.

1/8/18 MELEWATI 100-100 HARI ....di manakah harapan kita?

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - August 17, 2018

Share

& Comment


Pada sekitar 1980an, tiori R.A.H.M.A.N, dengan mengambil sempena nama-nama Abdul Rahman (R), Abdul Razak (A), Husein Onn (H), dan Mahathir Mohammed (M) telah bermain-main di kalangan penulis politik tanahair. Siapa dan bila usul tiori tersebut tercetus, tiada siapa boleh menyatakan dengan tepat. Saya berkira, timbulnya tiori RAHMAN lantaran kehebatan Mahathir dalam mengorak banyak langkah berani bagi memacu berubahan besar kepada masyarakat Melayu khasnya dan Negara amnya. Mahathir mengasak langkah Melayu keluar dari ekonomi agarian kepada ekonomi perindustrian. Perubahan ini kemudiannya mencetuskan exodus masyarakat Melayu ke kota-kota. Proses urbanisasi Melayu berlaku hebat di tahun 1990an. Perubahan ini cukup membanggakan Melayu dan Negara, sehingga ramai kemudiannya berfikir-fikir siapakah yang layak mengantikan Mahathir. Sebegitulah Melayu sifat bijaksana mereka: sediakan payung sebelum hujan. Saya berkira lantaran itu, maka tiori RAHMAN telah dikemukakan. Para pencinta UMNO ingin melihat UMNO terus subur mentadbir Negara dengan penganti selepas Mahathir harus jika tidak lebih hebat biarlah sama ketokohannya seperti Mahathir.  Itu dari segi dalaman. Dari sudut luaran, terutama di kalangan musuh-musuh UMNO, mereka ingin melihat UMNO berkubur dan tiori RAHMAN telah mereka songsangkan menjadi tiori kehancuran UMNO, dengan Perdana Menteri berpunya nama dengan awalan huruf "N" sebagai akhiran kepada kepimpinan UMNO. Kejayaan Mahathir dalam menyusun semula struktur sosial dan ekonomi Melayu sebetulnya mengundang penerimaan juga penentangan dari dalam juga luaran Melayu. Maka bagi musuh UMNO, mereka cukup gusar dengan ledakan perubahan dalam masyarakat Melayu. Mereka mahu UMNO ditumbangkan. Maka, Mohd "N"ajib tertakdir membenarkan tiori RAHMAN. Pada 8 April, 2018 iaitu sebulan sebelum tumbangnya UMNO-BN, Lim Kit Siang telah mengusulkan tiori MAHATHIR sebagai gantian tiori RAHMAN http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/04/08/gantikan-teori-rahman-dengan-mahathir-kata-kit-siang/.

(2) Manusia boleh bertiori. Tiori boleh juga dikatakan sebagai ramalan, nujum dan atau bertenung nasib. Namun jika asas-asas bertiori itu adalah benar dan betul, In Shaa Allah kebenarannya pasti mendatang. Tiori RAHMAN mungkin dianggap tahyul bagi sebahagian, namun ianya bukanlah suatu ramalan tahyul jika andaian-andaian kepada tiori itu adalah benar. Andaian paling tepat bagi kebenaran tiori RAHMAN adalah seperti apa yang rakyat umum sedang khuatiri: berleluasanya kegilaan kepada rasuah dan pecah amanah sebagai jalan untuk berkuasa dan bermewah-mewah. Itulah budaya UMNO-BN menjelang 2000an. Sebetulnya Allah sangat melarang rasuah dan salahguna kuasa. Janji Allah tepat. Sesiapa melangar larangannya, pasti ada balasannya.


(3) Mahathir, saya kira sekitar tahun 2000, telah meramalkan bahawa UMNO akan hilang kuasa menjelang 2020 bersebabkan politik wang. Sejak 1980an, saya melihat politik Negara dan apa lagi UMNO, cukup dibauri politik wang. Golongan gila kuasa lebih cenderung untuk melakukan apa saja demi kuasa. Rasuah menjadi senjata ampuh untuk kegilaan kuasa. Cash is King telah menjadi tunjang politik Negara. Hakikatnya, dunia menyaksikan UMNO kehilangan kuasa 61 tahun pemerintahan dua tahun lebih awal dari ramalan Mahathir. https://www.youtube.com/watch?v=yGaRGXF4Fgw cukup mengejutkan banyak pihak. Pada 9 Mei, 2018 Mahathir sendiri yang mengepalai proses menumbangkan UMNO dari mentadbir Negara. Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan 10 perkara pembebasan keresahan rakyat 10 people depressing issues sebagai umpan besar untuk mereka memenangi PRU14 tersebut. Alhamdullilah berkat kerja kuat, dan paling utama, kesedaran rakyat, mereka berjaya dengan meraih 113 kerusi dan mendapat 52.25 peratus undi popular mengalahkan BN yang hanya memperolehi 79 kerusi dan 35.59 peratus undi popular. Dengan 8 kerusi di menangi Warisan Sabah, dan kemudiannya 19 kerusi GPS Sarawak yang keluar dari BN dan bersikap PH friendly, menjadikan kedudukan Mahathir sebagai PM dan PH sebagai parti pemerintah semakin mantap.

(4) Walaupun sebegitu, melihat kepada norma sikap politik Malaysia, usaha-usaha untuk meregut kestabilan Kerajaan yang ada akan terus berlaku. UMNO pasti bermati-matian ingin menebus kembali maruah mereka. Maka dengan ini, saya kira, sikap Mahathir yang lebih gemar berkerja dari bermain politik sebagaimana ditunjukkan oleh Abdullah dan Najib, harus rakyat nilaikan dengan seadil-adilnya. Biarlah kita berpihak kepada Mahathir yang iklhas bekerja dari kalangan Melayu yang hanya gemar untuk diri dan menjaga diri.

(5) Maka biar 10-13/5 adalah cuti umum, namun Mahathir telah mula bekerja biarpun dalam suasana mengangkat sumpah yang agak terlewat dari kebiasaannya. Keadaan ini, mengingatkan saya kepada Sudirman Hj Arshad dengan lagunya Punch Card suatu penghayatan seni ke atas sikap kuat bekerjanya Mahathir:  https://www.youtube.com/watch?v=68nMF71jcOo. Detik 100 hari PH terhitung bermula dari 10 Mei., 2018. Jika semasa mengambilalih pemerintahan pada 16 Julai, 1981, 100 hari pertama pemerintahan Mahathir-BN cukup bergaya, namun kini, 100 hari pertama pemerintahan Mahathir-PH diwarnai dengan pelbagai kekusutan. Pada 21 Mei, 2018 iaitu 11 hari selepas menjadi PM, Mahathir mengumumkan hutang Negara telah mencecah RM1.08 trillion. Nilai dan nama trillion masih tersangat asing bagi Umat Melayu khasnya. RM1,080,000,000,000. Semua seperti terkesima dengan angka hutang sebegitu besar. Ibarat jika dipunggah ke dalam lori kecil 1 Mt, yang boleh membawa RM1juta setiap lori yang panjang dari depan ke belakang sekitar 6 meter (15 kaki) maka untuk memuatkan wang sejumlah RM1.08T adalah sebanyak 1,080,000 buah lori dengan jarak jika disusun berbaris akan memakan jarak 6,480 KM iaitu jalan enam lorong dari Teluk Ramunia, Johor ke Padang Besar, Perlis akan penuh sesak dengan lori 1Mt barulah dapat memuatkan wang sebanyak itu. Pasti itu suatu kegilaan. Dengan pengumuman itu, maka janji-janji PH seperti kian menjadi tinggal janji. Janji PH terbelenggu hutang untuk menjadi kenyataan. Rakyat belum menampakkan keghairahan untuk meraikan apa lagi merasa kesan perubahan nafas kehidupan akibat pertukaran dari Kerajaan Kleptokrat kepada Kerajaan Demokratik PH. Para kleptokrat UMNO-BN kini sedang memainkan senandung kekecewaan rakyat bagi membangkitkan usaha-usaha untuk melumpuhkan kekukuhan Kerajaan dan PH.

(6) PH menamakan Kerajaan BN sebagai Kerajaan Kleptokrat, dan mereka cuba mengenengahkan diri mereka sebagai Kerajaan Demokratik. Ciri-ciri penting Kerajaan Demokratik adalah ketelusan, keterbukaan dan bertanggungjawab. Dan jika disorot dari sudut Islam, tuntutan paling afdal adalah agar Kerajaan bersikap dan bercirikan Bersih, Cekap dan Amanah (BCA). Asas kepada nilai-nilai ini adalah fitrah Sholat. Sholat mesti dilakukan dengan penuh kebersihan (suci zahir dan batin), betul tertib (cekap) dan atas tanggungjawab kepada Allah (amanah). Saya berkira, Mahathir dan Kerajaan kini patut kembalikan slogan BCA yang dulunya kita terima dan hampir-hampir membawa kecemerlangan kepada kita.

(7) Jika pada 16 Julai 1981, Mahathir menyambut kuasa dari Husein Onn dalam keadaan Negara yang tiada masalah buatan yang kritikal namun bila dia mengambilalih pada 10 Mei, 2018, Mahathir dan rakan-rakan ibarat sedang mengambilalih rumah yang sudah dibobrok parah. Maka pastinya janji 10 Perkara 100 Hari PH adalah amat sukar untuk ditunaikan. Janji PRU14 itu adalah suatu hal. Ketepatan janji itu hal yang lain. Janji pada waktu itu telah dibuat tanpa PH mempunyai maklumat-maklumat sebenar dan tepat mengenai keadaan kewangan Negara. Dalam keadaan politik semasa yang amat tegang, adalah mustahil untuk sesiapa memperoleh maklumat yang benar dan tepat. Biar UMNO-BN sekalipun, tidak ramai yang mengetahui duduk sebenar keadaan kewangan Nergara. Jika diikuti debat Parlimen, biarpun ahli Kabinet BN, mereka seperti tidak tahu apa-apa tentang perincian perbelanjaan sebenar Negara. Itulah kekangan terbesar PH dalam membuat janji. Namun atas keperluan bahawa Kerajaan Kleptokrat atau dalam bahasa Melayu mudah Kerajaan Penyamun-Rasuah yang tersangat memudharatkan Umat dan Negara, Mahathir dan PH terpaksa melakukan mission impossible, khasnya dalam usaha untuk menurunkan Najib dari kerusi PM. Dalam tempoh 2009-2018, Kerajaan BN seperti telah memporak perandakan khazanah Negara. Nafsu yang menuruti cara pengurusan ala Kapitalis Yahudi telah sangat melemahkan kedudukan kewangan Negara serta institusi-institusi penting Negara, GLC. Kerajaan BN di bawah Najib terlalu yakin tentang speculative  masa depan sehingga dia mengambil sikap spending tomorrow income today. Kewangan Negara yang Mahathir warisi pada 10 Mei, 2018 adalah ibarat rumah bobrok yang menunggu hari mahu runtuh. Namun lantaran hanya itulah harta peninggalan yang tersisa mahu tidak mahu rumah bobrok itulah harus diurusi sebaik mungkin.

(8) Saya tidak menafikan peristiharan hutang Negara berjumlah RM1.08T ada muslihatnya. Mahathir sebagai Mahathir yang dinasihati khasnya oleh Daim Zainuddin dan Robert Kuok, mereka pasti berpunya muslihat lain selain dari cara biasa tentang sebab hutang rasmi bernilai sekitar RM700B naik ke RM1.08T, peningkatan hampir-hampir 50 peratus. Sayak yakin Blue Ocean Strategy Mahathir, MBOS jauh lebih licik dari NBOS Najib. Saya menjangka, salah satunya adalah untuk menghukum mereka yang gemar berurusniaga secara speculative. Yang pasti kepanasan resah tidak tidur malam kerana langkah itu adalah para penyamun dan segala kuncu-kuncu seangkatan. Kegilaan inilah yang telah memudharatkan ekonomi serantau pada 1997. Keduanya, pasti untuk menyelamatkan keadaan. Mahathir perlukan upper hand position bagi membolehkan dia menstruktur hutang-hutang tersebut dan pembiayaan kewangan Negara. Mahathir pasti ada agenda besar untuk Negara yang ingin dia laksanakan sebelum dia mengundur diri secara damai dan kekal. Saya akan cuba menyelami Agenda Kereta II Mahathir selepas ini.  Saya tidak ingin berbicara panjang tentang strategi-strategi licik Mahathir di sini, lantaran ianya mungkin boleh memesongkan langkah berani dan licik Mahathir. Saya menjangka, apapun muslihat Mahathir, kepentingan Negara pasti menjadi tunjang pertimbangan beliau. In Shaa Allah.

(9) Walaubagaimanapun, kita wajib bersyukur di atas Rahmat Allah kepada kita yang masih cukup luas. Dengan kudrat Allah, asas-asas ekonomi kita masih kukuh. Kita masih mengalami pertumbuhan ekonomi yang sederhana biar pertumbuhan itu tidak melata kepada rakyat secara umumnya. Pertumbuhan ekonomi di bawah Kerajaan Kleptokrat lebih berpusat di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor. Centre kepada pertumbuhan adalah di sektor pembinaan yang dikuasai masyarakat asing. Namun yang lebih penting, inilah sektor di mana usaha-usaha samunan cukup mudah dan lumayan. Kerajaan Kleptokrat lalu sengaja memusatkan usaha mereka ke sektor tersebut demi usaha kleptokrat mereka. Walau apapun, In Shaa Allah hutang keseluruhan Negara yang bernilai RM1.08T akan dapat dikurangkan mungkin ke paras RM600-700B dalam tempoh 6-12 bulan mendatang. Rundingan dan kajian semula projek-projek kleptokrat akan dapat menyumbang kepada sasaran ini. Sehubungan dengan itu, kesan sebenar pemerintahan Mahathir-PH hanya akan mulai terasa dalam tempoh 6-12 bulan mendatang dengan syarat Kerajaan benar-benar dapat mengurus hutang yang ada secara baik dan mantap. Saya yakin, kita akan ada jalan untuk mengatasinya. Rahmat Allah yang membina Negara ini atas landasan masyarakat majmuk punya hikmah yang cukup besar jika kita bijak mengurusnya. Kita perlu Bersih, Cekap dan Amanah dalam mengurus Melayu, Cina, India, Dayak dan Kedazan-Dusun agar semua mendapat rahmat saksama.

(10) Untuk tempoh terdekat ini, saya percaya Mahathir -PH In Shaa Allah akan dapat menunaikan 5-7 dari 10 janji 100 hari yang telah diikrarkan. Saya tidak bercadang untuk mengulas kesemua 10 janji-janji tersebut. Biarlah saya menumpu kepada janji-janji penting yang rakyat ingin raikan segera.

10.1 Pertama-tama GST In Shaa Allah akan terhapus. Bahkan mulai 1 Jun, nilai GST telah disifarkan. Benar, sejak 1 Jun., 2018 tidak banyak perubahan kepada harga barang khasnya di premis-premis perniagaan di luar bandar. Namun di gendung-gedung besar, harga barangan penting Alhamdullilah telah berubah. Di pekan-pekan kecil bahkan di luar-luar bandar, perubahan tidak terasa memandangkan stok-stok lama yang telah dikenakan GST masih ada. Kebiasaan 2-3 bulan kemudian barulah ada kesan positifnya. Namun setidak-tidak harga barangan kini sudah agak stabil. Mulai 1 Sept., 2018 GST akan digantikan dengan SST. Melalui SST, jika dibuat sedikit rombakan serta pengawasan yang teliti, maka harga barangan keperluan rakyat akan ada kesan positifnya. Saya menjangkakan dengan perlaksanaan SST, harga barang akan sedikit melonjak, cuma lonjakan ini tidak melibatakan ripple effect yang keterlaluan seperti dari kesan GST. Penghapusan GST telah memutuskan rantaian faktur pencatutan harga secara berleluasa. Sebetulnya, penghapusan GST telah memutuskan faktor Income Discounting Factor kepada rakyat secara menyeluruh. Negara ini sudah mempunyai terlalu banyak cukai. Tahap percukaian SST hanya melibatkan pengimport dan pengilang. Proses transfer pricing dalam SST agak lebih stabil dan terhad. SST juga memberikan pengecualian cukai jauh lebih luas berbanding GST. In Shaa Allah di bawah SST, harga barang akan menjadi lebih stabil. Saya menjangkakan, kestabilan sebenar harga barang akan hanya berlaku pada awal 2019 dengan syarat tiada perubahan ketara pada harga minyak. Kestabilan harga barang setidak-tidak memantapkan daya beli rakyat.

10.2 Keduanya, subsidi minyak sememangnya telah tertunai sejak dua minggu sebelum PRU14. Dari tempoh itu sehingga 31 Disembar 2018, harga minyak akan kekal.  Namun untuk menurunkan harga minyak sehingga ke RM1.50/l adalah mustahil lantaran keadaan harga minyak import dan kedudukan kewangan kita. Sebetulnya, harga minyak adalah sangat getir kepada rakyat.  Sedar atau tidak, Malaysia adalah Negara ASEAN paling Auto-mobil. Berkenderaan adalah keperluan asas rakyat Malaysia. Penstabilan harga minyak adalah penting memandangkan ianya adalah bahan input pengeluaran dan pengangkutan penting kepada sektor pengilangan dan perkhidmatan. Hampir semua proses pembuatan dan perkhidmatan memerlukan sumber minyak yang menjadikan sekor-sektor tersebut menjadi tersangat sensitif terhadap harga minyak. Setidak-tidak kestabilan harga minyak akan menstabilkan harga banyak keperluan rakyat. Harga minyak menjadi input penting kepada memantapkan kuasa beli rakyat. Pengawalan harga minyak akan memperbaiki kuasa beli rakyat. In Shaa Allah. Mudah-mudahan selepas ini, Kerajaan dapat melihat pembangunan pengangkutan awam secara cekap yang bersepadu dengan pusat-pusat kependudukan dan perkerjaan sebagai keutamaan dalam mengatasi belanja pengakutan yang kian mahal.

10.3 Ketiga, penangguhan bayaran balik hutang PTPN sedang berjalan baik. Sekurang-kurangnya ibu bapa dan para siswazah yang belum bekerja dapat menarik nafas lega dengan tidak dibebani dengan masalah pembayaran balik dalam keadaan pendapatan mereka masih tidak menentu atau sedang menganggur. Yang utama dalam prihal ini bukanlah hutang PTPN, tetapi pekerjaan bergaji sepadan taraf pendidikan rakyat kita.

10.4 Keempat berkait dengan RCI untuk 1MDB. RCI 1MDB saya yakin tidak sebegitu penting kepada rakyat. RCI atau bukan RCI adalah berkait dengan mekanisma. Biar mekanismanya terletak pada Suruhanjaya atau bukan, namun substance dan cara siasatannya tetap sama. Pada masa ini dengan rombakan ke atas PDRM, BNM, MACC dan AG, siasatan ke atas skandal 1MDB dan segala macam penyelewengan sedang berjalan lancar. Hanya waktu yang diperlukan bagi mengulung segala dapatan siasatan. Saya yakin Kerajaan tidak perlu buru-buru untuk membawa perkara ini ke Mahkamah. Segala-galanya harus dibuat secara teliti dan teratur. Damages had been done maka janganlah kerana keburu-buru untuk popular, maka banyak kerosakan sampingan akan kembang sama. In Shaa Allah, pelanduk tidak akan ke mana, masuk ke jerat juga akhirnya dia. Janji Allah itu pasti. Kepada saya, secara asasnya mereka yang bersalah telahpun terhukum iaitu dengan kekalahan dan keruntuhan BN. Yang harus menjadi keutamaan Kerajaan sekarang adalah to recover the loses sebanyak mungkin. Maka saya yakin, Kerajaan tidak menubuhkan RCI 1MDB pasti ada sebabnya tersendiri. Bagi saya RCI adalah premature kerana akhirnya mahu tidak mahu RCI tetap juga akan bergantung kepada PDRM, MACC, BNM dan AG untuk bertindak. Yang lebih utama PDRM, MACC, BNM dan AG harus bebas untuk menjalankan kerja-kerja mereka secara professional. Cuma dalam proses meneliti 1MDB, saya yakin Kerajaan kini sudah mulai menemukan lebih banyak skandal ala 1MDB dan saling berkaitan secara recam dan mengakar yang boleh melumpuhkan khasnya GLC-GLC penting Negara. Maka dengan itu, Kerajaan perlu melakukan siasatan secara menyeluruh dan tidak terbatas kepada prihal 1MDB sahaja. Hikmah dari 1MBD dan segala rompakan yang berlaku sebelum ini, semua ini kian menyedarkan rakyat untuk membenci rasuah serta pecah amanah. Maka dengan sebab itu, kerja-kerja pembersihan ini bukan sekadar untuk membersih apa yang telah berlaku tetapi menyusun segala jentera dan sistem Kerajaan dan swasta Negara ini untuk terus kekal pada jalan Bersih, Cekap dan Amanah. Urustadbir Negara ini harus berwibawa tinggi.

(10.5) Janji royalti minyak adalah sangat penting untuk Kelantan, Trengganu, Sarawak dan Sabah, namun janji tersebut saya yakin akan menghadapi sedikit masalah untuk ditunaikan dengan segera. Walau apapun Putera Jaya tidak boleh melihat hak royalti sumber minyak dari sikap tamak haloba dan sikap menyisih lepas. Telah terlalu lama khazanah minyak ini terlepas dalam kancah haloba lepas. Cukuplah. Yang lepas harus dijadikan sempadan. Kedudukan sosio-ekonomi tuan punya sumber yang masih berada jauh lebih dhaif dalam banyak perkara harus Putra Jaya insafi. Janganlah sampai kapanpun dunia terus menghina Islam biar Allah memberikan mereka kekayaan, namun tetap mereka miskin papa hina. Malaysia mesti merintis jalan membuka mata dunia Islam, sumber minyak adalah anugerah Allah agar kita kuat dan mantap dalam segala hal. Saya percaya mudah-mudahan atas sikap amanah dan menghormati demokrasi, dan paling penting, memikul amanah Allah, Putra Jaya harus bekerja kuat untuk menunaikan janji PH tentang royalti minyak dengan seberapa segera. Putra Jaya wajib melihat keberadaan Kelantan, Trengganu, Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan Malaysia sebagai saling rahmat dan merahmati. Membiarkan apa lagi menekan kesengsaraan sosio-ekonomi kepada Kelantan, Trengganu, Sarawak dan Sabah adalah suatu yang sangat tidak bermoral dan akhirnya boleh menjadi beban biawak hidup kepada Malaysia secara keseluruhan. Saya akur, asasnya bukan soal royalti. Asasnya adalah soal kesaksamaan taraf hidup. Cepat selesaikan isu asas ini, In Shaa Allah rahmat yang lebih luas pasti ada. Janganlah buah dituai, pohon di toreh mati. Pembentukan Malaysia bukanlah terjadi hanya kerana ianya terjadi. Penubuhan Malaysia saya yakin adalah dengan restu Allah. Allah pasti ada tujuan dan kemahuanNya. Maka Putra Jaya wajib mengenali secara halus dan mendalam akan keberadaan sumber minyak dalam Persekutuan Malaysia secara lebih adil. Mahathir seharusnya mengisafi akan hikmah sebenar Allah menganugerahkan sumber minyak kepada Kelantan-Trengganu sebagai satu kelopmpok dan Sarawak-Sabah dalam kelompok yang lain. Jika mengikut doktrin ekonomi Umar Al Khataab, tuan tanah akan mendapat 30 peratus dari hasil sumbernya. Doktrin tersebut harus menjadi teladan Putra Jaya dalam mengurus ekonomi Negara ini. Sikap bertanggungjawap kepada amanah adalah sangat-sangat Negara ini tuntut dari Putra Jaya. Jangan sampai isu royalti minyak menjadi onak dalam daging Negara Bangsa ini.

(11) Kerajaan PH yang Mahathir dilapurkan, semasa pertemuan dengan para ulama Negara, sebagai berkata bahawa Negara ini tiada pilihan lain, melainkan kembali kepada pengurusan secara Al Quran, adalah suatu yang semua pihak perlu dokong hebat. Biarpun Mahathir selama inipun ingin berbuat sebegini, namun inilah peristiharan beliau secara terbuka dan jelas mengenai perkara ini. Apapun tafsiran pelbagai pihak tentang pandangan beliau ini, kita sebagai Umat yang inginkan kita kembali kepada Al Quran, harus memandu semua ke jalan ini yang hakiki. Sesungguhnya Al Quran itu tidak meminggirkan sesiapa. Marilah kita bersama-sama menzahirkan kesedaran Mahathir ini dengan kental dan pantas.

(12) Sesungguhnya, kecenderungan biasness Putra Jaya untuk membangun Lembah Kelang secara lebih meluas dan cepat, semua bertitik tolak pada masalah ketakseimbangan pembangunan. Kawasan-kawasan lain terkebelakang, maka out migration pull terjadi, sehingga Lembah Kelang menjadi penerima terhebat. Putra Jaya harus sedar, bahawa polar pembangunan seperti ini lebih banyak menimbulkan masalah serta pasti menyebabkan perbelanjaan sangat tinggi. Paling ketara, lantaran masyarakat Melayu adalah paling mobile maka, merekalah yang paling terkesan akibat ketakseimbangan ini. Kejayaan PH terjadi atas wujudnya keadaan kehidupan tertekan masyarakat Melayu dan bandar lainnya. Maka jangan sampai masalah ini berlarutan sehingga PH kemudian akan terhukum sama seperti UMNO-BN. Maka, Putra Jaya harus kembali kepada distributional development approach. Cuba perhatikan, untuk memperluaskan Islam, Allah awalnya tidak memusatkan Islam di Mekah, lantaran itu untuk mendapat Mekah, Allah sengaja memaksa Muhammad SAW hijrah ke Madinah dahulu. Pun sebegitu, biar Muhammad SAW telah dapat membersihkan Mekah, SAW jelas menjadikan Madinah sebagai Kota Pentadbiran dan Perdagangan sedang Mekah adalah Kota Ibadah. Inilah distributional approach yang Allah cuba perjelaskan. Message Allah itu seharusnya kita mengerti hebat dalam segala usaha kita membina Negara ini. Mahathir dan Kerajaan kini perlu memberikan banyak kebebasan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Wilayah untuk mengurus sumber dan ekonomi masing-masing agar king tide will raise all boats.

(13)  Saya yakin, Kerajaan sedang bertungkus lumus untuk memperbetulkan banyak perkara keonaran Kerajaan Kleptokrat lepas, lantaran dengan pulihnya banyak hal, In Shaa Allah dua perkara kritikal dalam menjamin kesejahteraan Negara akan dapat diwujudkan segera. Pertama, dunia luar harus kembali yakin kepada Malaysia. Kita harus kembali menjadi Negara yang terurus secara Bersih, Cekap dan Amanah. Urustadbir kita mesti segera diperbetulkan. Saya yakin dalam tempoh 3-6 bulan mendatang, inilah tumpuan Kerajaan. Kita mesti bersih dari wajah-wajah rasuah dan salah guna kuasa. Pembersihan institusi-institusi Kerajaan adalah penting. Kekuatan sebenar Negara di masa depan adalah Urustadbir yang Bersih, Cekap dan Amanah; BCA. BCA menjadikan urusniaga di Negara ini menjadi cost-effective, sangat menguntungkan. Dunia luar pasti lebih yakin kepada kita jika Urustadbir kita adalah bertunjangkan BCA. Sesungguhnya Shloat itu tiang Islam. Sholat pula terberaskan suci (bersih), betul dan tertib (cekap) dan atas sifat amanah kepada Allah. Maka biar sholat sekalipun tetap tunjangnya adalah BCA. Maka BCA harus jadi tunjuang membina keyakinan semua kepada Negara ini. Keyakinan dunia luar (dan dalam) adalah sangat penting lantaran ianya akan membantu memperbaiki nilai pertumbuhan ekonomi dan akhirnya nilai pasaran Ringgit. Sebagai Negara Pengguna dan Perdagangan, kekukuhan nilai Ringgit adalah penting untuk membolehkan kita dapat mengimport dan mengeksport keperluan dan penghasilan kita dengan lebih menguntungkan. Kekukuhan nilai Ringgit sangat penting untuk mestabilkan harga barangan dan kuasa beli rakyat dan bahkan Negara.

(14) Keduannya, saya yakin Mahathir dalam sedikit waktu lagi akan bergerak cergas untuk membawa FDI dengan cara lebih kuat agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Sekali lagi BCA menjadi pra-syarat terpenting untuk kita melonjakkan FDI yang bermutu ke Negara ini. Tidak salah untuk Mustapha Mohammed dan Rafidah Aziz untuk membantu Kerajaan dalam mengembalikan kegemilangan FDI di Negara ini. Semua harus kini berfikir untuk Negara. Pengangguran di kalangan siswazah kita sudah berada di tahap tenat. Kepelbagaian bidang pekerjaan sudah agak kuncup sejak 2003-2018. Tumpuan kita selama tempoh itu kepada sektor-sektor yang kurang menjana kepelbagaikan peluang kerjaya kepada anak-anak muda kita menjadikan bekalan tenaga kerja dan latihan kita menjadi seperti missed-match. Hakikatnya, perbelanjaan Kerajaan Kleptokrat BN dalam tempoh 2003-2018 tidak memerhati dekat akan keperluan Shift Share struktur ekonomi dan bekalan tenaga kerja Negara telah menjadikan struktur perekonomian kita menjadi pincang. Negara tumbuh, namun rakyat tidak menikmatinya secara saksama.  Negara maju, rakyat tersepit tersamun. Sebabnya, FDI telah ditakrif dan cara ianya dilaksanakan dalam tempoh Kerajaan Kleptokrat tidak menjana peluang kerjaya luas kepada rakyat tempatan. FDI telah menjadi alat untuk terus merompak Negara dan rakyat. Hakikatnya, hutang Negara yang sebegitu besar bukan untuk tujuan membina Negara namun bagi memenuhi nafsu kleptokrat. Nafsu kelptokrat sangat merencat pelaburan asing bermutu ke Negara ini. Bursa KL menjadi medan kleptokrat bagi golongan ini sejak 2003-2018. FDI kita selama ini mungkin lebih berupa lanjutan proses dan jaringan kleptokrat yang lebih hebat dan merosakan. Mahathir kini, sedang meleraikan jaringan FDI Kleptokrat ini. Syabas dan semoga Bursa KL adalah medan untuk membawa pelaburan bukan medan speculators untuk mengaut untung atas angin.

(15) In Shaa Allah, dalam tempoh 3-6 bulan lagi, jika semua GLC penting Negara dapat disusun dan diurus tadbir kembali dengan baik, maka kita akan kembali dapat membina kekuatan dalaman yang lebih kukuh dan lebih luas untuk kita manafaatkan untuk kesejahteraan seluruh Negara. Di saat kita dulu masih dalam tidak semakmur kini, rakyat melalui ASB dan Tabung Haji telah dapat mengumpul pulohan billion Ringgit pelaburan, maka saya yakin dalam kerancakan ekonomi kita kini, bukan sekadar PNB dan TH akan kembali dilimpahi dana, namun lain-lain pengurus dana awam seperti KWSP, KWAP, dsb juga In Shaa Allah akan mendapat rahmat yang sama. Saya yakin, menyadari akan potensi ini, Kerajaan sedang berusaha keras untuk melakukan semua ini dalam tempoh 3-6 bulan mendatang. Semua GLC kita akan kembali kukuh dari segi kecairan dan juga milikan harta. Saya yakin semua GLC ini akan menjadi sumber kewangan dalaman untuk Mahathir membina Negara ke arah kecemerlangan hebat.

(16) Last but not least, mungkin tidak ramai yang sedar, bahawa dengan ketegasan Mahathir dalam soal keselamatan dan hubungan antarabangsa serantau, Malaysia kini sudah kembali disegani rakan-rakan serantau kita. Penghantaran Equanimity ke Malaysia dan bukan ke Amerika adalah petanda awal tersebut. Sebegitu juga, penutupan Pusat Risikan (?) Saudi di Kuala Lumpur adalah langkah berani Mahathir untuk kembali mendaulatkan kemerdekaan Negara. Kita tidak harus menjadi pusat permainan asing hanya atas nama  kelihatan manis tertapi beracun. Pusat Risikan (?) Saudi hanya akan mengundang kancah serantau. Kehadiran pusat sebegitu pasti akan mengembang gerakan ISIS dan Daesh serta lain-lain anasir keganasan. Maka, saya yakin, jika Anwar sabar dan pandai memainkan peranannya untuk mmembantu Mahathir biar dari luarpun, In Shaa Allah dunia Islam akan kembali berkiblat kepada kita dalam banyak hal. Biarlah Mahathir mengurus Negara ini sehingga mantap. Anwar tetap ada peranan besar sebagai pembantu Mahathir ke arah itu. Anwar boleh memainkan peranan tersebut kini dan biarpun di luar Kerajaan. Anwar janganlah gopoh termakan racun-racun seperti dahulunya.

(17) Secara keseluruhan, In Shaa Allah jika tiada gangguan yang terlalu mencabar, Malaysia akan kembali melangkah bergaya menjelang suku kedua 2019. Untuk itu tercapai, seluruh rakyat yang inginkan kesejahteraan dan kemakmuran hidup harus memainkan peranan aktif dan positif dalam membantu Kerajaan yang ada untuk memulihkan segala-galanya pada jalan tidak lain melainkan mengikut langkah yang telah Allah tetapkan. Kesedaran Mahathir dalam soal tiada pilihan lain selain jalan Al Quran sesungguhnya merupakan kekuatan yang paling besar untuk kita benar-benar dapat merombak dan menyusun Malaysia untuk menjadi medan bagi Umat Melayu untuk menjadi penyumbang hebat dalam kebangkitan temadun Islam di sebelah sini. Langkah beliau dalam memartebatkan Islam dalam sistem Kerajaannya serta pendidikan di Negara ini adalah langkah cepat dan jangka panjang yang cukup bijak dan terbaik. Sesungguhnya, harapan kita paling besar adalah terletak pada kejayaan Mahathir untuk menzahirkan kesedarannya agar patuh pada jalan Al Quran dalam mengurus Negara dan rakyatnya. Kesedaran dan usaha bersungguh-sungguh beliau itu, In Shaa Allah akan dapat mengatasi segala macam kecelaruan dalam dunia Islam yang berpunca dari keperihatinan Melayu dalam  segala macam hal-hal pinggiran berbanding prihal-prihal pokok. Kecelaruan ini telah menjadi faktor terpenting kepada kecorotan Umat Melayu dan Negara. Semoga inilah batu asas kekuatan dan harapan sebenar yang Allah sedang berikan untuk kita bersama Mahathir buat kali keduanya. In Shaa Allah.

(18) Selamat meraikan 100 hari pertama perubahan pentadbiran Nergara kepada semua rakyat Malaysia dan khasnya kepada Mahathir at el. In Shaa Allah kita akan berjaya selagi kita jujur berbuat demi Allah. Semoga Allah limpahi Mahathir dan semua pimpinan beliau dengan rahmat taufik dan hidayah yang meluas. Ayuh bersama kita membina Negara.

Kuching, Sarawak
17 Ogos, 2018

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.