Seperti selalu, saya melihat Perumpamaan, Pribahasa, dan Pepatah Melayu sebagai ungkapan-ungkapan Falsafah Hidup yang tercipta dari pemerhatian dan pengamatan panjang dan mendalam bangsa ini. Cuma, kerana sekian banyak telah tidak mendalami Bahasa Melayu, maka banyak yang memandang ringan dan remeh akan ketinggian segala falsafah hidup yang tersirat di balik Bahasa tersebut. Umpamanya, pribahasa di atas, mengambil iktibar dari penerbangan seekor Enggang atau Kenyalang, bila ianya terbang, kerana kuatnya libasan kepaknya, sehingga membuat bunyi seperti ranting patah. Maka, bila Enggang lalu, samada ranting benar-benar patah atau tidak pasti tetap ada bunyi seperti ranting patah.
(2) Pribahasa tersebut bermaksud, Kalau seseorang itu telah berlaku jahat, kapanpun, biar dia telah bertaubat nasrulhaq sekalipun, dia tetap dianggap akan berbuat jahat. Pribahasa ini hampir sama maksudnya dengan Anjing kalau sudah biasa makan najis, kalau tidak makan, menghidu tetap pasti. Nadanya seperti berprasangka berpanjangan, namun tidak kurang ianya juga adalah amaran agar Melayu terus berhati-hati.
(3) Saya menulis tajuk ini, atas keinginan saya untuk berkongsi pengalaman, terutama bersama Front Line Officers bagaimana mendepani segelintir yang sering mencurigai kita akibat pengalaman silam mereka ibarat bila enggang lalu, ranting patah dalam usaha untuk mendakwah rakyat khusus agar mereka bangkit sadar menghambat kehidupan. Banyak antara kita mengakui betapa masyarakat Melayu di luar bandar masih banyak yang terpinggir, meminggir bahkan mangkir dalam menghambat pembangunan bermakna buat seisi bangsa. Namun usaha-usaha untuk membangunkan mereka, bukan hanya mendapat galang dari kalangan kelompok sasaran, bahkan pihak-pihak lain yang berkepentingan tersendiri pasti akan turut membina rintangan. Keadaan sebegini menjadi bertambah getir dalam kedudukan politik dan ekonomi Negara yang kurang pasti seperti sekarang ini.
(4) Sesungguhnya dalam keadaan semasa, bila kita mendepani rakyat, pasti banyak kecurigaan yang menghadang usaha-usaha kita. Ada ketikanya, rakyat wajar mempunyai sikap hati-hati. Namun, menantang sekadar menantang tanpa benar-benar mengerti apa yang ditantang adalah sesuatu yang amat memerlukan pemikiran lain untuk mengatasinya. Inilah cabaran yang terpaksa Front Line Officers perlu hadapi penuh bijaksana.
(5) Beberapa malam yang lepas, saya duduk bercerita bersama beberapa wakil penduduk dari sebuah Kampung di kawasan Asajaya, bagaimana, seperti yang selalu saya katakan, tanah Melayu yang sekangkang kera harus ada cara baru atau lain untuk kita melihat dan menggerakkannya agar ianya suatu hari nanti memberikan keberkatan berpanjangan. Apa yang saya usulkan sebetulnya amat mudah dan telah lama cuba ditegakkan oleh Melayu: Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana maufakat dan Islam menegaskan: Bersatu ke jalan kebenaran dalam membina Ukwah Ummah. Saya mengajak Melayu dari kawasan-kawasan tertentu agar menyedari jalan pembangunan buat mereka kini adalah lewat jalan koprat. Mereka harus bersatu di bawah payung badan koprat. Anak cucu mereka sudah sangat berpendidikan dan berkemahiran tinggi. Mereka memerlukan asas kuat buat bergerak pantas jauh ke depan. Berdiri sendiri-sendiri tidak menjamin kejayaan besar. Pemikiran, tenaga, daya, dan segala keupayaan kecil atau besar perlu digabung dan diurus secara Urus Tadbir yang baik, agar seperti lidi, diberkas menjadi penyapu dan pasti akan lebih besar kegunaan dan faedahnya.
(6) Sesungguhnya, Melayu kebanyakan sudah bersatu dalam hal-hal tertentu, terutama dalam penmgumpulan dana antara lain lewat Tabung Haji, Perbankan Islam dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Inilah asas kekuatan besar Melayu. Dana-dana yang terkumpul dalam institusi-institusi ini, seharusnya terus Melayu kembangkan dan dipergunakan dengan sebaiknya untuk kepentingan segera dan jangka panjang Ummah. Untuk itu, Melayu secara keseluruhannya harus dapat melihat ini dengan cara lebih strategik dan bijak. Mereka harus dapat mengembelingkan hartanah mereka untuk pengembangan ini. Melayu kini ibarat sudah berpengayuh cuma sampannya pula harus mereka persiapkan.
(7) Kembali kepada prihal majlis perbincangan saya, saat saya berhujah sebegitu, sedaya upaya mengambil iktibar dari keadaan keliling yang telah melemahkan Melayu serta menjadikan Melayu kian meminggir, seorang manusia terus memerhati saya penuh tajam. Nafasnya seperti sesak. Pendek-pendek. Tubuhnya tegang. Berpeluk tubuh. Bertompang kaki. Diunjuk minuman dia enggan minum. Diunjuk kertas tanda kehadiran, dia enggan melayan. Bahasa Badannya cukup mencurigakan saya. Lantas bila saya membuka peluang untuk bersoal-balas, dia tanpa lengah terus menegaskan: Saya sekali-kali tidak setuju dengan pembangunan cara koprat. Pertama, badan koprat mementingan untung. Belum tentu rakyat sebagai rakan kongsi akan mendapat faedah. Kedua sebarang usahasama dengan badan koprat pasti mengikat dalam jangka masa panjang. Dia sudah berumur 65 tahun dan belum pasti dapat hidup lama dan menyoal apa akan jadi dengan harta beliau dan anak cucunya nanti saat dia sudah mati.
(8) Di sepanjang pembicaraannya, dia memandang saya tajam. Ada apiu marah dalam sinar matanya. Ada suara membara terhambur dari dadanya. Senyumnya sinis. Suaranya tinggi. Saat bercakap dia menoleh-noleh kepada hadirin bahkan cuba bermain mata dengan pengerusi Majlis yang kebetulan adalah Ketua Kampung berkenaan. Saya berkira dia sedang memancing sokongan caranya dia. Sebahagian yang mendengar ucapannya mengangguk-nganguk tanda terpengaruh. Saya cuba membaca secara tepat gerak hati hadirin yang lain. Dalam bernak, saya juga cepat bersoal: Apa boleh saya 'tembak' tepat ke sasaran, dan matikan dia terkulai di situ atau haruskah saya memilih untuk bermain menyumbat pemikiran yang lain dengan persoalan-persoalan yang kemudiannya mereka boleh berfikir sendiri dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri?
(9) Saya memutus mengambil dua jalan. Pertamanya, saya tembak dia tepat. Saya katakan bahawa saya datang tidak untuk mengambil keputusan apa-apa. Tidak memaksa apa-apa keputusan. Saya datang untuk bertanya khabar. Saya datang untuk bercerita. Siapa yang mahu dengar, maka dengar. Jika tidak, tidak mengapa. Kalau setuju, maka baru saya melangkah selanjutnya. Jika tidak setuju, itu hak masing-masing. Saya tidak hendak menyangah dan atau bertantang atas sebab-sebab yang saya belum selidiki panjang. Saya tidak gemar berpatah arang. Kerana itulah sikap yang telah memecah belahkan orang Melayu. Kedua, saya katakan betapa mengajak manusia agar bersama membina kehidupan sejahtera adalah suatu dakwah. Muhammad SAW, manusia pilihan Allah, mendapat bantuan penuh dari Allah, mengambil masa 20 tahun untuk berdakwah, mana mungkin saya manusia kerdil mampu mengubah segala dalam satu malam apa lagi dalam satu jam bercerita. Saya hanya menyampai satu pandangan untuk difikir dan dibincangkan di rumah bersama ahli keluarga lain.
(10) Mendengar hujah saya itu, dia terus diam dan akhirnya mengaku Dia hanya bercakap bagi pihak dirinya. Buat saya, adalah penting agar yang hadir jelas dengan sikap sesiapapun. Jika dia bercakap bagi pihak dirinya, biarlah sebegitu sikap jelasnya. Saya paling jelek melihat sesiapapun cuba memaksakan kepentingan pribadi dan atau permasalahan pribadi menjadi persoalan bersama yang lain yang tidak berkaitan. Buat saya, Melayu sudah terlalu lama terikut-ikut, mereka harus berani Merdeka dan Berdaulat. Alhamdullilah, yang lain kemudiannya sanggup bersoal balas dengan baik dalam sikap mencari penjelasan lanjut serta lebih mesra.
(11) Paling ketara, pada malam berikutnya bila saya berkunjung ke Kampung sebelah untuk bercerita prihal yang sama, dia turut hadir. Kini dia memilih untuk duduk pada baris paling belakang. Bahasa Badannya sudah melembut. Dia kelihatan lebih mahu mendengar dari mengirim Bahasa menolak. Syukur Alhamdullilah, sepertinya Surah Yusuf (QS12:4) yang terlintas di benak saya sebelum saya memulakan cerita seperti ada barakahnya. Mudah-mudah Allah akan membuka hati nurani Melayu bersih dari segala nafsu haloba dan khianat yang sering menjadikan bangsa ini ragu-ragu dan berperasangka biar bila berdepan dengan perkara-perkara baik selanjutnya.
Asajaya, Samarahan
19 January, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment