(Berebutan untuk mengucup pintu Kaabah)
Semua tetamu ingin menduduki tempat terbaik untuk lebih dekat kepadaNya. Namun banyak tidak mengerti caranya. Banyak seperti memaksakan diri untuk dapat mencapai ke situ. Di depan mata saya sendiri seorang ibu yang sudah tua, pengsan dan terpaksa sepasang suami isteri berundur untuk tidak menyampaikan hajat untuk dekat kepadaNya. MasyaAllah, sepertinya, untuk dekat kepadaNya adalah sangat susah! Berebut-rebut, berasak-asak, bahkan menimbulkan beberapa pertengkaran. Kenapa?
Memudahkan Tawaf dan Sholat Hampir Dengan Imam
Saya mendapat ilham dari seorang perempuan tua. Semasa Tawaf, pada setiap langkah ke depan, pasti dia akan melangkah ke kiri. Dengan cara itu dia sentiasa berada dalam pusingan dekat dengan Kaabah. Sebabnya, kemudian saya perhatikan, di sebelah Utara iaitu setentang dengan Hijr Ismail, pusaran Tawaf agak melonjong. Maka jika kita tetap pada lajur atau garis pusaran yang sama, pastinya bila kita sampai ke sebelah utara Kaabah, maka kita sebetulnya semakin menjauh. Paling baik, kita hanya satu atau dua garis atau lajur di belakang Makam Nabi Ibrahim. Pada kedudukan lajur ini, pasti kita akan dapat membuat tujuh kali pusingan Tawaf dalam sekitar 45 minit. Jika kita berada di lajur tengah (sekitar lajur ke 20), kita perlu sekitar satu jam untuk menghabiskan tujuh pusingan Tawaf. Pada lajur paling luar, saya membuat tujuh pusingan dalam hitungan 80-90 minit. Namun tergantung pada waktunya.
(Persedian tempat Imam MasjidilHaram untuk memngimami makmum. Namun sayang tiada perempuan boleh sembahyang sedekat ini. Paling dekatpun di tangga 97 iatitu sekitar 100-150 meter jauhnya)
(2) Dengan menggunakan cara perempuan tua tadi, pada hari kedua, membawa saya ke depan Makam Ibrahim di sebelah kiri Hijr Ismail sekitar 30 minit sebelum azan Maghrib. Saat saya sedang berdiri berdoa di birai Kaabah di sebelah situ (sebelah kanan Pintu Kaabah) tiba-tiba lengan saya dipaut tetamu lain di kiri kanan saya seperti membentuk pagar manusia. Saya keheranan, dan tetamu di sebelah kanan saya berkata: Haji-haji Saf-Saf!. Maka fahamlah saya bahawa saya perlu bersama mereka membentuk rantaian manusia iaitu membentuk saf untuk sholat Maghrib. Alhamdullilah, saban Maghrib, saya sering dapat sholat dua ke tiga saf di belakang Imam Mekah Saf yang pertama adalah untuk para pegawai dan pengawal Imam.
(3) Caranya, Alhamdullilah sepertinya pinta saya kepadaNya, saya datang menyerah diri semoga segalanya dipermudahkan buat saya. Sekitar 90 minit sebelum Magrib, saya akan Tawaf sunat. Setiap pusingan, saya menuruti cara perempuan tua yang saya perhatikan pada hari kedua saya di sana. Kerana saya punya banyak masa, saya sering masuk ke Hijr Ismail untuk sholat sunat serta dalam setiap Tawaf saya akan berdoa di setiap birai Kaabah. Saat menghampiri 30 minit sebelum azan, saya sudah berada dalam pusar paling dekat dengan Kaabah di antara Pintu Kaabah dan Makam Ibrahim. Di sana, saya akan memacakkan diri, dan pasti selepas itu para tetamu lain akan turut membentuk rantaian manusia menyusun saf. Inilah kesan paling nyata yang saya dapat rasakan dari pengertian Surah WalAsri: Demi masa..... Jika kita menghargai masa dan betul caranya, pasti kita akan menjadi seorang yang berjaya. SubhanaAllah.
Mengusap Hajaratul Aswad
Sejak di Tanahair, saya kepingin untuk biar hanya menjamah Hajaratul Aswad kalau tidak mengucupnya Pada hari kedua, saya dapat mendekatinya beberapa kali, hanya sehasta (arm length) untuk dapat menjamah, namun saat saya melihat keganasan perebutan di situ, saya mengundur diri dan berkata: Sabar dulu. Biarlah yang lain dulu. Usaha lagi. InsyaAllah dapat. Pada hari ketiga sebaik saja saya dapat mengusap batu di sudut Yaman, saat saya berdiri berdoa di birai Kaabah di sebelah Yaman iaitu hampir kepada Hajaratul Aswad, tiba-tiba berlaku seperti lorong terbuka dari tempat saya berdiri terus ke Hajaratul Aswad. Saya langsung dengan pantas melolos diri dan dengan mudah dapat mengusap Hajaratul Aswad dan melihat rupa bentuk batu itu sekitar 10-15 saat. MasyaAllah. Rezeki dari Allah. Saya juga lolos dari kawasn itu yang kemudian bergelut hebat bagai pukulan air pasang selepas benak melanda. Bila menoleh ke belakang, beginilah keadaannya beberapa saat sahaja selepas itu. Sekali lagi saya menginsafi betapa sumpah Allah dengan masa amat terkesan. Maka benarlah pesan bapa saya, gelis lekas, tangkas, segera, hendaklah menjadi sifat yang mesti saya pegang terus.(Beginilah perebutan rezeki biarpun paling dekat denganNya. MasyaAllah. Kenapa?
(2) Sebetulnya, jika kita sanggup mengambil masa untuk meneliti keterbiasaan di Kaabah dan MasjidilHaram, kerjaan ibadat kita menjadi semakin mudah. Bagi kaum perempuan umpamanya, janganlah berada di Dataran Kaabah sekitar 30 minit sebelum Sholat Fardhu. Pasti kena buru untuk samada ke pinggir Dataran atau terpaksa minggir ke Lantai Satu, atau Basement atau Lantai Dua MasjidilHaram. Jika ini berlaku, pasti menyusahkan. Perhatilah pada Sholat Maghrib dan Jumaat sebegitulah keadaannya. Jika ingin Tawaf, bagi kaum Hawa wajar di buat 90-120 minit sebelum Azan Sholat Fardhu. Bila sudah menghampiri 30 minit, mundur cepatlah ke Pinggir Dataran atau ke Lantai Satu MasjidilHaram. Jika tidak pasti akan menyusahkan. (Beginilah keadaannya bila Dataran Kaabah telah sesak dengan Jemaah lelaki. Bersusun ditanggalah kaum Hawa untuk sholat. Pak Arab berjubah Hitam-Putih dan berserban Ala Yasir Arafat, akan sentiasa melaung: Hajjah-hajjah, jalan-jalan, haram-haram memburu supaya kaum Hawa terpisah dari Jemaah lelaki)
Mengelak Rasa Tersesat
Saya selalu memerhati, selepas Tawaf, tampak banyak orang seperti tercangak-cangak tersesat. Seperti saya katakan, rekabentuk MasjidilHaram adalah monotonous. Pintu-pintunya biar ada 97 buah, bentuk dan warnnya sama saja. Maka yang sering menyebabkan kita tampak kesasar semasa di Dataran Kaabah dan MasjidilHaram adalah kerana kita selalu lupa di mana kita meletakkan sepatu kita. Amalan saya, dari hari pertama, saya letakkan sepatu saya di Pintu nombor 1 iaitu Pintu King Aziz(?). Buat kaum Hawa atau yang datang berpasangan, saya saran, bawa sajalah sepatu itu saat kita mengerjakan Tawaf atau sholat. Itu cara yang paling mudah.
(2) MasjidilHaram sebetulnya dilingkungi banyak bangunan tinggi. Maka, baik jika kita dapat membuat land mark berasaskan bangunan-bangunan ini bila kita keluar atau masuk melewati mana-mana Pintu MasjidilHaram untuk ke Dataran Kaabah. Pintu King Abdul Aziz (No 1) dan Pintu No 2, berdepan dengan Menara Jam Mekah atau Safwa Shopping Mall & Hotels.
(3) Tawaf paling enak dan mudah pada waktu Tahhajud iaitu sekitar jam 0200 pagi. Dingin dan segar, namun awas, lantai Dataran Kaabah sangat dingin dan kemungkinan Dataran baru saja dicuci dengan bahan penghakis. Elok pakai stokin atau selipar hotel. Di saat ini Dataran Kaabah agak sepi. Juga kalau mahu, elok sebelum Dzohor. Namun, mata mesti berpinar kerana balikan cahaya matahari dari lantai mamar putih Dataran Kaabah. Saya Tawaf dalam semua keadaan. Saat sesak (Maghrib dan Isya), saat dingin, sekitar jam 0200 pagi dan saat terik mentari sekitar 45 minit sebelum Dzohor. Sebabnya, saya ingin merasakan payah dan peritnya Muhammad SAW dalam mendirikan Islam. Makanya saat sholat dan Tawaf, saya selalunya berpakain Jean, T-shirt 100% Cotton atau Kemeja Cotton lengan panjang. Sebabnya, cubalah sendiri. Bagi kaum Hawa, saya perhatikan para gadis-gadis Arab, sebegitulah juga pakaian mereka, cuma mereka tutupi dengan Hijab atau Jiblab hitam. Ada baiknya, mana tahu saat keributan tanggal saja Jiblab, maka mudahlah untuk mereka bergerak tangkas!
(4) Demi kesihatan sendiri, baik semasa sholat di MasjidilHaram dan Nabawi kita menggunakan sejadah sendiri. Habuk-habuk dan debu dari ribut padang pasir serta ratusan ribu manusia dari seluruh pelusuk dunia dan pelbagai latar ekonomi, pasti akan memberi kesan kepada kesihatan kita.
Minum Air Zam Zam
Udara di Mekah dan Madinah adalah agak kering. Maka kita kena banyak minum. Saya sering ke Pintu 97, iaitu setentang dengan Pintu Kaabah, kerana di sana (dan di setiap Pintu) tersedia air Zam Zam dingin. Banyak orang banyak pohon mereka semasa meminum air Zam Zam. Kadang-kadang kerana leka berdoa, mereka jadi tidak sedar ada orang lain sedang bebaris menunggu giliran untuk minum. Wajarlah kita ada sikap concern of others. Doa saya semasa minum air Zam Zam adalah agar hati dan fikiran saya sentiasa bersih dan tajam. Sebabnya mudah, dengan hati dan fikiran yang bersih, sebahagian besar dari penyakit dalam tubuh kita akan pulih atau terhapus. Paling beruntung, jiwa dan fikiran kita jadi damai.
(2) Amalan penduduk tempatan, mereka minum Coca Cola atau air soda selepas makan nasi. Makanan Arab sangat berminyak dan berlemak. Tujuan mereka minum minuman bersoda sejuk selepas makan nasi adalah untuk membersihkan lelemak yang mungkin terlekat pada kerongkong mereka. Dan ini, saya kira sangat baik untuk mengelakkan batuk dan akhirnya hilang suara. Namun kita mesti beringat, minuman bersoda mengandungi banyak Karbanat, iaitu jika tersejat akan tertinggal membentuk batu karang dalam sistem tubuh kita. Maka jika kita banyak minum air bersoda dan kemudian berpeluh, wajarlah kita minum banyak air galian dan pastinya yang terbaik adalah air Zam Zam. Air Zam Zam yang tersedia boleh diambil dan dibawa pulang dalam botol-botol 250 ml atau 1,000ml.
(3) Adalah wajar kita menjaga segala sesuatu agar kita terus sihat. Janganlah terlalu terpengaruh dengan pendapat yang mengatakan jika kita kembali dari Umrah dan atau Haji, jika kita tidak sakit, maka belumlah bersih segala dosa yang kita telah lakukan. saya kira tidaklah semudah dan seringkas itu pembersihan dosa-dosa. Jika kita sakit, setelah kita berusaha untuk tidak sakit, maka itu adalah kehendakNya, namun jika kita tidak berwaspada, dan kikta sakit, itu penyakit dicari sendiri.
Keperluan Berwudhu
Alhamdullilah, biar selama mana saya di masjidilHaram, saya tidak mengalami keperluan berwudhu semula. bahkan tiada keperluan untuk khada hajat (buang air). Caranya mudah. Minum sekadar membuang rasa perit di tekak. Separuh gelas air Zam Zam untuk setiap 20-30 minit sudah cukup. Saya hanya minum dengan banyak semasa di hotel. Kemudian, makan pula, setakat kenyang. Baik kalau dibanyakkan salad dari daging-daging. Pokoknya, jaga makan dan minum.
(2) Dari pemerhatian saya, terdapat beberapa tempat berwudhu tersedia di Dataran Luar MasjidilHaram iaitu setentang dengan Menara Jam Mekah dan di beberapa Pintu ke Dataran Kaabah. Salah satunya adalah di Pintu dekat dengan Bukit Safa iaitu agak-agak setentang dfengan Pintu Kaabah. Saya sarankan, wajar bagi sesiapa dapat meneliti keperluan logistik ini bila kita di MasjidilHaram dan atau Nabawi. Sebabnya, memudahkan diri kita sendiri. Ingatlah, usahlah terlalu percaya denag terlalu banyak cerita atau pengalaman orang lain semasa di sana, yang penting kita mesti berusaha untuk memudahkan segalanya.
Keperluan Berihram dan Niat Untuk Umrah
Sebetulnya saya tidak nampak kenapa Tabung Haji umpamanya seboleh-bolehnya mahu para Jemaah berpakaian Ihram sejak di KLIA lagi. Saya rasa, puak-puak di Tabung Haji (TH) ini lebih pentingkan mudah kerja mereka dari memudahkan Jemaah. Sebetulnya, kita boleh bertukar ke pakaian Ihram saat kita tiba di Jeddah.
(2) Juga saya tidak nampak, khususnya buat tetamu baru, kenapa dalam keadaan tergesa-gesa, saat tiba saja ke Mekah setelah penat serta dalam keadaan tempat tinggal yang belum terurus baik serta jemaah tak sempat hendak bersuci dengan sempurna, maka kita sudah diasak untuk umrah sekitar jam 0200-0300 pagi. Jika panduan di buat dengan baik, saya dapati, elok jemaah rehat dulu, esoknya setelah dia agak segar dan tenang, barulah ke mana-mana Miqat dan berihram dan niat di sana. Belanja teksi ke sanapun bukanlah mahal sangat, sekitar RS10.00-15.00 sahaja. Bukankah beribadat dalam keadaan yang lebih tenang, segar dan bersih itu lebih afdal? Masalahnya saya kira TH sudah keterbiasa buat kerja macam itu, maka sebegitulah sehingga dunia kiamat kot! Orang tua, ibu-ibu mengandung, keluarga bersama anak-anak kecil, orang yang terpaksa menjalani perjalanan jauh, dari kampung di mana-mana pedalam Sabah-Sarawak, tak terfikir agaknya mereka di TH?
(3) Persoalan pokok yang ingin saya bangkitkan adalah, betapa Muhammad SAW itu sangat prihatin kepada umahnya. Namun, terlalu banyak selepas baginda, biar untuk bersama Allah dan bangindapun, teladan prihatin baginda dilupakan. Kenapa? Apa sudah jadi dengan pengertian sayangkan Muhammad SAW? Saya tak faham!
Rhaudah dan Ziarah Makam Muhammad SAW
Rhaudah, taman syurgawi di dunia. Sebegitulah maksud ringkasnya. Dari sudut ibadahnya, jika kita dapat sholat dan atau berdoa di Rhaudah, pasti doa kita akan termakbul. Kedudukannya sama jika kita dapat sholat dan berdoa di Hijir Ismail dan depan Pintu Kaabah. Allahuawalam bil sawab (Wa tatak tau!). Secara fizikalnya, Rhaudah adalah kawasan segi empat bujur di antara Mimbar asal Nabawi membawa ke Makam Muhammad SAW. Inilah kawasan pelantaran rumah Rasullulah asalnya. Saya kira sekitar 10 m x 15 m luasnya. Di Nabawi ia ditandai dengan tiang-tiang dan karpet berwarna Hijau.
(2) Masa lawatan ke Rhaudah dan Makam Rasullullah bagi kaum Hawa agak terhad. Jadi agak payah juga bagi mereka untuk dapat bertafakur di sana. Kerana dari kamar 1405 di hotel Movenvick, saya dapat perhatikan dengan jelas kapan orang ramai atau keaadan lenggang di Nabawi, maka saat itulah baru saya turun untuk ke Rhaudah.
(3) Dari Hotel Movenvick, agak mudah. Keluar saja dari pintu belakang, terus saja masuk ikut pintu utama Nabawi, jalan terus sampai ke hujung, sebelah kiri sedikit sudah bertemu Rhaudah. Sekitar jam 0200-0300, tak ramai orang. Selalunya bila orang ramai, saya akan sholat sunat di kawasan dekat Rhaudah. Selalunya semasa Tahajjud, pasti kurang orang. Namun jika ada, banyak yang duduk-duduk lepak. Inilah tok-tok Arab yang saya kira tamak, kedekut, jahil dan tak pedulikan hak orang lain. Saya selalunya minta sedikit ruang untuk sholat; dengan isyarat tangan saya mahu sholat, lepas ini saya terus pergi. Mereka pasti beri sedikit ruang, namun mereka tidak akan berganjak pergi, sehingga jika dihalau oleh petugas Masjid atau polis.
Kawalan Makan dan Minum
Makan sendiri di Mekah dan Madinah, lumayan juga harganya, sekitar RM30.00-40.00/hidang. Namun jika berpasangan, satu pesanan sudah cukup untuk dua orang. Di Mekah saya tinggal di Hotel Movenvick, jadi agak mudah. Selepas sholat subuh, saya tidur lagi dan bangun sekitar jam 0900 pagi lalu bersarapan cukup berat. Selalunya saya tibai segala macam buah-buahan, salad, roti dan segala bentuk kari daging, kurma dan paling tidak pernah saya tinggal adalah buah zaitun dan segala jenis kekacang Arab. Kekacang Arab elok di makan banyak, sebab, ini logik saya saja, segala jenis burung yang suka makan bijiran dan kekacang, pasti sangat warna wanri bulunya. Minah Arab masa muda nampak cantik, sebab dian orang banyak makan makanan sebgitulah. Itu dugaan saya. Sebetulnya, saya buat brunch sekali, sarapan-makan tengahari.
(2) Maka, saya kemudian boleh tinggalkan makan tengah hari. Bolehlah berada di MasjidilHaram dari sebelum Dzohor ke selepas Assar. Selepas Assar baru saya minum petang. Makan malam biasanya saya buat selepas sholat Isya. Dengan cara ini, tiada keperluan untuk saya ke bilik air sepanjang waktu di Masjid.
Semoga tulisan ini, memberi sedikit panduan buat mereka yang akan ke Tanah Suci. Kepada teman-teman yang akan ke sana, kalau balik tak demam, itu lebih baik saya kira kerana, kita dapat buktikan, kita ke sana untuk kembali sihat segar dan terus segar! Rasanya, Rasullulah SAW, pada awalnya, berjalan 14 hari dari Madinah ke Mekah, selepas umrah, baginda kembali berjalan ke Madinah. Rasanya, tak ada bacaan setakat yang saya buat, ada menceritakan baginda jatuh sakit! Kenapa? Kadang-kadang kita sengaja mencari alasan sekadar untuk menyenangkan hati kita, tanpa pasti apakah ianya benar!
Kuching, Sarawak
20 April, 2012
Nota:
Telah terlalu lama saya terkial-kial untuk dapat menambah dan meletakkan lebih banyak gambar dalam tulisan saya, hanya saat saya membuat artikel ini, baru saya mendapat ilham tentang caranya. SubhanaAllah. Alhamdullilah. Semoga dengan ini, banyak orang akan lebih mengerti dengan apa yang ingin saya sampaikan khusus buat mereka yang belum pernah ke sana dan mahu ke sana.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment