.

8/9/10 KORBAN KESUNGGUHAN.....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - September 30, 2010

Share

& Comment


Rabu, 1, 10,1986 adalah tarikh saya melangkah menceburi kerjaya sebagai penjawat awam. Hari ini, Khamis, 30, Sept., 2010 adalah bertepatan dengan 25 tahun masa silam. Saya hanya meninggalkan Pejabat tepat jam 2045 malam ini, buat memastikan bahawa tiada kerja yang hari ini perlu saya tangguhkan keesokannya. Saya kemudian duduk makan di Medan Ria, yang sering menjadi tempat buat saya melampias masa bersama-sama teman-teman makan Ayam Pangang Wak Jawa. Wak Jawa ini, adalah pelopor kepada Ayam Panggang di masa itu. Ayam Panggang beliau sangat terkenal sehingga bila saja teman-teman dari Malaya datang pasti mereka ingin makan Ayam Panggang Wak Jawa. Sama halnya dengan Laksa dan Mee Kolok sekarang ini. Kini, dia telah pergi, meninggalkan isteri dan anak-anaknya untuk meneruskan usahanya itu. Mudah-mudahan, di malam Jumaat ini keberkatannya daya pelopor beliau mendapat rahmat Allah subhanahuwataala.

(2) Suatu ketika dulu, saya dan teman-teman kerana mahu wang lebih, turut mengikut jejak beliau, dan menjual Ayam Panggang Ala Wak Jawa di Sg. Maong, Bt Tiga. Jualan kami agak lumayan juga, namun kerana terpaksa kadang-kadang berjual sehingga larut malam, keadaan itu telah menimbulkan keadaan hilang tumpuan kepada kerja rasmi masing-masing. Atas kesedaran, memburu wang tidak dapat membela masyarakat, maka kamipun menutup perniagaan kami dan terus kembali melanggan Ayam Panggang Wak Jawa.

(3) Dulu, kini, dan mungkin 10 tahun lagi, Medan Ria tetap begitu juga. Di mana Rianya, saya tidak pasti. "Biar zaman berubah kita tetap tidak berubah", begitulah jerit pengamin di Jakarta. Namun itu bukan tajuk yang ingin saya tulis. Saya terkenang teman-teman yang sedang berpelarian (under going escapism)!

(4) Semalam dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Kuching, antara sedar dan lelap, fikiran saya melayang kepada perjalanan hidup yang pernah saya lalui, contoh hidup yang pernah saya lihat dan dengar, serta cerita-cerita hidup yang pernah saya baca. Saya ingin membawa pembaca kepada pemahaman saya tentang: Korban Kesungguhan....

(5) Buat mengambarkan apa yang saya maksudkan, elok saya guna, gambaran dan cerita tentang korban cinta. Semua orang pernah dan akan melalui proses bercinta. Ada orang bercinta tentang kerja, tentang kebendaan, tentang sesama manusia, dan ada bercinta kepada tuhan. Dalam soal ini, saya hanya ingin berbicara tentang cinta yang bersungguh-sungguh.

(6) Bila kita bersungguh-sungguh bercinta, dunia adalah milik kita. Segala tentang apa yang kita cintai itu pasti tampak segalanya indah dan sempurna. Tiada suatupun yang cacat celanya. Kita seperti sanggup berkorban apa saja untuk yang kita cintai, biarpun nyawa melayang dari badan. Dalam istilah lainnya, kita jadi taksub!

(7) Paling menarik, dan mungkin anih, bila mana kita gagal dalam memenuhi kecintaan kita itu, kita jadi kemaruk kehilang punca. Saya mengambil satu contoh, bila sepasang kekasih terputus cinta yang begitu mendalam, keduanya atau salah satu di antaranya akan merana. Perhatikan saja kisah Cinta Laila Majnun, atau Magdelena, atau kisah Tengelamnya Kapal Van der Vick. Begitu menyayat, begitu sayu, begitu mengesankan. Gambaran kesiksaan putus cinta mereka itu begitu trajis seperti dunia sudah kiamat, segalanya adalah neraka!

(8) Perilaku keperitan putus cinta yang mendalam (tidak terbatas dalam soal asmara), yang menjadikan mangsanya menjadi kemaruk gila-gila terjadi dalam semua keadaan. Bila kita cintakan pangkat, biar telah berusaha dengan apa cara sekalipun, namun gagal juga mendapatkan pangkat, ada yang boleh menjadi separuh gila. Ada tersasar sehingga bertindak mengikut rentak tanpa kewajaran: khianat, dengki, tipu-muslihat, dsb. Begitu juga tentang harta, tentang kegemaran yang gila-gila, bahkan jika kita 'cinta kepada tuhan' dan dengan segala apa juga cara mahu memenangi 'kudrat tuhan' namun bila kita gagal, itupun sebahagiannya boleh menjadikan seseorang itu kemaruk tak tentu pasal. Bukankkah telah pernah kita lihat dan dengar bagaimana mereka yang 'taksub cintakan tuhan' akhirnya menjadikan diri mereka 'utusan tuhan jika tidak tuhan'.

(9) Itulah akibat kesungguhan bercinta! Begitulah, bagaimana kesungguhan yang mengila boleh mengorbankan diri kita. Cuma, yang menarik bagaimana kita harus kembali sadar ke jalan asal tujuan kejadian kita: Sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan, cuma jalannya bagaimana?

(10) Saya pernah bersama seorang teman. Dia mengalami cinta asmara yang sungguh mendalam. Namun akhirnya, buah cintanya, untuk hidup bersama (mungkin mati sendiri-sendiri) tidak kesampaian, maka dia jadi merana, sehingga kemudian dia menemui, katanya cinta sejati, iaitu sujud tawaduk mencintai Ilahi. Siang malam, pagi petang, sujudnya, pasrahnya hanya pada ilahi. Doanya, tangisnya, ucapannya, hanya tentang Ilahi. Tiada lain, hanya Ilahi. Manusia baginya sudah tiada erti, selain Ilahi, semunya tiada erti. Dia hampir hilang pekerjaan, malah kesihatannya kian terjejas. Tubuhnya tampak, jiwa dan akalnya, saya tidak pasti di mana? Saya khuatir dia hilang darjat kejadiannya sebagai manusia!

(11) Saya mencari akal. Saya mahu mengembalikan beliau menjadi manusia biasa. Manusia yang masih sedar bahawa tarafnya dia adalah manusia yang pasti ada tanggungjawap lain selain dari hanya 'mencintai Ilahi' sebagaimana yang beliau faham. Sandaran saya adalah mudah, jika mahu bercinta dengan Ilahi, Muhammad SAW pastinya orang yang paling suci dan benar akan cintanya kepada Ilahi. Namun cara dan perilaku Muhammad SAW mencintai ilahi tidak pernah memaling atau memesongkan beliau untuk terus seperti manusia biasa, bertanggungjawap seperti manusia biasa!

(12) Saya membawa teman saya pergi jauh. Kemana juga, tasbih, ratib, zikirnya, hanya pada Ilahi. Dia hanya mahu bermunajat, bertafakur di rumah Ilahi. Sukar untuk saya mengajaknya buat membuka mata ke tempat lain. Sujudnya sungguh khusyuk, panjang, mendalam. Doanya, sayu, khusyuk, panjang, mengetarkan. Saya menjadi gusar, dalam perjalanan jauh seperti itu, jika kecelakaan menimpa dia, pasti sayalah jadi korban kaum keluarganya.

(13) Suatu hari, saya dapat memesongkan dia dari terlalu ingin bertafakur di masjid. Saya katakan:"Kita perlu berjalan, kita perlu bermunajat dibanyak masjid. Biar semua masjid di kota-kota yang kita lawati menjadi saksi pengabdian kita ini". Saya sengaja mahu menipu beliau!

(14) Kami berjalan kaki. Tidak menaiki kenderaan. Kami berjalan dalam panas terik. Lama sekali berjalan. Sehingga dia terhoyong hayang. Saya sengaja tidak berhenti rehat. Tidak berhenti minum, Tidak berhenti makan. Saya kata kepada beliau, itu semua tidak penting. Kita mesti sampai ke masjid. Kita mesti hanya berserah kepada Ilahi. Itu lebih penting, yang lain-lain itu tidak penting. Sehingga bila beliau sudah seperti tidak larat, tercungap-cungap, baru saya hulurkan air. Kemudian saya tanyai beliau: 'Kamu lapar? Kamu hendak makan? Kamu hendak istirehat?", dan pasti dia hanya mengangguk.

(15) "Penting pulak minum, makan dan istirehat ya", sindir saya sinis. Matanya sayu memandang saya, entah marah entah kesal tampak tiada beda cahaya matanya. Dia sudah terlalu penat! "Padan muka dia", kata hati saya puas!

(16) Suatu senja kami sampai ke sebuah masjid berkubah biru. Sebelumnya kami telah berjalan selama tiga hari tidak henti-henti meniti dari sebuah masjid ke sebuah masjid. Sangaja saya berbuat begitu, pertamanya buat saya mengenali pelbagai rekabentuk dan kemudahan-kemudahan umum di masjid-masjid di kota itu dan keduanya agar dia puas bermunajat semahunya. Bila dia bermunajat, saya beristirehat. Begitulah keadaannya. Selesai Maghrib dan Isya, saya jadi terlelap dan terus ketiduran.

(17) Entah bagaimana, dia mengejutkan saya. "Bangun, mandi, subuh sudah hampir", katanya. Saya lihat dia begitu kemas, rambut tersisir rapi, pakaiannya sudah kemas, berkemeja dan bercelana biasa. Sudah ada senyum dibibirnya. Suaranya sudah bersih dan jelas. Dia sudah tidak lagi kumat-kamit berwirid, bertasbih, berzikir seperti sebelumnya.

(18) "Jangan heran", katanya. "Malam tadi sepanjang kau tertidur, melihat engkau terbaring kedinginan atas lantai simen sejuk itu, aku merasa amat bersalah, kerana aku, kau jadi tertikut-ikut merana, merepat seperti aku. Kenapa derita aku, terpikul sama oleh kau?" Dia juga rupanya telah menceritakan kisah putus cintanya kepada Imam masjid berkenaan dan prihal saya yang cuba menghiburkan beliau, sehingga saya terpaksa kelelahan sebegitu rupa.

(19) Rupanya, sepanjang malam dia berbicara dengan Imam berkenaan. Mereka berbicara tentang cara mencintai Ilahi, menyeimbangi ibadat dan berbakti. Juga dia menceritakan, betapa Imam itu telah dapat meyakinkan beliau, betapa kejayaan itu adalah dugaan seperti juga sebarang kegagalan yang kita hadapi. Jika kita gagal, kita tidak sekali-kali boleh kecewa, kerana kekecewaan itu menidakkan keberadaan akal yang Allah anugerahkan kepada kita. Juga jika kita berjaya, tidaklah kejayaan itu untuk kemegahan kita, kerana jika itu perilaku kita, kita sebenarnya menidakkan keberadaan akal juga pada diri kita dan sebaliknya membesarkan nafsu melampuai akal!

(20) Paling menyentuh dan menyadarkan beliau, bila Imam berkenaan menempelak beliau: "Kamu bermunajat seperti khusyuk sebagai disaksikan mata, apakah ianya sebenar sesuci dan seikhlas sebagai Allah kehendaki? Atau kamu hanya sedang melalui pelarian?" Juga Imam berkenaan, katanya, sambil munding ke arah saya yang sedang tidur mati letih-merengkok kedinginan, tiada selimut, tiada bantal lalu berkata: "Teman kamu itu, cintanya kepada kamu. Kasih sayangnya kepada kamu. Tugasnya kepada Ilahi, mahu menyelamatkan kamu. Mengembalikan kamu seperti seadanya kamu sebelum kekecewaan kamu. Jika kamu benar-benar cintakan Ilahi, kasihanilah dia, dan kau hormatilah usahanya yang mahukan kamu kembali seasalmu, tetap pada tugas-tanggungjawapmu sebagai manusia biasa. Jangan dia jadi korban atas perlarianmu."

(21) Kini kami sudah berjauhan. Kembali dalam dunia masing-masing, mencintai apa yang perlu dicintai pada kadar yang perlu diimbangi. Kami saling mengingati, agar tiada pelarian dan kebangaan dalam hidup ini. Mudah-mudahan teman, pada usia dan perjalan sejauh ini, kisah kita kekal menjadi abadi peringatan buat titian hidup selanjutnya.


Matang Jaya, Kuching
30 Sept., 2010

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

2 comments:

Anonymous said...

Terima kasih atas segalanya ..

Anonymous said...

jadi hero , ini sudah bagus. BIla nak jadi hero untuk diri sendiri , untuk tidak terlalu taksub dengan pekerjaan sehingga meninggalkan perkara lain?
Moga yang ditulis di blog itu merupakan perilaku seharian, bukan sekadar melepaskan perasaan dalam kehidupan yang menyendiri dan tiada teman. Teman sekarang ramai kerana ada jawatan , ada wang, tapi awaslah kernan teman itu semua akan bisa hilang lenyap apabla tidak lagi berjawatan di pucuk pimpinan. wallahualam

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.