMukminin.Tutur kata paling lembut. Paling santun. Kami sama-sama ke kebun, ke hutan, ke sungai, ke gunung. Hidup kami seperti aur dengan tebing.  Rukun. Damai" perjelas Octopus perkasa. Khalifah tersangat girang. "Memanda Menteri, hadiahkan lelaki ini dua biji telur. Juga biar dia pilih seekor dari kuda beta yang gagah untuk jadi kuda tunggangannya". Maka pulanglah sang Octopus bersama dua biji telur dan kuda binal putih yang gagah hebat. Namun takala sesampai di laman rumah, sang isteri sudah siap menanti: "Kekandaku pertmata hati, kenapa kanda pilih kuda putih. Tidakkah ada warna lain. Kalau kuda putih, malam-malam jika kita ke mana-mana akan diketahui orang. Juga jika dikandang sekjalipun, jika ada pencuri, pasti mereka mudah nampak kuda kita. Tukarlah kepada kuda hitam" saran sang isteri. Sang Octopus, tanpa fikir, tanpa sejenak menarik nafas, terus memecut kembali ke Singhasana. "Ya AmirullMukminin. Patik akur dengan nasihat maha bijak isteri patik. Patik ingin menukar, kuda putih dengan kuda hitam demi mengikut nasihat bijak bistari isteri patik" persempah sang Octopus. Khalifah tidak berbicara apa-apa panjang. "Silakan tukar. Tetapi kembalikan sebiji telur dan pulanglah dengan hanya sebiji. Itu menjadikan telur kamu lebih dari cukup" titah baginda, lalu beradu panjang, menjadikan semua sepi diam hening.

(8) Keesokannya, sebelum matahari bangkit, Khalifah senyap-senyap sholat memohon kehadrat Ilahi: "Ya Allah. Jikalah kerana hambamu ini maka UmatMu para jadi dara-i, maka Engkau izinkanlah aku berpergi terus pejam tidak mkembali. Kujurkalah tubuhku sekerasnya. Sesungguhnya Ya Allah, apa mungkin jawabku kepada Penghuluku nanti dari aku bergelar AmirulMukminin, kini kian menjadi AmirulMuslimah, salah-salah terjebak aku menjadi AmirulDara-i".Baginda juga memohon agar paras air naik, dan menjadikan Darul Tunggal berubah menjadi Darul Sotong buat gelar rakyat para dara-i. Maka sebegitulah, sehingga kini, Octopus menjadi Raja bagi segala sotong di Negeri Sotong. Al kisah sebuah seloka.

terasi, pendam, sarawak
16 March, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

balqiswilson said...

Assalamualaikum.,

1. 17.3.2013,selamat petang pembuka cerita,
Seloka dikarang penghias ruangan,
Menceria hati penduduk jelata,
Umpama Hikayat 1001 Malam.

2.Rakyat hiba kini terhibur,
Tatkala menatap raja bertitah,
Patik,patik semua ya Tuanku..
Ada yang faham ada yang tidak.

3.Bahasa Melayu penuh beradab,
Diseri dengan Bahasa Istana,
Aduh.,pilu sekali raja berusia,
Habis..,Hutan Herba Tongkat Ali ditebang semua...?

4.Permaisuri Mayang Sari hatinya ikhlas,
Biar usia meniti masa,
Khidmat permaisuri tidak minta dibalas,
Mengharap kasih baginda untuknya selama.

5.Sang Nujum penilik Diraja,
Sebagai rujukan mentadbir negeri,
Raja berdaulat,raja bistari,
Ilmu didada tidak terperi.

6.Wahai Tuanku payung mahkota,
Bijak segala tidak terkira,
Kasihani kami hamba sahaya,
Doa Tuanku termakbul semua.

7.Di samudra luas sampan berderetan,
Mencari rezki sepenuh hati,
Tenggelamlah kami berkubur dilautan,
Mungkinkah tidak bertemu lagi..

8.Burung merpati terbang berkawan,
Duduk bertenggek dahannya patah,
Nasibnya baik untung terserlah,
Octupus juga menang memerintah.

9.Gurindam,pantun,pemanis seri,
Apa lagi syair,seloka,
Semua diatas sekadar panyeri,
Buat pengubat hati yang luka.

10.Buah cermai dibuat manisan,
Ditanam berbaris ditepi laman,
Ampun maaf hamba sembahkan,
Andai bicara tersilap tulisan.

11.Kalau ada sumur diladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi..

note,
rangkap 1-10 hasil ilham saya dari pautan seloka saudara Abc,
buat sekadar mengisi masa lapang,sebagai hiburan lepak-lepak manja,tidak bermaksud menyentuh hati mana-mana pembaca.
rangkap 11.,termaktub didalam pantun melayu lama.
-tq,wassalam.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.