Lukisan Sdra Rozainul, hasil ilham bersama saya, dari Galeri Seni Melaka. Didiklah anak bangsa supaya suka berfikir menjadi bijak. Bila kita melihat secara dalam tentang penguasaan Melayu dalam apa juga bidang, pasti banyak akan mengeluh. Sebahagian akan resah jadinya. Ada sedikit yang benar-benar rasa mengemeskan. Namun kadang-kadang sahaja ada yang mahu bangkit membakar. Itulah lumrah. Itulah tabii dunia. Banyak yang tahu, hanya sebahagian yang sadar, sedikit yang merasa, namun hanya sekelumit yang sanggup mengengam bara membangkit gerak. P Ramlee dalam Nujum Pak Belalang menggunakan konsep Sedikit-Sedikit, Kadang-Kadang, dan Jarang-Jarang dalam menjelaskan sebetulnya apa juga tabii azali Melayu.
(2) Jika direnung Sejarah Melayu, kita sudah wujud sebagai sebuah kelompok besar Melayu sejak sebelum Buddha dan Hindu membentuk Kerajaan SriVijaya dan Majapahit lagi. Melayu mungkin telah bermasyarakat di seluruh Nusantara ini lebih dari 5,000 tahun dahulu lagi. Namun, dalam Sejarah, kegemilangan Melayu hanya terdengar dan tercatat bila Tun Perak dan Hang Tuah menjadi Perdana Menteri dan Laksamana Melaka sekitar 500 tahun dahulu. Di Malaysia, Melayu hanya terkenal gah kembali bila manusia bernama Abdul Razak Hussein dan Mahathir Mohammed menguasai pentadbiran Negara. Sebetulnya, Tun Perak, Hang Tuah, Abdul Razak Hussein dan Mahathir, saya kira adalah manusia-manusia penanam asa, pembangkit lena bangsa Melayu. Kini, apakah kita memerlukan sehingga 500 tahun lagi baru kita dapat melahirkan Tun Perak, Hang Tuah et al, Abdul Razak dan Mahathir?
(3) Sesungguhnya, kerana menulis (termasuk membaca dan mengira) bukan budaya Melayu, maka kehebatan Tun Perak dan Hang Tuah et al, hanyalah tercatat sebagai hampir-hampir dongengan tanpa ada yang tajam melihat bagaimana dulu lagi Melayu sudah ada kehebatan pemikiran dan pendekatan diplomasi serantau dan antarabangsa. Tun Perak bukan sekadar Bendahara yang berjiwa rakyat, taat akan Raja, bahkan dia adalah pengasas kepada permodenan Melayu sehingga Melaka menjadi pelabuhan bebas serantau. Tun Perak adalah pemikir dan pengerak pembangunan yang hebat. Cuma kealpaan kita dalam mencurigai hasrat tamak haloba merentas sempadan menjadikan kita lemah dan berkubur bila diledak dengan meriam, senapang, pistol, dan armada tentera laut. Kita jadi tunduk, kecut, menghamba kepada Barat mulai 1511. Sikap mudah bersahabat Melayu saban kali jadi senjata makan tuan sedang hasad dengki khianat sesama sendiri menjadikan kita lupa musuh sebenar bangsa dan Islam. Dari 1511 sehinggalah 1960an baru Melayu kembali bisa berkokok kembali. Melayu hampir-hampir memerlukan sekitar 20 generasi untuk kembali boleh bersuara gagah. Kenapa?
(4) Asas untuk Melayu menerjah ke depan sudah ada. Lewat kesadaran mendalam terhadap untung nasib bangsa dan Islam di saat ambang kemerdekaan (1960an), kegigihan Abdul Razak Hussein dalam membangun institusi, prasarana dan field works buat Melayu terus bangkit telah tersedia luas. Biar Negara dan bangsa berada dalam kemiskinan, Abdul Razak Hussein mampu memberikan harapan kepada rakyat. Sesungguhnya Abdul Razak Hussein adalah pendiri Melayu moden yang harus Melayu selidiki dan teladani dengan sejujurnya. Secara pribadi, saya tidak akan pernah lupa betapa disaat kematiannya, dia hanya ada sekitar RM8,000.00 dalam simpanannya serta keluargannya tidak berumah. Jika Muhammad SAW dan para sahabah baginda terlalu payah untuk kita teladani, tentang sabar dan bersih jiwa mereka, sesungguhnya Melayu pernah melahirkan pemimpin besar yang bersih jiwa dan perjuangannya iaitu Abdul Razak Hussein. Sesungguhnya Abdul Razak Hussein adalah seorang silent leader. Biar sakitnyapun dia diam membisu terus. Sifat sabar, syukur, rendah diri dan pemurahnya dia adalah sangat unggul sukar diganti.
(5) Kemudian dengan sikap kelainan Mahathir mengolah segala institusi, prasarana, dan manusia binaan Abdul Razak ke dalam bentuk selari dan lebih ke depan dengan tutntutan masa banyak seperti menguncangkan Melayu. Ledakan Wawasan 2020 benar-benar mencabar setiap Melayu untuk menilai diri sendiri. Sikap gigih dan tegasnya biar dibenci banyak orang, namun berhasil merubah banyak. Dari Melayu sekadar di kenali sebagai manusia bersemuta, berkain sarong, berkemban batik yang kehidupannya adalah hanya nelayan dan petani, Melayu mulai terkenal sebagai kelompok yang sanggup berjuang menantang Barat, membela bangsa dunia ke tiga dan apa lagi dengan tegas mendepani Yahudi biar bangsa Arab sekalipun kecut untuk berbuat sebegitu. Mahathir mengambil asas dari Abdul Razak Hussein, mampu menukar kerbau penengala jadi kuda pacu di padang tarungan.
(6) Allah Maha Penyayang. Abdul Razak Hussein pergi saat Negara dan Bangsanya sangat-sangat memerlukannya. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui, betapa mungkin Abdul Razak Hussein pasti tidak akan dapat mendepani gelora dunia di tahun-tahun 1980an, maka anak didiknya Mahathir Mohammed Allah sandarkan untung nasib bangsa Melayu dan Islam di Negara ini. Namun, sepertinya nasib Uthman Affan, saat Muhammad SAW, Abu Bakar As-Siddique dan Umar Al Khataab mampu membina Negara Islam yang gagah dan majmuk, sifat majmuk dan perubahan mendadak menimbulkan banyak fitnah dan hasad yang akhirnya menyebabkan Mahathir jadi tawar hati merajuk meletak jawatan. Osman Affan dan Ali Abi Thalib bertumpah darah untuk memperbetul keadaan namun tetap gagal. Allah memberikan Mahathir peluang sebagaimana Yunus AS diberi peluang selepas 950 tahun gagal memdakwah masyarakatnya lalu baginda marah dan merajuk menghilang diri dari tugasnya baginda. Semoga terusnya keberadaan Mahathir di tahun-tahun Malaysia sedang dilanda pelbagai fitnah dan kecelaruan adalah perencanaan Allah agar dia dapat membantu dan meletakkan asas-asas yang lebih kukuh buat Melayu menjadi pengerak Islam serantau yang dapat membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua manusia.
(7) Cuma sedikit kekhuatiran saya, sejak akhir-akhir ini saya perhatikan Mahathir sudah agak layu dari segi tenaganya mungkin kerana rasa resah, kecewa, serta sesal tentang gelora badai yang bakal menerjah bangsa Melayu dan Islam di masa depan, sedang menghakis kuat tenaganya. Saya berdoa, jika kita akan kehilangan Mahathir, biarlah kita melepaskan beliau dengan rasa penuh kesadaran betapa Tidak Melayu hancur, melainkan di tangan Melayu. Betapa Melayu akan bangkit berjaya, hanya lewat tangan Melayu. Melayu dan Islam mesti bersatu. Islam adalah teras kecemerlangan Melayu. Melayu jangan mudah lupa.
(8) Sesungguhnya jika kita dapat melihat secara mendalam akan perjalanan mula, kegemilangan dan keruntuhan empayer Islam, pasti kita akan memperolehi cermin pendoman yang sangat hebat. Sesungguhnya, Islam, Al Quran sengaja Allah turunkan dalam bentuk misteri agar kita sentiasa berfikir menjadi bijak bistari. Muhammad SAW adalah pendiri Islam terakhir. Tugas baginda tidak lebih dan kurang dari itu. Baginda meletakan asas kebenaran sebenar. Saat asas tersebut sudah kukuh berdiri, baginda Allah panggil pulang. Kemudian Abu Bakar As-Siddique seorang yang sangat hemah namun tegas mempertahan asas yang telah Muhammad SAW tinggalkan. Dia tidak bergerak cergas mengembangkan Islam. Dia hanya menlenyapkan kebangkitan kemurtadan. Hanya Umar Al Khataab kemudian ada kesempatan itu. Sifat keras, pedagang serta KeImannya yang kental, menjadikan dia seorang penakluk yang hebat. Bersamanya Muhammad SAW telah wariskan segala bentuk manusia yang dia perlukan. Umar kerana kebijaksaan pentadbirannya, dia menyusun institusi yang dahulu agak longar dan kurang teratur khusus berkait dengan soal pengurusan Kewangan, Hartanah dan Pembangunan Prasarana. Islam diterima penuh di seluruh Tanah Arab, Farsi dan sebahagian Afrika sehingga memasuki Asia Tengah. Namun sikap keras, zuhud Umar Al Khataab, saya kira agak kurang sesuai dengan ledakan perluasan dan sifat majmuk tanah jajahan Islam. Allah mengujudkan Umar Al Khataab sesuai dengan keperluan semasa iaitu perluasan jajahan Islam. Sedang Uthman Affan yang lebih lembut serta sangat bertolak ansur, dilanda musibah fitnah yang sangat luas sehingga bangkit pemberontakan yang akhirnya memecah belahkan Empayer Islam. Biar Ali Abi Thaalib kemudiannya adalah seorang yang gagah, pemberani dan tegas, dia tidak dapat menyelamatkan biarpun nyawanya sendiri apa lagi Empayer Islam. Islam akhirnya berpecah menjadi dua syiah iaitu Syiah Ali dan Syiah Muawiyah yang kini melarat menjadi Syiah dan Ahlul Sunnah Waljamaah. Dari sanalah akhirnya wujud Kerajaan Muawiyah, Abbasiah, Fatimah (Fatimid), Andalusia, Ottoman dan kembalinya Farsi. Apakah perpecahan ini tanda kelemahan Model Pentadbiran Islam Muhammad SAW atau sengaja Allah jadikan sebegitu agar tetap wujud kepelbagaian demi kesatuan. Saya menduga, sebitulah kehendak Allah, kerana sebegitulah Dia menjadikan alam ini. Hutan tetap hutan, namun ada Hutan Tropika, Hutan Sub-tropika, Hutan Temperat, Hutan Savana, dsb.
(9) Saya menduga, sesungguhnya Allah menjadikan kemuncak perpecahan dalam pentadbiran Islam selepas Umar Al Khataab (kekhalifahan lima tahun kedua Uthman Affan)sebahagiannya adalah agar kita terus berfikir dan mengkaji betapa Islam itu tidak jumud. Islam adalah mistri dan dinamis. Sesungguhnya, saya berkira adalah kurang tepat pendapat selama ini menyatakan betapa Muhammad SAW telah berjaya mendirikan Kerajaan Islam yang Unggul (benar unggul pada masa baginda), pada saya Muhammad SAW hanya meletakkan batu asas kepada Kerajaan Islam. Muhammad SAW tugasnya, berulang-ulang kali ditegaskan di dalam Al Quran hanyalah sebagai Persuruh iaitu menyampaikan ajaran Al Quran. Saat tugas itu usai, maka Allah wafatkan baginda. Sesungguhnya saya berkira, taklukan Islam semasa kerasulan baginda adalah hanya sebagai benteng kepada ajaran Islam, Al Quran yang telah Allah perintahkan kepada baginda. Apapun terjadi selepas itu adalah sumbangan kebaktian individu dan kelompok dalam mematuhi ajaran Islam, Al Quran yang telah Muhammad SAW sampai dan pusakakan.
(10) Jika diperhatikan dengan baik, sesungguhnya kegemilangan Kerajaan Islam baik di masa Muhammad SAW, para sahabah atau selepasnya (Ummaiyah, Abassiah, Fatimah, Andalusia, Ottoman, dan Farsi) serta Kerajaan-kerajaan Islam lainnya jauh di Timur (Khan India-Pakistan, Champa, Pattani, Sulu, Pasai, Majapahit, Jambi, Melaka dsb) semuanya adalah bila Raja dan Sistem Pentadbirannya adalah berlandaskan Islam sebenar. Saat Pemerentah dan Pentadbir mementingkan kesaksamaan capaian Duniawi dan Syurgawi maka itulah saat kemuncak Kerajaan Islam di zaman mereka. Tanpa perimbangan tersebut, Kerajaan Islam ternyata tumbang dan parah.
(11) Begitulah hakikatnya apa yang terjadi di masa Abdul Razak Hussein. Biar rakyat miskin, Negara masih dalam kepayahan, namun rakyat tetap bersatu kukuh penuh sabar membina Negara. Tidak ada pihak menuntut lebih dari keperluan hakiki biasa mereka. UMNO dan PAS juga dapat Abdul Razak Hussein satukan. Kenapa? Tidak lain kerana dia bekerja benar-benar Demi Allah, maka biar Kanser Tulangnya kian parah, dia hanya diam dan terus bekerja kerana cintanya yang sangat mendalam kepada Allah, dia hanya ingin berbakti kepada Allah lewat pembelaan sejati terhadap masa depan Bangsa dan Agamanya. Semoga Allah melimpahi rahmat kepadanya.
(12) Apa halnya dengan Mahathir? Saya melihat Mahathir lebih kepada Umar Al Khataab. Dia mengembang. Dia menyerang. Dia merombak. Dia memperbaiki. Dia bergerak pantas. Dia tidak leka. Dia pemberani dan tegar. Sistem Pendidikan Negara terombak pantas di masa dia. Banyak anak-anak muda kita tersebar di Amerika, Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah, Russia, Timur Jauh, Afrika, Australia-New Zealand, dsb membawa pulang pelbagai cara pemikiran dan ilmu. Struktur Ekonomi Negara juga terombak pantas di masa dia. Bahkan Sistem Perundangan dan Kedaulatan Raja-Raja juga tersentuh hebat di masanya dia. Pentadbiran dan Outlook Islam juga cuba dia asak hebat. Cuma, bila dia hebat menghambat Malaysia Maju dia menjadi alpa terhadap perubahan sosial yang terbawa bersama. Generasi muda, golongan baru Negara kian bangkit mahukan lebih serta hanyut sepertinya saudara-saudara baru serta pedagang-pedagang baru di zaman Uthman Affan, dalam era ledakan pasca penaklukan Umar Al Khataab, sehingga Abdullah Ahmad Badawi sukar membendungnya. Abdullah Ahmad Badawi mungkin kerana kefahaman Islammnya yang lebih baik dari Mahathir sedar akan prihal ini, maka dia ingin kembali ke pangkal jalan lewat Islam Hadhari tetapi hakikatnya dia menongkah arus sepertinya juga apa yang terjadi kepada Uthman Affan dan Ali Abi Thaalib. Maka berpecah belahlah masayarakat di Negara ini di zamannya Abdullah Ahmad Badawi dan selepasnya sehingga kini.
(13) Sesungguhnya, saya berkira akhir hayat Mahathir adalah sama dengan Khalid Al Waleed saat dia dilucut jawatannya oleh Umar Al Khataab. Khaleed menangis menyendiri di gurun kering melihat betapa sedihnya dia kerana sudah tidak dapat lagi berbakti kepada Agamanya. Sesungguhnya, saya mengambil iktibar dari pernyataan Muhammad SAW betapa, Umar Al Khataab punya kelebihan sangat tinggi iaitu dia dapat menduga apa akan terjadi di masa depannya, dia menurunkan Khaleed bukan kerana apa, kerana dia khuatir sifat bermegah dan berwewah Khaleed akan menjadi ikutan para panglima, gabenor, pembesar dan tentera Islam selanjutnya. Sesungguhnya Umar Al Khataab tidak memusuhi Khaleed Al Waleed, namun kerana sifat zuhud Umar Al Khataab yang kental menjadikan dia takut betapa duniawi akan meruntuhkan Islam. Sesungguhnya itulah punca fitnah dan hasad di zaman Uthman Affan sehingga merosakkan Negara Islam awalan.
(14) Sesungguhnya Mahathir berjaya kerana Abdul Razak Hussein telah mewariskan beliau dengan para pendokong Melayu yang cekal dan jujur dalam perjuangan Melayu dan Islam sepertinya juga Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddique meninggalkan para sahabah besar kepada Umar Al Khataab. Lantaran kerana siri peperangan dan penaklukan, lewat berlalunya masa, banyak dari para sahabah ini mati gugur sahid. Selama dua puloh dua tahun pentadbiran Mahathir, banyak anak-anak didik Abdul Razak Husein samada mati atau terpingggir, dan akhirnya membangkitkan Melayu Baru yang kurang pengalaman, hemah, kurang atau tidak patriotik, dalam nada Mahathir sendiri Tidak Berterima Kasih kini menjadi tunjang kepimpinan dan pentadbiuran Negara. Sesungguhnya di era Najib-Muhyyidin ini, inilah badi yang menusuk tajam dalam daging Melayu. Apakah kerana itu Mahathir salah? Jika begitu, samalah dengan menuding sebegitu kepada Umar Al Khataab!
(15) Pendirian saya, Mahathir tidak salah. Sesungguhnya, saya berkira, Allah itu MahaMengetahui dan MahaBijaksana, Dia sengaja menjadikan sebegitu untuk menguji generasi seterusnya, apakah mereka boleh berfikir dan mensyukuri akal dan roh yang telah Dia berikan buat kita?. Batas kemampuan Mahathir adalah setakat itu. Begitu juga Abdullah Ahmad Badawi. Namun Najib-Muhyyiddin tidak boleh mengatakan, mereka juga punya batas. Kita harus faham akan kenapa Allah tetap mengkisahkan prihal Yunus AS dan Yusuf AS di dalam Al Quran. Sesungguhnya, saya berkira Allah sedang melihat apakah kita mengerti akan prihal kekalutan di zaman Uthman-Ali serta kebangkitan semula Kerajaan Islam di zaman-zaman selepas mereka adalah atas faktor betapa kembali ke Tali Allah adalah asasnya, juga keruntuhan dan kegalauan berterusan masyarakat Islam sehingga kini lantaran putusnya pegangan kita kepada Tali Allah. Sesungguhnya kehadiran Nik Aziz Nik Mat dengan gagasannya, ada hikmahnya jika Najib-Muhyyidin dapat berfikir tajam dan berhemah.
(16) Sesungguhnya di peringkat Negara dan Serantau, kita perlu kepada penjurusan kepada Sistem Ekonomi-Kewangan, Pendidikan dan Perundanagn Islam. Kita buat dulu untuk Ummah, biarlah Umat lain membuat pilihan atas kemahuan mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak pernah menghapuskan babi, biarpun di sebuah Negara Islam sekalipun. Babi dan sapi tetap ada, dan jika kita bijak pasti kita mengerti apa maksud Allah sepertinya bersifat "Dua Muka" itu. Syurga dan Neraka telah ada. Cuma keadaan dan masa saja menentukan siapa ke kemana?
(17) Secara dasar, Najib-Muhyyidin, harus boleh mengimbangi antara nafsu duniawi dan didikan rohaniah masyarakat kita. Makanya asas Sitem Ekonomi-Kewangan, Pendidikan dan Perundangan kita mesti rombak hebat. Najib-Muhhyidin harus boleh melihat badi Melayu Islam kini adalah lantaran sedikit kesaranan dalam perimbangan hambatan Duniawi dan atau Syurgawi. Kita sedang bermain politik tentang Dunia dan atau Syurga. Inilah faktor yang memecahkan kita. Inilah faktor yang sedang menjerak kita. Juga orang Melayu Islam secara kelompok dan individu, kita juga harus berani untuk melihat dan mengakui kekhilafan-kesalahan serta bergerak cergas-pantas memperbetulkan keadaan. Janganlah tugas membuat kebajikan kepada Allah hanya tergantung di leher seberapa. Di mana juga, di peringkat Negara, Negeri, Kampung, Institusi, keluarga, dan pribadi kita orang Melayu Muslim mesti sedar akan faktor-faktor yang Allah telah tunjukkan sebagai asas kepada kecemerlangan kita. Tiada sebab untuk kita malu memperbaiki diri dan kelompok biar sebesar mana khilaf atau salah kita sebelumnya. Buat saya Umar Al Khataab dan Khaleed Al Waleed adalah seteru Islam awalan maha dahsat, namun mereka akhirnya adalah penegak Islam yang hebat. Saya melihat sabar, syukur, rendah diri dan pemurah sebagai teras jati diri ke arah itu. Lihatlah ciri-ciri ini dari sudut luas Iman dan Taqwa. Ayuh kita fikir dan usahakan. Mudah-mudahan. InsyaAllah.
Nota
Iman= Sabar + Bersih; Sabar = Cekal (Tabah) + Syukur (Redha). Bersih = Syukur (Redha), Rendah Diri (Tawaduk), Pemurah.
Kg. Terasi, Pendam, Simunjan
15 Januari, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment