(Kiri: Rumah Asap Kelapa yang sudah kian usang; Kanan: Sebuah Kampung tumbuh hasil kekuatan Ekonomi-Kelapa-Kopi-Pisang)
Kalau kita hendak mendarat di Lapangan Terbang Kuching, samaada dari arah Barat atau Timur, pasti pesawat akan berlegar di ruang angkasa Asajaya-Kota Samarahan. Di siang hari, dari jendela pesawat akan kita lihat ribuan hektar kebun-kebun kelapa terhampar luas terbentang di Lembangan Sungai Samarahan-Sadong-Lupar. Dulu, wilayah inilah yang paling banyak mengeluarkan kelapa kering bagi negeri Sarawak. Tanah tanih jenis liat hasil dari pemendapan lumpur sungai dan paya gambut menjadikan wilayah ini suatu ketika dulu adalah nadi bagi pengeluaran komoditi utama pertanian negeri Sarawak.
(2) Dari pengkisahan dulu-dulu, saya mengagak wilayah ini mulai dibangunkan manusia sejak 1920an, dan penghijrahan paling pesat ke sini berlaku bila Jepun menyerang Kota Kuching pada 1940an. Kemudian, kerana kepayahan hidup di Kota Kuching selepas Merdeka, banyak masyarakat Hijrah mencurah masuk ke sini. Percampuran masyarakat Jawa, Bugis, Melayu, Cina, dan Iban di kawasan ini telah menghasilkan suatu gabungan masyarakat tani yang amat berkembang maju. Para petani di sini, sangat mudah dan dengan cepat berubah dengan peredaran masa.
(3) Masyarakat hijrah dulunya: Jawa dan Bugis telah memperkenalkan tanaman kelapa, kopi, pisang, ubi-ubian, dan nenas ke wilayah ini. Kemudian, bila harga koko meningkat naik di pertengahan 1980an, tanaman kopi dengan meluasnya digantikan koko. Wilayah ini menjadi pengeluar biji koko terbesar di Sarawak suatu ketika dahulu. Masyarakat Cina pula kemudiannya memperkenalkan tanaman limau manis dan ternakair. Masyarakat Iban dan Melayu pula, sebagaimana biasa bermula dengan bertanam padi dan perlahan-lahan mengikuti jejak langkah masyarakat Jawa, Bugis dan Cina untuk bertanam kelapa, kopi, koko, pisang, dsb.
(4) Masyarakat Melayu dulunya, kebanyakan adalah nelayan. Maka dengan sebab itu kebanyakan penempatan mereka terletak di muara-muara sungai atau anak-anak sungai. Tanah milikan mereka juga amat kecil. Berbeda dengan masyarakat Bugis, Cina dan Jawa. Mereka mempunyai tanah kebunan yang jauh lebih luas.
(5) Kini, kegiatan membangun rumah burung layang-layang sudah merebak luas di wilayah ini. Sistem sungai yang berjalinan, hutan bakau yang luas, dan di tambah hutan tropika di kawasan pedalaman menjadikan wilayah ini bagai syurga bagi para pengusaha rumah burung layang-layang.
(6) Kelapa sawit, sudah dengan cepat mengambilalih peranan kelapa, koko, pisang, dan kopi sebagai pendapatan utama masyarakat di sini. Sebilangan penduduk juga sudah menceburi secara hebat dalam penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.
(7) Dalam rencana ini, saya ingin berkisah kepada pembaca tentang betapa nikmatnya hidup dalam payah sengsara seorang pekebun kelapa:
(a) Kelapa memerlukan sehingga lima tahun baru dapat menuai hasil. Bagaimana payahnya menanti saat keberhasilan kelapa samalah dengan kepayahan membuat Ijazah Perubatan, berhempas pulas selama lima tahun bercekang mata mentelaah segala buku dan nota kuliah. Dalam tempoh sebegitu lama, para petani dulu, kerana mahu hidup mereka bertanam padi, jagung, labu, ubi kayu, keladi, keledek dan bahkan berternak ayam-itik dan kambing. Memang indah kalau dibayangkan hijau-kuning tanaman-tanaman ini, namun cubalah kita (saya telah lalui) buat sendiri, menebas, menebang, membakar, menanam, membersih semua itu, di mana dulu-dulu hanya berteraskan tulang empat kerat! Meleleh, bukan hanya keringat, air liurpun boleh jadi kering! Begitulah nikmat menanti kelapa berbuah, sama nikmat dengan seorang doktor menanti kapan boleh mengantung stetoskop ke lehernya!
(b) Buah kelapa hanya matang (tua) dalam tempoh 2-3 bulan. Setiap pohon kelapa akan menghasilkan 1-3 tandan kelapa tua. Setiap tandan menghasilkan 5-10 biji kelapa tua. Pendeknya, dalam satu ekar, bagi tempoh 2-3 bulan, petani akan dapat pulangan 1,000-2,000 biji kelapa. Kalau dibuat kering, 1,000-2,000 biji kelapa akan menghasilkan 200-400Kg Kelapa Kering (Kopra). Saya ingat dalam tahun 1960an, 100Kg kopra boleh dijual dengan harga RM15-20.00, menjadikan pendapatan kasar sekitar RM30-80.00/ekar/2-3 bulan atau lebih kurang RM120-240/ekar/tahun. Kalau ini dikira dalam hektar menjadikan Pendapatn Kasar sekitar RM300-600/ha/tahun. Secara purata, masuarakat di sini, memiliki lebih kurang 2.0 hektar/keluarga.
(c) Pada masa dulu, bilangan ahli keluarga pula sangat banyak. Paling tidakpun lima orang anak. Selalunya seramai Pasukan Bola Sepak Brazil! Mungkin kerana terlalu banyak minum air dan isi kelapa muda, maka orang dulu-dulu tidak henti-henti tahan kerjanya: saing malam sama sahaja! Itulah nikmat menjadi pasangan penanam kelapa!
(d) Namun untuk mendapat Pendapatan sejumlah itu, seorang Petani mungkin terpaksa mengupah Pemanjat/Pengait Kelapa, kemudian memungut dan mengumpul, lalu mengopek, terus membelah, mengasap (salai), mencungkil dan terus mengasap sehingga kering. Semua kerja ini, kadang-kadang memakan masa sehingga sebulan suntuk. Mengumpul kelapa pula sangat bergantung kepada keadaan air pasang besar, kerana kelapa-kelapa kering itu terpaksa dihanyut dalam parit sebelum digiring ke rumah asap.
(e) Semasa kecil, saya sering membantu ayah dan datuk saya menghanyut kelapa dalam longkang. Biasanya kerja ini dibuat semasa air pasang besar (King Tide), dan air pasang besar selalunya berlaku sekitar jam 5-8 malam. Memanglah semasa kecil, segalanya menjadi hiburan. Berceburan dalam longkang mengiring kelapa dengan tubuh hanyir berbaur tanah dan lumpur adalah sangat mengasyikan. Ular, lintah tidak pernah dihiraukan. Nyamuk dan agas sudah jadi biasa. Cuma bila tidur malam baru tahu akan miang dan gatalnya badan. Begitulah nikmatnya sengsara! Senikmat mengaru gatal sehingga melukakan!
(d) Urusan mengopek, membelah, mengasap, dan mencungkil terpaksa dilakukan di rumah asap bagi membolehkan sabut dan tempurung kelapa dikumpul bagi keperluan mengasap kelapa yang sudah dibelah.
(e) Bila tiba masa membelah kelapa yang sudah dikopek sabutnya, ianya bagaikan pesta. Biasanya kerjaan ini dilakukan oleh perempuan-perempuan dewasa. Pasti anak-anak yang baru belajar bertatih sehingga yang sudah boleh berkejaran ke sana kemari akan ikut sama. Ayam-itik dan kambing juga tak mahu kalah. Bila kelapa dibelah, air kelapa yang masih segar pasti dihirup: nikmat rasanya seperti lemonade! Paling mengasyikkan, bila ada Tombong muda, pasti berebutan untuk memakannya. Inilah nikmat dapat makan 'free' namanya, bakteria, cacing, nyaman saja!
(f) Bila terlalu banyak makan tombong, pasti akan berlaku ceret beret. Bukan kerana bakteria atau cacing, tetapi, saya percaya kerana termakan terlalu banyak lemak. Tombong kelapa sebenarnya banyak mengadungi lelemak. Bila berlaku ceret beret terutama di kalangan anak-anak kecil, pasti akan jadi keributan tertawa semua yang ada melihat anak-anak berlarian ke dalam semak terhendap-hendap. Itu semua adalah pesta bagi anak-anak payah!
(g) Tombong sebenarnya adalah embrio kelapa, yang tumbuh sebagai tisu lembut (callus) sebelum menjadi tunas. Saya gemar makan tombong kelapa, dan sering meramas dan mengusap buat menyapu muka. Apa khasiatnya, saya tidak tahu, tapi terasa nikmat sejuk berangin seperti mint. Kalau ada tombong besar, saya dan rakan-rakan buat sepakan taqraw. Itulah nikmat tumbuh dalam kelurga pekebun kelapa!
(g) Di samping urusan-urusan ini, petani juga terpaksa membersihkan kebunannya, dan dulu hanya mengunakan parang, kemudiannya berganti dengan racun rumpai. Begitu juga segala parit kebun mesti di bersihkan untuk memudahkan kerja-kerja menghayut kelapa bila penuaian dilakukan.
(h) Semasa kecil-kecil dulu, saya sering mengikut mereka yang lebih dewasa untuk 'makan gaji' mencungkil kelapa kering. Biasanya seorang dewasa akan dapat 6-10 keranjang dengan upah 20-50 sen/keranjang, dan saya akan terkial-kial untuk mendapat walau sekeranjang. Namun kerana saya biasanya 'mengambil upah' dari Wak saya iaitu dari Kakak Tertua kepada ibu saya, selalunya, pada setiap hujung minggu, dia pasti dengan muka sangat sedih 'menghulurkan 50 sen ' buat 'upah' bukan kerana kerja yang saya buat tetapi atas 'daya rajin' yang saya tunjukkan. Inilah nikmat kasihan namanya!
(i) Nikmat mendapat 50 sen bukan kerana upah kerja, tetapi 'upah rajin' tidak terkata akan bahagianya. Semasa menyambut wang 50 sen, dan bila kepala saya sering diusap-usap Wak, terbayang ais krim 'kepal' berperisa sarsi yang dijual oleh penjaja di luar pagar sekolah. Namun kadang-kadang kerana keperluan untuk membeli pensil, akhirnya, niat berbelanja ais krim hanya terubat dengan menelan air liur! Itulah nikmat bila sedang payah dan susah, air liurpun terasa macam ais krim berperisa sarsi!
(j) Kini, dengan harga Minyak Sawit sekitar RM2,500/Mt, maka harga kelapa kering jatuh pada RM1,250.00/Mt. Bayangkan kini, penanam kelapa, dengan daya pengeluaran 3.0-4.0Mt/Ha kopra setahun, akan mendapat Pendapatan RM3,750-5,000/ha/tahun, berbanding dengan pekebun sawit sekitar RM10,000-12,000/ha/tahun. Harus diingat, pendapatan ini adalah pendapat kasar, dan dengan syarat kebun kelapa terurus dengan baik.
(K) Pada masa ini, bagi setiap hektar kebun kelapa, bagi urusan penyelenggaraan sahaja, tidak kurang RM1,000-1,500/tahun adalah diperlukan. Bagi urusan pengeluaran kopra pula, upah tidak kurang dari RM2,000-3,000/ha/tahun adalah diperlukan. Namun, yang kian susah dan payah sekarang ini, tidak ada yang kepingin menjadi pekerja dalam kebun kelapa lagi. Anak-anak muda lebih gemar ke Kota bekerja dalam apa juga bidang yang jauh lebih selesa dan lumayan. Sedang para penanam kelapa sudah banyak yang terkubur jadi baja, atau sebilangan besar pula sedang menanti masa rebah bersama jatuhnya buah kelapa sujud ke bumi. Itulah nikmat kelapa dan penanam kelapa, tetap bersama biar dalam menyembah bumi, sebegitu akrabnya!
(8) Bukan hanya di Samarahan-Asajaya pekerjaan dalam bidang kebun kelapa sudah kian pupus, malah di kawasan-kawasan lain juga: Sebangan-Sebuyau, Kabong-Nyabor, Banting-Tg Karang (Selangor), Teluk Intan (Perak), Kemaman (Trengganu), Mersing-Batu Pahat (Johor), Kudat-Semporna (Sabah) pekerjaan menyelengara dan memunggut buah kelapa sudah menjadi 'kian tinggal sejarah'. Pekebun kelapa dan kelapa, sejarah manisnya kian lesap ditelan kelapa sawit!
(9) Sang Beruk Mokyehpun sudah pencen dari jawatan memanjat kelapa! Beruk Mokyeh kini lebih gemar berdansa dikurung kaca Zoo Negara! Itulah nikmatnya penanam kelapa, hanya dia yang mampu memencenkan beruk mokyeh!
Kuching, Sarawak
20 July, 2010
0 comments:
Post a Comment