.

1/3/2021 MATI DI BANDAR ITU MAHAL ..... 700% lebih murah di Kampung.

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 31, 2021

Share

& Comment

Berapa ramai antara kita pernah berfikir, berapakah nilai sebuah kematian? Satu persoalan yang anih, namun ianya sesuatu yang cukup menarik. Kematian itu pasti. Tidak perlu ditakuti dan tidak perlu dinanti-nantikan. Dalam Islam, kematian adalah suatu titik kehidupan baru, buat si mati juga yang ditinggalkan. Buat si mati, kematian adalah titik kembalinya kita kepada azali kejadian kita; tanah. Kita mula asalnya dari tanah dan debu, maka kembalilah kita kepada tanah dan debu. Sebegitulah nasib jasad kita, sehingga timbulnya hari kebangkitan. Berapakah nilai kematian itu? Mengikut Al Quran, sebuah kematian, nilai diri kita adalah setara segala kebaikan dan kejahatan yang pernah kita lakukan di sepanjang hidup duniawinya kita. Allah menegaskan, biar sebesar debu kebaikan dan atau kejahatan yang kita lakukan, semua akan Dia nilaikan. Penilaian Allah adalah berasaskan Neraca Mahsyar. Ganjaran nilainya adalah tahap Syurga dan atau Neraka yang setara. Namun sebelum itu, kita akan berada di alam kubur. Lama waktunya, itu rahsia Allah. Di alam kubur, kita menanti detik penilaian yang Allah telah janjikan. Semasa penantian itu, hanya kebaikan yang boleh melapang dan menerangi persemadian kita. Jika kejahatan kita mengatasi segala-gala, maka kubur menjadi neraka pertama persemadian kita.

(2) Saya yakin, bukan sekadar Islam mengajar kita tentang senang; baik dan payah; buruknya sebuah kematian. Agama dan adat budaya lain juga meladeni kematian dengan segala ritual yang cukup berjela-jela. Kisah Qabil, anak Adam AS yang membunuh adiknya Nabil, hanya kerana cemburu dan bahil, telah meresahkan diri Qabil untuk sekian waktu sehinggalah sang gagak mengajarnya ritual pengkebumian yang saya kira telah manusia dari saat itu kembangkan menjadi sesuatu yang cukup berjela-jela dan menyusahkan.  Kematian di zaman Firaun bahkan Maharaja China mengundang pengorbanan keluarga, pengikut malah rakyat jelata yang cukup perit mengharukan. Masyarakat Buddha dan Hindu umpamanya, bukan hanya mengembalikan jasad kematian ke dalam bentuk azali debunya, malah di mana mampu dan semampu-mampunya mahu debu jasad itu harus kembali ke kampung halaman asalnya. Semua itu memerlukan biaya yang ritual yang mahal. Kematian dalam masyarakat Cina, contohnya pada pandangan saya cukup menyusahkan. Perbelanjaan yang besar bukan hanya perlu dalam menguruskan jenazah, malah tahun-tahun seterusnya. Agak ringan dalam masyarakat Melayu dulu-dulu, sekadar Tahlilan Haul pada setiap tahun, sehingga muncullah kini pandangan yang mengatakan bahawa Tahlilan Haul itu "tidak ada dalam Islam" dan menjadi debat besar di Indonesia yang sekian lama dahulu dibauri budaya Buddha dan Hindu.

(3) Saya pernah diceritakan bagaimana sebuah kematian di kalangan puak Papua New Guinea adalah ibarat malapetaka. Sebuah kematian di rantau tersebut boleh mengundang kepapaan kepada keluarga yang tertinggal. Keluarga si mati terpaksa bergolok bergadai untuk mengurus jenazah. Belanja mengurus sebuah kematian adalah sangat besar dan membebankan. Nilai kematian dan perkahwinan dalam budaya tersebut paling menghukum. Sebegitulah kematian di kalangan puak Penan di pedalaman Sarawak juga menjadi sesuatu yang cukup mengerikan. Bila berlaku kematian, maka seluruh kampung mereka perlu dipindahkan. Inilah apa yang Alias Congo dalam Madu Tiga P Ramlee maksudkan "Haiya matipun susah, ilup (hidup)pun susah."

(4) Suatu kemusyilan yang pelik pada padangan saya adalah, rata-rata manusia dari kelompok apapun mengatakan bahawa "kematian adalah kembalinya manusia kepada sang Pencinta"; namun pada saat kematian berlaku, sepertinya yang hidup tidak redha kepada kepulangan kekal si mati. Bukan sekadar itu, ritual yang mengiringi kematian juga berjela-jela membebankan. Di dalam Islam, Nasrani malah Yahudi, kematian adalah "kembalinya kita kepada Allah yang Maha Penyayang dan Pengasih". Maka jika itu kita pegang benar-benar, seharusnya kematian harus kita terima dengan segala kelapangan dan keredhaan. Paling penting, urusan kematian harus dipermudahkan. Kita harus rehda dan mempermudahkan kepada si mati untuk "segera pulang kepada Pencintanya". Hidup kita di dunia ini hanyalah pertandangan ie persinggahan, saat harus berangkat pulang, cukup sekadar didoakan selamat berangkat. Lantaran itu, bagi saya, maka hukum Islam adalah wajar bahawa sebuah kematian itu harus menjadi urusan yang mudah namun suci. Yang penting, jasad si mati harus disemadi dengan penuh kesucian - madi, kafan dan semadi secara sempurna. Dia harus segera dikembalikan kepada Pencipta dan Pencintanya dalam keadaan penuh suci. Tiada tuntutan kurang dan atau lebih dari itu.

(5) Saya berpandangan, urusan persemadian si mati adalah urusan yang hidup dan ianya harus mudah dan pantas. Jangan kita menjadi Qabil meratap binggung saat Nabil sudah kujur sebatang mayat. Allah menurunkan gagak buat mengajari kejahilan Qabil, agar segera yang mati disemadikan. Suatu tindakan yang mudah dan segera. Cuma kini saya melihat "kematian sudah menjadi ritual asal Qabil - binggung, berjela-jela dan menyusahkan."

(6) Saya menulis ini, lantaran saya menerima  sebuah SMS dari seorang teman tentang harga mengurus kematian seorang Muslim di Bandaraya Kuching. Mengikut hebahan LAKMNS anggaran belanja mengurus sekujur jenazah adalah dalam julat RM600.00-700.00 bagi setiap jenazah. Sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk membeli bahan-bahan bagi pembuatan keranda, kafan dan pengalian liang lahad jenazah. Sekilas pandang, ianya tidak mahal. Seperti juga saya katakan terdahulu, kematian adalah pasti. Kita harus bersedia pada bila-bila masa ajal kita melayang. Maka atas precaution yang sama, siapapun dan kapanpun, harus juga bersedia untuk belanja mati. Mungkin, sedari kanak-kanak Umat Islam harus menabung buat urusan jenazahnya nanti, sama seperti kita harus mulai bertatih sholat sedari kanak-kanak. Tampak gampang dan logik. Namun, sebagai manusia yang nafsunya kekal subur biar kapanpun, kematian adalah perkara terakhir yang manusia fikirkan. Lantaran itu, saikologinya, persediaan untuk matipun pasti menjadi keperluan terakhirnya dan malah ramaipun yang tidak bersedia apapun untuk mati. Itu prihal pertama. Lantaran manusia tidak pernah bersedia tentang belanja matinya, maka matinya menjadi urusan yang "mahal terkejut"- biaya blak-blakan kata orang Jawa.

(7) Kedua, buah fikiran mengujudkan dan memperkasakan LAKMNS adalah dari Taib Mahmud yang mulai dapat melihat bahawa kebajikan masa depan umat Islam perlu dilihat secara khusus dan bijaksana. Setahu saya, di sepanjang pentadbiran Taib Mahmud, beliau berusaha untuk menjadikan LAKMNS sebagai sebuah badan yang mampu berdikari dalam mengurus kebajikan umat Islam. Pelbagai kelebihan diberikan kepada LAKMNS untuk mampu mencapai tahap tersebut. LAKMNS seingat saya banyak diberikan tanah bagi urusan pelaburan bagi mendatangkan sumber kewangan yang mantap dan mencukupi. Bahkan Umat Islam Sarawak juga banyak menyumbang dalam pelbagai bentuk bagi mengisi tabung Masjid. Maka sejak dari penubuhannnya, sehingga kini, bagaimana status kewangan LAKMNS? Pastinya, kita juga ingin tahu bagaimana dan untuk apa dana LAKMNS telah digunakan? Apakah LAKMNS belum punya kekuatan dana? Jika ya, saya yakin, pengurusan dan model LAKMNS harus diteliti secara mendalam dan meluas serta perlukan perubahan deras.

(8) Sekilas pandang, saya merasakan bahawa kini, dana LAKMNS banyak diguna secara membazir. Cuba perhatikan urusan-urusan penjagaan Masjid, dari pembinaan, ubahsuaian, pembaikan, selengaraan sehingga ke penggunaan elektrik, air malah jamuan berbuka puasa. Saya kira terlalu banyak "berlebih-lebihan". Saya belum berjumpa Masjid dibina dan diurus agar Self Financing. Saya melihat bahawa pengurusan LAKMNS tidak nampak perkara tersirat dari penubuhannya - mereka belum keluar dari comfort zone. Inspirasi Taib Mahmud belum LAKMNS terjemahkan secara lebih professional. Agak-agak berapa ongkos SAW belanjakan untuk urusan Nabawi di zaman hidup beliau? Biar ongkos tersebut diperkadarkan simulated ke zaman ini, apa beliau ada mengamalkan unsur-unsur pembaziran dan bermegah-megahan? Benar, Masjid "rumah Allah". Ianya wajib dijaga sempurna. Namun Allah tidak memerlukan segala macam pembaziran dan kemegahan. Cuba lihat Kaabah, apa ada padanya, azalinya? Hanya keluarga Saud yang menjadikan Kaabah agak  berbeza dari azalinya. Sama juga Masjid Nabawi. Pokoknya, biar Islam lahir untuk mengekang nafsu, namun nafsu payah sekali untuk Muslimin kawali. Saya mulai melihat, Masjid kian dijadikan wadah bagi menjamu nafsu bermegah-megah; riak. Kita sedang meraikan Masjid sebagai simbul kemegahan bukan wadah mengukuh keImanan dan kesejahteraan Ummah, maka dana Masjid tidak dibelanja pada jalan cukup hemah dan bermanafaat besar mampan buat Ummah.

(9) Saya juga sering berfikir, kapan agaknya LAKMNS dapat menyatukan semua Masjid dan Surau di Sarawak ke dalam suatu sistem pengurusan institusi Islam yang benar-benar dapat membawa kesejahteraan and kemakmuran kepada Ummah. Saya belum nampak suatu gerakkan massa dalam mengembeling seluruh kekuatan Masjid dan Surau-Surau agar benar-benar menjadi institusi Islam yang kebang meluas menjajari Nabawi di zaman SAW. Masjid dan surau seperti little Napolean terkesendiri.

(10) Perkara pokok yang ingin saya ketengahkan adalah, kematian adalah kemestian. Semua mesti mati. Sama seperti sholat Jumaat di Masjid. Setiap Muslim yang layak mesti sholat Jumaat. Urusan sholat adalah urusan suci dan mudah. Bukan dimewah-mewah apa lagi dipayah-payahkan. Maka mati dan sholat adalah kemestian yang mesti. Kedua-dua memerlukan penjagaan kesucian dan dipermudahkan. Maka kenapa sholat dan mati harus menjadi suatu budaya yang kian mahal?

(11) Maka LAKMNS harus kembali kepada niat asalnya. Biarlah LAKMNS menjadi suatu institusi yang mengaman tenteramkan jiwa Muslimin, bukan institusi yang Muslimin lihat sebagai institusi membebankan biar di saat hujung hidupnya. Ongkos kematian, harus ditangani sebagai tanggungjawab Masjid apa lagi LAKMNS. Benar tiada apa yang percuma di alam duniawi ini. Cuma saya ingin mengembalikan kepada yang berfikiran sebegitu untuk merenung kenapa "biar dalam prihal wajib, Allah tetap memberikan laluan free tol?" Contoh, sholat. Sholat wajib untuk semua. Namun wanita haid, uzur, tidak wajib sholat. Apakah kias Allah dalam soal tersebut berkait dengan belanja mati LAKMNS? Pandangan saya, LAKMNS harus berhati-hati dalam penetapan dan hebahan ongkos kematian mereka. Jangan sampai LAKMNS dilihat bersikap membebankan. VVIP mendapat kemudahan terbaik, kenapa tidak rakyat biasa? Sesungguhnya jasad VVIP dan rakyat biasa, sama saja "jalan penilaiannya". Biarlah LAKMNS menjadi sahabat akrab Ummah bukan litah, pacat atau tse-tse - metak kata Orang Laut. LAKMNS hakikatnya untuk apa?

(12) Saya mengira, jika LAKMNS dapat melihat pengurusan kebajikan kaum Muslimin secara lebih terbuka dan tidak taksub mengikut budaya sediada apa lagi nafsu riak, saya yakin segala urusan kebajikan umat Islam pasti menjadi mudah, murah malah "percuma". Para pentadbir LAKMNS mungkin perlu mendongkel kitab-kitab tentang cara SAW, Abu Bakar, Umar Al Khatab dan malah Umar Abul Aziz menguruskan kebajikan Umat pimpinan mereka. Soalnya saya kira LAKMNS sedang mengurus soal-soal kebajikan Umat Islam masih pada tahap "kampung yang jumud". LAKMNS saya kira lebih gemar melayan nafsu bermegah-megah membazir dari mengurus kebajikan pada tafsiran kebajikan yang meluas. Bahkan LAKMNS harus malu kepada tradisi Kampung, ongkos mati di kampung adalah "NOL; KOSONG".

(13) Pernahkan LAKMNS membuat Pangkalan Data untuk Umat Islam dan segala Masjid dan Surau di Sarawak yang mereka uruskan dan atau perlu pertanggungjawabkan? Kalau tidak terfikir, maka amat dhaiflah pengurusan LAKMNS. Sebabnya, tidakkah Al Quran dengan jelas mengatakan bahawa Allah tahu segala-gala maka Dia dapat mengurus alam dengan penuh sempurna. Bagaimana Allah boleh tahu segala-gala? Apakah sistem yang Allah gunakan? Jika Al Quran sudah berkata sebegitu, maka kenapa institusi Islam tidak meneladani cara pengurusan Allah? Perkara paling mudah LAKMNS boleh tangkap di dalam Pengkalan Data mereka adalah segala kemudahan khiarat kematian yang ada diperuntukkan oleh pelbagai agensi dan GLC kini. Saya kira, dengan Pangkalan Data sebegitu prihal ongkos kematian bagi ummah pasti menjadi mudah. Samalah juga segala sumber dan kekuatan segala Masjid dapat digembelingkan tanpa perlu penduaan kemudahan dan ongkos. Soalnya, apakah pengurusan LAKMNS benar-benar menjiwai prinsip dan bidang kebajikan Islam? Saya khuathir pengurusan LAKMNS masih di tahap si buta memimpin si pekak atau si tuli memimpin si buta.

(14) Sesungguhnya nilai kematian di Kuching adalah 600-700 peratus lebih mahal dari di Kampung, biar di kampung tiada LAKMNS. Kenapa?

Kuching, Sarawak
31 March - 13 April, 2021

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.