3/6/11 JATI DIRI YANG TERKUBUR
Posted By: Abdullah Chek Sahamat - June 11, 2011(Dua manusia Melayu, pengukir dari Besut Trengganu, mengukir sebuah hiasan kayu untuk Perpustakaan Melayu di Oxford, dan seorang lagi pengukir perubahan jiwa Melayu, mengukir kehebatan Melayu di Putra Jaya)
Istilah terkubur dan berkubur sepertinya sama saja maksudnya. Namun, jika diteliti secara halus, keduanya pasti tidak sama pengertian yang terisrat. Tambahan ter dalam bahasa Melayu adalah gambaran sesuatu perbuatan yang tidak sengaja, sedang ber membawa pengertian sengaja. Dalam soal jati diri Melayu, temadun Melayu dalam istilah umumnya, ada sesuatu yang telah terkubur akibat penjajahan dan kealpaan kita sendiri.
(2) Hari ini, dalam keadaan badan yang tidak begitu sihat, selepas seminggu berkampung di Putra Jaya dengan beberapa teman, cuba mempertahankan apa yang saya sifatkan menjadi hak kepada pekebun kecil rumbia di Mukah-Pusa, juga tadi malam, kerana ribut kuat, maka pesawat yang sepatutnya mendarat di KB pada jam 1920 malam terpaksa berpatah balik semula ke KLIA dan kembali semula ke KB sekitar jam 0030 pagi, saya bersama teman-teman lain telah berjalan di sekitar KB dan seterusnya ke Besut Trengganu untuk mengali kembali apa yang telah terkubur.
(3) Harapan kami adalah untuk membangun kembali jatidiri Melayu yang mungkin suatu hari nanti dapat anak-cucu kita manmpu bangkit berdiri gagah dan berlari kencang dan bersuara kepada dunia: betapa kami juga pernah ada temadun, dan kegemilangan, maka kami tidak boleh ditidakkan!. Pokoknya, jatidiri Melayu mesti tidak boleh berkubur dan untuk mendongkil dan membina semula jatidiri ini adalah terpikul atas pundak kita sendiri, bangsa Melayu.
(4) Di Kampung Mangkuk, Besut kami menemui satu usaha oleh pengusaha bukan Melayu mengumpul rumah-rumah Melayu lama Trengganu menjadi sebuah Resort, dan dianggarkan bila kemudiannnya dibuka, akan mengenakan bayaran sekitar RM1,500/malam. Juga kerana usaha beliau yang baik ini, biarpun setakat ini beliau hanya membelanjakan sekitar RM4.00 juta untuk membeli dan membangun semula rumah-rumah ini, namun dikhabarkan Kementerian Warisan sanggup menawarkan RM40.00 juta untuk membeli dan meletakkan Projek tersebut sebagai Warisan Negara. Cuma anih, bila khazanah Melayu sudah terlepas, maka barulah kita mulai sedar betapa khazanah itu sangat bernilai, namun ianya tetap terlepas di depan mata kita sendiri.
(5) Di Kelantan dan Trengganu, telah ada gerakan Pejuang Seni Reka Melayu sehingga telah wujud pelbagai bangunan di negeri-negeri tersebut dibangunkan mengikut seni dan pertukangan Melayu lama.
(6) Kini saya cuba berfikir kembali, apakah tidak mungkin, kita membangun Darul Hana, Kuching sedemikian rupa agar kehidupan dan tradisi Melayu itu dapat hidup kembali, tetap dalam gaya tradisinya namun dengan menyonsong kritikan Munshi Abdullah terhadap kehidupan dan susunatur perkampungan Melayu yang pernah dilihatnya.
(7) Apakah tidak mungkin Darul Hana menjadi sebuah perkampungan usahawan Melayu dalam bidang kek lapis, keropok, tenunan, kraftangan, juga restauran-restauran dan cafe-cafe yang unik dan santai dalam suasana kampung yang tetap meriah dan happening?
(8) Saya berkira, jika kita sanggup sedikit berkorban, ada kesabaran dan ketekunan, pasti Temaddun Melayu dapat kita bangkitkan semula. Saya berdoa, agar kita punya segala kemahuan dan usaha agar anak bangsa kita di masa muka punya landasan yang kukuh untuk memastikan budaya dan temaddun kita tidak sekali-kali berkubur.
Kota Bharu, Kelantan
11 June, 2011
#Abdullah Chek Sahamat
Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment