(Mereka dididik agar lebih cerdik dan mahir. Saat mereka dewasa, apa mungkin mereka mahu membanting tulang di Kampung? Maka, apakah persediaan yang seharusnya dilakukan agar mereka dapat menggunakan ilmu dan kemahiran yang mereka ada? Membiarkan terus asset ekonomi luar bandar di tangan orang tua mereka, apakah itu akan memungkinkan negeri dan negara boleh terus membela mereka? Sebagai pemimpin negeri dan negara, apa pilihan yang kita ada selaras dengan kemampuan ekonomi semasa?)
Saya terlahir di Kg Terasi, Pendam, Simunjan. Bila Adnan Satem (Datuk Sri) menjadi Menteri Kanan Sarawak, dia tukar nama Pendam menjadi Sadong Jaya, supaya bunyinya menjadi lebih sedap. Samalah halnya dengan Sanusi Junid (Datuk Sri) menggunakan istilah khinzir dari babi bila dia jadi Menteri Pertanian Malaysia. Bunyinya sedap, namun pengertian dan pengisiannya, Allahuwalam?
(2) Saya adalah generasi 1960. Generasi kelahiran sebelum Merdeka. Pada masa itu, bukan hanya kawasan di luar bandar, bahkan di bandar juga kemiskinan adalah berluasa. Rakyat hidup dalam serba kepayahan dan kekurangan. Di tahun 1967-1972, saya ke sekolah tanpa sepatu. Berjalan di jalan berlumpur berkaki ayam. Kenapa hidup rakyat pada masa itu menjadi terlalu payah? Pasti banyak yang menuding jari kepada penjajah Brooke dan British. Mereka datang mengaut untung berlaba dan membayar simbahan peluh jerih anak watan dalam titis-titis yang hanya sekelumit.
(3) Namun beberapa banyak yang sedar, kehadiran Brooke, sebermulanya adalah gara-gara Raja Muda Hashim, wakil gabenor Kesultanan Brunei sudah mulai malas, tidak prihatin tentang untung nasib rakyat dan pastinya mulai tamak dan khianat. Para Temenggong, Penghulu, dan Ketua-Ketua Kampung anak watan sudah mulai bermain kayu tiga, bertikam sesama sendiri, serta bermuka-muka. Yang paling bahaya dan sebetulnya membawa keruntuhan Kesultanan Brunei di Borneo adalah sikap bermuka-muka pada sebilangan orang.
(4) Kali ini, saya akan menulis dan mengkritik apa yang saya fikir dan percaya tentang sifat bermuka-muka, berhati hitam sebilangan dari kita, yang pasti tidak pernah mahu diam dan insaf, yang akan membawa keruntuhan kepada bangsa kita, Melayu. Sebabnya mudah, saya tidak berminat untuk melihat kerana nyamuk, kelambu dibakar; kerana seekor kerbau berlumpur, semua terpalit; kerana nila setitik, susu sebelanga rosak. Kita mesti ingat: Kapal pecah, yu kenyang.
(5) Saya amat khuatir, dalam suasana politik semasa, telah mulai menjelma, sebilangan dari kita asyik mundar-mandir ke hulu ke hilir, bukan untuk bekerja, memerah otak, mengumpul tenaga untuk kemajuan ummah namun sekuatnya, seuletnya, seliciknya, ke sana ke mari, dalam gelap dalam terang, sendiri dan berkumpulan, membisik bagai syaitan mengoda Hawa, melolong bagai srigala lapar betina, mengaum bagai singa tua yang sudah kian mahu mati, mengajak Melayu bersamanya dan mereka hanya untuk muslihat tembolok sendiri.
(6) Di Semenanjung Malaysia, GERAKAN, MCA dan MIC masih kegoyahan. UMNO masih belum bersih dari khianat dan dendam. Di Sarawak, SUPP, PRS, dan SPDP sedang goyah, PBB ingin diperkotak katikkan sama. Di Sabah, parti-parti tempatan agak kurang senang dengan tangan UMNO. Kancah politik Negara, amat keruh sebenarnya.
(7) Khususnya di Sarawak, saya pasti segelintir yang ingin sangat Taib Mahmud berhenti punya muslihat tertentu. Di pihak pembangkang, kehadiran Taib adalah batu penghalang besar untuk mereka menguasai Sarawak. Taib dengan pengalamannya, dapat menyatukan Sarawak. Jika Taib tumbang, pasti akan wujud kemelut jika tidak keributan. Menjala, elok di air keruh. Itulah prinsip perjuangan mereka. Maka, kini, kian hari kian kuatlah para pembangkang cuba mengeruhkan keadaan di Sarawak. Isu yang paling berkesan, kalau di luar bandar adalah soal tanah NCR. Di bandar pula, misalnya kalau di Kuching, dari cuba menjulang Kuching Bandar Bersih dan Selamat kini sudah timbul slogan Kuching Bandar Longkang!
(8) Kehadiran Anwar di Kuching, Sibu, Bintulu dan sedikit masa lagi di Miri, semuanya adalah strategi licik untuk melarikan Najib-Muhyddin dari Semenanjung Malaysia. Lagipun, bandar-bandar ini sudah kian keruh. Maka, kehadirannya, adalah agar keruhnya menjadi lebih kotor. Maka khabarnya Najib akan ke Kabong dan Matang Jaya. Untuk apa? Jalan-jalan bersalaman? Buah salamnya apa? Inilah percaturan politik, dan jika kita sering saja menari mengikut rentak gendang orang lain, kita akhirnya akan penat sendiri tanpa kepuasan sejati!
(9) Nik Aziz, sering juga ke Beladin, Samariang, dan Seberang Hilir Kuching. Tidak lama lagi saya pasti dia akan ke Kampung Hilir-Masjid Sibu, Kg Hilir-Masjid Bintulu, kerana di sana sudah banyak udang sedang mabuk air keruh. Jika di keruhkan sedikit lagi, senanglah untuk menangguk udang!
(10) Mengeruhkan sungai senang saja. Menjernihkan sungai, contohnya Sungai Gombak dan Kelang, sehingga sekarangpun, sudah berpuloh Datuk Bandaraya dan Menteri Wilayah Persekutuan, masih tetap biol tak berkesudahan. Maka, kita rakyat terbanyak harus sedar mengenai perkara ini.
(11) Dalam mengurus politik Negara, saya berkira Najib jangan terlalu mudah ikut telunjuk sesiapa. Dia harus punya kewaspadaan dan balancing act yang lebih kemas. Hajat untuk mengugurkan Taib, umpamanya, saat Negara, samada dalam soal politik dan ekonomi masih agak goyah pasti akan mengundang kecelakaan yang lebih besar. Yang kita kendung, kita tantang bagai minyak yang penuh, yang kita kejar, jangan dipipiskan lada dahulu sehingga setelah dapat ditangkap dan disembelih. Sememangnya, pasti wujud pertentangan antara Najib dan Taib dalam beberapa perkara; sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula Taib dan Najib. Cuma saya lihat, dulupun UMNO dan PAS bertelagah juga, tetapi Abdul Razak Husein dengan bijak memasukkan Asri Muda ke dalam kandang dan diberi kepercayaan dalam bidang yang kalau silap boleh membunuh UMNO. Abdul Razak Husein, pentingkan rakyat, dan dia punya balancing act tersendiri yang berwawasan, maka Asri Muda dan PAS dapat dikawal dengan baik.
(12) Saya tidak membela Taib. Saya hanya ingin menyumbang agar nasib rakyat terus terbela. Selagi Taib dapat membela rakyat dengan baik, selagi itu saya rasa, kita semua harus bersamanya. Kepada bakal pengganti, kenapa harus buru-buru, bukankah baik jika saat waktunya gantian terjadi, suasananya bagai kapal belayar tenang dan laju. Jika lantaran perebutan; gajah lawan gajah, pelanduk mati di tengah, siapa akan beruntung dan siapa akan berputih mata. Sifat kita orang Melayu alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan seharusnya sudah lama luput. Tanah Haram sudah menjadi hitam dengan peluh dan air mata Melayu. Tangan para malaikat juga sudah penat agaknya, menulis doa hajat Melayu. Air Zam Zam entah sudah berapa juta liter diteguk Melayu. Kalau berhari raya, Melayu Sarawak beraya sampai sebulan, konon untuk bermaafan. Namun, dendam, dengki, khianat, busuk hati, di antara kita masih juga tebal. Kenapa?
(13) Apa yang saya khuatir tentang keghairahan menurunkan Taib, serta kegilaan menjolok Pengganti Taib akan mengulangi trajis Mahathir-Abdullah. Saya khuatir, mereka yang kini berada di sekeliling calun pengganti Taib, menjadi terlebih ghairah dari si calun itu sendiri. Sebabnya, bukan untuk rakyat, melainkan tembolok sendiri. Keduanya, jika kerana usaha keras mereka ini, maka si calun pengganti benar-benar dapat mengganti, maka tidakkah dia nanti jadi terlalu terhutang budi. Hasilnya, pengganti Taib akan menjadi lembu kalau tidak kerbau cucuk hidung. Inilah kekhuatiran saya.
(14) Orang Melayu Sarawak harus bijak untuk menilai yang mana satu munsang, yang mana satu ayam. Jangan musang berbulu ayam kita masukan dalam reban bersama. Najib juga, harus tidak terlalu terikut-ikut segelintir di Semenanjung yang iri hendakkan habuan di Sarawak.
(15) Taib telah membuat banyak perkara. Banyak perkara yang dibuatnya, bersifat terlalu strategik yang selalunya sukar difahami oleh banyak orang. Buat saya, jika saya menduduki kerusi sebagai rakyat biasa, sebetulnya Taib mempunyai Public Communication yang agak payah untuk orang biasa fahami. Bila berucap mengenai sesuatu perkara besar Taib selalu berpusar-pusar bagai sungai-sungai di Sarawak. Dia memerlukan masa yang lama untuk menjelaskan apa yang dia maksudkan. Sememangnya itulah caranya dia, tetapi itu membuat pendengar penat menanti.
(16) Dalam membuat perkara-perkara strategik ini, banyak pihak mengambil kesempatan atas sifat bahawa Projek itu adalah Taib's Pet Project. Lantaran itu banyak dari mereka mengambil sikap beraja di mata, bersultan di hati, lantas boleh membuat apa saja sesuka hati mereka. Saya mengambil satu contoh: kerja-kerja pembentungan di Bandaraya Kuching. Kontraktor sesuka hati menutup, melencung, menyempitkan jalan pada sebarang masa dan keadaan. Pengguna jadi marah, bukan kerana soal pembinaan pembentungan, namun hanya kerana setiap waktu kerja dan pulang kerja, jalan sentiasa sesak! Orang marah sebab jalan sesak. Jika jalan tak pernah sesak, pasti tiada siapa akan marah. Buat saya, jalan sesak, bukan kerana masalah kerja-kerja pembinaan pembentungan. Jalan sesak, kerana the management of people comfort had been ignored by everybody!. Inilah apa yang saya ibaratkan, marahkan nyamuk, kelambu kita bakar. Marahkan jalan sesak, Taib kena marah dan dicaci hina.
(16) Sebetulnya, banyak kalau tidak semua kemelut dan keresahan rakyat dapat kita atasi dengan agak mudah, terutamanya jika para penjawat awam yang berkedudukan tinggi mempunyai sikap proactive and courageous sedikit. Mereka harus berani untuk meneliti kelemahan yang ada, kemudian berani menyuarakan sacara baik agar semua pihak dapat memberikan perhatian terhadap segala kemungkinan yang akan berlaku. Dalam contoh di atas tadi kenapa Pejabat SUK, JKR, DID, JPJ, Polis dan Bandaraya tidak duduk semeja dan berbincang dengan baik dengan kontraktor berkenaan? Juga, kenapa Taib tidak diberi taklimat akan keresahan rakyat terhadap cara dan masa pembinaan itu yang boleh menimbulkan sikap marah rakyat? Degil sangatkah kontraktor ini? Atau cara kita belum cukup baik dan berani?
(17) Saya nampak, era masa kini Taib, kelemahan paling ketara, adalah soal kepemimpinan di dalam jentera kerajaan. Kita seperti hanya tahu to manage our internal administration tetapi kita failed or ignored the real need of the people. Saya merasa, KPI kerja kita mungkin telah banyak silapnya. Maka, asakan Najib untuk memperbaiki sistem penyampaian kerajaan adalah sangat tepat dan pentadbiran awam Kerajaan Negeri Sarawak perlu pembaikan segera bersama. Jika tidak, itulah sebenarnya the anchor factor that slowed and diffused Taib vision and action. Kesannya, pastinya kepada suasana politik Sarawak dan kepimpinan Taib pada keseluruhannya.
(18) Saya berkira, terlalu banyak internal politicking within the State Civil Service menjadikan banyak yang sudah feedup, being indifferent, waiting for the time dan sekarang bila mereka sudah di luar banyak bersama parti nyamuk. Semuanya, saya kira, adalah untuk membalas dendam. MasyaAllah.
Kuching, Sarawak
25 April, 2012
0 comments:
Post a Comment