Bujang Ulis, bekas Ahli Parlimen Simunjan (kini Batang Sadong), yang juga bekas Timbalan Menteri Perusahaan Utama dan Pelajaran Malaysia dikhabarkan menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam dua pagi ini setelah bersama-sama teman-teman di Surau di sebelah rumah beliau. Beliau berumur 65 tahun. Dicerita oleh kerabat dekat beliau, di saat-saat ahhirnya beliau, beliau mengkhabarkan kepada isterinya, dia meredha dan memaafkan segala sesiapa "terkait" terhadapnya. Alhamdullilah, rasanya tiada pemergian yang lebih enak dari semasa dalam lingkungan Hidayah dan Taufik Allah yang MahaPenyayang. Semoga Allah merahmati roh beliau dan segala amal baktinya yang baik akan menjadi teman abadinya di alam barzah. InsyaAllah. Alfathihah.
(2) Saya mengenali Bujang Ulis sekitar tahun 1967 bila beliau adalah salah seorang dari para guru yang ditugaskan mengajar di SRK Sg Putin. Pada masa itu saya baru berumur sekitar enam tahun. Kemudian bila saya bertukar ke SRK Abang Man, Simunjan, dalam tahun 1968, beliau adalah juga salah seorang dari guru di sekolah tersebut. Secara umum, beliau adalah seorang guru yang sangat berjasa di daerah terpecil dan mundur, Simunjan atas sifat beliau yang sangat prihatin terhadap pendidikan anak-anak tempatan. Namun saya tidak pernah menjadi murid beliau. Saya kembali mengenali beliau, bila dia menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama, pada masa saya adalah seorang pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Di sana perhubungan saya menjadi rapat lantaran keperluan tugas saya sebagai seorang pemimpin pelajar. Pada tahun 1980an, bilangan pelajar Sarawak di Universiti-Universiti tempatan adalah sangat sedikit. Salah satu perkara yang menjadi perjuangan kami pada waktu itu adalah agar bilangan pelajar Sarawak dapat dipertingkatkan. Atas nasihat beliau, akhirnya kami bersemuka dengan Menteri Pelajaran Malaysia, iaitu Sulaiman Daud, juga Perdana Menteri, Mahathir Mohammed. Alhamdullah, berkat gerakan bersama rakan-rakan dari UPM, ITM, USM, UTM dan UM, kami dalam sebuah jamuan di Rumah Sarawak di Kuala Lumpur, semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Pelajaran sekali lagi menekankan akan perlunya penambahan ketara bilangan pelajar Sarawak ke Universiti-Universiti tempatan juga di Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh. Alhamdullilah, suara kami tidak sia-sia.
(3) Dalam masa yang sama juga, saya terpaksa bergantung kepada sokongan beliau dalam menyelesaikan kesempitan kewangan yang dihadapi oleh sebilangan pelajar Sarawak yang tidak mendapat biasiswa dan atau kelambatan pembayaran biasiswa. Urusan saya dengan Bujang Ulis amat mudah. Semuanya berjalan tanpa protokol. Seringnya dia akan menjemput saya di Chow Kit Road, berdekatan dengan pejabatnya di Jalan Gurney atau saya akan menaiki bas ke sana. Dia juga sering membawa saya menginap di rumahnya dan kemudiannya menghantar saya kembali ke UKM bersama dua anaknya yang pada masa itu masih kecil-kecil. Bila sampai di Kampus, dia akan menyerahkan envelop yang di dalamnya sedikit wang untuk diagih-agihkan kepada para pelajar yang memerlukan. Sebilangan yang menerima bantuan beliau kini berada pada kedudukan selesa dalam Kerajaan juga swasta.
(4) Selepas saya pulang dari belajar pada 1984, saya berjumpa beliau. Saya menjelaskan keadaan Kampung saya. Sangat dhaif. Tiada jalan biar sekadar cement foot path. Tiada jeti yang sempurna untuk penduduk Kampung turun-naik saat berulang alik dari Simunjan dan Kuching. Tiada balairaya. Tiada surau yang sempurna. Alhamdullilah, dalam tempoh 1984-85, segalanya beliau peruntukkan, biar sekadar kecil-kecilan, namun ianya sangat bermakna bagi penduduk Kampung pada masa itu. Selanjutnya, apa yang dibuat di Kampung saya menular ke Kampung-Kampung jiran bersebelahan. Maka pada Pilihanraya Umum 1986, saya menangguhkan pendaftaran saya untuk bertugas biarpun sebetulnya saya sudah kelewatan, sebaliknya saya membantu beliau untuk memenangi Pilihanraya tersebut. Beliau ditentang oleh Wan Habib, calun bebas yang cukup gagah. Peranan saya kecil sahaja iaitu mengedar dan menunaikan Form E di Rumah-Rumah Panjang di Hulu Simunjan. Dia mengamanahkan wang sekitar RM300,000.00 di tangan saya untuk keperluan tersebut. Mungkin kerana lambang parti Wan Habib pada masa itu adalah Pokok Sawit maka rakyat Simunjan telah di asak untuk menolak sawit sejak dari itu, sehingga payah bila saya di PELITA (2002-2011) untuk kembali membujuk rakyat di sana untuk menanam sawit. Kempen PRU 1986, membawa Mahathir Mohammed ke Simunjan, lalu memulakan asas bagi pembinaan Jalan Punda-Simunjan.
(5) Sesungguhnya jasa beliau, kenangan saya berterusan kepada beliau, adalah sifat mudah beliau untuk membantu saat diperlukan. Juga rakyat di Kampung saya, banyak ingat akan beliau kerana sikapnya sebagai seorang pendidik yang sangat baik. Dia tetap menjadi seperti dia sehingga akhir hayatnya, sederhana, terus kampungan. Rakyat Simunjan saya kira, tetap mengingati beliau atas sebab Jalan Punda-Simunjan, biar bukan dia yang menyempurnakannya, tetap peluh dan tenaganya ada abadi pada foundation jalan tersebut. Jika tidak mereka terpaksa membelah laut memuntahkan jika hendak ke Kuching dan ke mana-mana. Semoga amal bakti beliau menjadi teman abadinya di sana kini.
(6) Cuma dalam krisis Ming Court, menentang Taib Mahmud, sebelum PilihanRaya Negeri (PRN) diadakan, saya agak kecewa kerana tidak dapat bertemu beliau. Saya pada masa itu just a learning kid. Sebetulnya saya nsangat berharap beliau terus bersama Kerajaan, kerana dengan adanya saya di Unit Perancang Negeri, pasti banyak perkara boleh dilakukan untuk masyarakat Simunjan. Beliau memilih untuk bersama Abdul Rahman Yakub untuk mengulingkan Taib. Saya hanya ingin menyatakan pandang saya betapa dia harus terus bersama Kerajaan kerana saya biar pada masa itu masih hingusan, memerhati keadaan di mana-mana di Semanjung Malaysia, saya masih yakin akan Kerajaan untuk khidmatnya kepada Rakyat. Selepas dari itu, sehingga sebelum PRU13, bila saya berjumpa dia, sering saya katakan, "Kita berniaga saja. Dapat duit, kita bantulah sesiapa sahaja yang memerlukan. InsyaAllah, tiba saatnya pasti cita-cita murni kita akan kesampaian juga." Sesungguhnya, saat Bujang terlibat dengan Pembangkang, saya mulai menilai kelemahan jalan politik beliau. Saya melihat beliau dilingkungi mereka yang kurang jelas tentang jalan kemajuan yang hendak mereka rintis. Bujang sering diperalat. Konsep kedaerahan, kekeluargaan serta kenalan menjadi asas. Secara pribadi Bujang, sangat baik, cuma mereka di kelilingannya, menjerat beliau ke jalan agak sempit. Secara pribadi saya berasa amat sedih kerana seseorang sepertinya yang terus ingat akan orang susah tapi dijadikan bulu tangkis oleh sesiapa yang sadar akan kelemahan beliau.

(7) Semasa di rumah beliau tadi, saya rasa bersyukur banyak rakyat dari Simunjan serta mereka yang pernah dibantu oleh beliau hadir berduyun-duyun memberikan penghormatan terakhir buatnya. Mudah-mudahan, Islam, atas landasan ukwah sejati, kita tidak akan memperhitung apa juga perbedaan di saat sebegini. Hari ini, harinya beliau, sekejap lagi mungkin waktyunya kita.. Dia telah melalui ujian dari Allah. Dia pernah hilang pangkat dan kemewahan. Padang politiknya hancur lunyai. Dia pernah kehilangan dua anak rentung dalam kebakaran di saat ambang lebaran. Juga pasti dalam perniagaan beliau menghadapi banyak kepayahan.Tugas dan kudratnya beliau sudah usai, kita entah ke mana akan akhirnya. Dari Allah kita datang, kepadaNya kita pasti kembali. Alfathihah.
Kuching, Sarawak
3 Feb., 2014
0 comments:
Post a Comment