.

6/3/13 MELAYU SUDAH BAGAI TELUR DI HUJUNG TANDUK

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - March 07, 2013

Share

& Comment


Pernahkah kita melihat telur di hujung tanduk. Cuba bayangkan, bukankah hebat jika kita mampu meletakkan telur di hujung tanduk. Apa lagi jika dapat diletak di hujung tanduk rusa tua yang meruncing-runcing. Biar pakai gam cap gajahpun belum tentu kita boleh melekatkan telur di hujung tanduk. Sesungguhnya, adalah mustahil untuk meletakkan telur di hujung tanduk. Biar telur semut sekalipun. Sememangnya jika kita guna otak sedikit cerdik pasti ada yang akan berkata betapa telur lipas boleh melekat di hujung tanduk. Sama juga dengan telur belalang. Sebab kita berkata begitu tidak lain kerana kita sedikit cerdik. Namun, bukanlah niat Melayu dulu-dulu untuk kita berpolimik tentang boleh atau tidak boleh untuk meletakkan telur di hujung tanduk. Sampai kucing bertandukpun kita tidak akan dapat melihat adanya telur di hujung tanduk. Mustahil.

(2) Apakah kebijaksanaan Melayu bila mereka mengungkap perumpamaan seperti telur di hujung tanduk? Maksud dari perumpamaan itu samalah dengan perumpamaan seperti antah di tepi melukut. Kita, bangsa Melayu sedang dalam bahaya. Tidak setakat bahaya, malah mara merbahaya. Satu tingkat di atas dari setakat bahaya. Sudah terlebih bahaya sebenarnya. Jika marapun sudah merbahaya, apa lagi jika mengundur. Sepertinya, kita sudah berada di jalan buntu. Di depan naga, di belakang buaya. Itulah, maka dulu-dulu lagi Melayu sudah memperingatkan Melayu dengan perumpamaan lepas dari mulut naga, masuk ke mulut buaya. Siapa yang menjadikan Melayu jadi sebegini? Apakah puncanya? Dalam bidang manakah kita sudah dalam kegetiran sebegini? Apa harus kita lakukan?

(3) Kita, bangsa Melayu sedang dalam bahana sosial yang sangat tenat. Bila saya menyebut bahana sosial saya sebetulnya cuba membangkitkan kesadaran kita ke atas bahana terhadap masyarakat, bukan sekadar orang perseorangan dan atau kelompok. Darjah ketenatan masyarakat kita sama dengan keadaan bilamana telur berada di hujung tanduk. Biar hanya sedikit pergerakkan, telur itu akan jatuh dan pecah. Melayu sedang retak menunggu belah. Kalau kita bercakap tentang di mana keretakan sedang terjadi pada bangsa ini, banyak dapat menjawap pertama politik, kedua ekonomi, ketiga budaya, keempat moral, kelima....dan berjela-jela tidak henti-henti. Itu semua adalah senarai segala keretakan yang boleh kita sebut atau fikir. Semua itu sekadar fenotip, sekadar the tip of the iceberg. Namun, telah adakah usaha setakat ini untuk kita mengenali punca dari segala punca kepada segala keretakan ini? Apakah genotipnya?

(4) Selama ini, saya cuba melihat kelemahan Melayu berakibatkan oleh masalah politik dan ekonomi. Saya tidak akan berhenti bercakap tentang itu. Saya akan terus bercakap tentang soal itu, sampai kapanpun. Namun kini, saya akan cuba menambah sudut pandang saya dengan melihat kelahiran dan kelestarian kelemahan dan atau keretakan Melayu dari sudut kelemahan cara kita berfikir dan bertindak yang bertunjangkan kepada kelemahan sistem pendidikan kita. Sistem pendidikan yang diasakkan kepada bangsa Melayu, sejak dari zaman Animisma (pagan), sehingga ke Buddha-Hindu, awal Islam dan ke hari ini adalah suap dan muntah. Dengan sebab itu cara kita berfikir dan bertindak sekarang ini adalah terus berlandaskan buat seperti yang diajarkan atau seperti kata Melayu dulu-dulu: Guru kencing berdiri, murid kencing belari; di mana kuah kalau tidak tumpah ke nasi; bapa borek anak rintik, dsb. Semuannya seirama senada sampai kiamat mungkinnya.

(5) Renungkanlah cara dan bentuk perjalanan sistem pendidikan kita. Pertama di zaman pagan, atas dasar tidak dapat menjelaskan apa-apapun dari kejadian alam contohnya anak mati dalam kandungan, pendarahan akibat kelahiran yang tidak betul, penyakit yang menular, penyakit-penyakit pelik-pelik, maka Melayu kuno hanya berserah kepada roh. Bagaimana roh ini berkuasa ke atas apapun, tidak boleh disoal, harus diterima seadanya, sebegitu sahaja. Dulu-dulu, Melayu hidup tanpa banyak soal, tanpa perlu berfikir, ikut sahaja. Inilah apa yang disebut dalam istilah Jawa sebagai manut. Amalan mungkin beribu tahun kita terhadap budaya tidak menyoal maka telah menyebabkan sikap pekak, buta, dan bisu menjadi sebati dalam darah daging kita. Kerana jatidiri kemanutan itu telah serasi dengan Melayu, maka, kemudian sangat mudah bagi pengaruh Buddha-Hindu yang menuntut budaya manut sebagai asas kepada agama itu meresap ke dalam sistem kemasyarakatan Melayu. Sebab itulah, Buddha-Hindu menguasai Melayu tanpa lewat peperangan ganas. Penguasaan Kerajaan Srivijaya (Buddha) dan Majapahit (Hindu) awalnya di Sumatera-Tanah Melayu, dan Jawa-Sumatera-Tanah Melayu adalah contoh jelasnya. Sesungguhnya, Buddha-Hindu adalah agama budaya feudal yang berteraskan jangan banyak soal, ikut saja kerana jika banyak soal, sistem feudalisma tidak akan dapat berjalan. Sebab itulah sistem Sultan dan Raja dalam budaya Melayu sangat sama dengan sistem Sultan dan raja di kalangan masyarakat Buddha-Hindu. Kita mewarisi dan terus mentaati sistem feudal penjajah senyap Buddha-Hindu. Semuannya bukan kerana feudalnya, tetapi kerana sistem itu telah mendewakan, memberi nikmat kuasa dan kekayaan kepada segelintir.

(5) Raja mesti ditaati. Raja mesti disembah. Raja mesti dijunjung. Tidak boleh, tidak sekali-kali harus derhaka kepada Raja dan Sultan. Semua harus jadi Hang Tuah, tidak sekali-kali harus jadi Hang Jebat. Akibat derhaka kepada Raja, daulat Tuanku menjadikan Hang Jebat mati tanpa harga. Raja dan Sultan adalah payung Melayu. Sebegitulah, Melayu terdidik dalam zaman peralihan antara Buddha-Hindu dan Islam. Namun, dalam dunia Islam Melayu terus terdidik agar terus hormat pada guru, tidak boleh melawan guru akhirnya timbullah berbagai konsep baru pendewaan yang sedikit lain dari pendewaan seperti dalam zaman kuno pemujaan roh dan Buddha-Hindu. Istilah guru, suatu istilah Sanskrit (?) atau Urdhu (?) bahasa agama Buddha-Hindu, harus diganti dengan istilah Islam atau Arab lebih tepatnya. Maka timbul istilah-istilah seperti Kiai, Wali, Tok Guru, Ustaz, Ustazah, Imam, Hafiz, Sahibul Sahamah, dsb. Semua itu, saya yakin adalah atas suburnya feudalisma dalam setiap diri Melayu. Semuannya adalah wadah perlambangan darjat yang akhirnya menuntut agar Melayu jangan banyak soal. Aku Ustaz, engkau bukan maka engkau ikut sajalah. Aku Sahibul Sahamah, sedang engkau hanya Ustaz, maka engkau diam dan ikut sajalah, budaya jangan soal berlanjutan sepertinya sampai kapanpun. Alahai nasib pemikiran Melayu, didikan Melayu. Anak-anak, jika dia tidak boleh bersoal, apakah akan jadi kepada pemikirannya?

(6) Sikap manut menjadikan Melayu kerdil. Kerana kekerdilan, mereka kemudian mudah pula terus untuk ditakutkan. Saat Portugis menyerang Melaka, mereka bukan hebatpun. Cuma Melayu terlalu takut melihat pada saiz badan, cara berpakaian, cara berjalan, bentuk persenjataan, cara berperangnya mereka. Sedang Melayu, biar panglimanyapun, berjalanpun berkaki ayam, ada baju seluar tak cukup panjang, ada seluar tidak berbaju, ada keris hanya panjang sejengkal. Sesungguhnya, bila Melayu mula berdepan dengan Mat Salleh, rasa kerdil telah mengalahkan Melayu. Kekerdilan Melayu ini adalah akibat didikan yang sentiasa menekan jiwa mereka menjadi pemanut, budak sahaya, hamba, orang suruhan.

(7) Di zaman penjajah, Melayu terus terdidik dengan segala kekerdilan. Mereka kerdil dalam Bahasa Inggeris. Mereka kerdil dalam Sains. Mereka kerdil dalam Matematik. Mereka kerdil akhirnya dalam ilmu perdagangan, akauntan, segala. Segaja segala bidang pendidikan di Sekolah-sekolah Inggeris adalah berbeda dan menyonsang dari Sekolah-sekolah Melayu. Di sekolah-sekolah Inggeris, segala tertulis dari kiri ke kanan, sedang di sekolah-sekolah Melayu segala tertulis dari kanan ke kiri. Di sekolah Inggeris, pakai celana dan skirt rambut bertocang. Di sekolah Melayu pakai kain pelikat dan baju kurung berkerudung. Maka terdidiklah dalam jiwa anak-anak Melayu, sekolah-sekolah Inggeris adalah duniawi, sedang sekolah-sekolah Melayu adalah ke jalan Allah. Segalanya bertentangan arah. Kerana itu, banyak yang menyingkir sekolah-sekolah kafir. Banyak yang lulus sekolah Melayu, lalu pandainya apa? Di Kelantan, Trengganu, Johor, Selangor, di mana saja, termasuk di Jawa, Champa, Pattani, Sulu, sekolah-sekolah Melayu hanya melahirkan insan yang hanya tahu sekadar hidup dan dekat dengan Allah. Mereka akhirnya tidak gagah untuk mendiri dan mempertahan Islam. Kita, nenek moyang kita kerdil di bawah ketiak penjajah. Kita kini terus ikut bersama mempertahankan otak penjajah.

(8) Saat kita merdeka, sehingga kini, kita meMelayukan sekolah-sekolah Inggeris. Kita sebetulnya, hanya meMelayukan bahasa pengantarnya. Kita tidak meMelayukan seluruh sistemnya. Apa lagi dari mengIslamkan keseluruhan sistemnya. Sehingga cara kita mendidik agama Islampun, kita tetap sepertinya terikut-ikut dengan sistem Inggeris. Sistem pendidikan Inggeris dari Darjah 1 sehingga ke Tingkatan Lima atau Enam, segalanya adalah asas, pokok, basic. Kita tidakpun berusaha menerapkan Islam ke dalam Matematik, Sains, Perdagangan, Sejarah, Ilmu Alam, dan Kemahiran-kemahiran lainnya. Maka, anak-anak kita hanya tahu bersahadah, sholat, dan puasa. Pun, bersahadah, sholat, puasa banyak sekadar ikut-ikutan. Mereka berbuat sekadar memenuhi rasa kerdil iaitu malu dengan rakan-rakan, takut kena marah atau sebagainya. Mereka tidak berbuat atas rasa merdekanya mereka. Sesungguhnya, puncanya adalah kerana mereka terbantut kepada perkara-perkara asas. Mereka tidakpun terdidik untuk mengerti fadilat, kebenaran, kebesaran dalam setiap sesuatu yang mereka lalui dan bakal tempohi. Ilmu dan Islam tetap terpisah. Jikapun adanya Ilmu Islam, ianya tetap cetek atau tidak selengkapnya.

(9) Kesannnya, kehidupan kini yang serba mencabar, meletakkan bangsa Melayu dalam kebinggungan dan mudah goyah. Jika tidak percaya, pergilah ke Kuala Lumpur-Petaling Jaya, Melaka, Johor Baharu, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan mana-mana kota di negera ini yang sedang pesat berkembang, selidikilah akan kehidupan masyarakat pekerja rendah dan menengah rendah Melayu bagaimana keadaan mereka. Samaada yang remaja, dewasa, sudah berumah tangga atau sebagainya. Perhatikan. Apakah wujud kedaiaman sosial pada mereka? Sesungguhnya nilai-nilai kekalutan di bandar-bandar sedang merebak ke desa-desa. Nilai-nilai kemasyarakatan kita kian punah. Sikap sendiri-sendiri, tidak peduli prihal jati diri masyarakat kian menghantui kehidupan kita. Lantaran itu, segalanya yang ada pada kita kian memudar punah merebah. Kerana itulah, maka biar bagaimana keras usaha-usaha materialistik yang hendak kita paksakan untuk memperbaiki kedudukan Melayu, tetap kita menghadapi jalan payah jalan susah banyak gagalnya.

(10) Lihatlah, gejala rasuah, dari setiap sudut dan lapisan, kaum apakah yang paling suka kena rasuah? Kaji, berapa ramai yang suka salah guna dan atau pecah amanah? Kaji, berapa ramai terus hidup dengki, tamak, bakhil, dan riak? Hitunglah berapa yang mahu murtad? Juga hitung, biar tidak murtad, tetapi telah hidup secara murtad. Hitunglah berapa ramai yang tetap ketagihan dadah? Hitunglah, berapa ramai perceraian muda? Juga kaji dan hitungkan, berapa ramai perceraian biar anak-anak sudah bertangga-tangga? Kaji, berapa ramai yang menikah saat sudah termengandung? Kaji berapa ramai tinggal bersekedudukan, atas apapun sebabnya? Kaji kenapa terjadinya masalah buang bayi? Kaji, berapa ramai dan kenapa terjadinya ikut-ikutan ajaran saonsang? Kaji, berapa ramai yang menyundal atau menjual harga diri biar terang, biar gelap? Kaji berapa ramai sudah jadi pondan, gay, lesbian atau segala songsangan sex. Jangan di kira orang-orang tua yang sudah kian sepi tidak dipedulikan. Apa lagi anak-anak yatim dan melarat. Kita sudah menjadi kacang lupakan kulit. Sunnah Mumamad SAw agar kita menjaga ibu-bapa, anak yatim, golongan susah miskin sudah kian kita tidak pedulikan.

(11) Itu gejala sosial di kalangan masyarakat bawahan Melayu. Bagaimana dengan masalah sosial di kalangan golongan menengah atas dan atasan. Apakah jenisnya berbeda. Saya yakin tidak sangat berbeda cuma darjah penglibatannya berbeda. Jika golongan rendah menjual diri di kaki lima, golongan menengah atasan dan atasan menjual diri di tempat-tempat lebih elit dan tersembunyi. Begitu juga, jika golongan rendah sekadar rasuah berbentuk nasi lemak, golongan menengah dan atasan mengaut rasuah lewat Singapura atau berjuta nilainya. Sesungguhnya, pendidikan Kapitalis-Demokrasi telah membentuk kita menjadi sendiri-sendiri dan hanya akan ingat kepada masyarakat saat Surah Yasin sudah dibaca di samping kita. SubahannaAllah.

(12) Melayu juga kian kehilangan pemikir dan pejuang. Pemikir Melayu terus diam. Banyak yang keluar negara. Begitu juga pejuang Melayu, sudah tidak kedengaran. Apa yang terdengar adalah opportunist badut-badut Melayu. Sejak 10-15 tahun nyang lepas, apakah ada yang baru untuk Melayu? Apapun yang terlaksana kini, hanyalah rentetan peninggalan Abdul Razak Husein. Sejak 3-5 tahun yang lepas khususnya, apa yang ada hanyalah penjenamaan semula sepertinya dari menyebut babi sedap disebut khinzir. Kenapa? Sebab paling ketara, pemimpin sekarang kebanyakan adalah generasi baru yang telah terdidik derngan sistem pendidikan yang salah. Kerana itu, kita sekarang punya lebih banyak pemimpin yang tidak berfikiran tepat untuk masyarakat Melayu. Perhatikan, selepas PRU13 ini nanti, pasti berlambak pemimpin baru yang sama sekali sudah tidak kenal bangsa apa lagi mungkinnya Islam. Semua sedang terkejar-kejar kemewahan dan darjat diri, bukan harakah bangsa dan Islam. Biar dalam PAS sekalipun.

(13) Paling ketara kini, kita sudah tidak lagi peduli akan keliling kita. Rumah kita berpagar tinggi. Segala bukaan di rumah kitapun kita pagar besi. Kita hidup samada sepertinya sudah dalam penjara dan atau zoo binatang. Sesungguhnya kita sudah tidak ubah samada sebagai penjenayah dan atau binatang. Mungkin juga lantaran sudah terlalu banyak sifat-sifat dan atau ciri-ciri penjenayah dan binantang telah kita serapi. Kebanyakan sepertinya, saban hari, bagun tidur, terus kalut cari makan, pulang cari makan juga dalam kekalutan, lalu terus tidur, dan banyak tidak boleh tidur. Apa ada sebetulnya pada kehidupan klita pada hari ini?

(14)Banyak lagi, jika kita sanggup menilai diri, mengkaji kelemahan diri, sejujurnya demi merumus langkah untuk memperbaiki diri, kita pasti akan jadi kian kerdil rasanya. Kita sebetulnya boleh merumus satu Indek Kesejahteraan Sosial bagi masyarakat Melayu (mengikut kelas) berbanding dengan kaum-kaum lain dan lihat di mana kita berada? Saya yakin, kita masyarakat Melayu tidak akan sanggup untuk mengupas diri sendiri, kenapa? Semuannya sebab kita tidak dilatih untuk menilai diri sendiri, serta boleh bersikap jujur kepada diri sendiri. Kita tidak terdidik untuk merdeka dan berdaulat. Kita terdidik untuk mengikut dan atau takut.

(15) Sesungguhnya, saya yakin, sistem pendidikan kita perlukan rombakan besar-besaran. Kita tidak seharusnya hanya menitik beratkan agar anak-anak bangsa hanya mahir dari sudut teknikal, tetapi mereka harus punya ketahanan jiwa yang kental. Rasanya, kita cukup institusi untuk meneliti contohnya bagaimana di zaman Muhammad SAW dan semasa Khalifah Amirulmukminin termasuk Umar Abdul Aziz, bagaimana sistem pendidikan yang mereka jalankan sehingga dapat membentuk masyarakat Islam yang saling mendokong antara satu sama lain. Khusus di zaman Umar Abdul Aziz, bagaimana dia biar hanya memerintah selama 30 bulan, beliau dapat menghapuskan kemiskinan dan menyatukan seluruh umat Islam untuk bangun gagah. Negara di bawah pemerintahanya jauh lebih luas dan majmuk dari Malaysia, namun beliau sangat berjaya.

Kuching, Sarawak
8 March, 2013

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

2 comments:

Anonymous said...

Assalammualaikum ..
Saya terkedu membaca tulisan yang pessimistik ini. Apakah tidak ada langsung kekuatan bangsa Melayu? Apakah tidak ada pemimpin Melayu yang jujur dan ikhlas dan mempunyai jati diri serta kekuatan untuk menangani masalah orang Melayu? Kalau tiada, maka benarlah bahawa nasib kita kini umpama telur di hujung tanduk.

Abdullah Chek Sahamat said...

Walaikumsallam wbt. Semoga sdra(i) dalam rahmat Allah seluasnya.

(2) Ini bukan isu pesimistik. Ini isu cacing kerawit sedang naik ke mata, jika kita masih ingat perumpamaan tersebut.

(3) Hang Jebat, saat menuntut keadilan, biar benar, teman-teman menjadi penghianat akhirnya. Lalu mereka juga berkubur sama, dan Hang Tuah menghilang entah ke mana. Sedang Wazir Memanda Menteri yang jelas bijak dan jujur, juga tersungkur. Tidakkah sejarah sebegitu?

(4) Apa lagi pada Hang Nadim. Melayu selamat, dia dihumban ke laut, sedang dia hanyalah anak cilik yang fitrahnya fiziknya tidak mencelakakan.

(4) Dalam budaya Melayu, manusia jujur dan benar, jarang sekali berani bertantang ke depan. Jika ada, hanya setelah mereka mati baru semua menangis sedar, tetapi sekadar menangis dan mengundur!

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.