Sejak saya membicarakan tentang Hajat dan Istiharah sedikit masa lalu, saya dapati, dari pelbagai tajuk yang telah saya sentuh, nampaknya tulisan saya mengenai hal tersebut sering kali dibaca oleh pengikut Blog ini. Saya tertanya-tanya, apakah bacaan berulang atau 'hit' berulang ini adalah kerana saya telah menulisnya dengan kurang betul atau ianya sudah menjadi satu penelitian bagi mereka yang berminat atau sealiran. Kebetulan, kebelakang ini, saya sudah agak 'intensive' dalam mengumpul dan mengkaji buku-buku dan tulisan mengenai Islam dan amalan Ibadah dalam Islam.
(2) Kebetulan saya juga sedang membaca, bagaimana sembahyang Tahajjud telah diwahyukan kepada Muhammad, iaitu ketika baginda sedang 'tenat' dilanda 'musibah' tekanan kaum Quraish Mekah diawal perkembangan Islam. Maka atas rasa kesedaran saya untuk sama-sama mengembangkan Ilmu yang saya perolehi secara sedikit-sedikit, khususnya untuk kebaikan semua, maka kali ini saya cuba 'melihat Hajat, Istiharah, dan Tahajjud' sebagai satu rantaian 'Work Process' dalam mencapai suatu tujuan yang baik. Mudah-mudahan, jika saya betul, akan menjadi iktibar kepada yang lain.
(3) Dalam Islam, Al Quran dan semua Imam besar, telah menyatakan bahawa segala sesuatu perbuatan kita mestilah didahulukan dengan niat. Niat yang jelas sebenarnya, menjadikan diri kita 'tertumpu: focus' kepada apa yang kita hendak lakukan dan atau hajati. Dalam buku: Imagination First oleh Eric Liu dan Scott Noppe-Brandon yang sedang saya baca, niat memberikan Sense of Purpose! Dalam Islam, jika niat dan hajat kita adalah baik, dan dalam keadaan di mana kita agak ragu-ragu tentang 'kejayaan' bagi pencapaian niat atau hajat tersebut (asalkan baik), maka kita digalakkan bersembahyang Hajat. Kita di sunatkan memohon restu dari Allah di atas niat atau hajat kita tersebut.
(4) Dalam soal memohon restu (sembahyang Hajat), saya berpendirian, adalah sama sekali tidak wajar, jika kita hanya berdoa tanpa adanya usaha gigih. Dalam soal ini saya berpegang kepada maksud peringatan Allah, bahawa: Dia tidak akan membantu orang yang tidak mahu membantu dirinya sendiri. Fahaman saya dalam hal ini, sebelum kita berdoa kepada Nya, kita mesti terlebih dahulu berusaha dengan penuh hemah dan iltizam. Yalah, Allah itu Maha Adil, dan demi Dia kekal adil, apakah adil jika orang yang hanya berdoa dengan mudah mendapat restuNya sedang orang yang berusaha sambil berdoa mendapat timbalbalas (treatment) yang sama? Pastinya, akan lebih adil jika orang yang berusaha dan berdoa mendapat lebih dari yang hanya berdoa!
( 5) Jika di dalam usaha kita bagi mencapai hajat kita, terjadi dua persimpangan, maka perkiraan yang terbaik adalah dengan membuat perkiraan 'risiko'. Kita perlu kaji 'level of risk' bagi semua pilihan yang ada. Namun saya mengira, dalam pemilihan yang kita buat, tidaklah seharusnya kita hanya memilih 'least risk', adakalanya pilihan berbentuk 'high risk' perlu juga kita pertimbangkan. Kebiasaannya dalam soal sebegini, umat Islam dinasihatkan untuk beristiharah, iaitu memohon pertunjuk dariNya tentang kemungkinan pilihan kita.
(6) Di sini, bukan pula atas niat saya menempelak kuasa Illahi, sebetulnya, Dia memberikan kita segala kebebasan untuk membuat pilihan sendiri. Kita telahpun diberikan otak bagi mencari akal, serta hati yang menjana naluri bagi mengerak usaha. Saya pasti, di dalam hal ini, keperluan untuk beristiharah, adalah cara Allah mengajar (menunjukkan) kita, bahawa dalam membuat apapun keputusan yang kita ragu-ragukan, maka kita perlu berada dalam keadaan sepenuhnya waras (sedar). Di sini, kita sebagai orang Islam perlu tahu fitrah dari cara, keadaan diri dan masa yang terbaik bagi mengerjakan sembahyang Istiharah. Kita diperlukan dalam keadaan bersih, segar, penuh sedar, tenang, dan 'sunyi'. Semua ini adalah keperluan terbaik untuk kita berada dalam kedudukan: 'focus' dan menjiwai akan segala sesuatu yang kita hadapi. Saya berpandangan, Istiharah sebahagiannya adalah tuntutan agar kita berfikir dan berkira secara tenang, mendalam dan meluas.
(7) Bagi yang memilih jalan 'least risk' perjalanan seterusnya mungkin agak mudah. Tiada banyak kegundahan. Namun, hanya masa yang akan menentukan apakah pilihan 'least risk' merupakan pilihan terbaik. Cuma, apakah sikap kita, bilamana kita telah bersembahyang hajat dan istiharah, dan kita terdahulunya mengambil sikap memilih 'least risk', dan bila masa berlalu, kita kemudiannya dapati bahawa pilihan kita secara 'least risk' sebenarnya adalah pilihan 'short term', bagaimanakah agaknya sikap kita kepada 'pertunjuk' Illahi pada masa itu?
(8) Di sinilah, sebenarnya apa yang saya fahami bahawa, Allah memberikan kita segala kebebasan untuk menentukan nasib kita sendiri. Dia menjadikan kita. Kita yang perlu menghidupkan diri kita, sebelum Dia mematikan kita. Menjadikan kita, dan mematikan kita adalah hak Dia, namun 'menghidupkan' kita adalah tugas kita, dan Dia memberikan kita kebebasan untuk itu. Fahaman saya, Dia 'membenarkan: allowed' apa juga jalan pilihan kita, cuma apapun akhirnya, hanya otak dan jiwa waras kita yang 'menerima' hikmahnya!
(9) Dalam keadaan penuh bahaya, Muhammad pernah disuruh oleh sebahagian pengikutnya berdoa kepada Allah agar keselamatan dirinya dan pengikut awalnya dilindungi. Namun Muhammad memilih untuk 'tidak berdoa', tetapi terus berusaha dengan jalan akal dan nularinya menempuh dugaan Hijrah beliau, sehingga setahun selepas Hijrahnya ke Madinah, baru diturunkan suruhan bersembahyang Tahajjud. Dan Tahajjud baginda adalah kerana baginda telah memilih satu jalan yang penuh risiko, iaitu berdepan dengan kaum Kafir Quraish dalam membebaskan Mekah dari segala kekufuran. Dengan Hajat yang suci, dengan penuh tekad dan keberanian kerana telah beristiharah, Muhammad menyerah segala 'kejayaan perencanaan dan tindakannya' kepada Allah. Biarpun dengan risiko yang tinggi, dia kemudiannya berjaya mengalahkan Quraish dan membersihkan Mekah dari segala patung dan kekufuran!
(10) Kita mungkin berkata, itu Muhammad. Kita lain. Namun, terpikirkah oleh kita 'natijah dan mukzizat' dari sifat Muhammad yang 'tidak hanya berdoa'. Dalam segala periwatan tentang Muhammad, pernahkah kita temui biar hanya secebis dari jalanan hidupnya, hanya berdoa menadah tangan kepada Allah tanpa dia terlebih dahulu berusaha! Tidak pernah Muhammad hanya berdoa tanpa terlebih dahulu dia berusaha!
(11) Pendeknya, Muhammad menanam Hajat, kemudain berfikir waras dalam Istiharah, lalu menyerah kepada Allah tentang pilihannya dalam Tahajjudnya. Muhammad mencerna mimpi, memasang niat, memilih jalan, dan menetapkan diri pada jalan pilihannya. Dia hanya menyerah 'nasib' usahanya kepada Allah. Dia tidak hanya menyerah nasibnya kepada Allah!
(12) Maka kebetulan juga saya telah bercakap dengan seorang teman yang jauh, yang meminta pandangan saya mengenai jalan dia mencari jodoh serta nasib masa depan hidupnya, maka nasihat saya, bahawa kita tidak hanya boleh berHajat, berIstiharah, berTahajjud sebagaimana kefahaman cetek dan mudah 'menyerah' kita, tetapi, kita kena berusaha, kita kena mencari, kita kena berani biar terpaksa 'merentas samudera ganas' lalu kita 'mesti tekad' akan pilihan kita, hanya dengan syarat, segalanya mestilah sesuatu yang baik!
Kuala Lumpur.
12 January, 2010
0 comments:
Post a Comment