.

8/2/10 MAGDALENA.......erti cintaku padanya

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - February 15, 2010

Share

& Comment


Saat Hamka menerbitkan bukunya: Tenggelamnja Kapal van der Wijck, pentas kesusasteraan Indonesia dan kewibawaan Hamka sebagai karyawan ulung seperti tercabar. Biar mungkin natijahnya, penciptaan buku itu oleh Hamka yang boleh digarap sebagai kisah cinta dan pertentangan halus beliau terhadap budaya Minangkabau yang menafikan soal perasaan dan persamaan taraf semua manusia berbanding dengan budaya suku Minang, yang secara kebetulan mungkin punya persamaan dengan pertentang darjat dan kedudukan di antara cinta Magdalena dan Steve, telah menjadikan banyak mulut dan fikiran memandang serong terhadap usaha dakwah Hamka melalui novel. Persamaan jalan cerita ini dengan Sous les Tilleuls karangan Alphonse Karr kemudiannya diterjemah ke bahasa Mesir oleh Musthafa Luthfi Al-Manfaluthi dengan judul Madjdullin. Kerana kemelut ciplak dan plagiat yang dipertuduhkan kepada Hamka, telah menyebabkan Abdullah Salim (A.S) Alatas pensyarah Bahasa Arab di Fakulti Universiti Indonesia berserta M. Junus Amir Hamzah telah memulakan terjemahan tulisan Al-Manfaluthi ke bahasa Indonesia sekitar 1962. Usaha ini bagi membolehkan sesiapa sahaja yang berminat untuk membaca dan membuat perbandingan sendiri antara Tengelamnja Kapal van der Wijck dan Magdalena Di Bawah Naungan Pohon Tilia.


(2) Saya berkira, pada masa itu Hamka adalah anak muda, yang fikirannya agak berbeda dengan kononnya para ulama Madrasah yang tua-tua. Dakwah pada masa itu sangat terbatas di Masjid-masjid, surau-surau atau tempat-tempat khusus, sedang Hamka telah mengunakan sastera dan apatah lagi Novel sebagai perantaraan baru beliau. Menggunakan kisah cinta dan diselit dengan pertentangan terhadap budaya yang tidak sealiran dengan fitrah Islam, saya percaya telah menjadikan tulisan Hamka tidak dapat di terima. Maka mungkin kerana ada unsur kebaratan pada karya beliau, maka 'fitnah' tercipta bahawa Magdalena Hamka adalah ciplakan dari tuliasn Karr. Hasilnya, terjadi debat antara yang pro dan kontra. Suatu sifat Melayu, kita sangat gemar berpolimik dari mencari jalan bagaimana memanfaatkan sesuatu atau keadaan! Kita lebih suka bercakaran, sedang jalan sebenar sepatutnya, mencari hikmah dari segalanya.

(3) Kedua buku ini saya kira telah saya baca sekitar tahun 1974/75 dalam tempoh usia saya sedang beralih untuk mengerti tentang hidup dan kemasyarakatan. Namun anihnya dalam sekitar Feb.-Mei, 2009 ketika saya sedang dalam kesempitan ruang untuk menumpu pada kerja dan menghambat memenuhi rasa jiwa yang tengah bergelora, seperti kata Steven dalam Magdalena: “….(ms 11) …kemudian dia naik ke kamarnja dengan sudah mengetahui bahwa apa jang dirasakannja sedjak hari ini bukanlah lamunan atau gangguan pikiran, djuga bukan kebimbangan atau panasnja demam sebagaimana dia dahulu mengiranja, tetapi ini adalah asmara”. Sehingga tiba waktunya, penyebab gelora jiwa itu saya sebut sahaja sebagai Cenderawasih.

(4) Kebetulan tika bersama Cenderawasih ke Pekan Rabu, di Alor Setar pada bulan Mei, 2009, saya menemui beberapa karangan Hamka termasuk Tengelamnja Kapal van der Wijck. Buku itu, belum saya ulang baca sehingga ke hari ini, kerana saya bertekad untuk mendapatkan Magdalena Di Bawah Naungan Pohon Tilia terlebih dahulu. Saya menyenaraikan judul buku ini sebagai buku yang sedang saya cari di dalam blog saya, dan syukur seorang hamba Allah telah menrintis jalan bagi saya menjejakinya sehingga ke Pustaka Nasional Indonesia (PNI) di Jakarta Pusat. Buku ini juga boleh kedapatan dalam Koleksi Khas Pustaka Tun Seri Lanang di Universiti Kebangsaan Malaysia, namun ianya hanya tinggal satu nahkah dan sukar dipinjam.

(5) Buku ini sudah tidak lagi terjual. Dengan ikhsan perpustakawan di Putaka Nasional Indonesia, saya dapat menyalin buku tersebut, dan insyaAllah akan cuba membangunkan salinan elektroniknya jika saya kecukupan masa dan akan mempamirkannya di Blog saya nanti.

(6) Setelah mengambil sedikit waktu semasa di PNI dan di kamar hotel, menumpu membaca beberapa bab dari buku tersebut, saya rasa amat terpegun tentang betapa penulisan telah dapat membangkitkan semangat bangsa untuk kemerdekaan dan pembaharuan. Hamka dan Al-Manfaluthi adalah dua nama yang tidak harus kita singkirkan dalam memulakan pembaharuan fikiran di kalangan masyarakat masing-masing. Mereka, ada masanya menulis rencana yang pedas membidas, dan bagi menyentuh jiwa anak remaja belia agar turut bangkit membela bangsa, mereka lebih gemar menggunakan novel sebagai perantaraan yang sangat berkesan dalam penyampaian fikiran mereka.

(7) Jalan cerita Novel ini, pastinya sama sahaja dengan apa juga novel-novel yang ada. Cuma gaya olahan bahasa adalah sangat berbeza, sangat halus-seni, dan menyentuh penuh bunga. Namun, yang membedakan novel sebegini dari segalanya adalah pertentangan halus penulis terhadap kepincangan budaya, politik, fahaman, dan segala kemelut masyarakat, tidak hanya tertumpu pada soal-soal kemelut akibat cinta: rindu, ketawa, kecewa, derita, pedih, lirih, dan sengsara.

(8) Namun sesuatu yang jauh lebih penting dari itu adalah tentang latar belakang penulisnya. Saya perturunkan sedikit latarbelakang tentang Al-Manfaluthi, khusus dalam apa yang saya lihat sebagai mungkin boleh menjadi teladan kapada kita dalam menghadapi kancah maruah dan martabat bangsa yang tengah tercabar kuat. Saya seperti berkeyakinan, mungkin ini sebenarnya kenapa saya begitu kepingin memiliki buku ini di saat sebegini. Bagi Pak Hamka, kita boleh mengenalinya dengan lebih mudah, baik di Malaysia dan Indonesia banyak terbitan-terbitan tulisannya.

(9) Al-Manfaluthi lahir di zaman Mesir terjajah kuat oleh Inggeris, iaitu selepas jatuhnya penguasaan Peranchis. Dia adalah seorang dari pegikut kuat Sheik Muhammad Abduh, seorang ulama besar Universiti Al-Azhar, Mesir yang amat terkenal dengan tentangan politik beliau terhadap kebiadapan penjajah bangsanya. Al-Manfaluthi memilih sastera sebagai wadah perjuangan beliau: Dia tidak suka berpolitik. Dia lebih suka mengabdi kepada negara dengan jalan menulis tentang halehwal manusia dan masyarakat. Dia menterjemahkan kisah…Fisabili tadj (Kerana Mahkota) iaitu sebuah roman nasional yang mempunyai pengaruh besar dalam mengobar dan membangkit semangat pemuda dalam menentang penjajahan.

(10) Beberapa karya Al-Manfulthi terutamanya (a) An-Nadharat yang memuatkan rencana-rencana kritikan terhadap masyarakatnya, (b) Al-Abarat yang merupakan lukisan cerita orang-orang susah dan sengsara, (c) Al-Hidjab (Tjadar) yang mengisahkan pertembungan perbedaan budaya dalam sebuah keluarga; (d) Al-Yatim yang memperlihatkan bahawa kemiskinan itu harus menjadi sebab yang memutuskan tali persahabatan; (e) Al-Muzakkirat (Peringatan) yang mengambarkan bahawa masa lampau yang penuh dengan dosa tidak seharusnya menetapkan orang yang melakukannya sebagai orang buruan, terluput dari kasihan manusia, jika dia sudah bertaubat dan meneguhkan kehendaknya untuk menempuh penghidupan yang baik, adalah beberapa contoh kerja otak beliau yang sangat halus dalam "langkah senyap" beliau membela bangsa. Mudah-mudahan Pusat Islam kita di Jalan Ong Tiang Swee akan mengorak langkah bagi mendapatkan tulisan-tulisan sebegini buat kajian anak-anak bangsa kita.

(11) Penulisan Al-Manfulathi menpunyai pelbagai tujuannya, dan yang terpenting adalah: (a) Pembaikan masyarakat, dan dalam hal ini dia sering menjadikan masyarakat sebagai sasaran kritikannya dan membongkar segala kekurangan yang terdapat di dalamnya. Dia sering bercerita tentang yang kaya dan yang miskin, tentang kasih saying, keadilan, benar dan dusta, kemerdekaan, kehormatan, cinta, perkahwinan, kedermawanan, kekikiran dsb. Beliau sangat mengecam mereka yang suka-suka meniru Barat, tanpa sebenarnya mengerti apa maksudnya. (b) Mengambarkan kesengsaraan dan orang-orang yang sengsara, menceritakan halehwal mereka dan menangisi mereka.

(12) Al-Manfulathi pernah berkata: “ Saya adalah seorang sengsara. Zaman telah menghabiskan panah-panahnya yang bersayap ke dada saya. Saya telah merasakan kehinaan pada suatu masa, kelaparan berhari-hari dan kemiskinan bertahun-tahun. Oleh kerananya dapat saya merasakan pahitnya penghidupan pada mulut orang-orang miskin, melihat sasaran panah zaman pada kalbu orag-orang sengsara dan malang……wahai orang-orang berbahagia, jadilah orang pengasih, biarkanlah hatimu merasakan kerahiman, agar hatimu berubah menjadi rahmat sebenar-benarnya…..mudah-mudahan engkau menangis tiap kali engkau melihat seorang yang sedang sedih dan malang, sehingga dia tersentyum girang karena tangismu dan merasa senang kerana air matamu. Air mata yang mengalir atas pipimu dalam keadaan semacam itu adalah baris-baris cahaya yang mencatat bagimu dalam halaman yang putih bahawa engkau adalah manusia…”

(13) Mudah-mudahan, semua ada kesempatan untuk meneliti hasil kesusasteraan lama, dan berusaha memerhatikan bagaimana mereka ini terdahulunya dapat mengembeling tenaga rakyat yang tengah payah, susah dan miskin bangkit memerdekakan diri. Namun pada hari ini dan di masa mendatangnya, martabat dan ‘merdeka diri’ kita kian luput dan hanyut. Di mana, dan siapa kita?

Senayan, Jakarta
15 Feb., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

5 comments:

Anonymous said...

Diharapkan saudara berbahagia bersama cenderawasih...lantas usah dicari cenderawasih lain...

Mie said...

Tahniah kerana saudara berjaya merasai cinta...

Abdullah Chek Sahamat said...

Sebetulnya, saya dapat mendalami rasa derita seorang yang sengsara apa tah lagi di kalangan mereka yang digelung-belit kemiskinan. Biarlah cinta kita terpaku dalam membela mereka biar seberapa sedikitpun.

Huzaifah AJ said...

Apa kakak sudah upload versi penuh novel Magdalena ini? Saya kepingin tahu, buat analisis sama karya Buya Hamka; Tenggelamnya Kapal Van der Wijck. Terima kasih ya, kakak.

Abdullah Chek Sahamat said...

Maaf Huzaifah, saya ngak bisa upload bukunya Magdelena kerana kita harus menghormati "Intellectual property right". Kalau sdra kepingin untuk membaca buku itu, coba di cari ke Library Jakarta atau ke Toko Buku Langka di Taman Indonesia di Jakarta. TQ

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.