"Ayuh kita berbicara tentang kemiskinan" seru Sang Ketua Besar. Semua bersedia. Hawa dingin terpasang deras. Kertas bertompok di atas meja. Kerusi sandar enak siap terpasang empuk untuk semua. Semua duduk bergaya, jika di zaman dulu-dulu pasti tanjaknya MahaRaja-MahaRaja. Semua sedia berbicara. Makanan dan minuman terhidang melimpah-limpah tidak dijamah. Tempatnya, di kamar indah di kantor indah.
(2) Dibentang sebuah penemuan oleh Sang Ketua Kecil. Seorang ibu. Beranak banyak. Bapa entah ke mana. Tidak berburu di hutan. Tidak juga ke laut menangkap ikan. Tidak ke sawah menenggala berkubang menyubur panganan. Pokoknya kaburnya, seperti burung yang tidak bersarang, terbang entah tidak tahu apakan pulang atau terus hijrah ke tanah seberang. Seorang ibu. Apa statusnya? Balu? Belum tahu mati hidup suaminya? Janda, apa khabar lafaz cerainya? Ibu Tinggal, bukan; aku berkira. Anak-anak masih untuh bersamanya. Dia tidak meninggalkan anak-anak. Tidak layak gelar itu. Ibu Tunggal, mungkin benar. Namun tunggalnya kerana apa? Kematian? Perceraian? Suami kabur? Biarkanlah apapun statusnya, nan pasti Muhammad SAW telah berpesan: "Jika ingin mengasihiku, kasihilah yatim piatu dan yang miskin susah". Lalu soal Sang Ketua Besar: "Apa rencana kita?". Jawap ikhlas penuh semangat Sang Ketua Kecil:"Kerjanya tidak menentu. Anak-anak masih sekolahan. Ada masih kecil. Benar-benar miskin. Rumahnya sudah dhaif. Sangat dhaif. Sekadar menumpang. Sudah dipinta pergi. Dihalau sebetulnya. Jadi kita akan mencari rumah untuk dia. RPR adalah pilihan kita. Kita usahakan segera."
(3) Sekilas pandang, nilai-nilai kemanusiaan terpecar tinggi. Si miskin; Sang Ketua Besar dan Sang Ketua Kecil paling peduli. Syukur Allah. Masih ada hambaMu sebegitu. Cuma, pincangnya, jiwa membantu tidak mendongkel ke akar persoalan. Jika di pindah, ke mana anak-anaknya akan sekolahan? Bagaimana soal saraan hidupnya? Setakat sumbang kebajikan pasti tidak mencukupi. Di mana dia akan bekerja? Apa dia punya upaya untuk bergerak ke mana-mana mencari hidup? Apakah kita terus akan menyuapnya?. Banyak lagi harus dihalusi. Soalanku, seperti mematikan semua. MasyaAllah. Sesungguhnya, kekhuatiranku, satu: Niat asalnya membantu, namun caranya, kita sedang lebih menyulitkan dia. Aku pada fikiranku, si miskin, miskinnya kerana dia sedang kepepes berada di kamar tidak berpintu dan berjendela sepertinya juga kamar dan kantor di mana penghapusan kemiskinan sedang dibicarakan.
(4) Terdahulu aku telah menyaran, buat Sang Ketua Kecil dan teman-temanya "Bacalah kisah lumba iri Umar Al Khataab ke atas Abu Bakar As-Siddique" jika ingin kenal akan erti kemiskinan dan bakti membasmi kemiskinan. Sesungguhnya, irinya Umar Al Khataab RA ke atas Abu Bakar As-Siddique RA tidak pernah padam, berkekalan, membara, tidak lain hanya ingin duluan berbakti kepada yang susah dan membina Ummah. Sang Khalifah berlumba-lumba mencuci rumah, menyalin pakaian, menyedia panganan si tua miskin melarat dan sesiapa saja. Saban malam, jauh-jauh malam, keduanya berlumba-lumba berkeliling menyiasat siapa rakyatnya tidurnya lapar, agar mereka dapat berbakti puas untuk sesiapa yang susah perit. Pokoknya, mereka mencari, merasa, mengalami, menyelami, mengerti akar umbinya, kemudian bertindak biar terpaksa diperlakukan sendiri saat bergelar Khalifah, alias MahaRaja. Juga aku menyaran dan menegur "Buangkan baju koprat, saat berdatang kepada yang miskin susah. Jadilah sepertinya mereka. Mudahkan buat mereka. Jangan bina tembok antara mereka'. Sesungguhnya, tidak ramai mengerti betapa sifat zuhudnya, menidak mempamir kebendaannya Umar Al Khataab dan Umar Abdul Aziz adalah jalan mudah untuk mendongkel akar umbi isi hati si miskin susah. Pakaian gah koprat, apa lagi watak Khalifah MahaRaja, pasti akan menjauhkan mereka. Makanya cendikiawan Melayu dulu-dulu sudah mengerti jika mahu mudah menangkap ayam, jadilah Musang berbulu ayam, sama juga Menari ikut gendangnya. Sesungguhnya si miskin payah, sifat mereka sangat rendah diri sangat mengukur baju ke badan sendiri
(5) Sesungguhnya, dalam menangani soal keperitan dan kepayahan rakyat, tiada jalan mudah. Kamar dan kantor mewah selesa tidak menyelesai segala. Mengertilah akan hikmah Allah pada sifat zuhud Muhammad SAW dan para sahabah dalam mereka menegakkan Islam ini awalnya. Tidak mereka bersila-sila berbicara sepanjang waktunya hanya di Masjid dan atau kediamanan mereka. Mereka berjalan. Mereka mencari. Mereka merasa. Mereka melihat. Dalam istilah kini, they really do their homework, field work. Ini kubuktikan, dalam dua jam pekelilingan selanjutnya.
(6) Dulu, aku sering keliling RPR Bandar Baru Samariang. Teman yang sedang berpengajian menunggang Kangaroopun pernah aku bawa ke sana, agar dia mengerti, betapa langkah selanjutnya harus diperlakukan agar sekitar 2,700 (?) keluarga miskin ini benar-benar dapat terbebas merdeka berdaulat. Soal kini, soal apa yang telah terjadi, itu tidak perlu dipersoalkan. Dulu, mereka adalah penghuni mewah di Seting Garden di mana-mana. Lantaran kekurangan sumber serta mungkin kekhilafan pandang mereka jadi berada seperti seadanya. Namun kita tidak boleh hanya tahu menyalah, sedang tidak berusaha merubah. Sepertinya sang nenek di kampung, tahunya apa? Tidak banyak ilmunya, namun, pandangnya jauh, lalu bertanam durian biar bukan dari Baka Thailand atau Kunyit. Tidak untuk dirinya, melainkan nawaitunya untuk anak cucunya, yang kini hanya tahu menyoal, baktinya entah di mana? Kita tidak boleh menyalahkan dia bertanam bukan Baka Durian Kunyit, jika kita mahu kita tanamlah sendiri. Itulah seharusnya sikap kita jika kita mengerti akan maksud Allah berpesan: "Jika mampu robahlah dengan tanganmu, jika tidak dengan lidahmu, jika tidak.....namun soal kebajikan, soal rakyat, Ummarak Ummah, jangan sekali-kali kita berpaling pergi". Di Khutub Khanah RPR Samariang, sekitar jam 1.30 petang kami singgah. Wah enak. Hawa dingin. Dan seorang anak gadis bersama adik-adiknya sedang membaca buku. Alhamdullilah. Aku mendekat. Aku bertanya. "Berapa umur? Masih Sekolah? Berapa adik beradik? Ayah kerja apa? Ibu kerja apa?" sambil mengusap-ngusap kepala adik ciliknya. Jawabnya penuh malu-malu: "14 tahun. Tingkatan 2. St. Teresa. 8 adik beradik. Office Boy. Mak di rumah jaga adik-adik". Dan soalku terus: "Adik ini yang ke berapa? kenapa tidak sekolah?. Jawabnya mulai segan-segan silu: "Saya sekolah petang. Tapi tadi malam black out. Tak dapat tidur. Hari ini saya tidak ke sekolah. Saya nombor dua" Ikhlas. Cukup jelas. Namun jika kita tidak berfikir, jika kita tidak mengerti, pasti kita merumus: "Sekolah petang, tetapi kenapa tidak ke sekolah? Ini sah, bodoh, malas, tak ada pandangan hidup". Sekilas pandang, ada benar tanggap sebegitu. Jika kita merasa, pasti kita akan berkata: "Anak ini, biar miskin, biar susah, tinggi ilmu hidupnya". Sebabnya mudah, jika sudah tidak kecukupan tidur, apa mungkin dia dapat focus menjerap pelajarannnya? Juga, kasihan, dia hanya boleh belajar saat semua adik-adiknya sudah tidur. Bayangkan dia hanya baru berumur 14 tahu. Ada enam adik-adik di bawahnya. Anak-anak seumuran sebegitu, bagaimana olah mereka di gubuk kecil itu? Juga, Khutub Khanah ini, di buka dari jam 0830-1700. Kenapa tidak dari Jam 1500-2200? Saya berkira, inilah apa yang saya sebut bekerja sekadar makan gaji sedang tujuannnya adalah berbakti membina Ummah. Niat dan cara tidak serasi. Semua kerana apa? Begitulah keterbiasaannya. Astafirullah Halazim. Otaknya di mana? Di punngung atau di junjung. Matanya di mana, di depan kepala atau di tumit kaki? Ya sememangnya akan ada yang sakit hati, namun, membiarkan bangsa terus sakit apakah itu membahagiakan?
nota:
Semua gambar sisipan adalah dari capaian internet lewat Images of the Poor.
Bandar Baru Samariang, Kuching
3 April, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment