.

16/4/12 ASAJAYA....lestari asa dan jaya kian memudar!

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 26, 2012

Share

& Comment

Asajaya, nama asalnya adalah Nonok. Kenapa di namakan Nonok, saya kurang pasti. Namun ada pihak berkata, nama Nonok itu terkait dengan rupabentuk tanah di kawasan berkenaan iaitu paya gambut. Hampir 90 peratus dari kawasan ini asalnya adalah tanah gambut. Abdul Rahman Yaakub (Tun), kerana nama Nonok itu agak tidak enak didengar terutama bagi sebilangan masyarakat di Johor dan Tg. Karang, Selangor, dikatakan bila dia menjadi Ketua Menteri Sarawak, telah menukarkannya menjadi AsaJaya. Saya yakin, dia punya sebab yang jauh lebih besar dari itu untuk penukaran itu. Banyak persamaan dari segi
geographical landscape antara Tg. Karang, Selangor dan bahkan Teluk Intan, Perak dengan Asajaya. 

(2) Letaknya ke Tenggara Bandaraya Kuching, dalam jarak sekitar 20-30 kilometer. Untuk ke sini, kita punya dua pilihan iaitu samada melewati Kampus UiTM melalui jalan berliku-liku sekitar 30 kilometer atau mengikut Jalan Muara Tuang menyeberangi feri di Batang Samarahan. Jika melewati feri, kita terpaksa mengikut jadual pasang surut air di Batang Samarahan. 

(3) Pemilihan nama Asajaya, saya kira amat baik. Pertamanya, asa iaitu membawa erti berkemahuan, bersungguh-sunguh, berazam, bertekad adalah sikap paling positif yang dimiliki oleh kebanyakan masyarakat di sini. Jika ada asa pasti ada kejayaan. Biar dalam keadaan sekitaran yang sangat mencabar: tanah gambut berair, tidak subur, paya bakau berair selalu dilanda bah air masin, laut yang sentiasa bergelora, kedudukan terpencil, dsb, namun dalam segala kepayahan penduduk di sini dahulunya dapat bersatu dan saling berlawan untuk berjaya dalam menghambat kehidupan mereka.  

(4)Inilah, saya kira satu-satunya Kawasan di Sarawak, di mana penduduknya adalah paling bersifat sangat majmuk. Terdapat kira-kira 30,000-35,000 orang menduduki kawasan seluas sekitar 30,000-40,000 hektar ini. Kaum Melayu, Jawa, Bugis, Iban, dan Cina dapat hidup berkampung dengan baik dan rukun. Suatu ketika dulu, ada juga kaum India menumpang mencari hidup di sini. Pada zaman ibu saya masih perawan kata embah saya, teman paling rapat beliau adalah seorang perawan India bernama Nanggu. Semasa kanak-kanak saya sempat bertemu mbak Nanggu ini. Perhubungan mereka saya berkira adalah sejak bermula di Arang Road. Datuk saya dulu ada sebidang tanah seluas kira-kira lima ekar di Arang Road, namun lantaran masalah kepayahan di zaman Jepun, tanah itu beliau jual untuk membuka kawasan baru di Kg. Terasi, Sadong Jaya (dulunya Pendam). Nanggu sering datang berkunjung ke kawasan ini dalam usahanya berjaja pakaian dan kain, beliau sering menginap di rumah kami.

(5) Penduduk di sini asalnya bertanam padi paya (wet paddy), lalu kemudian kelapa (1960an), pisang, kopi, koko (1980an). Pada 1990an, kawasan ini merupakan pengeluar limau yang paling utama di Sarawak. Sebilangan besar penduduk Melayu menjalani hidup sebagai nelayan persisiran. Kini, kelapa sawit (2000an) dan ternakan burung walit kian berkembangn hebat. 

(6) Sejarah pembukaan kawasan ini bermula sejak sebelum kedatangan Brooke lagi. Di zaman Brooke, Sadong iaitu sebahagian dari kawasan ini, turut terlibat dalam beberapa siri pemberontakkan. Bila Jepun sudah mulai menguasai rantau Pasifik, banyak berlaku penghijrahan terutama masyarakat Melayu, Jawa, Bugis dan Cina dari kawasan-kawasan lain ke sini. Dalam era memperjuangkan kemerdekaan, penduduk di sini, sangat mendokong gagasan pembentukan Malaysia. Bila Sarawak merdeka, penduduk di sini juga adalah pengerak kepada pembentukkan Parti Pesaka yang kemudian bergabung dengan Parti Bumiputera membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang sehingga kini menjadi tunjang kepada politik Sarawak. Saya kira, dari segi politik, kawasan AsaJaya telah membuktikan kesetiaan yang sukar ditandingi dari segi sokongan penduduk di sini kepada Kerajaan yang memerintah. 

(7) Atas kegigihan dan sokongan padu masyarakat di sini terhadap pembentukan Malaysia, bila merdeka, Abdul Rahman Putra (Tunku) telah menghadiahkan sistem perparitan di kawasan ini bersama dengan di Matu-Daro (Daro Pilot Project). Bila Sanusi Junid (Datuk Sri) menjadi Menteri Pertanian Malaysia, dan juga Adnan Satem (Datuk Sri) menjadi Menteri Pertanian dan Pembangunan Masyarakat di Sarawak pada 1980an, kerja-kerja pembinaan prasarana saliran dan tebatan banjir di kawasan ini diperhebatkan. Biaya dari Bank Dunia (WB) dan Bank Pembangunan Asia (ADB) disalurkan untuk mempercepatkan pembangunan di sini. Bermula dari 1980an, bila Taib Mahmud (Pehin Sri) menjadi Ketua Menteri Sarawak, juga ADUN dan MP bagi Samarahan, yang bersebelahan dengan kawasan ini, tempo pembangunan juga dipertingkatkan. (7) Asajaya telah menempa nama dalam pembinaan prasarana jalan di Sarawak. Dengan berani, Taib Mahmud, melantik kontraktor dari Yugoslavia untuk membangunkan Jalanraya menghubung Kota Samarahan ke Sadong Jaya. Dalam tahun 1980an, inilah jalan yang saya kira paling mahal harganya. Jalan ini dibina di atas tanah gambut yang boleh mencapai kedalaman sehingga 10 meters. Saya masih ingat, kawasan di antara Tambirat dan Sg. Sui merupakan kawasan tanah gambut yang paling dalam. Dengan teknologi Geotectile kini kawasan ini telah membentuk sebahagian dari rangkaian Jalan Persisir Sarawak. (8) Kesan dari pembinaan Jalan AsaJaya (Kota Samarahan-Sadong Jaya), kemudian telah mencorak perubahan besar dalam pembinaan prasarana jalan di kawasan persisir Sarawak. Teknologi Yugoslav ini juga telah mempercepatkan peluasan pembangunan ladang kelapa sawit di kawasan tanah gambut. (9) Kalau dilihat secara rambang, AsaJaya telah mengalami sangat banyak perubahan. Kini telah terbina pelbagai prasarana sosial bersama pembaikan berterusan terhadap kemudahan asas yang lainnya. Penduduknya kini sudah tidak terlalu terikat dengan pertanian. Banyak dari golongan muda di sini berulang alik ke Kuching dan Kota Samarahan untuk melakukan pelbagai jenis kerja bergaji (wage earning) (10) Namun jika kita meneliti secara lebih halus, sesungguhnya asset ekonomi iaitu tanah penduduk di sini telah banyak terbiar dan sangat kurang dalam menyumbang kepada peningkatan pendapatan setempat. Dalam lain kata, pertumbuhan ekonomi setempat telah tidak terbangun dengan baik. Saya memperhitung sekitar 10,000-15,000 hektar tanah di Kawasan ini belum diguna penuh. Sedang sekitar 5,000-10,000 hektar lagi hanya diguna separa penuh. Pokoknya, keupayaan ekonomi Kawasan ini masih belum dioptimumkan. (11) Saya melihat, Internal Economic Growth atau Pembangunan Ekonomi In-situ adalah sangat diperlukan di kawasan ini. Pembinaan jalanraya, saliran, segala kemudahan prasarana, sememangnya menjana peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, namun, semua ini adalah bersifat sementara. Saat segalanya siap, maka segala jenis pekerjaan yang terjana akan turut hilang. Makanya, banyak dari para belia di sini terpaksa bekerja di luar Kawasan. (12) Sejak dari mula menjawat jawatan awam dalam tahun 1986 sehingga 2011, saya telah berusaha untuk membawa pelbagai cara untuk memajukan tanah-tanah para penduduk di sini. Malangnya, semuanya belum mencapai sebagaimana yang saya fikirkan. Bermula dengan dokongan terhadap Jabatan Pertanian (DOA) lewat Persatuan Peladang Kawasan (PPK)melalui konsep Ladang Berkelompok, kemudian saya berusaha membawa FELCRA dengan konsep In Situ Land Development. Di awal 2010, saya cuba membujuk Tabung Haji, kemudian pelabur Arab, lalu SOP, namun semua seperti tidak begitu friendly terhadap kepentingan masyarakat setempat. Maka saya terpaksa menangguh niat saya untuk memajukan Kawasan ini melalui biaya koprat. Paling akhir saya juga cuba membawa masuk FELDA, namun kerana kesibukan urusan penyenaraian FELDA, maka segalanya menuju jalan buntu. (13) InsyaAllah selagi hayat dikandung badan, saya tidak akan pernah berputus asa untuk membangun sebuah Model Pembangunan Luar Bandar (REM) buat kawasan ini serta kawasan-kawasan yang setara dengannya. (14) Siapapun yang punya kedudukan, dalam sektor awam dan atau swasta harus dapat melihat bahana jika kita tidak gigih dan ulet dalam melihat keperluan masyarakat di sini dalam jangka panjang. Kerana kedudukannya yang dekat dengan Kuching, serta kesuburan tanah dan kesediaan prasarana asas yang mencukupi (kecuali jambatan), dalam tempoh 15-20 tahun mendatang kawasan ini akan menjadi New Golden Triangle. Namun, penduduk setempat, seperti hanyut dalam mimpi, dan sedang diasak igauan ngeri. Banyak dari tanah-tanah penduduk di sini sudah terjual gara-gara penularan industri burung walit dan land prospecting. (15) Paling menyedihkan, kerana generasi petani kian mengurang, juga semakin uzur, sedang anak cucu sudah tidak lagi kenal parang dan cangkul, kegiatan penjualan tanah juga telah menjadi jalan penyelesaian kepada pemilikkan silang generasi ke atas tanah-tanah pusaka. Akibatnya, masalah landless and or fragemented land holding menjadikan kegiatan kehilangan warisan kian memuncak. Suatu hari nanti, kita akan berdepan dengan masalah sosial yang perit di sini jika kita tidak mengorak langkah segera. (16) Dalam beberapa tulisan saya yang lepas-lepas, saya ada menyarankan beberapa pendekatan baru yang harus kita lakukan untuk mengoptimakan pulangan asset masyarakat luar bandar. Pembangunan sektor luar bandar adalah sangat penting untuk kesejahteraan sesebuah negara. New Zealand, Australia, Jerman, Canada, juga Amerika, adalah contoh baik di mana keseimbangan pembangunan luar bandar dan bandar sangat dititik beratkan. Sememangnya benar, suatu ketika nanti, penduduk bandar boleh mencecah sehingga 90 peratus dari kependudukan negara, namun kita mesti ingat saat timbul masa payah, masyarakat luar bandar akan menjadi penyelamat kehidupan di bandar. Tanpa cukup makanan yang termampu dibeli, pasti penduduk bandar akan memberontak. Greece, Mesir, London, kini sedang merebak ke Belanda adalah contoh bagaimana, jika sektor luar bandar kita abaikan, seluruh negara boleh semput! (17) Model subsidi DOA (dan IADA), in-situ FELCRA dan SALCRA rasanya sudah agak jumud. Sama juga dengan Model Peserta FELDA. Dalam merumus Model Pembangunan Luar Bandar yang mungkin dapat lebih diterima oleh rakyat, beberapa faktor asas harus kita ambil prihatian. Pertama, saiz tanah kian menguncup. Kedua, pendapatan segera tuan tanah harus difikirkan. Ketiganya, keperluan lain ke atas tanah tersebut khususnya, keperluan perumahan tidak boleh dilupakan. Keempatnya, keperluan jual-beli dan atau pindah milik tanah tidak boleh dinafikan akan keperluannya. (18) Dalam masa yang sama, masalah modal, teknologi, tenaga kerja, pemprosesan, pemasaran dan pengurusan yang menyeluruh menjadi kian memuncak. Tuan-tuan tanah tempatan tidak mampu mengendalikan hal-hal ini secekapnya. (19) Dalam keadaan politik negara kini yang agak kurang mantap pasti sumber kewangan negara agak terjejas. Maka untuk mengharap Kerajaan untuk membangunkan sektor luar bandar dengan sepenuhnya, pasti agak sulit. (20) Banyak buku teks telah ditulis, mengusulkan bagaimana pihak swasta dan kini pendekatan koprat sebagai cara paling baik untuk mengembang dan melonjak pertumbuhan ekonomi negara. Namun saya yakin, perkongsian bistari antara pihak swasta, tuan punya tanah melalui tadbir urus koprat yang baik bukan hanya di pihak swasta tetapi juga di sektor awam, akan dapat menjamin kesejahteraan bersama antara pelabur dan tuan-tuan tanah. (21) Segala projek usahasama yang melibatkan rakyat, harus diolah sedikit berlainan dari pelaburan secara swasta tulin. Kita juga tidak boleh lagi terikut-ikut cara lama. Kita mesti berpegang kepada konsep, jika rakyat tidak menyetujui tanah mereka untuk dibangunkan, biar sebanyak mana wang pihak swasta, pasti pelaburan mereka tidak akan berjaya. Namun di pihak rakyat pula, mereka harus dididik agar terus sedar, betapa para pelabur terpaksa menanggung risiko yang tinggi jika terlalu banyak kekangan dikenakan ke atas mereka dalam membangunkan tanah-tanah mereka. Dalam masa yang sama, sektor awam yang wajib memikir dan bertindak untuk memelihara kesejahteraan negara dan rakyat, harus juga sedar, jika tanah-tanah rakyat terus terbiar tanpa pulangan yang baik, negera secara keseluruhan akan punah. Lihatlah aopa yang sedang berlaku di Papua New Guinea (PNG), Timur Leste, Afrika, Kambodia, Laos, bila asset rakyat terus terbiar, apa yang rakyat tahu adalah terus berperang. A balancing act sangat diperlukan. (22) Makanya, konsep Perkongsian Bistari mesti diguna pakai. Di samping pelabur dapat terus meningkatkan pendapatan mereka, rakyat juga mesti menikmati perolehan yang turut terus meningkat. Jika ini terjadi, secara automatis, Kerajaan mendapat laba. Gabungan antara kerjasama dari segi pengeluaran, pemprosesan, perdagangan dan aktiviti hiliran berkaitan harus dituruti oleh rakyat dengan saksamanya. Rakyat tidak boleh hanya terikat di sektor pengeluaran sebagaimana amalan selama ini. (23) Bila saya mengusul pembangunan secara koprat, saya tidak bermaksud menjadikan sektor awam untuk lepas tangan. Sektor Kerajaan juga perlu mengubah cara mereka bertindak selari dengan keperluan Tadbir Urus Koprat yang baik. Kita jangan terlalu cepat lupa konsep Malaysian Incorporation yang pernah diutarakan oleh Mahathir Mohammed. Ianya adalah konsep berasaskan Sameul Undong Korea. Di Jerman dan Jepun, gerakan Kooperasi adalah senjata yang telah mereka gunakan dengan baik dalam mengerakkan ekonomi luar bandar. Walau apapun namanya, semuanya berbalik kepada sistem pengurusan yang cekap dan saksama buat semua. Kuching, Sarawak 26 April, 2012

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

1 comments:

Abdullah Chek Sahamat said...

Seorang pembaca mengantar SMS kepada saya mengatakan, bahawa istilah "Nonok" adalah istilah sebilangan orang Johor yang bermaksud "lucah". Perlu saya nyatakan, saya adalah berketurunan Jawa, saya tahu apa yang dimaksudkan. Namun, cara sebutan Jawa bukanlah "Nonok" biar hampir sama nahunya iaitu "Nunuk". Semasa saya masih anak-anak dulu, ibu-ibu saat "memanjakan dan atau menegur" bayi atau kanak-kanak perempuan bila bertelanjangan, mereka akan mengunakan istilah "Nunuk", bukan "Nonok". Dan istilah ini tidak digunakan pada orang dewasa.

(2) Telahan saya yang paling hampir tentang nama "Nonok" adalah dari kebiasaan orang tempatan, bila musim panas, mereka menebang hutan atau menebas semak lalu membakarnya terutama di musim kering. Masyarakat Melayu dan Iban tempatan, mengunakan istilah "Nunok dan atau tunok" sebagai istilah membakar. Maka, seperti saya katakan terdahulu, di Nonok ini, adalah penempatan kaum Cina yang pertama di sini di samping di Pendam (SadongJaya). Saya mengagak, kerana telor mereka, istilah "Nunok" berganti "Nonok" kerana kebetulan "Pasar Nonok" adalah sedikit ke pedalaman iaitu di kawasan gambut. Kalau kita faham sifat gambut, bila dibakar ie di"tunok" dalam bahasa tempatan, pasti akan terbakar luas. Ada kemungkinan, penempatan Cina ini, dibangun di kawasan yang telah ter"tunok" ini. Sifat azali manusia, mereka menamakan banyak perkara berasaskan apa yang ada disekeliling mereka.

(3) Berhampiran dengan Pasar Nonok dan Kampung Nonok, adalah penempatan orang Jawa dan Bugis. Pasti, mereka tahu akan maksud istilah tersebut. Namun kerana di dalam kepala mereka adalah "putih", tidak "kuning", maka mereka tidak nampak kelucahan pada istilah tersebut. Sebabnya, mereka faham akan budaya dan keadaan tempatan.

(4) Kalau nak dikira lucah, Bukit Berapit, Batang Berjuntai, Batang Ai, Telaga Air, dsb juga adalah lucah. Namun, maksud sebenar akan nama-nama itu apakah ianya sebagaimana yang kita fikirkan. Saya, lebih cenderung untuk memahi sejarah dari membuta tuli mengagak seenaknya. Banyangkan bila Presiden SBY berucap di depan PM Malaysia dan berkata: Kita dua serumpun, Indonesia-Malaysia butuhkan hubungan yang lebih intim..., wajarkah keesokan harinya seluruh akhbar dan media di Malaysia menuduh SBY sebagai "lucah". Maka, saya yakin, biarlah sesuatu kaum menari mengikut gendang masing-masing. Kita jangan memaksa budaya kita kepada yang lain hanya kerana kita tidak benar-benar faham keadaan yang menyelubungi budaya mereka. Bagi orang Islam, Surah Al Kafirun seharusnya jelas maksud dan tujuannya buat kita.

(5) Dalam soal Abdul Rahman Yaakub menukar Nonok ke AsaJaya, saya sudah jelaskan sokongan saya. Namum saya tidak sekali-kali setuju mengatakan bahawa penduduk tempatan asalnya menamakan penempatan mereka sebagai Nonok tanpa menyedari maksud di sebalik istilah itu. Saya percaya, mereka tidak sekali-kali bermaksud sebegitu. Itu saya yakin. Jika tidak, Datuk saya pasti telah menegur mereka. Ulasan saya ini bukan untuk berpolimik, tetapi menyatakan hakikat yang saya yakini. Saya tidak berminat melihat dan mendengar orang Nonok nanti berasa rendah diri atau malu hanya kerana salah tanggap tentang istilah nama Kampung asal mereka.

(6) Terima kasih.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.