.

2/4/13 SAAT ROH DAN TUJUANNYA BERBEDA, DEMI MASA....

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - April 01, 2013

Share

& Comment

"Tuhan. Izinkan aku sejenak di sini. Menghirup hembusan nafasMu melewati Tasik ini. Biarku rasakan, apa khabar yang ingin dia bawakan. Biar nafasMu, telah melewati bukit-bukit nan kian teredah gondol, lalu menerjah debu ke ruang ronggaku, akan kuterima. Biar nafasMu telah hangat kepanasan melewati hutan yang sudah rebah punah, tiada membawa segar seperti selalunya, akan tetap kutadah dengan mukaku biar terbakar legam. Biar juga nafasMu telah merentas paya yang sudah kering tertimbus, semua demi kebutuhan kemanusiaan, biar itu hanya omongan ngak pasti, tetap dadaku nan telanjang kuhadapkan, demi aku ingin merasakan segalanya", aku berkata sendiri kepada diri ini, lalu merebah tubuhku terlentang mendepa kedua belah tanganku menyerah kepada alam. Di gubuk, di pinggir Tasik Kolej Islam Antarabangsa Selangor, Bangi aku bersama seorang teman yang sedang kepayahan keperitan jiwa, kami bersama untuk bercerita mencari diri. "Ceritakanlah. Segalanya, apa saja, jika engkau mahu. Biar nafas Tuhan, akan membawa segala deritamu melewati Taman itu terus berpusar ke Masjid tersergam indah di depan kita itu. Di dalamnya nanti kita sama-sama menghirup kembali nafas-nafas itu, semoga akan ada hidayah dariNya" pintaku, kepada temanku.

(2) "Empat tahun dahulu, aku bertemu dua tubuh. Si Pertama atas pengaturan jodoh mengikut resam, dan sepertinya aku akur. Kedua atas pertemuan tidak sengaja, dan aku tidak dapat menafikan naluri azali hati, lalu aku jatuh hati, tetapi dengan penuh hati-hati, lantaran aku seperti sedang bermain api. Kami saling mencintai. Hatiku tidak begitu hadir pada Si Pertama. Dia tidak acuh dalam segala, lantaran aku seperti dipasrahkan tanpa usaha mahu gigihnya. Biar di malam pertama, kami seperti bergumpal hanya membongkar harta karun di gua yang dijumpai secara kebetulan sahaja. Bukan dari penat lelah pencarian panjang tulus ikhlas. Aku memperjudi diri. Aku akur aturan resam. Aku patuh pada saran mencintai yang dinikahi, tidak menikahi yang dicintai. Juga, aku akur untuk tidak menjurus kepada keributan, lantaran pinangan sudah diketelanjurkan. Aku jadi tekad pasrah memilih kepada yang Si Pertama lalu kami bernikah. Sedang yang Kedua, dia sanggup meredah apa saja, namun kemudian mengundur saat aku sudah berputus kata. Tidak dia dan bukan dia. Dia redha menerima kelukaan berdarah membeku bernanah. Dia pergi, khabarnya samar-samar, aku menjadikan dia melayang hilang." adalah penceritaan temanku. Aku hanya diam. Aku terbaring terus. Di dalam benakku, dia benar. Dia betul. Saat sudah bertunangan, Sunnah sangat melarang penyimpangan. Tidak wajar berebut milik orang. Tidak boleh sekali-kali merampas, apa sahaja yang bukan hak.

(3) Azan berkumandang. Para malaikat penjaga siang akan berpulang. Di tangan mereka segumpal catatan harian ibadah dan mungkar kami, buat persembahan kepada Allah untuk catatan kekal di Loh Mahfuz. Kami melangkah santai menuju menerima change of guard para malaikat seterusnya. Dan aku yakin, selepas sholat ini, selepas iktikaf ini, aku akan mendapat sedikit ilham ke arah mana seharusnya temanku melangkah. Semoga ianya menjadi catatan terawal akan ibadahku untuk temanku. InsyaAllah.

(4) Perjalanan pernikahan teman tidak seindah sebagai diingikan. Kinabalu ingin dipeluk, sedang bantal di kasurpun belum tentu kemas didekap apa lagi tubuh terbongkang di samping. Soal kekaluargaan menjadi galang. Soal hati saling tidak bertepatan. Soal hari-hari sekadar nikmat sebentar di ranjang sedang rumah tangga hanyalah tunggul penuh bisu. Asalnya, keserasian tubuh sememangnya ada. Sepadan. Saling menawan. Cocok untuk bertabur benih berkubang bertenggala sepuasnya. Namun, pernikahan adalah bukan sekadar soal nikmat jasad, jiwanya dimana? Roh pernikahan apa sudah dimengertikan? Sesungguhnya, Allah memuncakkan nikmat bercekerama bersengama itu adalah di waktu malam. Tidak di siang benderang. Apa maksudnya? SubhannaAllah. Bulan tidak terus mengambang terang. Paling-paling cuma tiga hari dalam sebulan. Kemudian perlahan-lahan menghilang menjadi kelam sepenuhnya, kemudian muncul kembali menyorot alam perlahan-lahan. Sesungguhnya, keindahan malam, yang dinamakan indah, telah Allah sembunyikan ada benderang, ada samar, ada kelam, ada gelitanya. Berputar berguling-guling; terang, samar, kelam, gelita, dan itulah nikmat indahnya perjalanan kehidupan jika kita mengerti dan sabar berusaha. Pernikahan bukan sekadar penyatuan dua tubuh menikmat lazat sahwat. Bukan sekadar kepuasan sengat chemistry. Pernikahan juga bukan sekadar penyatuan dua jiwa, semata-mata indah kesendiri. Penikahan adalah ibadah menyemarakan Ummah. Pernikahan adalah penyambung pembinaan khalifah umat. Penikahan adalah ujian kepertanggungjawaban kedua pasangan dalam menyemarak Ummah dan mendidik khalifah gantian di samping terus menjadi khalifah. Azalinya, kerinduan kecintaan kasih sayang Adam AS kepada Hawa AS adalah sebegitu aku berkira. Penikahan adalah ujian keImanan keTaqwaan. Tanpa kita sadar, penikahan sepertinya peringatan Allah: ...betapa harta, isteri dan anak-anak...adalah unsur-unsur melalaikan buat lelaki... Allah mahu lelaki tidak harus lalai menghambat harta, memewahkan isteri dan anak-anak. Allah mahukan lelaki terus menjadi khalifah membina khalifah mengumarakan ummah. Para suami harus ingat akan prihal itu. Sedang, peristiwa Muhammad SAW menceraikan dua isteri baginda yang cantik menawan serta bersopan, harus menjadi ingatan kepada semua para isteri Muslimah. Sesungguhnya, tidak Allah membiarkan apa saja tidak teruji. Tuhan biar Dia telah berjanji betapa akan setiap sesuatu itu, pasti ada pasangan masing-masing namun kita harus mengerti, roh sebenarnya dalam pemilihan pasangan kita. Tidak bunga pasangannya monyet, kumbang dan rama-rama adalah yang paling serani, lantaran tugas masing-masing yang telah Allah tetapkan. Roh setiap pernikahan adalah soal keserasian tanggungjawab kepada ummah. Itulah tuntutan yang aku mengerti. Tidak kurang dari itu. SubhannaAllah, bulan sabit, lambang Islam di depanku, memberikan aku ilham. Tuhan, MahaKaya ilmunya Engkau, pada bulan sabit lambang agamaMu dan kuntum-kuntum teratai di Tasik itu, Engkau pecarkan ilham indah bagiku membimbing temanku.

(5) Saat menikmati cendul di bawah pokok di Bandar Sri Putera, aku berbicara mudah: "Begini sajalah. Usah diingat lagi yang sudah lepas. Kita sudah silap dalam menentukan roh pernikahan. Kita bernikah kerana ingin sendiri bahagia. Kita bernikah terdorong untuk kepuasan sendiri. Kita tidak bernikah sebagai Adam AS mengertikan maksudnya. Kita terlalu banyak memilih jalan kesendiri dari memahami sedalam-dalamnya kehendak Ilahi. Cuba fikirkan dalam-dalam. Kejadian perceraian kalian, bukan kerana Allah itu kejam. Dia mungkin sedang menyediakan kejayaan lebih besar di depan. Atau apa mungkin engkau sebetulnya belum bersedia? Cuma, apakah engkau tabah menghambat memahami hikmahnya? Ingatlah. Pertama, engkau ada keluarga. Jangan sampai lupa tanggungjawab kepada mereka, apa lagi jika mereka juga masih dalam kesusahan kepayahan. Kedua, masyarakat kita tampak senang, namum aku yakin jalan payah sedang terbentang luas di depan mereka. Carilah ilmu yang lebih luas jitu kental. Perolehilah segala kebijaksaan dan kewarasan agar nantinya engkau akan dapat berbakti seluasnya sebanyaknya buat mereka. Bukan untuk pangkat. Bukan untuk menghambat gaji besar. Bukan untuk darjat. Bukan untuk membina kemewahan dan keselesaaan diri atau lingkungan diri. Berbuatlah demi ibadah kepada Allah untuk Ummah. Ummarakkanlah Ummah ini. Bahagiakanlah Allah. Paling, engkau harus bersyukur, betapa kejadian ini terjadi saat engkau masih muda, sihat gagah dan Allah masih mahu membantu. Itu lebih penting. Itu lebih asas. Usah difikir kelam gelita sementara di depan, ingatlah pada peredaran rembulan,dengan sabar tekun dan yakin, Demi Masa... cerahnya akan tetap mendatang. Nikmat cerah tidak akan pernah terasa indah tanpa kita melewati gelap samar hidup ini. Bangkitlah cepat, dan berjalanlah terus. Perjalananmu masih panjang. Aku akan tetap berdoa dan membantu di mana Allah mengizinkanku. Cuma jangan terlalu berharap kepadaku, kerana aku tidak akan pernah abadi, tidak terjadi kekal abadi, akan hilang juga akhirnya. Belajarlah jika terpaksa hidup sendiri, kerana takdir kita di liang lahad akan sendiri-sendiri sepi, tetapi jangan sekali-kali kendiri. Aku hadir bersamamu, adalah sekadar perantaraan Allah dalam terus memeliharamu. Aku tidak hadir di sini tanpa izin dan berakah dariNya. Kesendiri, aku tiada nilainya. Maka kepada Allah engkau sandarkan sepenuh segalanya. Dia sentiasa ada bersamamu, bukan aku, tidak sesiapa yang lain.

(6) Aku kemudian lantas terbang pulang. Hanya Al Fathihah, Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas dan Kursi yang dapat kutinggalkan agar sehingga kami bertemunya kembali, Allah dengan para malaikatNya akan sentiasa menjaga keselamatannya. Tidur malamku selepas itu didatangi Embah dan Ayahku. SubhannaAllah, semoga ibadahku untuk temanku sampai rahmatnya kepada ibu-bapa dan nenek-moyangku. InsyaAllah. Alhamdullilah. Allahuakbar.

Bandar Sri Putera, Bangi
31 March, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

2 comments:

Anonymous said...

sdra bicara tentang pernikahan dalam ertikata yang sepatutnya, sedangkan sdra sendiri tidak mampu untuk mengekalkan sebuah perkahwinan.

Abdullah Chek Sahamat said...

Ini bukan soal bersoal jawab. Dalam bahasa Melayu Sarawak, berejap mungkin singkatan dari soal jawap. Jika sdra/i pengulas faham akan dua peristiwa iaitu:
(i) Suatu ketika bila Ibrahim AS melawat anaknya Ismail AS di Mekah, dan saat baginda sampai di depan pintu rumah Ismail AS, beliau disambut oleh isteri Ismail AS. Ismail AS dikatakan pada masa itu sedang berburu. Lalu Ibrahim AS pun bertanya: "Bagaimana kehidupan kalian?". Maka mengadulah sang menantu, tanpa sedar itulah bapa mertuanya, betapa mereka hidup amat susah. Pokoknya dia menrintih tentang keperitan hidup bersama Ismail AS di situ. Maka, Ibrahim AS pun meninggalkan pesan buat anaknya Ismail AS: "gantikanlah jenang rumahmu". Lalu Ismail AS pun menceraikan isterinya dan baginda beristeri baru. Kemudian dalam kunjungan kedua, Ibrahim AS sekali lagi hanya disambut oleh menantunya, yang baru. Bila ditanya keadaan mereka, maka jawab si menantu: "Alhamdullilah. Biar payah, namun segalanya cukup". Lalu Ibrhaim AS berpulang, sambil meninggalkan pesan buat Ismail AS:"Peliharalah dan jangan robohkan jenang pintu rumahmu".
(ii) Bacalah Sirah Muhammad SAW, baginda ada menceraikan dua dari isteri-isteri baginda, bukan soal tidak sayang, bukan soal tidak ikhsan, soalnya baginda ada tugas dan muslihat lebih besar. Cuma ini jarang dibicarakan oleh para cendikiawan Islam kita. Juga bacalah Riwayat Hidup Abu Bakar As-Siddique dan Umar Al Khatab RA, saat Aishah dan Habsah RA bersikap nakal, sehingga Muhammad SAW tidak bersama para isteri baginda selama 29 hari, apakah kekhuatiran yang melanda kedua bapa mertua baginda serta fitnah yang berkeliling di Madinah pada masa itu? Sesungguhnya, ada waktunya, perceraian itu adalah jalan penyelamat. Pokoknya adalah soal kepertanggungjawaban selepas itu.

(2) Pada asasnya, apa yang ingin saya nyatakan, kita tidak harus menjadi typical Malay berbicara tanpa mengerti apanya. Saya tidak menulis untuk menghina sesiapa, saya menulis untuk berkongsi pengalaman dan ilmu jika ada. SubhannaAllah.

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.