.

7/6/12 PEDULI, BERSIH dan TEGAR....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - June 17, 2012

Share

& Comment

Israq dan Miqraj, sebagai juga hari-hari lainnya, datang dan pergi. Saat datang, ada yang menghayatinya, namun tetap kemudiannya lupa. Syukur tetap ada yang terus ingat, dan ingat, cuma mungkin ingatannya entah bagaimana? Bagi yang lupa, ya sememangnya lupakan saja. Hidup berjalan terus. Cuma, saat kejongkrok baru tersadar sudah kejengkang.

(2)Muhammad, dari zaman anak-anaknya, dia peduli akan masa depan bangsanya. Dia hairan akan kecintaan bangsanya pada yang tidak seharusnya. Dia khuatir, bangsanya terus tersesat dan porak peranda. Sememangnya di zaman baginda, yang sering kita dengar berulang-ulang adalah cinta bangsanya, apa lagi kaumnya kepada benda yang dibuat oleh diri mereka sendiri. Kecintaan mereka adalah atas pembuatan mereka sendiri. Semua akan berkisah, mereka menyembah dan cintakan patung-patung berhala. Namun, saya ingin mempersoal, bila Al Quran berkata ...Janganlah mencintai, apa lagi menyembah selain dari Aku... apakah ianya hanya melarang manusia dari menyembah berhala atau ada lain selain dari itu?

(3) Sesungguhnya Al Quran itu, menjelas apa yang sudah jelas, dan bahkan banyak berselindung biar dari yang telah jelas agar kita sentiasa berfikir. Pokoknya, saya berkira, Allah tidak mahu kita terlalu taksub atas pembuatan dan atau apa juga kejayaan yang ada pada kita. Soalnya kenapa? Dia melarang kita dari taksub kepada apa juga kejayaan dan milik kita, agar kita sentiasa terus ingat kepadaNya, demi kejayaan yang lebih besar. Dan, orangpun sering bilang, kejayaan yang lebih besar itu adalah syurga. Apakah sebenarnya maksud dari bayangan syurga Allah itu?

(4) Muhammad, saat dia akan dianugerahkan tanggungjawap yang MahaBesar, sebagai rasul penebar Adeen Islam, maka Allah pertamanya membersihkan jiwanya. Dada baginda dibelah dan dicuci dengan air zam-zam. Muhammad, saat mahu diangkat dan dipertemukan dengan Allah, jiwanya Allah terlebih dahulu bersihkan. Allah sepertinya mematrikan ketegaran mutlak kepada Muhammad. Semuanya, agar Muhammad akan tertanam dengan satu tekad iaitu, melakukan segala sesuatu hanya demi Allah. Muhammad selepas Israq dan Miqraj, jiwa dan fikirannya tidak pernah gentar untuk menebar Adeen Islam dan dia tidak pernah goyah akan kebenaran Al Quran dan keesaan Allah.

(5) Hakikatnya, tiada suatupun perlakuan kita akan terbuat dengan penuh ikhlas, sejujurnya dan tegar, jika hati kita biar sebesar debu tercalit dengan kekotoran. Juga, hati yang bersih pastinya akan melahirkan perlakuan yang tidak mengharapkan apa-apa pembalasan melainkan merelakan segalanya demi Allah. Itulah kelebihan Muhammad, dia suci semurninya dan kita, tidak mungkin akan sampai ke darjat sebegitu, namun kita tetap boleh berusaha ke arah itu. SubhanaAllah. Dia akan menentukan kudrat kita masing-masing.

(6) Muhammad sebelum ke syurga, dia terlebih dahulu diberangkatkan ke BaitulMuqaddis. Kenapa? Apakah BaitulMuqaddis itu lebih suci dari Kaabah (Mekah)? Berapa ramai di antara kita ingat, saat itu, ke manakah Kiblat Umat Islam? Biar apapun, tidakkah kita juga dapat membaca, betapa Hijrah Muhammad bukan hanya dari Mekah ke Madinah, tidakkah juga Hijrah baginda juga meliputi Mekah ke BaitulMuqaddis? Kenapa saya berkata sebegitu? Saya ingin membawa semua berfikir, tidakkah kias Allah, turut mengarahkan kita agar mengumpul kekuatan pada tempat di mana kita mampu berdiri dengan gagah bersama masyarakat kita sendiri. Saya percaya, BaitulMuqaddis, saat itu masih dipenuhi oleh mereka yang hanya sedikit terpesong berbanding dengan mereka yang menduduki Mekah saat itu, yang telah sepenuhnya Jahilliah?

(7) Buat saya, kita orang Melayu, seharusnya, melihat ini dalam hubungan tanggungjawap kita kepada bangsa kita, iaitu kita mesti berdiri bersama masyarakat kita di mana mereka sangat memerlukan bimbingan kita. Saya melihat Israq Muhammad dari Mekah ke BaitulMuqaddis dan Hijrah baginda dari Mekah ke Madinah sebagai seruan orang Melayu dulu-dulu agar Ikan pulang ke lubuk, pinang pulang ke tampuk dan sirih pulang ke gagang. Kita mesti dengan penuh ikhlas dan jujur membela nasib bangsa Melayu sebagai selaras dengan kehendak fardhu kifayah.

(8) Dan sesungguhnya, bila Muhammad ketemu Allah di ArasyiNya, perintah yang dia bawa pulang adalah sholat. Sholat, adalah suatu beban yang diakui sangat berat oleh Musa. Dalam sholat kita sangat terikat untuk mengingati Allah. Sholat itu mendekati dan sentiasa mendampingkan kita kepada Allah. Sesungguhnya, kita adalah mahluk yang sentiasa lalai dan mudah tergoda, maka agar kita tetap pada jalan Manusia yang lurus Allah menyediakan peraturan agar kita terus sentiasa diperingatkan untuk bersamaNya paling kurang dalam lima waktu iaitu pada waktu-waktu getir kelalaian saban harinya.

(9) Saat subuh, kita paling enak mahu terus tidur. Cinta kita pada selimut sangat mengasyikan. Saat Dzohor, kita asyik mahu mengisi perut. Segala makanan dan minuman terasa lazat. Apa lagi sambil makan terus saja ngobrol sama teman-teman atau sanak saudara. Cinta kita pada makanan sangat memuncak. Saat Assar, kita sangat enak mahu berpeleseran bersama teman-teman ke mana juga. Keakraban kita bersama teman-teman sangat asyik dan menghiburkan. Saat Maghrib, kita paling asyik mahu istirehat. Isteri, keluarga paling sangat menghiburkan kita di waktu senja. Saat Isya, pasti mata paling enak mahu pejam. Juga inilah masa untuk bersengawa biar dengan siapapun. Begitulah, telah Allah adakan dalam diri kita, naluri yang sentiasa digamit syaitan. Seringnya, naluri ini, membawa kita kepada penyesalan demi penyesalan akhirnya.

(10) Sengaja Allah menguji, apakah kita lebih taksub pada kehendak hati naluri atau menuruti peraturan hidup yang lebih memberikan kejayaan. Bayangkan, jika kita mengambil mudah akan sholat, apa tidak mungkin kita juga akan mengambil mudah peraturan-peraturan hidup lainnya. Tanpa sholat mengikut kehendak Allah, apa mungkin hidup kita akan menjadi berkat (barakah)? Soal berjaya dalam hidup itu soal lain, saya hanya ingin membawa pembaca untuk menilai keberkatan hidup.

(11) Seruan agar kecintaan kita hanya kepada Allah, tidaklah bermaksud kita tidak lansung boleh mencintai apa-apapun selain dariNya. Jika ada anggapan sebegitu, pasti tidak Allah akan membenarkan hadirnya Hawa di sisi Adam. Cuma, Allah tidak mahu, kecintaan kita kepada selain dariNya boleh membawa kita lalai dan leka dari memikul tanggungjawap kita yang sebenar. Cinta kita pada yang lain selain Allah harus ada batasnya.

(12) Sebagai contoh, jika kita adalah kepala kantor, kerana leka dengan kuasa, kedudukan dan wang, maka kita sudah tidak melihat dan merasa kemiskinan dan kepayahan orang lain. Jika dulu, kita pedulikan kemiskinan dan semngsara orang lain, saat sudah berjaya kita lupa akan tujuan asal kita. Kita jadi leka menikmati keindahan hidup ini. Kita leka mengejar bisikan tamak dan hasad naluri kita. Jika ini terjadi, apakah mungkin kita akan menempah suatu kejayaan yang lebih besar. Saya yakin kelalaian, kealpaan dan bahkan kebaculan kita untuk menjalankan tugas kita akan membawa kita ke jurang neraka biar sewaktu di dunia lagi.

(13) Jika Muhammad hendak kita jadikan contoh, Allahpun melarang baginda untuk mempunyai lebih dari empat isteri akhirnya. Sebabnya, dia punya tugas jauh lebih besar dari memelihara para ibu dan wanita tunggal. Juga, selayaknya, apa juga yang baginda minta, pasti Allah akan menganugerahkan buat baginda, namun baginda memilih untuk hidup sekadar hidup dan menyemai seluruh hidupnya untuk ummah. Muhammad tidak melihat harta, pangkat, gelaran sebagai yang seharus dihambat, dia hanya mahu ummahnya hidup sejahtera.

(14) Di zaman ini, kita tidak dituntut sehingga sebegitu. Keadaan sudah berubah. Namun, tuntutan agar kita terus tetap pada jalan pembelaan ummah akan terus kekal. Kita seharusnya terus peduli akan nasib bangsa kita. Kita tidak boleh lari dari tuntutan itu. Saya yakin, sesiapa yang terus tegar dalam membela ummah sekuat dan seikhlasnya, pasti kejayaan yang lebih besar akan menantinya, di dunia dan akhirat.

(15) Hakikatnya, kita tidak boleh menghayati Israq dan Miqraj hanya sebagai cerita berulang-ulang tanpa cuba mengerti jauh dari apa yang kita dengar. Adalah sangat sedih jika ilmu yang kita miliki sekarang ini hanya sekadar untuk mencari makan paling jelek sekadar menghambat kenikmatan sendiri dan tidak untuk memperluas kecintaan kita kepada Allah.


Terasi, Simunjan
17 June, 2012

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.