"Aku bukan sedari mulanya berada. Tidak berada sebetulnya. Dari mula, sehingga ke liang lahadpun aku pasti tidak berpunya apa-apa. Sekadar, yang ada adalah tubuhku yang entah apa sihat, berakal atau tidak. Tubuhku juga apakah layak disebut tubuh? Yang ada cuma kulit yang membungkus tulang benulang yang kering panjang-panjang. Tubuhku benar-benar kering. Bahkan jantungku sekalipun di balik kerangkaku sepertinya bubu dari rautan buluh-buluh betong boleh dilihat biar pada sejarak dua ratus meter. Mungkin tubuhku sekadar bangkai bernyawa. Atau mungkin buat masyarakat di Kampungku, aku sepenuhnya aku, adalah beban sepertinya mendukong biawak hidup. Kepada mereka aku bergantung hidup. Belas ikhsan mereka menjadikan aku terus hidup. Ibu bapaku sedari sebelumnya mereka bersatu lalu menjadikan aku, juga sepertinya aku. Sepertinya juga ibu bapa mereka sebelum adanya mereka. Miskin. Melarat. Hina. Maka yang mereka mampu, sekadar melahirkan sebatang tubuh juga sepertinya aku satu-satu. Lantaran itu aku sudah berkeputusan, tidak akan membenihkan zuriat. Aku tidak ingin punya zuriat. Aku tidak mahu ada anak apa lagi anak-anak. Biar sengsara yang sudah menimpa aku bertali arus sejak paling kurang tiga keturunan lepas, terputus dengan aku berkorban untuk tidak berkeluarga. Setidak-tidaknya, masyarakat sudah tidak perlu lagi terbeban kerana keberadaannya mansuia sepertinya aku di kalangan mereka. Biar aku berjasa kepada masyarakat, dan masyarakat tidak usah lagi khuathir tentang hidupnya aku atau para zuriatku. Aku ingin tamatkan hadirnya zuriat turunanku biar di sini saja. Paling aku kepingin berjasa, agar tiada perempuan bernama isteri atau ibu yang turut berkongsi susah, miskin dan hinanya aku. Aku sekadar ingin berjasa pada fitrahnya aku."
(2) Pak Rahmat. Itulah nama si tua. Dia termanggu di pojok Musola di hujung Kampung. Sepertinya, lamunannya, sebegitulah dia. Dia mensyukuri hidupnya yang sedari lahir sudah susah, perit dan payah. Dia hanya mengerti bersyukur pada dirinya seadanya. Tidak lebih. Tidak kurang. Sekadar itu. Kedua orang tuannya mati kecelakaan saat dia masih anak-anak. Juga nenek dan datuknya, mati saat ibunya baru kira-kira mengendongnya, antara jadi manusia atau sekadar bergumpal menjadi sebuku darah keras dalam rahim pada minggu ke tujuh hasil pembenihannya. Rahmat, itulah pesan kedua nenek dan datuknya agar dia diberi nama jika dia terlahir nantinya. Seperti nujum paling andal, kedua nenek-datuknya, menduga tepat dia pasti terlahir sebagai anak laki-laki. Terbayang seandainya dia terlahir sebagai anak perempuan, pasti kedua ibu bapanya menjadi kebingungan. Mana mungkin anak perempuan dinamakan Rahmat. Rahmah mungkin. Paling tidak Rahmawati. Rhmah nama ibunya. Rahmawati, seperti mempusakai keHinduan bunyinya. Syukur, dia lahirnya sebagai anak lelaki, setidak-tidak kedua ibu bapa yang sudah susah, tidak perlu repot-repot kegundahan mencari nama yang baik untuknya.
(3) Umurnya baru enam tahunan bila kedua orang tuannya mati. Mereka mati bersama. Mati sehati sejiwa. Sehidup semati pada keadaan tulinnya. Mati penuh trajis sebetulnya. Namun dalam kelompok masyarakat miskin papa kedana, kematian adalah suatu kesyukuran. Setidak-tidak boleh makan gulai ayam kampung. Namun kematian mereka tidak terai sebegitu. Dia kenduri. Tiada ayam kampung untuk dikorbankan digulai. Kematian mereka tidak berbekas. Mereka mati sepertinya kematian seekor semut. Tiada apa-apa nilainya. Mereka mati bersama ranap rumah mereka dihempap sebatang pohon kelapa dalam suatu malam yang bergegak gempita dilanda ribut. Mereka berkubur bersama rumah yang runtuh ranap itu. Sebetulnya, rumah mereka hanyalah gubuk sekadar untuk baring di waktu malam untuk sekejap melelapkan diri dari terjah kepayahan. Gubuk itu terbangun dari anak-anak kayu serta dedaun nipah yang dipungut dari sedekah Tuhan. Rahmat, kerana masih anak-anak, serta tubuhnya yang kecil lembut kering layu, mudah melayang terpelanting saat gubuk mereka berantakan dipukul ribut dan pohon kelapa yang sujud menjemput pulang kedua ibu bapanya. Di saat mengimbau kecelakaan kedua orang tuannya sebegitu, dia tidak tahu apa harus bersyukur kerana terus hidup atau kesal kerana tidak pergi bersama kedua mereka. Dia sekadar anak-anak yang tahunya menangis tanpa siapa mendengar.
(4) Keesokan harinya, bila seluruh masyarakat Kampunya sudah pulih dari kegalauan pukulan ribut, mereka mendapatinya terbaring pengsan di bawah runtuhan gubuknya. Mereka mengusungnya ke Mushola yang berada tidak jauh dari tembang gubuknya. Di sanalah bermulannya dia sebagai yatim piatu, sehingga Musholanya juga kian tanggal dinding kakyunya satu-satu serta perlahan-lahan doyong untuk rebah rebah menyembah bumi, namun dia dapat terus bertahan sehingga umurnya sudah lima puloh lima tahun. Mushola ikut menua sepertinya juga. Dia sudah mencapai usia bersara. Dia sangat kepingin untuk bersara. Bersara menjejaki kedua orang tuannya. Rambutnya telah memutih. Jengotnya panjang juga memutih. Alis matanya tebal, juga memutih. Bibirnya kecil. Mulutnya kecil sebetulnya. Matanya juga kecil sepet. Seluruh tulang mukanya juga kecil. Menjadikan seluruh tubuhnya juga kecil. Dia seorang tua yang kerdil sebetulnya. Kerdil pada tampak juga jiwanya. Mungkin lantaran matanya yang sepet, maka pandangan hidupnya jadi sempit terbatas. Mulutnya yang kecil, menjadikan keperluan suapan makanannya juga kecil, sedikit. Apa lagi tempurung kepalanya yang kecil menjadikan otaknya juga jadi sedikit dan serba kekurangan mungkinnya. Dia sebermula dari martabat yatim piatunya, tidak pernah menjarak dari Musholanya, bahkan tidak pernah berani berjalan melepasi batas tembang gubuknya. Hidupnya seperti seekor kera terikat. Dia di keliling Mushola. Kera di keliling pohon kelapa. Naik turun, hanya di situ.
(5) Jiwanya Rahmat tidak seperti manusia-manusia lainnya. Sedari dia mulai mengerti sholat dan berdoa, dia setulus sekuatnya menadah tangan berdoa agar segera bersatu bersama kedua orang tuannya. Tok Imam mengajarnya sebegitu. Doannya penuh sahdu dengan banjiran air mata penuh pengharapan. Dia ingat suatu waktu pernah bapanya berpesan: Biar kita miskin, jangan sekali-kali kita durjana. Kita harus redha, bersyukur biar hanya ada siang buat menyuluh langkah-langkah kita. Ingatlah, kita harus sekuatnya bersabar mengharungi dugaan di dunia ini, andalan balasannya adalah Syurga di sisi Tuhan. Syurga adalah balasan bagi mereka yang taat, sabar dan redha. . Pesan itu, nasihat itu, wasiat itu sebetulnya menjadi pegangan teguh Rahmat. Dia paling takut tidak mentaati Tuhannya. Dia redha. Redha paling tulus. Sabar paling teguh. Terus-terus dia berdoa. Lalu pada suatu waktu, tepat pada akhirnya usiannya pada lima puloh lima tahun, saat dia rebah kepenatan, pengsan sebetulnya kerana sudah beberapa hari tidak punya makanan. Pelita di Mushola tempat dia mendapat Kasih Tuhan selama ini juga turut rebah. Dalam sedetik yang paling pantas, segalanya menjadi arang dan debu. Pak Rahmat rentung sebelum para penduduk Kampung sempat biar menyimbah sekadar sebaldi air untuk memadamkan api. Semua, saat melihat tubuhnya yang rentung dalam bakaran Mushola menadah tangan: Tuhan, betapa kasihnya Engkau, Pak Rahmat mati dalam rahmat lindungan Mushola rumah Engkau yang menjadi pengabadian ibadah dan penjagaannya. Cucurilah rahmat ke atas roh Pak Rahmat. Semua kemudian berdada lapang yakin tentang MahaRahmat yang Pak Rahmat pasti terima dari Tuhannya. Selang beberapa hari selepas itu, seluruh bumi berkecai bergelegak, sepertinya kepulangan Pak Rahmat, adalah tanda akhir zaman.
(6) Kira-kira 50,000 tahun kemudian di sebuah padangan maha luas manusia bersusun-susun. Semua bangkit dari tidur panjang mereka. Berbaris. Berpusu-pusu. Semua menuju sebuah titik. Semua tergiring oleh bakaran panas dari Selatan yang meledak-ledak membahang. Di titik tumpuan semua, sepertinya sebuah gerbang Tol, di sana terdengar suara memanggil-manggil nama dari setiap sesiapa juga mengikut susunannya. Pak Rahmat, yang sudah 50,000 tahun berpulangan, berjalan terjengah-jengah cuba mengerti apa gerangan maka semua manusia berpusu-pusu ke titik tumpu itu. Di tangannya ada sekeping kertas, tertulis sesuatu yang dia tidak mengerti. Dia cuba bertanya-tanya kepada sesiapa. Dia kenal Tok Penghulu dari Kampungnnya dulu. Juga dia kenal akan Tok Siak dan Pak Imam yang sering berada di Mushola bersamannya dulu. Bahkan kedua ibu bapanya juga ada di sana. Dia memangil-manggil nama mereka. Tiada siapa mahu peduli. Tiada siapa berpaling kepadannya. Biar mereka dia pujuk rayu. Tetap tiada siapa peduli. Manusia benar-benar seperti sedang sibuk mengurus prihal sendiri-sendiri. Dia memerah sedikit akal. Dia membanding-banding dengan mereka di kelilingnya, dia tahu, tulisan pada kertas di tangannya jauh lebih panjang dari yang di pegang oleh yang lain-lain. Ini pasti Kad Pengenalan untuk melewati Tol itu fikirnya diam-diam. Dia membelek-belek kertas di tangannya. Dia menduga-duga. Lantas terfikir olehnya tahu, tulisan itu sepertinya angsa dibelah dengan sabit lalu dikeluarkan telurnya yang banyak, bertimbun-timbun setinggi galah. Dia yakin itulah maksud tulisan itu. Dia tersenyum penuh ego. Sebetulnya, dia membawa angka giliran 650,000,000,000,001. Itulah angka giliran dia yang telah Tuhannya tetapkan untuknya. Dari jauh dia dapat melihat lembaga-lembaga berkepak namun bentuknya seperti manusia. Mereka itu memegang sebuah Buku Besar, sepertinya sebuah daftar. Dari situ, perjalanan mamusia selanjutnya akan diteruskan iaitu sama ada berjatuhan dari sebuah titian yang sempit atau diangkat naik ke angkasa. Di sebelah manusia-manusia berkepak itu berdiri lembaga raksaksa yang bentuknya tidak jelas, cuma berkilau-kilau bergemerlapan. Pak Rahmat mula mengingat-ngingat. Ya, kata hatinya. Manusia berkepak itu adalah para malaikat. Sedang lembaga berkilau bergemerlapan itu adalah Tuhan. Kini dia yakin, inilah apa yang Tuhannya janjikan, betapa semua sedang menghadapi Hari Perhitungan. Ya dia yakin itulah Hari Perhitungan. Maka timbul rasa lega dalam dirinya. Dia yakin, dia pasti dapat melewati Tol tanpa perlu takut atau membayar apa-apa. Dia yakin dia cukup bekal ibadat selama lima puloh lima tahun hidupnya.
(7) Pak Rahmat paling yakin, dia pasti akan terangkat ke angkasa menuju Syurga. Saat dia menyaksikan beberapa orang yang dia kenali, antaranya mereka yang sering mengejek-ngejeknya semasa hidup susahnya, saat mereka akan dihumban ke gaung Neraka, dia menjelir lidah dan membeliakkan mata tanda mengatakan: "Padan muka kalian. Dulu menghina aku. Rasakan. Masuklah ke Neraka". Juga saat dia melihat Tok Siak yang sering bermurah hati kepadanya, dia diangkat ke angkasa, dengan seekor kuda berkepak, maka dia sangat girang melambai-lambai tangan kepadanya sepertinya dia sedang mengucap: "Selamat jalan. Kita ketemu nanti sebentar lagi". Malah dia yakin, dia akan menunggang kuda putih ke Syurga nantinya. Hebat. Begitulah telatah Pak Rahmat tanpa dia sedar betapa sang Malaikat sedang melotot menjegilkan mata mereka tanda jengkel ke atas telatahnya sepertinya Pak Rahmat sedang mengambilalih tugas Tuhannya dalam menetukan ke mana sesiapa akan pergi akhirnya. Namun Pak Rahmat, saat melihat mata para Malaikat yang melotot itu, sangkannya, sebagai tanda bersetuju dengan beliau betapa si anu dan si anu harus ditendang masuk ke Neraka. Maka setelah beberapa lama berlalu, Pak Rahmat adalah paling akhir Tuhannya serukan namanya. Kerana dia adalah manusia terakhir yang harus diperhitungkan, Pak Rahmat paling sangat banga. Dia yakin Tuhan pasti telah penat dan akan menghabiskan kerjanya dengan cepat dan mudah.
(8) "Nombor kamu 650,000,000,000,001 Rahmat bt Rahmah?" tanya Malaikat sambil menyemak dalam Buku Daftar terbentang luas di depannya. Ya, saya Rahmat ibnu Firdaus, Rahmat bt Rahmah jawapnya tegas, lantang, penuh ego. Juga dia sempat menjengah melihat daftar nama di dalam Buku Daftar tersebut. Terpampang dua nama yang sangat dia kenali: Firdaus Abbul Rahman dan Rahmah Abbul Rahim tergaris dengan highlight hijau. Itulah nama kedua ibu-bapanya. Mereka telah ke Syurga. Dia bukan main girang. Terlompat-lompat. Bertepuk-tepuk tangan. "Syukur Tuhan. Kami sekeluarga akan berkampung di Syurga. Benar pesanmu bapa" bisik Pak Rahmat dengan rasa di dada paling lapang. "Diam. Dengar!" tempik Malaikat kepadanya. Tersentap hati Pak Rahmat. Sekejap dia terkebil-kebil seperti katak terbang yang sering hinggap di dinding Mushola tempat dia diam dulunya. "Tuhan. Bongkak benar Malaikat ini. Kasar dia ini. Apa dia tidak boleh bersopan dengan ahli Syurga sepertinya aku ini?" bisik hati kecil Pak Rahmat. "Siapa Tuhan kamu? soal Tuhan. "Kamu adalah Tuhanku" jawap Pak Rahmat tegas, terang, yakin. Dia tersenyum meringis sumbing seperi kambing mengahad matanya yang sepet kepada Tuhannya. "Apa ikutan kamu?" tanya Tuhan lagi. "KitabMu adalah ikutanku" jawab Pak Rahmat bertambah tersenyum indah berseri. Namun Malaikat melotot kepadanya. Pak Rahmat menjelir lidah membalas dengan ego. "Apa kamu perbuat semasa hidup kamu?" tanya Tuhan lagi. "Sholat" jawap Pak Rahmat. Semua sholat wajib. Juga semua sholat sunat. "Lagi" tanya Tuhan. "Puasa" jawab Pak Rahmat. Semua puasa wajib. Semua puasa sunat. "Lagi" tanya Tuhan. "Baca Kitab Kamu Ya Tuhan" jawabnya lagi. Setiap waktu antara sholat samada wajib atau sunat. "Lagi" tanya Tuhan terus. Pak Rahmat berfikir panjang. Dia cuba mengingat-ngingat. "Menghafal Kitab Kamu Ya Tuhan" balasnya sambil menarik nafas panjang. "Saya boleh bacakan Kitab itu, jika kamu mahu mendengarnya ya Tuhan" tambah Pak Rahmat penuh bangga. "Lagi" tanya Tuhan. "Tidak ada lagi. Sepanjang hari siang dan malam saya Sholat, berpuasa, den membaca dan menghafal Kitab" jelasnya meringkas semua rutin hidupnya. "Lagi" tanya Tuhan. "Tidak ada lagi Ya Tuhan" tegasnya. "Ke Neraka kamu" perintah Tuhan kepadanya. Pak Rahmat terpingga-pingga. "Malaikat! Seret dia Ke Neraka!" perintah Tuhan. "Tapi Ya Tuhan...." Pak Rahmat cuba mencari helah. Namun Tuhan sudah lenyap. Dalam hatinya, dia sepertinya menuduh Tuhan telah khilaf. Tuhan telah salah hukum Dia tidak harus ke Neraka. Dia harus ke Syurga. Di langit, segalanya sudah tidak kelihatan. Langit sudah menjauh. Pintu Syurga telah tertutup. Pak Rahmat terus dihumban Malaikat ke Neraka. Dia memberontak. Tuhan silap. Tuhan salah. Tuhan salah hukum.
(9) Di Neraka, alangkah kaget setengah matinya Pak Rahmat. Di sana Tok Imam, Tok Penghulu, Pak Abu peruncit, Pengembala Kambing, dsb juga sedang dihukum. Banyak yang sering ke Mushola di Kampungnya dulu juga sedang tersiksa di sana. Anih. Kenapa Yang alim, yang taat, yang sering mengagungkan Tuhan, mereka banyak di Neraka?. Tuhan pasti telah silap hukum. Pak Rahmat mencari akal. Dia mengumpul semua. Mereka mengadakan mesyuarah. Semua kemudian setuju melantik Pak Rahmat menjadi ketua mereka, khalifah mereka, ketua perundingan untuk bertemu Tuhan buat menyemak cara pengadilan Tuhan ke atas mereka.
(10) Mereka berusaha keras ke Syurga. Berjalan kaki biar entah mungkin bertahun-tahun. Akhirnya ke pintu Syurga mereka sampai. Mereka memberi salam. Tiada terjawab. Mereka mengetuk-ngetuk pintu Syurga. Tiada terjawab. Mereka mengedor-gedor pintu Syurga juga tiada jawaban. Akhirnya, mereka mendapat satu akal. Demo. Tunjuk Rasa. Itulah usul Tok Penghulu. Semua setuju. Mereka menjerit-jerit. Lalu Tuhan menjelma di depan mereka. Malaitakt hadir sama. Mata para malaikat bukan main garang kelihatannya. Pak Rahmat memberanikan diri. "Ya Tuhan, Kamu telah tersilap hukum akan kami. Kami semasa hidup kami, khususnya aku tidak pernah leka dari memuja memuji Kamu. Lihatlah Tok Penghulu, paling besar jasanya, memimpin anak-anak Kampung. Tok Imam, dialah yang mengajar aku serta anak-anak Kampung sholat, membaca dan menghafal Kitab Kamu. Peruncit ini, tanpa dia, orang-orang Kampung tidak akan dapat berbelanja dengan mudah. Si pegembala kambing itu, dia paling rajin bekerja, juga tidak pernah lupa untuk saholat tepat pada waktunya. Anih ya Tuhan, kenapa kami semua yang begitu baik ini di masukkan ke Neraka. Cuma Tok Siak yang Kamu pil;ih ke Syurga" leter Pak Rahmat, bercekak pinggang dalam suara lantang. Wajah para Malaikat sudah bertukar jadi jin ingin menerkam. Pak Rahmat tidak peduli. "Dengar! Diam!" teriak para Mailaikat. Pak Rahmat tidak mahu mengalah. "Kamu diam!" tempiknya sangat garang. Tok Penghulu, Pengembala Kambing, Peruncit, Tok Imam dll semua kaget melihat telatah Pak Rahmat yang begitu berani. Tidak pernah mereka melihatnya sebegitu dalam hidupnya. Mereka yakin, mereka sudah membujat pemilihan yang betul, melantik pemberani seperti Pak Rahmat mendepani Tuhan mereka.
(11) Tuhan mendepa. Terpecar cahaya dari lenganNya. Rebah mengundur semua. Pak Rahmat hampir-hampir kesurup mahu sembunyi muka di bawah kainnya Tok Penghulu. "Kamu semua asalnya dari Negara bernama Malaysia bukan? Negara paling subur. Negara paling banyak Aku anugerahkan dengan rahmat yang berlimpah-limpah" tanya Tuhan. "Ya" jawab Pak Rahmat. "Kamu Tok Penghulu, kamu dengan mudah menjadikan Mushola, rumahKu jadi rumahnya Pak Rahmat. Apa kamu tidak boleh membikin rumah lain untuknya? Kamu hina rumahKu. Sehingga rumah itu di makan teter dan anai-anai, tidak kamu pedulikan." bentak Tuhan. "Maaf ya Tuhanku. Kami pendudiuk sekampung semuanya miskin. Kami tidak mampu untuk membangun RumahMu seindahnya" jelas Tok Penghulu. "Jelas kamu pemalas. Pemimpin kerdil. Pemimpin yang otaknya bodoh. Matanya buta. Hatinya beku. Telinganya tuli. Kam u tidak memimpin masyarakat kamu keluar dari kemiskinan. Kamu biarkan miskin subur agar kamu dapat mengaut segala dari hinanya mereka. Kamu biarkan masyarakat kamu terus-terus miskin. Heret dan humban dia ke kerak Neraka" perintah Tuhan. Maka Tok Penghulu terhumban terus ke kerak Neraka dalam raung yang sangat mengerikan. "Tok Imam. Apa yang kamu ajarkan kepada anak-anak Kampung" herdik Tuhan kepada Tok Imam. "Sholat, puasa, membaca KitabMu ya Tuhan" balas Tok Imam. "Lagi" herdik Tuhan lantang. "Itu saja ya Tuhan. Tentang Zakat tidak perlu kerana semua tidak mampu." balas Tok Imam terbirit-birit terkencing dalam kainnya."Kamu membaca, menghafal, tetapi kamu tidak mengerti isi sebenar KitabKu. Hati kamu sama saja. Beku. Mata kamu tetap buta. Otak kamu paling bodoh. Ada ilmu tetapi ilmu penuh kebodohan. Kamu mengajar semua masyarakat kamu agar jadi bodoh, cetek agar kamu terus jadi Tok Imam dan disanjung untuk membaca doa, lalu dapat makan gulai. Kamu pentingkan perut kamu dari kebijaksanaan UmatKu. Henyak dia ke kerak Neraka" herdik Tuhan lantang sekali. "Kamu Peruncit. Adakah kamu meneliti ilmu dagang dalam KitabKu? Kamu kikis habis hak Umatku lewat riba, tamaknya kamu" soal Tuhan dengan keras. "Maaf ya TuhanKu. Aku berdagang hasil dari orang tengah. Harga barang aku terima mahal. Maka aku jual juga mahal" Peruncit membela diri. "Kamu, sifat dengki khianat kamu membunuh pedagang lain." herdik Tuhan. "Ampunkan aku ya Tuhan. Aku menyesal" rayu Peruncit. "Tinggallah kamu dalam Neraka Jahanam" perintah Tuhan. "Pengembala. Kamu tahu tentang Zakat? Kamu tahu tentang sedekah?" tanya Tuhan. "Tahu Ya Tuhanku" balas Pengembala. "Kamu tidak tunaikannya" herdik Tuhan. "Tapi aku mengupah pekerjaku. Aku bantyak pekerja. Aku membeli rumput dari masyarakat di Kampungku. Aku juga tidak pernah meninggalkan sholat dan puasa. Aku telah berbakti kepada mereka juga Engkau ya Tuhanku" balas Pengembala. "Kamu tinggal dulu di Neraka sampai kambingmu datang menjemput kamu ke Syurga" balas Tuhan.
(12) "Kamu Pak Rahmat. Kamu senang jadi miskin. Tanpa malu. Tok Siak yang tua memberi kamu makan. Kamu tidak berusaha sekerasnya untuk hidup. Kamu benar-benar pemalas. Biar rumah aku yang engkau tumpangi juga kamu tidak pedulikan sebaiknya. Kamu benar-benar manusia yang kudrat kamu sia-siakan sepenuhnya. Aku tidak perlu puji-pujian kamu. Sesungguhnya, kamu adalah mansia paling kikir bakhil. Kamu hanya mahu keSyurga tanpa mahu berjasa sesama UmatKu. Paling tidak berguna kepada masyarakat. Aku perlu kamu hidup. Aku perlu kamu jadi manusia semanusianya. Kamu tidak aku jadikan supaya jadi para Malaikat. Kamu, manusiapun bukan, syaitanpun bukan, haiwanpun bukan. Biar kambing, tetap mereka tidak mahu kebuluran sepertinya kamu. Kamu mati kerana kamu kebulur di Negara kaya yang telah Aku anugerahkan. Kamu mensia-siakan rohKu dalam diri kamu. Ke kerak Neraka kamu diam!" perjelas Tuhan. Pak Rahmat, terus saja pengsan. Malaikat menghumbannya ke kerak Neraka. Dia diam di sana bersama, terlalu banyak rakyat Malaysia yang tidak tahu diuntung. Bersama rakyat yang tidak tahu erti merdeka dan berdaulat. Harus terus merdeka dan berdaulat.
(13) Cuma syukur, Pak Rahmat kemudian terbangun. Dia menjerit-jerit. Mengelupur seperti cacing kena bakar. Semua jemaah yang tadinya membiarkan Pak Rahmat ketiduran tidak mahu membangkitkannya biar waktu sholat telah tiba, berkeliling mendapatkannya. Dia bangun, bangkit. Matanya melotot. Badannya mengigil. Dia kaget melihat semua berkelilingnya. Lalu dengan tangis penuh keisafan, dia menceritakan segala mimpi ngerinya. Namun, esoknya, masyarakat Kampung kembali geger. Pak Rahmat telah membunuh diri mengantung diri di pohon jambu di belakang Mushola. Di tangannya, dia berpesan, pada secebis kertas, betapa aibnya dia miskin di Negara tumpah darahnya sendiri. Sampai ke tua, dia tidak membantu apa-apa. Jiwa bakhil, jiwa kerdil, jiwa kikirnya telah menjadi teladan yang tidak harus ada pada bangsanya. Dia memalukan bangsanya. Dia ingin menebus maruah dengan caranya tersendiri. Dia sudah malu teramat sangat, tubuhnya tidak layak mendukung roh suci Tuhannya. Dia mahu mengembalikan roh itu kepada Tuhannya dan biar Neraka itu menjadi miliknya abadi. Tanpa soal, dia sudah mendahulakn Tuhannya, betapa Neraka itu sememangnya selayaknya untuk dia.
nota:
Tulisan ini terbangun dari ilham sebuah buku, berjudul: Runtuhnya Surau Kami.
Kuching, Sarawak
27 Ogos, 2013
3 comments:
Salam Saudara.
Tahniah atas tulisan. Cukup baik buat tatapan ramai anak bangsa yang kurang bijak berfikir ini.
Cuma satu, mohon penjelasan lebih lanjut maksud ayat ini....Kamu mensia-siakan rohKu dalam diri kamu.
TK
.... Sedang lembaga berkilau bergemerlapan itu adalah Tuhan.
Kalau begitu,cerita ini tak lebih seperti cerita agama sesat Ayah Pin , sebab kalau itulah yang Pak Rahmat nampak Lembaga berkilauan dengan matanya, sudah pastilah itu makhluk, bukannya Tuhan sebab Tuhan kita, Allah tidak mengambil sifat makhluk sama sekali.
TK
Assalamualaikum wbt buat sdra(i) yang membuat ulasan. Terima kasih atas ulasan dan teguran. Biar terlebih dahulu saya hanya menjelaskan tentang ulasan kedua. Tentang permitaan bagi ulasan pertama, saya sedang berkira-kira menyusun kata-kata menjadi ayat yang mudah, jelas dan benar.
(2) Di sepanjang tulisan ini, saya tidak menyebut dan sangat menghindar dari menyebut nama Tuhan adalah Allah. Saya seluruhnya hanya menggunakan perkataan Tuhan sebagai generik kepada yang MahaBerkuasa. Maka, teguran sdra(i) saya kira tidak berkait dengan niat sebenar tulisan ini. Niat saya adalah agar kita sentiasa menyoal, merasa, berfikir tentang segala apa yang kita lihat, dengar, rasa dan inginkan. Kita jangan sewenang-wenang berkata sudah nasib, sudah takdir, sudah suratan sepertinya kita tahu betapa apa yang terjadi itu adalah sebenar-benarnya nasib, takdir, suratan sedang semua itu hyanya Allahy yang tahu dan pasti kita being black out tentang segalanya. Pengunaan kata Tuhan dalam tulisan iniua tidak ada kaitan dengan Allah, dan saya tiada niat mengaitkannya dengan Allah, sepertinya sering saya katakan Allah itu misteri, maka sukar untuk sesiapa memastikan apa saja tentangNya. SubhannaAllah.
Post a Comment