.

33/9/11 GANJANG MALAYSIA

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - September 29, 2011

Share

& Comment


Aidil Fitri sudah. Merdeka pun sudah. Malaysia Day pun sudah lepas. Rasanya resah mungkin akibat tersasar belanjawan Aidil Fitri juga sudahpun terlepas, kerana, kelmarin kelihatan sesak di counter banyak Bank. Malam tadi, selepas makan malam bersama sanak saudara dan para pekerja, saya menyemak-nyemak buku yang belum saya baca. Kebetulan sebuah buku usang tersusun sama dengan beberapa novel berbentuk Sejarah dan Perjuangan saya temui. Saya agak hairan juga kenapa buku itu tiba-tiba saya kategorikan bersama novel-novel sebegitu.

(2) Buku lama ini berjudul: GELORA konfrontasi Mengganjang “Malaysia”, terbitan Depratmen Penerangan Republik Indonesia yang diterbitkan pada 1 Jun, 1964 bersempena dengan lahirnya Panca Sila, kebetulkan juga saya beli di Taman Ismail Marzuki, Jakarta, pada 19 Feb., 2010 bersempena ulangtahun saya kenal Si Izan seorang sahabat istimewa.

(3) Sehingga agak larut malam, saya menyemak buku dan cuba memahami kenapa Sukarno begitu ghairah mahu menganyang Malaysia. Istilah yang dia gunakan adalah ganyang. Kalau mengikut istilah Jawa, ianya boleh bersifat sangat rakus dan ganas. Ganyang, juga boleh bersifat ringan-ringan sahaja, iaitu kalau dalam pengertian Melayu boleh sekadar makan-makan sahaja. Seperti ganyang ikan, maka kita hanya makan ikan secara ringan-ringan sahaja, sama keadaanya dengan orang Melanau menganyang ikan panggang dengan sagu, atau Tok Arab, menganyang kambing panggang dalam majlis tarian gelek.

(4) Namun maksud Sukarno terhadap ganyang Malaysia adalah keras, no retreat, no turning back, onward katanya. Saya sisipkan dari ungkapan pidato: ucapan beliau bertarikh 27 Julai, 1963:
”….kalau memikirkan ‘Malaysia’ itu, krengsangnja (sengit) itu berkobar-kobar, saudara-saudara.

Saudara-saudara senang sama ‘Malaysia’? Tjinta (cinta) sama ‘Malaysia’? Dojan (lalu) sama ‘Malaysia’? Lha kok hendak Saudara ganjang (ganyang)? Tjobalah (coba) dengarkan, kalau ganjang itu dimakan kemudian ditelan. Seperti kelmarin saja (saya) marah-marah kepada salah seorang kawana saja, saja itu dirumah punya dendeng (daging salai) kok dihabiskan oleh dia, diganjang oleh dia dendeng itu. Kerana apa? Dendengnja enak dan dia senang pada dendeng lantas dia ganyang itu dendeng.

Apa Saudara senang sama ‘Malaysia’?, tjinta sama ‘Malaysia’, dojan sama ‘Maaysia’? Sudahlah, baiknya begini, djangan kita ganjang ‘Malaysia’ tapi kita keremus (picit-picit) ‘Malaysia’. Keremus ‘Malayia’ atau getjeg (pijak-pijak) ‘Malaysia’ aa, dikeremus-keremus kemudian kita lepeh (giling mampat).

Tetapi saja tahu, saja tahu maksud dari Saudara-saudara memakai perkataan ganjang, sebab saja sendiri djuga (juga) sering memakai perkataan ganjang: “Ee adja maneh kowe sidjio, adja loro, adja telu, madjuo kabeh leganing atiku (bukan setakat hanya satu, dua, tiga, maju semuapun…geramnya hatiku) ”- sering saja sendiri berkata demikian- “adja sidji adja loro, madjuo kabeh leganing atiku jo, salekso ing ngarso, seketi ing wuri, kekedjero kojo manuk brandjangan, kopat-kapita kojo ulo tapak-angin, tak ganjang habis tanpa ngaran…” (serapah jangan berpatah arang, ganyang terus jangan undur)

…Tempo saja masih Kokrosono-muda, Sudara-saudara-saja memberi adjaran (pengajaran) kepada Rakyat Indonesia, bahawa djalan satu-satunya untuk mentjapai kemenangan jalan dalam bahasa asing ‘machtsaansvorming’ dan ‘machtsaanwending’. ‘Machtsaansvorming’ dan ‘Machtsaanwending’.‘Machtsaansvorming’ arinya menjusun kekuatan kita, menjusun tenaga kita, itu jang dinakaman ‘Machtsaansvorming’ dengan menghimpun segenap tenaga revolusioner kepada Rakjatb jelata jang berjuta-juta. ‘Machtsaanwending’ berarti mempergunakan, mengerakkan tenaga jang kita susun itu. Djikalau perlu kita gempurkan kepada musuh. ‘Machtsaansvorming’ dan ‘Machtsaanwending’


(5) Cita-cita asal Sukarno adalah secara pribadi dia mahu jadi Pemimpin Besar. Untuk mencapai tingkat itu, maka dia ingin membentuk Republik Indonesia merentang dari Sabang (Sumatera) ke Merauke (Irian Jaya, sekarang Papua) seperti dalam pidato beliau pada 16 March, 1964. Sabah dan Sarawak yang tergolong dalam wilayah Kalimantan, sepertinya beliau anggap seharusnya membentuk sebahagian dari cita-cita Republik Indonesia biarpun tidak pernah dinyatakan secara terang-terangan oleh beliau.

(6) Gagasan pengwujudan ‘Malaysia’ pastinya menjadi penghalang kepada cita-cita besar beliau. Maka dengan sebab itu, dalam perrtemuan enam mata di Tokyo antara Sukarno-Macapagal-Tunku Abdul Rahman, beliau telah mendesak Tunku untuk tidak mengistiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957. Beliau mahu Tunku menangguhkan peristiharan kemerdekaan itu sehingga punggutan suara semula dengan di perhatikan oleh Indonesia dan Filipina dijalankan semula tentang keinginan rakyat Sabah dan Sarawak untuk bersatu membentuk Malaysia.

(7) Tunku atas sifatnya sebagai negarawan, tidak minser: berganjak dari pendiriannya untuk mengistihar kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957. Namun, pembentukan Malaysia telah ditangguhkan, dan setelah mendapat mandat dari Bangsa-bangsa Bersatu (UN), maka Malaysia telah diistiharkan tertubuh pada 16 Sept., 1963. Maka kerana Sukarno tidak setuju kemasukkan Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dalam Malaysia kerana ini menjejas jambatan pembentukan sebuah Republik Indonesia yang luas, pastinya dia mengistiharkan ganjang Malaysia atas tiket neo-kolonisma.

(8) Inilah sejarah yang semua anak Malaysia perlu ingati. Kita seharusnya mengerti kenapa 31 Ogos, dan 16 Sept., menjadi dua tarikh yang harus kita hargai. Kita tidak boleh mengatakan bahawa 31 Ogos tiada kaitan dengan Malaysia serta juga kita tidak boleh hanya mengagungkan 16 Sept., tanpa peduli terhadap 31 Ogos. Itulah jalanan kemerdekaan kita, itulah natijah yang perlu kita akui dan pertahankan.


Kuching, Sarawak
29 Sept., 2011

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.