.

8/5/10 MODEL EKONOMI DESA (MED)....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - May 20, 2010

Share

& Comment


(Sebuyau, Simunjan, adalah sebuah perkampungan yang cukup kaya dan indah lingkungan sekitarnya, namun, perkampungan ini masih payah, sengsara, susah. Ianya 'miskin' dalam kaya! Kenapa? Sedang, di kanan, di pinggir kota Montreal, Kanada, dan juga perdesaannya, terbangun begitu rapi dan 'sempurna'. Kenapa? Mungkinkah Model Pembangunan kita ada penyakit-kesilapannya yang terus-terusan kita ulangi!)

Sedikit masa lalu, saya telah mengariskan (visualise) tentang kehidupan desa yang ingin saya saksikan. Sigmund Freud, seorang ahli psyco-analyst, mungkin benar, bila beliau mengutarakan bahawa, kita kini, adalah 'dibayangi' masa lampau kita. Dari sejak dilahirkan, saya terpaksa melalui jalan susah, jalan payah, biarpun mungkin tidak miskin. Kesusahan dan kepayahan seperti sering saja mengamit hidup saya sehingga seperti ianya adalah puaka hidup yang mesti saya henyak-hancur sebelum tertutupnya mata ini. Saya seperti sering bermimpi ngeri 'melihat' masa depan bangsa Melayu kita yang tidak banyak kita sadari.

(2) Negara kita kian maju, namun kita bangsa Melayu seperti kian mengundur-tersisih. Segala jalan yang menjalar, bukan untuk menjadikan kita kian makmur, tetapi menyebabkan banyak kekayaan kita terlepas-terkubur. Kita semakin berilmu, tetapi 'ilmu kita' sedang memakan diri. Kita menjadi 'bijak' mentadbir negara, namun negara semakin tidak menjadi milik kita. Kita 'miskin' dalam kaya, dan kita 'riang' dalam payah, dan kita sedang 'berjalan' dalam tidur! Itulah puaka kepayahan dan kesusahan yang sering memilu dan membangkitkan tidur saya. Saya kira, Mahathir juga menangis kerana ini semua!

(3) Cuba kita sekarang bermimpi, di desa-desa, tempat tumpah darah kita, kita hidup dengan makmur, sejahtera, dan bersatu padu. Kita tidak hanya kuat pada pegangan adat dan politik, namun kita juga mesti utuh dari segi kekuatan ekonomi dan akidah. Kita menjadi bangsa berjaya yang merdeka. Sebagai manusia, kita adalah insani, dan sebagai kelompok, kita adalah umat yang sebnenarnya Ummah! Saya kepingin dan bercita-cita, melihat kita, umat Melayu, umat Islam, sebegitu jadinya. Tidakkah kita boleh bersama mengimpi, bercita-cita, dan bertekad sebegitu?

(4) Kenapa kita tidak boleh jadi begitu? Bangsa kita, Melayu, hakikatnya telah terlalu banyak di manjakan. Kita terlalu banyak disuapkan subsidi. Banyak darinya, tidak menjadikan kita manusia yang sanggup berusaha sendiri. Saya mulai melihat, bagaimana subsidi telah membunuh kita. Kita mendapat segala subsidi, khususnya subsidi bantuan pertanian, namun daya pengeluaran kita kian menurun. Kita mendapat segala macam subsidi, dan subsidi menjadikan kita sebetulnya 'pengemis' yang tak tahu hendak 'berusaha' sendiri, Kita jadi 'penadah' tangan, dan bila kita mendapat 'sedekah' yang mungkin tidak ikhlas, namun tetap juga kita 'bersyukur' tanpa mengerti kita sedang merlalui jalan tersungkur.

(5) Kita kena tolak 'tabiat' sukakan subsidi yang membazirkan ini. Cuba fikirkan, kenapalah Adam dan Hawa seperti sengaja 'meninggalkan' kebahagian syurga dan memilih 'kesengsaraan dan kepayahan' dunia. Tidakkah di dalam syurga, mereka boleh mendapat apa saja yang mereka mahu. Juga tidakkah Allah berjanji, di syurga, kita sebetulnya tidak payah meminta, hanya dengan terlintas saja di dalam fikiran, pasti Allah akan datangkan apa yang kita ingini.

(6) Apa yang boleh kita tafsirkan dari perilaku Adam dan Hawa ini. Adakah kerana mereka ingkar? Atau, ada Mahakebijaksanaan Allah di sana? Tidakkah mungkin, dalam kita mengharungi hidup ini, sebetulnya, pada sikap 'ingkar' Adam dan Hawa, Allah sebenarnya hendak menunjukkan kepada kita, 'bahawa yang mudah itu, tidak semestinya kekal'. Tidakkah Dia bermaksud, syurga, adalah ibarat sebuah dunia 'subsidi', bukan 'nikmat' yang mesti dikecapi 'seawal hidup kita'. Kita kena hidup di dunia yang nyata, dunia yang penuh mencabar. Kita kena hidup di atas kehidupan kita sendiri. Kita tidak seharusnya terus-terusan hidup di atas 'belas ihsan' terutama subsidi yang merosakkan. Kita kena ingat pesan Allah: "Tidak Aku menolong orang (dan bangsa) yang tidak menolong dirinya sendiri".

(7) Permasalahan berat yang sedang kita orang-orang Melayu (dan bumiputera lainnya) hadapi sekarang ini ialah kita seperti terjerat dalam Julat Pendapatan Rendah (TPM mengatakan 85 peratus dari kita tergolong dalam golongan ini). Paling hebat, pendapatan masyarakat kita di luar bandar tidak berkembang selaras dengan perkembangan ekonomi bahkan tahap inflasi. Secara relatifnya, pendapatan mereka kian susut. Makanya, penghijrahan keluar kian meluas, dan menjadikan demografi penduduk luar bandar kian kurang produktif. Paling mengecewakan, penduduk luar bandar kini kian bergantung kepada Pendapatan Hantaran (remittance) dari anak cucu mereka di bandar. Secara keseluruhan, ekonomi desa sudah tidak bebas dan mandiri, dan jauh dari lestari!

(8) Pastinya, kemelut yang paling dahsat adalah bilamana mereka yang berhijrah ke bandar sebenarnya adalah tergolong dari mereka yang tidak mampu: 'disadvantage'. Pendidikan, kemahiran dan asas kewangan mereka mungkin terlalu kurang, sehingga bila mereka menetap di bandar, mereka terpaksa menanggung seribu satu macam persoalan hidup: tiada rumah, tiada pekerjaan bergaji baik, sekitaran sosial yang baru dan terasing, sehingga mereka membentuk rumpun-rumpun setingan yang mengaibkan! Inilah yang berlaku di Bintawa, Tabuan, Bt 7 di Kuching, Kampung Masjid, Bintulu, Kpg Wireless, Pujut, di Miri. Di Kuala Lumpur, di Pulau Pinanhg, di Kota Kinabalu, di Sandakan, dan bahkan di Kota Bharu, sama saja dan mungkin lebih parah!

(9) Nasib merempat di bumi sendiri masih belum pupus dari bangsa Melayu! Kita seperti itik kehausan di kali atau ayam kelaparan di kepuk (sama dengan jorong dalam istilah Melayu Sarawak)!

(10) Apakah persoalan-persoalan sebegini terjadi di Korea, Taiwan, Switzerland, New Zealand, Australia, Jerman, dan Jepun? Pastinya ada namun kecil dan terasing! Bagaimana agaknya negara-negara ini mengurus sistem atau model pembangunan ekonomi khususnya ekonomi desa mereka, sehingga boleh melestarikan kepentingan sumbangan ekonomi desa kepada struktur ekonomi negara?

(11) Saya melihat, kepincangan Model Ekonomi Desa (MED) kita adalah kerana tumpuan melampaui kita kepada ekonomi berasaskan pengeluaran, khususnya pengeluaran pertanian. Apa juga pembangunan yang hendak kita buat, kita menumpu kepada pengeluaran. Tanpa kita menyedari, ekonomi berasaskan satu faktor sebegini mempunyai kitaran pendapatan yang beralun selaras dengan rentak pengeluaran pertanian itu sendiri: ada tahap tinggi-rendahnya, dan ada kalanya terus saja sifar (dan atau negatif). Gelombang pendapatan sebegini, pastinya sangat mempengaruhi taraf kehidupan mereka: turun naik kemiskinan! Dan jika berterusan, kemiskinan, pasti tidak pernah akan terhapus malah terus saja tengelam timbul tanpa hentinya. Maka, tidak heran, biar di Korea, Jepun, Switzerland, New Zealand, Australia, dan Jerman dulunya, masalah kemiskinan di luar bandar juga adalah parah, namun mereka dengan cepat menyadari perkara ini.

(12) Di negara-negara yang saya sebutkan tadi, khususnya di Jepun, Korea dan Jerman (yang punah kerana WW11) masyarakat desa dan atau Kerajaan mereka, mengabungkan rakyat desa ke dalam sistem Koperasi. Koperasi ini kemudian menyatukan segala sumber rakyat untuk terlibat secara kumpulan dalam apa juga bidang perekonomian mereka. Tumpuan mereka tidak hanya pada pengeluaran, bahkan dalam pemprosesan, perdagangan dan segala sistem sokongan lainnya. Peranan Kerajaan pula, adalah bukan pada sokongan subsidi, melainkan kepada sokongan kepimpinan, pembaharuan teknologi, pemasaran, dan pengembangan dan perluasan perusahaan seterusnya (seperti perwujudan MITI yang sangat kuat di Jepun).

(13) Melihat kepada ini, atas kepincangan ini, maka MED kita mesti menekankan penyertaan rakyat dalam bidang pengeluaran, pemprosesan, perniagaan, dan sektor sokongan lainnya. Rakyat luar bandar mesti mempunyai penyertaan aktif dalam semua bidang ini. Mereka mesti mempunyai ekuiti dalam semua ini. Mereka tidak hanya diaruh untuk menjadi pekerja di ladang atau sawah dan atau menerima dividen dari hasil tanah mereka. Mereka mesti turut menerima habuan dari hasil pemprosesan hasil ladang mereka, kemudian dari hasil perniagaan dari hasil pemprosesan tersebut atau limpahan ekonomi dari kegiatan pengeluaran atau pemprosesan tadi. Sama juga, mereka mesti didorong dan dipimpin untuk menyediakan dan mendapat faedah dari khidmat-khidmat sokongan.

(14) Secara ringkasnya, penyertaan mereka dalam sektor ekonomi, mesti dilihat jauh lebih meluas dari hanya 'menyerah' tanah dan menjadi pekerja. Mereka mesti mempunyai ekuiti dalam keseluruhan sistem ekonomi yang ada. Bagaimana untuk menyuntik ikuiti mereka, di sinilah soal kebijaksanaan di kalangan penjawat awam adalah penting.

(15) Dalam soal ini, faktor kempimpinan dan kemahiran koprat penjawat awam menjadi amat kritikal. Peranan mereka yang menerajui GLC dalam merombak sistem pengurusan pembangunan ekonomi luar bandar menjadi kian penting. Penjawat awam, tidak lagi harus melihat mereka hanya sebagai pentadbir (mengurus apa yang ada), namun sikap mereka mesti menjurus kepada: pemimpin-pengusaha (entreprinizing leader). Penjawat awam mesti belajar dan menanamkan minat mendalam terhadap tadbirurus perniagaan (Business Management). Mereka mesti mempunyai sifat 'business acuteness'. Penjawat awam kena membuka dan menanamkan 'sikap usahawan-niaga' masyarakat desa, pertamanya melalui penyediaan kempimpinan, dan kemudian, membangunkan kepimpinan usahawan-perniagaan di kalangan mereka.

(16) Secara ringkas, maka dapat saya rumuskan MED = f( Ekuiti Rakyat(Pengeluaran, Pemprosesan, Perniagaan, Khidmat Sokongan), Kepimpinan-Keusahawanan(Penjawat Awam, Masyarakat Desa)).

(17) Bagi menzahirkan MED ini, saya mengusulkan agar Koperasi-koperasi Rakyat dapat ditubuhkan di kawasan-kawasan pembangunan penting. Keahlian dari Koperesi ini adalah mereka yang pada masa ini menjadi perserta atau pemegang ikuiti dalam pembangunan pengeluaran sedia, khususnya yang di kendalikan oleh GLC. Keahlian khusus juga boleh diadakan terutama bagi menampung golongan 'terpinggir dan tidak berkeupayaan'. Kopersi-koperasi ini pada mulanya, hendaklah dipimpin oleh Eksekutif-eksekutif GLC yang berkemampuan. Kegiatan Koperasi ini, pada mulanya hendaklah mengadakan Hidmat Peruncitan dan Borong Pengguna bersama dengan GLC berkenaan. Kemudiannya, kegiatan Koperasi ini mestilah dikembangkan kepada perhidmatan-perkhidmatan dan industri lainnya yang boleh menyokong perekonomian setempat.
(18) Dalam hal ini, GLC berkaitan terpaksa menyediakan modal awalan bagi keperluan Kapital (Capex) dan Pusingan Perniagaan (Opex). Dalam masa yang sama, tergantung kepada jumlah Koperasi yang ditubuhkan, GLC berkenaan semestinya perlu menyelaras semua kegiatan-kegiatan Koperasi-koperasi ini, dan seterusnya menyediakan Pelan Perkembangan Perniagaan yang lebih terususn dan meluas.
(19) Dengan kaedah ini, segala Projek yang dijalankan, akan benar-benar memberikan kesan rantaian ekonomi yang kukuh kepada sesebuah kawasan. Disamping itu, dan menjadi lebih penting, pendapatan masyarakat desa bukan hanya akan bertambah baik, tetapi akan mengalami pertumbuhan yang lebih kekal. Hanya dengan cara inilah, baru boleh kita katakan bahawa rakyat terlibat penuh di dalam struktur ekonomi negara.
(20) Terpulang kepada kebijaksanaan GLC untuk mengarap segala kekuatan yang ada. Kaum bukan bumiputera yang selama ini sudah beribu tahun di dalam sektor perdagangan boleh menjadi teman strategik. Rangkaian pemasaran dan bekalan yang ada pada mereka perlu diguba pakai sepenuhnya. Namum, kita mesti bijak untuk tidak hilang kawalan.
(21) Saya juga melihat, dengan dana yang begitu besar di PUNB, TH, KWSP, dan Kumpulan Wang Pencen, maka sifat sinergi GLC-Koperasi Rakyat akan membuka ruang pelaburan yang lebih luas kepada dana-dana ini. Cuma, apa yang perlu adalah kepimpinan GLC harus boleh melihat pantas perkara seperti ini, dan bertindak cepat dan strategik.

(22) Mudah-mudahan ada pendokong kuat dalam hal seperti ini. Ini bukan perkara baru, ianya telah digerakkan oleh Ungku Aziz, dan di Indonesia, Filipina, dan Thailand, gerakan Koperasi inilah yang telah memerdekakan negara mereka, namun kerana kelemahan kepimpinan, ianya lenyap tanpa nisan.

Kuching, Sarawak
20 May, 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

2 comments:

Anonymous said...

setuju dengan pendapat tuan. tapi golongan pelaksana (executive) kerajaan lemah, rasuah, pentingkan diri sendiri, mahu kaya sendiri, juga penyumbang masalah tiada penghujung ini.

Abdullah Chek Sahamat said...

Yang utama, kita mesti peka dan sedar akan kesilapan orang lain, dan jadikan kesilapan dan kelemahan itu sandaran buat kita melakukan yang betul, ikhlas, dan jujur. Kalau yang lain tidak mahu betul, biarlah kita menjadi petunjuk yang betul. Pasti Allah itu Mahapengasih, kita suatu waktu akan ada pengikutnya.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.