.

6/7/12 ANWAR, MAHATHIR, NIK AZIZ, NAJIB.....kembalilah kepada fitrah!

Posted By: Abdullah Chek Sahamat - July 25, 2012

Share

& Comment

Jika kita dapat melihat Anwar dan Nik Aziz sebagai buah nenas, berduri, mengatalkan, sangat menyusahkan untuk dipelihara, manakala hasilnya ada masam, ada manis, ada masam manis dan sangat dicari saat hendak kenduri, mungkin kita akan mengerti fitrah kejadian mereka.

Sering teman-teman bertanya saya:Apa benar, prilaku pribadi Anwar Ibrahim sejelek seperti yang hebuh sekarang ini?. Jawap saya mudah sahaja: Tidak mungkin saya ada upaya untuk mengetahui yang sebenarnya. Saya tidak punya upaya. Yang ada cuma cakap-cakap yang berteteran. Soal persaksian dan pembuktian sebenar, saya tidak punya upaya untuk mendapatkannya. Saya sememangnya sejak anak-anak telah terdidik untuk tidak suka menjaga tepi kain orang lain, yalah dulu zaman susah perit, tepi kain kita agar tidak koyak rabak adalah lebih penting buat kedua orang tua saya.

(2) Namun banyak teman-teman tahu saya marahkan Anwar. Sememangnya benar. Saya marahkan dia kerana saya punya pengharapan tinggi padanya. Kisahnya sebegini, semasa saya di Universiti (UKM) dulu, saya sangat aktif dalam gerakan pelajar. Saya mendokong pihak establishment atas keperluan untuk mendapatkan dokongan ke atas niat saya untuk berbakti sesama pelajar dan masyarakat. Saya tidak mendokong pembangkang dan NGO yang ganas di mana salah satu diantaranya adalah ABIM pimpinan Anwar. Namun saya mengikuti perkembangan dan fikiran Anwar. Maka bila Mahathir Muhammad membawa dia masuk ke dalam UMNIO, saya berasa amat gembira dan sangat berharapan tinggi.

(3) Harapan saya pada Anwar adalah dengan kemasukkan dia ke dalam UMNO, dan dengan hujah-hujah Islaminya semasa di dalam ABIM serta gerakan mahasiswa di zamannya yang mementingan rakyat susah, rakyat payah, saya benar-benar mengharap agar dia melaksanakan Sistem Ekonomi Islam. Jiwa saya semakin bergemuruh saat Mahahtir membina DayaBumi sebagai Pusat Bank Islam Malaysia. Entah, biarpun saya tidak faham mengenai tadbir urus ekonomi, saya sebetulnya sangat berminat dalam bidang tersebut, mungkin kerana saya telah melalui jalan payah dalam menempuhi sistem ekonomi barat yang sedang kita ikuti kuat sehingga kini.

(4) Namun, bila masa terus berlalu, biar dia diberikan mandat yang sangat luas oleh Mahathir untuk menerajui banyak Kementerian yang strategik: Belia, Pertanian, Pelajaran, Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, saya perhatikan dia lebih sibuk dari menumpukan kepada pembangunan sistem ekonomi dan kewangan Islam kepada asabiah politik kelompok. Paling jahanam saya kira bila krisis kewangan berlaku, dia menaikan fadeah perbankan dan mengurangkan tempoh NPL. Buat saya perbuatannya sama dengan riba, dan menghianati prisip asas sistem ekonomi dan kewangan Islam. Buat saya, Anwar telah memperkosa kebajikan negara. Peniaga kecil dan sederhana mengalami kepayahan aliran tunai. Banyak perniagaan kecil dan sederhana goyah dan akhirnya tutup, lalu meningkatkan kepayahan untuk rakyat mencari penghidupan. Pihak bank, pastinya lebih berminat untuk menyelamatkan penguasa besar dan gergasi kerana kepentingannya lebih tinggi nilainya, berbillion.

(5) Saya percaya, Mahathir begitu ikhlas dalam mendidik Anwar untuk menjadi lebih hebat dari dirinya. Pertama perhatikan kementerian-kementerian yang didukung oleh Anwar. Semuanya mempunyai career progression yang sangat teratur dan mantap. Bahkan banyak kali Anwar dijadikan memangku Jawatan Perdana Menteri. Keduanya, Mahathir, saya yakin mahukan Sistem Kewangan Islam bertapak dan berkembang di Malaysia. Makanya, dia bersetuju dengan Rezaleigh Hamzah untuk membangunkan Bank Islam pada awalnya dan menggunakan Petronas untuk terus memperkukuhkan kedudukan kewangan Bank Islam Malaysia. Apa yang perlu, saya kira, Mahathir bekerja keras untuk membangun tenaga manusia mahir untuk mempelopori sistem kewangan Islam tersebut, makanya Universiti Islam Antarabangsa ditubuhkan biarpun terpaksa berhimpit dengan UKM di Seksyen 17/1 PJ. Anwar diberikan tanggungjawap hebat untuk membangun Universiti tersebut. Semuannya agar Anwar akan dikelilingi oleh para Ilmuan Islam yang wara. Anwar juga diberikan kebebasan untuk membangun institusi yang condong kepada memperkasakan keilmuan dan menebarkan Ilmu Islam, contohnya dengan membenarkan dia berkawan rapat dengan Syed Naguip Al-Attas sehingga terbangunnya ISTAC.

(6) Mahathir juga lebih gemar untuk menghantar Anwar dalam berurusan dengan dunia Arab. Anwar diberikan kebebasan untuk bercampur baur dengan dunia Arab. Saya sangat berasa bangsa suatu ketika bila brother Anwar bergitu hebat dalam Pertubuhan Islam Sedunia. Semuannya saya berkira adalah kerana Mahathir mahu dia menjalin hubungan intim dengan dunia Arab yang akhirnya akan menjadi pendokong kuat kepada Sistem Kewangan Islam.

(7) Begitu juga jika kita ingat, betapa Mahathir cuba mendekatkan Anwar dengan Indonesia dan Filipina, bila dia diberikan tugas-tugas khas dalam beberapa hubungan dengan kedua negara tersebut. Semuannya agar Anwar punya hubungan awal yang akrab dengan dua gergasi tetangga ini, juga demi kepentingan Islam dan Melayu senusantara. Anwar mungkin sedar tetapi khilaf dalam soal-soal ini (saya tanggap pada seruan Asian and Islamic Rennaisance yang mula diketengahkannya atas kemasyurannya). Kemasyuran Anwar dipersada dunia adalah kerana Mahathir mahukan seorang Perdana Menteri Malaysia yang hebat. Mahathir mahukan rantau Nusantara berdiri pada matawang alternatif. Gerakan mengenengahkan Anwar adalah perintis ke jalan itu.

(8) Mahathir sebenar-benarnya mahukan Sistem Ekonomi Islam berjalan seiring sebagai alternatif kepada sistem ekonomi sedia ada. Dia dapat menduga betapa Sistem yang sedia ada tidak akan dapat memperkuatkan kedudukan ummah. Sebagai seorang pakar perubatan, dia senentiasa mencari ubat yang lebih baik untuk penyakit yang sedia ada dan di masa depan. Mahathir ingin menyahut tuntutan Ilahi agar senentiasa mencari jalan bagi kekuatan sebenar ummah iaitu menjalani landasan di jalan Allah.

(9) Tangisan Mahathir di khalayak ramai, buat saya samalah dengan tangisan Abu Bakar Ass-Siddiqque dan Umar Al-Khattab dalam memikirkan nasib masa depan ummah. Dia dapat melihat kemungkinan-kemungkinan draw back dalam masyarakat Melayu dan ummah. Dia sangat takut segala draw back itu boleh menjadi peruntuh kepada ketuanan Melayu dan ummah. Dia kesal kerana, secara pribadi, Anwar yang dia harapkan untuk menjadi pemimipin hebat Islam, apa lagi rakyat kebanyakan, tidak mengerti yang tersirat dalam semua jalanannya.

(10) Maka, bila hendak menyingkirkan Anwar akibat hal-hal pribadi yang melandanya, melewati Ibrahimm Ali, teman lama Anwar (berdasarkan ceramah Tibai Ibrahim Ali), Mahathir meminta Anwar mengundur diri dengan menggunakan alasan tidak setuju dengan dasar Ekonomi Mahathir. Soal hal pribadi akan tetutup. Anwar boleh membersihkan diri, dan kemudian kembali bertanding untuk menerajui UMNO selepas Mahathir mengundur diri.

(11) Siapakah yang hendak diharapkan oleh Mahathir selepas dia. Ada orang tetap sehingga kini berkata, Tengku Rezaliegh Hamzah lebih layak, bahkan lebih layak dari Mahathir sendiri. Namun saya yakin jika dibukakan debat, pasti banyak sifat-sifat Rezaleigh yang tidak dapat diterima oleh rakyat Melayu. Musa Hitam, pasti terlalu idealis dengan demokrat-sosialismnya. Bagaimana pula Nik Aziz Nik Mat. Sememangnya dari ilmu kerohaniannya dia, pasti boleh mengatasi Mahathir. Cuma, dari segi kemahiran untuk mengurus negara pastinya dia sangat terkurang. Mungkin banyak lupa akan pengakuan Nik Aziz sendiri mengenai hal ini suatu ketika dulu. Ghafar Baba ada banyak kelemahannya. Di persada dunia, Ghafar terlalu kerdil. Muhammad Taib sama juga. Bahasa Inggerispun dia tak berapa elok. Rahim Tambi Chik, pasti kurang cocok. Isa Samad, jauh rendahnya. Sanusi Junid, jelas menerawang akalnya. Saya berkira, Mahathir dapat melihat nur Islam pada Anwar, nur Islam yang saya kira Mahathir sedang hambat iaitu kemahiran dalam mengerakkan ummah ke landasan yang baik, dunia dan akhirat. Saya kira Mahathir mengerti maksud firman Allah yang kira-kira bermaksud: ....tidaklah keImanan kamu itu hanya dengan memalingkan muka kamu ke Barat atau Ke Timur sahaja... dan Umar Al-Khattab (bahkan Muhammad SAW) jelas mengusulkan: .. setiap sesuatu yang baik itu adalah shalah (jihad)...

(12) Secara ringkas, Mahathir sebetulnya mencari seorang yang ada kekuatan nur Islam sebagai penggantinya. Thesis ini saya sandarkan, bila dia melantik pengantinya selepas Anwar ialah Abdullah Ahmad Badawi (yang dari segi lahiriahnya sebegitulah, Mr Clean), kemudian dituruti oleh Najib berasaskan ayahnya Abdul Razak Husein adalah Melayu-Islamis. Mahathir yakin, kuah ke nasilah tumpahnya. Kemudian bila Najib kelihatn bacul dia mulai menamakan Muhhydin Yasin sebagai sandaran.

(13) Sesungguhnya Mahathir tidak melantik mereka yang sangat taat kepadanya, 'kroni'nya. Aziz Shamsuddin, saya kira sanggup mati bersama Mahathir. Begitu juga Sanusi Junid. Muhammad Rahmat juga bukan main setianya kepada Mahathir. Begitu juga Ghafar Baba. Hamid Alba bukan pernah membantah Mahathir. Shahrir Samad diperakui sangat gentleman oleh Mahathir. Rais Yatim, Mahathir tabek dengannya. Rafidah Aziz, bak kata orang Kedah kentut Mahathirpun dia kata wangi. Sebut saja di dalam kabinet dan ahli Parlimen dan DUN, siapa yang tidak taat kepada Mahathir. Cuma terlalu banyak di antara kita yang tidak mengerti ciri-ciri manusia yang Mahathir cari. Pastinya Mahathir tidak menyatakan kriteria pilihannya secara terbuka, kerana jika itu berlaku, pasti banyak musang berbulu ayam, sehingga Lim Guan Engpun pasti akan menghafal firman dan sabda. MasyaAllah, kita sebetulnya sangat tidak mengerti ketulusan Mahathir.

(14) Sesungguhnya, Sistem Ekonomi dan Kewangan Islam adalah asas kepada kemantapan Islam dan ummah. Saya yakin sebegitu. Saya pasti itulah asasnya jika kita orang Melayu mahu menjadi penyumbang dalam pengembangan dan pembinaan Temadun Islam. Saya telah menulis mengenai hal ini.

(15) Saya dapat melihat, Anwar Ibrahim punya karisma untuk mengerakkan massa Melayu ke arah tujuan sebagai pengerak Pembaruan Islam-Islamic Rennaisance. Isterinya, Azizah saya dapat lihat sebagai seorang isteri yang sangat setia dan jujur kepada suaminya. Sifat rendah diri dan sederhananya adalah setaraf Hasmah Ali. Cuma, dia perlu kembali kepada fitrah asal kejadiannya. Kembali tenang dan ikhlas. Kembali patuh kepada pesan nenek moyang Melayu: Sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan. Melayu pemaaf sifatnya. Melayu boleh melupakan khianat orang kepadanya. Semua antara kita kembalilah kepada asas yang nenek moyang kita pesankan: Bumi mana tidak ditimpa hujan; Sedang lidah lagi tergigit;..... yang sudah itu sudahlah. Nik Aziz teruskan berikan bimbingan rohaniah yang sebaiknya kerana itulah kepakarannya. Comel doh kirjo Tok Guru memberi kesedare Isle jadi ikute semua ore, tapi kena bui ore lain retek buak pengisie duniawi supayo kita jadi lebih gagoh!

(16) Najib perlu memberi ruang agar Anwar kembali kepada asal fitrahnya. Anwar sudah berumur, paling lama dia boleh bekerja keras adalah 10-15 tahun lagi. Jika kebolehannya dapat kita manafaatkan sebaiknya, bayangkan betapa jauh akan kita maju ke depan dari, 10-15 tahun kita asyik berperang dalam kebodohan.

(17) Mahathir tidak usahlah dok kutok sangat Nik Aziz. Sifat orang Kelantan, the upper hand must give way to the under dog. Mahathir adalah upper hand. Nik Aziz adalah under dog. Budaya orang Kedah, Perlis, Penang, dan Kelantan (sayapun terjangkit) memanglah sedap kutok orang sebabnya lagi kuat kita kutok maka itulah tanda keakraban kita. Orang Melaka, oran Melayu dari daerah saya, boleh terima itu, tetapi orang Negeri Sembilan, Johor, Selangor, dan Sabah, mereka payah hendak terima gurau kasaq.

(18)Mahathir kembalilah membimbing Anwar. Saya yakin, biri-biripun boleh jadi baik jika kita sanggup berusaha payah mengembalanya. Siapa kata buluh tidak boleh dilentur? Bukankah nenek moyang kita dari dulu meraut buluh untuk dijadikan bubu, sangkar burung, rangka layang-layang? Bukankah melnetur namanya itu, cuma kita kena raut. Itulah jalan yang dilalui oleh Muhammad SAW dan para sahabatnya terutama Umar Al-Khattab. Bacalah, suatu ketika seorang gabnor Umar ingkar dan buat salah, kecil saja sebetulnya, tetapi gabnor itu dia turunkan pangkat lalu dihukum mengembala kambing. Kita ada agenda besar dan tugas berat. Kita sedang menghadapi sunami kehancuran kenapa kita jadi pengecut untuk bersama, membina pembentung, membulatkan air. Elok CheDet sekali lagi berkorban, kalau CheDet dapat perbetulkan kembali Anwar dan tempatkan dia ke jalan fitrahnya yang dihajati, InsyaAllah Malaysia akan sujud atas pengorbanan-bakti terakhir ini. Kalau kita dok sama ketegak, esok kita sama-sama patah. Tak elok lagu tu CheDet!

(19) Dalam PAS, dalam PKR bahkan dalam UMNO masih ada setidak-tidaknya ada lima (5) peratus yang baik-baik. Maka seharusnya kita kita boleh memilih intan dari kaca, beras dari antah. Mahathir seharusnya menjadi stateman yang mendidik. Itulah saya kira fitrah di atas persaraannya saat fikirannya masih tajam dan bernas.

(20) Kasihanlah betapa umat Melayu minoriti di sekeliling kita sangat dalam kehancuran dan kemusnahan. Melayu Pattani, Champa, Sulu dan Rohingya perlukan bantuan kita. Bangsa Arab juga sedang dalam persimpangan yang belum tahu kapan jalan lurus dan aman akan mereka temui. Secara universal, siapakah di antara umat Islam yang ada yang dapat bangkit bersatu mempertahan dan memperkasakan Islam.

(21) Memperkasakan Adeen Ilahi saya kira adalah asas bagi menyatukan umat Islam. Sistem Ekonomi dan Kewangan Islam adalah bidang di mana umat Melayu boleh jadikan asas kepada penataan sumbangan bangsa ini dalam menegakkan syiar Islam. InsyaAllah.

(22) Saya dapat menduga, menghancurkan Mahathir dan Anwar adalah agenda asing telah dapat membaca siratan pemikiran dan jalanan Mahathir. Jika Mahathir kekal dan Anwar dapat dibimbing pada apa yang Mahathir hajati, pasti Barat dalam gelabah susah. Serang Mahathir dan tawan Anwar saya kira adalah strategi tangan gelap ini. Maka Anwar terperangkap dalam kemesraan para musang berbulu ayam yang ahirnya menjebak dia dalam segala permasalahan. Kini, Mahathir dan Anwar menuju kemusnahan sedang saya kira, Najib lebih mudah ditangani. MasyaAllah.

(23) Nak habaq kat CheDet dan Brother Anwar, hangpa berdua dok kena main puak-puak jauh nu. Sedaqlah tu. Jadi belum terlambat untuk sambung balik jambatan dan perbaiki rumah hak yang bocoq. InsyaAllah.

Kuching, Sarawak
26 July, 2012

nota:

......biarlah saya curahkan apa yang saya fikir sejujur dan seberaninya, kerana saya sayang.....betapa jasad dan roh Islam sudah ada di tangan kita, namun kita belum dapat menyatukannya menjadi kehidupan yang bakal menguatkan kita. Ali Abi Thalib pernah berkata: ...belajarlah dariku sementara aku masih ada.... Sayang, kebijaksanaan Mahathir, ketulusan Nik Aziz, kehebatan Anwar tidak kita satukan secepatnya hanya kerana syaitan telah mengabui kita. Najib, sesungguhnya masih sangat banyak perlu dipelajari. Tidak salah menjadi ular menyusur akar. Kita sewajibnya yakin akan MahaPengasih dan MahaBijaksananya Allah, jika kita jujur, sabar dan yakin, insyaAllah Dia tidak akan memalingkan mukaNJya dari kita. SubhanaAllah.

#Abdullah Chek Sahamat

Writing that complies Bizarre, Odd, Strange, Out of box facts about the stuff going around my world which you may find hard to believe and understand

0 comments:

Copyright © 2010 abc sadong™ is a registered trademark.

Designed by Access. Hosted on Blogger Platform.