.

2/4/12 RINDU YANG KUMENGERTI....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 07, 2012

Share

& Comment


(Di sini Saidina Hamzah, bapa saudara Muhammad SAW terkoban dan hatinya hancur disiat-siat Hindun semuanya kerana yang dipertanggungjawap bersifat ingkar dan tamak. Kini banyak dari kita ke sini, leka dengan kurma dan si buah kurdi! Kenapa?)

1,400 tahun dahulu. Cuba bayangkan bagaimana rupanya temaddun kita. Bangsa Melayu, pada masa itu di abad ke 6 pastinya kalau diukur pada mata budaya kita kini, tidak tergambar ketakketemadunan kita. Bangsa kita pada masa itu mungkin masih banyak bersifat Melayu Proto. Bangsa kita mungkin sekadar bercawat kulit kayu, kalau tidak sekadar berbalut jerami kering. Gigi hitam berseringai bagai gigi piranha. Kuku-kuku kita mungkin keras kematu bengkang bengkok bagai kuku anjing kena serang penyakit rabis. Rambut kita mengerutu bagai lalang digelung panas membakar. Kutu sah secupak seminggu kalau dikumpul. Kulit tubuh kita hitam, juga mengerutu bagai kulit pohon pinus tua yang meranggas. Bibir kita tebal hitam bagai kerang merekah kepanasan. Hidung kita besar, pesek, seperti katak puru di atas punggung kerbau.

(2) Dari segi akal, bagaimana agaknya? Hidup kita, mungkin hanya untuk makan dan beranak pinak. Siang kita merayau-rayau cari makanan. Kita makan apa yang kita dapat. Tumbuhan, haiwan, segalanya, asal boleh kita petik dan buru, maka itulah kehidupan kita. Kalau dapat rusa seekor, apa akan kita lakukan pada daging yang begitu banyak agaknya? Paling-paling saya menduga hanya akan kita salai atau dijemur. Malam, asal saja matahari tidur, maka kitapun tidur dan kalau berhibur hanya sekadar membuat anak. Siang malam hidup kita berulang-ulang dengan cara paling mudah. Itulah kebahagian agaknya!

(3) Dari aspek sosialisasi, bagaimana pula agaknya? Sikap setiakawan kita bagaimana? Sikap kejiranan kita bagaimana? Apakah yang menyatukan kita? Makanan, keperluan perumahan, atau keperluan keselamatan? Kita sama saja. Tiada yang kaya, tiada yang miskin. Mungkin yang ada, cuma ada yang sedikit gagah dari yang lainnya. Atau ada yang sedikit lebih berani dari yang lainnya. Atau ada yang sedikit licik dan berbelit jalan otaknya. Apa pula unsur-unsur yang memecah belahkan kita? Tidak mungkin kita berebut harta. Perebutan kerana perempuan, mungkin, dan itu sudah wujud sejak Qabil dan Habil. Agama kita? Batu membungkah, pohon mengergasi, kilat memanah, segala sesuatu yang mendatangkan musibah adalah Tuhan kita. Sepertinya, Tuhan kita adalah tangan-tangan hitam yang hanya menakutkan, mengeri dan menyusahkan. Allah hanya wujud dalam kamus kita 400-500 tahun yang lepas.

(4) Untuk apa saya mengutarakan semua ini. Sebetul dan sebenarnya, saya ingin mengajak kalian belayar. Dalam pelayaran, akan ada hanya yang ingat akan angin sepoi-sepoi indah dalam remang mentari senja. Pasti ada juga yang hanya terngigau-ngigau lantaran dihempas badai menggila dengan halilitar bersambungan. Namun, kita banyak sekadar ingat, tetapi tidak mengerti, apa lagi terbuat. Saya serahkan kepada kalian untuk menjadi siapa: ingat, faham, mengerti, menghayati dan atau pelaku.

(5) Semasa di Makkah saya sering duduk setentang dengan Pintu Kaabah samada selepas Sholat Tahiyatul Masjid atau Sholat-sholat Sunat lainnya. Saya sering bertanya: Apa benar Allah ada di Kaabah ini? Tidakkah tempat bersemayamnya Dia di Arasyi pada lapisan Syurga ke 7. Muhammad SAW pun payah untuk melihatnya. Maka kenapa pula Dia harus ada di sini di Kaabah saban waktunya? Sepanjang kerasulan Muhammad SAW, kalau tidak silap semua wahyu Allah turunkan lewat Jibrail. Allah tidak pernah berurusan terus dengan Muhammad SAW. Maka, kenapa kita sebut Kaabah itu sebagai Baitullah? Saya yakin Dia tidak bersemayam di sana?

(6) Hajaratul Aswad, batu dari Syurga, berupa batu hitam yang porous berliang-liang seni bagai batu karang atau batu lahar gunung berapi. Hitam mungkin kerena telah terlalu banyak dilumur wangian dan jamahan jutaan manusia ribu tahun lamanya. Kenapa harus Hajaratul Aswad hadir di Kaabah?

(7) Makam Nabi Ibrahim AS, kenapa harus di depan Kaabah. Bukankah Nabi Adam manusia pertama selepas para malaikat yang membina Kaabah. Juga bukankah Adam AS dan Hawa yang membina Makah sebagai kota terawal di dunia. Namun kenapa makam mereka tidak di sekitar Kaabah?

(8) Bila kita mengunjungi Kaabah, kita wajar tawaf. Samaada kita melakukannya kerana Umrah, Hajj atau Sunat, kita wajar banyak tawaf. Muhammad SAW mengalakkan kita melakukannya sebagaimana juga sebelumnya telah diajarkan Jibrail kepada Ibrahim dan Ismail. Kita kena berjalan. Sebaik-baiknya kita berlari-lari anak. Kita tidak boleh berkereta. Kita tidak boleh naik unta atau apa juga jenis tunggangan. Kecuali bagi yang uzur, boleh berkereta roda (dulu di usung) atau naik bagi di tingkat atas Masjidil Haram. Di zaman Muhammad SAW, untuk bertandang ke Kaabah, baginda, berjalan kaki dari Madinah ke Makkah selama 14 hari di padang pasir berkelikir membahang. Baginda lantas tawaf berlari-lari, dan tentunya dalam dahaga yang memeritkan dan pada masa itu hanya ada satu matair ZamZam. Pastinya, tawaf di zaman baginda lebih menyerik dan melemahkan, namun baginda gagahi melakukannya dengan penuh khusyuk. Kenapa?

(9) Kini, di setiap pintu ada tersedia minuman ZamZam dingin. Ada 97 pintu kalau tak silap saya. Saban waktu kita boleh berhenti dan minum. Saya sering mengerjakan tawaf samada selepas Dzohor agar merasa bahang panas dan silauan yang di rasakan oleh Muhammad SAW, atau Assar sementara menanti Maghrib atau selepas Sunatal Tahajjud sekitar jam 0200 pagi, untuk menikmati kedinginan menusuk padang pasir. Bedanya, kini debu-debu yang dilalui bukan debu pasir melintas gurun, tetapi debu-debu mungkin jutaan kuman bawaan Musliman dari seluruh pelusuk dunia. Suasana berpasir dan membakar terganti dengan batu marmar yang keras dan sering dicuci klorox. Bila tengahari panas, terasa pedih mata terpecar pantulan sinaran mentari. Jika dulu, saat Muhammad SAW tawaf, beliau sering terancam oleh bala tentera Abu Jahal yang sentiasa mahu membunuh dan mematahkan perjuangan tebaran Islamnya, namun kini, yang mengasak adalah rakan sama seagama yang seperti burung gagak berebut bangkai! Kenapa jadi begini?

(10) Dalam tawaf, kita digalakkan berbanyak bertakbir. Kita seboleh-bolehnya hendaklah melupakan segala sesuatu yang lain. Kita dikehendaki memusatkan fikiran kita kepada Allah. Inilah saatnya, kita mendekatkan diri kita secara lahiriah dan batiniah sedekatnya kepadaNya. Kita dikehendaki, melakukan segalanya, kerenaNya, demiNya, untukNya. Kenapa?

(11) Di Nabawi, Madinah, lewat selepas Maghrib sementara menanti Isya, saya selalunya mengambil kesempatan mengeliling Masjid itu dengan berjalan bagai tawaf di Kaabah. Satu pusingan besar, pasti memakan masa 30 minit dan sangat menghilangkan rasa bosan menanti Isya. Kita tetap boleh bertasbih, tasmid dan atau bersyalawat dalam setiap langkah jalanan kita. Pastinya, tidak banyak yang melakukan ini, melainkan anak-anak kecil berkejaran berteriakan. Semua manusia dewasa saya lihat, mereka lebih suka duduk rehat dan atau bertafakur berebut-rebut khususnya untuk mencelapak sepuasnya di Raudhah. Kenapa? Untuk apa?

(12) Di kamar, langsir jendela sentiasa saya buka luas. Dari tingkat 14 Hotel Movenvick, dari atas kasur saya dapat melihat terus ke Kubah Hijau Makamnya Muhammad SAW bersama Abu Bakar dan Umar Al Khatab. Kilauan cahaya Nabawi menyerlah. Sedang dilangit cerah, para bintang dan rembulan juga bersinar terang. Sinar kerja lidah dan tangan Muhammad SAW menyerlah, dan adakah sirna Nabawi (dan Masjidil Haram) adalah sama dengan nur sorotan kerja Muhammad SAW?

(13) 1,450 tahun dahulu, dalam temaddun jahilliah-ganas Quraish dan Arab, serta kerakusan Roman, Greek, Sham (Syiria)-Iraq, Parsi, dan Mesir, Muhammad si buta huruf, piatu, miskin terpilih memikul tanggungjawap menyirnakan ketemaddunan sejagat buat manusia di bumi Arab, Padang Pasir yang tidak bersahabat. Cuma hairan, saat banyak mengunjung Kabaah dan Nabawi, banyak yang berkata aku rindu untuk kembali. Untuk apa? Kenapa?

(14) Terlalu banyak yang minitis air mata? Air mata apa? Air mata keampunan segala dosa-dosa? Dosa-dosa apa?

(15) Pada hari kedua di Kaabah, saat saya hendak tawaf sunat sebelum Maghrib, kaki saya terus membawa saya ke depan Pintu Kaabah berdekatan dengan Makam Ibrahim, air mata saya bercucuran tanpa dipinta. Saya menangis tanpa henti dan terkadang menganggu penglihatan jalanan saya. Biar hati saya penuh sebak, syukur fikiran saya tetap bertanya, kenapa?. Biar samar, saya melewati dan dapat memerhatikan wajah-wajah payah dari Karala, India, Turki, Aghanistan, dan Indonesia. Wajah-wajah tua. Wajah-wajah kerepot. Wajah-wajah penuh garis-garis kepayahan lebih hebat dari garis-garis payah Charles Bronson atau Clint Eastwood. MasyaAllah. Sirna Muhammad SAW sampai ke lubuk hati mereka. Kini mereka datang berbondong-bondong kepadaNya dan juga Muhammad SAW. Untuk apa? Mereka meminta. Meminta apa? Penghapusan dosa? Ya, sebegitulah bunyinya saat mereka tercelapak di birai Kaabah. Mereka meraung. Meraung untuk apa? Saya tergerak membaca, mereka meraung terhapus dosa, segala dosa sehingga kerana beban dosa itu maka mereka miskin dan payah! MasyaAllah, apakah kerana dosa mereka terlalu berat maka sepertinya Allah memiskinkan mereka? Di mana khilafnya?

(16) Sehingga kini, dalam setiap tidur, saya sering terjaga termimpi akan wajah-wajah ini. Sudah seminggu, saya tidak dapat melupakan mereka. Masjidil Haram dan Nabawi, kunjungan singkat saya, menjadikan saya rindu, rindu dan insaf betapa payahnya Muhammad SAW dalam melaksanakan wasiat Allah. Jasad, nyawa, harta, keluarga, keselesaan, penghormatan, apa saja, terkorban demi menunaikan wasiat Ilahi. Wasiat itulah adalah penyampaian nur Islam yang berakhir di Jabal Rahmah, namun telusupan nur itu tidak pernah berakhir dan saya pasti rindu ini tumpah di Masjidil Haram dan Nabawi agar saya sentiasa tetap mengingat betapa pesan Muhammad SAW: …jika kamu mengcintai aku, maka cintailah yang miskin, yatim piatu dan mereka yang memerlukan…. di Kaabah dan nabawi airmata susah, air mata payah mereka berhamburan untuk kita kutip dan rindui.

(17) Di sini, di bumi Ibrahim telah memohon kemakmuran, namun kemiskinan tetap menghambat dan mengetuk hati sesiapa. Mengertikah kita kenapa?


Terasi, Simunjan.
7 April, 2012

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.